Ahad, 6 Jun 2010

LATIHAN BAHASA MELAYU STPM

(i) Alih Bahasa Bahan Dialog:

-->
Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini kepada bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog kepada bentuk cakap pindah.
CIK PUAN : Tolong, Bang Man, penyakitnya dah datang.
BANG MAN : Astaghfirullah! Tadi elok je bercakap dengan aku. Ada tempat
bara dan kemenyan?
CIK PUAN : Ada. (CIK PUAN masuk untuk mengambil tempat bara dan
kemenyan)
BANG Man : Entah apa penyakitnya ni. Rumah atas bukit memang selalu
keteguran.
(CIK PUAN keluar lalu meletakkan tempat bara dan kemenyan di sisi BANG MAN. BANG MAN lantas membubuhkan kemenyan dan menjampi, menghalau hantu Bukit Kenny)
CIK PUAN : Kita bawa masuk ke dalam, Bang Man. Biar dia rehat…
BANG MAN : Ya, eloklah tu… (BANG MAN memapah PEGAWAI ke dalam.
DOKTOR HUSIN datang dan masuk ke dalam untuk memeriksa
PEGAWAI)
CIK PUAN : Apa sakitnya yang sebenar ?
DOKTOR HUSIN : Jangan bimbang sangat. Jangan dirungsingkan hatinya. Jaga jangan melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan dia marah dan terkejut. Penyakitnya memang bahaya tapi boleh dihindarkan. Orang-orang kota memang banyak yang kena darah tinggi, lemah jantung.
CIK PUAN : Saya bimbang. Dia tak mau rehat-rehat. Kerja saja.
DOKTOR HUSIN : Inilah penyakit abad dua puluh !
(Dipetik dan diubahsuai daripada Drama Tamu di Bukit Kenny,Usman Awang)

(ii) Alih Bahasa Bahan Prosa Klasik:
-->
Alih bahasa prosa klasik di bawah kepada bentuk prosa bahasa Melayu moden .
Syahadan dilihatnya oleh Inderaputera di atas lancang itu segala anak raja-raja semuanya asal daripada dewa dan jin dan anak raja peri dan anak raja cendera dan sekaliannya memakai pakaian keemasan dan memakai mahkota yang keemasan. Maka segala anak-anak raja itu bermain lancang dan pelang dan berlumba-lumba dan langgar-melanggar masing-masing dengan permainannya. Maka segala anak-anak raja itu pun terlalu ramai dengan segala bunyi-bunyian duduk beramai-ramai pada tasik itu seraya berharebab dan kecapi dan bersyair dan berpantun terlalu indah-indah sekali dilihatnya oleh Inderaputera anak raja-raja itu.
Hatta maka Inderaputera pun mencitakan geliga Panca Mayan daripada peri tu. Maka dengan seketika itu juga turunlah angin ribut taufan guruh petir kilat sabung-menyabung. Maka Tasik Bahrul Asyikin berombaklah dengan segala lancang dan pelang itu pun habislah karam. Maka segala anak raja-raja itu berenanglah dalam tasik dan segala anak raja-raja itu pun ada yang tenggelam, setengah ada yang naik ke atas tasik itu dan ada yang setengah segera berenang bertemu dengan Inderaputera. Maka ujarnya Inderaputera, “Hai segala tuan-tuan mengapa semuanya habis basah?”
Maka ujarnya anak raja itu, “Hamba apa duduk bermain-main pada tasik itu. Tiba-tiba datanglah ribut dengan taufan dan segala lancang dan pelang hamba pun habislah karam. Arakian maka saudara-saudara kami pun banyaklah mati tenggelam dalam tasik.”
Maka Inderaputera pun tersenyum-senyum mendengar segala kata anak-anak raja itu.

(iii) Alih Bahasa Bahan Iklan:
Alih bentuk bahasa iklan yang berikut kepada bentuk bahasa biasa
--> -->
TAWARAN PINJAMAN PELAJARAN YAYASAN Y
BAGI SESI PENGAJIAN MEI 2010
Pemohon-pemohon adalah dipelawa untuk membuat permohonan Pinjaman Pelajaran Yayasan Y bagi mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama, Diploma atau Sijil di Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi sesi pengajian Mei 2010.
  1. Keutamaan permohonan terbuka kepada Rakyat Duli Yang Maha Mulia Sultan Y yang memenuhi syarat-syarat berikut :
(a) Pemohon lahir di negeri Y dan ibu bapa pemohon lahir di negeri Y atau:
(b) Pemohon dan ibu atau bapa lahir di wilayah Y sebelum 1 Februari 1980 dan:
(c) Kini telah menetap di negeri Y lebih 10 tahun dan;
(d) Telah mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Tempatan
(e) Belajar sepenuh masa
(f) Borang yang tidak memenuhi syarat – permohonan dianggap gagal.
  1. Pemohon tidak menerima sebarang Biasiswa/Dermasiswa/Pinjaman atau lain-lain bantuan kewangan dari mana-mana organisasi dalam atau luar negara.
  1. Pemohon yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan yang berharga RM2.00 secara datang sendiri ke alamat di bawah atau memohon melalui pos dengan menyertakan sampul surat beralamat sendiri dan bersetem 60 sen serta Wang Pos RM2.00 atas nama Yayasan Y.
  1. Tarikh tutup penerimaan borang permohonan yang telah lengkap diisi pada 30 Jun 2010.
  1. Sebarang pertanyaan, permohonan dan penyerahan borang hendaklah dihantar ke alamat berikut :-
Pengurus Pembiayaan Pendidikan
Tkt. 17, Menara Yayasan Y, No. 18A, Persiaran Selatan,
46000 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
Tel : 03-7655 2222/2345/2346 samb.140
Faks: 03-7655 2347
NOTA:
· Bayaran pembelian borang di Tingkat 16 – Bahagian Kewangan
· Pengambilan borang di Tingkat 17 – Bahagian Pembiayaan Pendidikan
Nota Hujung :
Semua pelajar Tingkatan 6 Atas Kemanusiaan dikehendaki menyiapkan tugasan di atas dan menghantar tugasan yang telah siap apabila sekolah dibuka pada 21 JUN nanti.

Bahasa Keris


Bahasa keris
dengan tikamannya yang bijaksana
bahasa diam yang perkasa
tersarung dalam minda yang tak
berdaya.

Bahasa keris
bahasa pamur penuh makna
menghunus bukan bererti menyerang
tapi mempertahankan
menyarung bukan bererti pengecut
tapi memaafkan.

Bahasa keris
kembali ke gelanggang
dunia silat akal Melayu
melangir jati diri
mentakhtakan ilmu.

-Shapiai Muhammad Ramly
Batu Pahat, Johor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 5 Jun 2010

Judi membawa bala

Oleh Harussani Zakaria

ISLAM menyuruh kita bersukan kerana ia nyata memberi faedah kesihatan kepada tubuh badan. Menjelang perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, maka saya lihat di negara kita juga, promosi rancak dijalankan, oleh televisyen dan syarikat-syarikat yang sibuk mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan hasil dari demam bola sepak ini. Namun apa yang sangat mendukacitakan saya akhir-akhir ini, apabila pihak kerajaan telah bersetuju untuk memberikan keizinan dan mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia ini.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang memberi taat setia dan cintakan negara dan salah seorang yang diberi amanah untuk menjaga agama Islam yang mulia, saya dengan rasa bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara ingin memberikan pandangan dari sudut agama dan nasihat sebagai seorang warganegara yang sayangkan pemimpin yang ada mengenai hasrat kerajaan untuk mengeluarkan lesen judi sempena berlangsungnya perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 bagi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram.

Pada hemat saya, hasrat tersebut tidak wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran mana-mana agama, bahkan ia juga bercanggah dengan lunas dan tatacara berfikir yang betul serta tidak menepati etika dan budaya masyarakat ketimuran. Malah saya berpendapat dengan pemberian lesen judi berkenaan akan mengundang pelbagai impak negatif kepada negara, masyarakat dan individu. Dengan itu, saya menyarankan agar pihak kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut bersandarkan kepada beberapa pertimbangan berikut;

1. Menjejas nama baik Malaysia sebagai sebuah negara yang memartabatkan Islam sebagai agama rasmi di persada dunia. Sedangkan amalan judi merupakan salah satu tegahan Allah SWT yang sangat jelas. Firman-Nya; Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib merupakan amalan yang kotor (keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Al-Maidah: 90)

Ulama sepakat berdasarkan ayat di atas judi itu adalah haram, malah sesiapa yang menghalalkannya selepas itu, maka gelincirlah imannya.

Dengan pemberian lesen tersebut secara tidak langsung telah melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara yang membenarkan amalan judi. Hal ini amat bercanggah dengan roh dan inspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam dari sudut perundangan, budaya dan sosio masyarakat.

2. Menghormati sensitiviti umat Islam yang berpendapat judi sebagai aktiviti haram dari sudut syarak dan majoriti rakyat Malaysia yang memandang judi sebagai aktiviti jijik dan yang tidak bermoral. Manusia yang berfikir secara waras dan bijaksana akan menolak amalan judi biar sekali pun mereka bukan terdiri daripada orang yang kuat berpegang kepada agama atau sebaliknya. Malah mereka yang tidak beragama sekalipun tetap berpendapat judi akan merosakkan individu dan masyarakat. Berjudi merupakan pembaziran tanpa sebab, membuang masa dan melalaikan, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, melatih sifat malas berusaha dan membiasakan tabiat suka berhutang, menimbulkan kepincangan ekonomi individu secara tiba-tiba dan akhirnya memporak-perandakan keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Sepatutnya pihak kerajaan perlulah lebih prihatin dalam memberi pertimbangan mengenai perkara-perkara sebegini demi menjaga keharmonian dan kemaslahatan rakyat jelata. Umum berpendapat kerajaan dengan isu itu telah menguburkan kepercayaan masyarakat Islam terhadap dirinya sebagai pihak berkuasa yang dipercayai dan diberi mandat untuk mempertahankan agama dan maruah umat Islam.

3. Tidak dapat dinafikan hasrat kerajaan mengawal aktiviti judi tidak berlesen adalah satu langkah yang amat positif namun penyelesaiannya bukanlah dengan cara memberi lesen. Justifikasi kerajaan bahawa pemberian judi berlesen akan memudahkan pengawalan adalah tidak tepat sama sekali. Pemberian judi berlesen tidak akan sama sekali membawa kepada pengawalan aktiviti judi tidak berlesen. Tidak ada sebarang jaminan bahawa para penjudi akan hanya berjudi melalui judi berlesen. Begitu juga justifikasi pihak kerajaan bahawa pemberian lesen judi akan meningkatkan kutipan hasil yang akan dapat dimanfaat untuk faedah rakyat dan kepentingan negara adalah terlalu lemah.

Kepincangan

Kenapa kita hanya melihat kepada faedah jangka pendek dan melupakan segala bentuk masalah yang lebih besar dan segala macam kepincangan yang akan dihasilkan daripada pemberian judi berlesen ini. Firman Allah:

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya, (al-Baqarah: 219)

Secara umumnya, untuk menimbang tara kemaslahatan dan kemudaratan, Imam al-Syatibi mengemukakan beberapa asas utama yang boleh dijadikan rujukan dan panduan seperti;

Maksudnya: “Menolak kerosakan hendaklah didahulukan daripada mengambil kemanfaatan”

Maksudnya: “Tindak tanduk pemerintah hendaklah bersandarkan maslahat”.

Persoalannya, apakah dengan memberikan lesen judi itu akan memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum untuk rakyat (maslahat)? Pada hal, pemerintah juga hendaklah bertanggungjawab mengawal, membasmi, mencegah dan menghindari kemungkaran, kefasadan yang berlaku. Saya berpendapat, cadangan tersebut tidak mendatangkan sebarang kebaikan atau kemaslahatan kepada kepentingan umum rakyat kecuali hanyalah kepada individu-individu tertentu yang bergelar taukeh judi semata-mata. Malah cadangan tersebut turut membelakangkan kepentingan umum yang kerap disarankan oleh pihak kerajaan supaya rakyat tekun bekerja, giat bertani dan berniaga, membina kecerdasan intelektual dan matang, mempunyai daya saing yang tinggi di samping keluhuran peribadi dan pegangan yang utuh kepada nilai dan agama.

Akhirnya saya ingin mengingatkan kita semua dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Araf: 96: Bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Nyata dalam ayat ini, bahawa hanya keimanan dan ketaatan pemerintah dan rakyat sebuah negara kepada Allah SWT saja akan membuka limpahan rezeki atau taraf ekonomi sebuah negara. Namun ketika mana maksiat berleluasa, maka Allah SWT menjanjikan azab dan kesusahan yang menimpa negara tersebut. Demi Allah! Saya risau dan takut dengan kepelbagaian masalah dan maksiat di negara kita ini yang masih tidak mampu untuk kita tangani, akan datang pula bala dari Allah tanpa kita sangka dan duga.

Justeru itu, saya menasihatkan dan merayu agar pihak kerajaan membatalkan kelulusan untuk mengeluarkan lesen judi tersebut sempena perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010 demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan rakyat jelata dan memartabatkan negara, bangsa dan agama. Saya yakin negara tidak akan rugi, dengan membatalkan lesen judi tersebut, saya betul-betul yakin, kerana itu adalah janji Allah SWT.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 4 Jun 2010

Pelaku vandalisme 'sakit mental', dorong jenayah kecil

OLEH: DR AMINUDIN MANSOR

Perlakuan dan perbuatan vandalisme atau laku musnah kebanyakannya dilakukan di tempat dan terhadap harta benda awam. Pelaku sengaja ingin menunjukkan bukti bahawa perbuatan mereka hebat dan hasilnya dapat dilihat orang ramai.

Tempat-tempat yang selalu menjadi mangsa laku musnah adalah perhentian bas, tandas awam, taman permainan, dinding rumah kedai, paip air, papan tanda dan pondok telefon awam. Perbuatan ini dikatakan berpunca daripada masalah rohani dan emosi pelaku yang tidak seimbang dan stabil. Di sekolah terdapat perbuatan memecahkan cermin tingkap, menconteng dinding dan merosakkan tandas.

Perbuatan vandalisme ini yang berleluasa dalam masyarakat harus dikikis. Anak-anak yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada kedua ibu bapa dikatakan cenderung melakukan kegiatan vandalisme. Keadaan ini sebagai pelarian terhadap keadaan yang dialami dalam rumah tangga kucar-kacir.

Bayangkan jika anda masuk ke tandas awam yang tidak dijaga akan dapati pelbagai tulisan, maki hamun, carutan dan lukisan porno. Begitu juga di taman permainan awam, segala alat permainan yang dikhaskan untuk kanak-kanak semuanya rosak. Rantai besi yang mengikat buaian juga boleh putus dan yang lebih hebat tempat permainan gelongsor kanak-kanak habis terbakar. Begitu juga jika ingin menggunakan telefon awam, gagang telefonnya sudah tiada.

Kajian ahli psikologi pembangunan manusia, Brewer dan Campbell, mendapati budaya vandalisme mempunyai kecenderungan iaitu apa yang berlaku di rumah (tingkah laku yang tidak baik) akan ditunjukkan di luar rumah. Cara dan gaya hidup di rumah yang tidak menghargai harta benda akan terikut-ikut dibawa keluar.

Selain itu, perasaan dendam yang tidak dapat diluahkan akan menyebabkan seseorang itu melakukan perbuatan vandalisme di luar untuk melepaskan geram dan kemarahan. Gaya hidup bebas tidak menghiraukan kepentingan orang lain menyebabkan mereka melakukan perbuatan ini.

Pendidikan disiplin dan memahami peraturan di rumah tidak berkesan. Sikap dan perlakuan tidak baik yang dilakukan kanak-kanak sejak kecil tidak dihalang dan tidak boleh melihat sesuatu perkara yang baik. Pengaruh rakan sebaya yang sering melakukan perbuatan vandalisme menyebabkan pelaku terlibat.

Ada pendapat mengatakan, pelaku vandalisme ini ada masalah mental dan keresahan dalam jiwanya. Perbuatan mereka sesetengahnya dilakukan dalam separuh sedar dan bertujuan melepaskan kemarahan. Ada juga yang melepaskan kata-kata lucah, makian dan carutan. Perbuatan ini mempunyai kaitan dengan jenayah kecil.

Menurut Marcus Tullius Cicero, keghairahan paling besar bagi mereka melakukan jenayah adalah harapan bahawa mereka akan terlepas daripada hukuman. Semua jenayah, sama ada kecil atau besar adalah penyakit dan harus dirawat seperti penyakit. Konflik dalam diri darjah tekanan dan trauma yang tinggi serta kurang kasih sayang menyebabkan seseorang itu melakukan jenayah.

Oleh itu, penawar dan penyucian jiwa sangat penting kepada pelaku vandalisme. Mereka ini wajar diberikan hukuman membaiki kerosakan yang telah dilakukan. Kesedaran dan keinsafan terhadap perbuatan sangat penting bagi menimbulkan kedamaian jiwa dan membuang sifat marah dan dendam.

Kebaikan dan ketaatan serta kesihatan jiwa akan mendekatkan diri kepada ketenangan dan kedamaian. Kesihatan jiwa akan menentukan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Perosak harta benda awam harus dihukum kerana menyusahkan orang lain yang memerlukan penggunaannya. Orang yang beradab tidak akan melakukan perbuatan biadab!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Hari Alam Sekitar pacu kesedaran insan

Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin

ALLAH SWT telah berfirman di dalam surah al-Anfaal, ayat 53 yang bermaksud: “…sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum hingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Ayat itu jelas menggambarkan kepada kita seruan Allah agar setiap manusia di atas muka bumi ini sentiasa berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik di dalam semua aspek kehidupan. Salah satu aspek penting yang perlu dititikberatkan adalah berhubung isu pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta segala komponen yang ada di dalamnya. Dalam konteks ini, kita disaran agar mengambil segala manfaat daripada alam dengan tidak mengabaikan aspek-aspek pelestariannya.

Dewasa ini, kita dapati manusia dengan sewenang-wenangnya telah melanggar hukum Allah. Buktinya telah banyak kepincangan yang berlaku ke atas alam sekitar kita lantaran kerakusan sikap manusia yang lebih mengutamakan kepentingan duniawi semata-mata berbanding ukhrawi. Saban hari, kita masih lagi dipaparkan dengan pelbagai berita berhubung permasalahan alam sekitar seperti pencemaran, pembalakan haram, eksploitasi sumber alam secara berlebihan sehingga membawa kepada ancaman kepupusan dan sebagainya.

Keterlanjuran sikap manusia mengingkari alam dikhuatiri akan menimbulkan kemurkaan Allah. Antara tanda-tanda kemurkaan Allah yang dapat kita lihat ialah berlakunya pelbagai bencana alam yang kerap serta sukar diramal seperti tanah runtuh, banjir kilat dan pemanasan global.

Hal ini telah diingatkan di dalam firman-Nya (surah al-Rum, ayat 41) yang bermaksud: Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Namun malangnya, amaran-amaran Allah terhadap larangan mencabuli hak alam hanya ‘persis angin lalu’ sahaja. Ia sedikit pun tidak meruntun hati segelintir golongan manusia yang telah sebati dengan sikap angkuh dan sombong yang terus-terusan bertindak rakus menodai alam sehinggakan ia kian diselubungi kelemasan.

Sikap seumpama ini perlu segera diusir dari jiwa setiap individu. Ini kerana jika ia berlarutan, kelak akan mengundang padah yang lebih besar lagi bukan sahaja kepada alam sekitar, bahkan juga kepada seluruh hidupan yang menghuninya. Justeru, langkah proaktif untuk membendungnya perlu diambil agar roh cintakan alam sekitar dapat disemai di dalam jiwa setiap anggota masyarakat.

Lantaran itu, pelbagai program kesedaran alam sekitar telah dianjurkan bagi memastikan matlamat tersebut dapat direalisasikan. Antara program yang cukup besar ialah Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada tarikh 5 Jun setiap tahun di seluruh dunia. Ia bertujuan menyuntik semangat kesedaran di kalangan masyarakat dunia agar lebih menghargai dan mensyukuri nikmat alam sekitar.

Menyoroti sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, ia merupakan salah satu daripada agenda utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan meningkatkan kesedaran alam sekitar serta meraih perhatian dan tindakan politik di seluruh dunia berhubung isu dan permasalahan semasa alam sekitar.

Sambutan tersebut merupakan inisiatif bagi menggalakkan ekonomi karbon yang lebih rendah serta gaya hidup hijau seperti penggunaan tenaga yang lebih efisien, penggunaan sumber tenaga alternatif, pemuliharaan hutan dan penggunaan mesra alam dalam aktiviti seharian.

Saban tahun ia disambut dengan pelbagai tema yang berbeza dengan tujuan dapat memberi kesedaran yang lebih menyeluruh di dalam semua isu berkaitan alam sekitar. Namun, persoalannya sejauh manakah program-program yang dianjurkan sempena sambutan tersebut mampu mencapai matlamat penganjuran? Adakah ia benar-benar berkesan dan dapat mendidik jiwa masyarakat atau sebaliknya?

Jika diimbas kembali, sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia setiap tahun dengan pelbagai aktiviti bagi mendekatkan masyarakat dengan alam sudah mampu menitipkan kesedaran dan membuka mata masyarakat untuk lebih prihatin terhadap alam. Cuma, adakah tahap kesedaran tersebut mampu bertahan lama atau akan menjadi ‘suam-suam kuku’ setelah beberapa bulan sambutan tersebut berlalu.

Ini kerana, jika hanya aspek teknikal sahaja yang dititikberatkan di dalam setiap program alam sekitar yang dianjurkan, dikhuatiri kesedaran yang hadir tidak mampu ‘melekat’ selamanya di dalam jiwa masyarakat. Justeru, adalah lebih molek sekiranya sambutan tersebut disuntik dengan pendekatan agama dan tarbiah rohani bagi memastikan ia akan betul-betul tersemat kukuh di dalam jiwa dan sanubari setiap individu.

Oleh itu, sambutan-sambutan hari alam sekitar seharusnya menerapkan elemen ‘mengajak dan mendidik’ manusia untuk melihat alam dengan pandangan ‘mata hati’. Ini kerana, hanya dengan mendidik manusia melihat alam dengan pandangan mata hati sahaja dapat mematikan sikap rakus manusia terhadap alam yang selama ini hanya berkiblatkan ‘pandangan nafsu’ semata-mata.

Sedangkan, terdapat banyak manfaat yang bakal kita peroleh apabila kita melihat alam dengan pandangan mata hati. Antaranya kita akan terasa kewujudan, kehebatan dan keagungan Allah, di samping dapat mempertingkatkan keyakinan kita kepada al-Quran dan hari akhirat.

Apabila bibit-bibit kesedaran yang ikhlas lahir daripada kalbu yang berpaksikan pandangan mata hati, maka kita akan lebih kenal dan dekat dengan Maha Pencipta.

Seterusnya, apabila kita dekat dengan Pencipta, ia sekali gus dapat mengusir segala sikap pesimis kita terhadap alam serta dapat mengelakkan diri daripada melakukan penderhakaan terhadap alam yang telah banyak memberi manfaat kepada kita. Bahkan, ganjaran yang lebih hebat yang bakal kita peroleh apabila hati kita dekat dengan Allah serta amanah dalam melunaskan tanggungjawab terhadap alam ialah ia akan menjadikan kita seorang yang lebih berkeperibadian luhur dalam semua aspek kehidupan.

Oleh itu, sewajarnya sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang dianjurkan di negara kita melakukan transformasi dengan menerapkan unsur pendekatan agama di dalam setiap aktiviti yang dianjurkan sepanjang sambutan tersebut.

Mudah-mudahan dengan penerapan nilai-nilai agama di dalam setiap program sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dapat menjadi pemacu kesedaran kepada semua anggota masyarakat untuk berusaha merubah diri agar lebih prihatin dan menyayangi alam sekitar.

Malah, ia seharusnya menjadi wadah kepada masyarakat untuk mengumpul segala maklumat dan mengambil manfaat daripada setiap program yang dianjurkan sempena sambutan tersebut.

Penglibatan semua pihak sempena sambutan ini adalah penting bagi memastikan matlamat penganjuran tercapai. Sudah tiba masanya, setiap anggota masyarakat bermuhasabah diri agar lebih bersikap adil dan telus terhadap alam sekitar dengan berpaksikan sikap jujur, amanah, bertanggungjawab, prihatin serta menyingkirkan sifat tamak haloba dalam meneroka khazanah alam. Jika sifat-sifat sedemikian mampu diterapkan dalam jiwa setiap insan, pastinya tidak akan goyah iman manusia walau dilanda badai sekalipun.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my