Khamis, 15 November 2012

ISU KENEGARAAN : Pemimpin harus berlapang dada


Oleh :  Prof Dr Sidek Baba

Dalam dunia Islam kini terdapat berbagai-bagai orientasi kepimpinan. Ada bersifat demokratik, autokratik dan tidak kurang juga mempunyai wibawa liberal yang tinggi.

Cabaran para ulama dan ilmuwan Islam melakukan islah bukan mudah; tidak sekadar melontarkan syarah dan khutbah, rujukan ayat-ayat al-Quran dan sunnah - maka selesai masalah. Rasulullah SAW mendekati mad’u dengan darjah kesabaran yang tinggi, berhemah dan hikmah yang hebat dengan sumber wahyu membawa petunjuk.

Abu Jahal didekati, Abu Lahab dihadapi, Abu Talib disantuni. Hakikat melakukan dakwah terbaik adalah kerja dai’ dan murabbi. Memberi hidayah dan petunjuk adalah kerja ALLAH.

Para umara’ atau pemimpin mempunyai orientasi pendidikan berbeza. Setengahnya mendapat orientasi Barat dan menghasilkan faham liberal demokratik yang tinggi. Ada pemimpin yang mendapat orientasi pendidikan Islam bersifat diniah, tetapi tidak memiliki ilmu dan pengkhususan yang sifatnya profesional menyebabkan kefahaman Islam untuk bernegara terbatas.

Ulama dan ilmuwan Islam harus memahami hakikat ini. Sistem Islam memerlukan proses binaan yang lama, menghadapi cabaran dan ujian yang pelbagai dan menuntut tekad tinggi supaya pendekatan dakwah dan tarbiah menghasilkan perubahan kepada diri manusia, termasuk pemimpin.

Asas penting membangun perubahan kepada diri manusia ialah ilmu dan pendidikan. Jenis ilmu dan pendidikan yang ditawarkan dalam sistem memberi kesan kepada orientasi berfikir dan gaya hidup seseorang. Pepatah Melayu memberi asas bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Sekiranya manusia itu terbangun dengan orientasi ilmu dan pendidikan mengikut acuan Barat maka orientasi pemikiran produk selalunya sekular dan liberal. Sekiranya manusia dididik dengan orientasi pendidikan agama yang tradisional - memberi fokus kepada aspek diniah dan rohaniah semata-mata, maka orientasi berfikir dan gaya hidupnya rohaniah juga.

Sekiranya manusia dididik dalam orientasi integrasi ilmu diniah dan juga ilmu takhasus sains dan teknologi yang Islami, cara berfikir, gaya hidup dan pendekatannya membangunkan sistem jauh lebih komprehensif dan menyediakan tapak untuk suatu tamadun.

Umara’ atau kepimpinan di Malaysia perlu didekati dengan bijaksana supaya pengukuhan sistem yang Islami boleh terjadi.

Ulama dan pendakwah tidak perlu gopoh hingga menyebabkan konflik terjadi dan maslahah hilang tujuan.

Ulama, ilmuwan dan profesional harus mampu menawarkan model alternatif sesuai dengan iklim perubahan yang ada dan dalam masa sama dapat memberi pilihan terbaik untuk perkembangan ilmu dan pendidikan, kestabilan ekonomi, kedewasaan berpolitik dan melihat hikmah jangka panjang dalam suatu realiti masyarakat yang pelbagai.

Para umara’ atau pemimpin harus bersikap terbuka dengan pendekatan Islam berketamadunan supaya melakukan transformasi terhadap sistem didukung oleh etika dan sistem nilai yang teguh dan mantap.

Islam tidak harus dilihat hanya dalam batas ritual semata. Pilihan model alternatif yang ada di Malaysia memperlihatkan perkembangan baik dari sudut pematuhan syariah. Ia baik bagi orang Islam dan juga bukan Islam.

Banyak masa dalam kalangan sesetengah ulama, ilmuwan, jamaah dan harakah Islamiah mengambil gaya reaktif tetapi bukan proaktif berdepan dengan isu-isu berbangkit. Harus ada sifat menghargai yang baik dikatakan baik dan tidak baik didekati dengan nasihat bijaksana.

Para pemimpin harus bersikap terbuka dan berlapang dada apabila ditegur dan dinasihati. Teguran baik dan berasas harus diterima dengan sangka baik yang tinggi. Adanya sifat kesalingan memberi dan menerima boleh menghasilkan daya taawun atau kerjasama yang tinggi.

Kesalingan ini penting kerana sifat saling memperkukuh dan melengkapi adalah jalan terbaik bagaimana proses perubahan boleh terjadi. Para pemimpin yang mempunyai kuasa pengurusan memerlukan pedoman ilmu dan syara’ dalam melakukan sesuatu.

Bukti yang ada dalam melaksanakan sistem patuh syariah perbankan dan kewangan Islam, wujudnya sistem pendidikan dalam universiti dan kolej dalam orientasi Islam adalah suatu permulaan yang baik ke arah program islamisasi dan integrasi dalam semua bidang.

Sekiranya para ulama, ilmuwan dan profesional Islam dapat membantunya dengan tekad yang tinggi dan perancangan rapi, penulis percaya perubahan boleh terjadi berasaskan acuan kita sendiri.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Susah sangatkah memberi maaf


Oleh : FARUSH KHAN

Membelakangkan orang lain itu sifat tamak. Membelakangkan diri sendiri ertinya berkorban. Ini antara beberapa mesej yang saya terima melalui SMS menjelang Aidiladha yang lalu.

Tiada permohonan 'maaf zahir batin' seperti yang selalu kita terima pada musim Aidilfitri.

Tiada yang pelik dalam perkara ini, cuma terfikir, apakah permohonan maaf itu hanya perlu setahun sekali pada musim hari raya puasa? Apakah pada masa lain, memohon dan memberi maaf menjadi larangan?

Dalam dunia realiti hari ini, meminta dan memberi maaf nampaknya bagaikan sesuatu yang sangat berat. Manusia lebih sanggup dihalau dari dewan atau dikecam daripada memenuhi tuntutan kerana buat kesalahan daripada memohon maaf.

Ramai yang sanggup menyimpan dendam dan marah daripada memberi maaf kepada mereka yang melakukan kesalahan, sedangkan memberi maaf adalah sesuatu yang sangat mulia dalam Islam.

Sabda Rasulullah SAW: “Wahai ‘Uqbah, mahukah engkau aku beritahu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Iaitu, menyambung silaturahim dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah memberimu, memaafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayaimu.”

Firman ALLAH: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik pada waktu lapang mahupun pada waktu sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran 3:133-134)

Bertentangan dengan apa yang biasanya dipercayai, Islam sebenarnya mengajar umatnya suka memaafkan kesalahan orang lain tanpa menanti orang memohon maaf.

Ada kalanya seseorang menyedari kesalahannya dan berniat untuk meminta maaf, tetapi disebabkan ego, tidak mampu meluahkannya, apatah lagi jika orang itu berasa kedudukannya lebih tinggi daripada orang yang akan diminta maaf. Seorang ketua barangkali berasa terhina hendak minta maaf daripada orang bawahan; begitu juga bagi seorang bapa hendak minta maaf daripada anaknya.

Itulah salah satu hikmah barangkali kenapa ALLAH  SWT memerintahkan kita untuk memberi maaf sebelum diminta.

Tentu kita pernah mendengar kisah bagaimana Rasulullah SAW sanggup memaafkan Zainab binti al-Haris, isteri seorang pemimpin Yahudi, walaupun dia membubuh racun pada kambing yang dihidangkan kepada Rasulullah.

Memetik sebuah daripada ribuan kata-kata mutiara ulama muktabar, Allahyarham Hamka: "Membalas baik dengan jahat adalah perangai serendah-rendahnya. Membalas jahat dengan jahat bukan perikemanusiaan. Membalas baik dengan baik adalah biasa. Tetapi membalas jahat dengan baik adalah cita-cita kemanusiaan yang setinggi-tingginya."

Kata Lokman al-Hakim; "Tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan pada tiga keadaan, iaitu tidak dapat diketahui orang pemaaf melainkan ketika dia marah, tidak dapat diketahui orang berani kecuali ketika dia berjuang dan tidak dapat dikenal seorang sahabat melainkan ketika kita berada dalam kesusahan.”

Ambillah pengajaran daripada kisah pembukaan kota Makkah oleh Nabi Muhammad SAW, penaklukan kembali Baitul Maqdis oleh Salahuddin al-Ayubi terhadap tentera salib dan penaklukan Konstantinopel (Istanbul) oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Semua penduduk yang tidak berdosa tidak ditawan, malah dilepaskan dengan bayaran pembebasan diri sahaja, padahal sekian lama mereka menindas orang Islam.

Sebenarnya, Muslim yang buruk sangka terhadap Muslim yang lain hanya akan mencari-cari kesalahan orang lain.

Dalam politik, kerana berbeza ideologi, kadang-kadang semangat kepartian dijulang lebih tinggi daripada persaudaraan Islam dan isu dinilai dengan kaca mata politik sebelum dinilai melalui kaca mata Islam.

Akhirnya berlakulah permusuhan, perpecahan dan kehilangan kekuatan umat. Siapa yang rugi?

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 14 November 2012

DALAM PERJALANAN KE MUSOLLA


Dalam perjalanan ke musolla,
menjelang  saat dibacakan munajat  akhir tahun
kulewati   sekelompok  anak  muda
uda  dan dara
masih  dengan gelak tawa
bergurau senda tanpa silu.

Dalam perjalanan ke musolla,
kulihat  seorang  tua
duduk  santai 
menikmati  bayu senja
yang berpuput lesu
mungkin dia juga alpa
tahun baharu bakal  bertamu.

Dalam perjalanan ke musolla,
terasa kerdil diri ini
lantaran,
apabila menyaksikan  
saudara seagama  lena  diulit mimpi
tiada upaya  untuk diri
menyedarkannya.
  
 28 Zulhijjah  1433 H

Perutusan Sempena Sambutan Maal Hijrah 1434 H


Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim
Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakaatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Saudara dan saudari sekalian

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurniaNya maka dapatlah kita menyambut  Maal Hijrah 1434H bersamaan 2012M pada tahun ini melalui kesederhanaan dan kesejahteraan rakyat. Ia bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada kali ini iaitu ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

Syariat Islam secara fitrahnya jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat dari kesatuan dan kepimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna kulit. Kita telah menjana satu fikrah berkenaan tonggak kesatuan dan perpaduan melalui pendekatan wasatiyyah. Ia telah digarapkan dalam segenap perkara di dalam pelaksanaan pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam kemajmukan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara keseluruhannya.

Sesungguhnya melalui pendekatan wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dan agama dapat ditingkatkan.Kita juga telah mengamalkan konsep kesederhanaan ini dan telah mengenengahkannya dalam menyelesaikan sesuatu konflik dalam dan luar negara. Baru-baru ini Kerajaan Malaysia bertindak sebagai pengantara melalui pendekatan kesederhanaan sehingga berjaya menyelesaikan krisis 40 tahun antara Barisan Pembebasan Moro dan Kerajaan Filipina. Kita juga telah mengambil pendekatan serupa dalam isu keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, Barat Myanmar dengan menekankan soal kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada mangsa keganasan di Rakhine tanpa mengira latar belakang dan agama mereka.

Berpegang dengan definisi hijrah yang memberi maksud perpindahan atau perubahan daripada satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik, kita telah mengislah dan menterjemahkan pendekatan hijrah dalam  program transformasi negara. Hasilnya, Malaysia kini menjadi antara negara yang sering mendapat pengiktirafan dan pujian negara luar sebagai sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif. Baru-baru ini ulama terkemuka dunia iaitu Dr. Yusuf Al-Qaradawi telah memberi pengiktirafan dan pujian kepada Malaysia atas komitmen jitu negara dalam membantu dan menyokong rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di bumi Ghaza.

Berhijrah adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan. Ianya adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa. Kita mestilah sentiasa berhijrah setiap masa bagi mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat. Kita mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah. Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 218 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah (fisabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap (mendapat) rahmat daripada-Nya.”

Mengakhiri perutusan, saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1434 kepada semua seluruh umat Islam Malaysia walau di mana jua berada dan raikanlah sambutan ini bersama rakan-rakan kita daripada pelbagai bangsa demi menjayakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”.

Wabillahit-Taufiik wal-Hidayah, wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuh.

Sumber : http : //www.1malaysia.com.my/

Selasa, 13 November 2012

MARI MEMULAKAN TAHUN BARU DENGAN DOA ...


ISU AGAMA : Iktibar peristiwa hijrah Rasulullah


Oleh : Dr Burhanuddin Jalal
 
Muhasabah diri, hindari perbuatan bertentangan syariat

Esok, kalendar Islam akan bertukar ke tahun baru 1434 hijrah. Sambutan awal Muharam atau Maal Hijrah di Malaysia disambut pada peringkat negara dan tema kali ini ialah ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

Hijrah bertitik tolak daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan banyak peristiwa penting berlaku selepas itu. Pastinya, banyak pengajaran dapat dipelajari daripada perjuangan Rasulullah yang sewajarnya dijadikan iktibar.

Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu sia-sia bahkan ada pengajaran atau ‘ibrah’ di sebaliknya bertujuan sebagai pengajaran serta panduan kepada umat berikutnya.

Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111)

Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak sirah Baginda yang berlaku untuk membimbing kepada jalan kebenaran.

Maksud hijrah

Perkataan ‘hijrah’ bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan dalam konteks lain, hijrah juga dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku. Dalam hal ini Allah SWT menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman lebih kukuh dan mantap.

Setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya.

Antara ujian itu disebut dalam firman Allah SWT: “Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 110)

Hijrah juga dapat dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad kerana hijrah adalah antara cara untuk mempertahankan akidah Islam yang suci serta menjaga kehormatan diri.

Ini bertepatan firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Sempena sambutan tahun baru hijrah 1434 ini, sewajarnya setiap kita bermuhasabah diri atau memperbetulkan amalan supaya tidak melakukan perbuatan bertentangan syariat Islam agar sambutan yang diadakan lebih bermakna.

Transformasi lebih berjaya

Ini selaras persetujuan ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi adalah titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat dan menjurus seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.

Umat Islam di negara ini hendaklah mengambil peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW untuk menghayati ajaran Islam supaya hidup mereka lebih bermakna serta berjaya. Biarlah niat hijrah kita menjanjikan kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 100)

Selain itu, semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering dibaca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud: “Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia. Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.”

Semoga kehadiran 1 Muharam 1434 akan membawa kebaikan dalam segala aspek kehidupan diri dan masyarakat. Marilah bersama menghayati firman Allah SWT: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara dan kamu dulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Penulis ialah Pegawai KAGAT dan kini bertugas di Pusat Psikologi dan Kaunseling Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Layari Facebook lebih 3 jam jejas mental


Kuching: Pelajar yang menggunakan cuti sekolah untuk melayari laman sosial Facebook selama tiga hingga tujuh jam sehari dibimbangi mengidap kemurungan pada masa depan.

Risiko kemurungan membabitkan kesihatan mental berlaku kerana kurang pergaulan sosial, justeru, apabila tiba masa berdikari, golongan terbabit berdepan masalah menyerap tekanan ketika bekerja akibat kelemahan menguasai keadaan sekeliling, iaitu ‘copy skills’.

Pengarah Hospital Sentosa, Dr Lau Kim Kah, berkata bagi mengelak keadaan itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak mereka keluar bersosial secara sihat khususnya ketika musim cuti sekolah, supaya kemahiran menguasai tekanan dapat dipelajari.

Kemahiran murid

“Apa yang dimaksudkan dengan copy skills adalah kemahiran murid meniru atau belajar daripada persekitarannya dalam memahami masalah dan menyerap tekanan.

“Kegagalan mempelajari kemahiran dalam situasi bukan formal akan menyebabkan golongan terbabit berdepan risiko mengidap kemurungan, sekali gus mengalami masalah mental,” katanya ketika ditemui BH sempena majlis perasmian hari terbuka dan jualan amal Hospital Sentosa, di sini, semalam.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 menunjukkan hampir 340,000 penduduk negara ini atau 1.8 peratus menghadapi kemurungan, manakala penyakit keresahan adalah 1.7 peratus.

Tahap kemurungan didapati lebih tinggi membabitkan 2.5 peratus dalam kalangan usia 16 hingga 24 tahun dan kedua tertinggi membabitkan penduduk berumur 65 tahun ke atas.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Chin Zin Hing, berkata pihaknya menghadapi cabaran besar meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggapan menyamakan maksud kesihatan mental dan penyakit mental.

“Kesihatan mental adalah membabitkan semua ahli masyarakat berbeza manakala penyakit mental cuma membabitkan individu tertentu saja,” katanya.

INFO: Risiko kemurungan:
  • Pelajar melayari laman sosial facebook selama tiga hingga tujuh jam sehari dibimbangi menghadapi kemurungan pada masa depan.
  • Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 menunjukkan hampir 340,000 penduduk negara ini atau 1.8 peratus menghadapi kemurungan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/