Isnin, 7 Februari 2011

ISU KESESAKAN LALU LINTAS : Pembinaan jajaran Lebuh Raya Utara-Selatan kedua mampu atasi kesesakan

KESESAKAN luar biasa di Lebuh Raya Utara-Selatan menuju ke Lembah Klang, kelmarin mencetuskan pelbagai persoalan mengenai pengurusan lebuh raya, penguatkuasaan, sikap pemandu dan perancangan jangka panjang kerajaan untuk mengatasinya pada masa depan. Kesesakan teruk itu menyebabkan sesetengah pemandu mengambil masa sehingga 10 jam di atas lebuh raya bagi perjalanan yang lazimnya mengambil tempoh tiga atau empat jam pada hari biasa. Lebuh raya yang lazimnya boleh menjadi ‘litar lumba’, tetapi kelmarin menyaksikan pergerakan perlahan kenderaan bagaikan ‘merangkak’.

Didesak perasaan hendak cepat sampai ke destinasi masing-masing dan pentingkan diri, ramai pemandu menyalahgunakan laluan kecemasan, sekali gus sikap itu memburukkan lagi kesesakan. Antara laluan paling sesak ialah dari Seberang Jaya ke plaza tol Juru, Changkat Jering-Sungai Perak, Ipoh-Sungkai, Nilai-Seremban, Ayer Keroh-Jasin dan Machap-Sedenak. Situasi ini mencetuskan beberapa tanda tanya, termasuk di tahap mana keberkesanan Ops Sikap dan pelbagai kempen keselamatan di jalan raya selama ini.

Bukan untuk mempersoalkan kehadiran polis trafik, tetapi apakah menempatkan petugas dalam pondok kecil di tepi lebuh raya mampu membangkitkan rasa takut pemandu sehingga mendorong mereka mematuhi peraturan lalu lintas. Kita menghargai komitmen dan pengorbanan pasukan polis untuk memastikan kelancaran dan keselamatan lalu lintas, tetapi melihat kesan operasi itu, pendekatan secara statik itu mungkin tidak mencukupi.

Kerajaan juga wajar mencerna semua maklumat diperoleh melalui data siri Ops Sikap dijalankan serta maklum balas umum melalui makmal khas sebagai inisiatif mengurangkan kemalangan serta kematian akibat nahas jalan raya. Catatan rekod tertinggi 6,260 kes kemalangan maut dicatat tahun lalu mesti disusuli dengan pelan induk pencegahan komprehensif. Ops Sikap ke-23 bagi musim perayaan Tahun Baru Cina ini saja merekodkan 147 kes kemalangan maut dalam tempoh 11 hari.

Hakikatnya, jalan raya kita penuh dengan pemandu tidak berdisiplin apabila 115,783 saman dikeluarkan dalam tempoh sama. Dengan pertambahan kenderaan berlipat kali ganda berbanding saiz lebuh raya kekal dua atau tiga laluan sehala di sesetengah tempat, kerajaan wajar mula memikirkan kemungkinan membina jajaran Lebuh Raya Utara-Selatan kedua atau perbanyakkan laluan alternatif bagi menampung keperluan semasa.

Membinanya dalam masa terdekat ini pasti memberi impak besar kepada sosioekonomi, selain menjimatkan kos berbanding memulakan projek itu dalam 10 atau 15 tahun akan datang. Kesesakan begini juga boleh mendatangkan fobia kepada pengguna sehingga ada yang mengambil keputusan enggan bercuti atau balik kampung ketika musim perayaan. Masyarakat kita disaran memperkukuhkan institusi keluarga, termasuk lebih kerap menziarahi sanak saudara di tempat kelahiran tetapi gara-gara lebuh raya sesak dan kerap berlaku kemalangan, matlamat murni ini mungkin tidak dapat dicapai.

Pusat hentian rehat dan rawat di lebuh raya juga sesak setiap kali musim perayaan. Ramai pengguna tidak dapat menggunakan kemudahan disediakan untuk menghilangkan rasa letih atau mengantuk kerana keadaan begitu kesesakan. Memandangkan lebuh raya perlu menampung ramai pengguna setiap masa, adalah wajar isu sesak, pertambahan kenderaan, keperluan lebuh raya baru dan pengurusannya mesti dirujuk kepada pakar untuk mencari penyelesaian.

Sumber : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Memantapkan sahsiah pelajar

Oleh : M. JASNI MAJED

SAUDARA Malek Murad dalam rencananya ‘Krisis disiplin di kalangan penuntut sekolah’ Dewan Masyarakat April 1975, antara lain menyentuh tentang pentingnya sekolah mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah jika sekolah mahu mengekalkan peranan tradisionalnya sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan.

Rencana itu sudah lama ditulis, tetapi gaya dan permasalahan yang dibangkitkan masih sama dengan apa yang masih diperkatakan sampai sekarang.

Ini bermakna masalah disiplin dan moral anak-anak muda bukan baru, cuma pendekatannya berbeza. Memang anak-anak muda zaman dulu tidak merempit, tidak melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam, tetapi kes lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih dalam ruang lingkup sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut.

Krisis nilai dalam kalangan anak-anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak. Bukan saja ibu bapa yang pening memikirkan anak- anak mereka terutamanya ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai keadaan yang berlaku membabitkan remaja.

Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita membabitkan kanak-kanak mahupun golongan remaja dan kebanyakannya masih di bangku sekolah. Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang, tetapi agak malang jika kita didedahkan dengan berita penangkapan mereka atas sesuatu kesalahan yang mereka lakukan.

Paparan media massa mengenai segala jenis salah laku termasuk jenayah memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil lagi mereka sudah dipengaruhi norma-norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan harian dan menempuh masa depan.

Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan penekanan nilai murni melalui subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan segala macam cabaran di luar kelak.

Di sekolah, antara subjek yang mengandungi penekanan nilai murni termasuk Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan sudah cukup membimbing pelajar ke arah kemantapan jiwa dan sahsiah.

Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalan Komponen Sastera (Komsas) sejak tahun 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai murni di kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa moden dan tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni yang boleh digarap pelajar.

Keberkesanan Komsas bukan hanya untuk melatih pelajar menjadi penulis, tetapi memantapkan pemahaman dan kepatuhan mereka terhadap nilai murni yang disogokkan kepada mereka lewat karya sastera kemudian diterjemah dalam kehidupan seharian.

Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, unit pakaian seragam dan sukan juga tidak kurang penting memainkan peranan membentuk pelajar menjadi insan mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan rajin dalam menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan.

Pihak sekolah mesti memastikan setiap aktiviti ini dilibatkan pelajar dan bentuk tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah.

Sekolah mesti mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada pelajar memandang rendah kepada setiap peraturan yang ditetapkan di sekolah. Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak mereka walaupun anak ternyata melanggar peraturan sekolah.

Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah tidak akan dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar.

Jadi, apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku di kalangan remaja seperti kes buang bayi, dadah, pergaduhan dan sebagainya kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara kita.

Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar menyamun di sebuah kedai serbaneka menggunakan pistol mainan dan parang panjang, kita pernah mendengar kisah pelajar mencederakan guru, merosakkan kereta guru dan sebagainya yang memperlihatkan bahawa jenayah dan salah laku bukan hanya dilakukan orang dewasa, malah golongan yang sedang menimba ilmu pengetahuan.

Sebenarnya, pemahaman dan pembabitan pelajar dalam aktiviti yang ditetapkan di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada melakukan pelbagai salah laku.

Persoalannya, mengapa ada antara mereka yang masih tergamak melakukan pelbagai salah laku termasuk melawan guru, merosakkan harta benda sekolah, terbabit dadah dan jenayah lain?

Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak memahami apa tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.

Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung di sebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka pelajari.

Ironinya, boleh kita fikirkan sendiri bahawa setiap pelajar itu, jika kita kira sejak bersekolah di peringkat sekolah rendah hingga tamat persekolahan di peringkat menengah, mungkin hampir seratus guru mengajar mereka.

Jika difikirkan lagi, mana ada guru yang menyuruh anak muridnya mencuri, merompak, menipu orang, tetapi setiap guru memberi ajaran positif ke arah kecemerlangan individu dalam mendepani hari muka.

Oleh itu, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling, sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikan ke arah melahirkan insan lebih bijak menilai mana kaca dan permata.

Sejak tahun 70-an lagi kita sudah menyedari sistem pendidikan kita condong ke arah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi salah satu penghalang pembentukan sahsiah pelajar. Kita agak ketinggalan kerana sampai kini kita masih melaung-laungkan perkara sama sedangkan sudah lebih 30 tahun perkara ini diungkit.

Sampai masanya kita mengubah sistem dan persepsi tersebut supaya kita dapat mengurangkan pelbagai masalah yang mengitari hidup pelajar di negara kita.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Ubah kaedah didik anak-anak, elak lari dari rumah

JUMLAH kanak-kanak dan remaja yang hilang dari rumah dan gagal ditemui sejak dua tahun lalu sebanyak 1,383 orang seperti yang dilaporkan akhbar ini semalam adalah satu jumlah yang agak besar.

Ini bermakna purata empat orang hilang setiap hari dan seperti yang dilaporkan, antara faktor kehilangan itu adalah disebabkan kecuaian ibu bapa, selain mengikut teman dan kemiskinan.

Dalam hal ini, kita tidaklah mahu menyalahkan ibu bapa seratus peratus kerana dilaporkan 85 peratus mereka yang hilang itu sudah mampu berfikir walaupun tidak cukup matang tentang perkara baik dan perkara buruk.

Majoriti mereka berusia antara 14 hingga 17 tahun dan usia itu sememangnya satu peringkat usia remaja yang sukar dikawal oleh ibu bapa. Namun, dengan bimbingan dan perhatian yang betul daripada ibu bapa, kita percaya remaja terbabit tidak akan mengambil jalan mudah untuk keluar dari rumah.

Mungkin sudah tiba masanya, ibu bapa dan penjaga menukar kaedah atau pendekatan yang digunakan untuk mendidik anak-anak. Membesarkan anak-anak sekarang tidak sama seperti 10 atau 20 tahun lalu. Anak-anak sekarang begitu terdedah dengan budaya seronok melayan laman sosial seperti Facebook atau Twitter.

Jika di rumah tidak ada kemudahan Internet, mereka boleh singgah di mana-mana kafe siber untuk tujuan tersebut. Lebih daripada itu, telefon bimbit pintar yang ada 'segalanya' turut menjerumuskan anak remaja ke satu alam lain yang memerlukan mereka keluar dari rumah.

Justeru, ibu bapa bukan sahaja perlu rajin memantau pergerakan atau aktiviti harian anak-anak, malah apa yang mudah dicapai oleh hujung jari anak-anak juga wajar diberi perhatian yang sama. Tidak ada salahnya, sesekali ibu bapa 'menceroboh' laman sosial anak-anak. Dari situ, banyak maklumat tentang diri anak-anak yang mungkin selama ini dirahsiakan daripada ibu bapa boleh diterokai dan difahami.

Ada ibu bapa langsung tidak membenarkan anak-anak membuka akaun laman sosial berkenaan, dan ada juga yang menggunakan pendekatan memeriksa setiap hari aktiviti laman sosial anak-anak. Apa saja cara yang dirasakan perlu dilakukan demi kebaikan anak-anak, maka ibu bapa perlu bertindak sedemikian.

Bagi anak-anak yang lari kerana masalah keluarga dan kemiskinan, maka di sini pihak yang perlu memainkan peranan utama adalah kementerian dan jabatan berkaitan. Kerjasama para pegawai dari agensi-agensi terbabit amat diperlukan untuk menyelamatkan anak-anak yang runsing berada di rumah.

Kita juga tahu bahawa ada anak remaja dari keluarga miskin terdorong melarikan diri kerana mahu mengejar sesuatu yang dijanjikan mewah buat hidup mereka. Ini juga satu penyakit yang memerlukan tindakan bersepadu pelbagai pihak. Sudahlah ibu bapa miskin, anak pula lari dari rumah. Tidakkah ini akan menambah beban ibu bapa yang terlibat?

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan kepada pihak berkuasa tentang apa-apa perkara yang dilihat mencurigakan berlaku dalam sesebuah keluarga. Tidak ada salahnya, sesekali bersikap 'menjaga tepi kain orang'. Ambil tahu hal sekeliling dan hulurkan bantuan apa yang termampu untuk menolong mereka yang memerlukan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 6 Februari 2011

ISU SUKAN : Potensi atlet sukan negara perlu diterokai

BIDANG sukan menjadi kegemaran rakyat di negara kita dan rata-rata terlibat dengan sukan sama ada untuk beriadah mahupun secara profesional. Kini, sukan di negara kita tidak lagi setakat untuk suka-suka dan acara berhibur mengisi masa lapang sahaja kerana pihak kerajaan melalui pelbagai agensinya seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah mula menjadikan sukan sebagai satu kerjaya.

Namun, adat dalam sukan ada turun dan naiknya. Kita pernah melahirkan ramai bintang atlet sukan yang menjadi wira negara di pentas antarabangsa. Sungguhpun begitu, keadaan menjadi semakin lesu dan nama negara begitu tenggelam dalam sukan peringkat global. Demi memulihkan semula kedudukan sukan negara ke peringkat tertinggi di pentas dunia, jutaan ringgit telah dibelanjakan semata-mata menjayakan berbagai-bagai projek sukan di negara kita.


Kini, riak-riak sinar kecemerlangan sukan mulai menampakkan diri dengan menjadikan tahun 2010 sebagai tahun pemula kebangkitan sukan negara. Atlet sukan negara sudah lama dimotivasikan dengan tiupan semangat 'Malaysia Boleh', dan kini dikombinasikan pula dengan semangat 1Malaysia, bibit kecemerlangan semakin menyerlah. Jika kita mengimbas kembali sepanjang tahun 2010, pencapaian sukan negara sangat membanggakan dan di luar jangkaan.

Sepanjang tahun 2010, lagu Negaraku semakin berkumandang bersama kibaran Jalur Gemilang mengiringi kemenangan para atlet negara di pentas kejohanan antarabangsa. Sukan paling menonjol dan menjadi satu fenomena baru dalam negara ialah kejayaan pasukan bola sepak negara menjuarai Piala Suzuki AFF. Ini satu petanda bahawa perancangan dan pelan tindakan yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak seperti FAM, MSN, KBS dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) mula menampakkan impak positif.

Namun, kita tidak boleh terlalu khayal dengan beberapa kejayaan dalam sukan-sukan tertentu seperti bola sepak. Ini kerana dari segi pencapaian keseluruhan, sukan negara masih perlu dipertingkatkan agar negara mampu menjadi sebuah negara sukan yang disegani di peringkat antarabangsa, khususnya Sukan Olimpik. Pihak tertentu seperti MSN sewajarnya turut menekankan kepada beberapa sukan yang dikatakan mengalami graf menurun atau dalam keadaan serupa tak naik-naik.


Misalnya sukan sepaktakraw. Sukan ini begitu klasik buat negara kerana turut menjadi permainan rakyat, namun apa yang berlaku kita masih duduk di belakang Thailand. Suatu pembetulan dan pembaikan yang pragmatik baik dari segi pengurusan persatuan induk mahupun dari aspek kejurulatihan perlu segera dilaksanakan.


Sebenarnya kemunculan atlet atau pemain muda berbakat besar yang sedang mewakili negara dalam pelbagai jenis sukan hasil gilapan sejak di bangku sekolah lagi. Sekolah menjadi tempat untuk mencungkil bakat mereka dan diberikan pendedahan serta pengalaman awal sebagai seorang atlet atau pemain.


Justeru, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui MSSM mestilah memainkan peranan secara lebih aktif dan berdaya dinamik dalam usaha mencari bakat-bakat baru untuk negara pada masa depan. Demikian juga Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) yang juga ada peranannya dalam mengetengahkan atlet berkualiti buat negara. Dengan gabungan usaha kedua-dua badan, satu di peringkat sekolah dan satu lagi untuk para mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT), maka negara pasti tidak akan ketandusan bakat-bakat baru untuk sukan negara.


Selain itu, KPM juga wajar lebih bersedia dari sekarang melengkapkan sekolah-sekolah dengan prasarana sukan yang baik. Ini kerana pada masa sekarang, sekolah-sekolah tertentu sahaja yang mempunyai kemudahan sukan yang lengkap, sedangkan banyak sekolah di kawasan luar bandar khasnya masih daif. Kita tahu bukan mudah untuk memperuntukkan kewangan bagi menyediakan kemudahan sukan serba lengkap dan canggih untuk semua sekolah kerana bilangan sekolah yang terlalu banyak.


Tetapi KPM boleh membuat sekolah-sekolah pusat sukan di setiap daerah kerana dengan kaedah ini, lebih banyak ruang dan peluang
dapat disediakan kepada para pelajar untuk bergiat cergas dalam sukan. Walaupun kini KPM sudah mengadakan sekolah sukan di peringkat negara seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Bandar Penawar Johor, tetapi setakat hanya dua buah sekolah sukan, ia dirasakan belum mencukupi untuk kita menggilap dan membangun potensi bakat-bakat muda sukan negara.

Jadi, negara melalui KPM mungkin dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri boleh mengadakan sekolah sukan di setiap negeri. Malah KPM juga wajar menjalin kerjasama erat dengan pihak swasta dalam usaha mewujudkan sekolah-sekolah sukan yang baru. Misalnya dengan syarikat-syarikat GLC seperti Petronas, Maybank, dan sebagainya. Dengan kaedah seperti ini, KPM boleh memanfaatkan dana peruntukan kos untuk pembinaan dan mungkin juga secara program anak angkat.


Kita berharap sukan negara pada tahun 2011 dan pada masa akan datang lebih cemerlang dan mampu menjadi sebuah negara sehebat negara yang lain.


Mohd. Rizal Azman Rifin


Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Mukah Sarawak.


Sumber : http : //www.bharian.com/

Sabtu, 5 Februari 2011

ISU BAHASA : Perihal Bahasa

BAHASA ialah penyatuan sistem lambang-lambang bunyi yang digunakan sebagai wahana perhubungan untuk menyatakan fikiran, perasaan dan tujuan dalam lingkungan kelompok manusia. Daripada perkataan bahasa dapat diterbitkan beberapa banyak ungkapan tertentu. Ungkapan-ungkapan ini mengandungi pengertian khusus bagi menyatakan sesuatu pula.

Dalam masyarakat Melayu, jika kita berbudi bahasa, sopan dan tahu akan adat resam dikatakan kita berbahasa, yakni tahu menggunakan bahasa yang sesuai pada tempat, suasana, dan konteks. Kita seharusnya tahu memilih bentuk bahasa yang padan apabila berbicara dengan seseorang. Jika berkomunikasi dengan anggota golongan raja, sultan atau kerabat utama raja, walhal kita sebagai pembicara orang biasa, sudah tentu bentuk bahasa dalam yang kita gunakan. Bahasa dalam ialah bahasa halus yang digunakan di istana. Kata-kata seperti patik (saya), tuanku (awak), junjung kasih (terima kasih), santap (makan), gering (sakit), mencemar duli (berangkat), dan sebagainya digunakan sebagai wahana bicara.

Sebaliknya, apabila kita bercakap dengan orang biasa tetapi dewasa, matang usianya, atau terhormat kerana pangkat kedudukan serta tinggi tahap sosialnya, sudah tentu kita akan memilih penggunaan bahasa halus. Kata-kata dalam bahasa halus lembut tidak dirasakan kasar atau yang boleh menyentuh perasaan. Dengan bahasa ini, misalnya, kita mengelakkan penggunaan kata ganti nama aku dan engkau bagi menurujuk diri sendiri dan orang yang dilawan bercakap. Kita sudah tentu menggunakan saya, tuan, Tan Sri, dan seumpamanya. Kita juga berasa janggal menggunakan perkataan mati untuk manusia, tetapi menggantikannya dengan perkataan mangkat (raja), meninggal dunia, atau dengan kiasan sudah pergi atau sudah tiada lagi (orang biasa). Demikianlah betapa perlunya kebijaksanaan kita memilih perkataan yang amat serasi.

Bercakap dengan orang yang dihormati ini tidak molek, kiranya, kita menggunakan bahasa harian sepenuhnya, kerana bentuk bahasa basahan ini mengandungi perkataan dan ayat yang tidak mematuhi rumus tatabahasa baku. Lenggok bahasanya ringkas serta mudah. Ada perkataan tanpa imbuhan, tanpa gandaan, ayat tergantung tanpa subjek, predikat yang tidak sempurna, serta direncahi dengan bahasa daerah/bahasa dialek, yang hanya sesuai digunakan apabila bercakap dengan anggota keluarga atau rakan dalam suasana tidak rasmi. Penggunaan bentuk bahasa basahan ini dapat mewujudkan komunikasi natural, dan hubungan yang intim. Tetapi, apabila bercakap dengan rakan sejawatan atau sejabatan, kita merojakkan bahasa kita (bahasa rojak). Pada suatu ketika kita menggunakan perkataan bahasa Melayu dan seketika yang lain kita menggunakan perkataan bahasa Inggeris/bahasa Arab tanpa menghitung keluhuran tatabahasa.

Akan ada perbezaan pula bahasa yang kita gunakan apabila lawan bicara kita daripada kalangan bangsa asing (orang Cina, India atau Benggali). Atas dasar untuk tujuan pemahaman maksud yang mudah lagi pantas, kesenangan dan kelancaran komunikasi, maka bahasa pasar menjadi wahana. Apabila bahasa kacukan (bahasa pasar) menjadi bahasa perantaraan, sudah pasti bahasanya menyimpang jauh daripada bentuk bahasa baku kerana yang diutamakan ialah pemahaman inti pati bicara dan kelancaran berbahasa.

Bagi kalangan penutur yang rendah martabat sosialnya, bentuk bahasa slanga, yakni salah satu bentuk bahasa terhad menjadi bahasa bicara. Bahasa slanga yang mendapat perhatian sedikit pada masa lampau ialah slanga kutu, yakni bentuk slanga bagi kalangan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan narkotik. Bahasa ini mengandungi perkataan-perkataan baharu atau perkataan biasa dengan pengertian tertentu. Langgam bahasanya banyak dipengaruhi oleh perkataan atau struktur bahasa asing, khususnya bahasa pasar. Antara bentuk bahasa slanga ini:

“Itu lu punya pasal. Lu tangkap kawin ke, cintan-cintun ke itu lu punya hal.

Gua tak peduli. Lu nak bikin apa sama gua? Lu mahu sekeh kepala gua? Pigila.”

Lain pula halnya ketika kita berada dalam suasana atau keadaan yang tidak terkawal oleh emosi. Ketika itu, perasaan masa bercakap menjadi penentu bentuk bahasa yang kita pilih. Ghalibnya, dalam keadaan marah, kita hilang pertimbangan dalam berbahasa. Kita menjadi orang yang kurang bahasa atau tak tahu bahasa lalu kita menggunakan bahasa kasar, bahasa yang dianggap tidak sopan atau tidak manis dituturkan. Kekadang, apabila rasa amarah memuncak, kita menggunakan bahasa kesat, bahasa yang lebih rendah tarafnya daripada bahasa kasar. Bentuk bahasa ini mengandungi kata maki hamun yang boleh menyakitkan hati orang lain. Natijahnya, kita akan dianggap orang yang tidak berbahasa lantaran berbicara tanpa budi bahasa. Anggapan ini cocok untuk orang yang seperti itu, kerana bahasa menunjukkan bangsa, dan bahasa jiwa bangsa pembicara.

Bagi orang ilmuan, mereka terdidik untuk menggunakan bahasa baku, iaitu bahasa yang teratur dan mantap dalam pelbagai aspek seperti sebutan, ejaan, dan tatabahasa. Oleh sebab bahasa ini dikatakan bahasa ilmu, maka bentuk bahasa ini digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan (pengajaran), perbincangan, forum dan sebagainya. Jalan bahasa golongan cendekiawan ini cukup mantap dan berkesan.

Dalam penulisan atau persuratan pelbagai bidang, selain menggunakan laras bahasa menurut lapangannya, pastilah bahasa ilmu yang teratur lagi baik itu digunakan, hingga ada yang menganggap bahasa itu sebagai bahasa kitab. Bahasa persuratan mereka ini bertenaga kerana langgam bahasa yang digunakan indah, tepat dan berkesan. Dalam karya kreatif, bahasa karyawan ini dirampaikan pula dengan bahasa kiasan, peribahasa, bahasa puisi sebagai rencah bahasa persuratan tinggi yang dapat menimbulkan kesan segar perisa bahasa.

Demikianlah betapa banyak dan luas ungkapan yang bersabit dengan perkataan bahasa dalam bahasa Melayu. Jelaslah bahawa, bahasa dapat menunjukkan hati budi penuturnya, kerana bahasa ceminan hati budi manusia.

Sumber : http://www.tutor.com.my/

Jumaat, 4 Februari 2011

PENGHASILAN TENAGA YANG BOLEH DIPERBAHARUI : Alternatif harga bahan api petrol

Malaysia kembali gamat apabila harga petrol RON97 meningkat 10 sen kepada RM2.50 seliter mulai 1 Februari 2011. Sedikit sebanyak, kesan ini dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, tidak kira kaum, status dan umur. Impak terhadap kenaikan harga petrol ini pastinya membawa kepada kenaikan harga barang-barang mentah yang boleh membawa kepada inflasi negara.

Perkara ini pastinya akan menyulitkan negara dalam merealisasikan Model Baru Ekonomi (MBE) menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) yang mengaspirasikan status negara berpendapatan tinggi. Hakikatnyata, permasalahan ini berpunca daripada keadaan ekonomi global yang sedang meruncing akibat kenaikan harga minyak dunia.

Kita perlu menyedari bahawa kebergantungan Malaysia terhadap minyak mentah dan gas asli untuk menjana pembangunan negara amatlah tinggi. Petrol digunakan secara meluas untuk pelbagai sektor yang melibatkan penggunaan tenaga yang besar. Ini termasuklah pengangkutan industri dan penjanaan bekalan elektrik yang saling berkaitan dengan sub-industri lain, contohnya sektor pembinaan, pengangkutan awam dan bekalan bahan mentah yang memacu pembangunan negara. Justeru itu, apabila berlakunya kenaikan harga petrol dunia, negara turut merasakan impaknya.

Selama ini, rakyat Malaysia begitu selesa dengan subsidi petrol yang melimpah ruah. Hasilnya, penggunaan kenderaan begitu tinggi di Malaysia dan ia pasti menuntut permintaan yang tinggi terhadap bahan bakar. Sektor-sektor pembinaan dan pengangkutan awam juga mengharapkan bekalan bahan bakar yang tinggi. Apabila wujud kemelut dalam kenaikan pasaran harga minyak, maka berlakulah sikap tuding menuding di antara satu sama lain.

Ledakan kemarahan berlaku di kalangan pengguna. Kenaikan harga bahan-bahan mentah menyebabkan industri-industri lain turut terjejas. Situasi ini sedikit sebanyak menuntut kepada pencarian alternatif lain bagi membekalkan tenaga dengan kadar segera.

Terdapat pelbagai usaha untuk mencari penyelesaian bagi permasalahan ini. Antaranya, melancarkan secara meluas penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy). Menerusi Rancangan Malaysia ke-10, Polisi Tenaga Baru telah diperkenalkan yang antaranya adalah untuk memacu ke arah pembangunan strategik pelbagai sumber tenaga baru termasuklah tenaga yang diperbaharui. Rakyat harus diperkenalkan secara meluas menerusi media massa terhadap pelan tindakan dan usaha-usaha penyelidikan tenaga ini supaya mereka lebih memahami dan bersedia pada masa hadapan.

Apakah ia tenaga boleh diperbaharui? Ia merupakan sejenis tenaga yang dihasilkan daripada janaan sumber semula jadi seperti cahaya matahari, angin, hujan, ombak dan geoterma, yang mana ia diperbaharui secara semula jadi. Tenaga ini lebih bersih dan tidak akan pupus. Ia menghasilkan kuasa solar, hidro-elektrik, biojisim dan bahan bakar bio yang penting untuk industri.

Gabungan penggunaan tenaga-tenaga ini dapat memberikan bekalan tenaga yang lebih lestari, konsisten, bersih dan menyelamatkan bumi dari kesan pencemaran. Negara-negara maju seperti Jepun, Korea dan benua Eropah sedang giat mengusahakan sektor tenaga boleh diperbaharui ini secara meluas di negara mereka.

Negara jiran, Thailand walaupun dalam keadaan politik yang tidak stabil, begitu pesat membangunkan industri solar mereka. Semua negara ini mempunyai matlamat mencari sumber tenaga alternatif yang lebih lestari, selain daripada petrol.

Malaysia semestinya bertuah kerana secara geografinya terletak di garisan Khatulistiwa yang memberikan kelebihan terhadap bekalan kuasa matahari dan air yang tinggi. Kuasa solar yang selama ini mampu membekalkan bekalan sumber elektrik di kawasan-kawasan pedalaman di Malaysia, sepatutnya diperluaskan dengan lebih giat ke seluruh negara terhadap pelbagai sektor.

Terdapat suntikan usaha-usaha penggunaan solar oleh organisasi-organisasi tertentu, namun masih di peringkat minimum. Manakala, hujan yang turun sepanjang tahun yang selama ini dibiarkan terbuang sebenarnya boleh dijana dan dibentuk menjadi sumber tenaga hidro.

Selain itu, kelebihan industri kelapa sawit yang meluas di negara ini dapat memberikan impak menerusi bahan bakar bio. Kelebihan ini perlu dipergunakan sebaik mungkin dan usaha yang giat sepatutnya diperluaskan. Penyelidikan-penyelidikan berskala besar perlu diperuntukkan untuk sektor ini dan hasil penyelidikan sepatutnya telah mula dikomersialkan bagi penggunaan semua.

Ramai berpendapat, penghasilan tenaga alternatif lebih tinggi daripada petrol. Namun hakikatnya, adakah kita mempunyai pelan perancangan jangka panjang jika sesuatu berlaku kepada sumber asli ini? Apakah yang akan berlaku sekiranya kita terlampau bergantung terhadap satu sumber yang tidak lestari?

Ini pastinya boleh menyekat pertumbuhan negara pada masa hadapan. Dengan kadar pertambahan bilangan rakyat Malaysia di masa hadapan, ia sedikit sebanyak bakal mempengaruhi permintaan tenaga yang tinggi. Usaha untuk menggalakkan rakyat berjimat cermat adalah baik, namun ia lebih bersifat sementara. Oleh itu, perancangan jangka panjang untuk penghasilan tenaga-tenaga lain merupakan satu tindakan bijak untuk kesejahteraan negara.

Di Malaysia sendiri sebenarnya terdapat banyak pusat penyelidikan untuk tenaga yang boleh diperbaharui ini. Hampir semua universiti-universiti awam mempunyai pusat penyelidikan dengan kapasiti penyelidik yang ramai. Kepakaran warga tempatan untuk menyalurkan khidmat nasihat kepada kerajaan dalam melancarkan Polisi Tenaga Baru amat signifikan dalam menjana pembangunan negara. Apa yang pasti, proses ini haruslah dijalankan secara berterusan dan sistematik.

Antara yang patut dilakukan adalah mula mengorak langkah terhadap pemasaran hasil penyelidikan di dalam bidang ini dengan skala yang besar. Hasilan penyelidikan bahan bakar bio sepatutnya telah mula dikomersialkan bagi penggunaan pengangkutan awam. Ini akan mengurangkan kadar permintaan terhadap bahan bakar asli petrol. Permintaan seharusnya dihalakan kepada bahan bakar bio, yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dan menjana pertumbuhan ekonomi baru. Pelan tindakan ini sekurang-kurangnya mampu memberi peluang kepada rakyat Malaysia merasai kelebihan bahan bakar bio, di samping terus menggunakan petrol sedia ada. Bagi masa hadapan, potensi memasarkan bahan bakar bio ini akan lebih mudah diterima.

Selain itu, bangunan-bangunan pentadbiran awam dan sekolah-sekolah di seluruh pelosok negara, sepatutnya sudah mula menggunakan sistem solar. Ini secara tidak langsung memperkenalkan industri solar dengan kadar lebih luas.

Terdapat sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa harga pengaplikasian sistem solar adalah lebih tinggi, namun penggunaan kuasa solar untuk bangunan-bangunan ini akan menyebabkan berlakunya penurunan terhadap permintaan tenaga elektrik yang dijana melalui sumber bakar asli. Jadi, secara tidak langsung, ia memberi keseimbangan ekonomi negara pada masa hadapan. Peluang-peluang industri kecil di dalam bidang ini juga akan berkembang sekali gus meningkatkan pasaran kerja yang lebih banyak.

Kesimpulannya, melalui pelan tindakan dan pelaksanaan strategi yang betul, usaha-usaha memantapkan bidang tenaga yang diperbaharui ini boleh dipasarkan secara meluas. Semestinya, semua rakyat Malaysia mengimpikan kemajuan dan pembangunan negara yang stabil dalam suasana yang harmoni. Realitinya, untuk mencapai objektif ini, kita memerlukan pasaran tenaga dari sumber yang stabil. Melalui kapasiti tenaga yang stabil, ia akan membentuk pembangunan negara yang produktif dan berterusan.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Perak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 1 Februari 2011

ISU BAHASA : Bahasa negara sendiri berkesan guna mendidik

Oleh : Teo Kok Seong
teokok@ukm.my.

Pihak mahu kekal PPSMI tak yakin keupayaan bahasa Melayu


SERUAN sekumpulan ibu bapa kepada kerajaan bagi kali ketiga setelah pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI diumumkan pada Julai 2008, untuk diberi pilihan agar bahasa Inggeris terus digunakan dalam mengajar dua mata pelajaran itu di sekolah kebangsaan, boleh diinterpretasikan sebagai tindakan yang tidak meyakini kemampuan bahasa Melayu untuk menyampaikan ilmu sains dan teknologi. Ia juga boleh dilihat sebagai tindakan yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Kumpulan ibu bapa ini juga menyerahkan kepada kerajaan petisyen berserta dengan 10,000 tandatangan, yang menyokong PPSMI dibenarkan terus wujud di sekolah kebangsaan tertentu, sekiranya ia dimohon oleh sebahagian besar ibu bapa. Mereka juga menyeru agar sekolah menengah tertentu dikhaskan untuk terus mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, setelah dua mata pelajaran itu dipelajari dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.
Sekolah yang dicadangkan ini turut diberikan nama, iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan 1Malaysia. Dengan menggunakan nama 1Malaysia, mengambil panggilannya daripada Gagasan 1Malaysia, kumpulan ini mahu kerajaan menyedari bahawa ia perlu mendahulukan rakyat, seperti janji pada slogan yang selalu dilaung-laungkan oleh kerajaan – ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’

Selain petisyen, kumpulan ini menyerahkan memorandum yang mengandungi hujah penting, ekoran daripada perbincangan dalam tiga forum yang bertajuk A Discourse on Malaysia Education Policies – Science and Math in English as an Option, yang sudah tentu dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Forum ini yang diadakan di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur dilaporkan mendapat sambutan baik daripada rakyat, sehingga mereka perlu didahulukan mengikut semangat Gagasan 1Malaysia.

Hasrat dan seruan untuk mengembalikan PPSMI di sekolah tertentu, seperti yang dinyatakan oleh kumpulan ini, adalah untuk memberi murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah pendidikan yang terbaik mungkin dan dalam bahasa yang paling sesuai pula. Dengan ini, ibu bapa berkenaan berkata bahawa mereka tidak sekali-kali menentang Dasar Memartabatkan Bahasa Inggeris, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBM-MBI), yang digubal untuk menggantikan PPSMI, khususnya dalam meneruskan kepentingan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara.

Apa yang mereka mahu ialah diberi pilihan, seperti yang berlaku pada sekolah vernakular yang dibenarkan mengajar dua mata pelajaran itu dalam bahasa etnik tertentu. Sehubungan ini, kebenaran menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil, adalah selari dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Inggeris yang tidak pun bahasa etnik mana-mana kaum di Malaysia, boleh dilihat sebagai tidak ada sebarang kaitan dengan peruntukan ini. Justeru perbandingan bahasa Inggeris dengan bahasa etnik sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular, didapati tidak berasas dalam tuntutan kumpulan ini.

Persoalan utama yang timbul daripada hasrat dan seruan kumpulan ini, yang dikatakan disokong oleh ramai ibu bapa di seluruh Malaysia, adalah mereka tidak yakin kepada kemampuan bahasa Melayu untuk memajukan bangsa dan negara Malaysia, setelah negara melaksanakan PPSMI selama tujuh tahun, iaitu dari 2003 sehingga 2010. Sehubungan ini, PPSMI didapati memudaratkan banyak murid dan pelajar di seluruh Malaysia.

Dasar MBM-MBI yang menggantikan PPSMI dan mula berkuat kuasa pada 2011, ikut tidak diyakini mereka, walaupun mereka menafikan hakikat ini. Pengakuan ibu bapa ini bahawa mereka mahu yang terbaik untuk pendidikan anak mereka, dan yang disampaikan dan diterima pula dalam bahasa yang paling sesuai dengan anak mereka, adalah satu penghinaan terhadap pendidikan di sekolah kebangsaan, yang diajar dan dipelajari dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa negara kita!

Model penggunaan bahasa negara sendiri untuk memajukan rakyat dan negara, bukan sesuatu yang baru, dan dipilih oleh hanya Malaysia. Model ini telah terbukti kejayaannya di merata tempat. Dalam hal ini, Rusia yang menggunakan bahasa negara sendiri, didapati mampu menandingi banyak negara besar yang lain, sehingga menjadi peneraju yang tiada tolok bandingnya dalam bidang sains angkasa.

Jerman juga menggunakan bahasa negara sendiri dan amat dikenali sebagai berjaya dalam bidang automobil. Beberapa jenama besar kereta di dunia adalah hasil keluaran Jerman. Finland yang juga menggunakan bahasa negara sendiri, berjaya memajukan rakyatnya sehingga berhasil mengeluarkan telefon bimbit yang paling popular di dunia di bawah jenama Nokia.

Di rantau ini, Jepun dan Korea yang bangga sekali dengan penggunaan bahasa negara sendiri untuk mendidik anak bangsa, didapati amat berjaya dalam bidang teknologi. Thailand yang menggunakan bahasa negara sendiri, iaitu bahasa Thai, disegani oleh jirannya di rantau ini dalam bidang teknologi pertanian.

Perbandingan dengan semua negara ini, dikatakan oleh sesetengah pihak yang menyokong PPSMI diteruskan, adalah tidak adil. Ini adalah kerana semua negara ini memiliki sejarah yang jauh lebih lama daripada Malaysia, yang hanya berusia 54 tahun pada 2011. Hujah tempoh lama, yakni dalam pengertian sejarah negara yang ratusan tahun itu, dan pengembangan bahasa negara yang begitu lama, perlu ikut diguna pakai dalam kes Malaysia dan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa negara, lebih-lebih lagi sebagai bahasa ilmu, dalam tempoh ratusan tahun, mulai 1957 sehingga 3030 misalnya, sudah tentu berjaya bukan saja mengembangkannya, tetapi lebih penting berhasil memantapkannya dalam apa jua domain pemakaian, khususnya yang berkaitan dengan budaya tinggi.

Dasar MBM-MBI perlu disambut dengan baik oleh rakyat dalam bentuk sistem persekolahan yang sedia ada, dan bukannya dengan pertambahan bentuk baru, misalnya Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan 1Malaysia. Sistem pendidikan yang wujud kini dengan pelbagai jenis/aliran, tidak perlu dikusutkan lagi. Secara unggulnya, Malaysia hanya memerlukan satu jenis sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan yang menggunakan bahasa negara sendiri, iaitu bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa pengantar.

Dengan pelaksanaan yang berkesan, Dasar MBM-MBI mampu menghasilkan anak bangsa yang bukan saja menguasai bahasa Melayu selaku bahasa negara, pada tahap yang baik, tetapi lebih penting lagi adalah anak bangsa yang bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara ini. Pada masa yang sama, mereka ikut berjaya menguasai bahasa Inggeris, iaitu bahasa antarabangsa yang penting, dengan baik sekali.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/