Jumaat, 30 November 2012

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Sikap pemandu kenderaan berat punca kemalangan


PETALING JAYA - Kajian PLUS Expressways Berhad (PLUS) mendapati 87 peratus kemalangan yang melibatkan kenderaan berat seperti bas dan lori berpunca daripada pemandu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, memandu melebihi had laju, mengantuk, keletihan dan tidak menyelenggara kenderaan dengan baik demi mengejar perjalanan adalah antara faktor yang menyebabkan kemalangan berlaku.

"Lori menyumbang 18.1 peratus dan bas menyumbang 2.3 peratus daripada 54,380 kemalangan di lebuh raya PLUS sejak 2007 hingga Oktober lepas," katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan Hormati Had Anda di sini semalam.

Seminar itu menekankan kepentingan menghormati had fizikal, kemampuan pemandu dan kemampuan kenderaan dipandu seseorang pemandu.

Seminar  tersebut disertai oleh pemandu kenderaan berat serta anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pekerja Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPJ Selangor, Ahmad Awang berkata, seminar itu dapat meningkatkan kesedaran selain platform terbaik kepada operator kenderaan untuk memberikan latihan kepada pekerjanya.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU BAHASA : Sasterawan Negara bukan Melayu?


Oleh : ZAINAL ABDUL KADIR

SASTERA Melayu bukan sahaja ditulis dan dibaca oleh orang Melayu tetapi turut ditulis dan dibaca oleh kaum lain di negara ini. Penglibatan penulis bukan Melayu dapat dikesan seawal tahun 1960-an dengan Amir Tan dalam bidang cerpen dan novel, Goh Thean Chye dalam bidang puisi dan terjemahan dan Joseph Selvam. Ini diikuti tahun 70-an dan 80-an muncul nama-nama penulis bukan Melayu yang kebanyakan karya mereka diakui bermutu dan menerima pelbagai hadiah dan anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sehubungan itu, sastera Melayu merupakan wadah warganegara Malaysia menjayakan gagasan 1Malaysia iaitu menuntut bahawa rakyat daripada pelbagai kaum dan agama perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Justeru, jika dilihat pencapaian penulis bukan Melayu dalam bidang kesusasteraan, apakah tidak wajar Sasterawan Negara dikurniakan kepada mereka?

Jika dilihat senarai penerima Anugerah SEA Write Award sejak 1979-2012 (34 orang), ada dua nama penulis bukan Melayu iaitu Lim Swee Tin (2000) dan Jong Chiang Lai (2006) yang turut diperakui dalam bidang sastera Melayu. Malah, jika dilihat senarai penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan di peringkat antarabangsa, penerima adalah mewakili dari pelbagai negara termasuk seorang penerima tanpa kewarganegaraan.

Justeru, tanpa wujud prasangka, sebagai rakyat Malaysia, pencapaian penulis bukan Melayu dalam sastera Melayu tidak perlu dipertikaikan lagi. Tokoh penulis bukan Melayu yang dimaksudkan ialah Lim Swee Tin. Ketika artikel ini ditulis, saya mendapat tahu bahawa Lim Swee Tin baru sahaja meraikan usianya yang ke-60 tahun, dan 40 tahun menceburi bidang penulisan kreatif. Kedua-duanya sangat menarik kerana ia dikaitkan dengan kematangan; kematangan usia dan kematangan dalam berkarya.

Lim Swee Tin mula menceburi bidang penulisan kreatif seawal tahun 1971 secara rasminya apabila sebuah cerpen beliau termuat dalam majalah hiburan yang popular ketika itu, Mesra. Tetapi disebabkan tarikan minat yang besar, beliau cenderung kepada puisi, dan pada tahun 1973, 14 Oktober puisi pertamanya terbit dalam Mingguan Malaysia. Dengan mengambil tarikh itu, Lim merayakan tahun ke-40-nya cergas dalam lapangan ini.

Bertolak dari situlah, Lim Swee Tin mengembang di dunia puisi Melayu. Kerap menyatakan, "Sastera Melayu sastera saya," Lim tidak boleh membaca dan menulis dalam bahasa Cina. Mempelajari bahasa itu pun terasa pelik kerana dia bermula dengan 'learn a word a day', malahan banyak mengambil tahu tentang kesusasteraan klasik China hatta perkembangan dan kemajuan kesusasteraan Cina moden pun melalui medium bahasa Inggeris atau Indonesia, hal yang sama dilakukannya tatkala mendalami kesusasteraan asing yang lain, terutama prosa Jepun moden yang sangat diminatinya.

Mempunyai kekuatan bahasa dan kreativiti seawal menyertai pelbagai aktiviti semasa di Pulau Pinang dan kemudian di Kelantan, Lim merupakan antara pengikut Sasterawan Negara Usman Awang, A. Samad Said dan beberapa yang lain yang tekun dan tekal. Maka, dengan hal yang demikian karyanya berkembang pantas. Lim memenangi Anugerah Puisiputra II pada tahun 1983 melalui kumpulan puisi Akrab yang kemudian meletakkan dirinya antara pengarang generasi baharu yang perlu diberikan perhatian.

Dengan memenangi sejumlah besar hadiah kesusasteraan, terutama Hadiah Sastera Perdana Malaysia melalui kategori puisi eceran dan hadiah utama kumpulan puisi remaja, selain Hadiah Sastera Utusan Public Bank (kemudiannya ExonMobil), Lim memperkukuhkan dirinya melalui sejumlah puisi terjemahan. Pengalaman pentingnya diundang ke South Bank, United Kingdom, ke Amerika Syarikat, Indonesia, Brunei Darussalam, Taiwan, Singapura dan Thailand banyak memberinya pendedahan ke pentas antarabangsa.

Penobatan Lim Swee Tin sebagai penerima S. E. A. Write Award pada tahun 2000 membuktikan hasil usaha, penat lelah dan kegigihan beliau berkreatif mendapat perhatian. Sekretariat anugerah di peringkat Malaysia yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka tidak ragu-ragu menamakan beliau sebagai calon kategori puisi tahun tersebut kepada sekretariat S.E.A. Write Award di Bangkok, Thailand membuktikan kesusasteraan Melayu di Malaysia adalah milik semua. Dan, Lim Swee Tin merupakan penerima pertama anugerah ini daripada kalangan pengarang yang bukan Melayu.

Karya Lim Swee Tin mendapat sorotan banyak pembicara terkemuka. Antaranya, Budi Dharma di Indonesia, Naowarat Pongpaiboon di Thailand, Ulrich Kratz di United Kingdom, dan banyak lagi. Ia tidak terkecuali dijadikan teks rujukan di Rusia bahkan di Australia juga. Ketika di Taiwan pada Taipei International Poetry Reading tahun 2001, puisi-puisi Lim berkumandang melalui medium bahasa Melayu (dengan terjemahan bahasa Cina), demikian di South Bank dalam acara Four Leading Poets from the South East Asia (dengan terjemahan bahasa Inggeris), dan Bangkok, pada acara World Peace Poetry Festival from Bangkok, Thailand (dengan terjemahan bahasa Thai). Kecenderungan beliau menyampaikan deklamasi dalam bahasa asal merupakan kesungguhannya memperkenalkan bahasa Melayu kepada khalayak dunia.

Ketika menyambut 40 tahun berkarya, Lim Swee Tin sudah mengumpulkan sejumlah 62 buah buku yang dihasilkan secara persendirian, manakala lebih 120 lagi adalah dalam bentuk antologi. Sebahagian puisi Lim turut dimuatkan dalam buku terpenting di tanah air seumpama Puisi Melayu Baharu, Malaysia dalam Puisi, The Puppeteer Wayang, Emas Tempawan/Burnished Gold, dalam teks untuk kegunaan pelajar Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah. Terkini, dua kumpulan puisi beliau (dwi-bahasa) Bond atau Akrab, (2009) dan The Moon amidst the Cogongrass / Bulan antara Lalang (2011) diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan kumpulan esei Pemikiran Kesusasteraan: Wajah dan Wadah Kebudayaan Kebangsaan, dan Bahasa di jajaran Masa: Isu dan Tanggapan (2011) diterbitkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Karya-karya Lim untuk tatapan segenap lapisan masyarakat. Tidak membataskan temanya kepada sesuatu kelompok tertentu sahaja, Lim menyelinap masuk ke sukma warga petani dan nelayan, ke redup dan gundah manusia kecil seperti pengemis dan orang gelandangan, keharmonian kampung dan negerinya, pancaroba permasalahan kehidupan semasa sehinggalah soal-soal politik juga. Lim mengangkat tema persahabatan dan persaudaraan yang tulus lagi tulen, perpaduan dan integrasi masyarakat serta bangsa, sehinggalah ke isu perang dan kekejaman di luar sana. Sebuah kumpulan 50 puisi seluruhnya bertemakan patriotisme Cakerawala Kemerdekaan (2007) barangkali satu-satu yang serupa itu pernah diterbitkan di negara kita, Malaysia. Karya beliau banyak yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Thai, Jerman, Portugis, dan beberapa lagi bahasa dunia yang lain.

Kesimpulannya, tidaklah keterlaluan bahawa idealisme sebagaimana didendangkannya melalui sajak Seorang Anak Kecil lebih 40 tahun yang lalu masih digenggamnya sehingga kini, meletakkan Lim sebaris dan setaraf dengan penulis Melayu yang membolehkan dan mewajarkan Lim dipertimbangkan dan dianugerahkan sesuatu yang paling bermakna dalam jagat kesusasteraan Melayu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 29 November 2012

ISU SOSIAL : IIM bentuk bangsa berintegriti


Institut Integriti Malaysia (IIM) ditubuhkan sebagai sebuah badan autonomi yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 4 Mac 2004

Sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN), IIM diharap dapat membangunkan sebuah bangsa yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat.

Dalam isu memerangi rasuah, IIM memainkan peranannya yang tersendiri. Walaupun tidak semua secara terus, IIM memikul tanggungjawab besar dalam membentuk dan melahirkan bangsa berintegriti.

Ikuti temubual khas, Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh bersama Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir dan wartawan, Nurul Riduan Nor Ashaha serta jurugambar, MIZAN MAT TAMIN mengenai pembentukan masyarakat berintegriti, khususnya bagi mencegah penularan gejala rasuah.


Secara ringkas peranan utama IIM sejak ditubuhkan dan bagaimana ia boleh membantu mengurangkan jenayah rasuah?

Peranan utama IIM adalah sebagai pelaksana terhadap lima perkara yang termaktub di dalam PIN.

IIM bukan hanya memfokuskan kepada rasuah semata-mata tetapi berusaha melahirkan bangsa yang penuh integriti.

Jika integriti itu dapat diserapkan di dalam diri setiap masyarakat, aktiviti rasuah secara langsung dapat dikurangkan. Kesan daripada penghapusan rasuah sangat besar. Perolehan awam dapat dilaksanakan dengan kadar terbaik tanpa melibatkan aktiviti rasuah serta menidakkan hak pengguna.

Begitu juga dengan unit korporat dan politik. Mereka dapat mempertingkatkan tadbir urus dengan cemerlang tanpa sebarang penipuan.


IIM tidak ada kuasa sebagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, jadi sejauh mana kuasa dan bidang tugas IIM ini dalam usaha pencegahan rasuah?

Jika kita mahu menjadi negara maju, bukan hanya pada duit atau kemajuan fizikal semata-mata, tetapi kematangan dan integrasi masyarakat juga perlu maju.

IIM memang tidak ada kuasa dalam menangkap atau menyiasat pesalah rasuah, tetapi IIM sebagai pelaksana kepada usaha ke arah mengurangkan gejala rasuah itu. Sudah tentu pelaksana itu membawa maksud untuk memastikan misi PIN tercapai.

Sebagai contoh, jika rasuah di kalangan badan penguatkuasa meningkat, kita akan bantu mereka.

Bagaimana caranya?

Kita dekati mereka untuk pertingkatkan lagi nilai-nilai prosedur kerja supaya proses dan perkhidmatan yang diberikan sentiasa adil, tidak menyalahi undangundang dan tidak menidakkan hak pengguna.

Contohnya, pada 6 November lalu, kita mengadakan Konvensyen Integriti Nasional melalui kerjasama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia melibatkan 19 agensi penguatkuasa.

Di situ kita berbincang bagaimana cara untuk menyediakan perkhidmatan terbaik untuk penguatkuasa, terutamanya cara mengurangkan salah guna kuasa.

Akhirnya, satu resolusi ditetapkan dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa.

Di situ kita dapat lihat peranan IIM. Tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan tetapi berperanan dalam memastikan penguatkuasaan itu dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa dengan penuh berhemah dan berintegriti.


Jika bercakap tentang membentuk masyarakat berintegriti, ia perlu bermula dari rumah. Apa usaha IIM dalam hal ini?

Melahirkan masyarakat yang berintegriti perlu bermula dari rumah. Ibu bapa berperanan besar menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan anak-anak.

Melalui kajian, institusi kekeluargaan dilihat semakin rapuh. Dalam kehidupan seharian, ibu bapa yang berkerjaya kurang meluangkan masa bersama anak-anak. Walhal mereka berperanan untuk membentuk jati diri generasi Y.

Anak-anak sentiasa diabaikan dan nilai murni dalam diri mereka tidak mantap. Itu dapat menjadi punca mereka boleh terjebak dalam aktiviti menyalahi undang-undang.

Pucuk pangkalnya, anak-anak perlu dididik. Ibu bapa perlu menunjukkan tauladan yang baik. Mereka ‘role model’ di dalam rumah.

Contohnya, jika bergaduh, jangan di depan anak-anak.

Kanak-kanak merupakan generasi Y yang akan memimpin  negara pada masa hadapan. Kita tidak mahu tumbesaran mereka dicemari oleh budaya tidak sihat yang dilihat oleh mata mereka.

Kita ada usaha untuk melahirkan generasi Y yang cemerlang dan itu merupakan tumpuan kita.

Caranya, kita dekati mereka di sekolah. Melalui kerjasama Kementerian Pelajaran, kita menerbitkan tiga buku, Nilai Dalam Membina Integriti, untuk tahap satu (darjah satu hingga tiga), tahap dua (darjah empat hingga enam) dan tahap sekolah menengah rendah.

Kita menggunakan ilustrasi berwarna yang mudah difahami. 1,000 naskah sudah diedarkan dan boleh didapati di pusat sumber sekolah.

Dari sini kita harapkan nilai integriti itu dapat disematkan sejak dari kecil dan apabila besar, mereka mampu mengatakan tidak kepada perkara yang tidak betul contohnya dalam isu rasuah tadi.


Apakah harapan IIM dalam mencapai matlamat PIN?

Bukan IIM tetapi kita sendiri. Kita perlu ada tahap nilai dan etika yang tinggi.

Integriti perlu ada dalam diri kita semua bagi menjamin masa depan yang berjaya. Bukan hanya pada diri sendiri tetapi buat bangsa dan negara.

Tanpa integriti, negara boleh musnah dalam sekelip mata. Jika kita tidak mahu lihat semua itu berlaku, kita perlu persiapkan diri bagi melahirkan generasi yang lebih berkualiti dan salah satunya adalah masyarakat yang bebas rasuah.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

DOA MOHON KESEMBUHAN DARIPADA PENYAKIT (khusus buat Cikgu Razali Bidin)




Perkhabaran yang diterima malam tadi, Sahabat saya Cikgu Razali Bidin, Guru Bahasa Melayu  merangkap Jurulatih Pantun SMKA Pahang Muadzam Shah, yang baru pulang dari Makkah Al-Mukarramah,  kini terlantar di hospital kerana jangkitan kuman. Beliau kini ditempatkan di Katil No 20, Wad 8B, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Kepada sahabat-sahabat yang mengenali beliau, doa kalian dipohon ... Moga Allah S.W.T. mengurniakan kesembuhan kepada beliau....AMEEN.

ISU PENGAJIAN TINGGI : Universiti kena ubah tradisi jika mahu relevan


Oleh : Dr Ibrahim Komoo
 
Program kesarjanaan perlu diperluas untuk pembangunan komuniti

Dialog antara Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan semua Naib Canselor IPTA di Langkawi baru-baru ini mempunyai pengertian besar untuk masa depan institusi universiti awam di Malaysia. Keprihatinan beliau terserlah apabila beliau menekankan pentingnya universiti keluar daripada perangkap menara gading untuk menjadi institusi yang relevan dengan arus pembangunan negara.

Banyak perkara yang dibangkitkan untuk memacu transformasi universiti ke arah kecemerlangan. Antaranya yang menarik perhatian ialah Mohamed Khaled menegaskan, selain menjalankan peranan mendidik anak bangsa dan menjalankan penyelidikan di ufuk ilmu, universiti perlu memainkan peranan sebagai penggerak Polisi Awam.

Beliau menegaskan, universiti perlu menerajui gagasan polisi atau dasar awam berkaitan dengan pendidikan sepanjang hayat, pendidikan untuk kesejahteraan masyarakat, pemimpin intelek awam dan hubungan universiti dengan pembangunan komuniti.

Pendidikan untuk semua

Pendidikan untuk semua atau sepanjang hayat bererti universiti perlu juga memberikan ruang kepada rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kelayakan secukupnya untuk turut belajar atau menimba ilmu di universiti.

Dalam konteks ini, di samping menjalankan program formal sedia ada, setiap universiti awam perlu mewujudkan program dan aktiviti pendidikan untuk pelbagai golongan masyarakat yang ingin memajukan kecemerlangan diri. Setiap rakyat, khususnya komuniti tempatan mempunyai peluang menjejakkan kaki di universiti untuk terus belajar dan meningkatkan ilmu serta kemahiran.

Pendidikan untuk kesejahteraan masyarakat pula tertumpu kepada pelbagai bentuk pendedahan yang membolehkan masyarakat mendapat idea, kemahiran dan peluang untuk memajukan sosioekonomi mereka. Dapatan penyelidikan dan pembangunan teknologi seharusnya boleh disalurkan terus kepada masyarakat dan mereka berpeluang untuk menggunakannya bagi memajukan kerjaya serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Setiap ahli akademik adalah pakar dalam bidang masing-masing. Inilah pemikiran dan pengetahuan terkehadapan dalam sesebuah negara yang perlu dimanfaatkan oleh bukan saja pelajar ketika memberi kuliah, tetapi untuk semua masyarakat awam. Ahli akademik seharusnya menjadi ‘intelek awam’ yang sentiasa menjadi pemimpin ilmu untuk memperkukuhkan hala tuju pembangunan negara sama ada dalam konteks suara pengasas, suara penegas atau suara teguran. Bagaimanapun, semuanya perlu dilaksanakan secara berhemah dan bijaksana.

Wujud hubungan rapat

Universiti juga perlu mewujudkan hubungan rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan di sekelilingnya bagi menjayakan usaha pembangunan komuniti. Hubungan universiti dan komuniti tempatan tidak boleh dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial saja, sebaliknya perlu ditegaskan sebagai salah satu peranan penting kehadiran sebuah universiti di sesuatu kawasan.

Apakah semua ini belum dilakukan oleh universiti awam? Sememangnya ia telah bermula lama secara kecilan dan berasaskan inisiatif individu atau kelompok kecil yang prihatin saja. Dalam konteks gagasan peranan pengajian tinggi, usaha begini dikenali sebagai ‘Peranan Ke-3 Universiti’, di mana peranan pertama ialah pengajaran dan pembelajaran, sementara peranan kedua menjalankan penyelidikan.

Bagaimanapun, peranan ke-3 ini kurang mendapat sambutan dan masih berhadapan dengan pelbagai halangan dasar dan struktur yang perlu diperkemaskan lagi.

Universiti awam pada abad 21 tidak boleh selesa dengan peranan tradisi iaitu pengajaran, penyelidikan dan penerbitan. Kepemimpinan dan ahli akademik perlu melalui transformasi minda menjadikan universiti relevan dengan pembangunan komuniti dan negara. Ilmu, teknologi dan kemahiran perlu disalurkan terus kepada pelbagai pihak berkepentingan.

Memperkasa polisi awam tidak bererti tugas tradisi - pengajaran, penyelidikan dan penerbitan perlu dipinggirkan. Bakat akademik perlu terus diasah, dipelbagaikan dan kecemerlangan terus dipertahankan. Jika sebelum ini tumpuan diberikan kepada pembangunan pelajar dan berkongsi ilmu sesama rakan kesepakaran. Kini, komuniti tempatan dan masyarakat awam turut menjadi sasaran kesarjanaan.

Saranan Mohamed Khaled pada asasnya adalah dasar baru yang perlu diterapkan dalam perancangan strategik pembangunan sesebuah universiti awam. Kini menjadi tanggungjawab kepemimpinan agensi pengajian tinggi dan universiti untuk menterjemahkan dasar ini kepada pelan tindakan. Soalnya apakah telah wujud kepercayaan dan iltizam yang tinggi dalam kalangan ahli akademik untuk menjayakan hasrat murni ini.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu dan Ketua Kluster, Majlis Profesor Negara

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Cabaran Profesion Keguruan


Oleh : Rizuan Kamis

Profesion keguruan cukup mencabar jika dilihat dari segi tanggungjawab guru terhadap agama, bangsa dan negara. Hal ini demikian kerana merekalah yang bertanggungjawab memastikan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Guru dicapai dengan jayanya.

Pendidik memainkan peranan yang dominan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Guru juga membuktikan bahawa mereka mampu mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.

Guru ialah ejen keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberhasilan guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi disifatkan sebagai cabaran yang harus didepani dengan profesional.

Seperti profesion lain, bidang keguruan yang juga terkandung dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan tidak terkecuali mendepani cabaran yang cukup besar. Perkembangan bidang sains dan teknologi turut menjadikan bidang pendidikan semakin mencabar.

Dunia pendidikan berubah dengan penekanan diberikan terhadap penggunaan teknologi maklumat yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengurusan di sekolah menjadi semakin kompleks.

David Ryans dalam bukunya Characteristics Of Teachers—Their Description, Comparison, And Appraisal berpendapat bahawa guru yang berkesan dalam menangani cabaran ialah guru yang mempunyai sifat adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur, cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan.

Guru dalam konteks pendidikan sebenarnya berperanan sebagai ejen penyalur budaya dan ilmu. Selain itu, guru berperanan sebagai institusi kedua selepas keluarga. Dalam cakupan ini, guru memainkan peranan sebagai ejen pewarisan budaya yang penting bagi membentuk sesebuah masyarakat.

Proses pembelajaran mungkin berlaku secara spontan dan personaliti berubah secara tidak disedari. Guru harus mendepani cabaran secara profesional dan sedar tentang hakikat bahawa guru ialah pembimbing dan pendidik dalam masyarakat yang berbudaya. Banyak persepsi yang melingkari profesion keguruan, antaranya tanggapan yang menyatakan bahawa profesion keguruan sebagai mudah dan tidak memeningkan kepala, namun menjanjikan gaji yang memuaskan.

Sebenarnya profesion keguruan mempunyai cabarannya sendiri dan memerlukan persediaan yang secukupnya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Profesion keguruan menjurus cabaran yang dihadapi di kawasan sekolah amnya dan cabaran dalam pengajarannya khususnya.

Mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Haji Ahamad Sipon, berkata, dalam abad ke-21, bidang pendidikan menghadapi pelbagai cabaran akibat kesan globalisasi dan liberalisasi. Setiap pendidik di institusi pendidikan pasti menghadapi cabaran sebagai seorang pendidik.

Persepsi yang menyatakan bahawa guru ibarat “ibu bapa kedua” secara tidak langsung menggambarkan tanggungjawab yang besar kepada golongan pendidik. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab kepada guru untuk mengajar anak mereka supaya cemerlang dalam bidang akademik.

Oleh sebab itu, kesan globalisasi dan liberalisasi menuntut guru yang berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Dalam suasana alaf baharu yang berorientasi TMK, teknologi memainkan peranan yang besar dalam pendidikan.

Guru yang aktif dan bersikap terbuka akan sentiasa melihat teknologi baharu sebagai perkara yang positif dan berusaha mencari alternatif yang terbaik bagi menguasainya. Pengaplikasian teknologi dalam pengajaran akan menghasilkan generasi berteknologi yang mampu mengharungi era globalisasi, sekali gus merealisasikan impian negara agar menjadi negara maju pada 2020.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mei 2012.

ISU BAHASA : UMS-SIL Malaysia meterai MoU pelihara bahasa ibunda Sabah



KOTA KINABALU 27 Nov. - Menyedari bahaya ancaman kepupusan bahasa ibunda di Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalinkan kerjasama dengan Summer Institute of Linguistics (SIL) Malaysia iaitu sebuah organisasi yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan mapan bidang linguistik.

Perjanjian tersebut dimeterai dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS di sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, UMS diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah manakala SIL Malaysia diwakili oleh Pemangku Pengarahnya, Cynthia M. Spoelman.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Harun berkata, MoU itu mampu merangsang pembangunan penyelidikan dan pengajaran bahasa ibunda di Sabah.

Katanya, generasi muda zaman sekarang kurang cenderung untuk mempelajari dan menggunakan bahasa ibunda, sekali gus memberi impak negatif yang akan membawa kepada kepupusan bahasa kebudayaan masing-masing pada masa hadapan.

''Diharapkan, melalui kerjasama ini ramai pakar bahasa akan mengambil cabaran untuk melakukan sesuatu bagi memastikan bahasa-bahasa ibunda yang terdapat di Sabah tidak hilang ditelan zaman," katanya.

Mohd. Harun berkata, melalui kerjasama tersebut, para penyelidik UMS boleh menggunakan pangkalan data yang dikumpul SIL mengenai bahasa tempatan di negeri ini yang telah dikumpul sejak SIL menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri pada 1978.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/