Jumaat, 29 Oktober 2010

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI : Mendekati Makna Jalur Lebar

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Di kaca televiyen, layar perak serta juga poster dan kain rentang di jalan raya, masyarakat sudah pasti tidak akan terlepas pandang iklan yang begitu banyak mengenai 'jalur lebar'.

Dan bagi mereka yang melangkah masuk hipermarket atau pusat membeli-belah, mereka tidak akan sunyi didekati jurujual yang menawarkan pelbagai pakej jalur lebar.

Syarikat-syarikat telekomunikasi kini menawarkan pelbagai pakej jalur lebar yang diiringi banyak 'hadiah' serta insentif untuk menarik perhatian umum mengambil perkhidmatan mereka.

Baru-baru ini penulis didatangi seorang jurujual yang menawarkan satu pakej jalur lebar.

"Apa itu jalur lebar?" tanya penulis, sengaja menguji beliau.

"Internet", jawab beliau ringkas.

Tapi apakah sebenarnya jalur lebar?

Bila ditanya, James Ng seorang pensyarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) memberikan jawapan ini:

"Jalur lebar juga dikenali sebagai jalur luas. Ia satu jaringan komunikasi di mana keluasan jalur boleh digunakan untuk menghantar dan menerima pelbagai isyarat secara serentak".

Dari aspek telekomunikasi, jalur lebar ialah satu julat atau lingkungan untuk frekuensi menyalurkan maklumat.

"Ini bermakna lebih besar julat frekuensi yang ada, lebih banyak maklumat yang boleh dihantar pada satu-satu masa.

"Jalur lebar juga digunakan sebagai istilah umum tentang pelbagai sambungan Internet".

BANDINGKAN DENGAN LEBUH RAYA

Bagi menerangkan jalur lebar dengan lebih mudah, Ng memberikan contoh sebuah lebuh raya.

"Gambarkan tentang satu lebuh raya," kata beliau.

"Lebuh raya yang hanya punya dua lorong, membolehkan hanya satu kenderaan lalu dari satu-satu arah pada satu masa. Tetapi dengan lebuh raya yang punya enam atau lapan lorong, lebih banyak kenderaan boleh lalu dari mana-mana arah pada satu masa. Jalur lebar bolehlah dianggap sama dengan lebuh raya dari aspek telekomunikasi".

Pada umumnya, jalur lebar merujuk pada aspek telekomunikasi di mana terdapat julat atau lingkungan frekuensi besar yang boleh menyalurkan maklumat.

"Bila ada julat frekuensi yang besar, pelbagai maklumat dalam pelbagai bentuk yang menggunakan gelombang berlainan boleh disalurkan secara serentak pada satu-satu masa. Sama seperti pelbagai kenderaan yang banyak dapat melalui lebuh raya dengan serentak".

JENIS HUBUNGAN JALUR LEBAR INTERNET

Menurut Ng, terdapat beberapa jenis jalur lebar dalam pasaran dan ada yang lebih mahal serta ada yang lebih 'cepat'.

Katanya juga hubungan jalur lebar internet merupakan konsep baru yang diguna menggantikan konsep 'dial-up'.

"Internet jalur lebar lebih cepat dan menawarkan beberapa kelebihan. Contohnya kelajuan lebih pantas bagi internet jalur lebar dibandingkan dengan internet yang menggunakan dial-up".

Katanya terdapat 'Asymmetric Digital Subscriber Line (Talian Pelanggan Digital Asimetri) atau ADSL yang merupakan medium jalur lebar popular bagi pengguna internet komersil dan rumah.

"Sesiapa yang punya talian telefon boleh menggunakan perkhidmatan ini. ADSL menggunakan talian telefon biasa".

Juga terdapat 'Symmetric Digital Subscriber Line' (Talian Pelanggan Digital Bersimetri) atau SDSL. Perkhidmatan ini sama dengan perkhidmatan DSL yang ditawarkan syarikat telefon melalui talian telefon yang sedia ada.

Bagaimanapun SDSL mempunyai kelajuan muat naik yang sama tinggi dengan muat turun dan lebih mahal daripada ADSL.

ASDL ialah jalur lebar yang biasa digunakan. Perkhidmatannya ialah melalui talian telefon yang sedia ada dan melalui satu 'modem. Walaupun Internet sedang digunakan, pengguna masih boleh membuat atau menerima panggilan telefon.

KABEL

"Jika anda melanggan televisyen kabel, anda tahu isyarat televisyen disalurkan melalui kabel dari syarikat televisyen ke rumah anda. Sambungan internet jalur lebar anda melalui kabel ini.

"Sambungan jalur lebar kabel sangat popular di Amerika dan di sesetengah pasaran lebih popular daripada ASDL," kata Ng.

Kata beliau sejenis lagi sambungan jalur lebar ialah tanpa wayar.

Ia lebih digunakan di kawasan luar bandar di mana ASDL dan sambungan kabel tidak wujud. Di sini, satu antena diletakkan di luar rumah yang menerima isyarat untuk komputer yang di dalam rumah.

Talian telefon tidak diperlukan untuk sambungan jenis ini.

TANPA WAYAR, SATELIT

"Jika telefon boleh berfungsi tanpa wayar, begitu juga dengan jalur lebar," kata Ng.

Kata beliau pengguna hanya perlu menyambungkan telefon bimbit mereka ke komputer riba dan komputer itu akan bertukar menjadi sebuah modem tanpa wayar.

Data melalui jalur lebar juga boleh diterima melalui satelit. Jika berada di kawasan pedalaman, pengguna perlu menggunakan piring satelit untuk menerima data tetapi perkhidmatan ini tinggi kosnya kerana ia memerlukan piring khas serta juga peralatan satelit.

Ia diperlukan di tempat yang tiada ADSL dan kabel.

Pengguna komputer riba biasanya memilih jalur lebar tanpa wayar kerana terdapat lebih banyak kelebihan jika dibandingkan dengan hubungan jalur lebar yang lain sepert ADSL dan SDSL.

Dengan kehadiran satu kad data, ia tidak lagi memerlukan modem dan wayar untuk sambungan internet. Sambungan jalur lebar ini datang secara 'plug in" (memasukkan plak) dan memang senang untuk digunakan.

INISIATIF JALUR LEBAR

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dijangka merancakkan lagi transformasi sosial dan ekonomi negara ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Ia akan membantu negara menjadi lebih kompetitf melalui inovasi, kreativiti serta nilai tinggi dan kebebsan saluran maklumat," Dr Rais dilaporkan memberitahu media sebelum majlis pelancaran Inisiatif Jalur Lebar tersebut.

Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan merupakan strategi komprehensif di mana komponen utamanya ialah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsan dan jalur lebar berkelajuan tinggi di Dataran Merdeka di sini pada 24 Mac lepas.

Menurut laporan setakat Julai, lebih 37 peratus isi rumah Malaysia mempunyai kemudahan sambungan jalur lebar. Ini bersamaan kira-kira 2.4 juta rumah daripada 6.3 juta rumah di Malaysia.

Untuk mencapai sasaran penembusan 50 peratus isi rumah menjelang hujung tahun ini, sejumlah satu juta rumah lagi perlu mempunyai sambungan jalur lebar.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Khamis, 28 Oktober 2010

Bahagian Pembudayaan Bahasa Melayu ditubuhkan


KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mewujudkan Bahagian Pembudayaan Bahasa Melayu dalam usaha memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang berkesan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, melalui penubuhan bahagian itu, ia bukan sahaja dapat memperkasa dan memperhebatkan bahasa Melayu malah meningkatkan populariti bahasa kebangsaan di semua peringkat.

Malah beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya bahasa Melayu diguna pakai dalam setiap urusan termasuk dalam mesyuarat rasmi serta seminar.

"Sekiranya orang Melayu sendiri tidak megah atau berasa malu untuk memperjuangkan bahasa ibundanya sendiri sudah tentu bahasa dan budaya Melayu tidak akan maju," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Melayu Bandar: Menongkah Cabaran Merubah Penghidupan di sini hari ini.

Buku tersebut sebuah kajian tentang sosiobudaya masyarakat Melayu yang dihasilkan oleh mahasiswa dari China, HanXiao @ Indah ketika menuntut di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (UM) dan ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Rais berkata, penubuhan bahagian itu juga sekali gus dapat membantu agensi seperti Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dan institusi pengajian tinggi (IPT) menjayakan amalan dan kempen program bahasa.

Ini kerana katanya, agensi seperti DBP hanya tertumpu kepada kerja-kerja penerbitan, menyelidik bahasa dan memperkenalkan istilah baru manakala Kementerian Pelajaran pula hanya memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah.

Justeru kata beliau, adalah menjadi tugas kementerian untuk menjadi tonggak dalam memainkan peranan menguar-uar dan menjayakan program kempen bahasa.

Dalam pada itu beliau berkata, usaha mempopularkan bahasa Melayu juga amat penting bagi menggalakkan penyertaan golongan bukan Melayu dalam memperkasakan bahasa kebangsaan.

Oleh itu jelasnya, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan bagi menggalakkan penghasilan buku-buku dalam bahasa kebangsaan di samping menerbitkan buku-buku berkualiti tinggi.

Katanya, sebuah panel akan diwujudkan bertujuan meneliti kriteria yang ditetapkan sebelum mengagihkan peruntukan kepada universiti untuk kemudahan kepada penulis menghasilkan buku-buku yang mempunyai nilai sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat.

Di samping itu jelasya, tesis-tesis penting khususnya berkaitan aspek kebudayaan dan nilai budi bahasa juga akan dinilai untuk diterbitkan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 27 Oktober 2010

MALAYSIA KE-43 MAKMUR DI DUNIA

Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my


Indeks Legatum 2010 letak negara ke-8 termakmur di Asia Pasifik


KUALA LUMPUR: Malaysia berada di tangga ke-43 daripada 110 negara di dunia yang tersenarai dalam Indeks Kemakmuran berdasarkan laporan terkini Legatum Prosperity Index 2010 yang disediakan Legatum Institute
Pada peringkat rantau Asia Pasifik, Malaysia berada di tangga kelapan mengikut kajian sama dilakukan badan bebas berkenaan.

‘The Prosperity Index’ atau Indeks Kemakmuran memberikan penekanan kepada asas ekonomi, kesihatan, kebebasan, sistem pentadbiran, keselamatan, pendidikan, peluang perniagaan dan hubungan sosial boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dan tahap kebahagiaan rakyatnya.

Legatum Institute adalah badan bebas berpangkalan di United Kingdom yang memberi fokus kepada kajian bebas dan sokongan dasar bagi mempromosikan kebebasan individu, politik dan ekonomi di negara seluruh dunia.

Menariknya, corak pemilihan indeks kemakmuran oleh institut ini ialah ahli panel tidak hanya melihat kepada pembangunan ekonomi semata-mata seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi juga tujuh bidang seperti keusahawanan dan peluang perniagaan, sistem pentadbiran, pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebebasan individu dan modal sosial.

Hasil kajian badan itu mengekalkan kedudukan Malaysia seperti tahun lalu, melalui tujuh bidang berkenaan iaitu ekonomi di tangga ke-21; keusahawanan dan peluang perniagaan (34); sistem pentadbiran (34); pendidikan (45); kesihatan (44); keselamatan (52); kebebasan individu (90) dan hubungan sosial (90).

Rumusan kajian ini meletakkan asas ekonomi serta keusahawanan dan peluang perniagaan serta sistem pentadbiran dilihat sangat kukuh tetapi kebanyakan bidang lain berada dalam keadaan sederhana.

Kajian itu meletakkan Norway pada kedudukan pertama, manakala Zimbabwe pula di tangga yang terakhir.

Singapura pula negara Asia Tenggara yang menduduki tempat tertinggi berbanding negara jirannya dengan menduduki tempat ke-17 sama seperti tahun lalu, manakala Thailand pula tangga ke-52 (naik dua anak tangga daripada tangga 54), Filipina turun daripada 61 ke-64 dan Vietnam turun daripada 50 ke-61.

Jepun adalah negara Asia yang menduduki tempat tertinggi tahun ini, iaitu tempat ke-18 susut dua anak tangga berbanding tahun lalu, manakala China di tangga ke-58, manakala India (88).

Namun mengejutkan kedudukan Hong Kong yang merosot kepada kedudukan ke-20, sedangkan dua tahun lalu menduduki antara 10 negara makmur di dunia dengan menduduki tempat kelapan.

Sumber : //www.bharian.com.my/

ISU ANTARABANGSA : BENCANA "BERKEMBAR" MELANDA INDONESIA

GAMBAR dari udara yang dirakamkan semalam menunjukkan sebuah kampung musnah akibat tsunami di Pulau Pagai, Kepulauan Mentawai.
Runtuhan rumah dan kenderaan penduduk yang hancur akibat Letusan Gunung Merapi di Dusun Kinahrejo, Desa Umbulharjo, Cangkringan, Sleman, Di Yogyakarta, Rabu (27/10/2010).


YOGYAKARTA - Angka korban letusan Gunung Merapi meningkat kepada 31 orang selepas gunung berapi itu meletus dan memuntahkan debu serta batuan panas sehingga 1.5 kilometer ke udara di wilayah Sleman, Yogyakarta, kelmarin.

Antara yang terkorban termasuk bayi berusia dua bulan, seorang wartawan portal berita Indonesia, seorang sukarelawan Palang Merah tempatan dan ’penjaga’ gunung, Mbah Maridjan.

Pakar gunung berapi negara itu mengeluarkan amaran awal mengenai letusan Gunung Merapi dan pihak berkuasa telah memindahkan puluhan ribu penduduk di kawasan itu ke pusat perlindungan sementara.

Menurut media Indonesia, mangsa letusan akan dikebumikan di dalam satu liang lahad dan sumbangan sebanyak Rp2.4 juta (RM840) akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa.

Sementara itu, gempa bumi bawah laut mencetuskan ombak tsunami yang membunuh sekurang-kurangnya 272 orang penduduk di Kepulauan Mentawai, barat Sumatera, Isnin lalu.

Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter itu menghasilkan ombak setinggi tiga meter yang memusnahkan 10 kampung dan hampir 500 penduduk dilaporkan masih hilang.

Helikopter yang membawa pasukan penyelamat bersama bantuan perubatan dan makanan mula tiba di pulau itu, semalam.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU GEJALA MEROKOK : BILANGAN PEROKOK MUDA MERISAUKAN

Oleh Liow Tiong Lai

SAYA rasa sangat terganggu apabila melihat anak muda belasan tahun menghisap rokok, lebih-lebih lagi apabila orang dewasa menghisap rokok di depan kanak-kanak dan remaja.


Saya naik marah kerana perbuatan mereka yang sudah dewasa itu merosakkan segala usaha dan langkah pihak berkuasa kesihatan serta penganjur gerakan tidak merokok untuk mendidik anak muda tentang bahaya merokok.

Segala mesej kami tentang bahaya yang boleh membawa maut akibat merokok musnah apabila kanak-kanak melihat orang dewasa yang mereka hormati dan kagumi, terutama sekali ibu bapa mereka, saudara mara atau guru menghisap rokok di depan mereka.

Anak-anak itu tentu akan berkata: “Jika mereka boleh hisap, tentu kita pun boleh.”

Bolehkah kita menyalahkan mereka?

Nenek saya mati akibat kanser kerana dia seorang perokok. Tragedi yang berlaku dalam keluarga saya sendiri ini menjadi peringatan kepada saya dan anak-anak bahawa tembakau boleh membunuh. Saya lega, tiada siapa dalam keluarga saya menghisap rokok, membolehkan saya menjadi contoh kepada rakyat Malaysia yang lain.

Tabiat menghisap rokok telah disifatkan sebagai satu ‘wabak tidak perlu buatan manusia’. Betapa tepatnya gambaran ini! Ia satu tabiat yang langsung tidak membawa faedah. Sebaliknya, membawa keburukan kepada diri sendiri, orang di sekeliling anda dan juga negara seluruhnya.

Anda mungkin akan berkata saya sengaja membesar-besarkan hal ini. Mana boleh seorang perokok membawa keburukan kepada satu negara? Tapi fikirkanlah, bersama tiga juta perokok lain di Malaysia, anda sedang menyumbang kepada beban ekonomi yang sangat besar kepada negara.

Kemungkinan anda kerap jatuh sakit adalah lebih besar. Begitu juga kemungkinan anda menderita penyakit kronik yang memerlukan rawatan seumur hidup. Rawatan ini tidak murah. Anda akan sering tidak dapat pergi kerja atau mungkin tidak dapat bekerja bagi tempoh yang panjang.

Banyak duit negara akan habis kerana penyakit yang anda hidapi. Satu kajian mendapati beban kos merawat kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit lain yang berkaitan dengan tabiat merokok ialah RM2,924.8 juta setahun.

Itu belum lagi mengambil kira kerugian yang dialami oleh syarikat apabila pekerja tidak datang bekerja kerana sakit akibat penyakit yang ada kaitan dengan merokok. Bagaimana pula dengan kerugian akibat kebakaran yang berpunca daripada api rokok? Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan, pada tahun 2000 kerugian akibat kebakaran di seluruh dunia mencecah AS$27 bilion (RM102.6 bilion).

Semua kos ini akhirnya datang dari kocek anda juga sama ada anda membayar beribu-ribu ringgit setahun bagi merawat masalah merokok anda atau duit daripada cukai yang anda bayar digunakan bagi membiayai beban yang terpaksa ditanggung oleh sistem kesihatan dan ekonomi negara.

Sesungguhnya, sebelum anda jatuh sakit, anda sudah pun membuang duit dengan tabiat buruk merokok. Dianggarkan, tiga juta perokok dewasa di Malaysia menghisap 33 juta batang rokok sehari. Ia seperti membakar RM8.59 juta sehari.

Golongan muda juga membelanjakan jumlah wang yang sangat banyak untuk merokok iaitu RM270,000 sehari. Sebab itulah kerajaan menaikkan harga rokok kotak 20 batang sebanyak 70 sen. Tujuannya supaya mereka merasai kesan kenaikan itu,

Memandangkan perokok muda mula berjinak dengan rokok ketika berusia 13 tahun, kita perlu menyekat mereka daripada mula lagi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati bahawa kemungkinan perokok muda berhenti merokok atau mengurangkannya apabila harga rokok dinaikkan adalah dua hingga tiga kali ganda lebih daripada perokok dewasa.

Sejak tahun lalu, Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan peraturan yang mewajibkan semua kotak dan bungkusan rokok membawa amaran kesihatan dalam bentuk gambar. Tujuan gambar ngeri ini serta deskripsi akibat merokok kepada kesihatan adalah untuk menyekat godaan membeli rokok.

Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana tarikan rokok adalah jauh lebih menggoda daripada apa jua mesej pendidikan yang kita sampaikan. Kanak-kanak dan remaja memuja selebriti yang merokok dan begitu mudah terpikat kepada gaya yang dianggap menarik.

Tapi kami di Kementerian Kesihatan tidak akan berputus asa. Biar apa juga cabaran yang kami hadapi. Kita semua perlu berusaha dengan lebih kuat dan mencari jalan lebih kreatif dalam menangani cabaran itu. Ini kerana taruhannya amat besar, iaitu kesihatan generasi akan datang.

Merokok bukan hanya merosakkan hidup anda, ia turut merosakkan hidup semua orang di keliling anda. Keluarga, anak-anak serta sahabat handai turut terseksa kerana menyedut asap rokok yang anda hembus dan terpaksa menanggung beban penyakit anda.

Jika anda seorang anak muda, janganlah mula merokok. Belum sempat anda sedar, anda sudah pun ketagih. Anda hanya membohongi diri jika anda fikir anda boleh meninggalkannya apabila anda mahu. Terdapat mereka yang telah merokok selama berpuluh-puluh tahun dan masih berkata: “Esok saya akan berhenti.”

Esok mungkin datang membawa kanser paru-paru, serangan jantung atau strok. Mungkin juga esok tidak datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 26 Oktober 2010

ISU RASUAH : Malaysia Kekal Di Tangga Ke-56 Dalam Indeks Rasuah

KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukannya di tempat ke-56 daripada 178 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2010, walaupun memungut 0.1 mata lebih rendah berbanding tahun lepas.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, Malaysia yang menduduki tempat ketiga di kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan Brunei, memungut 4.4 mata daripada 10 mata untuk berada di depan Thailand yang mendapat 3.5 mata (tempat ke-78) dan Indonesia dengan 2.8 mata (tempat ke-110).

"Denmark, New Zealand dan Singapura terikat pada kedudukan pertama dengan memungut 9.3 mata.

"Statistik Malaysia tidaklah merosot malah kekal. Negara kini berada di tengah-tengah (antara baik dan tidak baik).

"Ketidakstabilan kerajaan, biasanya berikutan konflik legasi, terus mendominasi kedudukan di tempat tercorot CPI. Afghanistan dan Myanmar berkongsi tempat kedua terakhir dengan pungutan mata 1.4, manakala Somalia di tangga terakhir dengan 1.1 mata," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun pelbagai langkah positif telah dilakukan, pungutan mata Malaysia dalam CPI mungkin disebabkann masalah pelaksanaan serta ketiadaan penambahbaikan dalam pembinaan keyakinan, sekaligus menunjukkan terdapat kekurangan dalam kemahuan politik bagi menghapuskan rasuah.

Contohnya, kata beliau, terdapat beberapa perkara yang jelas membimbangkan seperti arahan "Tiada Tindakan Lanjut" oleh Peguam Negara terhadap mereka yang dikatakan terbabit dalam pelantikan hakim seperti yang didedahkan melalui skandal "Video Lingam", walaupun perkara itu merupakan hasil penemuan dan saranan Suruhanjaya Diraja.

Selain itu, Low berkata amalan menganugerahkan projek mega serta kontrak tanpa tender terbuka atau bidaan kompetitif yang masih diteruskan, turut menyumbang kepada CPI Malaysia bagi 2010.

"Kami mencadangkan agar kerajaan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas dan berautonomi, bagi memperkukuhkan undang-undang serta membuat laporan terus kepada jawatankuasa Parlimen, selain ia diberi kuasa melakukan pendakwaan.

"Cadangan lain ialah membentuk semula kewangan politik dan peraturan parti politik serta pilihan raya, pengisytiharan aset ahli politik, mempromosi kebebasan maklumat, penguatkuasaan undang-undang dan polisi sedia ada secara efektif serta bersungguh-sungguh, termasuk penggubahan dan pindahan wang haram oleh suspek dalam kes rasuah berprofil tinggi," katanya.

Low berkata memandangkan aspirasi Malaysia ialah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, komitmen untuk memerangi rasuah perlu jelas dan tegas, kerana keputusan CPI secara konsisten telah menunjukkan terdapat hubungan langsung antara tahap rasuah dengan pembangunan ekonomi di sesebuah negara.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah seperti melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada April lepas, namun hasilnya tidak boleh dilihat serta-merta kerana persepsi mengambil masa untuk berubah.

"Persepsi awam mungkin mengambil masa untuk berubah, dan kadangkala ia tidak berubah langsung. Persepsi awam boleh berubah jika mereka melihat peratusan yang tinggi dalam pendakwaan," katanya.

Low berkata, melalui inisiatif yang diambil oleh kerajaan pada masa ini, kedudukan Malaysia akan meningkat dalam masa dua tahun.

Dua negara yang berkongsi kedudukan dengan Malaysia ialah Turki dan Namibia. - BERNAMA

HORMATI HAK BAHASA MELAYU

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Sikap masyarakat, sesetengah pemimpin sebabkan pelaburan berjuta ringgit tersasar

SEMUA pemimpin dan dan ahli politik negara ini diperingatkan agar mengangkat bahasa Melayu pada tahap tertinggi dengan mengadakan usaha jitu agar tidak diibaratkan seperti menyangkul air sungai.

Perkara terbabit disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, pada majlis Bicara Bahasa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan di Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kucar-kacir terhadap Dasar Bahasa Kebangsaan berpunca daripada sikap masyarakat yang memandang ringan, manakala sesetengah pemimpin Melayu pula, sudah tidak lagi berfikir dalam bahasa Melayu.

“Mereka seperti tidak memahami perkara asas ini kerana terlalu taksub dengan kehebatan bahasa Inggeris sehingga tidak hairanlah usaha mengangkat bahasa Melayu masih tidak berhasil, meskipun jutaan ringgit sudah dilaburkan.

“Mereka sepatutnya tahu bahawa bahasa kebangsaan tidak boleh dipisahkan dengan pemilik bahasanya kerana ia simbol kepada perpaduan bangsa. Kedudukan bahasa Melayu sudah diambil alih bahasa Inggeris seperti dapat dilihat dalam iklan dan nama jalan sehingga kita seolah-olah kembali ke zaman sebelum merdeka,” katanya yang juga mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dr Hassan turut mengingatkan dasar bahasa tidak boleh dipisahkan daripada proses pembinaan negara kerana negara yang memiliki pelbagai bangsa dan bahasa perlu menjadikannya sebagai agenda penting sosiopolitik dan sosiobudaya.

“Dasar bahasa boleh digunakan sebagai alat penting dalam pembentukan integrasi politik dan tamadun tinggi, tetapi mungkin menjadi punca krisis politik dan budaya yang boleh mengancam kemajuan bangsa apalagi bahasa sekiranya tidak diuruskan dengan bijak,” katanya.

Beliau turut menyarankan masyarakat untuk memahami konsep 1Malaysia dengan pemahaman yang benar iaitu keseimbangan, keadilan dan kesaksamaan berdasarkan prinsip Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira kaum, sekali gus mengangkat bahasa Melayu sebagai teras utama dalam pembangunan negara.

Pandangan Dr Hassan turut diperakukan mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman yang menegaskan pemimpin atasan perlu memainkan peranan penting dalam penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.

“Perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan ialah perancangan strategik bagi penyelesaian masalah untuk pembangunan, pengembangan dan kemajuan bahasa Melayu menuju 2020.

“Justeru, usaha memperkasakan bahasa Melayu perlu menjurus kepada penyelesaian masalah dalam menetapkan dasar penggunaan bahasa kebangsaan untuk sektor swasta dan korporat, selain melaksanakan penguatkuasaan dan kawalan penggunaan bahasa kebangsaan secara bersepadu,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi yang unggul kerana dihambat sikap serta tabiat bangsa Melayu yang kurang yakin kemampuan bahasanya, manakala rakyat bukan Melayu tidak melihatnya sebagai milik bersama.

“Situasi negara ini berbeza dengan Indonesia apabila bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa nasional yang menjurus kepada penggunaan dan pemakaian secara meluas dalam kehidupan serta sistem pendidikan, seolah-olah sedar kepentingannya sebagai wahana pemersatu bangsa berdaulat lagi merdeka.

“Ini berbeza dengan negara kita, ditambah adanya pemimpin dan majikan yang mengutamakan bahasa Inggeris sehingga pengaruhnya menjalar ke kampung. Ibu generasi muda gemar mendendangkan anak dengan Twinkle Twinkle Little Star dan Ba Ba Black Sheep.

“Sikap yang sedemikian mengikis kedudukan bahasa Melayu menurutnya haknya seperti diperakukan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus kita kehilangan Tepuk Amai Amai, Chan Malichan dan Anak Rusa Nani sedangkan ia pantun kanak-kanak yang indah,” ujarnya.

A Aziz turut mengingatkan kemasukan program berorientasikan bahasa Inggeris melalui media elektronik secara meluas boleh meranapkan persepsi masyarakat terhadap bahasa dan budaya kerana kebanyakan daripadanya mendorong nilai budaya negatif.

“Bagi mengatasi permasalahan ini, pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menuntut kemuafakatan, kesepakatan dan gerakan kerjasama yang bersepadu semua pihak serta didukung keazaman politik yang sebenar.

“Dengan cara ini tidak syak lagi bahasa Melayu akan menjadi asas pembentukan tamadun negara bangsa Malaysia moden dan digunakan dengan meluas dalam setiap bidang kehidupan di Malaysia serta menjadi salah satu bahasa komunikasi antarabangsa selewat-lewatnya pertengahan abad ke-21 ini,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/