Jumaat, 13 Januari 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Menjaga adab penting ketika layari facebook


FACEBOOK (FB) sudah menjadi satu kebiasaan bagi golongan yang celik teknologi maklumat (IT), terutama di kalangan generasi muda. Memang banyak kelebihan dinikmati jika seseorang memiliki akaun FB. Melalui laman sosial internet itu, pemiliknya boleh saling berhubungan dengan keluarga dan sahabat handai serta berkongsi maklumat dengan mereka, tidak kira di mana mereka berada. Apa yang lebih menarik ialah perkhidmatannya percuma. Berikutan itu, tidak hairanlah FB mempunyai 800 juta pengguna aktif di seluruh dunia dengan 50 peratus daripada mereka menggunakan laman sosial itu setiap hari. Di Malaysia saja, FB mencatatkan 10.2 juta pengunjung unik setiap hari. Walaupun diakui boleh memberi manfaat, FB tidak kurang mempunyai pengkritiknya. Antara kerap menjadi kritikan terhadap FB ialah isu berkaitan privasi dan keselamatan kanak-kanak. Dalam isu privasi, sesetengah negara mendapati laman sosial itu melanggar undang-undang privasi kerana secara bebas membolehkan akses kepada maklumat peribadi di antara pengguna. Berhubung keselamatan kanak-kanak pula, ada kebimbangan orang yang tidak bertanggungjawab melayari FB untuk mencari mangsa kalangan kanak-kanak yang mudah terpedaya. Kritikan terhadap FB turut kedengaran di negara Islam. Baru-baru ini, seorang ulama Iran menetapkan FB bercanggah dengan ajaran Islam, sekali gus berdosa menjadi ahlinya kerana menggalakkan perilaku tidak bermoral. Menurut ulama itu, hanya penggunaan laman web yang menekankan kriteria agama dan tidak membawa kepada sebarang perilaku atau etika tidak bermoral yang tiada masalah.

Di negara kita, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin kelmarin, berkata hukum mempunyai akaun FB adalah dosa besar dan dilarang dalam Islam jika digunakan atas tujuan memudaratkan, termasuk melemparkan fitnah, mencaci serta memburukkan orang. Sebaliknya jika digunakan untuk menyebarkan maklumat benar dan digunakan untuk berinteraksi secara berhemah, ia diharuskan. Kedua-dua ulama ini nampaknya bersetuju bahawa FB atau mana-mana laman sosial lain tidak bercanggah dengan agama Islam. Apa yang menjadi masalah ialah jika ia disalah guna untuk tujuan yang memudaratkan. Sama juga dengan penggunaan alat komunikasi yang lain, pengguna laman sosial seperti FB atau blog harus sentiasa menjaga adab serta nilai sensitiviti agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada diri masing-masing atau orang lain. Penggunaan laman sosial itu untuk menyebarkan fitnah mahupun mengaibkan orang lain secara melampaui batas seperti mengedar gambar dengan aksi tidak senonoh bertujuan memalukan seseorang mesti dihentikan. Sebaliknya, kesempatan berinteraksi menerusi FB sebaik-baiknya digunakan bagi tujuan baik seperti menyebarkan maklumat berunsur ilmu, memberi nasihat serta panduan kepada orang lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Di manakah silap guru?


MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan lapan peratus daripada 6,667 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) didapati tidak boleh membaca dan menulis.

Ini menyedarkan kita bahawa masalah kegagalan pelajar sekolah menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi masih lagi menghantui dunia pendidikan negara. Pelbagai kaedah dan program khas telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Dulu dikenali sebagai KIA 2M (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis) dan terbaru ialah LINUS (program Saringan Literasi dan Numerasi) yang dilancarkan pada tahun 2010, tetapi masalah ini masih terus berlaku.

Dari aspek psikologi perkembangan, manusia normal, berkeupayaan menguasai kemahiran asas membaca menulis dan mengira ini di peringkat kanak-kanak lagi, iaitu seawal usia 6 tahun.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat pra sekolah, semua pelajar sepatutnya boleh membaca dan menulis perkataan-perkataan dan membuat ayat-ayat mudah dengan baik.

Adalah terlalu malang buat pelajar setelah menamatkan pelajaran di tingkatan lima dan berumur 17 tahun tapi masih belum boleh membaca dan menulis dengan baik.

Isu ini perlu mendapat perhatian serius guru-guru di sekolah. Guru-guru yang telah mendapat latihan secukupnya dalam bidang psikologi pendidikan, pedagogi dan profesionalisme keguruan (Diploma 3 tahun dan Ijazah 5 setengah tahun - merujuk kepada jangka masa latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia) apakah tidak mampu menyelesaikan isu ini?

Adalah sangat memalukan, dengan ijazah/kepakaran dalam bidang psikologi, pedagogi dan profesionalisme yang dimiliki, dengan skim perkhidmatan yang menarik, umur yang masih muda, masalah buta huruf tidak menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) masih lagi berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini.

Pertengahan bulan Januari ini, generasi kedua guru-guru lulusan IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Syabas kepada semua guru ini kerana telah berjaya menjadi seorang guru.

Di samping kegembiraan kerana menamatkan pengajian dan latihan dengan jayanya dan telah ditempatkan di sekolah-sekolah untuk bertugas, sehinggalah kepada pengumuman skim perkhidmatan yang sentiasa ditambah baik oleh kerajaan, anda pada hakikatnya telah diberi satu tanggungjawab besar.

Tanggungjawab itu ialah memastikan semua pelajar sekurang-kurangnya dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi sebelum mereka meninggalkan sekolah rendah.

Tiada apa-apa alasan lagi di pihak guru untuk gagal melaksanakan tanggungjawab ini.

Anggaplah dengan penempatan anda di sekolah sebagai guru permulaan, merupakan langkah permulaan memikul tanggungjawab besar ini.

Justeru para guru perlu mengambil serius terhadap fenomena ini dan berusaha mengatasinya sehingga berjaya supaya profesyen perguruan akan dihormati disanjung sebagai arkitek pembangunan akal budi manusia dan pencorak kemajuan rakyat dalam sesebuah negara.

HASSAN SALLEH

Kuala Terengganu


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 12 Januari 2012

ISU UMUM : Obses Ezani bawa tuah


Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


BENARLAH bagai dikata, tanpa keberanian, segala yang diidam dan dicitakan tidak akan menjadi kenyataan.

Barangkali, kata-kata itu juga amat bertepatan dengan kemenangan Ezani Farhana Md. Monoto yang telah berjaya menggondol gelaran juara sulung program MasterChef Malaysia baru-baru ini.

Siapa sangka, seorang doktor gigi yang mempunyai minat mendalam terhadap dunia kulinari membuahkan hasil yang cukup lumayan apabila Ezani Farhana membawa pulang wang tunai RM100,000 beserta trofi.

Tidak cukup dengan itu, seperti yang dijanjikan kepada semua juara francais MasterChef di seluruh dunia, anak kelahiran Kajang, Selangor itu turut memperolehi kontrak untuk menerbit dan mengedarkan buku masakannya sendiri.

Sewaktu ditemui pada episod terakhir, Santapan Penamat di Tapis Rouge, Encorp Strand, Kota Damansara, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu, Ezani Farhana atau mesra disapa sebagai Ezani masih menganggap dirinya seperti bermimpi.

Walaupun keputusannya telah diumumkan dua minggu lalu tetapi Ezani bagaikan tidak percaya apabila dia dinobatkan sebagai juara MasterChef Malaysia setanding dengan barisan juara daripada francais program realiti masakan popular itu.

Biarpun sudah memegang status juara, tetapi bagi Ezani, dia masih belum memutuskan untuk meninggalkan kerjaya profesionalnya.

"Saya menyertai MasterChef Malaysia kerana minat yang sangat mendalam terhadap bidang kulinari. Memang dari kecil saya suka memasak dan menjadikan ibu saya sebagai idola dalam bidang masakan.

"Tetapi saya tidak pernah terfikir untuk menjadikan bidang kulinari sebagai karier saya memandangkan ahli keluarga saya semuanya mempunyai pekerjaan profesional.

"Jadi secara tidak langsung saya mengikut jejak langkah mereka dan memilih bidang pergigian sebagai pekerjaan saya," jelas Ezani.

Ezani, 26, berjaya menewaskan pesaing terdekatnya, Wahidan Abang Supain, 42 yang hanya mampu berpuas hati dengan kedudukan naib juara.

Untuk episod penamat, Ezani telah menyediakan tiga juadah iaitu Salad Kekapis Nusantara sebagai hidangan pembuka selera, Lamb Cutlets dengan Medley Sayur-Sayuran (hidangan utama) dan Kek Ubi Bit Berempah (pemanis mulut).

Menyambung bicara, Ezani memberitahu dia bukan hanya suka turun ke dapur untuk menajamkan lagi skil masakan tetapi juga merupakan seorang yang obses tentang dunia masakan.

Apa sahaja program masakan baik tempatan mahupun antarabangsa menjadi rancangan yang cukup digemari oleh Ezani.

Dan sudah pasti, francais MasterChef antara program yang berada pada tangga pertama untuk rancangan masakan yang cukup diminatinya.

"Sewaktu menuntut di Australia, MasterChef Australia merupakan program yang tidak akan saya lepaskan.

"Dari situ, saya melihat bagaimana pesertanya memasak dan beraksi di dapur lalu ia memberikan inspirasi kepada saya untuk memberanikan diri menyertai MasterChef Malaysia.

"Dalam masa yang sama juga, saya suka membaca dan membeli buku resipi. Dari situ, saya mendapat pelbagai idea untuk muncul dengan resipi sendiri sepanjang berada dalam MasterChef Malaysia," ujar Ezani yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

Jika penonton setia MasterChef Malaysia melihat aksi Ezani sepanjang 11 minggu program itu berlangsung, memang tidak dinafikan Ezani memang layak untuk dinobatkan sebagai juara.

Semuanya berdasarkan kepada prestasi cemerlangnya selain konsisten dalam setiap cabaran serta penyediaan resipi dalam program tersebut.

Sesuatu yang menarik juga tentang Ezani apabila dia sering memasak dan menyediakan juadah dalam keadaan tenang sekali waima sehebat mana cabaran yang diberikan.

"Mungkin kerana saya seorang yang tenang dan pekerjaan saya sendiri telah menjadikan saya seperti mana yang anda saksikan di kaca televisyen," katanya sambil ketawa kecil.

Mengenai wang kemenangannya dan perancangan buku masakannya pula, buat masa ini kata Ezani, semuanya masih terlalu awal untuk ditentukan.

Namun, dia tidak menafikan sudah mempunyai perancangan untuk menggunakan wang itu bagi menyempurnakan impiannya yang sudah lama dihajatkan.

Dalam masa yang sama, Ezani tidak menolak peluang yang datang kelak untuk menjadi hos kepada program masakannya sendiri.

Apatah lagi, dia dan Wahidan kini merupakan artis eksklusif Astro, pastinya stesen berbayar itu sudah merencanakan agenda untuk kedua-dia selebriti terbaru ciptaan mereka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Kabinet arah tangguh skim SBPA sektor awam


KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan bagi membolehkan satu semakan semula dan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan diadakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penangguhan itu bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya.

Penangguhan itu diputuskan Jemaah Menteri semalam, katanya.

Najib berkata semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 11 Januari 2012

ISU PENDIDIKAN : Pemilihan murid ke SBP berdasar syarat ditetap KPM


KPM mengucapkan terima kasih kerana keprihatinan masyarakat terhadap pemilihan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, KPM hanya menguruskan kemasukan dan penempatan murid di SBP manakala penempatan murid di Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah-sekolah kawalan negeri diuruskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.

Pemilihan murid ke Tingkatan 1 di SBP adalah berdasarkan syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM iaitu:

* Warganegara Malaysia;

* Murid dari Sekolah Kebangsaan/Bantuan Penuh Kerajaan;

* Memperoleh keputusan 5A atau 4A, 1B dalam UPSR dengan mata pelajaran sains dan matematik memperoleh gred A;

* Memperoleh keputusan 3A2B dalam UPSR bagi murid dalam golongan miskin tegar; dan

* Pencapaian aktif dalam kokurikulum.

Walau bagaimanapun, bilangan murid yang mencapai prestasi cemerlang dalam UPSR dan kokurikulum, semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Jumlah permohonan ke SBP yang diterima oleh KPM juga meningkat berbanding bilangan tempat yang ditawarkan.

Pada tahun ini, permohonan ke Tingkatan 1 di SBP yang diterima oleh KPM ialah 99,765 untuk kemasukan ke 57 buah SBP, dan bilangan tempat yang dapat ditawarkan di SP ialah 7,657.

Sehubungan itu, KPM telah melaksanakan proses pengambilan murid berdasarkan merit yang merangkumi:

* Pencapaian akademik:

* Pencapaian kokurikulum:

* Pencapaian khas seperti aspek kepemimpinan; dan

* Status sosioekonomi keluarga.

KPM telah menyediakan peluang untuk permohonan ke Tingkatan 1 di SBP, yang tidak berjaya mengemukakan rayuan melalui talian e-rayuan di Portal Rasmi KPM iaitu di laman sesawang http//www.moe.gov.my bermula 14 Disember 2011 hingga 4 Januari 2012 .

Sekiranya pemohon memenuhi syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM, permohonan mereka boleh dipertimbangkan jika terdapat kekosongan tempat di SBP.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran Malaysia


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Kekeliruan penggunaan bahasa


Faktor penyatuan bangsa dan kesopanan terpinggir

KEKELIRUAN penggunaan bahasa yang berbeza mengikut etnik boleh menimbulkan tanggapan yang tidak sihat ke arah penyatuan bangsa sehingga ia perlu ditangani secara akademik untuk membuka ruang saling memahami.

Persoalan ini dan hal berkait rapat dengan aspek kesopanan yang menjadi jati diri bangsa di gugusan kepulauan Melayu ini antara yang disorot pada Persidangan Linguistik ASEAN V di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain persoalan yang bersifat setempat, persidangan anjuran Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan DBP itu, turut merentas sempadan serantau apabila melihat realiti pengembangan bahasa Melayu di luar negara yang turut berkait rapat dengan kedudukan bahasa berkenaan di buminya sendiri.

Ketua Program Bahasa Melayu dan Linguistik, Universiti Brunei Darussalam, Dr Azmi Abdullah, berkata kekeliruan yang berpunca daripada aspek kebahasaan dalam komunikasi perlu ditangani untuk mengelakkan pergeseran sosial.

“Tanggapan terhadap penggunaan bahasa yang kedengaran kasar pada etnik lain bukan bibit penyatuan yang positif, sekiranya arah atau hala tuju sosial adalah mewujudkan masyarakat nasional yang utuh dan harmoni.

“Kekeliruan yang berpunca daripada aspek kebahasaan seperti ini tidak boleh dibiarkan begitu saja dan perlu diperjelaskan dengan tuntas agar punca pergeseran sosial dapat dileraikan pada tahap dasar dan cara lebih wajar,” katanya ketika membicarakan Linguistik Bahasa (+) Hormat Dan Bahasa (-) Hormat: Satu Tinjauan Pragmatik Silang Budaya.

Dr Azmi meninjau komunikasi silang budaya antara etnik Kedayan dengan Melayu Brunei yang membabitkan penggunaan kata panggilan ‘kau’ yang digunakan secara meluas dan biasa dalam masyarakat Kedayan, tetapi turut diucapkan apabila berkomunikasi dengan etnik lain.

“Apabila ia berlaku, Melayu Brunei cenderung menanggapi penutur dialek Kedayan sebagai orang atau komuniti yang berbahasa kasar atau kurang sopan, walaupun tanggapan ini mungkin tidak diluahkan secara terus-terang.

“Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya, tanggapan seperti ini lebih sesuai diistilahkan sebagai ‘dakwaan’ saja,” katanya.

Ini kerana, kata Dr Azmi, dakwaan itu kurang mendapat penjelasan yang wajar tentang bagaimanakah rasionalnya dakwaan yang dilemparkan seperti itu dapat diterima oleh komuniti masing-masing.

“Apabila berlaku pergeseran sosial ketika pertembungan silang budaya, penutur dialek Kedayan mungkin akan mengatakan, ‘itulah bahasa kami’ atau ‘itulah cara kami berbahasa’.

“Walhal, jauh dalam hati penutur dialek Melayu Brunei mungkin akan mengatakan ‘Ah! Memang mereka (komuniti/puak) ini bahasanya kasar,” katanya.

Pandangan Dr Azmi itu bertepatan dengan pandangan Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Dan Kesusasteraan Melayu UKM, Sa’adiah Ma’alip yang mengkaji sistem panggilan kekeluargaan Orang Asli Temuan di Desa Temuan, Pusat Bandar Damansara, Petaling Jaya.

“Hasil kajian menunjukkan kebanyakan responden bersetuju kata panggilan kekeluargaan perlu dipertahankan dan terus digunakan bagi mencerminkan sesuatu budaya yang unik dengan mempunyai kata-kata yang khusus dalam memanggil atau menyapa seseorang.

“Melalui kata panggilan kekeluargaan juga dapat menggambarkan nilai keutuhan dan mengeratkan tali persaudaraan dalam sesebuah keluarga, sekali gus berfungsi bagi melahirkan perasaan hormat-menghormati di kalangan ahli keluarga tanpa mengira taraf hidup seseorang,” katanya.

Sa’adiah berkata, masyarakat Orang Asli Temuan menggunakan kata panggilan seperti Wak, Tahak, Mamak, Get dan Bah bagi menyapa atau memanggil bapa saudara mereka yang dalam budaya Melayu dipanggil Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang, Pak Anjang, Pak Cik dan Pak Usu.

“Bagi kata panggilan yang merujuk kepada emak saudara, masyarakat Melayu menggunakan kata panggilan seperti Mak Long, Mak Ngah, Mak Anjang, Mak Cik dan Mak Usu, manakala Orang Asli di tempat kajian pula menggunakan Tahak, Inak dan Gauk.

“Panggilan bagi datuk dan nenek mereka juga memperlihatkan bentuk berbeza, iaitu Ninik bagi menyapa atau memanggil datuk dan Genui (nenek),” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Orang Asli yang mengamalkan adat resam dan kesopanan dalam pertuturan yang menyamai orang Melayu, seseorang itu harus cekap dalam pemilihan kata-kata sapaan yang sesuai semasa bertutur atau berhubung dengan individu tertentu.

“Jika pemilihan kata-kata berkenaan tidak bersesuaian akan menyebabkan wujudnya suasana yang tidak menyenangkan antara kedua-dua belah pihak,” katanya.

Selain isu kesopanan dalam bahasa, persidangan itu turut menyorot sejarah pembinaan dan pengembangan program pengajian bahasa Melayu di luar negara khususnya di Korea Selatan.

Di sebalik Universiti Pengajian Bahasa Asing Hankuk sudah menubuhkan Jabatan Bahasa Melayu-Indonesia sejak 1960 lagi, Pemegang Kursi Pengajian Melayunya, Prof Dr Zaharani Ahmad, berkata pelajarnya lebih berminat untuk membuat program 1 semester di Indonesia berbanding Malaysia.

“Daripada temu bual dengan beberapa pelajar, kebanyakannya berpandangan kemahiran berbahasa mereka lebih baik ketika berada di Indonesia disebabkan bahasa Indonesia digunakan sepenuhnya dalam aktiviti seharian.

“Di negara ini sebaliknya pula kerana orang ramai lebih suka berbahasa Inggeris, sekali gus tidak membantu mempertingkatkan kemahiran bahasa Melayu mereka,” katanya.

Selain itu, Prof Zaharani berkata, faktor kos sara hidup yang lebih murah juga mendorong pelajar memilih Indonesia daripada Malaysia, selain peluang pekerjaan yang lebih terbuka di Indonesia kerana wujudnya perusahaan dan perkilangan Korea yang banyak di sana, iaitu sekitar 700 perusahaan berbanding Malaysia (100).

Oleh Nazmi Yaakub

nazmi@bharian.com.my

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Krisis pendidikan dunia boleh cetuskan konflik global


MASYARAKAT dunia masih mengharapkan masa depan dunia pendidikan memberi impak positif selepas dibelenggu pelbagai isu tahun lalu.

Ia diharap menjadi titik-tolak meningkatkan mutu pendidikan secara keseluruhan selain memberi manfaat kepada pelajar

Pengarah Bersekutu Kanan Institut Kebangsaan Kepimpinan Akademik, New York, Amerika Syarikat, Paula P Brownlee, berkata pemerhatian, tumpuan dan pengharapan itu sepatutnya menjadi ‘peringatan’ kepada pentadbir untuk melaksanakan tanggungjawab lebih berdedikasi bagi memastikan tiada lagi isu panas terpalit dalam dunia pendidikan hingga merosakkan kredibiliti.

Dengan merujuk kepada kegagalan menangani segala masalah berbangkit, beliau bersetuju mereka seharusnya bersikap lebih sensitif terutama dalam urusan tradisi iaitu melahirkan pelajar serba boleh.

“Sudah tentu ia bukan tugas mudah, namun persoalannya, adakah barisan pentadbir sudah ada persiapan menuju destinasi itu?

“Pendidikan bukan cabang yang boleh dijadikan uji kaji secara rawak ia ada aturan, perancangan serta piawaian yang perlu diikuti. Dibelenggu isu besar sekalipun, asasnya ialah berusaha melahirkan pelajar terbaik demi masa depan mereka,” katanya.

Pengharapan masyarakat itu bagai ingin memadamkan kisah tahun lalu yang dibelenggu masalah bajet, imigrasi, jenayah serta prejudis dunia pendidikan terhadap sekelompok pelajar.

Akibatnya banyak sasaran tidak tercapai, keselamatan terancam selain ketidakadilan dalam pelaksanaan tanggungjawab lantas menyukarkan usaha meraih keyakinan masyarakat bahawa dunia pendidikan masih ampuh.

AS tersenarai sebagai sebuah negara yang mempunyai kadar kenaikan yuran paling tinggi dengan menanggung perbelanjaan minimum setiap pelajarnya di institusi pendidikan awam kira-kira RM38,000 setahun.

Kenaikan itu bukan saja menyusahkan terutama kepada golongan berpendapatan rendah malah mengejutkan banyak pihak kerana hanya dalam tempoh tiga dekad saja kadar kenaikan perbelanjaan persekolahan meningkat dua kali ganda.

Menurutnya, pendidikan yang baik pasti boleh memberi manfaat kepada semua sebaliknya apa yang berlaku semakin menyukarkan keadaan hingga menyebabkan dunia pendidikan gagal menjalankan fungsinya secara menyeluruh.

“Ini tidak bertepatan matlamat pendidikan sebaliknya hanya menambahkan bebanan dan kesusahan. Sudah semestinya ia salah dan mesti diperbetulkan.

“Pelaburan berbaloi ialah apabila dapat memberi pendidikan yang baik, mereka akan memulangkannya semula kepada negara juga masyarakat. Malangnya itu tidak berlaku kerana masyarakat terpaksa berdepan isu lain digembar-gemburkan sebagai satu keutamaan.

“Hakikatnya, pendidikan adalah inti pati utama yang perlu diperkukuhkan terlebih dulu sebelum tumpuan pada yang lain, namun tidak ramai menyedarinya sebaliknya menganggapnya sebagai keperluan semata-mata,” katanya yang turut kesal apabila terdapatnya jurang pendidikan yang sepatutnya dinikmati sama tara.

“Jurang itu sepatutnya tidak wujud jika pentadbir berani bertindak seperti mempertahankan hak setiap pelajar biarpun banyak alasannya. Jika mereka memperolehnya, adakah ia bermutu dan boleh membantu pada masa depan?

“Banyak persoalan, kekeliruan perlu diselesaikan biarpun remeh-temeh.

Masyarakat berhak dan perlu diberitahu mengenainya supaya persediaan boleh diambil jika krisis atau kemelut berlaku,” katanya.

Beliau turut melahirkan kegusaran kerana kebanyakan negara berdepan krisis pendidikan dengan jutaan pelajar tidak menerima pendidikan sempurna yang memungkinkan mereka gagal dalam kehidupan.

“Ia mencetuskan konflik global dan jika tidak ditangani, ia akan mengakibatkan mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa. Lebih buruk, dengan ketidakupayaan itu akan mengakibatkan kualiti pendidikan menjunam dan usaha melahairkan rakyat berpendidikan gagal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada peningkatan tertentu yang tidak boleh disangkal terutama dalam penghasilan pelajar dan institusi peringkat tinggi.

Menurutnya, jumlah jurnal bermutu dihasilkan, peningkatan penyelidikan serta kepercayaan pelabur yang konsisten terhadap kemampuan institusi juga membantu menjaga reputasi dunia pendidikan daripada terus dipandang serong.

“Sedikit sebanyak ia menjadi penawar kepada masyarakat untuk tidak terus menaruh persepsi buruk kepada dunia pendidikan. Paling penting, semua pihak perlu bersatu dan menyokong tanpa mempertikaikan kebenaran atau kesalahan antara satu sama lain. Jadikan pendidikan sebagai platform untuk bersatu,” katanya.

Beliau berharap pihak yang menerima pujian tidak lupa diri dan mempertingkatkan pencapaian sedia ada sebagai persiapan lebih dinamik berdepan perubahan institusi dan cabarannya.

“Biarpun dipuji, institusi perlu meningkatkan kualiti program pembelajaran, penyelidikan dan khidmat kepada masyarakat bagi mencapai misi optimum dunia pendidikan. Kegagalan bermakna mereka akan memusnahkan masa depan masyarakat sendiri,” katanya.

Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Sumber : http ://www.hmetro.com.my/