Khamis, 29 November 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Universiti kena ubah tradisi jika mahu relevan


Oleh : Dr Ibrahim Komoo
 
Program kesarjanaan perlu diperluas untuk pembangunan komuniti

Dialog antara Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan semua Naib Canselor IPTA di Langkawi baru-baru ini mempunyai pengertian besar untuk masa depan institusi universiti awam di Malaysia. Keprihatinan beliau terserlah apabila beliau menekankan pentingnya universiti keluar daripada perangkap menara gading untuk menjadi institusi yang relevan dengan arus pembangunan negara.

Banyak perkara yang dibangkitkan untuk memacu transformasi universiti ke arah kecemerlangan. Antaranya yang menarik perhatian ialah Mohamed Khaled menegaskan, selain menjalankan peranan mendidik anak bangsa dan menjalankan penyelidikan di ufuk ilmu, universiti perlu memainkan peranan sebagai penggerak Polisi Awam.

Beliau menegaskan, universiti perlu menerajui gagasan polisi atau dasar awam berkaitan dengan pendidikan sepanjang hayat, pendidikan untuk kesejahteraan masyarakat, pemimpin intelek awam dan hubungan universiti dengan pembangunan komuniti.

Pendidikan untuk semua

Pendidikan untuk semua atau sepanjang hayat bererti universiti perlu juga memberikan ruang kepada rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kelayakan secukupnya untuk turut belajar atau menimba ilmu di universiti.

Dalam konteks ini, di samping menjalankan program formal sedia ada, setiap universiti awam perlu mewujudkan program dan aktiviti pendidikan untuk pelbagai golongan masyarakat yang ingin memajukan kecemerlangan diri. Setiap rakyat, khususnya komuniti tempatan mempunyai peluang menjejakkan kaki di universiti untuk terus belajar dan meningkatkan ilmu serta kemahiran.

Pendidikan untuk kesejahteraan masyarakat pula tertumpu kepada pelbagai bentuk pendedahan yang membolehkan masyarakat mendapat idea, kemahiran dan peluang untuk memajukan sosioekonomi mereka. Dapatan penyelidikan dan pembangunan teknologi seharusnya boleh disalurkan terus kepada masyarakat dan mereka berpeluang untuk menggunakannya bagi memajukan kerjaya serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Setiap ahli akademik adalah pakar dalam bidang masing-masing. Inilah pemikiran dan pengetahuan terkehadapan dalam sesebuah negara yang perlu dimanfaatkan oleh bukan saja pelajar ketika memberi kuliah, tetapi untuk semua masyarakat awam. Ahli akademik seharusnya menjadi ‘intelek awam’ yang sentiasa menjadi pemimpin ilmu untuk memperkukuhkan hala tuju pembangunan negara sama ada dalam konteks suara pengasas, suara penegas atau suara teguran. Bagaimanapun, semuanya perlu dilaksanakan secara berhemah dan bijaksana.

Wujud hubungan rapat

Universiti juga perlu mewujudkan hubungan rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan di sekelilingnya bagi menjayakan usaha pembangunan komuniti. Hubungan universiti dan komuniti tempatan tidak boleh dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial saja, sebaliknya perlu ditegaskan sebagai salah satu peranan penting kehadiran sebuah universiti di sesuatu kawasan.

Apakah semua ini belum dilakukan oleh universiti awam? Sememangnya ia telah bermula lama secara kecilan dan berasaskan inisiatif individu atau kelompok kecil yang prihatin saja. Dalam konteks gagasan peranan pengajian tinggi, usaha begini dikenali sebagai ‘Peranan Ke-3 Universiti’, di mana peranan pertama ialah pengajaran dan pembelajaran, sementara peranan kedua menjalankan penyelidikan.

Bagaimanapun, peranan ke-3 ini kurang mendapat sambutan dan masih berhadapan dengan pelbagai halangan dasar dan struktur yang perlu diperkemaskan lagi.

Universiti awam pada abad 21 tidak boleh selesa dengan peranan tradisi iaitu pengajaran, penyelidikan dan penerbitan. Kepemimpinan dan ahli akademik perlu melalui transformasi minda menjadikan universiti relevan dengan pembangunan komuniti dan negara. Ilmu, teknologi dan kemahiran perlu disalurkan terus kepada pelbagai pihak berkepentingan.

Memperkasa polisi awam tidak bererti tugas tradisi - pengajaran, penyelidikan dan penerbitan perlu dipinggirkan. Bakat akademik perlu terus diasah, dipelbagaikan dan kecemerlangan terus dipertahankan. Jika sebelum ini tumpuan diberikan kepada pembangunan pelajar dan berkongsi ilmu sesama rakan kesepakaran. Kini, komuniti tempatan dan masyarakat awam turut menjadi sasaran kesarjanaan.

Saranan Mohamed Khaled pada asasnya adalah dasar baru yang perlu diterapkan dalam perancangan strategik pembangunan sesebuah universiti awam. Kini menjadi tanggungjawab kepemimpinan agensi pengajian tinggi dan universiti untuk menterjemahkan dasar ini kepada pelan tindakan. Soalnya apakah telah wujud kepercayaan dan iltizam yang tinggi dalam kalangan ahli akademik untuk menjayakan hasrat murni ini.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu dan Ketua Kluster, Majlis Profesor Negara

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan