Isnin, 4 Mac 2013

ISU SOSIAL : Penderaan rumah tangga



Oleh : SUHARNE ZAINUDIN

Walaupun terdapat Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, tetapi kes keganasan rumah tangga masih berlaku. Tidak adil jika menuduh undang-undang yang diwujudkan itu tidak memberikan sebarang kesan. 

Apa yang lebih tepat adalah semakin ramai bersikap kejam.

Sudah ada undang-undang lagi kan berani buat, apatah jika tiada! Apa yang lebih mengejutkan keganasan rumah tangga turut berlaku dalam kalangan profesional. Bagi golongan ini, memukul atau menyakiti fizikal jelas dan nyata perbuatan tidak berakal. Namun, ramai juga terlupa penderaan jiwa dan mental lebih memberi sengsara malah kesannya memberi penyeksaan yang 'makan dalam'.

Kata cerdik pandai, ilmu mampu menjadi benteng kepada perkara buruk. Tetapi apa sudah berlaku kepada golongan ini? Hendak kata tidak pandai, sekolah tinggi, menjawat jawatan hebat, tetapi masih tegar mendera pasangan sendiri.

Melihatkan hal ini, kes penderaan ini bukan lagi hal terpinggir. Ia perkara yang harus diambil berat dan langkah menanganinya perlu serius, kerana sudah semestinya negara ini tidak mahu memiliki warga yang kaya dari segi intelektualnya tetapi miskin jiwa kemanusiaannya.

Sekadar renungan, memetik kata-kata hikmah cendekiawan Hamka, 'kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adabnya bukan terletak pada wajah dan pakaiannya'.

Jawatan tinggi, pemahaman agama rendah

Memetik kenyataan Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sulaiman Endut dalam sebuah akhbar tempatan sebelum ini, aduan mengenai keganasan rumah tangga saban hari diterima sama ada dari segi fizikal dan juga mental.

“Penderaan fizikal dikategorikan sebagai boleh dilihat dengan mata kasar seperti kesan dipukul, digigit, lebam, berdarah dan bengkak. Manakala penderaan mental pula jika sering dilempar dengan kata-kata kesat dan tidak bermaruah," katanya.

Memaki hamun dengan panggilan kotor dan menjijikkan serta mengugut dan mengancam nyawa si isteri juga boleh dianggap sebagai penderaan.

“Cuma saya hairan, ada kalangan isteri yang sering mengadu sekadar mahu meluahkan," katanya sambil memberitahu jarang antara mereka mengambil tindakan susulan walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian.

Katanya, rata-rata akan menangis, merintih dan mencurahkan segala kesakitan dan keperitan hati pada saat tubuh sakit menderita. Namun akhirnya menerima suami semula ke pangkuan.

"Alasannya tidak tahu hala tuju sekiranya diceraikan serta kasihankan anak-anak. Bagaimanapun alasan yang paling banyak diterima kerana masih sayangkan suami. Tidak salah sayangkan suami tetapi biar bertempat. 

Jika sampai mengancam nyawa dan mencederakan lebih baik dilakukan sesuatu untuk menghentikannya.

“Jangan sampai terhantuk baru tengadah kerana hak seorang isteri telah termaktub dalam undang-undang keluarga Islam," katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Berpolitik ikut undang-undang


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Antara golongan paling mencuri tumpuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti pastinya golongan mahasiswa.

Selepas pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), golongan itu kini bebas membuat percaturan untuk terjun ke dunia politik.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Zaid Ahmad berkata, segalanya terserah kepada mahasiswa kerana mereka boleh membabitkan diri dalam politik tanpa sekatan.

Beliau berkata, kebebasan itu bukan saja menimbulkan keterujaan kepada golongan itu malah masyarakat juga mahu melihat bagaimana hasil diperoleh sejajar pindaan AUKU.

“Pertama kali bergelar pengundi dan diberi peluang menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara pasti ada kelainannya.

“Jika sebelum ini, tangan mereka terikat, selepas pindaan itu mahasiswa layak menggunakan kebebasan itu tanpa dibelenggu kekeliruan hak,” katanya.

Beliau berkata, mahasiswa yang layak mengundi mencetuskan satu episod baru dalam arena politik negara kerana mereka bebas dalam proses perjalanan politik di negara ini.

“Dulu, pergerakan mereka terbatas dan tidak tahu hala tuju kerana terikat dengan AUKU.

“Kini, apabila AUKU dipinda, mereka tidak lagi dibelenggu dengan isu-isu ketidakpastian ini.

“Mereka boleh terbabit sepenuhnya dalam proses perjalanan politik negara sama seperti orang lain walaupun masih bergelar pelajar,” katanya mengakui proses itu satu anjakan paradigma dan sikap keterbukaan pihak yang mahu mendengar suara serta kehendak mahasiswa.

“Apabila AUKU dipinda, memang kedengaran suara-suara yang melahirkan kebimbangan. Tapi ia perlu dilihat dalam konteks positif.

“Ia adalah proses pembelajaran jangka panjang untuk pembangunan mahasiswa. Mahu atau tidak, sampai masanya mereka akan terbabit juga.

“Justeru, daripada terus diberi kongkongan atau tekanan, biarkan mereka merasai suasana itu,” katanya.

Lambat atau cepat katanya, ia bukan isu perlu difikirkan tapi kesan daripada pendedahan itu yang penting.

“Sebagai masyarakat, kita perlu berfikiran terbuka dan sanggup menerima hakikat bahawa setiap langkah pertama adalah cabaran untuk belajar menangani sebarang kemungkinan.

“Malah, ramai yang mahu mahasiswa diberi kebebasan terbabit dalam proses yang boleh memberi impak kebaikan kepada negara.

“Kita tidak boleh bersifat mengongkong walaupun dalam sesetengah situasi ia memang perlu. Apa yang penting kita beri panduan yang betul supaya mahasiswa tidak tersasar atau diperalatkan,” katanya.

Ditanya apakah kemungkinan pembabitan mahasiswa boleh mencetuskan kekecohan, katanya tidak perlu ada kegusaran kerana golongan terbabit matang dan pandai menilai tindakan masing-masing.

“Sebelum ini, biarpun diikat dengan perjanjian AUKU, mereka tetap mahu bertindak dan bersuara walaupun tahu risikonya. Jadi apa bezanya kini?

“Daripada membiarkan mereka berterusan membuat tindakan salah, mengapa tidak berikan kepercayaan seperti yang dipinta.

“Imej tidak tercalar malah mereka memperoleh ilmu dan pengalaman yang tiada dalam buku dan dewan kuliah.

“Saya percaya apabila masyarakat mempercayai mereka, impaknya amat baik malah golongan itu juga mahu membuktikan mereka mampu berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju kebebasan diberikan itu perlu mengikut undang-undang.

“Apa yang dinikmati mahasiswa sama seperti orang lain. Mereka tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan.

“Jangan jadikan tiket sebagai mahasiswa untuk memperoleh keistimewaan dan melakukan di luar undang-undang kerana ia memberi impak negatif kepada masyarakat,” katanya.

Beliau mahu mahasiswa menjadikan proses ini sebagai mekanisme dan pemangkin pembelajaran paling efektif bagi meningkatkan kualiti sebagai bakal pemimpin.

“Tunjukkan kepada masyarakat, mahasiswa hari ini sudah melangkah ke fasa baru yang lebih baik serta melalui transisi angin perubahan baru dalam sistem politik negara,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU KENEGARAAN : Konsep adil asas utama hidup aman

Umat pertengahan mengamalkan kehidupan yang seimbang
antara tuntutan kehidupan  di dunia  dan  di akhirat

Oleh : Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi
 
Elak lakukan kezaliman yang boleh cetus permusuhan

Islam menganjurkan umatnya supaya melaksanakan keadilan dalam setiap aspek kehidupan mereka. Perintah ini seiring dengan sifat Allah sendiri yang Maha Adil dan juga telah mengharamkan diri-Nya daripada melakukan kezaliman.

Adil menurut konotasinya membawa erti meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya seperti yang difahami oleh kebanyakan umat Islam kini bahawa adil itu ialah sama rata atau persamaan hak.

Kesilapan persepsi seumpama ini mengakibatkan kecelaruan pemikiran umat Islam dan mencetuskan pertelagahan sesama Islam.

Akhirnya kemelut tersebut membarah dalam kalangan umat Islam menatijahkan keretakan kesatuan ummah yang mengundang kelemahan dan kejatuhan umat Islam dalam pelbagai lapangan hidup.

Justeru, umat Islam perlu merujuk kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan hadis sebagai wacana utama dalam meneruskan kesinambungan ummah di bumi Allah ini.

Banyak ayat suci yang membicarakan mengenai keadilan supaya ia dapat dijulang untuk mendasari dalam setiap ruang hidup manusia sejagat.

Perlu diingat bahawa keadilan yang diuar-uarkan Islam ini tidak terhad kepada golongan pemimpin semata-mata, bahkan ia membabitkan sama semua lapisan masyarakat Islam yang terdiri daripada suami isteri, penjual dan pembeli, kadi, sesama Muslim dan antara pemimpin dengan rakyatnya.

Islam dengan jelas memerintahkan umatnya supaya bersikap adil dalam segala perkara. Oleh sebab itulah, umat Islam dilabelkan Allah sebagai Ummatan Wasata iaitu umat pilihan lagi adil dan umat yang pertengahan.

Dengan lain perkataan, umat Islam adalah generasi yang mengamalkan sikap pertengahan dalam segala pembawaannya, tidak melampau dan juga tidak keterlaluan dalam menganut dan mempraktikkan kepercayaannya.

Demikian juga akhlaknya dan amalannya, segala-galanya berkeadaan di tengah-tengah dan seimbang antara tuntutan dunia dan akhirat.

Pada masa sama, Allah memberi amaran kepada umat Islam supaya jangan terperangkap dengan penyakit hati seperti dengki, benci dan sebagainya yang hanya akan mengakibatkan keruntuhan dan kehancuran bangsa itu sendiri.

Yang paling istimewa, sifat adil ini akan menghiaskan diri seseorang Muslim dengan perhiasan takwa dan ia sebenarnya neraca piawaian utama untuk memburu darjat yang istimewa di sisi Allah.

Takwalah juga sebaik-baik bekalan yang sewajibnya dipersiapkan oleh setiap Muslim sebagai tiket yang tiada nilainya untuk menjejakkan kaki ke pintu syurga yang penuh kenikmatan.

Seterusnya, Islam menuntut kepada suami supaya berlaku adil kepada isterinya kerana Islam melarang sama sekali sebarang bentuk kezaliman dan penderaan berlaku dalam institusi rumah tangga.

Ini kerana objektif utama perkahwinan dalam Islam supaya suami dan isteri dapat menyimpulkan erat jalinan kasih dan kemesraan dalam hidup kekeluargaan mereka di samping dapat melahirkan generasi penyambung tradisi keluarga mereka.

Sekiranya seseorang suami merasakan tidak dapat berlaku adil terhadap isterinya, maka Islam mengarahkan agar memadai dengan mengahwini seorang isteri saja supaya bahtera kehidupan dapat dikemudikan bersama dengan harmoni dan aman tenteram.

Begitu juga, seorang Muslim yang diamanahkan untuk memikul jawatan kadi agar dapat bersikap adil dan berwaspada serta tidak berat sebelah dalam memutuskan satu-satu hukuman kepada pesalah dan pengadu biarpun yang bersalah itu daripada kalangan kaum keluarga dan kerabatnya.

Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa kehancuran umat zaman silam adalah disebabkan oleh pelaksanaan hukum yang bersifat berat sebelah iaitu membiarkan saja atau melepaskan hukuman jika dia dari kalangan orang berada dan dijatuhi hukuman kepada orang yang hina dina dan lemah.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW terus bersumpah dengan nama Allah bahawa jika Fatimah anak perempuannya sendiri mencuri, sudah pasti Baginda akan memotong tangannya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, seorang penjual juga dituntut supaya bersikap adil dalam urusan jual beli mereka agar tidak terselit unsur penipuan dan penindasan kepada pembeli. Islam memerintahkan supaya seorang penulis yang adil diwujudkan dalam proses perjanjian akad jual beli mengikut hukum syarak. Tidak ketinggalan juga, seorang saksi juga hendaklah seorang yang adil lagi dipercayai dalam perjalanan urusan kehakiman dan undang-undang Islam.

Akhirnya, seorang pemimpin juga dituntut untuk bersikap adil dan saksama dalam kepimpinannya dan jangan sama sekali melakukan kezaliman kepada manusia sejagat. Kepimpinan adalah satu amanah yang cukup berat lagi getir yang akan dipersoalkan satu persatu di hadapan persidangan agung Mahsyar.

Demikianlah betapa luasnya konsep keadilan  dalam  Islam yang merangkumi segenap lapisan warga Islam dalam lapangan hidup mereka. Oleh itu, untuk menjamin kelangsungan Islam agar terus bertapak di bumi Allah ini, konsep keadilan ini perlu disemai dan dibajai supaya bertunjang dalam kehidupan ummah sejagat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU DALAM NEGERI : Pencerobohan Bersenjata di Sabah


6 lagi anggota polis terkorban

Lahad Datu : Enam anggota polis terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai Tentera Sultan Sulu, ketika operasi di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, malam kelmarin.

Operasi yang diselesaikan hampir 24 jam itu turut menyaksikan sekurang-kurangnya enam anggota kumpulan bersenjata terbunuh, manakala seorang lagi maut dibelasah penduduk kampung.

Polis juga berjaya mengeluarkan 19 anggotanya yang terperangkap di kawasan perkampungan atas air itu. Seorang penduduk wanita berusia 50 tahun dilaporkan cedera dipercayai terkena tembakan rambang kumpulan bersenjata dan dirawat di Hospital Tawau.

Korban meningkat

Setakat petang semalam, seorang pegawai polis yang disahkan terkorban ialah pegawai Cawangan Khas Bukit Aman, Superintendan Ibrahim Lebar, 52, dari Besut, Terengganu.

Sehingga kini, jumlah anggota keselamatan yang terkorban meningkat kepada lapan orang selepas dua komando VAT 69 mati ditembak penceroboh dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, dekat sini Jumaat lalu.

PDRM ucap takziah

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, dalam sidang medianya petang semalam, berkata operasi berakhir jam 7 petang dan polis menghubungi keluarga mangsa yang terkorban untuk memaklumkan perkara itu terlebih dulu sebelum mengumumkannya kepada orang awam dan media.

“Saya mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan takziah kepada keluarga anggota yang terkorban,” katanya.

Katanya, enam mayat yang belum dikenal pasti, dipercayai anggota kumpulan musuh.

Ismail berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan polis ke Simunul bagi menjalankan siasatan susulan maklumat mengenai kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata di situ.

Info :

Senarai  nama anggota pasukan keselamatan yang terkorban :

1 .Supt Ibrahim Lebar dari Bukit Aman,
2. ASP Michael Fadil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna,
3. Sarjan Detektif Baharin Hamid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah,
4. Sarjan Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau,
5. Kpl Salam Tongiran (IPD Tawau)
6. L/Kpl Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau).

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Sabtu, 2 Mac 2013

ISU SOSIAL : Generasi Muda Penerus Kesinambungan Pembangunan Negara


KITA sering mendengar tentang hala tuju masa depan negara dan peranan serta tenaga anak-anak muda yang harus digembleng bersama-sama untuk membangunkan negara.

Sebagai salah satu aset terpenting negara serta menjadi tonggak dan sandaran masa hadapan, maka seharusnya golongan pelapis ini dididik dan dibimbing agar mereka mampu menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menjaga dan menentukan masa depan negara.

Kita selaku ibu bapa mahupun guru atau pemimpin harus proaktif dan kreatif mencorakkan sahsiah, sikap dan daya fikir serta akhlak mereka berlandaskan petunjuk Al-Qur'an dan as-Sunnah seperti mana yang dituntut oleh Islam. Ia mampu memberikan kesan mendalam kepada golongan muda-mudi kerana mereka berkeupayaan untuk mencerap dengan mudah apa sahaja bentuk pendidikan yang diajar dan diterapkan kepada mereka jika kena gaya dan caranya.

Golongan muda disifatkan sebagai harapan bangsa dan tiang negara atas kapisiti mereka yang memiliki kelebihan tertentu berbanding warga veteran. Ini kerana, secara umumnya mereka memiliki kekuatan dan kesihatan jasmani, kecerdasan minda, aktif, bersemangat dan berpotensi untuk digilap melalui pembudayaan ilmu dan kemahiran serta penyediaan ruang dan peluang untuk menonjolkan potensi diri. Faktor ini membuktikan mereka merupakan entiti yang perlu diberi perhatian mengingat bahawa tenaga belia dan beliawanis menjadi sumber penting dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Oleh hal yang demikian, pembinaan generasi muda yang berkualiti tinggi yang akan mewarisi tanah air tercinta ini hendaklah diberi perhatian yang sewajarnya dalam agenda pembangunan negara.

Pembangunan modal insan seperti mana yang diuar-uarkan oleh kerajaan mestilah dijayakan bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Tanpa kesungguhan yang jitu maka tidak mungkin keinginan kita untuk melihat golongan pelapis dan pewaris yang kuat dan berkemampuan lahir untuk menghadapi cabaran hari depan.

Kejayaan membina masa depan yang lebih baik dan cemerlang banyak bergantung kepada keupayaan generasi muda kini dalam mencerap ilmu, kemahiran serta daya kepimimpinan yang cemerlang.

Generasi muda hari ini mempunyai peranan serta tanggungjawab teramat besar dalam menjana pembangunan mencemerlangkan agama, bangsa dan negara. Di samping menyumbang idea, masa dan tenaga merencana pencapaian lebih hebat daripada pemimpin hari ini, mereka juga berkewajipan membina dan membangun jati diri dari segi akhlak, ilmu, sahsiah, iman, taqwa, ibadah, rohani dan jasmani supaya berupaya menampilkan gaya dan budaya hidup sihat untuk dicontohi oleh masyarakat.

Sumber : http://www.pelitabrunei.gov.bn/

ISU EKONOMI : Elak perangkap pendapatan pertengahan


Oleh:  DR. MOHD NAHAR MOHD. ARSHAD

BOLEHKAH sesebuah negara terperangkap antara kemiskinan dan kemakmuran? Inilah dilema yang dihadapi kebanyakan negara berpendapatan pertengahan termasuk Malaysia.

Selepas Perang  Dunia Kedua, kebanyakan negara yang berpendapatan pertengahan pada masa ini adalah negara miskin yang bersandarkan industri tani. Negara-negara ini kemudian belajar daripada kejayaan negara-negara maju untuk keluar daripada kancah kemiskinan.

Dasar perindustrian telah diambil untuk negara melangkah  keluar daripada kancah kemiskinan. Namun, dalam usaha untuk merapatkan antara jurang kaya dan miskin ini, tidak semua negara berjaya.

Kebanyakan negara Afrika misalnya, masih kekal berpendapatan rendah. Ini dipanggil sebagai perangkap kemiskinan (poverty trap).

Bagi negara-negara yang berjaya keluar daripada kemiskinan, perangkap pendapatan pertengahan pula menanti. Perangkap ini wujud apabila pertumbuhan kadar kenaikan upah (pendapatan) yang sekian waktunya dinikmati semakin perlahan.

Maka negara-negara berpendapatan pertengahan ini semakin hilang daya saing dengan negara-negara miskin yang menawarkan upah yang lebih murah. Kemunculan Vietnam sebagai contoh, menjadi cabaran baru kepada kebanyakan negara ASEAN seperti Malaysia dan Thailand.

Pada masa sama, negara-negara berpendapatan pertengahan ini turut mendapati bahawa ekonomi mereka masih tidak mampu menyaingi negara-negara berpendapatan tinggi.

Keadaan tersepit antara kaya dan miskin inilah yang dinamakan perangkap pendapatan pertengahan.

Sesebuah negara yang terperangkap dalam dilema pendapatan pertengahan akan mendapati wujud penurunan dalam kadar pelaburan berikutan kelembapan dalam pertumbuhan perindustrian, terhadnya diversifikasi ekonomi dan kelemahan dalam pasaran buruh.

Secara teorinya, negara-negara kaya punya teknologi canggih; negara-negara miskin punya kadar upah yang rendah; negara-negara berpendapatan tengah tidak punya kedua-duanya.

Mereka perlu mencari strategi untuk bersaing dengan negara yang sudah di hadapan dan yang sedang mengejar di belakang.

Untuk keluar daripada perangkap ini, transformasi mengikut cara Strategi Laut Biru perlu dicari.

Kecekapan dalam perlaksanaan kerja dan daya inovasi tinggi untuk menerobos dan membuka pasaran baru perlu dicari untuk memastikan daya pertumbuhan eksport terus dipertingkat.

Momentum permintaan domestik turut perlu dijana.

Dengan wujudnya golongan berpendapatan tengah yang semakin ramai, kuasa beli tinggi oleh golongan ini boleh membuka permintaan baru untuk barangan dan perkhidmatan berasaskan inovasi dan berteknologi tinggi. Kesemua ini mampu memacu ke arah pertumbuhan yang lebih tinggi.

Cabaran yang lebih berat adalah untuk berubah daripada sebuah ekonomi yang berasakan sumber-memacu-pertumbuhan kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti dan inovasi tinggi. Ini memerlukan pelaburan infrastruktur dan pendidikan.

Penulis ialah pensyarah Pusat Ekonomi Islam dan Kajian Polisi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Universiti wajar jana ilmu pengetahuan baru


Oleh : Mohammad Abdullah
 
Graduan dihasil mampu bersaing di pentas dunia

Dalam amanat tahun barunya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memfokuskan warga kerja pengajian tinggi negara kepada usaha memastikan institusi itu berupaya untuk memacu daya saing negara.

Ini bermakna pengajian tinggi seharusnya menjadi pemangkin dan penggerak utama untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan masyarakat, termasuk dalam kalangan anak-anak muda untuk bersaing, bukan saja di dalam negara, malah di pentas dunia.

Bagaimanakah keupayaan ini dapat dilakukan, sedangkan pengajian tinggi pada umumnya dilihat sekadar satu proses mendapat ijazah dan selebihnya usaha penyelidikan dalam kalangan penyelidik yang berada di universiti untuk menghasilkan sesuatu yang dapat dimanfaatkan oleh pihak lain, termasuk industri, apatah lagi dalam konteks penarafan, kebolehpasaran dan hal yang berkaitan dengannya.

Walaupun sering dihadapkan dengan pelbagai kenyataan terhadap usaha menjana kekuatan anak-anak muda dan ilmuwan untuk pembangunan masyarakat dan negara, namun hakikatnya pengajian tinggi masih dilihat sebagai satu proses penghasilan produk, bukan sebagai satu penghakupayaan untuk mencetus kekuatan baru dalam membentuk nilai kekuatan yang tersendiri dan dipandang tinggi.

Dominasi ilmu

Kita perlu membuat muhasabah, terutama dalam kalangan warga universiti sendiri mengenai kedudukan yang ada dengan ikhlas, bukan sekadar membangunkan jenama dan memposisikan semata-mata mengikut apa yang kita percaya atau untuk menjawab tuduhan dalam mengurus persepsi yang ada.

Misalnya, dengan melihat di mana kedudukan kita dalam dominasi ilmu, inovasi dan kekuatan pemikiran dalam konteks serantau mahu pun sejagat. Atau sejauh mana kepakaran kita menjadi tempat rujukan yang menunjukkan kehebatan dan dominannya dalam sesuatu bidang. Apatah lagi untuk menjadi ‘prominence’ dalam konteks keilmuan sejagat atau keserakanan dan tentunya sejauh mana ketokohan kita boleh menghasilkan kehebatan yang dianggap ‘eminence’ dan digeruni.

Paling tidak, sejauh mana kita relevan dengan keperluan persekitaran, serantau malah juga dalam menghadapi globalisasi ilmu dan budaya ini. Sejauh mana apa yang kita ajari, selidiki malah juga hasilkan melalui penulisan jurnal dan menjadi rujukan dalam kalangan akademia sebenarnya berfaedah dan dianggap berupaya untuk menggerakkan pemikiran besar yang segar dan baru atau paling tidak berupaya membangunkan tamadun ilmu seperti mana yang pernah mencipta kegemilangannya yang tersendiri, dicontohi dan ditiru sejak zaman Andalusia mahu pun kegemilangan ilmu yang lainnya.

Penjana ilmu pengetahuan baharu

Berupayakah kita menggerakkan masyarakat yang mampu berfikir dan membuat keputusan menggunakan fakta dan data, bukan semata-mata emosi. Mampukah kita melahirkan pemikiran yang terbuka atau kita meneruskan kejumudan idea dan tidak menjadikannya sebagai satu budaya untuk kesejahteraan masyarakat.

Inilah antara cabaran utama dan getir pengajian tinggi sebagai pemacu pembangunan dan daya saing negara. Cabaran ini bukan hanya terletak dan perlu ditangani oleh mereka yang berada dalam proses pengajian tinggi, tetapi juga mereka yang berada di luar dan sewajarnya memberikan sokongan padu.

Misalnya, bagaimana universiti dan industri dapat saling bekerjasama secara tulen dalam menggabungkan di antara kepakaran dan keperluan. Bagaimana pihak industri dapat memberi tahu universiti mengenai keperluan sebenarnya, apa yang diinginkan dan dibangunkan bersama, malah ikut serta menanam modal untuk memastikan produk yang diinginkan dapat dihasilkan mengikut acuan industri.

Universiti tidak harus terus dilihat sebagai kilang yang menghasilkan produk, tetapi penjana ilmu pengetahuan baharu yang perlu terus dibangunkan secara realistik bersama-sama dengan pihak lain seperti mana yang dilakukan di kebanyakan negara maju.

Di samping itu, pensyarah dan penyelidik pula perlu melihat anak-anak muda yang ada bukan hanya sebagai pelajar, tetapi potensi masa hadapan yang besar dari segi pemikiran dan pembinaan negara bangsa dalam kerangka kebebasan yang terkawal serta berupaya menyumbang kepada gelombang perubahan global yang berlaku secara berterusan, yang bukan hanya cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga berupaya berfikir dan menggerakkan usaha dalam memaknakan penghakupayaan yang diberi.

Dalam erti kata lain, seluruh ekosfera yang ada dalam lingkungan pengajian tinggi harus dibangunkan sepenuhnya, bersifat holistik, realistik dan berfokus kepada usaha membangkitkan semangat untuk bersaing dan menjadi dominan dalam bidang kekuatannya, menghasilkan sumber manusia yang sanggup bersaing dan berbeza pemikirannya, dihormati, dikagumi dan berupaya menjadi ‘eminence’ dalam bidangnya.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/