Khamis, 1 Mac 2012

ISU EKONOMI : Kekayaan 40 individu cecah RM192 bilion


Oleh Shahrizan Salian

NILAI gabungan kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia tahun lalu meningkat sebanyak AS$2.3 (RM7 bilion) kepada AS$64.4 bilion (RM192 bilion) daripada tahun sebelumnya, demikian mengikut senarai terbaru majalah kewangan dan perniagaan Forbes.

Bilangan rakyat negara ini yang berada dalam kelompok individu dunia yang mempunyai kekayaan lebih AS$1 bilion (RM3 bilion) juga bertambah kepada 11 daripada 10 tahun sebelumnya.

Jutawan Robert Kuok masih mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya Malaysia dengan nilai kekayaan bersih AS$12.4 bilion (RM37 bilion) meskipun jumlah itu menurun sedikit daripada AS$12.5 bilion (RM37.5 bilion) setahun sebelumnya.
Kuok, 88, yang mempunyai empayar perniagaan meliputi gula, sawit, perkapalan dan hartanah menguasai kedudukan itu sejak 2006 ketika Forbes Asia memulakan senarai 40 rakyat Malaysia paling kaya itu.

Di tempat kedua ialah Ananda Krishnan, 73, yang menyaksikan nilai kekayaan bersihnya meningkat AS$400 juta (RM1.2 bilion) kepada AS$9.9 bilion (RM29.7 bilion).

Beliau kini sedang meluaskan portfolio perniagaan berkaitan tenaga di Malaysia, Asia Selatan dan Asia Barat dalam satu urus niaga yang boleh menjana sehingga AS$2 bilion (RM6 bilion), manakala Maxis Communications yang dikuasainya baru-baru ini memeterai perjanjian 10 tahun untuk berkongsi rangkaian 3G bersama syarikat pesaingnya, UMobile.

Di tempat ketiga ialah Puan Sri Lee Kim Hua, iaitu isteri kepada pengasas kumpulan Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong serta keluarga yang nilai kekayaan bersihnya susut 1.5 peratus kepada AS$6.5 bilion (RM19.5 bilion).
Keluarga yang menjadi tulang belakang empayar Genting itu sedang menjadi bahan berita berikutan beberapa cubaan berprofil tingginya untuk mengembangkan operasi ke Amerika Syarikat (AS).

Tan Sri Lee Chin Seng, individu yang membina IOI Group menjadi antara pengeluar sawit terbesar dunia pula mengekalkan kedudukannya di tempat keempat dengan nilai bersih AS$5.2 bilion (RM15.6 bilion), meningkat AS$200 juta (RM600 juta) daripada tahun lalu.

Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang berada di tempat ketujuh, mengekalkan kedudukannya sebagai orang Melayu paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan bersihnya berjumlah AS$3.3 bilion (RM9.9 bilion).

Tiga pendatang baru membuat kemunculan sulung dalam senarai itu, dengan paling menyerlah ialah Tan Sri Dr Ninian Mogan Lourdenadin, seorang doktor bertauliah yang menjadi hartawan peruncitan yang menduduki tempat ke-22 dengan nilai kekayaan bersih AS$500 juta (RM1.5 bilion).

Beliau adalah Ketua Eksekutif MBF Holdings dan mempunyai perniagaan dalam hartanah, peruncitan, pelancongan dan perkhidmatan perubatan di Malaysia, Fiji, Papua New Guinea dan Australia.

Seorang lagi pendatang baru ialah Gooi Seong Lim, di tempat ke-34 dengan kekayaan bersih AS$220 juta (RM660 juta). Beliau menerajui Crescendo, sebuah syarikat pembinaan dan pemaju hartanah.

Ng Joo Siang, usahawan berusia 52 tahun yang mengambil alih perniagaan keluarga, Pacific Andes International Holdings daripada bapanya juga membuat kemunculan sulung dalam senarai itu dengan berada di tempat ke-37 dengan nilai bersih AS$185 juta (RM555 juta).

Dua individu pula membuat kemunculan semula iaitu Pengerusi Eksekutif Kurnia Asia Bhd, Tan Sri Kua Sian Kooi dan Pengerusi Malayan United Industries Bhd, Tan Sri Dr Khoo Kay Peng.

Rakyat Malaysia terbaru yang memasuki kelompok individu dunia yang memiliki kekayaan lebih AS$1 bilion pula ialah adik beradik Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Lee Hau Hian yang menguasai syarikat sawit dan kimia, Batu Kawan.

Secara keseluruhannya, 21 daripada jutawan Malaysia dalam senarai itu menyaksikan kekayaan mereka meningkat, 12 menyusut, manakala dua orang tidak berubah.

Tahun ini, nilai bersih minimum yang diperlukan untuk layak dalam senarai itu ialah AS$155 juta (RM465 juta), meningkat daripada AS$125 juta (RM375 juta) tahun lalu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Guru perlu kreatif, inovatif


Oleh Ali Mahmood
utusanpahang@utusan.com.my


Guru Sains dan Matematik perlu kreatif serta menggunakan pendekatan yang menarik bagi mengatasi masalah kemerosotan minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Ketua Sektor Pembangunan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Jailani Ludin berkata, kedua-dua mata pelajaran itu penting kerana ia merupakan tunjang bagi melahirkan pelajar sebagai modal insan yang kreatif dan inovatif.

Katanya, bagi mencapai status negara maju, rakyat negara ini perlu menguasai dan meneroka kemajuan sains dan teknologi.

"Ini merupakan satu cabaran buat warga pendidik, khususnya guru-guru yang mengajar mata pelajaran sains dan matematik bagi meningkatkan semula minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

"Guru perlu menyahut cabaran ini kerana kemajuan dan masa depan negara terletak di bahu kita bagi melahirkan pelajar yang mampu menguasai teknologi serta pakar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)," kata Jailani.

Beliau yang mewakili Pengarah Pelajaran Pahang berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Pelancaran Produk dan Program Sains dan Teknologi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah, Aishah Hamzah dan Pengetua SMK Seri Tualang, Hussin Hamid.

Menurut beliau, mata pelajaran Sains dan Matematik juga memerlukan transformasi serta penambahbaikan seiring dengan perkembangan ilmu dan teknologi supaya para pelajar tidak berasa bosan semasa mengikuti subjek tersebut.

Jailani juga menasihati para pelajar supaya menanam cita-cita untuk berjaya dalam kerjaya berasaskan teknologi serta R&D dan bukannya bekerja dalam sektor kerajaan apabila tamat pengajian daripada universiti.

"Kita perlu membuang minda untuk makan gaji dengan kerajaan semata-mata.

"Hal ini kerana jawatan dalam kerajaan adalah terhad tetapi sebaliknya dunia kerjaya hari ini lebih terbuka kepada mereka yang mampu menguasai kemajuan sains dan teknologi," ujar Jailani.

Beliau menambah, kerjaya dalam bidang berkaitan sains, matematik dan teknologi menawarkan gaji yang lumayan dan ini yang menjadi cita-cita kerajaan untuk membolehkan rakyat meraih pendapatan tinggi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : 72 peserta bakal berentap di PABM 2012


PUTRAJAYA 1 Mac — Sejumlah 72 peserta dari 67 buah negara akan menyertai pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2012 yang akan bermula esok hingga 8 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan akan merasmikan PABM yang ke-6 bertemakan “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” pada 8 Mac.

PABM yang diilhamkan memberi penekanan untuk memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi berkata, pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Nusantara dan Kategori Antarabangsa dan seramai lapan peserta akan bertanding di peringkat akhir PABM 2012.

Johan setiap kategori PABM akan menerima hadiah wang tunai USD5,000, Piala Pusingan, Piala Perdana Menteri, piala iringan serta kamus dan buku-buku dalam Bahasa Melayu.

Naib Johan pula akan menerima wang tunai USD3,000 dan Piala Iringan manakala pemenang tempat ketiga pula akan membawa pulang wang tunai USD2,000 dan piala iringan.

Di bawah Kategori Nusantara, negara-negara yang digolongkan sebagai pengamal Bahasa Melayu sebagai bahasa utama atau bahasa ibunda, antaranya adalah Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand.

Bagi Kategori Antarabangsa, seramai enam peserta mewakili 62 negara dari enam benua. Mereka ini terdiri daripada para pelajar institusi pengajian tinggi yang mengambil jurusan Bahasa Melayu sebagai kursus elektif.

Orang ramai boleh menonton siaran langsung pertandingan akhir PABM 2012 di TV1 pada pukul 8.45 malam, 8 Mac. Acara kemuncak itu juga disiarkan ke seluruh dunia di 1Malaysia 1TV (http://www.1malaysiaiptv.com.my) dan juga Utusan Online (http://utusan.com.my). — BERNAMA.

Keputusan STPM Diumum Rabu Depan


KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan Rabu depan. Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini pada Khamis berkata calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon-calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM ResultNo.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh tersebut.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada pukul 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lepas 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian. BERNAMA.

Rabu, 29 Februari 2012

ISU SOSIAL : Kembali kepada jati diri Islam


Oleh Profesor Madya Dr Sidek Baba

Kemerdekaan menjadikan orang-orang Melayu menerima pelbagai acuan pengaruh. Meski Barat telah lama meninggalkan kita, tetapi pengaruhnya dalam pelbagai bentuk tetap subur dalam pemikiran dan gaya hidup kita. Apalagi kedatangan globalisasi yang diperkukuhkan oleh media baru menyebabkan kita amat terdedah dengan elemen-elemen baru dari Barat.

Kita tidak menentang Barat semata-mata Barat itu Barat. Ada manfaat berbanding yang boleh kita dapati dari Barat asal saja kita memiliki upaya memilih dan menyaring yang tinggi.

Kemajuan ilmu dan teknologi umpamanya boleh dipelajari jika ia memberi manfaat kepada perubahan dan pembangunan. Atas keperluan jati diri, ia perlu diolah semula supaya sesuai dengan jati diri Islami.

Jati diri Islami bermaksud terdapat watak dan imej Islami dalam amal dan perbuatan kita yang didukung oleh nilai-nilai baik serta sifatnya menyumbang ke arah kesejahteraan umat manusia. Meski kita ini bangsa Melayu, asas berfikir dan amali Melayu itu tidak melanggar faktor syarak walaupun terdapat aspek-aspek budaya yang disesuaikan dengan nilai-nilai Islam.

Kekuatan Bahasa Melayu umpamanya banyak menggunakan istilah-istilah al-Quran seperti nasihat, mesyuarat, muafakat, berkat, khasiat, manfaat, syukur, nikmat, ilmu, adil dan ribuan lagi - memberi konotasi tepat terhadap sesuatu yang ingin diungkapkan. Dalam maksud mudah istilah yang menjadi tunjangan terhadap bahasa Melayu itu memberikan asas tasawwur yang Islami. Itulah maksud jati diri Islami kepada orang-orang Melayu.

Definisi Melayu dalam Perlembagaan Malaysia dikaitkan dengan Islam dan Bahasa Melayu. Elemen-elemen ini memberikan wajah Melayu itu sendiri. Mengukuhkan Islam dan Bahasa Melayu dalam kalangan orang-orang Melayu menyerlahkan lagi jati diri Islami orang-orang Melayu. Inilah asas yang sangat penting disuburkan supaya faktor Melayu yang terhubung dengan Islam dan Bahasa Melayu menjadikan ia mendukung faktor syarak.

Ibn Khaldun dalam kitabnya al Muqaddimah tidak menolak faktor bangsa yang sifatnya menyumbang dan terhubung sebagai asabiyah yang positif. Apabila kecenderungan orang-orang Melayu membantu sesama mereka bagi maksud kebaikan dan kesejahteraan dan tidak menzalimi orang lain, ia tidak bercanggah dengan Islam.

Amat silap tanggapan yang mengatakan menjaga kepentingan Melayu adalah menyalahi dan dianggap rasis. Mengasihi dan mencintai keluarga umpamanya adalah amat dianjurkan oleh Islam.

Mengasihi bangsa atas maksud berhasrat membangunkan mereka dari lembah kejahilan dan kemunduran adalah sesuatu yang dituntut oleh agama. Rasulullah SAW amat mengasihi kaum Quraish. Ada elemen-elemen amalan dan nilai positif diterima sebagai sesuatu tidak bercanggah. Dengan usaha dakwah dan tarbiah Baginda, kaum Quraish berubah menjadi Islami dan ia menjadi faktor umat yang menyumbang terhadap kelangsungan perkembangan Islam itu sendiri.

Mengekalkan nilai-nilai Melayu yang positif tidak menyalahi syarak. Berbaju Melayu, baju kurung dan menutup aurat serta bersongkok tidak menyalahi agama. Berbahasa Melayu dengan menggunakan istilah al-Quran supaya ada kejelasan makna dan isi tidak salah. Mengamalkan amalan gotong-royong sebagai asas interaksi sosial adalah sesuatu yang dianjurkan oleh syarak. Bertegur sapa antara rakan dan taulan yang diamalkan dalam budaya Melayu adalah asas ukhuwah yang baik.

Tidak semua daripada Melayu itu negatif. Budaya Melayu ada kekuatannya sendiri dan apabila datang Islam ia menyuburkan lagi jati diri Melayu supaya lebih syamil dan kamil. Ia adalah proses dakwah. Jangan melihat faktor Melayu secara sempit. ALLAH jadikan bangsa-bangsa itu suatu rahmah. Dengan melakukan proses kekenalan (litaarrafu – Surah al hujurat : 13) dengan asas Islam menjadikan orang-orang Melayu berjiwa muttaqeen.

Pendekatan tarbiah atau taadib amat dituntut supaya orang-orang Melayu mengalami proses pengislaman dan menjadikan orang-orang Melayu sumber contoh orang lain. Melayu yang Islami merupakan jati diri yang patut didukung supaya Melayu selamat dan kuat dan membawa natijah keadilan terhadap orang lain.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU EKONOMI : Keperluan tenaga negara meningkat dua kali ganda menjelang 2030


KUALA LUMPUR 28 Feb. – Bekalan tenaga yang diperlukan negara dijangka meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang tahun 2030.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, berdasarkan pertumbuhan ekonomi semasa, keperluan tenaga seperti minyak, gas asli, arang batu, nuklear, hidroelektrik dan tenaga boleh diperbaharui dijangka meningkat pada kadar 3.4 peratus setiap tahun.

“Menjelang 2030 jumlah tenaga yang diperlukan negara adalah dua kali ganda daripada yang digunakan pada 2010 iaitu bersamaan dengan bekalan 92.9 juta tan minyak,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Tenaga Kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Loo Took Gee; Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hasan dan Bekas Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa, Nobua Tanaka.

Sehubungan itu beliau menjelaskan, negara kini berdepan cabaran besar dalam pengurusan sumber tenaga bagi menampung pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak menjelang 2020.

“Rizab minyak dan gas negara kini turut menyusut dan pengeluaran telah menurun pada kadar kira-kira dua peratus setiap tahun,” katanya.

Fah Kui berkata, walaupun negara mempunyai sumber minyak dan gas asli untuk menampung pembangunan, kebanyakan daripada sumber itu telah dibangun dan berada di peringkat hadapan pengeluaran.

Keadaan itu katanya, menyebabkan Malaysia kini semakin bergantung pada bekalan gas import untuk memenuhi permintaan.

“Lebih 30 peratus daripada bekalan gas asli yang disalurkan di Semenanjung Malaysia adalah bekalan import dari Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Jumlah penggunaan gas di Semenanjung Malaysia kini meningkat sebanyak 13 peratus sejak sedekad lalu,” katanya.

Beliau berkata, dalam ketidaktentuan sumber tenaga di peringkat global, isu keselamatan tenaga kini menjadi isu utama negara-negara di seluruh dunia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Rela Tukar Aliran


Anggap bidang sains tak berbaloi

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


KEMEROSOTAN jumlah pelajar aliran sains yang semakin kritikal mencetuskan satu polemik baru dunia pendidikan negara yang selama ini mensasarkan hala tuju sebuah negara maju.

Penurunan itu mencetuskan kebimbangan di kalangan pelbagai pihak selain persoalan mengapa aliran dianggap berprestij itu semakin kurang mendapat perhatian.

Biarpun tidak bersikap lepas tangan dan pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi melonjakkan kembali peningkatan kepada 60 peratus pelajar aliran sains, keadaannya masih samar.

Justeru, timbul persoalan, adakah subjek yang dulunya menjadi simbol status pelajar sudah semakin tidak gah? Mengapakah pelajar drastik menukar ‘corak’ pemilihan pengajian?

Timbalan Dekan Akademik Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Husin Wagiran, berkata rasa ingin bebas daripada belenggu aliran sains yang sukar serta menganggap aliran sastera mempunyai lebih peluang dalam kejayaan akademik menjadi faktor kemerosotan aliran berkenaan.

Beliau berkata, biarpun sains dikategorikan aliran berprestij, ‘pulangannya’ yang tidak konsisten menyebabkan pelajar lebih rela bertukar aliran.

“Dalam dunia persaingan hari ini, nilai prestij aliran tidak memainkan peranan penting sebaliknya jaminan yang mampu diberikan menjadi faktor tarikan utama.

“Sebagai golongan yang berada dalam situasi itu, tentu mereka membuat pemilihan aliran yang mampu memberikan pulangan selepas belajar. Pada pendapat mereka, apalah ada pada sains kalau kerjayanya terbatas.

“Masyarakat mungkin melihatnya dari perspektif berbeza, pelajar juga begitu.

Rasionalnya, mereka memilih bidang diingini biarpun pemilihan itu akan menyebabkan sasaran ditetapkan tidak tercapai,” katanya.

Sejak 2007, kemerosotan pelajar aliran sains ketara, sekali gus memperlahankan sasaran Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020 yang memerlukan 60 peratus pelajar aliran sains dan selebihnya sastera.

Senario itu berterusan ke tahap universiti apabila pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi melihat pembelajaran dalam bidang sains tidak berbaloi selain sukar dan membosankan.

Beliau mengakui sains memang subjek sukar dan membosankan selain menjadi milik pelajar pandai, namun jika golongan itu turut tidak meminatinya, pasti ada sebabnya.

“Mengapa tidak mahu meneruskan pengajian dalam aliran itu sebaliknya memilih sastera? Adakah aliran ini tidak menjanjikan masa depan biarpun diiktiraf kerana statusnya?

“Banyak sebab perlu dikaji bagi menyelesaikan isu sedia ada. Sudah tentu kita tidak mahu mengorbankan masa depan mereka hanya kerana dibelenggu dengan masalah yang boleh diselesaikan,” katanya.

Definisi sains sebagai ilmu mengenai alam semula jadi juga boleh berperanan membina pengukuhan minat terhadap sains kerana masyarakat sering mengaitkannya dengan subjek sukar seperti matematik, biologi, kimia dan fizik.

“Benar, subjek berkenaan terutama Matematik sukar namun tidak bermakna pelajar tidak boleh menguasainya. Rasa tidak minat boleh didorong dengan penjelasan terperinci.

“Ada pelajar meminati subjek Sains tapi tidak Matematik, justeru ia boleh mengganggu proses pemilihan aliran,” katanya.

Menurutnya, sains memang rumit berbanding sastera yang lebih menekankan konsep pemahaman. Budaya pelajar juga lebih suka menghafal daripada melakukan analisis.

“Ini menyebabkan minat terhadap aliran itu tidak berkembang kerana sesiapa pun mahu memilih aliran mudah yang boleh menjamin mereka lulus cemerlang,” katanya.

Ditanya adakah senario ini boleh menggugat usaha serta perancangan ditetapkan, katanya ia masih boleh diperbaiki meskipun sukar mencapai sasaran 60 peratus ditetapkan.

“Selama ini, kita disogokkan bahawa sains susah, tidak menarik, boleh mengakibatkan keputusan merudum dan sebagainya. Ini menyebabkan pelajar takut.

“Apa salahnya, tanggapan itu ditukar kepada perspektif berbeza seperti sains membantu melonjakkan imej seseorang, menyeronokkan atau boleh menjawab pelbagai persoalan.

“Saya percaya, jika ditekankan dengan konsep pemikiran ini, minat terhadap sains dapat berkembang,” katanya.

Beliau berharap sekolah dapat mewujudkan kembali Minggu Sains dan Matematik sebagai peringkat asas menerapkan minat terhadap aliran itu.

“Program ini satu berkesan mencambah minat pelajar kerana sudah didedahkan dengan ‘kecantikan’ sains pada peringkat rendah,” katanya.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, Shamim Salimon, berkata minatnya terhadap aliran sains dipupuk menerusi pembacaan serta kejayaan individu terutama saintis antarabangsa.

Dia dulunya kurang meminati sains, tetapi pendekatan menarik diguna pakai guru menjadikan ia terus bercambah hingga mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam aliran itu.

“Sains memerlukan pelajar gigih mengulang kaji kerana semua aspek saling berkaitan. Cara guru mendidik juga penting.

“Alasan enggan kerana takut keputusan tidak cemerlang, sangat goyah kerana aliran sastera juga susah dan memerlukan usaha untuk berjaya.

“Pendapat saya, individu sendiri yang perlu mencabar diri dan menetapkan matlamat sama ada untuk berjaya atau tidak,” katanya.

INFO:

Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020 mensasarkan 60 peratus pelajar aliran sains malangnya ia merosot dengan bidang sains dan matematik hanya 37 peratus dan 29 peratus bagi sains tulen.

Melalui kajian didapati ramai pelajar lebih berminat menjadi ahli perniagaan, usahawan, petani, kontraktor, bidang perkhidmatan dan bidang hospitaliti yang bukan saja memberi cabaran baru menarik tapi turut menjanjikan pendapatan lumayan yang boleh mengatasi pendapatan bidang profesional.

Jumlah pelajar aliran sains di institusi pengajian tinggi tempatan kini hanya sekitar 35,000 orang setahun berbanding sasaran 100,000 pelajar setahun.

Malaysia memerlukan sekurang - kurangnya 500,000 tenaga kerja dalam aliran sains dan teknologi menjelang 2020 untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/