Ahad, 24 April 2011

ISU KESIHATAN : Makanan berkhasiat bantu pembelajaran

MAKANAN baik dan berkhasiat menyumbang kepada kesihatan tubuh badan dan seterusnya kepada perkembangan otak. Pelajar sekolah kebanyakannya terdedah dengan budaya pemakanan tidak sihat terutama ketika berada di luar sekolah. Kesihatan diri dengan amalan gaya hidup sihat seharusnya menjadi amalan dalam kehidupan.

Dalam hal ini, makanan tidak sihat dan tidak berkhasiat menyumbang kepada ketidakseimbangan tumbesaran kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dan juga mereka yang berusia 13 hingga 17 tahun iaitu satu tempoh perkembangan yang penting dalam tumbesaran seseorang.

Mengamalkan gaya hidup sihat melalui mengawal makan adalah langkah paling baik dan berkesan bagi mengelakkan kegemukan atau obesiti di kalangan kanak-kanak terutama murid sekolah rendah dan menengah.

Kalangan pelajar terutamanya kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar seharusnya mereka dipastikan hanya makan makanan baik dan berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan susu selain perlu dididik menjauhi makanan ringan yang boleh menjejaskan tumbesaran.

Kajian menunjukkan kebanyakan makanan ringan masa kini banyak mengandungi gula, garam, pewarna dan perasa tiruan yang boleh mengakibatkan kerosakan gigi, menyumbang kepada obesiti, masalah buah pinggang dan pelbagai penyakit berbahaya.

Kesan daripada pengambilan makanan ringan berlebihan menyebabkan kanak-kanak terutama pelajar akan berada dalam keadaan mengantuk, letih, tidak bermaya di dalam kelas, tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran dan cepat lupa. Sedangkan bagi seseorang pelajar mereka perlu sentiasa berada dalam keadaan sihat, cergas dan dapat menumpukan pelajaran dengan sepenuh perhatian.

Ada juga kalangan mereka yang makan berlebihan terutama makanan mengandungi lebih lemak menyebabkan kegemukan. Apabila gemuk pelbagai penyakit boleh menyerang antaranya darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Justeru Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran melarang juadah mengandungi gula, garam dan lemak berlebihan tidak dibenarkan dijual di kantin sekolah. Kajian menunjukkan 10,000 sekolah rendah dan menengah terbabit di seluruh negara. Peraturan tersebut membabitkan 5.3 juta pelajar di sekolah rendah dan menengah.

Sehubungan itu, kerajaan menguatkuasakan peraturan melarang penjualan makanan dan minuman yang tidak berkhasiat selain mengurangkan kekerapan hidangan yang menggemukkan. Juadah nasi lemak kini hanya dibenarkan dijual seminggu sekali. Makanan seperti nasi lemak setiap hari memang tidak elok kerana mengandungi lemak dan mendedahkan kita kepada risiko mendapat pelbagai penyakit.

Makanan di kantin sekolah dikatakan mengandungi banyak minyak dan kalori didakwa tidak memberi khasiat yang diperlukan kerana tiada pemantauan berkala. Makanan seperti nasi lemak, kentang goreng, kurang sajian sayur-sayuran, buah-buahan yang menyebabkan ketidakseimbangan yang diperlukan tumbesaran badan. Pengusaha kantin bukan saja perlu mengurangkan kekerapan menjual nasi lemak tetapi juga makanan ringan yang digoreng seperti nugget.

Dalam melaksanakan langkah tersebut juga, pengusaha kantin sekolah digalakkan menggunakan santan rendah lemak bagi mengelakkan obesiti di kalangan pelajar. Selain isu makanan, semua guru juga diwajibkan mencatatkan Indeks Jisim Badan (BMI) dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding hanya memasukkan berat badan dan tinggi seseorang dalam amalan sebelum ini.

Bagaimanapun, kesatuan guru tidak mahu perkara ini menjadi beban kepada guru dan suatu langkah yang bijak perlu diambil bagi menanganinya. Antaranya, kerjasama pelajar juga penting dalam usaha mengelakkan kegemukan dan obesiti demi menerapkan amalan penjagaan kesihatan diri.

Dalam menangani masalah obesiti di kalangan pelajar, semua pihak mesti memainkan peranan penting dan berkesan. Ibu bapa juga memainkan peranan bagi memastikan anak-anak tidak terdedah dengan makanan tidak sihat, makanan segera di rumah dan semasa berada di luar.

Pihak sekolah juga perlu memantau penjualan makanan ringan sama ada di koperasi sekolah, di kantin dan di pekarangan iaitu di luar pagar sekolah. Peniaga juga jangan mengharapkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesannya kepada kanak-kanak dengan menjual makanan sesuka hati.

Kesan negatif terhadap pengambilan makanan ringan ini dikatakan mengandungi kesan jangka pendek iaitu mudah mengalami pelbagai penyakit seperti batuk, selesema, badan tidak bermaya di samping kesan jangka panjang yang boleh membantutkan tumbesaran dan menyebabkan obesiti.

Kajian menunjukkan obesiti menyebabkan pengumpulan lemak berlebihan di dalam badan yang menyumbang kepada kegemukan. Apabila badan gemuk akan menyebabkan pelbagai penyakit antaranya kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Sementara itu, kajian mendapati hampir tiga juta rakyat Malaysia yang kebanyakannya kanak-kanak dan remaja mengalami masalah kegemukan atau obesiti pada tahun 2000. Daripada kajian itu 25.6 peratus terdiri daripada masyarakat India, Melayu 22.4 peratus dan Cina 19.5 peratus.

Risiko obesiti menyebabkan pelbagai penyakit seperti kardiovaskular, strok atau angin ahmar, tekanan darah tinggi, diabetes, paras kolesterol tinggi, gout, sakit belakang, sukar bernafas, sakit lutut dan pinggang, gangguan pembuangan air kecil, penyakit hati dan barah usus.

Golongan obesiti dikatakan mempunyai berat badan sekurang-kurangnya dua kali lebih berat berbanding ukuran ideal. BMI melebihi 40 atau 35. Justeru, langkah yang lebih proaktif perlu dilakukan lebih awal di peringkat sekolah bagi menanganinya.

Langkah paling penting melalui pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), guru memberi kefahaman dan kesedaran kepada murid sekolah berkaitan makanan seimbang dan tidak seimbang yang boleh memberi kesan kepada kesihatan masa depan. Selain itu, pihak sekolah juga patut menggalakkan lebih aktiviti senaman setiap pagi di sekolah.

Di sekolah melalui mata pelajaran PJK, murid diajar tentang kesihatan diri dan keluarga, gaya hidup sihat yang menjurus kepada amalan pemakanan yang sihat dan tidak sihat. Peranan dan tanggungjawab ahli keluarga juga penting dalam memastikan pelajar mengambil makanan sihat dan berkhasiat.

Ironinya, ramai ibu bapa bersetuju kantin sekolah menyediakan makanan berkhasiat dan menyekat makanan tidak berkhasiat dihidangkan kepada pelajar sebab ramai kanak-kanak pada masa kini mengalami masalah obesiti dan kesihatan. Kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sesebuah sekolah juga dapat mengurangkan dan mengatasi masalah kesihatan dan obesiti di kalangan pelajar di sesebuah sekolah.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Sabtu, 23 April 2011

ISU PENDIDIKAN : 300 sekolah naik taraf sekolah kluster menjelang 2015

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran Malaysia mensasarkan sebanyak 300 Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) menjelang 2015, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata, sehingga kini 124 sekolah dinaikkan taraf kepada SKK termasuk 30 sekolah hari ini, manakala 26 sekolah lagi mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sebelum ini.

Katanya, 16 SKK dinaikkan taraf sebagai SBT kohort 1 pada 2010 sementara 10 SKK lagi sebagai SBT kohort 2 pada Februari lalu.

"Saya berharap warga SKK menjadi 'role model' dan pembimbing kepada sekolah lain yang berhampiran dan seterusnya menjadi contoh dan 'show case' di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya ketika mengumumkan 30 sekolah yang dinaikkan taraf SKK pada majlis Pengiktirafan SKK Fasa 4 di sini, hari ini.

Johor mendahului senarai SKK dengan empat sekolah; Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing tiga sekolah; Melaka, Sabah, Kuala Lumpur dan Pahang masing-masing dua sekolah; manakala Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Kedah dan Terengganu masing-masing satu sekolah.

Beliau berkata, kejayaan beberapa sekolah perlu dicontohi seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail Johor Baharu yang berjaya mendapat satu pingat emas dan satu pingat gangsa untuk "2nd Apec Future Scientist Conference" di Thailand.

Katanya, Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor, SMS Hulu Selangor dan Kolej Islam Sultan Abdul Aziz Shah pula memenangi satu pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa di Akademi Sains Korea di Busan bagi Program "Student's Camp for Gifted in Science".


"Begitu juga SMK Ave Maria Convent Ipoh berjaya mendapat pingat Perak dalam pertandingan pancaragam "Singapore International Band 2010" dan Sekolah Sukan Bukit Jalil mendapat tempat pertama dalam pertandingan hoki "International Hockey Tournament" yang diadakan di Perth, Australia," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh suku tahun pertama tahun ini, SKK menjayakan sebanyak 17 program pengantarabangsaan, termasuk SMK Victoria, Kuala Lumpur yang berjaya mendapat tempat pertama bagi pertandingan Poster Sains (Inovasi) di "10th ACA (Independent) Life Sciences Symposium 2011" yang diadakan di Singapura bulan lalu. – BERNAMA

Jumaat, 22 April 2011

SENARAI 30 SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN BAHARU SEBAGAIMANA DIISYTIHARKAN OLEH KPPM PADA 22 APRIL 2011

KATEGORI SEKOLAH MENENGAH :

1. SM TEKNIK JOHOR BAHRU

2. SBP INTEGRASI GOPENG, PERAK

3. SM SAINS SABAH

4. SBP INTEGRASI SABAK BERNAM, SELANGOR

5. SMAP LABU, NEGERI SEMBILAN

6. SM SAINS JOHOR, KLUANG

7. SM SAINS TUANKU JAAFAR, N.SEMBILAN

8. SBP INTEGRASI JEMPOL

9. SMK CONVENT GREEN LANE, PULAU PINANG

10. SMJK KEAT HWA, KEDAH

11. SEKOLAH AGAMA MENENGAH BESTARI, SELANGOR

12. SM ISMAIL PETRA, KELANTAN

13. SMK DATO’ PENGGAWA BARAT, JOHOR

14. SMK SERI PEKAN, PAHANG

15. SMK SERI KUANTAN, PAHANG

16. SMK SERI BINTANG UTARA, KUALA LUMPUR

17. SMK AGAMA LATI, KELANTAN

18. SMK CONVENT, TAIPING

19. SMK INFANT JESUS COVENT, MELAKA


KATEGORI SEKOLAH RENDAH :

1. SK AGAMA MIRI

2. SK SERI AMPANG, PERAK

3. SK SERI WAKAF BARU, KELANTAN

4. SK PAYA RUMPUT, MELAKA

5. SK ST ANNE, LABUAN

6. SK TAMAN MEGAH, SELANGOR

7. SK TENGKU MAHMUD, TRENGGANU

8. SJKC JALAN DAVIDSON, KUALA LUMPUR

9. SJKT LADANG PAMOL, JOHOR

10. SK PERANCANGAN RANAU, SABAH

11. SK MANTOB, SABAH

Sumber : http : //www.bernama.com/

ISU KESIHATAN : Tingkatkan perkhidmatan kesihatan mental masyarakat

Oleh : Khairul Azhar Bin Idris

SATU perkara yang merunsingkan kita semua apabila dianggarkan ramai penduduk di negara ini akan mengalami pelbagai bentuk gangguan berkaitan kesihatan mental menjelang tahun 2020.

Ini adalah anggaran yang telah dinyatakan oleh sebuah laporan akhbar pada 17 Ogos tahun 2005 di mana pada tahun 2020 itu nanti, penyakit mental dianggarkan akan menjadi penyakit nombor satu negara.

Negara kita telah melalui tempoh masa hampir 30 tahun sejak Kementerian Kesihatan memulakan satu kajian buat julung kali dikenali sebagai Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan iaitu bermula pada tahun 1986. Berdasarkan kepada hasil kajian berkaitan yang terkini iaitu yang ketiga pada tahun 2006, didapati trend gangguan kesihatan mental yang mengundang kepada pelbagai gejala penyakit mental di kalangan rakyat menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan.

Ia menjadi amat serius apabila diberitakan oleh satu laporan akhbar bertarikh 20 Mac 2011 di mana setiap seorang daripada lima rakyat Malaysia akan menjadi gila.

Jika benar dan andai gila itu dirujuk kepada skizofrenia, maka seorang dari lima individu negara ini akan menghidapi skizofrenia. Begitu juga jika gila itu ditakrifkan sebagai post partum depression (gila meroyan), maka akan ada seorang dari setiap lima orang wanita yang lepas bersalin itu akan gila meroyan.

Dan jumlah ini belum termasuk lagi bagi kategori gila judi, epilepsi (sawan atau juga gila babi) dan sebagainya. Memandangkan negara kita mempunyai 27 juta penduduk, ini bermakna di negara kita sekarang ini sudah sedia ada seramai 5 juta orang gila, sama ada gila skizofrenia, gila bipolar, gila kemurungan, gila meroyan, gila babi atau gila judi.

Walau apa jua jenis gila, terutamanya gila yang dikatakan berpunca akibat daripada stres atau tekanan, permasalahan hidup dan sebagainya, ia tetap mampu menjejaskan kesihatan mental dan akan semakin bertambah pada setiap masa. Sudah pasti apabila kestabilan kesihatan mental itu terjejas, maka risiko untuk menghidapi penyakit mental (full blown mental illness) juga akan turut meningkat.

Dari segi patologi penyakit mental, pada peringkat awalnya, ia lebih menjurus kepada keadaan yang dikenali sebagai gangguan kesihatan mental. Gangguan ini biasanya adalah kecil dan ringan sahaja, tidak mendatangkan kesakitan atau kepayahan yang ketara dalam kehidupan harian individu itu. Akibatnya ia seringkali diabaikan dan kurang diberi perhatian.

Namun ia sebenarnya mampu meningkatkan lagi risiko seseorang itu untuk menghidapi penyakit mental yang lebih serius jika rawatan awal tidak diberi. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes seperti ini, keputusan bagi mendapatkan rawatan penyakit mental biasanya adalah keputusan terakhir dan sudah terlewat serta apabila penyakit itu telah mencapai tahap serius. Akibatnya, usaha pemulihan menjadi lebih sukar.

Jika ditinjau lagi anggaran jumlah pesakit mental di negara ini berdasarkan kepada laporan akhbar tersebut yang mengatakan kini terdapat seramai 5 juta pesakit mental di negara ini, tetapi jumlah kes penyakit mental yang dirujuk untuk rawatan di hospital-hospital kelolaan Kementerian Kesihatan pula menunjukkan kepada kita bahawa tidak sampai suku juta pun.

Bagi mereka yang prihatin dalam isu kesihatan mental masyarakat, situasi ini sememangnya pasti akan mencetuskan kehairanan dan suatu tindakan yang bersungguh-sungguh serta agresif mesti dilakukan untuk memperbaiki keadaan.

Kajian dan pemerhatian perlu segera dijalankan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Pendekatan tunggu dan lihat serta berdiam diri hanya akan memburukkan lagi keadaan dan akan menghalang sebarang usaha bagi mewujudkan penjagaan kesihatan mental yang sempurna kepada masyarakat.

Dalam beberapa kajian oleh negara-negara maju berhubung kurangnya masyarakat yang menggunakan perkhidmatan kesihatan mental mendapati ia berpunca dari stigma negatif terhadap penyakit dan pesakit mental. Malah, stigma negatif ini diwarisi dan tersebar ke seluruh pelosok dunia termasuklah di negara ini.

Persepsi negatif masyarakat ini merupakan punca utama betapa tegarnya masyarakat dalam menafikan hak mereka sendiri untuk memperbaiki keadaan kesihatan mental mereka.

Walaupun beberapa usaha untuk mengurangkan stigma dilakukan, seperti mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan mental ke dalam sistem penjagaan kesihatan utama negara telah dimulakan, namun keadaan yang serupa tidak berlaku di dalam sistem komuniti setempat.

Perlu ada usaha untuk mengintegrasikan sistem perkhidmatan kesihatan mental di peringkat komuniti yang diterajui oleh pihak berkaitan seperti Pihak Berkuasa dan Kerajaan Tempatan, Pusat Kesihatan Kecil atau Daerah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Persatuan-persatuan Penduduk, NGO, dan sebagainya.

Mekanisme pelaksanaan usaha ini perlu difikirkan bersama di peringkat nasional agar integrasi sistem ini di dalam komuniti berjaya, bukan sahaja menjamin kesihatan mental yang baik masyarakat, tetapi juga mengurangkan stigma berkaitan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Kemajuan Hambar Tanpa Budi Bahasa

KERAJAAN sudah mengadakan pelbagai kempen berkaitan amalan berbudi bahasa termasuklah Bulan Budi Bahasa sebagai usaha menyedarkan masyarakat betapa penting unsur budi bahasa diterapkan sebagai amalan peribadi. Malah, kita sering membaca slogan, Budi Bahasa Budaya Kita dan Bahasa Menunjukkan Bangsa.

Setakat mana kesedaran kita mengenai kempen itu? Adakah amalan berbudi bahasa semakin menyerap ke dalam jiwa kita atau kita masih memandang remeh akan hal berkenaan?

Berbudi bahasa dapat diertikan sebagai percakapan yang baik, elok dan bersopan dalam tutur kata, tinggi dan berhemah budi bicara, beradab, bersopan santun, tertib, bersikap lemah lembut, bertingkah laku baik dan mempunyai akhlak murni. Jadi, dilihat dari segi definisinya budi bahasa begitu luas skopnya meliputi segenap kehidupan manusia.

Dalam Islam, amalan berbudi bahasa diletakkan pada kedudukan tinggi dan amat digalakkan. Malah, pembangunan sesebuah masyarakat atau negara tidak sempurna tanpa rakyatnya kurang budi bahasa. Imam Bukhari ada merekodkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah.

Kata Aisyah, Rasulullah s.a.w bersabda, Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia suka dengan kelembutan. Allah akan memberikan balasan daripada kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya.

Rasulullah dalam usaha membawa syiar Islam di bumi Arab sentiasa meninggalkan contoh teladan berkenaan amalan budi bahasa yang mulia.

Dikatakan Nabi s.a.w sentiasa menyambut tetamunya dengan kata-kata lemah lembut sekalipun tetamu yang mengunjungi Baginda dikenali sebagai orang yang berperibadi buruk. Inilah sifat dakwah Baginda sebagai ubat penawar menjinakkan jiwa manusia agar mengikuti ajaran yang dibawanya.

Aisyah juga ada menceritakan satu kisah yang katanya, Sesungguhnya seorang lelaki meminta izin untuk masuk berjumpa Nabi s.a.w. Lantas Nabi s.a.w menjawab, Persilakanlah masuk. Dia adalah lelaki yang berperangai buruk daripada sebuah keluarga. Tatkala lelaki tersebut masuk berjumpa Nabi s.a.w, kemudian Nabi s.a.w menyambutnya dengan kata-kata lemah lembut.

Aisyah kemudian melontarkan pertanyaan kepada Baginda, Wahai Rasulullah, mengapa kamu (Baginda) bercakap dan bersikap lemah lembut? Apa kata Nabi s.a.w apabila mendengar pertanyaan isteri kesayangannya itu? Kata Nabi, Wahai Aisyah, sesungguhnya orang yang kedudukannya paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat kelak ialah orang yang dijauhi atau orang yang ditinggalkan orang ramai kerana mereka takut akan kejahatannya (orang yang buruk tutur kata dan tingkah lakunya). (Hadis riwayat Bukhari).

Ini adalah teladan terbaik buat kita yang hidup di zaman mutakhir agar menjadikan amalan berlemah lembut dan berbudi bahasa sebagai teras keperibadian.

Sebenarnya seseorang yang bersikap berbudi bahasa luhur akan disenangi orang ramai dan secara tidak langsung akan dapat membina satu kehidupan sosial yang sejahtera aman damai. Jadi, dalam era moden yang kita kecapi kini, sikap berbudi bahasa perlu diutamakan kerana masyarakat yang kontang dengan sikap mulia itu akan mengundang pelbagai kerencatan dan kemudaratan kepada sesama manusia, malah pembangunan itu menjadi tidak bermakna.

Sebagai hamba Allah kita wajar menjadikan berbudi bahasa sebagai satu saluran gambaran akal budi dan keindahan sosial. Matlamat negara menuju sebuah negara maju menjelang 2020 telah menggariskan nilai akhlak, moral sebagai tunjang utama. Ini disebabkan kemuliaan dan kebahagiaan sesuatu masyarakat atau bangsa itu banyak bergantung kepada pengamalan sikap mulia seperti berbudi bahasa.

Dalam usaha pembangunan dan kemajuan, fokus pembangunan nilai berbudi bahasa tidak boleh dilupuskan begitu saja malah perlu sentiasa diperkasa setiap masa. Masyarakat yang rosak sikap budi bahasa akan menjerumuskan negara ke kancah tidak sihat dan melambangkan keburukan wajah negara.

Tamadun sesuatu bangsa tidak dicipta hanya dengan pembangunan material semata-mata, tetapi penonjolan nilai budi bahasa rakyatnya yang menjadi pencorak kepada keberkesanan pembangunan dan tamadun tersebut. Kita sebagai umat contoh lagi terbaik di sisi Allah mesti mengupayakan diri untuk mempamerkan sahsiah peribadi terunggul dan kaedah pertama yang patut dilakukan ialah melalui pendekatan lisan.

Allah melalui Surah An-Nisaa ayat 148 ada menegaskan, Allah tidak suka akan perkataan-perkataan jahat yang keluar daripada mulut seseorang, melainkan perkataan (pengalaman) yang keluar daripada mulut orang yang dizalimi (yang menyebut keburukan yang dilakukan ke atasnya dalam pengaduannya) dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Dalam usaha mengejar kemajuan dalam apa jua bidang baik ekonomi, politik atau pendidikan, kita sebagai mukmin mesti sentiasa menjadikan sikap berbudi bahasa dengan amalan adab sopan murni, tutur kata yang elok, penampilan wajah tersenyum yang menyenangkan dan bertata susila sebagai sahsiah peribadi.

Nilai budi bahasa akan menjadi kayu pengukur utama tahap kemuliaan seseorang dengan manusia lain. Melalui sikap berbudi bahasa akan dapat membina kehidupan ummah yang sihat, sejahtera dan mampu memperkasakan tamadun tinggi.

Sesungguhnya amalan nilai berbudi bahasa merupakan amalan bersifat universal dan semua agama di dunia ini turut menekankan agar penganutnya mengamalkan nilai peribadi ini dalam kehidupan.

Jadi, jelaslah di sini bahawa amalan berbudi bahasa seharusnya dijadikan sifat umat sejagat kerana ia mampu mencorak kehidupan manusia untuk hidup lebih harmoni dan positif. Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa, sendi bangsa ialah budi, runtuh budi, runtuhlah bangsa.

Kepada rakyat Malaysia mari kita hayati sebahagian daripada lirik lagu Budi Bahasa Budaya Kita, lagu yang dicipta oleh Suhaimi Md Zin atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah ini: Bangsa Malaysia berhemah tinggi, ramah dan mesra elok pekerti, yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi, bertimbang rasa, hormat-menghormati.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Khamis, 21 April 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Usaha pengkomersialan produk inovasi

RosPin produk inovasi pelajar sekolah pertama dipasarkan

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ingin merujuk kepada penulisan rencana oleh Aznan Bakar, “Hargai Budaya Inovasi Tempatan” (Utusan Malaysia, 20 April 2011).

MOSTI ingin membetulkan beberapa kenyataan yang dibuat oleh penulis mengenai peranan MOSTI yang tidak begitu tepat dan boleh menimbulkan tanggapan negatif. Sebagai makluman penulis, usaha pengkomersialan tidak sahaja terletak di bawah tanggungjawab MOSTI, tetapi juga pelbagai pihak yang lain seperti universiti-universiti, institusi-institusi penyelidikan, kementerian-kementerian yang menerima dana R&D, Unit Inovasi Khas (UNIK) dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Setakat 31 Disember 2010, MOSTI telah membiayai 4,558 projek R&D. Daripada jumlah ini, sebanyak 2,558 projek atau 56 peratus telah siap manakala selebihnya masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Dalam tempoh tersebut juga pelbagai peringkat pengkomersialan R&D telah dicapai. Ini termasuklah pengwujudan 1,308 harta intelek, terdiri daripada 578 paten, 28 reka bentuk industri, 462 hakcipta dan 240 cap dagang. Malah sebanyak 272 projek atau 10.6 peratus daripada projek siap telah berjaya dikomersialkan dengan nilai jualan sebanyak RM3.838 bilion.

Dalam usaha untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan untuk manfaat masyarakat, MOSTI telah memupuk kerjasama R&D antara institusi pengajian tinggi dengan sektor swasta bagi menjalankan projek-projek yang mendapat geran MOSTI. Malah, kerjasama antara institusi pengajian tinggi atau institusi penyelidikan dengan pihak swasta merupakan salah satu syarat pembiayaan dana.

Pihak swasta telah memainkan peranan yang aktif dalam pengkomersialan hasil R&D bagi projek-projek yang mendapat Dana Pengkomersialan R&D (CRDF) yang diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Sebanyak 131 projek telah mendapat kelulusan dana CRDF untuk dikomersialkan pihak swasta.

Selain itu, MOSTI juga menyediakan platform dalam bentuk sesi pemadanan perniagaan (business matching) di antara pihak penyelidik dengan industri bagi tujuan pengkomersialan dengan kerjasama agensi-agensi MOSTI iaitu SIRIM, Technology Park Malaysia, MTDC dan Multimedia Development Corporation (MDeC).

Sebagai langkah untuk memperkasa ekosistem inovasi negara, kerajaan telah menubuhkan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Pejabat Perdana Menteri pada 16 Julai 2010. Antara lain tujuannya mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan yang mempunyai potensi tinggi untuk dipasarkan.

Penulis juga menyentuh mengenai produk Rostrum Pintar yang dihasilkan oleh Sekolah Menengah Vokasional Kuantan. Sebenarnya, MOSTI dengan kerjasama Kementerian Pelajaran telah berjaya mengkomersialkan produk inovasi Rostrum Pintar (RosPin) ini di mana satu perjanjian pengkomersialan telah dimeteraikan di antara Syarikat Muslim Global Intelek Sdn. Bhd. dengan Sekolah Menengah Vokasional Kuantan pada 22 Februari 2011.

Di atas keprihatinan akan keperluan perekacipta individu atau akar umbi, MOSTI juga telah menubuhkan Innospace atau Pusat Inovasi Komuniti sebagai pusat rujuk kepada masyarakat setempat untuk membangunkan rekaan mereka. Buat masa ini terdapat dua buah Innospace iaitu di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah. Sebuah lagi Innospace akan ditubuhkan di Melaka pada tahun ini.

Kerajaan sememangnya amat menyedari keperluan diwujudkan pangkalan data mengenai produk inovasi sedia ada. Dalam perkara ini, UNIK telah menubuhkan pangkalan data harta intelek R&D untuk seluruh negara bagi tujuan pengkomersialan. Begitu juga dengan Yayasan Inovasi Malaysia yang telah menubuhkan pangkalan data inovasi akar umbi bagi tujuan yang sama.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Pengajian Melayu semakin meluas

Oleh Nizam Hamid

BEIJING 20 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin jalinan persefahaman dan persahabatan antara rakyat Malaysia dan China akan dapat diperkukuhkan lagi dengan meluasnya program Pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebanyak enam buah universiti di negara ini telah menawarkan program pengajian Bahasa Melayu iaitu Universiti Komunikasi China, Universiti Peking, Universiti Pengajian Asing Guandong, Universiti Bangsa-Bangsa Guangxi, Universiti Bangsa-Bangsa Yunnan dan Universiti Pengajian Asing Beijing.

“Saya dimaklumkan antara 49 jurusan yang ditawarkan di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), Bahasa Melayu merupakan salah satu jurusan yang amat popular,” katanya berucap semasa melawat universiti tersebut di sini hari ini.

Malah katanya, pelajar yang mengikuti jurusan itu telah dapat menguasai bahasa Melayu dengan amat baik sekali dan ia terbukti apabila dua pelajarnya menjadi johan dan naib johan pada Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri pada tahun lalu dan 2008.

Menurut beliau, iltizam dan penglibatan kerajaan Malaysia dan China dalam mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di negara ini telah ditingkatkan lagi dengan penubuhan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di BFSU pada 2008.

“Dengan wujudnya Kursi Pengajian Melayu di universiti ini, saya yakin usaha pemantapan program ilmiah dalam bidang pengajian Melayu, baik dalam penawaran kursus yang lebih luas, penyelidikan, penerbitan dan pengembangan kebahasaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan terhadap BFSU kerana memberikan tumpuan istimewa dalam program Pengajian Melayu sehingga universiti ini menjadi pusat pengembangan bahasa dan persuratan Melayu yang terunggul di China.

Tambahnya, BFSU juga aktif dalam menghantar tenaga pengajar bahasa Mandarin ke universiti di Malaysia dalam meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan mahasiswa.

Katanya, BFSU telah memulakan program bahasa Melayu sejak 1961 lagi dan mewujudkan Pusat Pengajaran Bahasa Melayu pada 1997 dan Pusat Pengajian Melayu China pada 2005.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan, kerajaan tetap memberi pengiktirafan terhadap bahasa Mandarin.

Malah katanya, kerajaan juga mengambil langkah memantapkan pengajaran bahasa Mandarin di sekolah dan IPT termasuk menghantar pelajar ke BFSU bagi mengikuti pengajian bahasa Mandarin dengan harapan mereka pulang untuk mengajar bahasa tersebut.

“Setakat ini terdapat seramai 119 pelajar Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran dan Mara di BFSU sejak 2007,” ujarnya.

Kunjungan ke BFSU diadakan sempena lawatan kerja seminggu Timbalan Perdana Menteri ke negara ini dan turut serta ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Pulai; Datuk Nurjazlan Mohamed dan Ahli Parlimen Lawas; Datuk Henry Sum Agong.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/