Isnin, 2 September 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Jangan pandang enteng IPTS


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Antara isu yang menjadi polemik di negara ini ialah arah tuju dan penempatan pelajar matrikulasi di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan selepas menamatkan pengajian.

Berbanding program sijil, diploma atau ijazah, isu matrikulasi boleh dianggap sensitif apatah lagi baru-baru ini timbul rungutan pelajar matrikulasi tidak mendapat tempat melanjutkan pengajian meskipun memperoleh keputusan cemerlang.

Meskipun kerap dilontarkan tanggapan tertentu mengenai matrikulasi, pendidikan prauniversiti ini tetap dianggap penting dan berprestij serta menjadi penanda aras kepada pelajar.

Justeru, sejauh mana peranan matrikulasi dalam memperkasakan lagi sistem pendidikan negara?

Dan, jika terus diselubungi kontroversi, apakah matrikulasi terus relevan?

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Dr Mazliham Mohd Su’ud, berkata kemasukan ke matrikulasi adalah sebahagian usaha kerajaan memberi peluang pelajar mendapat pendidikan terbaik.

Beliau berkata, matrikulasi antara platfom yang membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya sekali gus mempersiapkan mereka dengan ilmu diperlukan.

“Program matrikulasi adalah salah satu akses diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan ini membuat pilihan belajar.

“Sistem pendidikan dan pembelajaran negara kita yang terbuka tidak membataskan peluang sesiapa pun sama ada layak atau tidak melanjutkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata, selain diploma dan sijil kemahiran, matrikulasi antara pilihan utama pelajar melanjutkan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Semua peluang ditawarkan ada kepentingan masing-masing dalam sistem pendidikan tinggi negara bagi mencapai keputusan jangka panjang.

“Tapi, yang perlu diperbetulkan ialah tanggapan bahawa matrikulasi adalah antara program yang gah berbanding sijil kemahiran atau diploma.

“Walaupun memasuki matrikulasi memerlukan keputusan cemerlang, usah anggap ia satu-satunya pilihan menjejak kaki ke universiti,” katanya tidak menafikan ada pelajar matrikulasi meskipun memperoleh keputusan cemerlang tetapi gagal meneruskan pengajian di menara gading.

“Sebenarnya tiada jaminan pelajar matrikulasi boleh memperoleh tempat kerana semua tertakluk pada syarat tertentu.

“Justeru, ada pihak terkejut dan kecewa apabila mereka tidak terpilih melanjutkan pengajian di IPTA.

“Senario ini berlaku kerana ada yang tidak faham bahawa memperoleh keputusan cemerlang tidak semestinya memperoleh tempat di IPTA,” katanya.

Namun, beliau berpendapat ia bukan penamat kepada masa depan pelajar kerana banyak lagi IPT mampu menawarkan tempat.

“Kita tidak boleh menyalahkan pelajar sepenuhnya atas kekecewaan itu sebab mereka yakin ada keputusan yang layak.

“Tapi, apabila gagal mendapat tempat, tidak bermakna ‘riwayat’ belajar akan tamat. Ada banyak IPT lain mampu memberikan tempat.

“Tidak perlu berharap kepada IPTA semata-mata. Kita perlu akur sejauh mana kemampuan IPTA menawarkan tempat,” katanya.

Justeru, pelajar matrikulasi yang tidak terpilih boleh melanjutkan pengajian di IPTS.

“Saya tahu, ramai yang masih berpandangan skeptikal kepada IPTS kerana dikatakan tidak setaraf IPTA sebaliknya lebih bermotifkan keuntungan.

“Ia pandangan lapuk kerana IPTS kini setanding IPTA bagi membina masa depan dalam pembelajaran,” katanya.

Katanya, bukan institusi yang mencorakkan kejayaan pelajar tapi diri sendiri.

“Buangkan persepsi kolot sebab jika terus terbelenggu dengannya, kita akan jadi golongan yang rugi,” katanya.

UniKL tidak ketinggalan menawarkan tempat kepada pelajar matrikulasi yang tidak mendapat tempat melanjutkan pengajian.

Dengan reputasi yang dicapai UniKL, ramai pelajar mempunyai keyakinan tinggi dan mengakui sistem pembelajaran ditawarkan antara yang terbaik.

“Penawaran ini sejajar misi UniKL untuk melaksanakan tanggungjawab nasional kepada pelajar juga negara.

“Ada pelbagai program ditawarkan dan semuanya mengikuti kehendak industri,” katanya.

UniKL masih menawarkan tempat dalam semua program ijazah sarjana muda kecuali perubatan kepada pelajar matrikulasi yang masih belum mendapat tempat.

Pengambilan ini khas untuk pelajar matrikulasi dan borang permohonan perlu dihantar sebelum 15 September ini.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 478,848 Calon UPSR Duduki Peperiksaan Tahun Ini


KUALA LUMPUR : Seramai 478,848 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 akan menduduki peperiksaan bertulis mulai 10 hingga 12 September ini di 8,268 pusat peperiksaan di seleruh negara.

Kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia pada Isnin menyebut, daripada jumlah itu, 469,882 adalah pelajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 lagi dari sekolah swasta yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu.

"Seramai 49,117 petugas peperiksaan telah dilantik dan calon diingatkan untuk merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi," katanya.

Menurut kenyatan itu, jadual waktu peperiksaan telah diedar ke sekolah dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat  http://www.moe.gov.my/lp.

"Calon diingatkan untuk membawa kad pengenalan ke pusat peperiksaan bagi memastikan urusan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Persoalan jenayah


Oleh : Mior Kamarul Shahid
 
Pada tahun 1960-an, malah lebih awal daripada itu, sesiapa yang buat kali pertama datang ke bandar-bandar besar khasnya di Kuala Lumpur, sering diingatkan supaya menjauhkan diri daripada kumpulan atau geng samseng. Ketika itu perkataan 'pau' sering disebut-sebut kerana jika anggota kumpulan samseng ini melihat muka baru, mereka akan peras ugut supaya membayar 'pau'.

‘Pau’ bermaksud bayaran yang dikenakan kepada individu tertentu bagi mengelakkan mereka diganggu oleh kumpulan samseng. Pau juga dikenakan kepada peniaga kedai, pengusaha restoran dan sesiapa juga yang mereka anggap memerlukan perlindungan. Bagi mangsa, mereka dikenakan pau setiap hari, minggu atau bulan. Disebabkan takut dan tidak mahu menimbulkan masalah, mereka membayar sejumlah wang kepada kumpulan ini mengikut persetujuan walaupun tahu tugas melindungi keselamatan adalah kerja pihak polis. Bagi yang enggan membayar pau, perniagaan atau urusan mereka sering diganggu.

Kegiatan seperti itu masih wujud hingga ke hari ini. Kumpulan yang melakukan peras ugut itu diwarisi ahli-ahli mereka dan terus aktif hingga ke hari ini. Mereka adalah antara 49 kumpulan kongsi gelap dan samseng yang didedahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Khamis lalu. Kongsi gelap ini bergerak di bandar-bandar utama yang bermatlamat untuk mendapatkan wang dengan melakukan jenayah seperti peras ugut, menyamun, merompak, malah membunuh dan sebagainya.

Hanya kerana wang

Kegiatan pinjaman tidak berlesen atau ah long mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan kongsi gelap ini. Kumpulan ini juga bergerak di rumah pelacuran, pusat perjudian dan sindiket dadah. Kebanyakan mereka ini adalah individu yang keras dan kering hati dan tidak takut untuk melakukan jenayah. Sebahagian besar mereka pernah masuk penjara kerana melakukan pelbagai kegiatan jenayah daripada menyeluk saku hinggalah kepada menyamun dan merompak menggunakan senjata api. Mereka inilah juga kumpulan yang mengambil upah untuk melakukan jenayah berat untuk membunuh sesiapa juga. Mereka sanggup melakukan apa saja kerja kerana wang. Kumpulan yang dikenali dengan pelbagai nama, seperti diumumkan oleh KDN, mengawal kawasan atau zon mereka.

Jika ada kumpulan lain yang cuba menceroboh kawasan mereka, kumpulan itu akan menentangnya. Menceroboh kawasan bermaksud kumpulan lain melakukan kegiatan di tempat yang sudah dikuasai oleh sesebuah kumpulan lain. Jika keadaan ini berlaku akan menyebabkan pergaduhan sesama kumpulan dan berlaku pertumpahan darah. Pada awal 1960-an, ahli kumpulan samseng dan kongsi gelap ini mudah dikenali.

Cara berpakaian, fesyen rambut mereka dan ciri-ciri samseng yang mereka paparkan, memudahkan mereka dikenali. Bagi filem Melayu, watak Sazali dalam cerita Anakku Sazali menunjukkan ciri-ciri kumpulan samseng di Singapura ketika itu. Di Kuala Lumpur, sekitar kawasan Jalan Chow Kit dianggap kawasan yang dikawal oleh kongsi gelap orang Melayu, Sentul orang India dan Pudu dan Kepong pula dikuasai orang Cina.

Pada waktu itu, seseorang tidak boleh merenung atau memandang orang lain tanpa berkelip mata kerana perbuatan itu dianggap mencari padah. Untuk mengelak terjerat kepada kumpulan itu, seseorang perlu mengelakkan diri daripada mempunyai hubungan dengan mereka. Jika rapat dengan mereka, tidak dapat dielakkan akan mengikut ke mana saja mereka pergi secara rela atau paksaan. Buat permulaan, mereka akan dibawa ke kelab malam, ke bar dan sebagainya sebagai tarikan Apabila sudah ketagih, mereka perlu mencari wang dan akhirnya menganggotai kumpulan kongsi gelap ini. Terbukti, kumpulan kongsi gelap dan samseng ini bukan saja terus hidup tetapi menular hingga ke sekolah. Setiap kumpulan ada nama dan simbol masing-masing. Jika terserempak mereka memberi isyarat masing-masing. Mereka yang terjebak dalam kumpulan ini berpotensi menjadi penjenayah besar.

Tuntut tindakan tegas kerajaan

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini ada seramai 28,926 ahli kongsi gelap membabitkan kaum India, Cina (8,214), Melayu (1,923) dan selebihnya pelbagai kaum dan etnik di Sarawak dan Sabah yang menyumbang jumlah keseluruhan 40,313 ahli di seluruh negara. Daripada 49 kumpulan itu, 28 beroperasi di Semenanjung, 16 di Sarawak dan lima kumpulan lagi di Sabah yang menguasai sebahagian besar aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.

Daripada perangkaan diberikan ini menunjukkan PDRM mempunyai maklumat terperinci mengenai kumpulan dan kegiatan mereka. Apabila berlaku sesuatu kegiatan jenayah, polis sudah boleh mengesyaki kumpulan mana yang melakukannya. Polis mudah mendapat maklumat kerana sesiapa saja anggota kumpulan itu yang ditangkap akan diminta bekerjasama untuk memberi maklumat yang diperlukan.

Isunya ialah walaupun kumpulan ini sudah dikenal pasti, mengapakah tindakan menghapuskan kegiatan mereka sukar dilakukan. Jawapan yang sering didengar ialah tiada keberanian daripada pihak berkuasa. Mereka tahu rumah pelacur, tetapi kegiatan itu terus beroperasi di tempat sama. Walaupun serbuan dan tangkapan dibuat, keesokannya perniagaan haram itu berjalan seperti biasa. Siapakah pula yang melindungi mereka?

Kebelakangan ini terlalu banyak kegiatan jenayah yang berlaku menyebabkan tindakan drastik terpaksa dilakukan. Operasi Cantas yang dijalankan sekarang ini membuktikan sama ada pihak berkuasa serius atau tidak untuk menghapuskan kegiatan jenayah di negara ini. Persoalan sama ada masalah jenayah boleh dihapuskan daripada bumi negara hanya boleh dijawab jika pihak berkuasa serius mengenainya.

Beberapa negara di dunia ini berjaya menjadikan negara mereka  bebas daripada kegiatan jenayah yang berleluasa meskipun satu ketika dulu kadar jenayah begitu tinggi. Diharapkan dengan tindakan tegas kerajaan, Malaysia akan menjadi sebuah lagi negara di dunia ini bebas daripada kegiatan jenayah secara berperingkat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 31 Ogos 2013

ISU KENEGARAAN : Kemerdekaan penuh bermakna


Oleh : NIZAM YATIM

TARIKH 31 Ogos 1957 yang ulang tahunnya disambut hari ini cukup bermakna bagi rakyat negara ini kerana ia menandakan kita telah bebas daripada cengkaman penjajah British.

Detik kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diputuskan pada tanggal tarikh berkenaan selepas Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan beberapa pemimpin UMNO lain meminta pandangan Mufti Pulau Pinang ketika itu yang juga ahli falak, Sheikh Abdullah Fahim.

Menurut Sheikh Abdullah, sekiranya Inggeris tidak memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka tarikh lain yang bersesuaian adalah pada 31 Ogos 1962.

Beliau memilih dua tarikh itu kerana mengikut kiraan hisabnya kedudukan beberapa gugusan bintang dan planet yang penting jelas kelihatan di angkasa Persekutuan Tanah Melayu, khususnya di Kuala Lumpur sebaik sahaja selepas Maghrib sehingga masuk tengah malam tarikh kemerdekaan berkenaan.

Pada tarikh-tarikh berkenaan, jelas kelihatan Buruj Dacing, Buruj Kapal Layar, Buruj Anak Dara dan Buruj Kala Jengking serta planet Musytari dan Zuhrah.

Perkara itu jarang-jarang berlaku dan mengikut firasatnya, fenomena berkenaan dapat memberikan kekuatan yang cukup kepada pemimpin dan rakyat untuk membangunkan negara yang baharu merdeka.

Dalam pada itu, banyak negara-negara lain yang turut mencapai kemerdekaan seperti negara kita terutama selepas Perang Dunia Kedua yang menyaksikan penjajah Eropah berundur daripada jajahan takluk mereka khususnya di benua Afrika.

Cukup menarik, banyak juga negara yang memilih untuk merdeka pada bulan Ogos sama seperti negara kita. Antaranya adalah negara-negara di benua Afrika.

Malah sebuah negara kepulauan di utara benua Amerika Selatan iaitu Trinidad and Tobago turut memilih tarikh 31 Ogos untuk merdeka pada tahun 1962.

Pada hari ini, negara kaya berkenaan yang mempunyai 1.3 juta penduduk turut merayakan ulang tahun ke-51 kemerdekaannya daripada penjajah British.

Pada 1991, banyak negara bekas Kesatuan Soviet (USSR) turut memilih untuk merdeka pada Ogos dan ia termasuk Kyrgyzstan (21 Ogos), Belarus (25 Ogos), Moldova (27 Ogos) dan Azerbaijan (30 Ogos).

Turut berkongsi bulan kemerdekaan yang sama dengan kita adalah negara jiran iaitu Singapura pada 9 Ogos 1965 dan Indonesia, 17 Ogos 1945.

Berbanding negara ini dan Singapura yang kemerdekaan diperoleh melalui perundingan, Indonesia hanya berjaya merdeka daripada penjajahan Belanda setelah berlakunya pertumpahan darah.

Sementara itu, menyentuh mengenai sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 kali ini yang bertemakan 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku', orang ramai pada pagi ini akan menyaksikan perarakan seperti kebiasaannya.

Bagaimanapun, pada tahun ini, perarakan yang melibatkan 16,000 peserta akan lebih banyak memaparkan kelengkapan ketenteraan sebagai bukti kepada rakyat dan dunia bahawa kita bersedia mempertahankan negara sehingga ke titisan darah terakhir.

Ia juga bertujuan mengingatkan rakyat bahawa kemerdekaan negara ini tidak diperoleh secara mudah, ibarat yang pipis datang melayang, yang bulat datang bergolek, sebaliknya ia dicapai melalui pengorbanan semua pihak dan sehubungan itu perlu dipertahankan sampai bila-bila.

Satu perkara lain yang tidak dapat dielakkan setiap kali diadakan sambutan kemerdekaan, sudah pasti akan berlaku kesesakan jalan raya terutama di ibu kota.

Kesesakan itu bukan sahaja pada hari perarakan, malah juga berlaku beberapa hari sebelumnya apabila jalan ditutup bagi memberi laluan kepada persiapan, latihan serta acara sebenar perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan.

Antara jalan yang kebiasaannya ditutup adalah Jalan Travers, Jalan Mahameru, Jalan Damansara, Jalan Perdana, Bulatan Hishamuddin, Jalan Cenderasari, Jalan Kinabalu, susur Bukit Aman dan Jalan Raja.

Penutupan jalan biasanya bermula pada pukul 6 pagi dan hanya akan dibuka semula setelah acara tersebut berakhir.

Selain itu, sikap penonton yang suka membuang sampah juga sering mencemarkan sambutan kemerdekaan negara. Oleh itu, bagi mengelak masalah itu berulang khususnya yang membabitkan kesesakan jalan raya, mungkin sudah sampai masanya diadakan sambutan di tempat tertutup seperti stadium.

Kita yakin sambutan di tempat sedemikian tidak akan menjejaskan matlamat acara itu yang mahu meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-68 Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia pada 17 Ogos lalu yang diadakan di tempat tertutup iaitu di Istana Presiden di Jakarta yang dihadiri oleh Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono sudah pasti wajar dijadikan contoh.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Cabaran meniti masa depan


Oleh :  Shahbudin Embun

Beberapa hari lalu sudah kedengaran lagu tema Hari Kebangsaan 2013. Logo Hari kebangsaan 2013 pun sudah banyak terpampang di merata tempat. Apa yang pasti, kontroversi tahun lepas tentang lagu dan logo Hari Kebangsaan tidak lagi berulang.

'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' terus menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-56. Penulis amat bersetuju dengan tema yang dipilih untuk tahun ini. Tema ini berasaskan kepada semangat patriotik dan kesatuan negara bangsa serta memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya bersatu mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman musuh.

Apabila membincangkan tentang tema kali ini, penulis terus terbayang akan insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna. Banyak yang kita boleh pelajari daripada insiden tersebut dan pastinya yang paling penting ialah kita tidak boleh kompromi dalam soal kedaulatan dan keselamatan negara.

Itu sebabnya tema 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' sememangnya tepat dan amat sesuai sekali untuk Hari kemerdekaan 2013. Sekarang, apa yang lebih penting ialah sejauh mana kita sebagai rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan hari ini.

Penulis ingat ketika kecil dahulu, apabila masuk sahaja bulan Ogos, bahang sambutan menyambut Hari Kemerdekaan sudah mula terasa. Ketika itu tidak sabar rasanya untuk melaungkan Merdeka pada setiap 31 Ogos.

Tetapi agak sukar untuk merasainya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mungkin ini disebabkan oleh peredaran zaman yang menyaksikan kita semua sibuk dengan tugas harian. Tetapi itu bukannya alasan untuk kita tidak menghiraukan langsung akan Hari Kemerdekaan kita.

Penulis yakin masih ramai antara kita yang prihatin akan perkara ini, ketika ini juga, kita akan melihat pelbagai artikel tentang kemerdekaan sudah terpapar di semua akhbar. Dan kita juga akan melihat pelbagai aktiviti yang sudah dirancang dan bakal dilaksanakan pada Hari Merdeka ini dan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September nanti.

Kita juga akan terus ditanya persoalan yang sama. Sejauh manakah cintanya rakyat Malaysia kepada negara berdaulat ini? Adakah hanya ditunjukkan ketika masuknya bulan kemerdekaan dan dilupakan selepas menyambut Hari Malaysia nanti?

Bagaimana pula dengan generasi hari ini. Sekali lagi perbincangan dan persoalan yang sama akan diutarakan. Kenapa generasi hari ini seperti tidak tahu menghargai semangat kemerdekaan dan tidak ambil kisah tentangnya. Adakah generasi hari ini tidak memiliki semangat patriotik yang tinggi?

Sememangnya perbincangan dan persoalan seperti  ini memang bagus untuk kita-sama-sama membincangkannya. Namun janganlah hanya diperkatakan semasa hendak menyambut kemerdekaan sahaja.

Perkara seperti ini mesti dilaksanakan dan terus dibincangkan secara konsisten dan berterusan agar generasi hari ini dan pada masa akan datang tahu betapa pentingnya semangat patriotisme yang mesti terdapat di dalam diri kita semua.

Sama juga halnya dengan pengibaran Jalur Gemilang. Baru-baru ini ketika menyempurnakan Majlis Pengibaran Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan di Dataran Zero Kilometer, Jam Besar Sungai Petani, Kedah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik atau hanya sebagai satu keperluan untuk menyambut sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Najib menegaskan usaha tersebut mestilah disusuli dengan penghayatan dan pengorbanan untuk mendapatkan kemerdekaan yang dihasratkan.

Rakyat Malaysia mestilah mengibarkan Jalur Gemilang dengan rasa bangga dan megah bahawa bendera ini melambangkan identiti jati diri rakyat Malaysia yang kuat semangat patriotik dan cintakan tanah airnya.

Penulis amat bersetuju dengan saranan Perdana Menteri yang tidak mahu Jalur Gemilang dikibarkan tanpa membawa apa- apa pengertian. Semasa kita mengibarkan Jalur Gemilang, berapa ramai di antara kita yang tahu akan latar belakang bendera yang menjadi kebanggaan kita itu.

Kita marah apabila Jalur Gemilang dikoyak dan dibakar, tetapi berapa ramai antara kita yang betul-betul  faham akan falsafah dan pengertian yang terdapat pada setiap warna, jalur, anak bulan dan bintang yang terdapat pada Jalur gemilang. Jika ada di antara kita yang masih tidak tahu, belum terlambat untuk kita menghayati dengan lebih mendalam akan pengertian di sebalik Jalur Gemilang.

Tahun 2013 juga menandakan Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-56. Jika umur 56 dijadikan ukuran dan disamakan dengan manusia, maka pada kebiasaannya seseorang yang berumur 56 tahun itu, sudah kaya dengan pengalaman dan lebih matang serta sudah berjaya dalam bidang yang diceburi. Dalam hal ini, negara kita Malaysia, boleh dianggap sebagai sebuah negara yang semakin berjaya dan semakin hari bertambah kemakmurannya.

Contohnya, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan oleh Najib , sedang bergerak dengan lancarnya. Perdana Menteri pernah menjelaskan bahawa Perancangan dan pelaksanaan GTP dan ETP ini bukan sahaja membuktikan iltizam kerajaan untuk membangunkan negara, tetapi juga merupakan satu eksperimen paling berani kerajaan dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap rakyat.

Melalui GTP dan ETP ini rakyat boleh menilai prestasi kerajaan menerusi laporan tahunan dan berkala yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Ini adalah wawasan dan misi Najib untuk melihat Malaysia terus cemerlang. Pada masa yang sama, kita juga perlu sesekali menoleh ke belakang untuk menghargai jasa yang dicurahkan oleh ramai para pemimpin sebelumnya yang memastikan Malaysia merdeka daripada sebarang bentuk belenggu penjajahan.

Perdana Menteri juga pernah menegaskan yang negara kini digarapi oleh golongan ketiga yang menyaksikan pemimpin dan rakyat sama-sama berjuang untuk membawa makna kepada kemerdekaan, setelah mengambil alih daripada golongan pertama iaitu pengasas yang berjuang untuk kemerdekaan dan golongan kedua yang berjuang untuk mengisi kemerdekaan. Itu sebabnya kita tidak boleh walau sesaat pun melupakan atau leka dengan perjuangan yang sudah lama diasaskan oleh beberapa generasi sebelum ini.

Dan setelah 56 tahun merdeka serta dalam persaingan global hari ini, kita perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai cabaran yang bakal datang. Kita perlu mengingatkan diri kita dan memastikan jati diri yang disemai akan terus bertambah kukuh.

Itu sebabnya kemajuan dari segi ekonomi seperti mana yang sedang diatur oleh kerajaan perlu sentiasa disokong. Dalam hal ini rakyat perlu bersama-sama berganding bahu dengan pucuk kepimpinan negara untuk terus melaksanakan agenda transformasi kerajaan ke arah kemajuan dan kemantapan ekonomi kita semua.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa generasi hari ini memainkan peranan penting dan kita semua perlu memastikan generasi ini memiliki semangat patriotik, kenegaraan dan jati diri yang tinggi untuk terus memelihara dan menjamin kemerdekaan yang berkekalan.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

PENULIS ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Teks Ucapan PM Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-56


SALAM Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-56 dalam keadaan permai sentosa. Tahun ini juga merupakan tahun ke-50 Sabah dan Sarawak bersama-sama menyambutnya sejak 1963.

Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi semasa, Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, telah dipilih sebagai tema yang tepat untuk Hari Kebangsaan kali ke-56 ini.

Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan asing.

Sesungguhnya, kedaulatan menjadi faktor yang menunjang kita sebagai sebuah negara tidak datang secara bergolek. Telah banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, hatta bersinambungan sampai sekarang.

Maka yang demikian, memiliki kedaulatan bermaksud, kita berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara. Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahankan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita menginsafi, dunia kini sering berdepan dengan pelbagai mehnah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa di serata dunia. Umpamanya, krisis dalaman yang sedang melanda di beberapa buah negara Arab, akhirnya bertukar menjadi kecemperaan politik yang berpanjangan.

Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa sebegini, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua. Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada kesudahannya. Cahaya di hujung terowong yang dinantikan oleh rakyat mereka, tampaknya masih samar dan buntu. Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono. Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara akan terjejas pabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.

Merujuk ehwal negara kita, peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini turut mengorbankan nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu, tragedi berdarah ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa, Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.

Hakikatnya, tragedi walang itu telah menyentap benak sanubari rakyat Malaysia, tentang peri-mustahak untuk kekal bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara. Lantaran, kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jati diri dan pucuk-pucuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat, khususnya golongan muda yakni generasi pewaris.

Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat. Lebih dari itu, ia perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya lagi, kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama. Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya.

Sesungguhnya jua, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan mempersembahkan sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya. Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jati diri dan diperteguhkan semangat patriotisme mereka. Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar.

Secara tuntas, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.

Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita sudah lama bertatih dan melangkah.

Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak kerajaan sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.

Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-56.

Merdeka, Merdeka, Merdeka. Dirgahayu Malaysiaku.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 30 Ogos 2013

ISU SOSIAL : Perjuangan Remaja Pascakemerdekaan Semakin Luntur


Oleh :  SHAFEZAH ABDUL WAHAB

TERAS Belia 1Malaysia berpandangan bahawa golongan belia perlu menggerakkan perubahan dan mencorakkan hala tuju perjalanan negara.

Sehubungan itu, belia pada hari ini perlu diperkukuh dengan kemantapan budaya dan ketinggian nilai-nilai kehidupan agar generasi yang terbentuk pada masa hadapan mampu untuk menghadapi cabaran sezaman.

Walaupun begitu, persoalan budayalah yang sebenarnya begitu rumit untuk dihadapi. Hal demikian memandangkan budaya bukanlah sekadar terhenti di wacana-wacana ilmiah sahaja, tetapi apa yang dapat kita lihat dalam amalan kehidupan masyarakat.

Kita melihat sendiri anak muda dan khususnya belia yang lahir pada hari ini mengalami krisis jati diri dan visi hidup.

Malah gejala kemelesetan visi hidup ini menyebabkan lunturnya perjuangan sejati manusiawi di muka bumi ini iaitu mempertahankan yang hak, menolak yang mungkar.

Dalam konteks pembangunan dan kejayaan negara, belia memiliki obligasi untuk memastikan keadilan sosial, pembangunan sosial yang beretika, meninggalkan budaya popular (serangan budaya Barat) yang menyahkan jati diri ummah dalam memperjuangkan kemajuan berlandaskan saranan Islam.

Serangan budaya Barat memanglah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Dengan kemenangan aliran demokrasi-liberal-kapitalisme yang menjadi ancaman terhadap budaya setempat.

Kapitalisme yang menjadikan tujuan mengaut keuntungan semata-mata sebagai terasnya kini tersembunyi di dalam pelbagai bentuk, daripada pemakaian, kecanggihan alat komunikasi, gaya bertutur, muzik, siri realiti televisyen sehinggalah kepada percambahan pusat-pusat hiburan tanpa memikirkan kesannya kepada budaya masyarakat setempat.

Jika belia yang jauh dari sikap dan perjuangan berprinsip dan bervisi, mereka akan larut dengan bentuk budaya baru yang mementingkan sensasi, maksiat, budaya seronok yang melampau (utopia) yang menerapkan sikap individualisme.

Rempit, kegilaan remaja kini
Salah Laku

Dalam konteks Malaysia, kita tidak dapat menyangkal hakikat bahawa generasi belia sedang berhadapan dengan cabaran kebudayaan yang begitu serius.

Pada hari ini, generasi belia berhadapan dengan pelbagai bentuk budaya yang bersifat destruktif dan tidak menguntungkan negara.

Hal ini terzahir daripada pelbagai salah laku dan masalah sosial yang berpunca daripada budaya hedonisme, ‘sensate’ dan permisif.

Generasi muda lebih cenderung menghabiskan masa berpesta dan berhiburan, menghadiri konsert, berpacaran dan bergaul secara bebas daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang lebih bermanfaat.

Lihat sahaja bagaimana generasi muda kita menyambut kedatangan tahun baru, hari kemerdekaan mahupun sambutan hari Malaysia dengan anjuran konsert dan fiesta yang bermatlamatkan untuk menyampaikan suara remaja dalam konteks perjuangan bagi mencapai kemerdekaan.

Budaya berhibur turut  menjadi  kegilaan remaja
Penganjuran Konsert

Namun, apa yang sedih untuk dikatakan di sini, matlamat penganjuran konsert untuk tujuan perjuangan tidak dapat dicapai sama sekali apabila hasil murni pihak penganjur akhirnya membawa kepada satu temasya hiburan semata-mata dan tidak keterlaluan jika dikatakan tiada perjuangan yang disampaikan melalui penganjuran konsert baru-baru ini.

Apa erti perjuangan kepada golongan belia ini sekiranya mereka berkiblatkan hiburan dengan niat perjuangan? Apa yang mereka faham tentang perjuangan sekiranya mereka tidak menghargai hak dan warisan bangsa sehingga tidak sedar mereka memperlekehkan Jalur Gemilang sebagai satu kain rentang yang dikibarkan dek asyik dengan persembahan pentas selebriti tempatan dan juga antarabangsa?

Memang sewajarnya kita merasa gusar, prihatin dan gelisah dengan segala wabak sosial ini. Hal ini menjadi sedemikian kerana sekiranya tidak ada usaha-usaha terancang dan perancangan budaya (cultural planning), generasi pada masa hadapan akan lemah dan tidak mampu menghadapi perubahan sezaman.

Sebagai generasi pasca kemerdekaan, remaja perlu kembali untuk memahami sejarah dan perkembangan negara kita. Ini penting sebagai kayu pengukur dan pemangkin dalam menyumbangkan khidmat dan bakti kepada negara tercinta.

Tanpa memahami akan perkembangan negara dan buta sejarah, kita mungkin akan hanyut dibawa arus kesenangan hidup yang melalaikan.

Sehubungan itu, kita tidak sepatutnya merasakan cukup sekadar apa yang ada. Kita perlu membuka ruang dan mencipta peluang seperti mewujudkan trend pemikiran yang lebih proaktif.

Kemajuan dan perkembangan dunia sekeliling perlu dimanfaatkan dan dipergunakan sebagai sebahagian daripada bahan-bahan bagi memajukan diri dan negara.

Menurut cetusan pemikir Islam, Malik Bennabi yang telah mengungkapkan perihal kebolehjajahan umat sebagai sindrom colonializibility, punca kita mudah terjajah bukanlah disebabkan hebatnya budaya yang menjajah itu, tetapi segalanya bermula apabila kita sendiri sudah melupakan asas-asas jati diri kita sendiri yang terdiri daripada agama, pegangan nilai dan budaya.

Hanya apabila kita sudah tidak yakin lagi dengan kekuatan sendiri, barulah penjajahan budaya dan pemikiran lebih mudah berlaku. Kunci penjajahan minda dan budaya adalah kelemahan diri sendiri yang dimiliki.

Justeru, dalam usaha untuk mengekalkan kemerdekaan budaya dan negara, remaja perlu lebih berusaha dan produktif apabila melakukan sesuatu perkara.

Para remaja haruslah lebih tabah dalam menghadapi cabaran demi mempertahankan hak-hak mereka. Kita juga mesti berdikari dan tidak bergantung kepada kuasa-kuasa asing supaya dapat menjamin kedaulatan negara.

Di samping itu, para pemimpin belia perlu juga memikirkan strategi untuk melibatkan generasi belia dengan pelbagai kegiatan yang bermanfaat.

Dengan pembabitan lebih ramai belia ke dalam aktiviti-aktiviti sosial, sukarela dan kemasyarakatan, ciri-ciri kepimpinan dan nilai-nilai budaya yang positif dapat dijelmakan ke dalam bentuk perbuatan berbanding dihidangkan dengan agenda-agenda hiburan semata.

* Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Melaka

Sumber : http : //www.mstar.com.my/