Isnin, 23 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : Banyak keburukan bawa telefon bimbit ke sekolah


Oleh : Anwar patho Rohman
 
Kebenaran guna gajet tak bantu tingkat mutu pendidikan, undang banyak masalah

Tahun depan, tidak mustahil poster bertulis, “Sila matikan telefon bimbit atau gajet anda ketika guru sedang mengajar” akan ditampal di bilik darjah. Di kawasan sekolah pula, poster bertulis “Penggunaan telefon bimbit atau gajet dibenarkan sebelum dan selepas waktu sekolah atau pada masa rehat saja,” mungkin akan ditampal di papan kenyataan dan setiap koridor.

Poster berkenaan ditampal bertujuan mendisiplin murid sekolah, selain memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Pelajaran susulan murid dibenarkan membawa telefon bimbit atau gajet komunikasi ke sekolah pada 2013.

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya akan menjadi kenyataan selepas undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996 dipinda, menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Pindaan itu perlu bagi menggalakkan pendidik dan pelajar menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pada abad ke-21 dan selaras langkah untuk melaksanakan pengajaran maya dan program ‘1Bestari’ di seluruh negara.

Bagaimanapun, keputusan Kementerian Pelajaran itu nampaknya mengundang kontroversi dan polemik kerana banyak pihak, khasnya ibu bapa termasuk guru menentangnya.

Tiada alasan kukuh dikemukakan, namun secara umumnya, ibu bapa dan pihak sekolah menganggap kebebasan itu hanya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan sama ada kepada murid, guru dan ibu bapa.

Pada masa sama, guru, masyarakat dan ibu bapa berpendapat, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah tidak akan membantu meningkatkan mutu pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah seperti kemungkinan berlaku kes kecurian telefon bimbit atau gajet dibawa anak mereka.

Di samping itu, ibu bapa dan guru bimbang jika murid dibenarkan membawa serta menggunakan telefon bimbit, mereka akan menjadi leka untuk belajar kerana asyik ‘mengulit’ tanpa henti telefon bimbit dan gajet masing-masing.

Walaupun kebenaran membawa telefon bimbit dan gajet seperti tablet itu bersyarat, namun ibu bapa menganggap keputusan itu masih kurang relevan dan membebankan.

Umum mengetahui, sejarah melarang murid membawa dan menggunakan telefon bimbit ke sekolah dikuatkuasakan sejak 13 Mei 1997.

Walaupun Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa telefon bimbit ke sekolah secara bersyarat menerusi satu pekeliling bertarikh 23 Disember 2005, namun ia ditarik balik oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 19 Januari 2006 atau 28 hari selepas pekeliling itu dikeluarkan.

Kini, cadangan membenarkan murid membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah disuarakan sekali lagi dan maklum balas awal yang diterima menunjukkan majoriti guru tidak bersetuju kerana keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.

Tambahan pula, jika diteliti, telefon bimbit yang dijual di pasaran kini ialah jenis telefon pintar iaitu mempunyai ciri-ciri dan aplikasi canggih yang memudahkan sesiapa saja melayari internet, bersembang dalam laman sosial, mengambil gambar, merakam video dan suara tanpa had batasan.

Dari sudut positif, penggunaannya dapat membantu mengembangkan minda dan kreativiti murid di sekolah khasnya untuk mencari maklumat, namun ia juga mampu mencetuskan lebih banyak isu disiplin kerana besar kemungkinan murid menyalahgunakannya untuk tujuan tidak bermoral.

Memang diakui, telefon bimbit dan gajet seperti tablet sudah menjadi fenomena serta keperluan dalam kehidupan kita sehari-hari, namun adakah ia berupaya mendorong murid di sekolah menggunakannya secara bijak dan terkawal apabila dibawa ke sekolah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 22 Julai 2012

ISU KESIHATAN : Puasa Ramadan menurut sains


UMAT Islam kini gigih menjalankan ibadah puasa Ramadan. Apakah pandangan sains mengenainya?

Bukan umat Islam saja berpuasa.

Secara am, bagi seseorang yang berpuasa, sekitar 12 sehingga 24 jam berlalu sebelum badannya yang kelaparan mula mencari sumber tenaga baru - iaitu bekalan lemak dan karbohidrat berlebihan dalam badan.

Dua pengertiannya - pertama, puasa yang kurang daripada 12 jam tampak kuranglah kesan fisiologinya. Itulah agaknya antara hikmah orang Islam berpuasa sehari suntuk.

Kedua, jika kita habis bersahur sekitar 5.30 pagi sebelum masuk imsak, maksudnya badan kita mula menggunakan lemak berlebihan sekurang-kurangnya 12 jam kemudian - sekitar 5.30 petang - kurang dua jam sebelum berbuka,

Jadi bayangkan kalau kita kemudian berbuka dan sahur dengan makanan kaya lemak dan karbohidrat yang melebihi jumlah lemak dan karbohidrat yang 'dibakar' badan kita dalam tempoh dua jam itu... Padanlah badan tak kurus-kurus!

Banyak lagi manfaat berpuasa, termasuk:

1. Membantu detoksifikasi, iaitu mencuci bahan toksin atau beracun dari badan.

2. Membantu badan pulih lebih cepat
Apabila berpuasa, tenaga yang tidak digunakan dalam sistem penghadaman dialihkan kepada sistem lain badan seperti sistem imun atau daya lawan penyakit dan penggantian. Proses menggantikan sel  rosak pula lebih lancar sehingga menghasilkan sel, tisu dan organ lebih sihat.Inilah antara sebabnya binatang berhenti makan apabila cedera dan manusia hilang rasa lapar ketika sakit selesema.

3. Boleh memanjangkan usia.
Satu kajian pada 1930-an, misalnya, menunjukkan cacing tanah yang tidak diberi makan dari masa ke masa dapat hidup jauh lebih lama - pelanjutan usianya itu ibarat seorang manusia dapat hidup lagi 600 sehingga 700 tahun.

Bagaimana pula puasa Ramadan secara khusus?

Banyak kajian turut menunjukkan ia tidak memudaratkan, malah mendatangkan manfaat.

Misalnya, puasa Ramadan didapati menurunkan berat badan di samping paras gula, lemak dan kolesterol LDL (sejenis kolesterol yang memudaratkan) dalam darah. Tidur waktu Ramadan juga lebih nyenyak.

Kesemua ini sepatutnya membantu kita, orang-orang Islam, menjadi lebih fokus lantas lebih produktif. Namun, adakah kita memanfaatkannya?

Selanjutnya, didapati kesan-kesan berfaedah tersebut pudar tidak lama selepas Ramadan. Maksudnya, berundurnya Ramadan, hilanglah juga segala disiplin kita perihal pemakanan.

Pun usahlah mengharapkan segala manfaat itu jika kita kurang menghayati tatacara berpuasa.

Misalnya, satu kajian (2011) ke atas 173 keluarga Saudi mendapati seperlima mereka bertambah perbelanjaannya untuk makan semasa Ramadan. Dua pertiga mereka pula melaporkan naik berat badan sejurus selepas Ramadan.

Yang menarik, dua pertiga daripada mereka yang belanja makannya naik juga melaporkan naik berat badan.

Oleh itu, patuhilah sunah berpuasa, yang termasuk segera berbuka, lewatkan sahur dan berbuka dengan kurma dan air. Kesemuanya ada asas saintifiknya.


Beberapa tip lain berpuasa:

1. Makan bahan 'karbohidrat kompleks' pada waktu sahur.
Ini kerana ia lambat dihadam, jadi kita tidak mudah lapar terlalu awal. Makananlah bijirin seperti beras barli, gandum, oat, semolina, kekacang, tepung gandum wholemeal dan beras perang (unpolished rice).

2. Makan 'karbohidrat jernih' (refined carbihydrates) yang cepat dihadam dalam tiga hingga empat jam semasa berbuka untuk memulihkan paras gula dalam darah dengan cepat. Ini termasuk makanan yang mengandungi tepung putih dan gula seperti kurma.

3. Elakkan makanan bergoreng, terlalu pedas dan terlalu banyak gula seperti gula-gula yang boleh menyebabkan masalah penghadaman dan naik berat badan.

4. Minum cukup air sejak berbuka sehingga masuk tidur agar mengelakkan masalah kurang air dan merangsang detoksifikasi dalam badan.

Apa pun kata sains mengenai manfaat berpuasa, kita terus berpuasa sebagai satu kewajipan tanpa mengharapkan apa-apa melainkan keredaan-Nya.

Sebagai mana firman Allah swt dalam ayat 183 Surah Al-Baqarah:

"Wahai orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang beriman terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

Semoga puasa menambahkan takwa kita - sesuatu yang sukar diukur sains di dunia ini - di samping terhindar daripada golongan yang disebut dalam sabda Nabi saw riwayat Ibn Majah ini:

"Berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat sesuatu apa pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga."

Bagi mereka yang terus mengelamun tentang rukun Islam ketiga ini, sedarilah bahawa Dialah yang Maha Mengetahui apa yang baik untuk diri kita, kerana kita makhluk ciptaan-Nya.

ISU PENDIDIKAN : Wajarkah pelajar bawa telefon bimbit?



Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Kewujudan pelbagai konflik

BIARPUN baru memasuki fasa cada­ngan, isu sama ada membenarkan atau tidak pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah tahun depan pantas mendapat reaksi berbeza.

Pelbagai pendapat pro dan kontra dibentangkan selain melihatnya secara positif atau sebaliknya dengan pendapat masing-masing.

Hakikatnya, isu berkenaan bukan baru malah sebelum ini sudah ada cadangan melaksanakannya namun tidak menjadi kenyataan.

Yang menjadi teras persoalan ialah apakah kebaikan atau keburukan bakal dihadapi sekiranya ia direalisasikan mahupun jika tidak berjaya dilaksanakan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Zuroni Md Jusoh berkata, senario berkenaan wajar dilihat secara menyeluruh agar tidak menjadi penyesalan masa depan apatah lagi membabitkan perubahan drastik pola kehidupan pelajar, guru dan sekolah.

Menurutnya, institusi sekolah biarpun tertakluk pada dasar ditetapkan namun pendekatan bersesuaian harus diambil kira dan diteliti supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak.

“Sekolah keseluruhannya adalah aspek terpenting jika ingin melaksanakan atau tidak cadangan ini kerana sebarang tindakan diambil pasti merombak atau merubah situasi sedia ada.

“Dengan kata lain pihak terbabit perlu melihat dan menilai kemampuan, keupayaan mahupun persediaan sekolah dalam menangani apa jua ke­adaan berbangkit jika kebenaran ini diberi atau sebaliknya.

“Ini membabitkan institusi sekolah yang menjadi antara kelompok terbesar dan terpenting di negara ini. Justeru, perbincangan, kajian, panda­ngan atau apa jua tindakan bakal diambil memerlukan penelitian mendalam supaya tidak menjadi isu lain kelak”, katanya.

Tidak mahu bersikap skeptikal, beliau memberi contoh beberapa senario bakal timbul jika ia dilaksanakan.

Beliau berkata, jika direalisasikan, perkara asas bakal dihadapi ialah kewujudan pelbagai konflik yang dianggap kecil namun boleh merosakkan masa depan pihak sasaran.

“Antaranya, konflik sekolah dan guru dengan ibu bapa yang mana pelaksanaan itu boleh dianggap landasan mewujudkan ‘ketegangan’ emosi kedua pihak.

“Bayangkan, apa reaksi ibu bapa jika anak pulang dari sekolah dan mengadu guru marah kerana bertelefon. Adakah mereka boleh berdiam diri biarpun kesalahan mungkin datang daripada pelajar.

“Melihat reaksi ibu bapa hari ini, saya yakin keadaan pasti menjadi panas.

Nampak kecil tapi kesannya boleh berpanjangan dan menimbulkan konflik lain pula hingga meruncingkan keadaan yang sudah sedia runcing ini.

“Jadi tidakkah ia akan mengganggu kehidupan mahupun privasi pihak lain pula?” katanya.

Pada masa sama katanya, konflik ekonomi dalam kalangan ibu bapa juga akan wujud kerana pertambahan bebanan kewangan menambah nilai kad telefon yang digunakan anak.

“Kita maklum, semuanya bukan percuma. Diberi pula pada pelajar yang rata-ratanya memang gila melakukan pembaziran air liur.

“Bukankah ini turut mengganggu perjalanan ekonomi ibu bapa yang kini semakin sesak bergelut dengan kos sara hidup yang menjulang. Ini bakal mengundang konflik dalam keluarga pula.

“Saya percaya bukan semua ibu bapa mampu mengadakan kemudahan itu (telefon bimbit atau gajet). Jika tidak dituruti, cuba bayangkan apakah tindakan yang mereka akan lakukan semata-mata ingin memenuhi keperluan itu,” katanya tidak menyangkal akan wujud masalah sosial lain semata-mata mahu memuaskan kehendak hati.

“Pelajar golongan remaja yang sedang mencari identiti diri. Mereka sukakan perhatian, persaingan, dikenali serta berfikiran sing­kat dan kurang matang.


Sudah pasti tidak mustahil mereka rela mengikut kata hati.

“ Jika ibu bapa tidak mampu memenuhi keinginan mereka, bayangkan pula tindakan bakal diambil pelajar berkenaan. Adakah mereka kisah mengenai soal maruah, alasan logik, kesusahan dan sebagainya?

“Tidak,  kerana yang penting ialah tidak mahu ketinggalan mahupun diperlekehkan rakan lain.

Jalan paling mudah terbabit dengan gejala sosial bagi memperoleh apa diingini,” katanya.

Ramai pihak juga ternyata kurang setuju dengan cadangan itu yang beranggapan seperti memanjangkan lagi langkah pelajar ke arah aspek negatif.

Antaranya bakal menyebabkan kurang tumpuan di kelas, meluaskan pergaulan alam maya yang memungkinkan melonjakkan lagi tragedi sosial dan sebagainya.

Beliau juga berpendapat, apa dilakukan sekolah hari ini sudah memadai dan alasan ibu bapa ia mudah untuk memantau pergerakan pelajar kurang praktikal.

“Pelajar sekarang adalah anak generasi teknologi, mereka bijak memanipulasi keadaan mahupun mencipta alasan. Telefon bimbit bukan jaminan mereka tidak berbohong.

“Masih ada cara lain ibu bapa boleh memantau pergerakan anak seperti mengenal pasti siapa rakan mereka, melakukan pemeriksaan mengejut dan sebagainya.

“Saya percaya kalau ibu bapa tidak bersikap lepas tangan, pergerakan anak boleh dipantau dengan baik. Tidak perlu telefon bimbit sebagai pengantara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan keperluan telefon bimbit untuk pelajar dalam usaha mendedahkan mereka dengan penggunaan teknologi global.

“Kepentingan itu tetap ada dan kita juga tidak boleh menyekat daripada belajar atau tahu mengenainya.

“Sebab itu kebanyakan sekolah sudah menggunakan kaedah pembelajaran berbentuk moden sebagai alat bantuan mengajar mahupun menyediakan makmal komputer untuk mengakses maklumat dan sebagainya.

“Apakah kemudahan itu tidak cukup untuk memberi pendedahan teknologi hingga memerlukan gajet atau telefon bimbit bagi menjadikan suasana pembelajaran lebih seronok atau tidak ketinggalan.

“Justeru memberi kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah tidak sesuai kerana fungsinya nanti akan disalahgunakan hingga menjejaskan kepentingan proses pembelajaran lebih utama,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Sabtu, 21 Julai 2012

ISU GLOBAL : Arahan keluar dari Syria


Mohd Azrone Sarabatin, S Anand Kumar dan Syed Azwan Syed Ali
bhnews@bharian.com.my

Kuala Lumpur : Kerajaan mengarahkan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik ditutup serta-merta dan semua rakyat yang berada di Syria dibawa pulang segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan mengeluarkan arahan itu berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara berkenaan. “Ketika berbuka puasa tadi (malam tadi), Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menghubungi saya memohon izin membawa pulang rakyat dan pelajar kita di sana.

“Keadaan semakin meruncing disebabkan pertembungan dua puak dan ia boleh memberi kesan kepada pelajar kita.

“Jadi, saya izinkan dan mengarahkan kedutaan kita juga ditutup bagi tujuan keselamatan,” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Pulau Serai dekat Pekan, malam tadi. Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika ini ada 138 rakyat Malaysia, iaitu 128 penuntut dan 10 ekspatriat di negara bergolak itu, manakala berpuluh-puluh yang lain sudah keluar sejak beberapa minggu lalu.

Semua rakyat Malaysia itu akan dikeluarkan menerusi jalan udara bermula esok menggunakan pesawat syarikat penerbangan yang masih beroperasi dari Damsyik. Difahamkan, mereka akan dipindahkan ke Dubai, Abu Dhabi dan Doha sebelum dibawa pulang.

Dalam kenyataan media, Anifah berkata, pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

“Mengambil kira perkembangan di Syria yang semakin melarat, kerajaan mengambil keputusan memulakan proses pindah pelajar Malaysia dengan segera,” katanya.

Proses pemindahan akan diselaraskan Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.

Anifah mengesahkan 138 rakyat Malaysia di Syria sudah berdaftar dengan pejabat Kedutaan Besar di Damsyik dan semua berada dalam keadaan selamat.

Panggil duta pulang

Katanya, kerajaan juga membuat keputusan memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Syria dan empat pegawai kedutaan buat sementara waktu bagi menjamin keselamatan mereka.

“Bagaimanapun, proses pemindahan duta dan pegawai kedutaan hanya akan dilakukan selepas pemindahan pelajar dan rakyat kita yang lain selesai,” katanya.

Anifah turut menggesa rakyat Malaysia lain yang masih berada di Syria supaya pulang ke tanah air atau meninggalkan negara itu dengan kadar segera selain menasihatkan mereka yang berhasrat melawat Syria menangguhkannya sehingga situasi kembali pulih.

Sementara itu, Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, semua urusan dokumentasi berkaitan dilakukan pegawai agensi terbabit sejak seminggu lalu bagi membolehkan proses pemindahan dilakukan dengan serta-merta.

Wisma Putra juga membuka bilik operasi dan orang awam boleh menghubunginya untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini. Bilik Operasi Wisma Putra boleh dihubungi menerusi 03-88874570.

INFO :


Pergolakan bermula sejak Mac 2011, menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Tentera Pembebasan Syria (FSA) – kumpulan pemberontak.

Lebih 20,000 orang terbunuh setakat ini.

22 juta jumlah penduduk Syria,

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Generasi muda perlu sedar pentingnya Jalur Gemilang berkibar megah



KUALA LUMPUR - Pada Oktober 2007 angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha mencipta sejarah apabila membawa Jalur Gemilang ke tempat yang tidak pernah dimimpikan sebelum itu, iaitu angkasa lepas.
  
Detik ketika semua rakyat Malaysia menyaksikan Dr Sheikh Muszaphar Shukor menggengam erat Jalur Gemilang semasa berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) membuahkan perasaan bangga dan megah menjadi rakyat Malaysia.
  
Perasaan itu cukup membuktikan bahawa Jalur Gemilang sebenarnya bukan hanya sehelai bendera yang dikibarkan pada sambutan kemerdekaan 31 Ogos atau Hari Malaysia 16 September saban tahun, bendera berjalur 14 itu merupakan simbol kedaulatan negara dan lambang kemegahan setiap rakyat Malaysia.
  
Namun generasi muda Malaysia sekarang lebih gemar melekatkan pelekat Jalur Gemilang pada kenderaan mereka, sebagai paparan skrin telefon bimbit, komputer atau laptop; dan juga paparan di laman Facebook, Twitter atau blog mereka.
  
Adakah cara itu dapat memupuk semangat cintakan negara dan kemegahan negara di kalangan generasi muda atau adakah cara lebih tradisional iaitu mengibar Jalur Gemilang lebih berkesan dalam merealisasikan hasrat itu?.
 
Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed Rapiee mempunyai jawapan pasti mengenai persoalan itu dengan menegaskan cara tradisional mengibar Jalur Gemilang merupakan cara yang lebih baik.  
  
"Tampal pelekat, letak di telefon bimbit atau Facebook semua cuma satu kaedah lain menunjukkan semangat cintakan negara, tetapi kaedah ini sama sekali tidak boleh menggantikan kaedah utama iaitu mengibar bendera.  
  
"Bila bendera berkibar di tangan, 'rohnya' lain, semangat Jalur Gemilang terus meresap dalam jiwa dan hati. Masa perang dulu selagi bendera berkibar negara takkan jatuh, ini kita kena ajar generasi muda sekarang," katanya kepada Bernama.
  
Beliau menyelar sikap generasi sekarang yang memberi alasan 'lebih gemar simpan semangat patriotik dalam hati' dan menunggu Jalur Gemilang percuma diberi kerajaan untuk mengibarkan bendera lambang kemegahan negara itu.
  
"Takkan bendera kecil RM2 tak boleh beli, apa sangat nilai RM2 itu jika dibandingkan dengan jasa negara yang 'menggendong' kita. Ini belum lagi diminta korbankan darah dan nyawa demi mempertahan negara, kita perlu berkorban untuk negara walaupun kecil atau besar kita kena sanggup," katanya.
  
Pada 17 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Program Kibar Jalur Gemilang di Brickfields yang turut dilancarkan serentak seluruh negara menandakan bermulanya sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini.
  
Berucap pada majlis itu, Najib mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan kepada dunia rasa cinta terhadap negara dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berjaya dalam erti kata sebenarnya.
  
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata tidak salah bagi generasi muda menunjukkan rasa sayang terhadap Jalur Gemilang dengan cara mereka sendiri tetapi jangan sampai cara utama iaitu mengibarkan bendera itu dilupakan.
  
"Masuk Facebook contohnya dapat hebahkan dan sebarkan semangat cintakan negara dan jalur Gemilang pada rakan-rakan lain, ia sesuatu yang baik tetapi bila di luar kita perlu tunjukkan rasa megah dan sayang kita jadi kita mesti kibarkan (Jalur Gemilang).
  
"Ini melambangkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia, kibar melalui profil dalam Facebook semua bukan jati diri namanya. Bagi saya ini adalah satu manifestasi kita tunjuk kita cinta patriotik negara," katanya.

Azman Amin menemplak sikap sesetengah pihak yang tidak mahu mengibarkan Jalur Gemilang kerana menggangap mengibar Jalur Gemilang menyokong kerajaan masa kini.
  
"Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan Malaysia, ia tiada kaitan dengan parti politik di negara ini. Jalur Gemilang adalah milik negara dan rakyat Malaysia, jadi kibar Jalur Gemilang bererti mendukung negara bukan politik," katanya.
  
Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata adalah penting untuk mendidik generasi muda mencintai Jalur Gemilang kerana masa negara terletak di tangan mereka.
  
"Adalah penting kita menyemai semangat, kasih sayang dan bangga dalam diri mereka terhadap Jalur Gemilang. Kita perlu memastikan generasi muda kita menghormati dan menyayangi Jalur Gemilang dan adalah penting bagi kita membina generasi masa depan yang disemai semangat patriotik dan kebanggaan negara," katanya.
  
Lee berkata sebenarnya Jalur Gemilang perlu dikibar setiap hari di bangunan kerajaan dan persendirian dan bukan hanya pada Hari Kebangsaan sahaja.
  
Beliau juga menekankan walaupun mengibarkan Jalur Gemilang satu kemestian, banyak cara lain lagi bagi rakyat negara ini untuk menunjukkan semangat patriotik mereka sebagai contoh apabila bercakap mengenai 1Malaysia, dalam mempertahan negara, menahan diri daripada melakukan jenayah dan menyumbang bagi menjadikan komuniti kita bebas daripada jenayah.
  
"Rakyat Malaysia boleh mempamerkan semangat patriotik mereka melalui perkataan, pemikiran dan tindakan demi kepentingan negara dan dalam membina negara bangsa. Menjadi patriotik juga bermakna memberi pandangan dan pendapat dalam bidang-bidang yang boleh membawa kebaikan kepada negara," katanya. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : Jangan salah langkah urus pendidikan


Oleh : Noor Azam
 
‘Hanya bangsa sendiri tahu keperluan kita’.

Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai rancangan ‘merombak secara besar-besaran Dasar Pendidikan Negara’ dan saranan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) supaya sekolah diberikan kuasa autonomi, mendorong saya menulis lagi mengenai isu pendidikan. Kedua-dua cadangan ini amat penting dan pasti akan banyak sekali mengubah sistem pendidikan kita yang sudah berjalan sejak Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960).

Persoalan yang timbul, apakah kesan kepada masa depan anak kita. Mereka akan jadi insan jenis apa dan apakah kesannya kepada cita-cita pembentukan satu bangsa Malaysia?

Di samping transformasi politik, pendidikanlah yang akan menentukan wajah, semangat dan sikap generasi akan datang. Inilah cabaran paling utama terhadap Dasar dan Sistem Pendidikan Negara kita.

Untuk menangani tuntutan parti politik, pertubuhan kaum dan juga perubahan sosial-politik-ekonomi, sistem pendidikan kita sudah mengalami banyak sekali perubahan yang positif dan juga negatif. Ada antara perubahan itu bertentangan dengan semangat dan matlamat yang termaktub dalam Penyata Razak dan tergelincir daripada landasan. Inilah sebabnya kita sudah gagal memenuhi hajat Tun Abdul Razak Hussein hendak meletakkan anak kita di bawah satu bumbung sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa Melayu. Gagasan Sekolah Wawasan pun tak tercapai.

Menurut laporan akhbar: “Dasar Pendidikan Negara bakal dirombak semula mulai tahun depan bagi mewujudkan sistem lebih berkualiti serta mampu melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi seiring dengan usaha ke arah menuju negara berpendapatan tinggi.”

Nyatalah matlamat Dasar dan Sistem Pendidikan kita yang baharu, adalah untuk melahirkan rakyat yang dapat menyumbang kepada ‘perkembangan ekonomi’ supaya matlamat akhir ‘negara berpendapatan tinggi’ dapat dicapai.

Tidak ada matlamat untuk melahirkan warga negara yang menjunjung tinggi Perlembagaan dan Rukun Negara. Tiada juga matlamat untuk mewujudkan kestabilan sosial-politik dan ekonomi dan perpaduan nasional. Ini bermakna pendidikan kewarganegaraan tidak mendapat tempat dalam dasar dan sistem yang baharu nanti. Kita tidak seharusnya terpengaruh kepada mentaliti komersial sehingga melihat insan sebagai ‘modal’ semata. Istilah dan konsep ‘modal’ adalah istilah komersial – bukan istilah pendidikan.

Ramai yang berpendapat, kita perlu menimbang semula cadangan ‘pelan pembangunan dan pelan strategik pendidikan’ yang akan ‘mengambil kira pandangan UNESCO, Bank Dunia, hasil kajian panel bebas dan panel antarabangsa yang dilantik’.

Baguskah pendapat Bank Dunia, panel bebas dan panel antarabangsa dibawa masuk untuk merumuskan dasar dan sistem pendidikan kita? Siapakah anggota panel bebas dan panel antarabangsa itu? Di manakah mereka berdiri?

Selepas 55 tahun merdeka dan dengan kemajuan yang disanjung oleh dunia, kita tentulah tidak kekurangan ahli dalam pelbagai bidang untuk menyusun suatu dasar dan sistem pendidikan yang wajar untuk kita sendiri. Hanya bangsa kita sendiri yang betul-betul tahu akan masalah dan keperluan kita dan dapat menghayati aspirasi Perlembagaan dan Rukun Negara kita. Jika bangsa kita tidak mampu bagaimana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh diberikan status autonomi.

Guru sering merungut kerana tugas mereka bertambah-tambah, di samping tuntutan mengajar yang semakin rumit. Bayangkan apa yang akan terjadi apabila sekolah diberi kuasa dan tugas menguruskan kewangan dan bangunan. Apa pula yang dimaksudkan dengan tugas ‘memilih kemasukan pelajar’? Ditambah pula dengan tugas ‘mengurus sendiri disiplin dan kebajikan pelajar’. Inilah autonomi cadangan KGMMB.

Sekolah kita akan jadi seperti sebuah syarikat yang di dalamnya ada macam-macam pegawai dan fungsi. Akan jadi ‘sekolah swasta’ yang dibiayai oleh kerajaan. Mudah-mudahan kita tidak tersalah langkah.

Kita mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meneruskan usaha ayahandanya mengangkat taraf hidup rakyat miskin tidak bertanah dan membawa FELDA ke persada dunia antarabangsa akan meneruskan semangat dan cita-cita ayahandanya yang tersurat dan tersirat dalam Penyata Razak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Keluar Masuk Dalam Hidup


KEHIDUPAN manusia tidak sepi daripada keluar dan masuk.

Permulaan umat manusia bermula dengan Nabi Adam as dikeluarkan dari syurga dan dimasukkan ke alam dunia.

Kejadian kita sendiri adalah hasil keluar dan masuk. Setelah benih lelaki dimasukkan ke rahim perempuan, berlaku proses kejadian dan setelah cukup hari bulan, janin keluar dari rahim masuk ke alam dunia.

Saban hari kita tidak lepas daripada keluar masuk - keluar rumah, masuk pejabat (atau sekolah), keluar pejabat, balik dan masuk rumah. Yang rajin ibadah, keluar masuk masjid.

Di kalangan pekerja, apabila cukup bulan duit masuk kocek... tetapi tak kekal lama - sekejap duit dah keluar semula. Kekadang keluarnya lebih cepat dan lebih banyak daripada masuk.

Tetapi bagi yang ada kelebihan dan merancang masa depan, mereka akan masukkan wang ke dalam simpanan dan cukup waktu, akan dikeluarkan apabila ada keperluan.

Ada juga keluar masuk yang tidak diingini - seperti keluar masuk penjara. Hanya pesalah degil yang tidak kenal serik mengalami ini.

Satu lagi keluar masuk yang tidak diingini dan boleh menimpa ramai orang ialah keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit.

Semoga diri, keluarga dan anak keturunan dijauhkan daripada keluar masuk sedemikian.

Pak Su ketengahkan soal keluar masuk ini kerana apabila azan maghrib berkumandang malam tadi, ia bermakna kita telah keluar daripada bulan Syaaban dan kini kita masuk pula ke dalam bulan suci Ramadan.

Datangnya Ramadan memberi banyak senyuman.

Bagi yang suka ibadah, inilah bulan meraih sebanyak mungkin pahala. Di Makkah misalnya, kemasukan Ramadan mengubah keadaan - siang jadi malam dan malam bagai siang.

Masuknya Ramadan juga membuat peniaga tetap dan peniaga musiman senyum kerana melihat potensi banyak duit masuk.

Menjelang raya pula, kaum bapa mungkin garu kepala kerana banyak duit dijangka keluar bagi pelbagai keperluan.

Dan apabila tiba Hari Raya kelak, kanak-kanak paling gembira kerana selain keseronokan berhari raya, banyak duit masuk - habuan Hari Raya.

Pada kesempatan ini, Pak Su nak kongsi sedikit tentang nasihat seorang imam dalam satu kuliah subuh baru-baru ini, sempena Ramadan. Ia ada kaitan dengan keluar masuk.

Satu daripada yang beliau tekankan ialah menjaga puasa, menjadikan puasa kali ini 'luar biasa'. Antara yang perlu diberi perhatian ialah perkara masuk dan keluar.

Misalnya, pastikan tidak ada benda haram atau yang merugikan masuk ke mulut dan menjejas amalan puasa - baik makanan dan minuman. Awasi juga supaya bisikan atau perkara sia-sia tidak masuk ke telinga, fikiran dan hati.

Ketika berbuka, jangan masukkan terlalu banyak makanan hingga kekenyangan dan memberatkan badan melakukan ibadah.

Di samping itu, hati-hati juga supaya jangan salah makan. Jika tidak, dibimbangi kita kena pula keluar masuk tandas.

Pada masa yang sama, perhatikan apa yang keluar daripada mulut kita. Jangan sampai kita keluarkan perkataan berupa umpatan, herdik, mengeji, menghina, memandang rendah, takabur atau perkataan (dan perbuatan) yang boleh menimbulkan rasa marah dan sakit hati.

Sepanjang Ramadan khususnya, sebaiknya perbanyakkan keluar masuk masjid.

Dalam bulan penuh barakah ini, kita juga digalakkan supaya mengeluarkan banyak wang dan masukkan ke tabung derma - banyak bersedekah. Ganjaran yang dijanjikan berlipat ganda.

Jangan pula salah sasaran seperti terkeluar lebih banyak belanja dan keluar masuk bazar hingga terbazir, terutama di hujung-hujung Ramadan.

Pak imam juga ingatkan supaya kita keluar mencari golongan yang memerlukan, sama-sama keluarkan sumbangan membantu mereka.

Keluarkan juga sikap malas daripada diri dengan melakukan solat tarawih dan solat tengah malam.

Nasihat lain yang pak imam berikan ialah melakukan persiapan awal mencari malam penuh berkah - lailatulqadar.

Dan semoga apabila sampai di penghujungnya kelak, kita keluar daripada Ramadan dengan benar-benar mencapai matlamat puasa iaitu menjadi orang yang lebih bertakwa dan menyambut Aidilfitri secara bersama dengan lebih bermakna.

Jangan sampai, setelah keluar Ramadan dan masuk Syawal, kita wal hasil balik asal - puasa tidak mengubah kita.

Banyak lagi perkara yang ada kaitan dengan keluar dan masuk.

Dalam Al-Quran terdapat banyak himpunan doa yang diajarkan kepada kita. Satu daripadanya ialah mengenai keluar masuk.

Allah menyuruh kita berdoa: "Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar, dan keluarkan (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku daripada sisi Engkau kekuasaan yang menolong." (Rujuk surah Al-Israa: 80).

Sesungguhnya hidup ini adalah satu perjalanan yang banyak keluar masuk.

Kita keluar dari alam roh masuk ke alam rahim ibu; kemudian keluar dari alam rahim dan masuk ke alam dunia.

Semasa di dunia, sebahagian besar kita masuk ke beberapa alam - alam kanak-kanak dan persekolahan; alam remaja dan percintaan yang penuh pancaroba; alam dewasa, pekerjaan dan rumah tangga dan alam warga tua.

Perjalanan selanjutnya ialah keluar dari alam dunia dan dimasukkan ke tanah, masuk ke alam barzakh dan kelak kita akan keluar pula dari alam barzah ke alam akhirat.

Selepas dihisab, kita difahamkan bahawa ada Muslim yang terus dimasukkan ke syurga tetapi ada yang dimasukkan ke neraka menjalani hukuman sebelum dikeluarkan dan dimasukkan ke syurga.

Kita berdoa semoga kita semua (akhirnya) akan dimasukkan ke syurga dan tidak keluar-keluar lagi, insya-Allah, amin.

Selamat melaksanakan ibadah puasa.

Pak Su