Isnin, 14 Mei 2012

ISU BAHASA : Kelebihan kuasai bahasa asing




OLEH : ROSHLAWATY RAIEH

Peluang mempelajari bahasa Jepun di sebuah hotel terkemuka di Shah Alam memberi satu pengalaman berharga buat penulis.

Ohayo (Good Morning), konnichiwa (hello), sensei (teacher), sayonara (good bye), arigato (thank you), gokku (school) dan kumbanwa (good evening) adalah antara bahasa Jepun yang dipelajari pada waktu itu.

Memang seronok belajar dan menguasai bahasa dari negara luar. Sekurang-kurangnya apabila penulis ke Jepun kelak, tidaklah kekok untuk bertutur dengan penduduk Jepun.

Kepentingan menguasai bahasa asing adalah aset penting pada masa kini. Selain berupaya bertutur dalam bahasa itu, individu berkenaan juga dapat memahami budaya dan adat sesuatu kaum, yang sekali gus merapatkan jurang perbezaan antara mereka.

Pensyarah Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Lim Swee Tin berkata, sekiranya setiap rakyat di negara ini boleh menguasai bahasa kaum lain, ini memudahkan mereka untuk berkomunikasi dan bertukar pendapat bagi kebaikan kaum masing-masing.

Beliau berkata, mempelajari dan menguasai bahasa asing amat digalakkan di negara ini hatta di dunia sekalipun kerana rakyatnya hidup berbilang kaum, bangsa dan agama.

“Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Arab. Korea, China, Tamil, Sepanyol, Perancis, Myanmar, Jepun dan Jerman boleh dipelajari sesiapa sahaja asalkan mereka bersungguh-sungguh untuk belajar.

“Mempelajarinya pula bukan sekadar untuk suka-suka. Jika ada kesungguhan mendalami kepentingan bahasa asing itu, seseorang itu mampu mengecap kehidupan lebih baik kelak,” kata Swee Tin ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah beliau, ramai yang tidak mempercayai pembelajaran bahasa asing itu mampu mengubah kehidupan ke arah yang lebih positif.

“Jika tak percaya, cuba anda belajar bahasa asing di mana-mana kolej. Tidak pun, jika anda seorang mahasiswa, rebut peluang yang ditawarkan fakulti dengan mempelajari beberapa bahasa asing.

“Apabila tamat tempoh pembelajaran, mohon pekerjaan berdasarkan kemahiran yang dimiliki.

"Siapa tahu, anda mampu dilantik Pegawai Diplomatik dengan ganjaran gaji yang cukup lumayan.

“Bukankah itu sudah cukup hebat,” jelasnya yang fasih beberapa bahasa termasuk Melayu, Inggeris, Mandarin, Thailand dan Hokkien Kecerdasan linguistik.

Mempelajari bahasa asing adalah satu aktiviti yang mudah dan menyeronokkan sekiranya individu itu benar-benar berkehendakkan ilmu tersebut. Berdasarkan kajian, tidak semua individu yang dikurniakan bakat semula jadi untuk menguasai sesuatu bahasa asing dengan mudah dan dalam masa yang singkat.

Individu yang memiliki kecerdasan linguistik akan secara mudah menguasai bahasa yang dipelajari, sama ada sebagai bahasa kedua mahupun bahasa ketiga.

Namun tidak bermakna individu yang tidak mempunyai atau kurang kecerdasan linguistik tidak langsung berpeluang meningkatkan penguasaan bahasa asing. Cuma individu tersebut perlulah berusaha lebih keras dan mempelbagaikan kaedah pembelajarannya. Ibarat kata pepatah Melayu, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Menurut Swee Tin, golongan muda adalah golongan utama yang perlu merebut segala peluang untuk belajar bahasa asing kerana mereka masih muda dan punyai waktu terluang.

Masa depan mereka juga terjamin kerana banyak cabang industri seperti industri pelancongan, kerjaya dan perdagangan boleh disertai mudah oleh anak muda ini jika mereka ada kemahiran bertutur dalam banyak bahasa.

Mengulas mengenai kefasihan kanak-kanak yang tinggal di bandar dan mampu berkomunikasi dalam banyak bahasa, kata Swee Tin, persekitaran tempat tinggal itu banyak membantu mereka menguasainya.

Misalnya, kanak-kanak keturunan Melayu yang membesar di kota menggunakan bahasa Inggeris sebagai pertuturan di rumah.Di sekolah pula, bertutur dalam bahasa Cina memandangkan dia bersekolah Cina. 

Setiap hari, kehidupan mereka terdedah dengan bahasa tersebut. Secara langsung, mereka boleh menguasai tiga bahasa dalam satu masa, bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Melalui internet

Sementara itu guru Jepun, Kumiko Torii berkata, banyak cara yang boleh dilakukan jika mahu belajar bahasa asing. Selain mempelajari bahasa asing secara formal dalam kelas pengajian, mereka boleh mengikuti beberapa kaedah untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa asing, seperti mendengar radio dan muzik.

Menurutnya, setiap orang menikmati alunan muzik mengikut cita rasa masing-masing. Ada yang gemarkan muzik rock, jazz, balada, R&B, keroncong dan nasyid.

“Mendengar lagu yang dinyanyikan dalam bahasa asing adalah satu lagi kaedah mempertingkatkan penguasaan bahasa berkenaan. Malah lebih baik lagi jika stesen radio turut menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar.

“Sekurang-kurangnya kita dapat belajar bahasa asing tanpa disedari,” katanya.

Beliau yang juga Pengurus Pemasaran Jepun di Hotel Grand BlueWave Shah Alam berkata, mereka yang tiada kesempatan untuk belajar bahasa asing, boleh mempelajarinya melalui Internet.

“Kini sudah ada kemudahan teknologi komunikasi seperti You Tube dan blog dalam internet. Malah, kursus pengajian bahasa secara santai melalui internet juga banyak diperkenalkan.

“Mereka bebas belajar pada waktu yang diinginkan. Jika inginkan lebih banyak penguasaan bahasa asing, boleh dapatkan bahan kursus bahasa asing yang dipakej ke dalam beberapa siri cakera padat yang berada di pasaran,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : DR. M IKON BUDAYA MEMBACA


Oleh NURUL ANUAR KARI

PROGRAM Galakan Membaca merupakan satu usaha kerjasama pelbagai pihak yang diselia Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bersama jabatan dan agensi kerajaan.

Turut memberi kerjasama, syarikat-syarikat swasta, persatuan penulis, penerbit, institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah serta orang perseorangan dalam melaksanakan bermacam program secara berterusan.

Secara keseluruhan, tidak kurang daripada 8,000 program dijalankan setiap tahun di seluruh negara sejak 2009 dengan penglibatan 1.7 juta peserta pada 2009, lebih 600,000 peserta pada 2010 dan lebih 2 juta peserta pada 2011.

Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia juga menunjukkan program galakan membaca yang bermula pada 2006 meningkatkan trend pembacaan rakyat dari dua buku setahun pada 2005 kepada lapan hingga 12 buku setahun pada 2010.

Bagi memenuhi kehendak membaca 'Generasi Y' pula, pembacaan menggunakan medium selain buku seperti portal dan pangkalan data elektronik turut dibangunkan dengan 21.61 juta akses perkhidmatan atas talian pada 2010 berbanding 5.74 juta pada 2008.

Ini akan terus ditingkatkan PNM selaras dengan kemunculan pelbagai gajet elektronik yang canggih di pasaran seperti komputer tablet dan telefon pintar yang mempunyai aplikasi untuk mengakses bahan bacaan seperti e-book.

Untuk terus menggalakkan amalan membaca, PNM juga akan meneruskan program Ikon Membaca sebagai kaedah menarik minat umum terhadap kempen tersebut melalui aura tokoh dan idola ternama negara.



Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar menjelaskan, sebelum ini Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dan Datuk Michelle Yeoh dipilih sebagai ikon bagi menggalakkan dan membudayakan amalan membaca.

"Seorang angkasawan negara, seorang lagi pelakon terkenal yang kedua-duanya berjaya kerana mereka membudayakan membaca dalam mengejar cita-cita dan memenuhi tanggungjawab kerjaya masing-masing.

"Melihat kesan nyata hasil penyertaan dua tokoh itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mencadangkan negarawan kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad diangkat sebagai Ikon Membaca Kebangsaan," katanya.

Tambahnya, selepas berjumpa dan menjelaskan tentang program itu, Dr. Mahathir akhirnya bersetuju demi menarik minat membaca di kalangan rakyat.

Walaupun cadangan tersebut dikemukakan pada 2010, beliau memaklumkan tarikh 14 Mei 2012 (hari ini) dipilih untuk perasmian Ikon Membaca Kebangsaan kerana menunggu masa sesuai untuk semua pihak yang terlibat.

"Dr. Mahathir mempunyai serba serbi bakat hasil pembacaan perkara kecil hingga yang besar, ringan dan berat, membolehkan beliau membuka kedai roti dan pertukangan. Beliau membuat apa yang dibacanya. Jika tidak, sukar untuk beliau menguruskan krisis ekonomi negara dahulu," katanya.

Katanya lagi, Dr. Mahathir pasti akan mengunjungi kedai buku ketika melawat negara lain dan mampu menghabiskan bacaannya dalam penerbangan pulang sebelum buku itu disimpan di perpustakaan di rumahnya.

Beliau berharap latar belakang serta sejarah Dr. Mahathir yang membudayakan membaca buku, kadang kala sehingga tiga buku sehari, dijadikan teladan untuk semua termasuklah kebolehannya membaca dengan pantas .

"Walaupun sudah ada peningkatan amalan membaca, kehadiran Dr. Mahathir sebagai ikon akan menarik lebih ramai lagi penyertaan, seterusnya menambah kesedaran tentang pentingnya membaca di kalangan rakyat negara ini.

Raslin menjelaskan, penting untuk meluaskan lagi amalan membaca, bukan sekadar amalan hidup malahan demi menjayakan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut beliau, selaku negarawan dan bekas pemimpin yang dihormati, kedudukan Dr. Mahathir sebagai idola juga penting agar boleh dijadikan contoh individu yang berjaya melalui membaca, oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka.

"Kita mahu menerapkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dalam jiwa setiap rakyat dan tingkatkan pemikiran, minda serta nilai-nilai murni melalui bahan-bahan bacaan berkualiti.

"Tetapi, jika bahan bacaan di luar tidak berkualiti, pemikiran umum juga akan menyusul sama. Tiada guna meningkatkan amalan membaca jika tidak dapat meningkatkan pemikiran rakyat," katanya.

Oleh itu, beliau berharap pihak penerbit juga memberi kerjasama dalam kempen tersebut melalui pengeluaran bahan ilmiah ataupun separa ilmiah dan bukan sekadar mencari keuntungan melalui bahan bacaan ringan semata-mata.

Tambahnya, gerakan pembelajaran sepanjang hayat juga tidak mahu seseorang itu kekal di takuk lama sebaliknya perlu ada peningkatan walau dalam bidang apa sekalipun.

"Jika seorang petani, kita tidak mahu kekal petani biasa sahaja. Cuba baca bagaimana untuk menjadi petani moden seperti petani di Jepun. Amat sukar mencapai taraf tinggi jika malas membaca.

"Kita tidak boleh bergantung kepada pengalaman semata-mata. Kerana itu kita memilih Dr. Mahathir sebagai ikon kerana mahu pemikiran rakyat juga maju menjelang Malaysia mencapai status negara maju pada 2020," tegasnya.

Beliau menjelaskan, peluang tersebut akan digunakan sebaik-baiknya secara berterusan kerana Dr. Mahathir boleh menjadi ikon untuk tempoh yang panjang serta dikenali semua, di dalam dan luar negara.

Menurut Raslin, program Ikon Membaca Kebangsaan itu dimulakan tahun lalu dengan pertandingan esei berkaitan Dr. Mahathir di kalangan murid sekolah dan orang ramai yang akan diumumkan pemenangnya pada hari ini.

"Kita juga telah menyediakan banyak bahan promosi untuk kempen kali ini melalui rakaman klip video dan dokumentari khas, rencana iklan, bahan cetakan dan sebagainya.

"Semua ini akan diedarkan kepada umum dan juga pertubuhan bukan kerajaan bagi menyampaikan mesej mempromosi amalan membaca," ujarnya.

Beliau menjelaskan medium seperti klip video akan dijadikan bahan promosi di seluruh negara kerana tidak mahu membebankan kesihatan Dr. Mahathir jika membawanya ke merata tempat.

Tambahnya, di samping mengambil aura ikon membaca itu melalui bahan promosi, wacana membaca melalui Bicara Perdana juga akan dibawa sehingga ke luar bandar bagi membincangkan budaya membaca amalan Dr. Mahathir.

"Kita juga akan mengadakan pameran khas selama satu minggu di Perpustakaan Negara mulai 14 Mei, memaparkan buku-buku yang pernah dibaca Dr. Mahathir, ada antaranya ditanda dan ditulis nota berkaitan maklumat terpilih.

"Ini termasuk draf buku beliau yang ditulis menggunakan tangan. Jika diizinkan, kita mungkin akan membawa koleksi peribadi beliau ini untuk dipamerkan di seluruh negara kelak," katanya.

Dengan itu, Raslin turut menjemput orang ramai menghadiri program Ikon Membaca Kebangsaan di Perpustakaan Negara dari pagi hingga ke majlis perasmian pada sebelah petang.

"Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan program ini dengan anugerah berbentuk jubah khas akan disampaikan kepada Dr. Mahathir sebagai penghargaan dan pengiktirafan intelek beliau," jelasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 13 Mei 2012

ISU BAHASA : Sekolah aliran Inggeris



Oleh Nazmi Yaakub

 Agenda kelompok tertentu diteruskan dalam Dialog Pendidikan Nasional

ANEH apabila masih ada pihak yang berpandangan sekolah aliran Inggeris yang diwujudkan pada zaman kolonial sebagai jawapan kepada usaha memperkukuh bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia

Malah, kelompok itu sanggup menggunakan perbandingan yang salah dengan mengaitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta agama sedangkan ia bukan saja dalam konteks yang salah, bahkan tidak bertepatan dengan sejarah.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata SJK Cina dan Tamil mewakili komponen rakyat Malaysia, manakala sekolah agama pula tidak wajar dipersoalkan kerana majoriti orang Melayu beragama Islam.

“Malah, sekolah agama di negara ini tidak mengetepikan dasar pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama berbanding sekolah aliran Inggeris yang dicadangkan lagi tidak diketahui apakah hala tujunya,” katanya kepada Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata kementeriannya masih mengumpulkan pandangan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan dalam memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negara, Senator Dr S Ramakrishnan yang bertanyakan mengapa kerajaan tidak boleh berbuat demikian sedangkan SJK Cina dan Tamil serta sekolah agama dibenarkan wujud bersama-sama sekolah kebangsaan.

Pada September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan diwujudkan di negara ini kerana bertentangan dengan Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam akta dan dasar yang jelas menyebut bahawa bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

“Tidak mungkin akan wujud sekolah (kerajaan) aliran bahasa Inggeris kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara,” katanya.

Mengulas cadangan pihak tertentu agar kerajaan menubuhkan sekolah dua aliran, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, beliau berkata, dalam aliran kebangsaan hanya aliran bahasa Melayu dibenarkan, tetapi sekolah swasta boleh memilih apa juga bahasa.

Dr Awang berpendapat, pihak berkenaan perlu sedar bahawa tindakan mewujudkan sekolah aliran Inggeris akan membina jurang besar antara masyarakat luar bandar dengan bandar, selain golongan pertengahan dengan bawahan.

“Jika cadangan ini dilaksanakan ia akan menjejaskan dasar bahasa kebangsaan yang secara langsung bertentangan dengan usaha yang sudah dilakukan pelbagai pihak termasuk DBP dalam memperteguh dasar bahasa kebangsaan.

“Anak yang dihantar ibu bapa ke sekolah Inggeris tidak akan mengutamakan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan saya yakin kesan besar sekolah Inggeris adalah melebarkan jurang perbezaan, sekali gus memperlihatkan kita tidak mempunyai dasar bahasa yang jelas,” tegasnya.

Pandangan Dr Awang turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khir Ngadiron yang melihat cadangan mewujudkan sekolah aliran Inggeris sebagai satu ironis.

“Selepas kita berjaya meraih kemerdekaan dan melepasi laluan berliku serta merungkai kekusutan sehingga berjaya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, tentulah tidak wajar untuk kita kembali ke era penjajahan.

“Sudah terbukti sekolah kebangsaan dengan bahasa pengantar bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai sekolah yang baik dan bagus, tidak ada sebab untuk kita memberikan justifikasi untuk membuka ruang kepada sekolah aliran Inggeris,” katanya.

Mohd Khir turut menolak tanggapan yang menyamakan sekolah aliran Inggeris dengan kewujudan SJK Cina dan Tamil yang diasaskan sejak awal kemerdekaan atas persetujuan dan permuafakatan.

Alasan penubuhan sekolah Inggeris itu turut ditempelak Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong.

“SJK Cina dan India serta sekolah agama ada asasnya, iaitu mewakili kumpulan etnik di negara ini dengan orang Cina dan India mempunyai hak untuk menuntut pendidikan dalam bahasa ibunda, manakala orang Melayu Islam inginkan pendidikan agama yang lebih terarah.

“Namun, sekolah Inggeris tidak perlu wujud untuk memenuhi hasrat mana juga kelompok kerana tidak ada kumpulan etnik sedemikian,” katanya yang juga ahli panel Dialog Pendidikan Nasional.

Prof Teo menolak tanggapan keperluan sekolah Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih meluas, sebaliknya menegaskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) berupaya memastikan dua bahasa itu diberi perhatian mengikut martabatnya.

“Pelaksanaan sekolah Inggeris tidak selari dengan nasionalisme Malaysia yang mengangkat bahasa sepunya, sekali gus boleh menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan negara.

“Ini kerana bahasa Inggeris mempunyai prestij, kuasa dan glamor yang cukup hebat sehingga kita lihat kekuasaan bahasa Inggeris meranapkan beberapa bahasa besar dan kecil di dunia khususnya di negara dunia ketiga,” katanya.

Justeru, beliau hairan apabila ada dalam kalangan bangsa Melayu sendiri yang mengutarakan cadangan penubuhan sekolah Inggeris termasuk dalam Dialog Pendidikan Nasional, sekali gus menganggap cadangan itu tidak mempunyai pandangan yang jauh.

Tidak hairanlah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, menyifatkan cadangan penubuhan sekolah aliran Inggeris sebagai tindakan balik ke belakang.

“Sepatutnya usaha ditumpukan untuk memperkasa sekolah kebangsaan yang juga bermakna memastikan dasar MBMMBI berjalan serentak sehingga tidak lagi memerlukan kewujudan sekolah aliran Inggeris.

“Kewujudannya juga bertentangan dengan falsafah pendidikan dan Akta Pendidikan Negara yang menegaskan alat pengajaran adalah bahasa Melayu,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Al FATIHAH - UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA ALLAHYARHAM CIKGU ABD. RAZAK HASSAN


Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Cikgu Abdul Razak Hassan, rakan penulis blog Bahasa Melayu (http : //galusbm.blogspot.com/) yang sangat prolifik kerana telah kembali ke rahmatullah pada pukul 11.00 malam tadi (12 MEI 2012). Semoga rohnya dicucurkan rahmat oleh Allah s.w.t. dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin - Al Fatihah.

ISU SUKAN : Malaysia juara Piala Remaja Asia tewaskan Pakistan 2-1



KUALA LUMPUR 13 Mei - Sebentar tadi pasukan hoki remaja Malaysia telah melakar sejarah apabila muncul juara hoki Piala Remaja Asia selepas menewaskan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka  malam ini. 

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Penyakit Tidak Berjangkit Ancaman Kesihatan Baru Di Malaysia


PUTRAJAYA: Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, darah tinggi dan diabetes kini merupakan ancaman kesihatan baru di negara ini dengan jumlah pesakitnya meningkat setiap tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun lepas mendapati kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia menghidap darah tinggi, 2.5 juta mengalami masalah obesiti dan 2.6 juta menghidap diabetes.

"Situasi NCD di negara ini amat merunsingkan. Apa yang membimbangkan ialah masih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka telah menghidap NCD dan ramai lagi tidak sedar mengenai risiko penyakit ini dan menganggap ia perkara remeh," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Terdahulu itu, Dr Hasan merasmikan Kem Kesedaran Kesihatan (3K) anjuran Kelab Lembaga Jururawat Kuala Lumpur di Kompleks Kejiranan, Presint 11 di sini Ahad.

Tinjauan NHMS pada tahun lepas menunjukkan penyakit diabetes meningkat 15.2 peratus berbanding 11.6 peratus pada tahun 2006, darah tinggi di kalangan dewasa berumur 30 tahun meningkat dari 32.2 peratus kepada 32.7 peratus bagi tempoh yang sama.

Tinjauan itu juga menunjukkan obesiti meningkat tiga kali ganda iaitu dari 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 15.1 peratus tahun lepas manakala kelaziman merokok turut meningkat kepada 24.7 peratus berbanding 21.5 peratus tempoh yang sama.

Dr Hasan berkata, kementerian mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kempen kesedaran di 88 lokasi di seluruh negara untuk memastikan rakyat mendapat pendedahan bagi mengenal pasti jenis penyakit yang dihidapi.

Selain itu, beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan juga akan menjalankan aktiviti yang sama di lokasi terpilih untuk mendapatkan pendedahan dan rawatan awal.

Dr Hasan berkata, punca utama seseorang menghidap NCD ialah masyarakat kini mengamalkan amalan hidup dan pemakanan tidak sihat serta kurang bersenam.

Selain itu, beliau berkata, tinjauan NHMS mendapati ramai rakyat Malaysia tidak melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.

"Individu yang menghidap NCD tidak mengalami sebarang gejala dan kadang-kalaia hanya dapat dikesan selepas tujuh hingga 10 tahun.

"Sehubungan itu, kementerian menyarankan rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas menjalani ujian saringan faktor risiko NCD setiap tahun untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik," katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : PEMANDU MALAYSIA PERLU UBAH SIKAP


KUALA LUMPUR : Sikap pengguna jalan raya di negara ini yang tidak sabar, kelam-kabut, suka memandu laju dan menukar lorong dengan sesuka hati, perlu diubah untuk mengurangkan kemalangan.

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kempen keselamatan jalan raya memang perlu diadakan, tetapi ia tidak akan berhasil selagi pengguna tidak mematuhi perkara asas berkaitan keselamatan dan sikap berhemah serta tidak mengubah sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab masing-masing ketika  di jalan raya.

"Mereka sedar mengenai bahaya di jalan raya, tetapi reaksi mereka berubah apabila mereka memandu, dan membahayakan nyawa sendiri serta nyawa orang lain apabila mereka menganggap jalan dan lebuh raya sebagai  trek perlumbaan Formula Satu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, Malaysia mengalami kerugian lebih kurang RM9 bilion setahun akibat kemalangan jalan raya melalui perbelanjaan untuk membaiki kerosakan, membayar insurans dan bil perubatan.

"Kajian menunjukkan lebih separuh daripada kemalangan jalan raya membabitkan mereka yang berusia antara 18 dan 40 tahun, yang juga aset penting negara," katanya.

Lee berkata, pada 2010, 414,421 kes kemalangan jalan raya dilaporkan, berbanding 397,330 pada tahun sebelumnya, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus. Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pula meningkat dua peratus kepada 6,872 pada 2010 daripada 6,745 pada 2009.

Katanya, kemalangan kenderaan bermotor adalah kes tertinggi berkaitan kemalangan dan kematian berkaitan kerja.

"Masalahnya, ada orang yang tidak pernah mengambil pengajaran daripada gambar-gambar mengerikan mengenai  kenderaan yang remuk, mayat bergelimpangan, mangsa yang mengerang kesakitan dan kepiluan yang dialami oleh keluarga mereka," katanya. - BERNAMA