Isnin, 2 Julai 2012

ISU SOSIAL : Rasuah Libatkan 'Pelobi' Berjaya Dikurangkan Dengan Sistem E-Bidding


KUALA TERENGGANU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meningkatkan pemantauan terhadap kesalahan rasuah dalam industri pembinaan di negara ini, terutama terhadap pelobi yang berselindung di sebalik pelbagai nama seperti konsultan atau orang tengah.

Walaupun mengikut rekod SPRM, gejala rasuah akibat pelobi ini semakin berkurangan sejak kerajaan memperkenalkan sistem e-bidding, namun masih ada ruang untuk dibaiki bagi memastikan kelancaran sesebuah projek yang berkualiti dan berimpak tinggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, dalam konteksindustri pembinaan, sistem e-bidding yang diguna pakai di kementerian dan jabatan kerajaan berjaya menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM1 juta daripada ketirisan akibat rasuah.

Katanya, melalui sistem ini, urusan berkaitan kontrak dan tender berjalan secara telus dengan kontraktor dan pembekal memberi sebut harga melalui borang yang disediakan dan tiada perjumpaan langsung berlaku antara mana-mana pihak yang berkepentingan.

"Fungsi orang tengah itu sendiri memang penting bagi sesetengah pembida, namun tidak boleh terlalu jauh menyimpang daripada peranan asal mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pembinaan Menjana Pembangunan Integriti di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini, Isnin.

Seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan SPRM itu dihadiri 220 kontraktor dari seluruh Terengganu, bertujuan memberi penerangan terhadap risiko rasuah dalam industri pembinaan negara.

Selain itu, Abu Kassim berkata, kebanyakan jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dengan penguatkuasaan undang-undang memang berisiko tinggi untuk berlakunya gejala rasuah di kalangan penjawat awam terbabit.

Namun, katanya, Akta SPRM 2009 yang diwujudkan berjaya mengekang gejala rasuah daripada berleluasa dibandingkan ketika zaman 1980-an dan 1990-an dahulu dan usaha penambahbaikan sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa. - BERNAMA

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : 48 peratus pengguna internet di Malaysia wanita


KOTA KINABALU - Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di negara ini turut dimanfaat kaum hawa yang merupakan 48 peratus pengguna Internet.

Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri Datuk Dr Yee Moh Chai berkata statistik juga menunjukkan ramai wanita memanfaatkan ICT untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

"Kemudahan Internet yang ada memberi peluang kepada mereka sama-sama mempelopori bidang ICT. Mereka setanding dengan lelaki di dalam mengaplikasikan kemudahan yang wujud melalui perniagaan 'online' walaupun beroperasi di rumah," katanya.

Yee berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2012 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di sini malam tadi.

Katanya seminar keselamatan bertema 'Wanita dan ICT' yang diadakan khusus untuk kaum hawa itu adalah wajar dan tepat pada masanya.

"Ini kerana menurut laporan akhbar, kebanyakan mangsa jenayah siber terutama yang melibatkan laman sosial seperti Facebook dan juga pesan ringkas (SMS) berbaur lucah adalah terdiri daripada kaum wanita," katanya.

Yee turut menyeru lebih banyak pihak tampil membantu SKMM dalam mengurangkan jurang digital dan seterusnya meningkatkan penggunaan jalur lebar di Sabah dengan pelbagai inisiatif baru termasuk peluasan liputan jalur lebar. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : Keetnikan, identiti bangsa dalam sejarah



Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

LAMBAKAN maklumat di alam maya boleh menimbulkan masalah apabila kita disogokkan dengan bahan yang tidak ilmiah atau yang salah fakta.

Karya asal atau tulisan tulen dalam bentuk jurnal, ensaiklopedia, majalah, dokumen atau buku teks banyak tersimpan di perpustakaan awam atau di institusi pengajian tinggi kadang kala sukar untuk diperolehi jika dibandingkan dengan penggunaan komputer.

Keadaan akan menjadi tidak terkawal apabila terdapat penulis yang tidak beretika menulis sejarah menggunakan fakta dan pendekatan yang salah.

Demikian kerisauan yang diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Tan Sri Omar Hashim dalam ucapan alu-aluannya semasa berlangsung Seminar Sejarah Malaysia yang diadakan di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.

Seminar yang bertemakan ‘Sejarah, Etnisiti dan Identiti’ dihadiri lebih 200 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PSM termasuk penggiat, peminat dan pelajar sejarah. Objektif seminar adalah untuk mengetengah dan membincangkan isu-isu kontroversi di sekitar sejarah tanah air. Ia turut meneliti permasalahan keetnikan dan cabaran pembinaan identiti bangsa dalam konteks sejarah nasional.

Ada pendapat menyatakan bahawa penulisan sejarah boleh berubah mengikut perspektif dan pendekatan yang dikehendaki oleh penulis dan persekitarannya. Sebagai contoh semasa saya belajar di sekolah menengah lewat l960-an dalam mata pelajaran Sejarah, JWW Birch Residen Perak yang pertama dianggap sebagai wira kerana dibunuh di Pasir Salak ketika menjalankan tugas. Beliau dianggap berjasa kerana bertugas atas restu Ratu Inggeris dan sedang berusaha melakukan transformasi terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak terutama menyusun kembali penguasaan kutipan cukai.

Namun demikian apabila kita melihat sejarah melalui kaca mata kita sendiri maka wira sebenarnya ialah mereka yang merancang dan membunuh petualang negara itu. Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan rakan- rakannya dianggap sebagai pejuang ulung yang menentang kemasukkan penjajah ketika itu.

Langkah lebih berkesan telah diambil oleh pihak penguasa tempatan apabila menukar semua nama jalan bernama Birch kepada Maharajalela.

Dalam konteks masyarakat majmuk penulisan sejarah mempunyai kaitan yang rapat dengan etnik, kumpulan status, gender dan warga generasi. Prof. Dr. Kamaruddin M Said dalam kertas yang bertajuk Kesedaran Sosial dan Pentafsiran Sejarah menyatakan sebahagian besar penulisan sejarah Malaysia dibina oleh nasionalisme Melayu khususnya pada pertengahan pertama abad ke- 20. Dengan kejayaan UMNO menjadi pendukung utama kepada kemerdekaan tanah air maka pentafsiran sejarah dari kaca mata nasionalis Melayu telah diterima pakai dalam penulisan teks sejarah.

Namun demikian akhir-akhir ini pentafsiran sejarah telah menerima saingan daripada pihak lain secara lebih berani. Misalnya Chin Peng tokoh utama Parti Komunis Malaya (PKM) telah menerbitkan memoirnya yang bertajuk My Side of History (Chin Peng 2003).

Pentafsiran Chin Peng terhadap sejarah kolonialisme dan kemerdekaan Malaysia adalah antitesis kepada pentafsiran yang dibuat oleh nasionalis Melayu. Demikian juga buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh penting PKM seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Chik menafsirkan sejarah ‘gerakan kiri’ dan PKM daripada sudut pandangan peribadi masing-masing.

Demikian juga buku yang berkisar peristiwa hitam 13 Mei 1969 selain buku yang dihasilkan oleh Tunku Abdul Rahman bertajuk 13 Mei: Sebelum dan Selepas (Tunku 1969) dan buku Tragedi 13 Mei: Suatu Laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran 1969) yang merupakan laporan rasmi kerajaan, terdapat juga buku lain yang melihat peristiwa itu daripada perspektif yang berbeza. Antaranya buku yang ditulis oleh Kua Kia Soong bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 yang merujuk banyak dokumen Pejabat Rekod Awam, London. Sementara itu buku yang bertajuk Patriots and Pretenders: The Malaysan People‘s Independence Struggle (Kua Kia Soong 2011) mengetengahkan peranan yang dimainkan oleh ‘golongan kiri’ dalam sejarah perjuangan kemerdekaan.

Sementara itu bagi Abd Ghapa Harun yang membentangkan kertas bertajuk Memahami Permasalahan Etnisiti dan Identiti dan Pengaruhnya ke atas Historiografi Negara Berbagai Kaum, Malaysia menyatakan dalam mengidentifikasi permasalahan negara maka peranan historiografi dan pendidikan sejarah adalah penting. Menurutnya diagnosis ke atas historiografi akan dapat meneliti pengaruh dan kesannya ke atas isu etnik dan identiti.

Dalam abad ke-21, akibat proses globalisasi di kebanyakan negara, isu kepelbagaian etnik dan perbezaan identiti semakin ketara. Akibatnya isu keetnikan dan identiti semakin mendominasi arena politik. Ia menyemarak apabila pelbagai kelompok masyarakat khususnya etnik minoriti semakin kerap menuntut proses demokrasi dilaksanakan secara terbuka dan memperjuangkan politik multikulturalisme.

Memuncaknya isu tersebut mendorong para peneliti sains sosial dan sains politik memberi perhatian mendalam terhadap implikasi kepelbagaian tersebut ke atas proses pembinaan negara. Pelbagai saranan telah dimajukan bagi menangani isu tersebut melalui penulisan, perbincangan dan seminar.

Bagi negara kita dengan pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah dapat mengurangkan isu keetnikan dan identiti tersebut. Pendidikan menekankan konsep perpaduan di kalangan pelbagai etnik dan membina jati diri serta mengumpulkan kanak-kanak belajar di bawah satu bumbung. Malah mata pelajaran Sejarah digunakan untuk membentuk pemikiran pelajar dan menjadi alat penting bagi pembinaan negara bangsa.

Atas kesedaran tersebut Menteri Pelajaran menjadikan mata pelajaran itu wajib dipelajari oleh semua pelajar. Sejarah bukan sahaja untuk mengenal asal usul tetapi dapat dijadikan alat mengukuhkan jati diri bagi mengukuhkan perpaduan pelbagai etnik yang menghuni negara ini.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SUKAN : Sepanyol tewaskan Itali 4-0, juara Euro kali ke-3


NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH


Pemain-pemain Sepanyol menjulang trofi Euro 2012 di Kiev, Ukraine. - Foto ihsan BBC

Sepanyol mencipta sejarah dengan memenangi tiga gelaran utama berturut-turut termasuk kejuaraan Euro buat kali kedua.

Sepanyol mengatasi Itali 4-0 untuk mengekalkan gelaran Euro di Stadium Kiev, Ukraine pagi tadi menerusi jaringan yang berkualiti dan menarik serta menghiburkan para penontotn di arena itu dan seluruh dunia.

Kemenangan ini juga bermakna kerana Sepanyol muncul juara Kejohanan Eropah buat kali ketiga. Pada 2010, Sepanyol muncul juara Piala Dunia.

Trofi disampaikan oleh Presiden Uefa, Michel Platini di Stadium Olimpik, Ukraine yang menghimpunkan 65,000 penonton. Ukraine dan Poland menganjurkan secara bersama edisi Euro kali ini.

Euro 2016 akan berlangsung di Perancis.

Kejayaan berpesta gol ini juga mengikis kritikan dan kecaman bahawa Sepanyol gagal menyajikan persembahan yang menghiburkan kali ini.

Itali dan Sepanyol telah pun bertemu pada perlawanan peringkat kumpulan, tetapi bilangan gol pada hari ini sesuatu di luar dugaan ketika ramai meramalkan Itali akan mengatasi Sepanyol.

Bilangan gol itu juga dilihat sesuatu 'yang malang' apabila Itali bermain 10 orang selepas Thiago Motta terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan dialaminya. Ketika itu Itali sudah pun membuat tiga pertukaran.

Itali menggantikan Chiellini dengan Balzaretti pada minit ke-21, Cassano (Di Natale, 46) dan Montolivo (Motta, 56).

Sepanyol juga menggunakan tiga pemain gantian iaitu Iniesta digantikan oleh Mata (87). Sebelum itu,. Fabregas digantikan oleh Torres (75) dan Silva (Pedrito, 59).

Gol pertama Sepanyol dijaringkan oleh David Silva pada minit ke-14 dan disusuli jaringan Jordi Alba pada minit ke-41. Gol ketiga dijaringkan oleh Fernando Torres pada minit ke-84 dan disusuli gol minit ke-88 menerusi Juan Mata.

Sepanyol turun untuk mencipta nama sebagai negara yang memenangi tiga gelaran antarabangsa berprestij secara berturut-turut - Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 serta Euro 2012.

Itali pula mahu meneruskan peningkatan prestasi selepas permulaan hambar pada awal saingan di samping  memasang impian untuk mengulangi sejarah 1968.

Statistik perlawanan  :

- Kedudukan gol: Sepanyol (4) - Itali (0)

- Penguasaan bola: Sepanyol (51%) - Itali (49%)

- Sasaran ke gawang: Sepanyol (14) - Itali (11)

- Sepakan penjuru: Sepanyol (3) - Itali (3)

- Kad kuning: Sepanyol (1) - Itali (1)

 Barisan pemain Sepanyol:

1  Iker Casillas
17 Alvaro Arbeloa
15 Sergio Ramos
18 Jordi Alba
8  Xavi Hernandez
16 Sergio Busquets
14 Xabi Alonso
21 David Silva
10 Cesc Febregas
6  Andres Iniesta

Barisan pemain Itali :

1  Gianluigi Buffon
6  Federico Balzaretti
15 Andrea Barazagli
19 Leonardo Bonucci
3  Giorgio Chiellini
8  Claudia Marchisio
18 Ricardo Montolivo
16 Daniele De Rossi
21 Andrea Pirlo
9  Mario Balotelli
10 Antonio Cassano

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Ahad, 1 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Ciri keselamatan pengeluaran ijazah akan dikaji


JOHOR BAHRU - Kementerian Pengajian Tinggi akan mengkaji ciri keselamatan pengeluaran ijazah bagi menangani kegiatan penjualan ijazah palsu di negara ini.
  
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian juga akan melihat ciri keselamatan yang digunapakai negara lain bagi mengatasi kes seumpama itu.
  
"Berbanding sijil kelahiran yang mempunyai ciri-ciri serupa, pengeluaran ijazah oleh setiap universiti di negara ini berbeza-beza. Orang ramai tidak tahu sama ada ia tulen atau sebaliknya," katanya.
  
Sebuah akhbar hari ini melaporkan kegiatan satu sindiket yang menawarkan ijazah palsu menggunakan nama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi laman web pada harga mencecah RM5,000.
  
Bercakap kepada pemberita selepas Program Khidmat Masyarakat Yayasan Tunku Abdul Rahman dan pelancarkan Pusat Khidmat Kaunseling Komuniti 1Malaysia Universiti Teknologi Malaysia, di Sekolah Kebangsaan Rinting 1, di sini, hari ini, Mohamed Khaled berkata kes itu adalah yang pertama diterima pihaknya setakat ini.
  
Beliau berkata kementerian dan USM kini bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan kes itu. - Bernama

ISU GLOBAL : Pahit manis kemenangan Mursi


Oleh : ZIN MAHMUD

KEJAYAAN wakil Ikhwanul Muslimin, Muhammad Mursi sebagai Presiden Mesir adalah bersejarah, penuh harapan tetapi ia adalah kemenangan pahit dengan menghadapi cabaran berlapis-lapis.

Paparan dari media antarabangsa menunjukkan rakyat Mesir bergembira dengan kemenangan beliau dan penyokong-penyokong Ikhwan melakukan sujud syukur.

Perkembangan bersejarah itu, bukan saja bagi Mesir tetapi juga bangsa Arab, rantau Timur Tengah dan umat Islam.

Kalau hendak dikirakan, kemenangan Mursi itu merupakan peristiwa pertama di mana penduduk Mesir memilih pemimpin mereka sejak 5,000 tahun negara itu diwujudkan.

Mesir adalah antara negara purba yang masih wujud, walaupun sekarang dalam bentuk moden. Pada zaman Firaun, sudah tentu rajanya tidak dipilih rakyat. Begitu juga semasa menjadi sebahagian daripada empayar Yunani dan Rom. Juga semasa pemerintahan kerajaan Islam dan selanjutnya di zaman moden ini.

Ketika Mesir diwujudkan sebagai negara bangsa yang muncul daripada runtuhan Khilafah Uthmaniah, ia diperintah pula oleh raja, terakhir ialah Al Malik Farouk sebelum digulingkan oleh pihak tentera nasionalis pimpinan Mohammad Naguib dan Gamal Nasser.

Penubuhan Republik Arab Mesir yang asasnya bersifat kiri dan progresif tetap tidak memberi ruang sistem demokrasi bagi membolehkan ketua negara dipilih oleh rakyat. Hinggalah ketua negara akhir rejim tentera ini, Hosni Mubarak jatuh akibat kebangkitan rakyat Arab yang turut merebak ke Kaherah.

Kebangkitan yang menuntut sistem demokrasi, urus tadbir baik dan pembangunan untuk rakyat akhirnya membuka ruang kepada Ikhwan memperoleh kuasa melalui kemenangan dalam pilihan raya dewan perundangan dan presiden.

Keadaan ini bukan saja mengejutkan tetapi merupakan satu ironi. Kebangkitan rakyat Mesir ini tidak digerakkan oleh Ikhwan tetapi berpunca daripada apa yang berlaku di Tunisia dan seterusnya digerakkan oleh kaki tangan syarikat Facebook.

Cumanya Ikhwanul sejak penubuhannya pada tahun 1920-an telah muncul sebagai pergerakan sosial yang memberi perkhidmatan rakyat di samping menjadi organisasi politik pembangkang paling tersusun dan menyeluruh.

Berjuang

Dari segi asasnya Ikhwan tidak memperjuangkan demokrasi kerana ia merupakan gerakan Islam yang mahu berjuang untuk pembaharuan masyarakat. Pengasasnya, Hassan Al-Banna berdakwah hingga ke kelab-kelab malam kerana mendapati masyarakat Mesir pada zaman Raja Farouk begitu bobrok, iaitu tidak bermoral dan tanpa semangat membangun.

Ikhwan bersepakat dengan gerakan nasionalis pimpinan Gamal Nasser menggulingkan Farouk. Tetapi Nasser mempunyai fahaman lain. Beliau memperjuangkan nasionalisme dan sosialisme tetapi tidak menerima fahaman gerakan Islam.

Maka tidak hairanlah Nasser bukan saja menyingkirkan Ikhwan, tetapi gerakan itu diharamkan dan pendokong-pendokongnya ditangkap, diseksa dan dibunuh.

Maka dari keadaan ini muncullah syuhada Ikhwan seperti Sayid Qutb yang mencorakkan pemikiran bagi gerakan itu, dengan pengaruhnya merebak ke seluruh dunia.

Tetapi semasa Anwar Sadat dan Hosni Mubarak, Ikhwan menyesuaikan diri. Walaupun diharamkan, mereka tetap menyertai pilihan raya melalui parti lain umpamanya Parti Buruh. Pilihan raya yang disertai mereka pada zaman Mubarak dimanipulasi rejim tentera dan kuasa sebenar tidak pernah dikembalikan kepada rakyat.

Tiba-tiba kini Ikhwan memikul tanggungjawab memenuhi tuntutan rakyat yang mahukan demokrasi. Mereka menyertai pilihan raya ini melalui Parti Kebebasan dan Pembangunan (JDP) dengan mengambil Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) Turki sebagai model.

Setelah menang, Mursi melepaskan keanggotaannya dalam Ikhwan untuk menjadi presiden bagi semua rakyat Mesir. Beliau menimbangkan kemungkinan akan melantik seorang Kristian Kibti dan seorang wanita sebagai naib presiden.

Walaupun gambar menunjukkan beliau mengimamkan sembahyang selaku seorang pemimpin Muslim, tetapi komitmennya adalah untuk menjadi ketua negara bagi semua rakyat Mesir tanpa mengira agama dan aliran fahaman.

Beliau tentu sedar, kemenangan yang diterima adalah tipis dan banyak memberi undi kepadanya adalah kerana tidak ada calon lain. Tentulah pendokong perubahan tidak tergamak untuk memilih Ahmad Shafik, wakil daripada rejim tentera untuk menjadi presiden. Maknanya Mursi mesti tampil sebagai presiden sekular dan demokratik. Cita-cita asal dan awal Ikhwan mesti diketepikan dahulu.

Cabaran utama yang dihadapinya ialah bagaimana menghadapi pihak tentera yang hakikatnya belum melepaskan kuasa mereka.

Tetapi Mursi pada Jumaat lalu pergi ke Dataran Tahrir dan mengangkat sumpah secara simbolik sebagai presiden. Ia seolah-olah mahu memberitahu, beliau mendapat kuasa daripada rakyat yang berhimpun di dataran itu, dan bukannya pihak tentera. Majlis angkat sumpah rasmi berlangsung semalam.

Cabaran selanjutnya ialah bagaimana hendak memenuhi harapan tinggi rakyat yang telah lama terpinggir dan diabaikan oleh rejim Mubarak. Tentu perubahan tidak boleh dibuat mendadak kerana sememangnya tidak mungkin. Ia adalah suatu perjalanan panjang yang memerlukan banyak pengorbanan.

Sementara itu, pihak lain yang mahukan kuasa, umpamanya dari kalangan golongan nasionalis kiri, liberal sekular, golongan Salafi yang ekstrem dan pihak tentera sendiri akan terus mengganggu beliau serta Ikhwan.

Tambahan pula Mesir mempunyai kedudukan geopolitik yang unik dan penting. Ia bukan saja sewajarnya menjadi negara pemimpin Arab, tetapi juga umat Islam. Tanggungjawab bagi membebaskan Palestin juga ada pada bahu Kaherah. Apabila melibatkan Israel, sudah pasti Amerika Syarikat (AS) yang berjanji akan terus memberi bantuan kepada Mesir mengharapkan Mursi akan tetap menjadi sekutu mereka walaupun berlatar belakang gerakan Islam. Mursi diharapkan oleh AS akan menjadi pemimpin yang dapat menjayakan Mesir sebagai negara dan seterusnya mendapatkan penyelesaian bagi isu Palestin.

Cabaran

Tugas Mursi ternyata berat. Tetapi proses politik antarabangsa acap kali di luar perkiraan pelaku-pelakunya. Lebih-lebih lagi dalam sistem demokrasi di mana pemimpin hanya mampu memerintah paling lama ialah dua penggal. Keadaan akan terus dalam suasana tidak menentu.

Apa yang nyata, sesuatu perubahan besar yang tidak disangka-sangka boleh berlaku di Timur Tengah. Buat masa ini pertumpahan darah yang banyak di Syria menjadi perhatian. Pendokong-pendokong Ikhwanul Muslimin Syria banyak yang dibunuh.

Mursi pasti perlu memainkan peranan menyelamatkan rakyat Syria daripada terus menjadi mangsa kekejaman rejim Baath, lebih-lebih apabila bercampur dengan faktor mazhab. Hubungan Sunah-Syiah juga menghadapi cabaran.

Dalam keadaan ini, ia juga menarik campur tangan Iran. Mursi pun sudah memberi amaran bahawa beliau tidak akan menerima kunjungan duta Iran selagi Teheran tidak menghentikan sokongan kepada Damsyik.

Kalau dari segi persaingan antara AS melawan penentang-penentangnya, maka Mesir menjadi sekutu Barat.

Kebangkitan rakyat Arab yang walaupun telah menjatuhkan diktator-diktator sokongan Barat, tetapi penggantinya yang menang pilihan raya adalah terus bersekutu dengan mereka.

Maka bila rejim Damsyik akhirnya nanti tumbang, Syria juga akan bersama Barat. Maka negara yang tinggal menentang AS ialah Iran.

Pastinya menurut idealisme Ikhwan, mereka tidaklah mahu bersekutu dengan AS dan Barat.

Tetapi buat masa ini dalam melindungi kepentingan rakyat dan negara, mereka tidak dapat lari daripada bersekutu dengan AS .

Perkiraan rakyat biasa bukanlah percaturan geopolitik jangka panjang. Apa yang penting ialah kehidupan seharian yang lebih baik dengan anak-anak muda berpeluang mendapatkan perkhidmatan keperluan asas seperti kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan yang luas.

Tuntutan asas inilah yang mencetuskan kebangkitan rakyat Arab. Setelah gagal pada masa kediktatoran kiri dan kanan, kini orang muda terutamanya mengharapkan demokrasi dan kebebasan dapat memenuhi harapan mereka.

Tetapi jika dilihat terhadap apa yang berlaku di Eropah, sistem demokrasi dan kebebasan semata-mata tidak menjamin kejayaan sesebuah negara.

Untuk mendapatkan kejayaan akhirnya bergantung juga pada kepimpinan di semua peringkat dalam sesebuah negara. Termasuk juga pihak pembangkang dalam negara berkenaan.

Presiden-presiden Mesir terdahulu hebat-hebat belaka. Mohammad Naguib, Gamal Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak. Tetapi mereka gagal memberikan kesenangan kepada rakyat biasa Mesir.

Maka kini Mursi pula diberi amanah untuk memenuhi harapan rakyat. Bila pihak tentera benar-benar menyerahkan kuasa kepada Mursi, maka Mesir memasuki era demokrasi baru.

Tetapi kejayaan belum pasti lagi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : 250,000 Kanak-Kanak Malaysia Guna Facebook Walaupun Di Bawah Had Umur


Oleh HARIATI AZIZAN

PETALING JAYA : Facebook masih memikirkan sama ada untuk memberi ruang kepada mereka yang berusia di bawah 13 tahun, tetapi di Malaysia, hampir 250,000 kanak-kanak, sebahagiannya semuda tujuh tahun, telah mendaftar di laman rangkaian sosial terbesar dunia itu.

Pengguna Internet muda, yang berjuta-juta di seluruh dunia, telah dapat mengelakkan ketetapan sekatan umur dengan berbohong tentang umur, antaranya dengan bantuan ibu bapa mereka.

Had umur 13 tahun telah ditetapkan oleh Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak di Amerika Syarikat.

Menurut media sosial global dan syarikat analisis digital Socialbakers, kira-kira 248,500 pengguna Facebook di Malaysia merupakan pra-remaja apabila setakat Ogos tahun lalu, menjadikannya kira-kira 2.2 peratus daripada 11.3 juta pengguna.

Bilangan pengguna telah meningkat kepada lebih 12.4 juta, kata syarikat itu bahawa kedudukan Malaysia pada tangga ke-17 di kalangan 213 negara.

CyberSecurity Malaysia telah memberi amaran mengenai bahaya kanak-kanak di bawah umur menggunakan Facebook tanpa bimbingan ibu bapa yang sepatutnya.

“Kami tahu terdapat mereka yang merupakan kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun di Facebook,” kata ketua pegawai eksekutif, Leftenan Kolonel (R) Prof Datuk Husin Jazri.

Beliau percaya dengan memansuhkan sekatan umur itu akan memberi kesan positif.

“Dengan membenarkan kanak-kanak untuk mendaftar, kita dapat memantau berapa ramai sebenarnya yang berusia di bawah 13 tahun,” kata beliau.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi turut bersetuju mengenainya.

“Kanak-kanak boleh berpotensi untuk terbuka dengan akaun Facebook. Ini akan menggalakkan mereka untuk berkongsi pengalaman mereka secara dalam talian.

“Dengan menyembunyikan umur mereka dan tanpa sebarang langkah perlindungam kanak-kanak tidak dapat dilindungi dengan sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, pakar media sosial, Jasmin Choy berkata, keadaan itu akan menjadikan kanak-kanak lebih terdedah kepada pembulian siber dan mangsa seksual.

“Ibu bapa mereka sama ada berasa mereka tidak boleh berbuat apa-apa atau mereka tidak tahu apa yang akan berlaku kepada anak-anak mereka apabila di alam siber,” kata Choy, yang mempunyai dua anak yang masih kecil.

Pelajar kolej Syaza Nazura, 18, berkata: “Melarang kanak-kanak di bawah 13 tahun (menggunakan Facebook) tidak berkesan kerana mereka boleh melakukannnya dengan hanya memalsukan tarikh lahir.”

Sumber : http : //www.mstar.com.my/