Isnin, 23 Mei 2011

ISU PENDIDIKAN : Risiko pelajar "berbulan madu"

Berikan anak sedikit kelonggaran

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my

USAI menduduki peperiksaan utama, pelajar bagai terlepas menanggung bebanan berat dengan rasa lega menguasai diri.

Lantas, pelbagai perancangan direncanakan bagi mengisi masa terluang dengan sebahagian besar pasti memasang angan-angan menjadikan tahun persekolahan berikutnya tahun berbulan madu terutama pelajar yang baru saja menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Mereka beranggapan sudah merdeka walaupun masih ada tanggungjawab belum selesai dan perjalanan masih jauh.

Namun, inilah budaya wajib sebahagian besar pelajar hari ini yang baru bebas daripada sengsara peperiksaan.

Kata mereka, apa salahnya berehat seketika selepas penat belajar. Tahun berikutnya boleh bertungkus-lumus semula.


Sekilas pandang, memang tidak salah, namun persoalannya adakah alam bulan madu itu boleh menjanjikan pelajar mampu memperoleh keputusan cemerlang dan tidak melupakan tanggungjawab belajar? Atau adakah ia hanya mengundang padah?

Kaunselor Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Alor Setar, Kedah, Yahya Ismail berkata, tidak salah jika pelajar ingin menikmati kebebasan selepas menghadapi peperiksaan, namun perlu diselarikan dengan pemahaman dan kesedaran mengenai tanggungjawab belajar yang masih belum selesai.

Beliau berkata, mereka juga memerlukan kerehatan minda serta fizikal seperti orang lain dan tidak salah sekiranya diberi kelonggaran berehat sebentar untuk melakukan perkara yang terpaksa dikorbankan sebelum peperiksaan.

“Kita tidak boleh mengharapkan mereka terus belajar dan belajar kerana ia bakal mewujudkan impak negatif yang mungkin lebih memudaratkan.

“Namun, kebebasan itu biarlah berteraskan panduan betul supaya tidak alpa atau leka dengan keseronokan. Masalahnya, ramai bersikap begitu hingga terlupa pada tanggungjawab belajar,” katanya.

Menurutnya, ‘berbulan madu’ sewaktu di tingkatan empat atau selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memang budaya sebahagian besar pelajar di negara ini.

Meskipun tidak salah, masyarakat termasuk ibu bapa melihat senario itu mengganggu tumpuan pelajar terhadap proses pembelajaran atau terjebak dengan pelbagai gejala sosial.

Yahya berkata, kebimbangan itu berasas namun tidak bermakna boleh menyekat kebebasan anak dengan melontarkan pelbagai andaian rambang hingga menjadikan mereka mangsa keadaan.

Katanya, pelajar adalah golongan sukar diramal, namun jika dididik dengan budaya persekitaran ilmu dan nasihat, tidak mustahil tahu menjaga diri.

“Masyarakat ada hak untuk menzahirkan pendapat atau kebimbangan itu, namun tidak bermakna boleh menghalang kebebasan pelajar.

“Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak mereka sentiasa belajar hingga ada kalanya melupakan kehendak asas pelajar sebagai manusia juga remaja.

“Ada pendekatan sesuai boleh digunakan. Saya yakin jika ibu bapa memberi perhatian, memahami, tidak mendesak, memberi kepercayaan serta menjadikan anak sebagai teman, mereka tidak mudah tersasar,” katanya.

Beliau mengakui cabaran ibu bapa hari ini sangat sukar dalam menghadapi kerenah dan kehendak anak, malah ada yang pandai berlakon mengambil kesempatan.

“Pelajar hari ini mempunyai pelbagai ‘kemahiran’ dan alasan serta watak untuk memanipulasi ibu bapa, guru dan masyarakat. Sekiranya tidak ditangani dengan bijak, mereka mudah diperkudakan.

“Masalah seperti ini perlu ditangani dengan bijak dan berhemah manakala pelajar juga membuktikan mereka tidak menyalahgunakan kepercayaan serta kebebasan diberikan,” katanya.

Budaya bulan madu itu, katanya, boleh memberi kesan positif jika pelajar tidak melupakan tujuan sebenar serta hala tuju masa depan mereka.

“Meskipun budaya ini bukan isu besar, ia akan jadi sebaliknya jika pelajar tidak pandai menggunakan peluang itu dengan betul.

“Pelajar boleh berehat tapi jangan lupa mengulang kaji kerana proses pembelajaran adalah berterusan,” katanya.


INFO

Antara faktor kemerosotan prestasi pelajar:

■ Mengambil mudah dan sentiasa menganggap diri pandai.
■ Pengaruh persekitaran terutama rakan sebaya.
■ Kegagalan ibu bapa memantau perkembangan sosial anak.
■ Sekolah dan guru.
■ Tekanan psikologi.

Bagaimana mencipta kecemerlangan:

■ Membuat nota yang baik.
■ Pembahagian masa yang bijak.
■ Mendalami teknik belajar yang berkesan.
■ Penumpuan penuh di kelas.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Pesanan untuk anak-anak muda

oleh RAHMAN SHAARI

Anak-anak muda ialah ‘rebung’ yang arahnya masih dapat ditentukan. Oleh itu, perhatikanlah pembawaan baik untuk dijadikan contoh.

Pertama, perlu dicatatkan, pada masa ini akibat ketidaktenteraman masyarakat, anak-anak muda berada dalam suasana tidak tentu arah berkaitan hal agama dan budaya. Keadaan ini tidak disedari anak-anak muda, kerana segala-gala di sekeliling mereka seolah-olah merestui keadaan kacau ini. Mereka yang menconteng tembok, melontar batu ke kereta api, menyimbah asid ke arah perempuan, dan pelaku-pelaku kekejaman yang pelbagai, adalah hasil ketidaktenteraman yang demikian. Jika mereka sedar, mereka pasti akan berhenti berbuat demikian.

Kedua, anak-anak muda yang masih belajar hendaklah tahu, bahawa zaman belajar secara rasmi adalah terhad. Masa untuk belajar di sekolah, maktab, universiti dan lain-lain tidak boleh disia-siakan. Jika anak-anak muda (pelajar) membuang masa untuk berbual-bual kosong, berjalan-jalan (dan melepak) tanpa maksud tertentu, dan melayani khayalan tidak berhujung, maka akhirnya anda tidak akan menemukan kejayaan di tahap tinggi. Anak-anak muda yang belajar dengan rajin dan penuh perhatian akan berjaya dengan cemerlang dalam kehidupan.

Ketiga, bagi anak muda bekerja, ada perkara amat perlu difahami. Selalunya pekerja muda mengingini keselesaan. Jika mereka bekerja dengan kerajaan, selalunya beban kerja dapat diramalkan sejak awal. Tidak pernah kita dengar pegawai di pejabat tanah, guru, kerani dan lain-lain, merasakan pekerjaan mereka terlalu dihimpit kesibukan yang tidak terbayangkan sebelumnya. Tidak dinafikan, memang ada kerja bertimbun, tetapi itu selalunya dialami oleh penjawat yang telah lama bekerja dengan kerajaan.

Anak muda bekerja dengan syarikat (swasta) amat berkemungkinan berhadapan masalah longgokan tugas sejak awal-awal lagi. Tumpuan syarikat, termasuk sekolah atau universiti swasta juga, adalah perjalanan perniagaan. Jadi, anak-anak muda yang bekerja di situ hendaklah faham, bahawa ketaatan mereka pada tugas diberikan ialah sumber rasa sayang oleh majikan kepada mereka. Pekerja curi tulang, lembab dan suka merungut tidak akan dikasihi majikan.

Keempat, bagi anak muda ingin maju dalam bidang maklumat, satu pesanan saya - rajin-rajinlah membaca akhbar, mendengar berita radio, menonton berita televisyen atau mendapatkan berita daripada sumber lain. Kekayaan maklumat akan menentukan kemajuan dalam satu sudut kehidupan. Sekurang-kurangnya anak muda tidak tersenyum kosong (atau tersenyum bodoh) apabila orang bercakap tentang peristiwa penting dalam negara dan dunia. Kelima, sambungan pada pencinta maklumat ialah pencinta ilmu. Perbezaan antara maklumat dengan ilmu, ialah bahawa ilmu sentiasa berteraskan teori. Anak muda yang ingin memperdalam ilmu hendaklah membaca buku-buku penulis berwibawa.

Keenam, jika anak muda memutuskan akan berniaga, baik apa saja jenis perniagaan, yang utama ialah persediaan cukup. Berniaga sendiri dengan makan gaji amat berbeza. Peniaga hendaklah ada modal dan kesungguhan dengan disiplin diri menggunakan wang, tabah dalam menghadapi konflik yang tidak diduga, dan ada banyak lagi yang tidak terbayangkan semasa memulakan perniagaan.

Selain itu, terdapat anak muda yang meminati seni, sukan dan aneka aktiviti bersifat membina.

Semua itu eloklah diikuti dengan sederhana, berpadanan dengan masa lapang yang ada. Jika mempunyai bakat besar, baik dalam bidang maklumat, ilmu dan aktiviti, berkemungkinan bidang sedemikian itu pula akan menjadi lapangan mendatangkan pendapatan lumayan.

Ertinya, anak muda berbakat dalam penulisan novel, misalnya, akan menjadikan ia punca utama rezeki.

Apa-apa pun yang hendak dilakukan anak muda untuk kemajuan, yang penting ialah pemupukan minat dan bakat. Tanda minat ialah isi percakapan. Orang yang berminat bekerja di syarikat akan bercakap tentang cara-cara memajukan syarikat. Orang berminat berniaga akan banyak bercakap tentang perniagaan. Orang berminat mempertingkat ilmu, akan bercakap tentang buku yang baru dibacanya. Demikianlah seterusnya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Peringatan demi peringatan setelah kejadian tanah runtuh

DALAM sekelip mata 16 nyawa penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14 Hulu Langat, Selangor menyahut panggilan Ilahi.

Pemergian mereka amat menyentuh kalbu. Kesemua mereka meninggal dunia akibat tertimbus tanah setelah tebing sebuah bukit berdekatan runtuh dan menghempap khemah yang mereka duduki pada pukul 2.30 petang Sabtu lalu.

Kejadian tanah runtuh kali ini amat memilukan kerana menimpa kepada anak-anak yatim.

Kepada keluarga mangsa, kita hanya dapat mengucapkan rasa simpati dan minta mereka bersabar dengan dugaan ini.

Dalam kejadian itu, faktor hujan berterusan sejak kebelakangan ini dikatakan sebagai punca utama kejadian tanah runtuh yang menimbus rumah anak yatim itu. Tetapi janganlah kita asyik hendak menyalahkan hujan sahaja.

Kejadian di Hulu Langat sepatutnya membuka mata pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara supaya membuat tinjauan di kawasan yang kerap mengalami kejadian tanah runtuh bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Kita sedia maklum penduduk yang tinggal di kawasan lereng-lereng bukit kerap terdedah kepada ancaman tanah runtuh.

Jadi, mereka yang tinggal di kawasan berbukit perlu berwaspada kerana kejadian tanah runtuh boleh berlaku di mana sahaja terutama apabila hujan berterusan.

Kejadian tanah runtuh di Malaysia boleh dielakkan jika golongan profesional, kontraktor pembinaan dan penjawat awam lebih bertanggungjawab menjalankan tugas mereka dengan tekun dan amanah.

Ingatlah bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak meluluskan pembangunan di kawasan tanah tinggi selepas kejadian satu daripada tiga blok Highland Towers runtuh pada 1993 yang meragut 48 nyawa.

Semua PBT wajar berhati-hati dalam membangunkan tanah di lereng bukit. Mana-mana akta atau undang-undang yang longgar diperketatkan.

Jika semua pihak yang terbabit dalam pembangunan termasuk pihak berkuasa yang memberi kelulusan, para jurutera, arkitek, juru ukur dan kontraktor pembinaan mengambil serius tanggungjawab mereka, kejadian seperti itu tidak akan terus berlaku.

Tetapi, seperti biasa, kita rakyat yang mudah lupa dan jarang mahu mengambil iktibar daripada tragedi yang banyak kali menimpa kita. Ini kerana kita sentiasa mengharapkan ia tidak mungkin berulang lagi.

Pembinaan rumah, banglo, kondominium serta apartmen di lereng atau bawah bukit jelas menunjukkan sikap tidak peka terhadap keselamatan.

Seperti biasa, apabila berlaku tanah runtuh yang meragut nyawa, menteri pun akan minta laporan. Ini jawapan standard yang tak patut dinyatakan lagi.

Kenapa pihak kementerian berkenaan tidak minta laporan sebelum sesebuah bangunan itu diluluskan untuk pembinaan? Kalau dibina tanpa kelulusan, kenapa dibiarkan ia terus didirikan?

Kita percaya, kejadian di Hulu Langat ini bukan yang terakhir selagi kita masih bekerja mengikut cara lama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 22 Mei 2011

Kronologi kejadian tanah runtuh di negara ini

KUALA LUMPUR 22 Mei — Highland Towers dan Bukit Antarabangsa — itu adalah antara dua kejadian tanah runtuh yang mengorbankan nyawa di negara ini, dan semalam satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku mengorbankan 16 nyawa.

Kejadian kali ini membabitkan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat dan dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, penuntut, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus.

Ketika kejadian, mereka berada di bawah sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual berlangsung pukul 5 petang.

Runtuhan tanah dari bukit berdekatan kawasan rumah anak yatim itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah yang dipasang berhampiran dewan di lereng bukit.

Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa hampir 15 jam dalam operasi tanpa henti untuk mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap dan mangsa terakhir dikeluarkan pada pukul 5.05 pagi.

Kejadian menyayat hati itu mengorbankan 16 orang dan mencederakan sembilan yang lain. Kebanyakan mangsa ialah kanak-kanak yang menghuni rumah itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor dilaporkan berkata bahawa kawasan itu dipercayai telah beberapa kali mengalami kejadian tanah runtuh namun tidak dilaporkan.

Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil pula dilaporkan berkata bahawa rumah anak-anak Yatim itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana agensi di bawah kementerian itu.

Berikut adalah antara kejadian tanah runtuh yang berlaku di negara ini:

* 11 Dis 1993: Satu daripada tiga blok kondominium di Highland Towers, Hulu Klang, Selangor runtuh dan mengorbankan 48 nyawa. Kejadian itu berlaku selepas tanah runtuh berlaku di belakang kondominium itu.

* 30 Jun 1995: 21 orang terkorban manakala 23 yang lain cedera dalam kejadian tanah runtuh di jalan susur Genting Highlands. Kejadian itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang mengakibatkan air turun laju dan menghanyutkan pokok dan tanah berhampiran terowong Karak.

* Pada tahun 1996: Kejadian tanah runtuh berlaku pada tahun baru apabila sebahagian Jalan 3/11 Pesiaran Tiga, Bandar Baru Selayang runtuh.Kejadian berhampiran tiga blok flat kawasan perumahan yang didiami 130 keluarga itu tidak mengorbankan nyawa.

* 25 Disember 1997: Tanah runtuh di Km17 Lebuhraya Ampang-Hulu Klang, Selangor mengorbankan tiga orang.

* 15 Mei 1999: Penduduk kawasan perumahan Bukit Antarabangsa dan Wangsa Ukay, Jalan Hulu Klang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh sepanjang 100 meter. Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut.

* 2 November 2002: Sebuah banglo di Taman Hillview, Hulu Klang milik bekas panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar runtuh selepas dirempuh tanah runtuh dari bukit bersebelahan rumahnya.

Dalam kejadian itu, isterinya Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua menantu dan dua cucu serta pembantu rumah Indonesia terkorban.

* 31 Mei 2006: 49 rumah di Kampung Pasir, Hulu Klang musnah akibat runtuhan tanah dan empat sekeluarga terkorban.

* 30 November 2008: Dua beradik, Noratirah Roslan, 16, dan Nurul Intan Sarina, 9, terkorban selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang turut meranapkan sebuah banglo di Ulu Yam Perdana, Hulu Selangor.

* 6 Disember 2008: Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang meragut lima nyawa selain menimbus 14 banglo.

* 29 Januari 2011: Tanah runtuh dan banjir kilat akibat hujan berterusan di beberapa penempatan di Sandakan, seperti di perumahan lereng bukit Bandar Ramai-Ramai, Kampung Gelam runtuh dan Kampung Sundang Darat. Kejadian mengorbankan dua orang, seorang warga emas dan remaja perempuan. - Bernama

Mangsa Tanah Runtuh Selamat Dikebumikan

Sebahagian daripada 500 orang menunaikan solat jenazah untuk tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Pekan Batu 14, Hulu Langat dekat sini, Ahad. Kesemua jenazah telah disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding Batu 14 , Hulu Langat.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Sabtu, 21 Mei 2011

ISU ALAM SEKITAR : Tragedi ketika latihan nasyid

HULU LANGAT - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala empat lagi dilaporkan masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa blok dewan makan di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di sini petang semalam.

Sehingga pukul 11 malam tadi, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan sembilan mangsa yang terselamat termasuk seorang warden asrama berusia 22 tahun.

Kesemua yang terselamat dihantar ke Hospital Ampang dan Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, seramai 49 penghuni yang kesemuanya lelaki bersama lima penjaga berada di dalam bangunan tersebut dan sedang mengadakan latihan nasyid serta menghias dewan makan untuk majlis sumbangan derma bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang dijangka berlangsung pada pukul 5 petang.

Ketika kejadian, seramai 24 penghuni sempat melarikan diri manakala 25 yang lain termasuk lima penjaga dilaporkan hilang.

Kesemua penghuni yang terperangkap berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Runtuhan tanah itu dikatakan menimbus keseluruhan dewan makan yang terletak di bawah bukit tersebut.

Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, seramai lima mangsa pertama dapat dikeluarkan dengan bantuan orang ramai dan mereka dilaporkan selamat.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Mayat pertama semalam dibawa keluar pada pukul 4.30 petang oleh pasukan penyelamat selepas tertimbus di bawah runtuhan batu-bata manakala mayat kedua pula dibawa keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai oleh pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Relawan Ikatan Rakyat (Rela) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, sebanyak tujuh ekor anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan dalam operasi tersebut bagi mengesan mangsa yang tertimbus.

Seramai 384 anggota terlibat dalam operasi SAR yang bermula pada pukul 3 petang itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu, operasi mencari dan menyelamat tetap akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui.

Ketika ditemu bual menerusi saluran Astro Awani, Ismail turut meminta orang ramai menjauhi tempat kejadian bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku di samping untuk memberi laluan kepada pasukan operasi menjalankan tugas dengan lancar.

"Setakat ini, saya difahamkan masih ada pergerakan berlaku pada tanah kerana cuaca yang masih hujan," tegasnya.

Bangunan rumah anak yatim dan madrasah itu dibina sejak tahun 2003.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

Nota Hujung :

Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, dekat sini, ditemui awal pagi ini.

Mayat tiga daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi, manakala mayat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Boboy, 11, diitemui pada pukul 5.05 pagi.

Dengan penemuan empat mayat itu, kesemua mereka yang dilapor tertimbus dalam kejadian itu telah ditemui, kata polis.

Kejadian pada pukul 2.30 petang semalam itu mengakibatkan 25 orang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus. 16 orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal.

Berikut ialah senarai nama penuh mangsa yang diperoleh dari bilik gerakan bergerak yang dibuka di lokasi kejadian:

Enam belas yang terkorban ialah:

1) Mohd Kamarul Amizan, 11 tahun

2) Nurahimi Rosdi, 14
3) Dzahir Haziq M. Muin, 11
4) Ahmad Lokman Hakim, 11
5) Farid Ibrahim, 34
6) Mohd Azret Azahari, 8
7) Wan Ahmad Hasril Hazim, 11
8) Zahid Assawal Zamri, 19
9) Mohd Mustakim Mamat, 12
10) Mohd Naerzein M. Nor, 8
11) Mohd Aiman Abdullah, 10
12) Shahrul Nurimran Adnan, 9
13) Mohd Zaid Azahari, 14
14) Mohd Imal Fahad, 9
15) Mohd Riezman Abdul Latif, 9
16) Mohd Hazim Sapri, 10

Sembilan yang terselamat ialah:

1) Aizat Khusairi, 12
2) M. Allaudin Sobri, 14
3) M. Syatiq Ibrahim, 21
4) Khairul Anuar Nasri, 9
5) M. Harris Izuddin Sahrul, 11
6) Zulkhairi Aminuddin, 13
7) Izzuddin Abdullah, 30
8) Izuan Zakaria, 33
9) Mohd Akmal Mohd Jefri, 10

Lapan daripada mereka sedang dirawat di Hospital Ampang manakala Mohd Akmal di KPJ Kajang. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Memahami perguruan sebagai institusi keinsanan, peradaban

Oleh Zaini Ujang

SETIAP 16 Mei kita meraikan Hari Guru. Perdana Menteri biasanya berucap memperihalkan pelbagai dasar baru untuk memartabatkan lagi kerjaya guru sesuai dengan impak guru kepada pembangunan negara. Skim dan pelbagai insentif baru diperkenal yang sudah pasti diterima dengan pelbagai tanggapan. Ramai suka, tetapi ada juga kecewa.

Penyair menggambarkan guru dengan warna pelangi menggunakan metafora dan susunan bahasa indah. Penulis pula meletakkan peranan guru dalam konteks pembangunan dan citra bangsa. Sementara pemimpin kesatuan dan tokoh meluahkan hasrat supaya penghargaan terhadap jasa guru diterjemahkan dalam bentuk persekitaran kerja lebih kondusif, kemudahan dan sistem saraan lebih kompetitif secara lebih menyeluruh.
Sepanjang ingatan saya, setiap tahun itulah kebiasaannya, walaupun diungkapkan dengan pelbagai tema, lokasi dan acara berbeza. Pokoknya sama, nadanya sekata. Memang kepentingan dan jasa guru perlu kita kenang, bukan hanya 16 Mei. Memang peranan guru kepada pembangunan bangsa wajib kita nobatkan sebagai penyuluh zaman. Dalam segala hal, gurulah pemula, gurulah pelopor dan guru jugalah yang perlu kita hargai sentiasa. Dalam kalangan ahli sufi misalnya, guru adalah segala-galanya, doa dan salasilah sehingga Rasulullah SAW disebut setiap bermulanya zikir dan amal.

Jika kita menyusur sejarah kemerdekaan negara, golongan guru cukup berperanan. Merekalah yang menjadi nadi kefahaman rakyat untuk bangkit menyuburkan jiwa merdeka. Tanpa terlalu memikirkan masa depan pangkat dan kedudukan dalam perkhidmatan, gurulah yang menjadi pemangkin kegiatan politik dari akar umbi sehingga kepemimpinan nasional. Peranan institusi perguruan dari Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) sejak 1922, kerjaya guru sehinggalah aktiviti guru di luar sekolah terakam dengan catatan tinta emas dalam sejarah negara.

Maka lahirlah beberapa nama besar seperti Ghaffar Baba, Za’ba, Aminudin Baki, Hamdan Sheikh Tahir, Shaharom Husein dan Syed Nasir Ismail dalam kalangan guru yang berperanan bukan sekadar mengajar dengan sukatan formal untuk memastikan anak murid mereka mendapat kejayaan cemerlang menduduki peperiksaan.

Guru turut membina sikap dan watak, mencanai jiwa dan aspirasi anak bangsa. Demikian peranan guru yang pada hakikatnya, menurut perspektif Islam, lebih daripada sekadar muddaris (pengajar) malah adalah muaalim (penyampai ilmu), muaddib (pembina adab), murabbi (pendidik akhlak) dan murshid (inspirator).

Itulah pendorong sehingga peranan guru juga mewarnakan dasar utama dan kepemimpinan negara. Ini begitu ketara pada 1959 apabila Kesatuan Guru-Guru Melayu mendesak Tunku Abdul Rahman supaya segera membangunkan sekolah menengah Melayu.

Ketika itu hanya sekolah rendah saja disediakan untuk aliran Melayu walaupun aliran Inggeris sudah lama dimulakan menerusi penubuhan Penang Free School pada 1902. Walaupun Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) ditubuhkan pada 1905 tetapi matlamatnya adalah untuk meraikan golongan bangsawan Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Demikianlah besar jasa dan peranan guru. Selain mencetuskan pelbagai bentuk idea dan kesedaran baru berkaitan pendidikan, mereka juga komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memartabatkan bangsa. Kadangkala mereka berhadapan dengan pelbagai rintangan dan kesusahan.

Bertugas jauh di pedalaman, keadaan sekolah serba kekurangan dan latar belakang sosiobudaya murid yang ketinggalan. Kenyataannya, keadaan ini memperkuat dan meningkatkan lagi komitmen guru untuk lebih cemerlang memberi sumbangan kepada kemajuan bangsa.

Membaca sejarah hidup Pendeta Za’ba menyedarkan kita bahawa idealisme guru berkait rapat dengan kemerdekaan jiwa dan pembangunan minda. Guru juga berfungsi menggerakkan pemikiran bangsa bukan hanya dengan lisan kepada anak murid dalam bilik darjah, malah dengan tulisan kepada seluruh anak bangsa dalam pelbagai media.

Kita juga terkesan bahawa tokoh guru seperti Ghaffar Baba dan Pendeta Za’ba melaksanakan tugas mendidik dan membina bangsa tidak terhad ketika memegang jawatan sebagai guru sekolah. Sepanjang hidup mereka dalam pelbagai lapangan, aspirasi guru sebagai mudarris dan murshid tetap didokong dan mengembang. Tugas muallim dan muaddid tidak hanya terlaksana ketika mengajar di dalam darjah atau dewan kuliah.

Sehubungan itu, ada baiknya kita melihat semula kebiasaan kita meraikan Hari Guru setiap 16 Mei. Memang kerjaya guru perlu mendapat sorotan utama dan dokongan istimewa. Memang kerjaya guru perlu diperkasa dan terus dimartabatkan. Memang lebih banyak kemudahan perlu disediakan supaya guru boleh berperanan dengan lebih berkesan mendidik anak bangsa.

Hakikatnya tidak ada imbuhan yang boleh menyamai peranan dan jasa guru. Tidak ada skim perkhidmatan yang setara dengan kepentingan guru kepada pembinaan sesebuah bangsa dan tidak ada insentif duniawi yang setanding dengan karamah guru sebagai murshid dan muaddib.

Justeru, dalam kemeriahan menyambut 16 Mei, kita juga perlu memahami bahawa institusi perguruan adalah institusi keinsanan dan peradaban. Tugas muaddib dan muallim sebenarnya adalah peranan semua pihak.

Justeru, kita tidak boleh menyalahkan mereka yang berkhidmat sebagai guru sekolah semata-mata apabila pelajar sekolah terbabit dalam pelbagai aktiviti tidak sihat, apatah lagi jenayah. Hakikatnya peranan membangunkan minda, akhlak dan aspirasi bangsa adalah tugas bersama seluruh warga.

Justeru, pada hemat saya, institusi perguruan melebihi batas sesuatu kerjaya. Dalam konteks Islam sebagai contoh, kita dituntut untuk mengajar kepada mereka yang tidak tahu walaupun sepatah ayat, seperti maksud sebuah hadis.

Kita juga diperintah untuk menyuburkan akhlak mulia, sebagai muaddib dan murabbi bukan saja untuk diri sendiri dan keluarga, malah jiran tetangga dan masyarakat sekitar. Apabila melihat kemungkaran dan salah laku, kita bertanggungjawab untuk mencegah sama ada dengan kuasa, tangan atau lisan.

Itulah rasional pada hemat saya setiap 16 Mei, selain meraikan jasa dan peranan guru maka kita juga perlu menghidupkan semula jiwa pendidik dalam setiap anggota masyarakat. Tarikh 16 Mei seharusnya dihayati dengan melihat semula komitmen semua pihak terhadap penghayatan memajukan bangsa dan negara menerusi institusi pendidikan yang melewati sempadan sekolah, kolej dan universiti. 16 Mei seharusnya kita sambut dengan penuh kesedaran bahawa membangunkan umat, memajukan bangsa dan menyuburkan adab perlu dilaksanakan sesuai dengan peranan setiap anggota masyarakat sebagai ‘guru’ – muddaris, muallim, muaddib, murabbi dan murshid.

Malang sekali jika 16 Mei sekadar ritual perhimpunan rasmi tahunan dengan acara menyanyikan lagu dan deklamasi puisi, serta menanti-nanti pengumuman rasmi mengenai insentif baru dalam skim perkhidmatan, apatah lagi jika diriuhkan dengan perdebatan tentang siapa dapat apa?

Zaini Ujang ialah penulis buku Menghayati Budaya Ilmu (Penerbit UTM, 2009)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/