Khamis, 29 November 2012

ISU BAHASA : Mencarut - YB kita catat rekod


Oleh : ABD JALIL ALI

KITA mencatat satu lagi rekod dunia. Seperti yang ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, tiga hari lalu: “Kita akan menjadi satu-satunya negara mempunyai peraturan ini.” Boleh masuk dalam Guinness Book of World Records!

"Peraturan itu ialah pindaan Parlimen terhadap Peraturan Mesyuarat 36 (4) yang sebelum ini berbunyi: “Adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-Ahli Dewan menggunakan bahasa kurang sopan (biadab).” Setelah dipinda ayatnya berbunyi: “Adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-Ahli Dewan menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat pernyataan yang seksis.”

Jika disebut dalam bahasa mudah, para YB kita – termasuk juga YAB! – tidak dibenarkan lagi menyebut istilah lucah @ mencarut semasa sidang Dewan yang mulia itu. Ertinya kita negara pertama di dunia ada peraturan tidak boleh mencarut.

Dengan pindaan tersebut mengesahkan bahawa ada dalam kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat kita memang suka mencarut, sehingga terpaksa dibuat peraturan untuk melarang mereka mengeluarkan perkataan tidak senonoh.

Tidak dapat dipastikan sama ada rekod yang satu ini patut dibanggakan. Apa yang pasti mungkin dapat meredakan kekecewaan setelah sehari sebelum kenyataan Nazri kita menyaksikan Harimau Malaya dibaham teruk 0-3 di kandang sendiri oleh Singa dari seberang Tambak Johor. Alahai, kalau tidak dapat rekod AFF, dapat rekod mencarut pun kira okey.

Secara peribadi, saya menyokong seratus peratus pindaan yang dibuat terhadap Peraturan 36 (4). Dengan pindaan itu diharapkan sidang Parlimen kita tidak menjadi medan pertukaran kata-kata tidak sopan @ kurang ajar.

Seperti yang diketahui umum memang sesetengah YB – tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang – berperangai tidak waras ketika berbahas di Dewan tersebut. Ada yang menggunakan bahasa isyarat yang amat tidak sopan, betul-betul macam mat rempit.

Ada yang mengeluarkan kata-kata kesat sambil menjerit, macam puntianak sundal malam. Ada pula yang berani – malah megah – menumbuk dan mengetuk meja, betul-betul macam ah long minta hutang. Macam mana orang berperangai seperti ini boleh dipilih sebagai wakil rakyat!

Paling memalukan lagi meloyakan ialah apabila terlalu bersemangat berhujah ada YB tergamak mengeluarkan kata-kata lucah lagi seksis, tanpa sedikit pun menimbangkan perasaan dan sensitiviti  YB wanita. Tidak patut sekali semangat di gerai kopi tepi longkang terbawa-bawa hingga ke Dewan yang mulia.

Namanya ahli Yang Berhormat, sepatutnya gelaran hebat itu dipelihara menerusi perkataan dan perbuatan. Tentu sekali pengundi memilih mereka, semasa pilihan raya, untuk menyampaikan masalah rakyat dengan berhujah secara bermaruah dan berhemah tinggi, bukan dengan mencarut.

Dengan pindaan tersebut, Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kata-kata dan istilah yang digunakan oleh seseorang YB itu seksis atau tidak. Kebijaksanaan beliau akan menetapkan sama ada satu-satu istilah itu boleh digunakan atau sebaliknya.

Maka Speaker perlu mengetahui sekian banyak istilah. Bergantung pada cara penggunaan, satu istilah boleh dianggap seksis, tetapi istilah yang sama juga boleh jadi tidak seksis. Contoh, sekiranya menyebut “Bumbung Parlimen bocor”, itu tidak seksis.

Tetapi jika berkata “YB (wanita) pun setiap bulan bocor”, istilah ‘bocor’ itu tentu sekali seksis.

Seyogia diingat ada nama-nama tempat di negara kita yang bunyinya bernada seksis, ala-ala lucah. Contohnya, kawasan Batu Buruk di Kuala Terengganu. Jika disebut “YB dari Batu Buruk”, itu tidak seksis, sebab dia merujuk kepada wakil rakyat kawasan berkenaan.

Tetapi jika ada mana-mana YB, terutama YB wanita berkata “Pada hemat saya lelaki batu buruk tidak akan berupaya memainkan peranan sebagai suami yang baik” tentu sekali Speaker kena menghalang istilah ‘batu buruk’ itu dari terus digunakan.

Juga tidak lucah sekiranya dalam perbahasan Parlimen ada yang membuat kenyataan: “Tuan Speaker, saya ingin menarik perhatian mengenai potensi Batang Berjuntai sebagai kawasan pertanian moden.”

Tetapi Speaker kena memberi amaran sekiranya ada YB yang celupar dan mengeluarkan kenyataan: “Saya harap mana-mana lelaki batang berjuntai yang lepak di Dataran Merdeka perlu diambil tindakan tegas.”

Semoga lepas ini para YB kita lebih bersopan – buang semua sifat mat rempit, dan jangan berperangai seperti ah long atau puntianak.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen