Ahad, 2 Jun 2013

ISU KENEGARAAN : Kampus, asrama tempat terbaik wujud kesatuan nasional

Persefahaman sepasukan dibentuk melalui aktiviti  permainan yang disertai

Oleh : Mohamad Abdullah
 
Apabila Universiti Sains Malaysia (USM) ditubuhkan pada 1969, kepemimpinan universiti pada masa itu memilih konsep desasiswa untuk asrama yang menempatkan mahasiswanya. Desasiswa bermakna menetapkan nilai hidup desa dalam kalangan mahasiswa berteraskan konsep saling memahami, tinggal bersama dan bekerjasama dalam pelbagai aktiviti.

Menariknya ketika itu ialah mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai kaum ditempatkan dalam satu bilik asrama. Mahasiswa tahun pertama diwajibkan untuk tinggal bersama dengan rakan daripada kaum lain, malah agama yang berbeza. Tidak ada masalah yang timbul, malah banyak cerita menarik yang boleh dicungkil ketika itu. Misalnya ada kisah pelajar Cina dan India yang mengejutkan rakan sebilik Islamnya untuk bangun solat Subuh. Ada rakan yang membawa rakannya ke kampung halaman ketika cuti. Penulis sendiri mempunyai rakan sebilik beragama Buddha dan kami sering bertukar fikiran, bertekak dan berdebat mengenai agama dan budaya, tetapi kami saling menghormati.

Malah, pada 1980-an, ada program Rancangan Bersama Desa yang menempatkan tidak lebih 20 orang mahasiswa untuk tinggal selama kira-kira 60 hari sepanjang cuti antara tahun pengajian bagi melakukan aktiviti di kawasan luar dan pinggir bandar termasuk menyelesaikan masalah bersama masyarakat.

Hubungan rapat tanpa masalah

Pelajar pelbagai kaum itu tinggal bersama keluarga angkat. Malah, ada pelajar dari kaum lain secara sukarela menukar nama untuk menyesuaikan dirinya dengan keluarga angkat. Mereka ikut sama ke kebun dan sawah, kenduri kendara, malah sertai apa juga aktiviti sepanjang tempoh masa itu. Hubungan rapat terjalin tanpa masalah walaupun ketika itu politik mengkafir sedang membara.

Malangnya apabila universiti berkembang, bilangan mahasiswa bertambah dan usaha itu makin diabaikan. Kita tunduk kepada tekanan untuk memberikan kebebasan kepada mahasiswa memilih termasuk rakan sebilik mereka selama berada di kampus. Mahasiswa memilih untuk bergaul dalam kelompok sendiri termasuk dalam dewan kuliah. Atas alasan menghormati agama dan budaya juga maka percampuran mahasiswa di asrama kemudian tidak lagi ditekankan.

Tekanan sesetengah pihak yang sensitif dan ekstrem juga mengehadkan usaha seperti ini. Kita melihat aspek kebebasan untuk memilih rakan sebilik, pertentangan pendapat kononnya tidak perlu bercampur pelbagai kaum dan sebagainya akhirnya menjadikan usaha mewujudkan perpaduan melalui desasiswa atau asrama tidak lagi menjadi perhatian utama. Malah untuk pelajar kita tinggal bersama-sama pelajar antarabangsa dalam satu bilik pun agak payah dilakukan atas pandangan yang menganggap bertentangan dengan adat, agama dan budaya dengan kebimbangan mengancam akidah.

Cari kaedah berkesan

Sampai masanya untuk kita mencari kaedah yang berkesan dalam mendekatkan anak muda kita untuk seawal mungkin hidup bersama-sama bagi lebih memahami dan sedia bertoleransi dalam berinteraksi dengan lebih akrab. Asrama perlu menjadi tempat terbaik untuk melatih anak kita hidup bersama-sama dan bergaul apatah lagi merancang dan menjalankan aktiviti yang boleh mendekatkan lagi antara satu sama lain.

Malah aktiviti sosial melalui kegiatan persatuan dan pertubuhan perlu diperkemaskan termasuk untuk mendekatkan anak-anak muda dengan masyarakat. Aktiviti sukarela termasuk projek yang membabitkan masyarakat juga perlu diperkukuhkan. Usaha yang lebih lestari yang berteraskan nilai sejagat perlu difikir dan dilaksanakan.

Antaranya ialah kemungkinan untuk industri dan peniaga mengambil mahasiswa pelbagai kaum sebagai ‘anak angkat’ seawal mereka mendaftar masuk ke universiti. Strategi serampang dua mata yang membolehkan mahasiswa menghayati budaya keusahawanan dan perniagaan serta pada masa yang sama lebih memahami denyut nadi masyarakat terutama di bandar dan pinggir bandar wajar dipertimbangkan.

Proses perpaduan yang disepadukan melalui pendidikan tidak formal tentunya berupaya untuk lebih mendekatkan anak-anak muda kita dengan kehidupan sebenar. Membiarkan mereka membuat pilihan semata-mata atas nama kebebasan tentunya tidak akan banyak membantu proses sosialisasi yang diinginkan negara. Masa depan negara banyak bergantung kepada perpaduan dan kesatuan rakyat. Justeru, usaha mendidik seawal mungkin sebagai sebahagian daripada proses sosialisasi perlu dilakukan secara berterusan.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Perkukuh Bahasa Melayu

Prof Dr Zong Yu menerima  Ijazah Kehormat  Doktor Persuratan dari Universiti Malaya 
NAMA PROFESOR DR. WU ZONG YU mungkin asing bagi kebanyakan kita. Namun semangat dan iltizam beliau sebagai orang pertama yang memperkenalkan Bahasa Melayu di peringkat universiti di China nyata begitu mengagumkan.

Malah tidak keterlaluan jika membandingkan keazaman beliau dengan mereka yang gagal menguasai Bahasa Melayu di negara ini sebagai memalukan.

Pengarah Pusat Pengajian Melayu-China yang berpangkalan di Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing memulakan pengajaran Bahasa Melayu di sana dalam keadaan yang begitu daif tanpa sebarang bantuan malahan buku.

Bagi Zong Yu yang dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya mempelajari Bahasa Indonesia di Peking University pada tahun 1956 dan mula menerima pelajar Bahasa Melayu angkatan pertama pada tahun 1962.

Dalam keadaan yang sukar antaranya kekurangan buku dan tenaga pengajar, Zong Yu sendirian mengkaji dan menyusun bahan pengajaran.

Kini, usaha dan baktinya mengembangkan pengajian Melayu di negara tersebut telah mencecah tempoh 51 tahun dan pada usia 74 tahun beliau masih terus bersemangat dan gigih meningkatkan usaha itu.

Dalam wawancara yang dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan, DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH dan Wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau berkongsi pandangan mengenai keperluan menguasai Bahasa Melayu oleh semua kaum di negara ini.

MINGGUAN : Bagaimana Prof. boleh terlibat dalam pengajaran bahasa Melayu di negara China?

WU ZONG YU : Saya merupakan perintis program bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing yang bermula pada tahun 1961 ketika saya berusia 23 tahun. Pada peringkat awalnya saya diberitahu akan hadir beberapa tenaga pengajar dari Malaya untuk membantu selain dibekalkan buku yang mencukupi. Namun itu tidak berlaku malah saya diberi tugas untuk menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di universiti berkenaan yang juga pertama di negara China. Saya mengajar pelajar saya dan pada masa yang sama juga belajar bersendirian untuk memperbaiki Bahasa Melayu. Saya mesti berdikari untuk mengajar Bahasa Melayu dan semangat inilah yang telah menggembirakan saya sehingga sekarang.

Sehingga lebih 30 tahun iaitu sekitar 1996 menanti barulah tenaga pengajar dari Malaysia sampai. Walaupun Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1974 namun masih tidak terdapat sebarang bantuan dalam pengajaran Bahasa Melayu di China. Buku pertama yang saya terima bertajuk, Sarah pengarang kecil yang juga bersaiz kecil. Peringkat awalnya sangat sukar dan terlalu teruk kerana kami tidak disediakan sebarang buku malah hanya saya seorang yang menjadi tenaga pengajar untuk 16 pelajar pertama kursus berkenaan.

Saya umpama meraba-raba dalam kegelapan kerana keadaan serba kekurangan ini. Dalam keadaan yang amat susah kerana kekurangan buku dan tenaga pengajar, saya bertindak sendirian dalam menyusun bahan pengajaran dan mengkaji sendiri segala ilmu tentang Bahasa Melayu walaupun saya belajar pengajian Bahasa Indonesia sebelumnya. Terlalu banyak ranjau yang saya terpaksa tempuhi dan akhirnya setelah menamatkan kursus yang pertama dua orang pelajarnya telah diambil untuk menjadi pembantu saya.

Saya juga begitu ingin untuk berbual dengan mereka yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu tetapi tidak ada. Ini kerana saya sendiri pun tidak pasti apakah yang saya tutur dan ajarkan pada anak murid itu betul atau tidak kerana tidak pernah berbual atau berbincang apa yang betul dan salah. Malah saya juga hingga ke tahap menyimpan bungkusan plastik gula-gula yang tertera tulisan Melayu kerana begitu ingin melihat dan membaca dalam Bahasa Melayu. Mungkin bagi orang lain ia tidak mempunyai makna tetapi bagi saya ia sangat berharga. Saya tidak akan meletak jawatan mahupun bersara sekarang kerana ia telah menjadi darah daging saya serta tidak mahu mengalah dengan dakwaan bahawa Bahasa Melayu tidak boleh berkembang di China. Tetapi satu perkara yang membuatkan saya berbangga adalah saya mendapat begitu banyak sokongan daripada saudara-saudara Melayu saya di Malaysia untuk meneruskan usaha ini.

MINGGUAN : Bagaimana Prof. melihat keadaan segelintir orang bukan Melayu di negara ini yang tidak ada kesungguhan untuk menguasai Bahasa Melayu?

WU ZONG YU : Bagi saya paling utama adalah tidak perlu dipolitikkan isu Bahasa Melayu ini kerana ia tidak akan membawa sebarang keuntungan. Tetapi jika wujud perasaan perkauman yang menebal dan tidak mahu bersatu dengan bangsa lain ia akan menimbulkan kesukaran. Yang penting kita mesti menggalakkan perpaduan sesama pelbagai bangsa di dalam negara.

Kita juga tidak perlu mengungkit perkara-perkara yang lepas dan apa yang telah dilalui oleh generasi lama perlu dibiarkan. Yang penting sesama generasi muda mereka perlu bersatu padu sesama semua kaum dan perlu menguasai Bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa rasmi di negara ini. Kita perlu mewujudkan pelbagai program dan wacana yang mampu membuatkan generasi muda pelbagai kaum untuk berinteraksi sesama mereka.

MINGGUAN : Bagaimana Prof. melihat terutama generasi muda supaya mengeratkan perpaduan melalui penggunaan bahasa kebangsaan?

WU ZONG YU : Saya melihat generasi muda ini umpama kertas putih yang suci. Mereka berkelakuan baik ketika kecil dan kesilapan generasi tua yang mengakibatkan kertas putih ini bertukar kotor. Jika kita lihat keadaan ketika kanak-kanak masih di tadika yang mana tidak ada satu perasaan perkauman. Saya terfikir alangkah bagusnya jika semangat tanpa perkauman itu kekal sehingga mereka dewasa.

Oleh itu adalah sangat penting untuk kita mengekalkan perasaan harmoni antara semua kaum terutama melalui bahasa. Bagi saya mungkin kertas putih akan diwarnai pelbagai warna apabila semakin dewasa tetapi tidak ada salahnya kerana yang penting ia perlu umpama lukisan yang diwarnai pelbagai warna menarik dan bukan seperti contengan hodoh yang tidak memberi sebarang makna. Bagi saya itulah ibaratnya sebuah perpaduan walaupun berbeza bangsa dan kaum tetapi warnanya tetap menarik jika ia mendapat sentuhan yang betul.

MINGGUAN : Pada pandangan Prof. bagaimana untuk melukis gambaran yang cantik yang Prof. gambarkan umpama warna perpaduan pelbagai kaum?

WU ZONG YU : Semangat ini perlu kekal walaupun setelah tamatnya tadika dan para belia khususnya perlu diberi peluang untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang boleh mewujudkan perpaduan sesama kaum. Paling penting tidak perlu ada sebarang niat untuk mempolitikkan isu bahasa dan kaum kerana ia sangat berbahaya dan boleh mencetuskan perasaan tidak selesa antara kaum. Kita perlu melakukan sesuatu dari sudut perpaduan negara. Saya melihat dari sudut diri saya sendiri. Saya berasal dari negara China dan saya kagum melihat perpaduan kaum di negara ini namun saya tidak akan mencampuri urusan politik di negara ini.

Namun saya melihat lebih kepada hubungan akrab antara dua negara ini yang boleh dikembang dan menjadi rapat. Walaupun saya orang Cina tetapi saya berbangga dapat belajar, mengguna dan kemudian mengajar Bahasa Melayu kepada orang Cina di negara saya. Malah usaha saya ini mendapat sokongan dan pujian dari saudara-saudara Melayu di sini dan saya tidak akan berhenti untuk terus mengajar kerana ia sudah sebati dengan diri saya. Tetapi pada masa yang sama saya juga perlu mendorong untuk mewujudkan perpaduan antara kaum di negara ini bukan kerana saya orang Cina tetapi ia adalah perkara yang sepatutnya dilakukan bukan sahaja di negara ini tetapi di semua negara yang mempunyai pelbagai kaum di dalamnya. Saya menyimpan hasrat supaya penduduk Malaysia bersatu padu di bawah slogan 1Malaysia.

MINGGUAN : Mungkin Prof. melihat ada perkara yang boleh dilakukan untuk mengeratkan hubungan antara kaum?

WU ZONG YU : Saya melihat Bahasa Melayu adalah medium penting dalam mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini. Namun kita perlu mengkaji kenapa hubungan antara kaum yang bermula mesra ketika kecil dan tadika tidak mampu diteruskan di peringkat sekolah dan dewasa. Saya juga melihat kenapa penduduk di negara ini masih tinggal berasingan berasaskan kaum. Contohnya orang Cina di kawasan tertentu manakala orang Melayu dan India pula di kawasan lain. Alangkah bagusnya jika semangat kejiranan pelbagai kaum ini menjadi amalan menyeluruh di negara ini. Memang ia sudah berlaku tetapi usaha perlu dijalankan untuk mengukuh persaudaraan berasaskan semangat kejiranan yang tinggi antara pelbagai kaum.

Ini adalah antara perkara yang kita boleh bincangkan secara ilmiah dan bagaimana cara kita boleh selesaikannya. Jika di waktu kecil mereka boleh ‘tenggelam’ dalam satu persahabatan erat, kenapa ia tidak boleh diteruskan sehingga mereka dewasa. Saya tertarik dengan keadaan yang saya lihat di Kelantan ketika berkunjung ke negeri itu lebih kurang 20 tahun lepas. Ada sebuah kampung berhampiran Sungai Kelantan yang saya tidak ingat namanya dan mereka mempunyai semangat perpaduan antara kaum yang sangat tinggi dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Saya lihat ada beberapa buah rumah yang dihuni orang Cina tetapi mereka hidup berjiran dengan semangat perpaduan yang tinggi dengan jiran mereka yang majoritinya orang Melayu. Penduduk Cina ini begitu menghormati terutama dari sudut pemakanan dan tahu yang mana halal dan haram. Perkara sebeginilah yang perlu ditekankan supaya semua orang boleh menghormati antara satu sama lain supaya keharmonian dan perpaduan akan menjadi lebih kukuh dan ikhlas.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 28 Mei 2013

ISU PENDIDIKAN : Guru jangan menongkah arus


PUTRAJAYA 28 Mei - Para guru diingatkan agar tidak menongkah arus dengan mengambil langkah menyongsang dalam isu membabitkan dasar pendidikan negara kerana tindakan itu hanya akan merugikan generasi muda dan diri sendiri.

Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata, ingatan tersebut dibuat kerana pelaksanaan setiap dasar pendidikan negara adalah berada di atas bahu setiap guru.

Menurut beliau, golongan itu seharusnya memastikan segala tugas pembelajaran dan pengajaran yang sedang serta bakal mereka laksanakan menepati visi dan misi negara.

''Pihak kerajaan selaku penggubal dasar telah menjana dasar-dasar yang utuh dan bersepadu dalam usaha merekayasakan sistem pendidikan negara melalui Pelan Transformasi Pembangunan Pendidikan Negara (PTPPN) 2013-2025.

''Saya ingin mengingatkan kepada semua guru bahawa sistem pendidikan negara kini sememangnya sudah berada di landasan yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ketiga Institut Pendidikan Guru (IPG) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Seramai 779 graduan IPG menerima ijazah masing-masing dalam majlis tersebut.

Mengulas lanjut Abdul Ghafar berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru untuk merungkai cabaran dunia pendidikan yang kini dilihat semakin rumit dan kompleks.

Malah, beliau menambah, tanggungjawab itu juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam usaha mencapai Wawasan Pendidikan Negara menjelang tahun 2020.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tanggungjawab guru era globalisasi


Oleh : DR AMINUDIN MANSOR

Seorang guru adalah pendidik, pembimbing dan pengajar di dalam kelas. Sekali gus, guru juga bertugas membabitkan murid dan pelajar di sesebuah sekolah. Guru juga bertanggungjawab terhadap masalah disiplin, kedatangan, kelakuan dan budi pekerti pelajar. Jelasnya, guru adalah orang terpenting di setiap sekolah.

Guru pendidik yang mendidik akal budi murid dan pelajarnya adalah pendidik yang memahami tugasnya sebagai guru. Mendidik akal budi menjurus kepada kecemerlangan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan akhlak serta budi pekerti pelajar itu sendiri.

16 Mei  adalah hari mengingati jasa dan pengorbanan guru.

Kualiti yang kita harapkan daripada guru-guru ini pastinya tidak terhad kepada kualiti akademik semata-mata. Guru yang berkualiti harus bijak mengadunkan ilmu dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan dan jelas kepada pelajarnya. Penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) seperti internet, gambar berkesan dan penyampaian menarik akan menjadikan seseorang guru itu diminati dan disanjung tinggi.

Pengajaran adalah apa yang disampaikan oleh guru, manakala pembelajaran apa yang diterima oleh murid dan pelajarnya. Jika pengajaran tidak berkesan, murid atau pelajar tidak akan menerima pembelajaran yang baik dan berkesan. Kini, segulung ijazah, atau diploma yang dimiliki oleh guru mesti dilengkapkan dengan ilmu pendidikan dan pengalaman mengajar yang meluas.

Ilmu yang diperoleh itu perlu diberikan tambah nilai dari semasa ke semasa. Kaedah P&P yang dipelajarinya hari ini mungkin sudah tidak relevan lagi dua atau tiga tahun akan datang. Oleh itu, melalui pembacaan, kursus dan juga perbincangan antara guru akan dapat meningkatkan P&P di sesebuah sekolah.

Bagaimanapun tugas dan  peranan utama guru untuk mendidik anak bangsa yang berilmu pengetahuan, berbudi pekerti, bersemangat waja serta mampu bersaing harus dikekalkan sampai bila-bila. Perubahan masa hanya menukarkan kaedah pelaksanaannya, tetapi tidak kepada peranan hakiki guru.

Guru berkualiti juga harus bijak menangani konflik dan tekanan sepanjang kerjayanya serta dalam  masa sama memenuhi sedaya mungkin harapan masyarakat yang mahukan mereka menghasilkan generasi boleh diharap meneruskan kecemerlangan negara. Guru juga mesti mampu membimbing murid dan pelajar ke arah kecemerlangan akal dan budi.

Sebagai guru berkualiti, mereka juga seharusnya tidak tunduk dengan desakan dan tekanan serta keghairahan masyarakat kini yang begitu tergoda dengan pencapaian akademik, sedangkan nilai-nilai murni anak-anak ini semakin hari semakin nipis.

Keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan akhlak mestilah ditumpukan dalam P&P di dalam kelas dan sekolah.

Konflik keyakinan masyarakat terhadap mutu guru dan sistem persekolahan juga memerlukan guru berkualiti untuk menanganinya secara bijak. Bagaimanapun, guru tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam memikul tanggungjawab berat ini.

Pembentukan sesebuah generasi dalam sesebuah negara adalah tanggungjawab individu itu sendiri dan juga masyarakat secara keseluruhan. Pada masa kini, ahli masyarakat seakan membiarkan guru sahaja atasi permasalahan ini.

Sebagai ahli masyarakat, iaitu ibu bapa kepada murid dan pelajar, kita harus memberi sokongan padu kepada guru dari segi kebendaan, ganjaran terhadap guru perlu dinilai dari semasa ke semasa supaya setimpal dengan peranan dan tugas mereka. Dari segi bukan kebendaan pula, menghargai jasa dan pengorbanan guru adalah sumbangan yang perlu diberikan oleh semua orang.

Kita mempunyai ramai guru yang bukan sahaja berkualiti intelek dan ilmunya, tetapi juga berkualiti daripada segi rohaninya. Guru yang sudah lama mengajar mestilah mempunyai pengalaman luas yang seharusnya dipelajari dan diteladani oleh guru-guru baru. Sebab itu, guru akan berusaha memastikan anak muridnya berjaya dengan cemerlang di dalam pelajaran. Contoh dan teladan daripada guru berkaitan akhlak dan rohani akan menjadi ikutan murid dan pelajarnya.

Nama pun “cikgu”, mereka tidak akan puas jika anak muridnya tidak memahami apa yang diajar. Panggilan keramat ini amat sesuai dipadankan dengan tugasnya yang mencabar. Guru adalah arkitek bangsa yang berjasa. Panggilan ini akan kekal sepanjang hayat, mati pun masih dipanggil “cikgu”.

Jika ditinjau, apabila ada waktu terluang, seorang guru, tanpa mengira duit akan mengadakan kelas tambahan. Kegiatan kokurikulum sebenarnya banyak mengambil masa dan wang ringgit. Oleh sebab sudah menjadi tanggungjawab, hal ini jarang dirungutkan oleh guru. Bagai lilin yang menyala, dan kemudian membakar dirinya, guru tetap bertanggungjawab memberikan pendidikan yang terbaik bagi mewujudkan masyarakat berilmu.

Selamat Hari Guru untuk semua pendidik anak bangsa!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/(16 MEI 2013)

Tan Sri Ainuddin Wahid Meninggal Dunia

Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid

KUALA LUMPUR : Tokoh pendidikan Tan Sri Ainuddin Wahid, 83, meninggal dunia di kediamannya di sini Selasa kerana sakit tua.

Anak sulung Allahyarham, Saifudin, 53, berkata ayahnya meninggal pada pukul 5.25 petang di rumahnya di No 3, Jalan 7, Taman Tunku Abdul Rahman (TAR), Ampang. Selain Saifudin, Allahyarham turut meninggalkan seorang anak perempuan, Aida. Isterinya, Puan Sri Rahmah Abdul Hamid meninggal dunia pada 1989.

Ainuddin, naib canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memainkan peranan penting dalam mentransformasi Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) kepada Institut Teknologi Kebangsaan pada 1972, sebelum dinaik taraf kepada UTM tiga tahun kemudian.

Beliau memegang jawatan Naib Canselor UTM sejak 1975 hingga bersara pada 1989.

Ainuddin merupakan anak Melayu pertama dilantik sebagai pengetua MTKL pada 1969. Allahyarham, anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu turut dikenali sebagai 'orang kuat' di sebalik penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersama rakan senegerinya Allahyarham Aminuddin Baki, seorang lagi tokoh pendidikan negara.

Ainuddin lulusan Sarjana Muda Sains dalam bidang kejuruteraan dari Bristol University, United Kingdom pada 1956, dan kemudian mengambil ijazah lanjutan dalam bidang trafik dan kejuruteraan jalan raya di Ohio State University, Amerika Syarikat pada 1962 dengan dianugerahkan Fellowship dari International Road Federation Amerika Syarikat. Sekembalinya dari United Kingdom pada 1957, Ainuddin bertugas sebagai pembantu jurutera dengan Jabatan Kerja Raya.

Setelah menyelesaikan pengajian lanjutan di AS pada 1962, beliau dilantik sebagai pembantu jurutera untuk Lebuhraya Persekutuan Sungai Way-Klang selama setahun sebelum dinaikkan ke jawatan jurutera eksekutif kanan pada 1965.

Pada 1969 dilantik sebagai pengetua MTKL, dan apabila MTKL dijadikan institut, beliau dilantik rektor pertamanya pada 1972 dan kemudian sebagai Naib Canselor pertama UTM pada 1975.

Ainuddin, anak seorang guru besar, dibesarkan neneknya setelah kematian ibunya ketika Ainuddin berusia sembilan tahun.Beliau pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pelajar Malaya dan Singapura di Bristol pada 1953 hingga 1955, dan merupakan ahli majlis Institut Kejuruteraan Malaysia pada 1975 hingga 1977.

Di sektor swasta, beliau pernah menjadi Pengarah Sapura Telecommunications Bhd (Sapura Telecoms) dan Pengarah Cement Industries of Malaysia.

Beliau juga merupakan pemegang gelaran Doktor Kehormat dari University of Strathclycle, Glasgow, United Kingdom; Doktor Kehormat Pendidikan Universiti Malaya; dan Doktor Kehormat Kejuruteraan UTM.

Pada tahun 2000, Ainuddin dinamakan Tokoh Ma'al Hijrah 1421.

Sebuah biografi mengenai beliau turut diterbitkan pada September 2011 bertajuk "Ainuddin: Pejuang Degil Melayu" yang ditulis oleh Datin Seri Fatini Yaacob dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan penubuhan "Ainuddin Wahid Endowment Fund" dengan dana RM10 juta bagi membiayai pelajar peringkat doktor falsafah di UTM untuk tempoh lima tahun. -BERNAMA

ISU BAHASA : Baha Zain Terima Anugerah Sasterawan Negara Ke-12

DATUK DR BAHARUDDIN ZAINAL

KUALA LUMPUR : Bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain malam ini menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada Baharuddin.

Beliau menerima wang tunai RM60,000, watikah Sasterawan Negara Ke-12 selain kemudahan berkarya.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-12.

Muhyiddin dalam ucapannya menyifatkan Baha Zain sebagai seorang penulis yang amat prolifik dalam genre puisi dan kritikan sastera.

"Semoga anugerah yang diberikan ini akan menyuntik semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan menyumbangkan buah fikiran ke arah pembangunan bangsa dan sastera kebangsaan," katanya.

Pada 15 Mac lepas, Muhyiddin mengumumkan Baharuddin sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan serta sumbangan berterusan beliau dalam seni kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Antara karya Baha Zain, 74, ialah puisi Topeng-Topeng (2003), Dari Kertas Catatan Tengah Malam (DBP, 1978) dan Tiga Catatan Perjalanan (DBP, 1980).

Puisi-puisi beliau antaranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Russia dan Sepanyol.

Baharuddin juga pernah menerima Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan Gapena (2008), dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM (2010), dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011).

Anugerah Sasterawan Negara merupakan anugerah tertinggi negara kepada sasterawan.-BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Sekolah Cempaka terima Trofi Piala Dunia daripada TPM


PUTRAJAYA - Sekolah Cempaka Malaysia (CSM), yang muncul sebagai johan keseluruhan bagi tahun kelima berturut-turut pada Sukan Pendidikan Dunia (WEG) menerima trofi Piala Dunia daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran I, dalam ucapan di majlis penyampaian di pejabatnya di sini, memuji CSM atas pencapaian itu dan berkata kejayaan berulang oleh CSM membuktikan pelajar Malaysia boleh menjadi johan dunia.


"Dengan memenangi sembilan trofi dunia dalam tempoh lima tahun, Cempaka telah mencipta reputasi akademik yang kukuh, pada tandaras antarabangsa.

"Ia sebuah sekolah kelas antarabangsa, menewaskan pesaing 5.1 juta kanak-kanak dari 30,000 sekolah, dari lebih 226 negara di serata dunia," kata beliau. 

Beliau berharap kejayaan CSM akan memberi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain di tanah air.

Muhyiddin juga menghadiahkan dua lagi trofi - World Literacy dan World Science.

Kesemua tiga trofi diterima oleh pengasas CSM Datuk Freida Mohd Pilus.

Turut hadir ialah dua timbalan menteri pelajaran, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P.Kamalanathan; serta Pengurus Serantau 3P Learning Australia, Paul Mc Mahon, penganjur pertandingan itu. 

Pertandingan terbesar dunia secara online itu yang disokong UNICEF berlangsung dari 5 hingga 7 Mac dalam tiga kategori - literasi, matematik dan sains.

Ia menyaksikan 23 pelajar dari CSM mencapai kedudukan 10 teratas, termasuk Daniel Muhammad Syafiq yang memenangi juara 'Champion of Champions' meliputi ketiga-tiga kategori.

Daniel memenangi tempat teratas bagi kategori sains, kedua dalam literasi dan kesembilan dalam matematik. - Bernama