Jumaat, 24 September 2010

Jalan raya sungai maut pengguna motosikal

OLEH : ABDUL MUNIT KASMIN

Pada hari pertama Aidilfitri baru-baru ini, Operasi Sikap ke-22 mencatatkan 21 kemalangan maut. Angka ini meningkatkan jumlah kepada 139 sejak operasi itu dijalankan. Dari 21 kematian, 13 atau lebih 60 peratus terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal. Jumlah ini tinggi berdasarkan kempen besar-besaran kerajaan tahun ini.

Dari segi lokasi kemalangan pula, statistik hari raya pertama mencatatkan 1,001 kes berlaku di pelbagai lokasi seluruh negara. Sebanyak 408 kes atau 41 peratus berlaku di Jalan Persekutuan, 255 atau 25 peratus di Jalan Bandaran, 184 atau 18 peratus di Jalan Negeri dan 99 atau 10 peratus di Jalan Raya Bertol. Jalan Bandaran dan Persekutuan merupakan lubuk kemalangan jalan raya negara.

Bagi penunggang motosikal, permukaan jalan raya tidak sempurna dan sikap tidak sopan penunggang menjadi faktor berlaku kemalangan. Bagaimanapun faktor terpenting ialah tidak berlakunya pendemokrasian permukaan jalan raya, iaitu tiada lorong khas motosikal, di sepanjang 16,000 km jalan raya Persekutuan dan 80,000 km jalan raya negeri seluruh negara. Walaupun penunggang bersopan, tetapi kalau berlaku sedikit pergeselan dengan kenderaan lain, yang kesalahan berpunca dari kenderaan tersebut dan kemalangan berlaku, penunggang dan pemboncengnya menghadapi musibah tinggi. Jadi, suatu lorong khas untuk motosikal perlu diwujudkan bagi mengelak pergeseran yang membawa kepada kemalangan.

Permukaan jalan raya di Malaysia kini seolah-olah dikhaskan untuk penggunaan kenderaan empat roda, bas dan lori sahaja dan terlalu sedikit ruang boleh digunakan penunggang motosikal, basikal atau penjalan kaki. Ini memaksa mereka berkongsi lorong dengan kereta, bas dan lori yang akhirnya jika kemalangan berlaku, mereka yang menerima padah teruk. Jadi perancangan pembinaan permukaan jalan raya harus lebih demokratik dengan menyediakan lorong khas untuk rakyat yang kerdil seperti penunggang motosikal, basikal dan penjalan kaki, di samping lorong untuk kenderaan kereta, bas dan lori di sepanjang 16,000 km Jalan Persekutuan dan 80,000 km Jalan Negeri. Menteri Kerjaraya patut dipuji kerana menekankan pembinaan lorong motosikal di jalan raya baru, tetapi dia terlupa kemalangan maut tidak memilih jalan raya baru atau lama.

Konsep pendemokrasian jalan raya sukar dibina sekali gus memandangkan keterbatasan peruntukan. Dalam hal ini, keutamaan lokasi atau kawasan perlu ditentukan. Keutamaan pembinaan adalah bagi kawasan ramai penunggang seperti perbandaran, perindustrian, pusat pengajian tinggi, pertanian (jelapang padi, kebun getah dan sawit) yang motosikal menjadi mod pengangkutan utamanya. Lorong pejalan kaki hanya sesuai di kawasan perumahan dan perbandaran.

Memang kos bina lorong motosikal mengikut model rujukan JKR, iaitu Jalan Persekutuan 2 Kelang-Kuala Lumpur mahal, oleh itu suatu model baru patut diperkenalkan agar kosnya bukan sahaja rendah tetapi mempunyai ciri-ciri keselamatan meyakinkan pengguna. Kos bina tentu tinggi iaitu sehingga RM5 juta satu kilometer. Ia disebabkan tindakan asing lorong motosikal dengan lorong kenderaan kereta, bas dan lori dengan kawasan hijau. Sungguh pun kaedah bina lorong motosikal ini dapat mengurangkan kemalangan penunggang, tetapi adakalanya mereka bimbang menggunakan lorong ini, terutama pada sebelah malam sebab kaedah pembinaannya menarik minat penjenayah.

Suatu model alternatif bina lorong motosikal ialah di kawasan rezab jalan raya. Melalui model ini kos bina dalam lingkungan RM200,000 sekilometer. Model ini lebih praktikal, kosnya agak rendah dan penunggang boleh guna sepanjang masa sebab jenayah sukar terjadi kerana pemisahan di antara lorong motosikal dan kenderaan empat roda adalah dengan suatu garisan panjang yang menjalur di sepanjang jalan raya. Model ini telah lama digunakan di Thailand.

Sebenarnya model alternatif ini telah dibina di sebahagian Jalan Persekutuan dari Skudai ke Pontian Kecil Johor dan sebahagian Jalan Persekutuan 5 dari Hutan Melintang ke Teluk Intan. Sekiranya model alternatif ini dipilih, kos diperlukan bina lorong motosikal di 16,000 km Jalan Persekutuan ialah kira-ialah RM320 juta. Kos bina ini adalah munasabah dibandingkan usaha untuk menyelamatkan kira-kira 60 peratus kemalangan maut penunggang dan pembonceng motosikal. Oleh sebab kosnya agak besar projek ini boleh disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Namun pembinaan lorong tidak akan berkesan atasi kemalangan maut penunggang jika usaha mendidik tidak dilakukan secara berterusan. Ini boleh dibuat melalui penguatkuasaan undang-undang jalan raya berterusan, tegas dan berkesan. Penguat kuasa jalan raya seperti Polis dan Pegawai JPJ sewajarnya tidak berkompromi dengan setiap kesalahan penunggang dan tidak dijalankan pada musim perayaan tertentu sahaja.

Sebenarnya pendidikan unggul ialah dengan mendidik mereka jadi penunggang yang sayang kepada diri dan peduli kepada pemboncengnya. Namun pendidikan berterusan itu akan lebih berkesan sekiranya projek pendemokrasian jalan raya dapat dilaksanakan secepat mungkin. Sehingga usaha ini berjaya dilaksanakan, jalan raya tetap akan menjadi sungai maut kepada penunggang dan pembonceng motosikal.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Isnin, 20 September 2010

PENJAJAHAN BUDAYA CARA BARU

KEMERDEKAAN bukanlah tiket untuk kita bebas daripada penjajahan. Malah tamatnya Perang Dunia Kedua juga bukan bererti berakhir penjajahan kuasa politik dan budaya besar dunia ke atas negara-negara bekas jajahan. Kerana itu sekalipun kita telah mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu, bukan bererti kita tidak terus dijajah terutama kebudayaan dalam bentuk yang baru.

Penjajahan bukan lagi datang bersama bala tentera. Sebaliknya penjajahan datang bersama sesuatu yang menggembirakan atau melekakan kita. Akibatnya kita tidak terasa dijajah kerana penjajahan mengula-gulakan kita dengan keseronokan hingga terlupa akar budaya dan jati diri bangsa. Penjajahan budaya datang bersama isi kandungan hiburan yang berteknologi tinggi.

Ketika Melaka menjadi pusat perdagangan penting lebih lima abad lalu, kedatangan pedagang luar bukan sahaja semata-mata kerana urusan perdagangan. Kedatangan pedagang terutama dari Barat ada agenda lain selain mencari rempah yang terdapat di negara sebelah sini. Mereka membawa agenda 3G (gold, glory, gospel) melalui urusan perdagangan yang berpusat di Melaka.

Ini satu proses pembudayaan dan Barat telah menggunakan perdagangan sebagai ejen membudayakan negara yang dikunjungi. Kita tentunya tidak menyalahkan Melaka tetapi perlu belajar dari Melaka. Sejarah akan berulang kalau kita tidak mahu belajar dari sejarah. Biarpun sejarah sentiasa berlaku adil kepada sesiapa tetapi tanpa sensiviti, kita pasti akan mengulangi sejarah yang sama.

Liberalisasi dalam komunikasi terutama kelonggaran mengawasi isi kandungan dalam media elektronik menyumbang kepada penjajahan budaya dalam bentuk baru. Isi kandungan program televisyen berbayar misalnya seolah-olah dunia sudah tidak ada sempadan apabila nilai-nilai liberal menjadi kayu sukatan hiburan yang menjurus kepada hedonisme. Ini belum lagi lesen besar kepada pengguna Internet untuk meneroka dunia dan menggunakannya untuk memusnahkan nilai-nilai yang dipertahankan sebelum ini.

Laman-laman sosial telah dibudayakan sedemikian rupa dan penjajahan budaya telah berjaya apabila penyebaran maklumat palsu, caci maki serta penentangan terhadap pemerintah berlaku secara membuta tuli. Jangan tanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana mereka hanya pantas menangkap bilis tetapi membiarkan jerung bermaharajalela.

Masih ingatkah lagi pada keghairahan menjengah alaf baru sedekad lalu. Pesta sosial yang spektakular ini dibawa oleh sebuah jenama produk dari Amerika Syarikat. Ia sebenarnya tidak mengharapkan keuntungan material daripada jualan tiket. Amerika mengusulkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dengan harapan membolehkan mereka memasuki pasaran negara-negara dunia ketiga.

Tanpa disedari liberalisasi dalam isi kandungan program televisyen dan filem mengajar remaja Malaysia cara hidup Amerika. Selain memasuki pasaran negara ini untuk menjual jenama berkenaan, Amerika mengambil kesempatan menjual ideologi dan budaya di stesen-stesen televisyen kita. Adakah kita sedikit pun tidak ada rasa curiga tentang kemasukan nilai-nilai hiburan yang melampau di ruang tamu rumah kita?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 15 September 2010

Bahasa Melayu bukan penghalang kemajuan

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan tidak menghalang kemajuan, malah penggunaannya sebagai bahasa ilmu lebih 30 tahun lalu membawa banyak kejayaan kepada negara, kata Penyandang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Professor Emeritus Awang Sariyan.

“Tidak mustahil dengan ilmu yang diperolehi daripada sumber bahasa Melayu, Malaysia satu hari nanti akan mampu mengatasi negara lain termasuk Singapura dalam beberapa hal termasuk ekonomi,” katanya menerusi kiriman e-mel hari ini.

Beliau mengulas kritikan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam temu bual di New York Times baru-baru ini, kononnya bahasa Melayu sebagai bahasa sekolah, tidak boleh membantu dalam memperolehi pengetahuan moden.

Ia, kata Lee, dapat dilihat pada Melayu di Singapura ''yang moden serta berpandangan jauh'' kerana berpendidikan Inggeris.

Awang berkata, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain juga tidak pernah diabaikan malah turut dikuasai rakyat Malaysia sebagai nilai tambah kepada penguasaan ilmu mereka.

Mengulas lanjut, Awang berkata, Lee sepatutnya membaca ulasan bekas perdana menteri sesudahnya, Goh Chok Tong, yang pernah melahirkan kekesalannya akan keadaan generasi muda Cina Singapura yang menurutnya “hanya Cina pada biologinya tetapi sudah kehilangan Cina pada bahasa dan budayanya”.

Mengenai dakwaan Lee tentang "hegemoni Melayu rakyat Malaysia", Awang dengan ringkas berkata, “memaku dulang paku yang serpih".

Awang berkata, Lee tidak akan pernah senang dengan Malaysia kerana sejarah hitam hubungan peribadinya dengan pemimpin Malaysia sebelum ini menyebabkan beliau gemar mengeluarkan kenyataan kontroversi.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Pakar: Bahasa Melayu di tv, radio makin merosot

Kerajaan hari ini diminta agar memantau penggunaan bahasa Melayu oleh media elektronik yang disifatkan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu (PPBMM) semakin merosot kualitinya.

Presidennya Prof Madya Dr Hashim Othman berkata pelbagai kesalahan bahasa yang berterusan dikesan dalam pelbagai program televisyen dan radio khususnya stesen swasta sejak akhir-akhir ini.

"Tanpa tindakan pembetulan oleh pihak bertanggungjawab, pasti ia akan merendahkan mutu penggunaan bahasa Melayu itu sendiri kerana media eletronik mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan, pemantapan dan penghayatan bahasa Melayu," katanya kepada Bernama di Besut.

Beliau memberi contoh kesalahan paling kerap ialah penggunaan kata ganti nama pembesar dan pemimpin negara yang disebut tanpa rasa sopan dan hormat.

"Nama pembesar berkenaan kerap kali disebut dengan panggilan hormat yang dan betul pada sebutan pertama, tetapi panggilan berikutnya hanya menggunakan nama peribadi beliau sahaja.

"Dalam
masyarakat Melayu, ini bukanlah amalan yang wajar atau berbudaya kerana sebagai tanda hormat nama peribadi mereka tidak patut disebut, tetapi digantikan dengan kata ganti nama yang sesuai dengan taraf atau kedudukan mereka dalam status sosial masyarakat," katanya.

Hashim yang juga pensyarah kanan Pusat Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia berkata amalan sekarang itu adalah pengaruh budaya asing yang harus dihentikan.

Beliau juga menegur penggunaan kata ganti 'kita orang', 'korang', dan 'diorang' yang merujuk kepada ganti nama 'kami', 'kalian' dan 'mereka', yang kini meluas diguna dalam drama terbitan stesen televisyen berbayar.

Amalan itu katanya, adalah satu kesalahan yang mencemarkan dan merendahkan bahasa Melayu, serta berlaku akibat pengaruh bahasa asing.

Hashim berkata kesalahan bahasa itu jika tidak dibendung akan membawa impak buruk terhadap perkembangan bahasa Melayu kerana pengaruh media elektronik terhadap penonton dan pendengar khususnya kanak-kanak adalah sangat besar.

Beliau bagaimanapun memuji amalan stesen televisyen dan radio kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu tinggi dan berupaya menjadi contoh kepada pelajar dan masyarakat.

Sumber : http : www.bernama.com.my/

Ahad, 5 September 2010

Sikap membazir di kalangan umat Islam cemari roh Ramadan

KETIKA banyak negara kekurangan makanan akibat dilanda pelbagai musibah, rakyat Malaysia melakukan pembaziran dengan membuang sisa makanan mencecah sehingga 9,000 tan sehari. Ini termasuk makanan yang dibeli untuk tujuan berbuka puasa tidak habis dimakan dan terpaksa dibuang. Keadaan ini bertentangan dengan Islam yang mementingkan soal berjimat cermat yang menjadi asas kesejahteraan kehidupan, lebih-lebih lagi ketika dalam Ramadan dan bakal menerima kedatangan Syawal tidak lama lagi. Islam amat menggalakkan umatnya berjimat cermat sama ada ketika membeli pakaian, penggunaan elektrik serta air dan juga dalam penyediaan juadah berbuka serta hidangan untuk Aidilfitri. Berjimat cermat atau bersederhana dalam segala hal amat dituntut agama kerana Islam menegah umatnya berbelanja berlebih-lebihan. Kita akui perbelanjaan untuk menyediakan juadah berbuka dan menyambut hari raya memang diperlukan. Tetapi, kita juga perlu menilai pengertian puasa iaitu menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa, selain mengelak godaan hawa nafsu dalam berbelanja sehingga sampai ke tahap membazir dan boros kerana ia adalah perbuatan syaitan. Ramai yang asyik dengan persiapan menyambut Syawal dengan membeli perabot dan langsir baru, peralatan elektrik dan sebagainya walaupun ia tidak perlu. Selain menambah beban hutang, unsur menunjuk-nunjuk ini juga jelas bertentangan dengan roh Ramadan.

Agak memeranjatkan apabila jumlah sisa makanan berbuka dan juadah Aidilfitri ini dianggarkan 45 peratus daripada 20,000 tan keseluruhan sisa pepejal yang dikutip di seluruh negara dalam sehari. Laporan disiarkan Berita Minggu semalam juga menunjukkan jumlah sisa pepejal atau sampah yang dikutip pada 2001 adalah sebanyak 17,000 tan sehari dan meningkat kepada 19,000 tan pada 2005. Terkini, jumlah kutipan harian dianggarkan lebih 20,000 tan dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara menjangka ia bertambah kepada 30,000 tan sehari menjelang 2020. Peningkatan kutipan harian ini bukan saja meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk melupuskannya, ia turut mencemar persekitaran dan menyumbang kepada peningkatan kes pelbagai jenis penyakit, terutama di bandar yang dikenal pasti secara ketara penduduknya suka membazir dan membuang sisa makanan berbanding mereka di pedalaman atau kampung. Tabiat suka membazir ini perlu kita perbaiki. Umat Islam perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang mempunyai peranan penting dalam membentuk peribadi dan akhlak agar dapat mencapai tahap ketakwaan kepada Allah. Bagi memenuhi hasrat itu, kita hendaklah benar-benar memahami bahawa puasa itu sebagai ibadat. Kita perlu bersikap sederhana dan mempertingkatkan amal ibadat sepanjang Ramadan. Antara ciri-ciri insan yang bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan dan mencegah perkara yang boleh membatalkan puasa. Ibadat ini berjaya melahirkan manusia yang berdisiplin, berdedikasi, berminda bersih dan berdaya tahan, sekali gus dapat menghindari amalan menjadikan Ramadan itu bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan. Perlu diingat, makan dan membeli secara berlebih-lebihan hanya membawa kepada pembaziran dan mengurangkan pahala amalan yang dilakukan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 4 September 2010

Langkah Menangani Kemalangan Menjelang Lebaran

Oleh AHMAD ZAKI MOHD. HASSAN

Seperti saban tahun yang lalu, hari Lebaran pasti menjelang tiba pada setiap 1 Syawal. Kampung-kampung akan meriah menerima kunjungan anak perantauan yang pulang ke desa. Pesta balik kampung berulang kembali.

Rata-rata sambutan 1 Syawal di Malaysia sentiasa meriah. Hakikatnya, tidak semua suasana ini dirasai khususnya kepada mereka yang keluarganya terlibat dengan kecelakaan jalan raya, lebih-lebih lagi yang mengundang maut.

Telah menjadi trend apabila bermulanya musim perayaan dan diikuti dengan aktiviti pulang ke kampung, maka perkara ini akan berulang. Banyak bicara daripada pelbagai peringkat masyarakat memberi pandangan dan pendapat, bermula daripada menteri sendiri sehinggalah perbincangan di kedai-kedai kopi. Namun yang nyata apabila menghampiri Syawal, akan terpampang di dada-dada akhbar berita-berita kemalangan yang menyayat hati.

Berdasarkan anggaran yang dibuat oleh Environmental and Prognosis Institute, Heidelberg Jerman, dianggarkan sebanyak 50 juta penduduk dunia akan mati dan 1.1 bilion akan mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya iaitu antara tahun 1995 hingga 2030 sekiranya masalah ini tidak ditangani segera.

Sebanyak 138,889 purata kematian berpunca daripada kemalangan jalan raya setiap tahun akan dicatatkan di seluruh dunia. Ini termasuklah negara kita sendiri yang menyumbang sebanyak 6,232 kematian setiap tahun secara purata bermula dari tahun 2000 hingga 2009 (maklumat dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan mengakibatkan negara kita kerugian kira-kira RM9 bilion setiap tahun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa, punca kematian disebabkan kemalangan jalan raya di negara kita berada pada kedudukan kesembilan dalam senarai 100 penyebab kematian. Ia akan meningkat ke kedudukan keenam menjelang tahun 2020 sekiranya masalah ini tidak ditangani secara serius.

Kajian yang dijalankan oleh Transport and Road Research Laboratory (TRRL) menunjukkan bahawa peratusan punca kemalangan disebabkan pengguna jalan raya adalah sebanyak 94.75 peratus (%). Di Malaysia, kajian menunjukkan 95% kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian pemandu dan statistik menunjukkan bahawa lebih daripada 50% mangsa kemalangan terdiri daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun.

Mereka ini merupakan golongan peringkat usia yang paling produktif dan berpotensi dari segi tenaga kerja. Mereka mempunyai tempoh masa antara 20 hingga 35 tahun lagi untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Prihatin dengan situasi ini, kerajaan telah menubuhkan JKJR dengan misi menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai tahap keselamatan jalan raya setaraf dengan negara maju menjelang 2010 iaitu 10 kematian setiap 100,000 penduduk, dua kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan 10 kematian setiap satu bilion kilometer perjalanan kenderaan.

Jabatan ini diwujudkan dengan objektif sebagai 'One Stop Agency' bagi memantau dan menyelaras program keselamatan jalan raya dari aspek Pendidikan, Penguatkuasaan, Kejuruteraan dan Persekitaran. Penubuhan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 3 Januari 2007 juga memberi sumbangan dari segi kajian untuk penjanaan dan penyebaran maklumat tentang keselamatan jalan raya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula telah melaksanakan pelbagai modus operandi dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan. Pelbagai Ops telah dibuat termasuklah Ops Pacak, Ops Sikap dan Ops Statik.

Berdasarkan statistik PDRM, purata 18 kes kematian sehari dicatatkan pada hari-hari biasa, berbanding purata kematian semasa Ops Sikap 1 yang mula dilancarkan pada 9 Disember 2001 sehingga Ops Sikap ke-21 yang berakhir pada 20 Februari 2010 kepada 13.4 kematian sehari.

Ini membuktikan bahawa kempen keselamatan jalan raya pada musim perayaan dan usaha kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani masalah ini telah membawa impak yang positif. Ini kerana purata kematian sehari semasa musim perayaan dapat diturunkan walaupun kepadatan trafik meningkat dua kali ganda semasa musim perayaan.

Pelbagai kaedah turut diimplimentasikan, antaranya penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster dan kempen kesedaran termasuk penguatkuasaan dijalankan bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan raya.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pernah menyarankan agar kaedah pemberian mata 'demerit' kepada pesalah jalan raya dihidupkan semula bagi memastikan pemandu kenderaan yang banyak menerima saman disenaraihitamkan.

Melalui kaedah yang diperkenalkan di bawah Sistem Keselamatan Jalan Raya (Kejara) pada 1997 itu, rekod pesalah diwujudkan melalui notis saman berkaitan dengan kesalahan terjadual dan mata 'demerit' akan dikira. Penggunaan kaedah berkenaan dilihat antara kaedah berkesan dalam menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya. Menurut Nooryah, jumlah kematian akibat kemalangan di Perancis hanya 50 orang setahun dan hal ini amat memeranjatkan, serta terbukti sistem demerit berkesan dalam mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Selain usaha kerajaan mengekang kemalangan jalan raya, langkah yang paling tepat untuk dilaksanakan adalah melalui pendidikan. Pujangga pernah berkata 'Kenyataan hari ini adalah impian semalam, impian hari ini adalah kenyataan hari esok'. Jika kita berhasrat melahirkan pemandu-pemandu yang berhemah dan berakhlak pada masa akan datang, inilah masanya untuk bertindak bermula dari akar.

Pendidikan jalan raya perlu diterap seawal usia. Memang diakui kaedah ini akan mengambil masa, namun semua pihak harus bersabar dan berlapang dada kerana hasilnya akan kita tuai pada masa akan datang. Menyahut cabaran ini, Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) yang telah diperkenalkan di 7,601 sekolah rendah terpilih dianggap tepat dan diharap ia akan dapat membantu memberi kesedaran dan pandu arah untuk melahirkan pemandu yang berhemah dan berakhlak di peringkat yang lebih awal lagi.

Tidak terhenti di situ, program keselamatan jalan raya juga dilaksana melalui komuniti yang membabitkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, pendidik, badan profesional, sukarelawan dan belia. Ini menunjukkan keprihatinan pelbagai pihak bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan dan seluruh warganegara.

Diharapkan agar slogan 'Anda Mampu Mengubahnya' menjadi pemangkin dan peringatan kepada semua pengguna jalan raya menjelang Aidilfitri ini.

Penulis ialah Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Kemahiran, Kolej Komuniti Gerik, Perak.

Sumber : http : //www. utusan .com.my/

Buang bayi : Busung luka-luka lama


- ABU ABDILLAH RIDUAN KHAIRI

Isu membuang dan membunuh bayi semakin menjadi-jadi. Yang dilaporkan media sahaja sudah hampir setiap hari. Laporan media adalah ibarat ‘ice berg’, yang tersembunyi jauh lebih besar dari yang nampak.

Masalah membuang bayi bukan masalah sehari atau seminggu. Membuang bayi adalah busung yang terpendam sekian lama dari luka-luka yang lain. Busung membuang bayi bermula dari luka lahirnya anak zina. Adalah sangat pelik atau ajaib anak yang halal dibuang sedemikian rupa. Anak zina lahir dari ‘luka’ perzinaan. Perzinaan lahir dari pergaulan bebas antara lain jantina.

Kata Allah dalam Kitabnya, “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32)

Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala : “Janganlah kamu mendekati zina”, maknanya lebih dalam daripada perkataan : “Janganlah kamu berzina” yang ertinya : Dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina (Tafsir Al-Qurthubiy). Yakni : Janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan membawa kepada zina apalagi sampai berzina (Tafsir Ruhul Ma’aaniy).


Anak luar nikah dan zina

Kelahiran anak zina bukan lagi satu fenomena yang luar biasa. Menurut rekod Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2000 hingga 2008 lebih dari 250,000 kelahiran tanpa nama bapa dicatatkan. Tiada nama bapa bukanlah akibat bapa yang mati perang atau isteri ditinggalkan suami, sebaliknya hasil hubungan haram.

Seorang pentadbir di sebuah sekolah di kawasan luar bandar menceritakan, pada setiap tahun guru-guru di situ akan mendapat gelaran ‘datuk’ kerana ‘meraikan’ pelajar yang melahirkan anak zina. Bayangkan, sebuah sekolah luar bandar dan perkara ini berlaku saban tahun.

Manakala situasi di beberapa buah pulau peranginan lebih tragik. Anak gadis tempatan sudah boleh memilih untuk meniduri siapa yang mereka ingin. Lelaki-lelaki tempatan dipandang sebelah mata sahaja, dengan kehadiran pelancong-pelancong asing.

Beberapa kes ini menunjukkan bahawa isu besar yang mendalangi kisah buang bayi ini ialah perzinaan dan pergaulan bebas.

Baru-baru ini sebuah institusi pengajian mengenakan peraturan untuk mengawal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Pelajar lelaki tidak dibenarkan berdua-duaan dalam kereta dan larangan pelajar wanita membonceng pelajar lelaki. Tindakan ini wajar dipuji untuk menjauhi jalan-jalan menarik kepada perzinaan. Namun, sayang sekali tindakan ini mendapat reaksi sebaliknya daripada pihak atasan.


Solusi undang-undang!


Lantas kita tertanya-tanya apakah solusi atau tindakan yang boleh diambil untuk mengekang barah ini daripada merebak. Tidak sedikit jumlah wang sudah dibelanjakan kerajaan untuk melaksanakan bermacam-macam program dan kempen. Namun kesannya masih sangat minimum.

Nanti ada yang bertempik, “tukar kerajaan!”. Atas alasan pihak kerajaan kurang komited dengan isu-isu sosial. Benarkah begitu? Benarkan begitu mudah menangani permasalahan umat dengan hanya menukar parti yang memerintah?

Sejarah moden Amerika mencatatkan, kempen besar-besar terhadap bahaya arak telah pun dilakukan pada awal kurun ke-19. Arak diwartakan haram, dan hukuman penjara dikenakan kepada sesiapa yang meminumnya. Hasilnya, penjara penuh sedangkan masalah arak tidak diselesaikan.

Penguatkuasaan undang-undang atau menggubal undang-undang yang tegas bukanlah jalan pintas untuk membaiki situasi ini. Ini bukan metode yang ditunjukkan dalam sejarah tamadun manusia. Juga bukan metode yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad ketika merubah orang Arab yang bukan siapa-siapa menjadi bangsa yang kuat lagi dihormati.


Solusi metode kenabian

Sejarah Arab pasca Islam mencatatkan kerosakan akhlak dan sosial yang sangat teruk. Tidak kalah bandingnya dengan apa berlaku pada kita hari ini. Semuanya terakam dalam kitab-kitab sirah seperti ‘Raheeq al-Makhtum’ karangan Syaikh Sofiurrahman Mubarakfuri (telah diterjemahkan oleh Yadim)

Ketika al-Quran mula diturunkan di Mekah, orang-orang Arab bergelumang dengan macam-macam kerosakan. Di sebalik arak, zina, judi dan jenayah yang lain, Allah memerintahkan Rasulnya untuk ‘sekadar’ membaca. Melalui lisan Jibrail, Nabi Muhammad disuruh membaca. Bahkan 5 ayat pertama hanya menyebutkan tentang membaca, segumpal darah dan pen (qalam).

Prinsip yang pertama dapat diambil dari situasi ini ialah, setiap situasi perlu ditangani dengan pendekatan ilmiah dan kefahaman yang benar. Kata Allah, “Ketahuilah (fa’lam), Tiada Tuhan layak disembah melainkan Allah” (Surah Muhammad: 19). Untuk beriman sahaja, perlu kepada ilmu dan pengetahuan. Sebesar-besar urusan pun tetap dimulai dengan pengetahuan, apatah lagi menangani situasi sosial. Ia tidak akan berjaya selamanya, selagi kempen dan program sekadar berlegar poster yang emosional atau sambil berkonsert sambil beramal (konon).

Nanti akan ada pula yang tertanya-tanya, yang bobrok akhlak dan sosialnya bukankah sebahagiannya golongan terpelajar. Sebelum menghukum, nanti dulu. Jawapannya ada di sini.


Mentauhidkan Allah

Perintah membaca atau berilmu dalam al-Quran tidak berhenti sebatas 5 ayat. Sunnah mencatatkan ayat-ayat al-Quran berikutnya yang turun di Mekkah membawa satu mesej yang sepunya. Semuanya mengajak umat mentauhidkan Allah dan menjauhi syirik. Lantas bagaimana pula dengan arak, zina, buang bayi dan urusan lain. Adakah Tuhan terlupa, atau Jibrail yang salah memilih bingkisan? Tentu sekali tidak, Allah Maha Sempurna tidak pernah lupa dan lalai walau setengah saat pun. Dan Jibrail tidak pernah ingkar walau pada satu perintah Allah pun.

Sejarah mencatatkan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Mekah mengutamakan isu akidah yakni memurnikan keyakinan umat dari sebarang bentuk perbuatan syirik. Mesej Allah jelas, jernihkan semula hubungan Allah dan hambanya, nanti Allah akan bantu membaiki masalah-masalah yang lain.

Proses memurnikan tauhid umat ibarat memasang pasak atau cerucuk dalam mendirikan sebuah bangunan. 13 tahun adalah masa yang diambil oleh Rasul untuk menanamkan cerucuk tauhid di dalam dada-dada sahabat. Sehingga mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa untuk melafazkan iman. Kemuncaknya berlaku apabila mereka ‘diusir’ dari kampung halaman, meninggalkan keluarga dan harta. Semuanya adalah kesan dari akidah yang benar.

Ini terlihat di Madinah. Selepas akidah dan keyakinan umat bulat bergantung kepada Allah, setiap perintah-perintah lain ditaati tanpa bantah. Manakala setiap larangan Allah dijauhi tanpa keluh-kesah.

Ketika ayat mengharamkan arak diturunkan di Madinah, umat Islam dengan rela hati pulang ke rumah terus memecahkan tempayan-tempayan arak di dapur-dapur mereka. Sehinggakan ahli sejarawan mencatatkan tanah-tanah kering Kota Madinah seakan-akan banjir dengan limpahan arak yang ditumpahkan. Inilah kesan tauhid dan akidah yang benar.

Jawapan kepada terlibatnya golongan terpelajar dalam masalah akhlak dan sosial ialah ilmu mereka pelajari tidak bertunjangkan akidah yang benar. Tidak memadai dengan hanya menghafal Rukun Iman yang enam atau menilik sifat 20 yang diragui kesahihannya sahaja.

Semoga Allah mengurniakan generasi kita ilmu bermanfaat seperti doa yang diajarkan Nabi,

“Ya Allah, berikan kami ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima” (Hisnul Muslim, Dr Said bin Ali Wahf Al-Qahthani).

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/