Sabtu, 21 April 2012

ISU PENDIDIKAN : Hapuskan pakaian seragam di tingkatan enam


KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah mengambil suatu inisiatif yang positif pada tahun ini, iaitu memperkenalkan Sistem Pentaksiran Baharu peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia bagi pengajian pelajar tingkatan enam.

Melihat kepada pembaharuan yang dibuat oleh KPM melalui agensi yang bertanggungjawab dalam hal menyediakan kurikulum dan sistem peperiksaannya, iaitu MPM rata-rata masyarakat menerimanya dengan hati terbuka.

Pengajian dipermudah kepada pelajar, iaitu kurikulum dibahagikan kepada tiga penggal pengajian dengan setiap penggal mempunyai peperiksaan yang sendiri. Ini bermakna pelajar tidak perlu lagi mempelajari kurikulum itu untuk tiga penggal dan menghadapi peperiksaan STPM pada akhir penggal pengajian. Bentuk pengajian ini selari dengan amalan dalam kolej matrikulasi dan pengajian pada peringkat diploma. Bebanan pelajar menjadi kurang dan lebih mesra pelajar.

Diharapkan dengan transformasi seumpama ini pengajian tingkatan enam akan kembali mendapat sambutan daripada pelajar.

Pengajian tingkatan enam merupakan pengajian yang paling murah sebenarnya. Ibu bapa tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk membayar yuran pengajian kerana yurannya ditanggung oleh kerajaan.

Tempat tinggal juga tidak menjadi bebanan kepada ibu bapa untuk menyediakan bajetnya kerana rata-rata pelajar boleh tinggal di rumah lantaran sekolah bertingkatan enam ada dalam daerah masing-masing.

Bagaimanapun, satu perkara yang mengekang kemasukan pelajar yang ramai ke pengajian tingkatan enam ialah isu pemakaian pakaian sekolah oleh pelajar tingkatan enam.

Isu inilah sebenarnya yang menghalang ramai pelajar untuk meneruskan pengajian ke tingkatan enam.

Walaupun kurikulumnya mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, dan sebagainya soal berpakaian seragam sekolah kepada pelajar yang sudah memasuki usia 18 hingga 20 tahun dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.

Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu untuk memakai pakaian sekolah sama seperti adik-adiknya yang berusia 17 tahun ke bawah.

Zaman ini bukan lagi seperti zaman dahulu. Dalam usia 18 hingga 20 tahun mereka merasa malu untuk dilihat seperti murid berusia 17 tahun ke bawah.

Rata-rata rakan seusianya yang belajar di tempat lain, seperti di kolej matrikulasi, politeknik dan universiti sudah tidak memakai pakaian seragam.

Hal ini boleh menimbulkan rasa rendah diri dalam kalangan mereka. Jika pihak KPM berjaya mengubah dasar ini, diyakini ramai ibu bapa akan menyokongnya kerana mereka sedar pengajian tingkatan enam ialah pengajian yang paling murah sebenarnya berbanding dengan pengajian lain.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia sama ada melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian atau Bahagian Kurikulum (jika bahagian ini bertanggungjawab dalam menetapkan dasar pakaian sekolah) harus memahami aspek psikologi pelajar jika ingin melihat lebih ramai pelajar mengikuti pengajian di tingkatan enam.

Ubahlah dasar ini kepada dasar yang membolehkan pelajar tingkatan enam tidak lagi berpakaian seragam sekolah seperti sekarang tetapi memadailah jika mereka dibenarkan memakai seluar panjang berwarna gelap sama ada berwarna hitam atau hitam biru, berbaju kemeja tanpa mengira warna, berstoking gelap, dan berkasut kulit hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan sama sekali. Dengan perubahan yang sedemikian diyakini lebih ramai pelajar akan mengikuti pengajian di tingkatan enam.

PENYOKONG RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Daya tahan diri perisai hadapi dugaan kesenangan


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my


Solat peneguh amali, sederhana perkasa naluri

TIADA manusia yang tidak inginkan kesenangan dalam hidupnya malah, kedatangan Islam membawa rahmat yang antaranya adalah kesenangan supaya manusia dapat memenuhi keperluan hidup, membantu sesama manusia, beribadat dan meningkatkan keimanan serta ketakwaan.

Namun, dalam mencari kesenangan, kita juga perlu memperkuatkan diri dengan daya tahan dalaman. Jika sebelum ini kita membincangkan cara memperoleh ketahanan diri menghadapi dugaan, kali ini saya ingin mengetengahkan bagaimana usaha memperkasakan diri apabila berada dalam kesenangan dan peluang mencapai kesenangan.

Diingatkan, kesenangan juga adalah dugaan untuk melihat sejauh mana kita mensyukurinya. Malah dugaan kesenangan itu lebih berat daripada dugaan kesengsaraan kerana semasa dalam kesenangan kita lebih mudah alpa, leka, lalai dan lupa diri.

Begitu juga kerana ingin mendapatkan kesenangan, kita sering kalah dengan tarikannya yang menyalahi syarak seperti sogokan dalam pelbagai bentuk ganjaran dan habuan kesenangan serta penipuan.

Penjawat awam, dikawal dan dipandu pelbagai sistem pengawasan serta pencegahan seperti Akta Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam dan Panduan Tatakelakuan Penjawat Awam.

Namun, semua sistem ini hanya sebagai sokongan luaran saja. Apa yang lebih utama ialah sistem daya tahan dalaman diri seseorang membina kekuatan untuk tidak memberikan walaupun pertimbangan kepada tarikan itu.

Ketahanan diri penting apabila kita sudah berada dalam kesenangan untuk menahan daripada menyalahgunakan harta kesenangan dengan bersifat boros, tamak, monopoli dan lokek.

Kesenangan menyebabkan kita leka, lupa diri, malas, sombong dan lalai melaksanakan tanggungjawab sesama manusia dan kepada Allah serta menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

Semua adalah kesan daripada kelemahan daya tahan diri. Justeru, ketika berada dalam kesenangan dan berhadapan peluang kesenangan, daya tahan diri mampu menjadi perisainya untuk mengelak manusia hilang nilai insani dan mengelak kesenangan itu nilainya bersifat zahiriah saja.

Hakikatnya, kesenangan dan peluang mendapat kesenangan boleh menjadi musuh di hari akhirat sekali gus menyebabkan sumber rezeki tidak diberkati.

Peringatan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kelak pada hari kiamat, ada yang datang dengan tubuh perkasa tetapi nilai dirinya di sisi Allah lebih kecil dari seekor nyamuk.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya kita tidaklah dianggap berkuasa kerana jawatan, dianggap kaya kerana harta yang melimpah ruah dan dianggap perkasa hanya kerana fizikal yang kuat. Hakikat kaya, kuasa dan kuat ialah apabila kita berjaya menahan semua daripada disalah guna.

Allah SWT memerintahkan dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu mengambil peringatan.” – (Surah al-Nahl, ayat 90)

Ketahanan diri boleh diperkasa melalui pelbagai cara antaranya solat dan bersederhana. Solat menjadi perisai daripada pelbagai kemungkaran dan kesederhanaan sebagai perisai mengawal naluri keinginan kesenangan yang berlebih-lebihan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu), dan janganlah begitu (kelak kamu akan mengetahui). Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan yakin, nescaya kamu akan melihat neraka jahim. Dan sesungguhnya kamu akan benar-benar melihat dengan ainul yaqin, kemudian kamu akan pasti ditanya pada hari itu kenikmatan (yang kamu negah-megahkan di dunia).” (Surah al-Takatsur, ayat 1-8)

Bagi penjawat awam khasnya marilah kita memperkasakan solat sebagai peneguh amali dan menjadikan sederhana peneguh naluri dalam memperoleh kesenangan yang halal lagi diberkati.

Implikasinya disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa mencari dunia dengan cara yang halal untuk menjauhkan dirinya daripada mengemis, menjaga harga diri keluarga dan berbelas kasihan sesama tetangga, nescaya ia akan bertemu Allah dan wajahnya bersinar seperti bulan purnama.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Marilah bersama kita berusaha mencari dan memelihara nikmat kesenangan dengan memperkasakan ketahanan dalaman supaya ia tidak menghilangkan kebaikan di akhirat nanti.

Maksud doa Rasulullah yang sangat indah: “Ya Allah jauhilah daku dari dunia yang menghalang kebaikan akhirat.” Mudah-mudahan doa ini boleh kita jadikan ingatan dan munajat setiap hari dalam membina daya tahan mencari kesenangan dunia.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Sidang Parlimen catat sejarah


NOOR AZURA SAHRIL

SHAH ALAM - Pertama kali dalam tempoh 22 tahun, persida­ngan Parlimen mencatat sejarah apabila Dewan Rakyat ‘menggantung’ masa bagi membolehkan semua aturan urusan mesyuarat dan usul diselesaikan.

Difahamkan, kali pertama sidang Dewan Rakyat mengalami keadaan serupa ialah ketika perbahasan Ordinan Darurat Kelantan pada 1977 berlaku ketika Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tun Zahir Ismail yang berakhir sehingga jam 2.45 pagi.

Persidangan dewan bagi sesi penggal ini ditangguhkan pada jam 3.22 pagi, selepas 22 hari bersidang yang dipengerusikan Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dewan Rakyat bersidang sehingga awal pagi Jumaat bagi membolehkan semua aturan urusan mesyuarat dan usul diselesaikan.


Dewan telah membahaskan dan meluluskan lapan Rang Undang-undang pada sidang dewan yang terakhir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Peraturan Mesyuarat 90(2) digunakan bagi menggantung Peraturan Mesyuarat 12 yang menyatakan semua aturan me­syuarat mesti diselesaikan pada hari yang sama.

“Perkara ini tidak pernah terjadi sejak saya telibat dalam hal ehwal Parlimen,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Arahan Tetap 12 menyatakan setiap sidang Dewan Rakyat dibenarkan untuk mencecah tempoh 5.30 pagi bagi melengkapkan perbahasan pada hari tersebut.

Usul Nazri itu disokong Timbalannya, Datuk VK Liew dan diluluskan.

Usul itu membenarkan Dewan Rakyat untuk dilanjutkan bagi melengkapkan perbahasan dan meluluskan lapan rang undang-undang yang telah disenaraikan untuk slot semalam.

Mohamed Nazri membentangkan usul tersebut sebelum tengah malam kelmarin ketika Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2012 untuk bacaan kali kedua.

Ketika usul itu dikemukakan, terdapat 34 Ahli Parlimen Barisan Nasional, 17 anggota pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.

Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Jumaat, 20 April 2012

ISU ALAM SEKITAR : Jadikan sambutan Hari Bumi iltizam kurangkan kemusnahan alam sekitar


Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my


GEMPA bumi yang melanda Aceh pada 11 April lalu adalah antara gegaran terkuat berlaku pada tahun ini. Gegaran pada kekuatan magnitud 8.9 skala Richter itu bermula pada jam 4.38 petang, umpama satu amaran kepada penduduk bumi agar mereka bertindak melakukan sesuatu untuk mengurangkan kerosakan.

Manusia terlalu rakus meratah hasil bumi yang seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin, bukannya dengan menghapuskan semuanya sehingga bukit gondol, hutan terhakis dan lautan tercemar dengan pelbagai sisa kekotoran.

Akibatnya, bumi mula berasa tidak selesa untuk didiami dan cuaca tidak menentu. Musim turut berubah tidak seperti aturan alam sebelumnya hinggakan semua aktiviti perlu diubah dan ditukar demi memastikan perubahan itu tidak mengganggu urusan manusia.

Selepas menyaksikan tumpahan minyak besar-besaran pada 1969 di Santa Barbara, California, Pengasas Hari Bumi, Gaylord Nelson mencetuskan ilham agar Hari Bumi diadakan sebagai satu cara untuk mendidik penduduk bumi pentingnya untuk memulihara alam sekitar.

Hasil daripada usaha beliau, pada Ahad ini, 20 juta rakyat Amerika bersatu untuk menentang pelbagai kegiatan yang merosakkan alam sekitar. Antaranya, tumpahan minyak, pencemaran kilang, loji jana kuasa, kumbahan mentah, tempat pembuangan sampah toksik, racun perosak, lebuh raya, kehilangan hutan belantara dan kepupusan hidupan liar.

Kumpulan ini sedar mereka berkongsi nilai sejagat yang mana jika tidak dipelihara, ia bakal mencipta satu persekitaran yang tidak selamat dan selesa untuk dijadikan tempat kediaman.

Pada 1990, Hari Bumi bergerak ke seluruh dunia dan ia membabitkan 200 juta individu dari 141 negara memperkata dan membincangkan mengenai isu alam sekitar. Di pentas dunia pada Hari Bumi tahun itu pelbagai langkah pemuliharaan bumi diperkenalkan seperti kitar semula.

Kumpulan alam sekitar sering kali berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk menjalankan tugas mereka apabila perubahan iklim dinafikan, pelobi minyak dibiayai dengan baik, ahli politik bertindak mendiamkan diri dan orang ramai yang tidak peduli kerana berasakan tidak ada kepentingan.

Antara kejadian yang menjadi kekesalan, sebelum ini pernah dilaporkan pemburu negara jiran mula menerjah masuk ke kawasan hutan negara membunuh pelbagai jenis haiwan eksotik yang kemudian dipasarkan di Thailand.

Perkara ini didedahkan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Johor. Ia membabitkan kegiatan pemburu negara jiran yang memburu haiwan eksotik serta mencuri kayu gaharu di Taman Negara Endau-Rompin sebelum diseludup masuk ke Bangkok.

Wujud sindiket yang mengatur kedatangan mereka dan menggunakan kepakaran pemburu Orang Asli. Perkara ini turut diakui peniaga di Bangkok yang mendapat bekalan terus kayu gaharu dan haiwan eksotik seperti tenggiling dan harimau, yang masing-masing membawa keuntungan antara RM1,000 hingga RM150,000.

Ia adalah antara tindakan golongan yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi kerana membunuh haiwan itu sudah pasti mengurangkan jumlah mereka dan ini membuka ruang kepada pembalak untuk memusnahkan pula habitat mereka.

Kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sering mendapat sokongan daripada organisasi korporat tetapi agak jarang individu atau orang perseorangan yang ingin membabitkan diri dalam apa juga bentuk aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

Ketua Bahagian Komunikasi MNS, Andrew Sebastian, berkata kesedaran akan timbul apabila setiap individu dalam masyarakat membabitkan diri dalam pelbagai bentuk aktiviti luar yang membabitkan alam semula jadi.

“Kami masih berpegang kepada pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, adalah penting untuk masyarakat mengenali, merasai sendiri dan ambil berat mengenai alam sekitar terutama apa yang berlaku kerana hanya dengan cara ini saja mereka akan dapat menghargai alam sekeliling,” katanya.

Sebastian menyarankan supaya rakyat Malaysia memilih kawasan percutian di kawasan ekopelancongan yang sedia ada dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti luar seperti berkayak atau berkhemah untuk merasai sendiri kenapa kita perlu memulihara alam sekitar.

Setakat ini, MNS amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh golongan korporat dan kerajaan terutama dalam melindungi beberapa kawasan hutan seperti Belum Temengor dan Teluk Danga.

2012 adalah satu tahun untuk menguji sejauh mana kerajaan dan rakyat benar-benar prihatin terhadap alam sekitar. Pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi juga mampu menjadi kayu pengukur sejauh mana ahli politik berminat menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada kempen mereka.

Peranan masyarakat dan rakyat juga diperlukan dalam usaha untuk memastikan alam sekitar benar-benar terpelihara dan sempena Hari Bumi yang diraikan esok diharap menjadi titik tolak untuk kita terus memelihara alam sekitar agar ia dapat mengurangkan tekanan dan kerosakan kepada bumi.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Remaja Hilang Hadir Ke Balai


KUANTAN: Remaja perempuan, Balvin Kaur Raghbir Singh, 17, yang dilaporkan hilang di sini sejak 7 April lepas, sudah ditemui semalam apabila gadis itu hadir ke Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata pelajar Tingkatan Lima itu datang sendiri ke Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang semalam selepas berita kehilangannya tersebar.

"Dia hadir ke Balai Polis Dang Wangi dengan tidak ditemani sesiapa di mana dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Keluarga remaja perempuan itu membuat laporan polis pada 7 April lalu selepas gadis itu tidak pulang ke rumah selepas keluar dari rumahnya di Bukit Setongkol di sini pada kira-kira 12 tengah hari.

Remaja perempuan itu dipercayai telah mengikut seorang lelaki yang dikenali sebagai Ravi yang berusia 53 tahun dan seorang perempuan berusia 25 tahun yang dikenali sebagai Sri. BERNAMA

Berikut ialah sedutan berita sebelum penemuan Balvin (Akhbar Sinar Harian, 18 April 2012) :

Kepercayaan diberikan mengundang padah apabila seorang lelaki mendakwa dirinya seorang pengamal perubatan tradisional dipercayai telah membawa lari seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari rumah seorang ahli perniagaan sejak 7 April lalu.

Bukan sahaja remaja tersebut dibawa lari, malah wang sebanyak RM10,000 milik ahli perniagaan tersebut lesap secara beransur-ansur sejak mengenali lelaki terbabit sejak lima bulan lalu.

Remaja terbabit, Balvin Kaur Raghbir Singh dipercayai mengikut lelaki berusia 53 tahun dikenali dengan nama Ravi dan anak perempuannya, Sri dalam lingkungan usia 25 tahun dari rumahnya, Lorong Bukit Setongkol 4, Taman Fairmount di sini pada hari tersebut kira-kira jam 12 tengah hari.

Bapa mangsa, Raghbir Singh Sulakhan Singh, 44 ketika dihubungi memberitahu, dia mengenali lelaki tersebut di kebun milik rakannya di Simpang Panching Utara sejak lima bulan lalu.

Menurutnya, lelaki tersebut dipercayai tinggal di belakang kebun terbabit dan selalu datang ke rumahnya.

“Lelaki itu memberitahu anak saya terkena buatan orang dan menawarkan diri untuk mengubatinya. Namun di sebaliknya, dia berjaya memujuk anak saya mencuri wang saya secara beransur-ansur dan seperti dipukau saya juga menyerahkan kereta kepadanya,” dakwanya.

Katanya, kira-kira enam hari kejadian itu berlaku, lelaki tersebut ada menghubunginya dan memberitahu keretanya ada ditinggalkan di Sepang dan menafikan membawa anaknya bersama namun mendakwa Balvin ada di negara jiran, Indonesia.

“Saya pernah pergi ke Seremban selepas menerima maklumat anak saya dijumpai bersama seorang lelaki dan bila diteliti, ciri-cirinya hampir sama seperti lelaki tersebut,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media di sini semalam, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, pihak polis sedang menyiasat kejadian tersebut dan meminta kerjasama orang ramai untuk membantu siasatan.

Menurutnya, orang ramai yang terjumpa dan mempunyai maklumat diminta menghubungi Asisten Superintendan K Murugesu di talian 09-5652222 dan 012-9003661.

ISU KENEGARAAN : Kriteria bentuk pemimpin dihormati, bukan digeruni


Oleh Mohd Syakir Mohd Rosdi

KERANCAKAN perbincangan sejak akhir-akhir ini banyak memfokuskan soal kepemimpinan yang mempamerkan pentingnya tanggungjawab seorang pemimpin. Malah, menjadi seorang pemimpin bukanlah mudah, begitu juga untuk menjaga kepemimpinan juga bukanlah senang.

Jadi, bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk memastikan kepemimpinan itu akan terus dihormati dan bukannya terus digeruni? Adakah perlu kepemimpinan berkenaan mengikut kehendak rakyat atau kehendak agama yang perlu didahulukan?

Penulis buku French Political Thought in the Nineteenth Century, Roger Soltau mengatakan, negara adalah alat (agensi) atau kekuasaan (autoriti) yang mengatur atau mengendalikan persoalan bersama atas nama masyarakat. Negara adalah gabungan beberapa kelompok masyarakat yang diintegrasikan kerana mempunyai kekuasaan yang bersifat memaksa. Ia lebih baik daripada hanya sekadar berbentuk individu atau kelompok sebahagian dari masyarakat itu.

Namun, Max Weber dan Robert Maclver menyatakan, negara bukan hanya sekadar penyatuan antara masyarakat bahkan ia lebih kompleks berbanding masyarakat.

Perlu diketahui negara yang kuat adalah berasaskan kepada masyarakat yang kuat. Menurut Muhammad Ismail dalam kitab al-Fikr al-Islami, kekuatan dan keutuhan masyarakat dapat dibina berdasarkan kepada tiga kriteria utama.

Pertama, adanya pemikiran sama. Kedua, perasaan yang sama. Ketiga, undang-undang yang diterapkan dalam masyarakat perlu kuat. Jika tidak ada salah satu kriteria itu, maka tidak layak kelompok berkenaan dipanggil masyarakat. Apabila masyarakat tidak ada, negara tidak akan muncul.

Oleh itu, konsep sesebuah negara dibentuk berasaskan kebijaksanaan seseorang pemimpin menilai situasi semasa dan budaya hidup mereka. Negara Islam dibina berteraskan pembentukan individu muslim, kemudian rumah tangga muslim, kemudian masyarakat muslim dan akhirnya negara muslim.

Pendekatan terhadap pembentukan negara berteraskan Islam juga memerlukan kebijaksanaan pemimpin menyesuaikannya mengikut suasana semasa tempat mereka.

Berdasarkan penelitian terhadap beberapa karya, negara berteraskan Islam boleh dibentuk walaupun berada dalam pemerintahan raja berperlembagaan, demokrasi dan sebagainya. Tetapi ia perlu berada dalam enam perkara asas yang diletakkan sebagai Rukun Negara berteraskan Islam.

Pertama, memilih pemimpin adil, berani, mampu, cukup kuat ingatan, berilmu pengetahuan luas dunia akhirat, biasa dengan teknik peperangan dan mahir dalam pentadbiran. Ia juga perlu kuat prinsip untuk menghadapi lawan, tidak kenal erti menyerah kalah apabila ditekan pihak musuh.

Kedua, perlu dipastikan hak membuat hukum dalam sebuah negara Islam adalah milik Allah SWT. Walaupun begitu, jika undang-undang itu masih lagi belum termaktub dalam al-Quran atau dihuraikan dalam hadis, bolehlah para mujtahid membuat hukum berdasarkan keadaan dan situasi semasa. Hal ini bermakna, undang-undang Islam perlu diletakkan lebih berautoriti berbanding undang-undang lain.

Ketiga, syura harus memainkan peranan penting dalam membuat sebarang keputusan. Ia perlu dipraktikkan sepenuhnya dalam memastikan timbang dan periksa dalam kerajaan berjalan dengan adil menurut syarak.

Peranan ulama dan umara dalam sesebuah pemerintahan Islam penting untuk memastikan kedudukan negara berteraskan Islam tidak tergugat.

Keempat, kerajaan memerintah perlu memastikan keadilan untuk semua pihak terjaga tidak kira agama, bangsa, puak dan ideologi.

Kelima, menghormati dan melaksanakan prinsip hak persamaan sesama manusia dan akhirnya, mempunyai komitmen melaksanakan hukum syariah dalam memastikan fitnah terhadap agama sentiasa terjaga.

Persoalannya, bolehkah negara berteraskan Islam dibina dalam acuan berbeza daripada dasar Islam? Berdasarkan penelitian terhadap enam rukun berkenaan, sudah pastinya hal ini tidak mungkin berlaku.

Untuk itu, konsep negara berteraskan Islam ini perlu difahami masyarakat supaya pembinaan sesebuah negara berteraskan Islam itu tidak disalahertikan. Ia bukan untuk menyusahkan masyarakat tetapi menyelamatkan manusia daripada kebinasaan.

Dalam mengamalkan rukun itu, perkara pertama perlu diteliti ialah pemilihan seseorang pemimpin yang benar-benar menguasai beberapa perkara asas seperti fizikal dan mental. Dari segi fizikal, perlu ada keberanian untuk membuat keputusan, berhujah dan mampu memimpin.

Dari segi rohani, hati seseorang pemimpin itu harus bersih daripada sebarang kemaksiatan, tidak melakukan sebarang kemungkaran secara terang-terangan, kuat ingatan dan berilmu pengetahuan luas dalam keilmuan dunia serta keilmuan akhirat.

Seterusnya, berdasarkan penelitian terhadap rukun berkenaan, seseorang pemimpin harus mengakui bahawa kepemimpinannya itu hanyalah pinjaman daripada Tuhan dan apabila tiba masanya perlu diserahkan kembali kepada pemerintah segala pemerintah yakni Allah SWT.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Hutang Boleh Membantu, Boleh Juga 'Menjerat'


Pada tahun 2003, Abdul (bukan nama sebenar) telah memohon pembiayaan peribadi dari sebuah institusi kewangan di mana pembayaran balik hutang itu setiap bulan berlanjutan sehingga tujuh tahun.

Bagaimanapun empat tahun kemudian, Abdul mengalami satu 'kecemasan' kewangan yang memaksa dirinya memohon satu lagi pinjaman baru dari institusi kewangan yang sama.

Satu daripada terma dan syarat pinjaman baru ini mewajibkan dana yang dipinjam diguna bagi melunaskan hutang yang lama.

Ini dikenali sebagai 'pinjaman bertindih' di kalangan institusi kewangan. Tetapi ansuran bulanan yang perlu dibayar beliau bagi pinjaman terbarunya adalah lebih tinggi (kerana Abdul perlu memohon jumlah yang lebih besar bagi melangsaikan pinjaman lama) dan masa pembayaran balik bagi hutang yang baru adalah selama 10 tahun.

Dari satu sudut, Abdul mendapat sumber dana bagi menyelesaikan masalah kewangan semasa yang dihadapi beliau tetapi dari satu aspek yang lain beliau kini dibelenggu oleh beban hutang yang baru untuk selama 10 tahun.

Pembiayaan Peribadi

Menurut pakar rujuk kewangan Ng Lai Wai, terdapat beberapa sebab kenapa terdapat anggota masyarakat memohon pinjaman.

"Ada yang memohon pinjaman untuk membeli rumah, kereta dan memulakan perniagaan. Biasanya mereka terpaksa membuat pinjaman kerana tidak mempunyai dana untuk pembelian," kata beliau.

Menurut beliau, kini terdapat banyak institusi kewangan yang menawarkan kemudahan pinjaman peribadi tanpa penjamin atau cagaran.

"Pemohon hanya perlu menyertakan dokumen yang diperlukan dan hanya menunggu kelulusan. Kadangkala kelulusan datang dengan cepat, tidak sampai tujuh hari bekerja dari tarikh permohonan," kata Ng.

Menurut beliau, pinjaman peribadi adalah jenis pinjaman yang 'tidak bercagar' iaitu peminjam tidak perlu meletakkan apa-apa sekuriti atau cagaran bagi menjamin pembayaran balik pinjaman itu.

"Disebabkan tiada jaminan atau cagaran terlibat, kadar faedah pinjaman seperti ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan pinjaman bercagar contohnya yang menggunakan rumah sebagai cagaran.

"Kadar faedah yang agak tinggi disebabkan tiada 'ganti' terhadap jaminan pinjaman dalam bentuk aset. Sebab itulah kadar faedah pinjaman peribadi adalah tinggi," kata beliau.

Kadar Faedah Rendah

"Kalau si peminjam memiliki rumah, beliau boleh mencari alternatif bentuk pinjaman yang menawarkan kadar faedah yang rendah seperti pinjaman ekuiti rumah. Tetapi opsyen pinjaman ini memerlukan peminjam meletakkan rumahnya atau hartanahnya yang lain sebagai cagaran.

Menurut Ng, tidak kira sama ada pinjaman yang dibuat itu bercorak peribadi atau di sebaliknya, ia digunakan untuk membiayai perbelanjaan yang agak besar.

Peminjam akan diberi dana sekali gus dan bersetuju membayar balik amaun bulanan pada kadar yang ditetapkan sehingga hutang itu dilunaskan.

"Bayaran bulanan adalah bayaran balik jumlah prinsipal (jumlah hutang yang dipohon) serta jumlah faedah," jelas beliau.

Pembiayaan peribadi mungkin adalah satu-satunya opsyen bagi peminjam yang tidak mempunyai rumah, hartanah atau aset lain yang boleh digunakan sebagai sekuriti atau jaminan.

Bagi Ng, pinjaman peribadi adalah satu alternatif yang bijak bagi membantu perbelanjaan jika dibandingkan dengan penggunaan kad kredit yang mengenakan faedah yang amat tinggi.

Penyusunan Semula Hutang "Pinjaman peribadi juga boleh digunakan bagi penyusunan semula hutang sekiranya faedahnya adalah lebih rendah berbanding faedah kad kredit. "Tetapi jika anda mempunyai skor (rekod) kredit yang agak rendah, mungkin sukar untuk mendapat pinjaman peribadi yang faedahnya rendah melainkan mendapatkan ahli keluarga atau orang lain bagi menjadi penjamin iaitu mereka memberi jaminan membayar hutang tersebut jika anda gagal membayarnya.

"Dalam situasi ini, si penjamin akan membuat bayaran jika anda gagal melunaskan bayaran bulanan, oleh itu faedah yang dikenakan bagi pinjaman boleh dirundingkan untuk lebih rendah bergantung kepada budi bicara institusi kewangan yang terlibat.

"Jika gagal membuat bayaran, pemberi pinjaman juga berhak merampas harta yang dicagarkan," kata beliau.

Komitmen

Memandangkan pinjaman adalah satu komitmen, si peminjam perlulah berhati-hati dalam membuat keputusan.

Ng juga menasihati peminjam agar memilih pemberi pinjaman (institusi kewangan) yang dirasakan betul-betul dapat membantu.

"Bukan senang memilih pemberi pinjaman yang betul. Bukan hanya dengan melihat pada kadar faedah yang rendah. Haruslah diingat bahawa pinjaman yang mengenakan kadar faedah rendah selalunya mengenakan tempoh bayaran yang agak lama. "Apabila memilih institusi peminjam, lihat juga sama ada ia teguh, fleksibel tentang skim bayaran bulanan dan kadar faedah yang dikenakan, kata Ng.

Tambah beliau, apabila seseorang itu membuat pinjaman, memang ada baiknya beliau membuat penilaian terhadap kebaikan dan keburukan pinjaman terlebih dahulu.

Dengan pinjaman wang, membolehkan seseorang itu mempunyai dana dan mencapai objektif. "Tetapi harus diingat setiap pinjaman perlu dibayar balik beserta kadar faedahnya sekali. "Mungkin bagi sesetengah peminjam, terdapat persepsi bahawa pinjaman kewangan boleh menyelesaikan masalah bersangkutan. Itulah sebabnya kenapa walaupun ramai peminjam mendapati kesukaran membuat pinjaman, mereka masih meneruskan niat itu.-BERNAMA