Isnin, 7 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Tandas sekolah diberi penarafan


 Oleh : NORIZAN ABDUL MUHID

Mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah dalam usaha mengamalkan budaya tandas sekolah bersih terutama kepada golongan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha itu bakal digerakkan melalui penyebaran poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas  termasuk buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah di semua sekolah bermula bulan ini.

"Usaha berkenaan bagi mempergiat amalan menjaga kebersihan dalam kalangan murid dan diharapkan melalui golongan ini, amalan itu dapat diperhebatkan kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, baru-baru ini.

Selain itu, beliau memberitahu, tahap kebersihan kantin dan dapur sekolah di seluruh negara semakin baik apabila 98.8 peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati bersih dengan markah 70 peratus ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah yang dijalankan pada tahun 2012.

''Kementerian mempunyai senarai kantin dan dapur sekolah yang menerima markah bawah 70 peratus dan mereka ini diberi perhatian khusus seperti pemeriksaan akan dibuat pada bila-bila masa supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan," katanya.

Beliau turut menegaskan, mana-mana kantin yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan pihaknya akan mengenakan tindakan tegas seperti premis mereka disita serta merta.

Pada masa yang sama, katanya, pada tahun lalu, sebanyak 12 kantin sekolah dan lapan dapur asrama ditutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Kata Ka Siong, antara aspek yang diambil kira dalam pemeriksaan itu termasuk tahap kebersihan pengendali, penyimpanan bahan mentah dan masakan, kebersihan premis serta kawalan serangga seperti lipas dan tikus.

Beliau berkata, selain menyediakan garis panduan mengenai jenis makanan yang tidak boleh atau tidak digalakkan dijual di sekolah, kementerian turut menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemakanan golongan itu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tiba masanya pencapaian pelajar lelaki meningkat


Oleh : Ruhaiza Rusmin

JURANG dominasi pencapaian akademik yang ketara antara pelajar lelaki dan perempuan bukan isu yang boleh dipertikaikan.

Namun, kebimbangan pelbagai pihak mengenai jurang sedia ada perlu diberi perhatian demi memastikan proses kelangsungan pendidikan antara dua gender itu dapat diimbangi dengan baik.

Penguasaan pelajar perempuan dalam pencapaian akademik yang sentiasa cemerlang bagai memberi isyarat bahawa pencapaian pelajar lelaki mesti diperbaiki jika tidak mahu terus ketinggalan.

Biarpun sistem pendidikan yang diguna pakai tiada bezanya untuk mengukur kapasiti pencapaian dua gender, mengapa pencapaian pelajar lelaki tetap tidak setara?

Ini menimbulkan persepsi, pelajar lelaki memang mempunyai tahap kepandaian rendah berbanding pelajar perempuan hingga menjadikan mereka ‘populasi’ yang semakin mengecil dalam pencapaian akademik.

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, memang ada perbezaan tahap perkembangan di antara pelajar lelaki dan wanita.

Beliau berkata, biarpun dominasi pencapaian akademik lebih terarah kepada perempuan, akan tiba masanya lonjakan pencapaian pelajar lelaki mengatasi pelajar perempuan.

“Perkara ini tidak mustahil kerana proses pengembangan, cara berfikir dan pendedahan berbeza.

“Pada peringkat awal, kecemerlangan pelajar perempuan agak ketara kerana mereka terdidik dengan sistem pembelajaran berstruktur,” katanya.

Berdasarkan kajian beliau pada 2008, pelajar perempuan secara biologikal memang mempunyai potensi menyerlahkan kematangan pada usia tertentu biarpun di sekolah rendah.

Kematangan pelajar perempuan, katanya, boleh dilihat apabila mereka sangat teliti sewaktu membuat kerja sekolah, sering membawa buku dan khusyuk di dalam kelas.

“Sebaliknya pelajar lelaki lebih banyak bermain, bergurau senda dengan mengusik kawan dan hanya mampu memberi perhatian pada pelajaran pada 15 minit pertama.

“Perbezaan biologikal ini memang fitrah kerana secara normalnya, perempuan memang cepat matang.

“Tapi kematangan lelaki dalam berfikir boleh menjadi sangat pantas apabila berada pada tahap tertentu. Pada waktu itu, lelaki berfikir menggunakan akal tapi perempuan menggunakan emosi,” katanya.

Katanya, ibu bapa tidak perlu risau jika melihat anak lelaki mereka leka bermain serta liat membaca buku.

“Kemampuan mereka menyerap maklumat, memahami proses pembelajaran dan mengulang kaji tidak sama dengan pelajar perempuan. Tapi mereka tetap boleh fokus,” katanya.

Melalui hasil kajian itu, beliau mendapati masalah ketidakseimbangan pencapaian akademik antara dua gender itu sudah berlaku sejak 1960-an termasuk di negara maju.

“Ini berkait rapat dengan nilai etika dan budaya. Lelaki sering ditafsirkan sebagai golongan yang banyak memikul tanggungjawab dan melihat proses pembelajaran itu lebih bersifat fizikal.

“Perempuan pula melihat proses pembelajaran itu seperti satu seni dan perlu dilakukan atas dasar tanggungjawab.

“Kontra itu menjadikan pelajar lelaki menganggap belajar skopnya sangat meluas bukan sekadar akademik semata-mata sedangkan pelajar perempuan sebaliknya,” katanya.

Di negara maju, katanya mereka turut berdepan dilema ini. Pelajar lelaki banyak yang tercicir dalam akademik tapi akhirnya menjadi insan berjaya.

“Nama-nama seperti Bill Gates tidak cemerlang dalam akademik tapi menggunakan kepandaian lain untuk berjaya.

“Ini juga panduan yang baik supaya ibu bapa tidak terlalu gusar dan tertekan jika anak tidak terarah kepada akademik, sebaliknya subjek berbentuk teknikal,” katanya.

Beliau menyarankan agar ibu bapa memberi sokongan kepada anak lelaki jika mereka menunjukkan kecenderungan dalam subjek tertentu.

“Ada kalanya, ibu bapa mempunyai persepsi buruk jika melihat anak lelaki lebih teruja kepada Internet, sukan, Discovery Channel berbanding membaca buku.

“Biarkan kerana pada masa itu mereka sedang menggunakan kreativiti serta keterujaan untuk memperoleh sumber maklumat yang boleh membantu dalam proses pembelajaran.

“Jangan sekat atau membebel kerana ia akan membantutkan kegigihan mereka untuk belajar. Perlu diingat cara belajar pelajar lelaki dan perempuan berbeza,” katanya.

Malah, kajian itu membuktikan pelajar lelaki lebih berminat kepada aspek teknikal, sains dan matematik tetapi bermasalah dalam subjek Bahasa Melayu dan Inggeris.

Kecenderungan itu, katanya, boleh membawa kepada peningkatan pencapaian tahap berikutnya dan jika diberi dorongan berterusan, mereka boleh berjaya.

“Tapi kecemerlangan itu tidak hanya diukur melalui tahap pencapaian akademik semata-mata.
Mungkin pencapaian akademiknya sederhana tapi kerana ada pengetahuan teknikal, itu satu kelebihan.

“Dan selalunya pelajar lelaki ini, sekali diberi peluang menunjukkan kemahiran atau minat, mereka boleh terus memacu kecemerlangan sama di sekolah atau institusi pengajian tinggi,” katanya.

Ditanya adakah ini menunjukkan pencapaian pelajar wanita hanya pada tahap tertentu, beliau menafikan, sebaliknya menegaskan mereka mampu meneruskan kecemerlangan.

“Buktinya institusi pengajian tinggi negara banyak didominasi pelajar perempuan. Cuma persoalannya, apakah bidang diikuti itu mampu memberi pulangan setimpal sebaik tamat pengajian?

“Tolak tepi penguasaan dalam bidang kritikal seperti perubatan tapi melihat senario pekerjaan hari ini, dominasi tenaga kerja berprestij atau berkemahiran banyak didominasi pelajar lelaki.

“Ini membuktikan sampai tahap tertentu, pelajar lelaki mampu membina kecemerlangan sendiri yang menyamai atau melebihi pelajar wanita.

“Justeru, usah gusar jika pelajar lelaki sering ketinggalan. Percayalah bahawa kebolehan setiap pelajar berbeza dan mereka ada keistimewaan masing-masing,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Ahad, 6 Januari 2013

Terukir Di Bintang


Jika engkau minta intan permata tak mungkin kumampu
Tapi sayangkan kucapai bintang dari langit untukmu
Jika engkau minta satu dunia akan aku cuba
Ku hanya mampu jadi milikmu pastikan kaubahagia

Hati ini bukan milikku lagi
Seribu tahun pun akan kunanti
kan... kamu...

Sayangku jangan kaupersoalkan siapa di hatiku
terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu....

Lagu / Lirik : Yuna (Yunalis Zarai)

Nota hujung :

Lagu ciptaan penyanyi bertaraf antarabangsa iaitu Yunalis Zarai berjudul Terukir Di Bintang dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-27 di Stadium Putra Bukit Jalil, Ahad.

Lagu yang dinyanyikan oleh Aizat Amdan itu telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.

Terukir Di Bintang telah berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain iaitu Lagu (Bedroom Sanctuary), Teman Pengganti (Black dan RJ), Patah Seribu (Shila Amzah), Pelangi Senja (Stacy), Ombak Rindu (Hafiz dan Adira), Tanpamu (Amir Jahari).

Diikuti dengan lagu Andaiku Bercinta Lagi (Mojo), Simetri (Hazama dan Amy Search) dan Anak Kampung (Jimmy Palikat dan One Nation Emcees).

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Melayari 'Facebook' Pada Waktu Pejabat Satu Bentuk Rasuah


MELAKA: Penjawat awam dan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melayari media sosial atau melibatkan diri dalam hal-hal peribadi semasa waktu bekerja boleh dikategorikan sebagai terlibat dengan rasuah komited, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Sebagai contoh, jika seseorang menghabiskan tiga jam untuk tugas-tugas peribadi  semasa beliau ditetapkan waktu bekerja , ia boleh disifatkan satu bentuk rasuah kerana  kerajaan membayar pekerja  supaya  mereka menggunakan sepenuhnya tempoh bekerja  untuk menyelesaikan tugas-tugas yang berkaitan dengan bidang tugas masing-masing, " kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya PSRM  Datuk Sutinah Sutan.

“Ini juga termasuk  mereka yang melayari Facebook atau lain-lain bentuk media sosial, kerana tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai terpesong daripada spesifikasi kerja mereka,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani ikrar integriti korporat oleh Kumpulan Melaka Berhad (KMB) di sebuah hotel di sini semalam.

KMB adalah agensi kerajaan negeri yang pertama menandatangani ikrar yang bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang bebas daripada rasuah dan menegakkan prinsip anti-rasuah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam adalah tetamu kehormat pada majlis itu.

Sutinah berkata perbuatan terlibat dalam tugas-tugas peribadi semasa waktu bekerja boleh dianggap sebagai melanggar kontrak pekerjaan dan pesalah boleh menghadapi tindakan disiplin oleh lembaga tatatertib.

Beliau berkata bahawa walaupun kesalahan itu tidak dilindungi di bawah Akta SPRM, suruhanjaya itu boleh menasihati lembaga tatatertib tentang  jenis tindakan yang dikenakan terhadap kakitangan ingkar.

Sementara itu, Sutinah mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah mula menyaring calon-calon pilihan raya umum berikutan permintaan daripada  kedua-dua Barisan Nasional dan Pembangkang.

Sementara itu, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman menggesa kakitangan awam memberi keutamaan kepada tugas mereka semasa waktu bekerja.

"Walaupun media sosial adalah cara yang baik untuk menggalakkan orang ramai untuk menjadi lebih celik teknologi mengenai hal ehwal semasa, penjawat awam perlu mendedikasikan waktu bekerja kepada jabatan dan kementerian, atau agensi masing-masing ," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar satu mekanisme yang sesuai  ditetapkan untuk menentukan  jenis laman web yang tidak boleh dilayari oleh penjawat awam semasa waktu bekerja yang dianggap terpesong daripada spesifikasi kerja mereka.

"Perlu ada garis panduan yang jelas, bukan hanya untuk pekerja untuk memahami apakah tindakan yang boleh dikenakan, tetapi juga untuk jawatankuasa tatatertib untuk menentukan apa yang ada dalam skop kerja dan apa yang tidak," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Berbahasa sama dari Narathiwat ke Papua New Guinea


Oleh : Zin Mahmud

MULAI Rabu lalu, penduduk-penduduk di selatan Thailand dapat menonton saluran televisyen yang dikendalikan oleh kerajaan dalam bahasa Melayu.

Akhbar The Nation yang melaporkan perkara itu juga menyatakan bahawa penduduk di wilayah selatan iaitu di Pattani, Yala dan Narathiwat telah lama dipaksa mempelajari bahasa Thai yang telah lebih seratus tahun merupakan bahasa rasmi sejak negara itu memodenkan sistem pendidikannya.

Sesiapa yang pernah pergi ke Phuket dan Krabi akan mendapati penduduk Melayu di situ sememangnya seperti orang Melayu di Malaysia. Budaya, termasuk pakaian dan makanan sama saja. Begitu juga dengan rumah dan cara hidup berkampung.

Bezanya mereka berbahasa Thai. Orang Melayu di wilayah itu sudah kehilangan bahasa asal mereka.

Cuma mereka yang dari wilayah timur seperti Narathiwat dan Pattani, bahasa Melayu masih luas digunakan seperti yang dicakapkan di Kelantan. Bukan itu saja, di madrasah-madrasah, kitab Melayu bertulisan jawi juga masih difahami.

Sememangnya semua wilayah-wilayah ini dahulunya adalah sebahagian daripada kerajaan kesultanan Melayu Pattani.

Mereka menjadi sebahagian daripada Thailand apabila kalah perang dan sultan mereka lari ke Kelantan. Sementara negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu terpaksa menghantar bunga emas ke Siam.

Sempadan yang memuktamadkan wilayah Siam berlaku apabila British menguasai Malaya dan Burma melalui Perjanjian Inggeris-Siam.

Siam kemudian dimodenkan. Mereka menukarkan nama Siam menjadi Thailand dengan suatu identiti negara bangsa baru berasaskan kaum Thai. Bahasa Thai adalah bahasa rasmi wajib digunakan oleh semua warga negaranya tidak kira apa keturunannya, sama ada Thai, China, Melayu, Khmer, Mon, Lao dan lain-lain suku kaum.

Namun begitu, sistem tulisan tradisi dikekalkan. Tidak pula Thailand dalam pemodenannya mengambil tulisan rumi seperti Vietnam.

Sementara di Malaya, semasa British, bahasa Melayu dianggap oleh penjajah sebagai bahasa vernakular atau bahasa orang tempatan, seperti mana bahasa China dan Tamil. Hanya Inggeris dianggap bahasa pentadbiran rasmi .

Namun apabila berurusan dengan kaum-kaum berkenaan, maka pentadbir British akan menggunakan bahasa yang difahami mereka. Kepada orang Melayu, maka mereka akan menggunakan bahasa Melayu tulisan jawi. Jika melibatkan ketiga-tiga kaum itu, maka digunakanlah ketiga-tiga bahasa iaitu Melayu, China dan Tamil.

Begitu juga di Hindia Belanda Timur sebelum Indonesia merdeka di mana bahasa Belanda adalah bahasa rasmi dengan bahasa Melayu, Jawa, China dan lain-lain adalah bahasa vernakular.

Namun begitu, ketika mentadbir tanah jajahannya itu, Belanda berasa sukar untuk menggunakan bahasa mereka kerana tidak akan difahami oleh orang tempatan. Akhirnya mereka menggunakan bahasa Melayu kerana ia paling banyak difahami tidak kira apa suku kaumnya. Cumanya Belanda memperkenalkan tulisan rumi bagi bahasa Melayu untuk memudahkan pembelajaran dan kefahaman.

Atas asal-asal inilah kemudian pejuang-pejuang kebangsaan Indonesia mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Indonesia yang akan dipakai oleh keseluruhan wilayah Indonesia dari Aceh hinggalah ke Papua Barat.

Walaupun pada mulanya, tidaklah kesemua wilayah Indonesia yang mengetahui Bahasa Indonesia, tetapi lama kelamaan, ia digunakan di seluruh negara melalui sistem pendidikan nasional.

Melihat apa yang berlaku di Indonesia, maka Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang berpusat di Singapura juga menuntut supaya Malaya yang merdeka hendaklah menjadikan Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.

Dalam memorandumnya, mereka mahu tulisan rumi dan bukannya tulisan jawi. Apabila Malaya merdeka, bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan kebangsaan.

Ketika Malaysia ditubuhkan, bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia yang meliputi juga Singapura, Sarawak dan Sabah. Walaupun ketika itu di Sarawak dan Sabah, bahasa Melayu belum lagi luas penggunaannya.

Apabila Singapura keluar dari Malaysia, bahasa kebangsaannya tetap Melayu. Tetapi sebagai bahasa rasmi, ia adalah salah satu daripada tiga bahasa lain iaitu Inggeris, China dan Tamil.

Brunei yang kemudian mencapai kemerdekaan mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.

Dari segi berbahasa Melayu, Singapura, Brunei dan orang Melayu selatan Thailand mengikut cara Malaysia. Indonesia mempunyai cara berbeza.

Ketika Timor Timur berada dalam Indonesia, Jakarta mengharamkan penggunaan bahasa Portugis. Tetapi pejuang kemerdekaannya menggunakan Portugis sebagai bahasa perjuangan. Apabila merdeka, Timor Leste memilih Portugis dan Tetum sebagai bahasa rasmi. Bahasa Indonesia dan Inggeris dijadikan apa yang dipanggil sebagai bahasa kerja.

Tetapi di Papua New Guinea pula, Bahasa Indonesia banyak digunakan terutama di kawasan berhampiran dengan sempadan wilayah Indonesia, Papua Barat.

Maka ini bermakna bahasa Melayu digunakan dari selatan Thailand hinggalah ke Papua New Guinea. Yang belum termasuk dalam atlas bahasa Melayu ialah Bangsamoro di selatan Filipina.

Mereka ini berwajah seperti orang Melayu dan beragama Islam. Pemimpinnya bersongkok seperti orang Malaysia dan Indonesia. Terdapat 13 bahasa suku kaum Bangsamoro. Tagalog pula bukan bahasa mereka. Maka, bahasa Melayu wajar diperkenalkan untuk perpaduan sesama mereka.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Mulakan dengan menghormati wanita


Oleh :  Marhaini Kamarudin

MEMBACA kisah malang seorang pelajar perempuan jurusan perubatan di India menjadi mangsa rogol beramai-ramai di dalam bas di kota New Delhi pada 16 Disember lalu, secara spontan membawa kita kepada kes hampir sama yang berlaku di Klang, Selangor kira-kira 12 tahun lalu.

Pada 7 Oktober 2000, rakyat Malaysia digemparkan dengan kes Noor Suzaily Mokhtar yang dirogol dan dibunuh dengan kejam ketika dalam perjalanan menaiki bas pada awal pagi untuk ke tempat kerjanya.

Penjenayahnya telah pun menerima hukuman di tali gantung pada 2008.

Di India, bapa kepada mangsa rogol beramai-ramai yang akhirnya menemui ajal ketika dirawat di hospital di Singapura, turut menuntut agar penjenayah yang melakukan perbuatan terkutuk terhadap anaknya itu digantung sampai mati.

Kita faham kenapa tuntutan itu dibuat. Seluruh India bahkan masyarakat antarabangsa menuntut agar perogol dihukum gantung sampai mati.

Serangan tidak berperikemanusiaan ke atas pelajar perubatan berusia 23 tahun itu yang dalam perjalanan pulang menaiki bas telah mencetuskan protes dan debat besar-besaran tentang jenayah seks di India.

New Delhi, tempat kejadian berlaku memang dianggap kawasan tidak selamat untuk wanita malah dikatakan kes rogol dilaporkan setiap 20 minit.

Lima lelaki dan seorang remaja telah pun ditangkap rentetan kejadian itu. Kelima-lima lelaki sedang dibicarakan atas tuduhan rogol dan bunuh. Kesalahan membunuh membawa hukuman mati di India. Remaja berusia 18 tahun itu pula akan dihadapkan ke mahkamah juvenil walaupun ada desakan supaya dia dibicarakan sebagai orang dewasa.

Sehingga kini, identiti mangsa masih dirahsiakan bagi melindungi keluarganya daripada stigma dan pandangan serong awam.

Seperti juga Noor Suzaily, mangsa di New Delhi ini berasal dari desa, sanggup meninggalkan kampung halaman dan merantau ke kota untuk mencari rezeki meningkatkan taraf hidup keluarga.

Noor Suzaily menjadi mangsa pada hari pertama dia sepatutnya melaporkan diri sebagai jurutera di tempat kerjanya.

Mangsa di New Delhi pula yang masih menuntut dalam bidang fisioterapi diserang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama teman lelaki selepas menonton wayang.

Seorang bakal jurutera, seorang lagi bakal doktor. Kedua-duanya bercita-cita tinggi untuk mengubah nasib keluarga. Malangnya, cita-cita mereka ternoktah. Kedua-duanya terkorban kerana nafsu serakah lelaki raksasa yang bertopengkan manusia.

Kedua-duanya berlaku di dalam bas - kenderaan sah pengangkutan awam, yang tentunya tidak siapa menduga ada neraka dunia di sebaliknya.

Kejam

Tak dapat dibayangkan azabnya mangsa diperlakukan sebegitu kejam. Diperkosa, dipukul dan diseksa sebelum dicampak keluar bas untuk mati di atas jalan raya. Memang tak sanggup hendak membayangkannya.

Dalam kes di New Delhi, selepas mencampak mangsa, pemandu bas cuba melanggar (apa lagi jika bukan untuk membunuhnya) mujurlah sempat diselamatkan oleh temannya.

Rentetan kes ini, kerajaan India telah menubuhkan dua panel diketuai bekas hakim untuk merangka cadangan bagi meningkatkan tahap keselamatan wanita. Difahamkan, salah satu panel menerima lebih 17,000 syor daripada orang awam.

Diharapkan sekian banyak syor itu mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya, seterusnya disusuli pelan tindakan untuk dilaksanakan.

Kes di New Delhi patut menyentak kerajaan, pihak berkuasa dan masyarakat dunia termasuk di Malaysia agar mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan wanita, gadis dan kanak-kanak perempuan adalah terjamin dan terpelihara.

Janganlah memandang mudah dan lewa hanya kerana kes ini berlaku di negara lain, melibatkan orang lain dan bukan kita, maka kita melihatnya sebelah mata.

Jangan juga membuat andaian mudah bahawa kes-kes seperti ini berlaku kerana salah wanita. Salah wanita berpakaian, salah wanita berdandan, salah wanita bekerja, waima salah segala serbi.

Hakikatnya, lelaki bernafsu raksasa ini tidak memilih mangsa. Wanita tua yang tak kenal kosmetik, kanak-kanak belum akil baligh apatah lagi gadis sunti, semuanya masuk di bawah radar mereka.

Sekali lagi ditegaskan, kerajaan, pihak berkuasa dan masyarakat perlu melakukan sesuatu, bagi menjamin persekitaran kita adalah selamat untuk didiami. Jangan bagi ruang untuk penjenayah melakukan kerja gila mereka.

Di Malaysia, langkah kerajaan menyediakan koc komuter dan bas khas untuk wanita adalah satu daripada perancangan untuk menyelamatkan wanita. Ia mungkin langkah kecil tetapi satu permulaan yang baik.

Namun ia sepatutnya tidak terhad di bandar raya sebaliknya diperluaskan ke seluruh negara. Pelaksanaannya pula biarlah bersungguh-sungguh, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Dakwaan ada lelaki dengan muka selamba memasuki koc merah jambu yang dikhaskan untuk wanita, perlu diberi perhatian serius.

Orang yang tidak tahu menghormati hak wanita seperti ini tidak patut diberi muka.

Sementara kerajaan dan pihak berkuasa merangka peraturan, garis panduan dan undang-undang bagi membendung dan membanteras jenayah seks, kita sebagai masyarakat pula tidak boleh berpeluk tubuh.

Mari lakukan sesuatu bermula dengan mendidik orang di sekeliling kita, sahabat handai khususnya anak-anak lelaki kita agar belajar menghormati wanita. Baik nenek, ibu, isteri, kakak atau adik perempuan, hormatilah mereka.

Logiknya, individu yang terbiasa hidup dengan menghormati wanita, tidak akan tergamak melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan kehormatan wanita.

Peristiwa malang 7 Oktober 2000 di Klang, Selangor dan 16 Disember 2012 di New Delhi, India, tidak patut ada pengulangan lagi!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Cabaran politik global tahun 2013


Oleh : Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani 

Kebijaksanaan kepemimpinan ditagih

Dunia melangkah ke tahun baru dengan pelbagai harapan walaupun suasana politik global masih tidak menentu. Malapetaka dunia atau kiamat tidak berlaku seperti yang diramalkan pihak Barat pada 21 Disember 2012 mengikut kalendar Mayan. Meninjau pergolakan politik global 2012 memperlihatkan konflik serantau yang berlaku di Timur Tengah, iaitu di Syria dan Palestin. Keganasan global masih berleluasa di Iraq, Afghanistan dan Pakistan kesan daripada pencerobohan tentera penjajah.

Selain itu, krisis ekonomi bermula pada 2007 terus memberi impak yang signifikan kepada politik nasional apabila mencetuskan revolusi Arab yang menumbangkan kerajaan autokratik di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen. Krisis ekonomi menyebabkan kerajaan demokratik juga tumbang dan perubahan rejim pemerintah berlaku terutama di United Kingdom, Perancis dan Jepun. Negara Eropah juga mengalami musibah ekonomi apabila negara seperti Greece, Portugal dan Ireland jatuh muflis.

Masyarakat antarabangsa kini sedang memerhatikan China dan India dengan penuh minat. Ramai diplomat dan sarjana politik antarabangsa mula meramalkan dua negara ini menjadi kuasa besar global masa hadapan dan mengimbangi kuasa Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang lesu kesan krisis ekonomi. China dan India mempunyai simpanan kekuatan senjata nuklear selain mempunyai populasi lebih satu bilion, sangat berpotensi mendominasi dunia masa depan yang dicurigai dunia Barat.

2012 juga menyaksikan rakyat AS memberi semula mandat kepada Presiden Barack Obama untuk menerajui penggal keduanya. Obama daripada parti Demokrat yang mengemukakan pelan pemulihan ekonomi AS dilihat lebih praktikal berbanding lawan beliau, Mick Romney selain membataskan dasar luar imperialisme AS.

Kemakmuran ekonomi

Persoalan yang perlu dijawab di sini ialah bagaimanakah pula bentuk politik global pada 2013? Tidak ramai penganalisis politik dunia berbanding penganalisis ekonomi yang melihat 2013 secara optimistik. Majalah Economist meramalkan 2013 akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia dengan China terus mengetuai perkembangan pesat ekonomi global. Namun, majoriti negara dunia terpaksa melaksanakan bajet defisit bagi menghadapi inflasi dan kelembapan ekonomi. Asia, kecuali Jepun dan Asia Barat, terus dilihat akan berkembang dalam kadar 6.4 peratus, dengan Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.6 peratus.

Kemakmuran ekonomi juga masih bergantung kepada kemampuan ekonomi AS untuk terus berkembang. Kini AS menghadapi masalah dasar fiskal dikenali sebagai ‘fiscal cliff’. Untuk menyelamatkan ekonominya, AS harus mengenakan cukai yang lebih tinggi khususnya kepada golongan kelas menengah dan mengurangkan perbelanjaan negara khususnya perbelanjaan ketenteraan serta merombak sistem pemberian bantuan seperti pencen untuk meningkatkan pendapatan negara.

Pembaharuan yang akan dilakukan AS, sekiranya diluluskan Kongres, akan membebankan penduduk AS, namun akan memulihkan ekonomi AS yang sedang tenat. Langkah ini juga akan menyebabkan AS mengurangkan import luar negara yang mungkin menjejaskan negara pengeksport seperti Malaysia. AS juga akan mengurangkan aktiviti ketenteraannya di luar negara, yang menyebabkan AS memanggil pulang tenteranya yang sedang berkubu di Afghanistan. Penemuan simpanan minyak petroleum baru di pesisir luar negara AS dilihat mampu menstabilkan permintaan dan penawaran minyak di AS.

Konflik politik Timur Tengah

Sementara itu, konflik politik Timur Tengah diramalkan menjadi lebih buruk pada 2013. Perang saudara di Syria sudah menjadi perang proksi antara Iran, China dan Russia yang membantu rejim Bashar al-Assad. Manakala negara Arab seperti Arab Saudi dan Qatar bersama Turki dan AS dilihat membantu puak pemberontak. Iran harus memastikan rejim al-Assad terus memerintah kerana sekiranya tumbang, tekanan akan dihadapi Iran yang kehilangan sekutu kuatnya di Syria.

Krisis Israel-Palestin akan berterusan walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebagai negara bukan ahli PBB. Namun rejim Zionis terus membina penempatan haram di wilayah Palestin. Pelan penyelesaian dua negara yang dirancang PBB masih tidak menampakkan perkembangan yang positif.

Rantau Asia Tenggara pula akan memperlihatkan keadaan yang positif ke arah kewujudan komuniti ASEAN dijangka pada 2015. Pertumbuhan ekonomi akan berlaku dalam kadar 4 sehingga 6.3 peratus dengan Indonesia diramal mengalami pertumbuhan paling pesat. Politik domestik agak stabil dengan Myanmar kini bergerak menuju pendemokrasian.

Semua negara ASEAN, termasuk Laos dan Vietnam yang berfahaman komunis mula mengamalkan secara agresif ekonomi kapitalisme. Kebimbangan bagi ASEAN, juga Jepun dan Korea Selatan kini adalah perluasan kuasa China yang mula menuntut hak kedaulatan ke atas kepulauan Spratly dan Laut China Selatan. Reaksi ASEAN adalah untuk berdialog dengan China, namun Filipina yang dibantu AS mula mencabar secara keras perluasan kuasa China.

Apa yang pasti, dunia akan terus berada dalam situasi anarki pada 2013. Hanya kebijaksanaan kepemimpinan sesebuah negara akan menentukan keamanan dan kemakmuran sejagat berterusan untuk terus dinikmati bersama.

Penulis ialah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/