Ahad, 18 Mei 2014

ISU PENDIDIKAN : Guru dekat di mata, melekat di sanubari


Oleh : Dato' Seri Haji Idris  Jusoh

Sekurang-kurangnya ada dua perkara besar yang berlaku dalam hidup saya pada tarikh 16 Mei. Pertama, pada tarikh itulah saya diberikan kepercayaan memulakan tugas sebagai Menteri Pendidikan Kedua. Kedua, dan lebih penting, pada tarikh itu jugalah seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai penghargaan kepada pengorbanan warga pendidik.

Salah satu elemen penting dalam pendidikan adalah peranan guru. Oleh sebab itu, sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun amat tinggi nilainya kepada saya. Saya meletakkan martabat profesion guru ini pada kedudukan amat tinggi.

Dalam Islam sendiri, banyak hadis yang menekankan betapa mulianya seorang guru. Imam At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Abu ‘Umamah al-Bahili telah berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah antara kamu. Baginda bersabda lagi, sesungguhnya malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan berselawat (berdoa) untuk orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.”

Melihat kepada hadis ini sahaja sudah cukup menggambarkan betapa tingginya martabat guru. Hari Guru mengingatkan saya kepada bekas Pengetua Cemerlang di Sekolah Menengah Tengku Mahmud, Besut, Allahyarham Cikgu Fatimah yang sentiasa berjumpa dengan ibu bapa untuk mengatasi isu murid kesayangan.

Sentiasa beri motivasi

Beliau sentiasa memberi motivasi dan sokongan kepada muridnya walaupun di luar waktu persekolahan. Ketika Cikgu Fatimah sakit, murid menjaganya sehinggalah beliau meninggal dunia. Sayangnya murid kepada guru apabila guru sayang kepada murid.

Saya sendiri tidak dapat melupakan jasa dan budi guru yang begitu sabar mengajar saya ketika bersekolah dahulu. Ketika saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh, Besut, Terengganu, saya masih ingat kesabaran Cikgu Masnah, Cikgu Mariam, Cikgu Ali Yusof, Mr Wong, Cikgu Rahim dan Cikgu Tengku Norizan melayan kerenah budak-budak kampung termasuk saya.

Mereka begitu komited memastikan kami memahami setiap apa yang mereka ajar. Masih terbayang dalam ingatan saya wajah Cikgu Ali Yaacob, Guru Besar sekolah saya dahulu. Saya masih melawatnya dari semasa ke semasa.

Berkat kesabaran cikgu Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh, keputusan yang baik dalam peperiksaan melayakkan saya memasuki Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Pengalaman di STAR banyak mematangkan saya. Gurunya amat berdedikasi. Di hadapan saya bagaikan terlihat semula kelibat Cikgu Lau Hut Yee yang begitu bersemangat mengajar Sains. Tidak dapat saya lupakan Cikgu Sarjit Singh, warden Rumah Hijau yang amat saya hormati walaupun garang.

Wajah guru STAR seperti Cikgu Ong Bee Jeng, Ustaz Mohamad dan Cikgu Ali masih kekal dalam ingatan saya. Mereka tanpa mengenal bangsa dan agama, gigih mengajar saya menjadi pemikir, olahragawan dan pemimpin. Merekalah yang membentuk persepsi saya bahawa menjadi guru bukan setakat satu profesion, tetapi menuntut lebih daripada itu. Profesion ini menuntut seluruh jiwa, keikhlasan dan pengorbanan. Profesion ini memerlukan ‘jiwa guru’.

Kemungkinan itulah sebabnya saya tertarik hati dan ditakdirkan berkahwin dengan seorang guru. Secara dekat saya berpeluang melihat bagaimana isteri saya memainkan peranan sebagai guru dengan bersungguh-sungguh dan sabar, dan pada masa yang sama di rumah sebagai ibu yang mendidik lima orang cahaya mata kami.

Bincang cabaran dihadapi guru

Semua anak kami mendapat pendidikan awal di dalam negara. Ada yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan dan ada yang murah rezeki berjaya ke luar negara. Kami bersyukur, semua mereka sekarang menjadi anak kebanggaan kami dan kini kami dikurniakan tiga cucu. Alhamdulillah. Saya juga kadangkala berbincang dengan isteri mengenai cabaran yang dihadapi guru. Insya-Allah, pandangannya memberi perspektif berbeza kepada saya dalam menjalankan tugasan saya.

Di peringkat Kementerian Pendidikan, usaha memperkasakan profesion guru ini tidak pernah ada noktahnya. Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025), kementerian komited menjadikan profesion guru ini pada masa yang akan datang, hanya dipilih dalam kalangan graduan yang cemerlang dari segi akademiknya dan terbaik dalam pencapaian kokurikulumnya.

Stigma sebelum ini yang menyatakan bahawa profesion guru adalah pilihan terakhir harus segera dikikis. Bukan itu guru yang kita mahukan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi bangsa yang dikagumi dunia.

Saya sedar cabaran guru sekarang dalam mendidik murid sudah jauh berbeza daripada zaman ketika saya bersekolah dahulu. Ekoran kepesatan pembangunan teknologi komunikasi, murid sekarang adalah Generasi Y yang sentiasa terdedah dengan pelbagai pengaruh di sekeliling mahupun di dunia langit terbuka.

Murid sekarang bukan sahaja bersaing dengan rakan sekelas, tetapi juga dengan rakan media sosialnya di dunia. Senario ini menuntut perhatian dan iltizam guru yang bukan sedikit. Namun percayalah, Kementerian Pendidikan tidak akan membiarkan guru mengharungi gelombang perubahan ini bersendirian. Kementerian menyusun pelbagai strategi sebagai persediaan.

Secara peribadi, saya sentiasa menghulurkan tangan membantu guru melaksanakan tugas mulia mereka. Guru mempunyai tempat yang istimewa di hati saya. Selamat menyambut Hari Guru untuk semua guru yang tercinta.

Penulis ialah Menteri Pendidikan II Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kejayaan murid kebahagiaan guru


Oleh : Mohamad Abdullah

KISAH sumbangan dan pengorbanan guru bukanlah baharu. Malah setiap kita ada cerita tersendiri. Ada guru yang diingati dan ada guru yang kita cuba jauhkan diri kerana pelbagai sebab antaranya segan, malu dan mungkin ada kenangan yang kekal dalam ingatan.

Ketika di sekolah rendah, seorang guru sementara dan masih muda mengubah keseluruhan sudut pandang penulis terhadap buku dan ilmu. Sebagai anak kampung di pedalaman negeri Kedah, buku bukanlah mudah diperoleh  pada tahun 70-an.

Guru ini yang tinggal di pekan berhampiran setiap minggu membelikan akhbar Utusan Pelajar terbitan Utusan Melayu yang popular ketika itu dan Dewan Pelajar, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saban bulan. Malah, guru ini juga memberi peluang kepada penulis untuk membaca buku-buku baharu yang tiba di perpustakaan yang selalunya lebih banyak disimpan daripada dihayati oleh para pelajar di kampung.

Peluang inilah yang membentuk penulis berminat dengan buku dan menghayati dunia luas bagi seorang anak miskin. Sesekali dibawanya pulang ke rumah sebagai seorang anak untuk melihat keluarganya yang sebahagian besar berjaya dalam hidup sebagai satu sumber inspirasi.

Perwatakan lembut dan keibuan serta sering membimbing, menegur dan memberikan peluang dengan kasih sayang kekal dalam ingatan penulis sehinggalah guru ini meninggal dunia beberapa tahun lalu, yang hubungan akrab itu kekal biarpun setelah penulis bekerja.

Kisah ini bukanlah luar biasa. Namun inilah antara cebisan pengaruh guru dalam kehidupan kita seharian terutamanya dalam kalangan mereka yang sangat komi­ted dengan tugas dan tanggungjawabnya.

Guru-guru berupaya mencetuskan satu sudut pandang hidup yang dipegang dan kekal dalam kehidupan kita dengan cara tersendiri. Mungkin ketika itu bukan atas nama inovasi dan kreativiti, tetapi atas nama keikhlasan dan kasih sayang yang ditunjukkan melalui tindakan dan cara yang berbeza dalam membentuk pemikiran baharu.

Lihat sahaja guru-guru bersara yang berada di sekeliling kita, yang dengan bangga bercerita tentang kejayaan pelajarnya. Kejayaan pelajar adalah kepuasan luar biasa bagi diri mereka.

"Kebanyakan kami guru lama berkhid­mat dengan penuh dedikasi dan melihat tugas guru sebagai amanah besar yang walaupun gaji tidak seberapa pada tahun 60-an dan 70-an, tetapi puas apabila melihat murid-murid mencapai kejayaan, malah sebahagiannya rasa malu untuk berdepan jika masih melakukan perkara-perkara yang tidak disenangi guru seperti merokok," cerita Allahyarham Datuk Abdul Razak Abdul Hamid, salah seorang yang terselamat dalam Tragedi Hiroshima kepada penulis.

Hari ini, zaman telah jauh berubah. Pe­ranan guru-guru bukan sahaja mengajar malah juga sebagai fasilitator dan pembim­bing sekali gus rakan luar biasa kepada pelajar, di sekolah rendah mahupun menengah.

Tepat sekali apabila tema ‘Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi’ digunakan untuk sambutan Hari Guru 2014 yang sewajarnya dikekalkan untuk beberapa tahun ini.

Guru bukan sahaja membuka ruang fikir dan perubahan set minda anak-anak hari ini, malah perlu mencetuskan kaedah, pengalaman dan inovasi baharu dalam mendidik dan membawa mereka ke mercu kejayaan. Sekali gus perlu berusaha bersama-sama menggerakkan kreativiti untuk membuka pemikiran baharu yang lebih bebas selaras dengan perkembangan teknologi dan lebuh raya maklumat masa kini.

Guru bukan lagi meluahkan apa yang ada dalam buku teks atau semata-mata melihat kepada kurikulum untuk dihabiskan tetapi seharusnya berupaya menggerakkan pemikiran-pemikiran yang dapat membo­lehkan anak-anak muda kita bermain de­ngan inovasi dan kreativiti ke arah menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan.

Mereka perlu mampu menarik para pelajar ke sekolah dan melihat sekolah sebagai syurga untuk bereksperimen dengan pemikiran dalam sains dan teknologi mahupun sastera dan budaya yang sepatutnya berjalan seiring.

Setiap kita terhutang budi kepada guru dan menghargai apa yang telah dilakukan mereka untuk menjayakan proses pendidikan negara. Walaupun terdapat dalam kalangan guru yang merungut tentang bebanan tugas yang dipikul, namun jika mereka cinta akan profesion dan kejayaan anak bangsa, maka tekanan itu mampu bertukar menjadi keseronokan.

Malah tentunya lebih bahagia jika bekas pelajar dan murid dapat sesekali kembali bersalaman dan memberikan penghargaan kepada guru dan sekolah di mana kita bermula.

Jika setiap kita dapat menghantar satu kad ucapan penghargaan berserta sebuah buku untuk perpustakaan sekolah saban tahun pada sambutan Hari Guru, tentunya sekolah-sekolah kita akan meriah dengan buku-buku untuk kegunaan anak-anak yang ada sekarang ini di samping membahagiakan hati seorang guru. Lalu akan hilanglah penat lelah dan tekanan yang dihadapi selama ini.

Selamat Hari Guru!

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 16 Mei 2014

ISU PENDIDIKAN : Memahami peranan dan tanggungjawab guru


Oleh : M. JASNI MAJED

SETIAP kali sambutan Hari Guru diadakan penulis teringat akan sebuah pantun yang berbunyi:

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Secara tersiratnya, pantun ini memperlihatkan betapa pentingnya guru dalam memberi tunjuk ajar kepada pelajar manakala di pihak pelajar pula, mereka mesti belajar dengan bersungguh-sungguh kerana jika belajar alang kepalang, ilmu yang dicurahkan oleh guru tidak dapat diterima sepenuhnya.

Tugas guru akan menjadi lebih mudah jika para pelajar memberi tumpuan ketika kelas berlangsung. Ini menunjukkan bahawa usaha untuk mengangkat martabat pendidikan di sesebuah sekolah itu bukan hanya terletak kepada guru semata-mata tetapi tugas ini juga dipikul oleh para pelajar.

Di samping guru terpaksa berdepan dengan pelajar yang celik ilmu dan pelbagai teknologi maklumat, guru-guru juga terpaksa menghadapi kerenah para pelajar yang mampu menjejaskan imej sesebuah sekolah.

Masalah disiplin dalam kalangan pelajar adalah salah satu daripada masalah yang membelenggu institusi pendidikan negara. Isu ini bukanlah isu baharu kerana dari semasa ke semasa, pelbagai kejadian berlaku membabitkan institusi pendidikan terutamanya di sekolah.

Jika pada zaman dahulu, ketika pelajar sangat menghormati dan takut akan guru, jawatan atau khidmat kaunselor tidak diperlukan di sekolah tetapi sekarang kaunselor sudah diwujudkan semata-mata untuk menangani pelbagai masalah pelajar. Salah satu tugas kaunselor adalah untuk merungkai permasalahan pelajar berkaitan disiplin.

Tugas guru yang murni mesti difahami oleh pelbagai pihak apatah lagi ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa mesti memberi kerjasama kepada pihak guru dan sekolah untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka dan yang paling penting mereka mesti menyedari bahawa sekolah merupakan satu tempat untuk membentuk sahsiah anak-anak mereka.

Ibu bapa mesti mengambil bahagian dalam setiap perjumpaan yang membabitkan mereka di sekolah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru [PIBG] merupakan satu wadah untuk memahami dengan lebih jauh pencapaian anak-anak mereka di sekolah, masalah anak-anak mereka di sekolah dan sebagainya.

Masyarakat sekeliling mesti memainkan peranan dengan cara memahami peranan dan tanggungjawab guru. Masyarakat sekeliling mesti membantu meringankan bebanan guru di sekolah dengan menjadi mata dan telinga terhadap salah laku pelajar sekolah di luar sekolah.

Sikap membiarkan salah laku atau bersekongkol dengan sebarang tindakan negatif pelajar di luar sekolah akan menjejaskan institusi pendidikan.

Ada pelajar sekolah yang terbabit dengan gangsterisme, pergaduhan, mat rempit, melepak dan sebagainya. Masyarakat yang peka akan masalah ini tidak akan membiarkan gejala ini berterusan, sebaliknya cuba membendung demi masa depan anak-anak bangsa.

Gejala-gejala negatif yang membabitkan pelajar sekolah memperlihatkan bahawa ada dalam kalangan pelajar sudah tidak menghormati guru dan ilmu yang diberikan kepada mereka. Malah, tujuan dan matlamat mereka memasuki sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan sudah terpesong jauh dari landasannya.

Sumbangan besar guru dalam mendidik setiap insan mesti dibalas dengan rasa hormat dan mengenang jasa-jasa guru yang telah memberi didikan semasa di sekolah. Mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan berbentuk wang ringgit , harta atau hadiah tetapi ingatan tulus ikhlas dan ucapan Selamat Hari Guru sudah memadai sebagai tanda ingatan sepanjang zaman.

Maka, kesempatan pada sambutan hari guru ini, eloklah kita mengenang jasa mereka, mendoakan kesejahteraan mereka atau menziarah mereka yang sudah bersara.

Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dalam sajaknya antara lain menyebut bahawa dengan gurulah lahir pemimpin, sasterawan terkenal, dan pelbagai jenis pekerjaan lain yang mengangkat kemajuan negara.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 10 Mei 2014

ISU PENDIDIKAN : Sistem pendidikan negara gagal ?

Tengku Razaleigh

SHAH ALAM : Sistem pendidikan negara dilihat tidak berkesan dan memerlukan  perubahan drastik dan radikal jika negara mahu melonjakkan daya saing di peringkat serantau dan global.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kegagalan sistem pendidikan ini dilihat dalam pelbagai aspek antaranya penilaian antarabangsa, integrasi kaum, modal insan serta penguasaan komunikasi.

Berucap pada majlis penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat (Kewangan), UiTM sempena istiadat konvokesyen UiTM ke-80, dekat sini, pagi tadi, Tengku Razaleigh menyatakan kebimbangannya dengan tahap pendidikan negara yang dinilai rendah oleh Bank Dunia pada akhir Mac 2014.

Malah, jelas beliau penilaian menggunakan International Standard (PISA, TIMSS) turut meletakkan pendidikan negara  di tahap yang rendah.

“Kita memerlukan sistem pendidikan yang dikagumi dan diidami; sistem di mana ibu bapa berebut dan berlumba untuk mendapat tempat bagi anak mereka di sekolah awam aliran kebangsaan yang tinggi nilai ekonominya dan sekaligus tidak menghiraukan sistem persekolahan saingan,” ujarnya.

Menurut beliau,  sistem pendidikan yang dilaksanakan sekarang tidak melahirkan insan berilmu yang mampu berfikir dengan berkesan dan cemerlang dalam keadaan yang berbagai, tidak menentu, mencabar dan cepat berubah.

“Saya masih ingat satu waktu dahulu bilamana kita dihormati dan disanjungi oleh masyarakat dunia. Di forum antarabangsa, kita sering diberi penghormatan untuk menyediakan ‘laporan perbincangan’, ‘kenyataan kesepakatan (communiqué)’, menjadi pemudahcara (moderator) dan sebagainya.

“Hal ini terjadi kerana secara relatif, kemampuan berfikir dan penguasaan bahasa kita adalah lebih baik. Malangnya keadaan berbeza sekali sekarang,” kesal beliau.

Tengku Razaleigh turut melahirkan kebimbangan terhadap keutuhan integrasi kaum di negara ini apabila polarisasi antara kaum dilihat pada tahap yang parah dan mengkhuatirkan.

“Sebagai orang lama yang telah menyaksikan pahit getir perjalanan panjang Malaysia, saya sangat sedih dengan apa yang berlaku,” ujarnya.

Paling menyedihkan, tambah beliau,  polarisasi kaum  juga wujud di institusi pengajian tinggi di mana masyarakatnya terpelajar.

Di bidang ekonomi, beliau memberikan contoh bagaimana negara yang pada awalnya menjadi contoh rujukan kepada Korea Selatan kini jauh ditinggalkan negara itu dalam segenap aspek termasuk sukan.

Menurutnya, jika dahulu Malaysia dianggap lebih kehadapan berbanding Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Korea Selatan di bidang pembangunan ekonomi namun kini keadaan berlaku sebaliknya.

Tengku Razaleigh yakin  keberkesanan sistem pendidikan Korea Selatan meletakkan negara itu di posisi sekarang.

“Pada tahun 1980, pendapatan per kapita mereka (Korea Selatan) adalah USD 2,322 dan lebih rendah daripada kita pada kadar USD 2,351. Tetapi hari ini, pendapatan per kapita mereka adalah USD 24,328 dan dua kali lebih besar daripada kita pada kadar USD 10,547.

“Kini ekonomi Korea Selatan lebih handal daripada kita,” jelasnya.

Beliau mahu semua pihak menerima hakikat tidak berkesannya sistem pendidikan negara sehingga ia memerlukan perubahan drastik dan radikal.

“Kita gagal dalam penilaian antarabangsa, kita gagal dalam memupuk integrasi kaum, kita gagal dalam menghasilkan modal insan berilmu, berprinsip dan mampu berfikir.

“Kita juga gagal menguasai komunikasi sehingga kedudukan kita yang dihormati satu waktu dahulu terhakis,” ujarnya.

Sehubungan itu Tengku Razaleigh mahu  Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025 mengambil kira pandangan yang diutarakan beliau untuk dilaksanakan. 

Sumber : HARAKAHDAILY, 10/5/2014

Jumaat, 9 Mei 2014

ISU PENGAJIAN TINGGI : Status permohonan ke IPTA boleh disemak mulai esok



KUALA LUMPUR : Status permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Politeknik Premier bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya boleh dibuat mulai tengah hari esok.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata status boleh disemak melalui talian Hotline 03-88706767, Helpline 03-88706777, Talian Am 03-88706755/6766, Laman Web http://upu.moe.gov.my; https://jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my dan http://jpt.ums.edu.my ataupun menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (nombor kad pengenalan) dan dihantar ke 15888.

"Pemohon boleh membuat semakan tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi melalui laman web rasmi IPTA berkaitan atau Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pendidikan Malaysia (JPP) mulai 11 Mei ini (Ahad)," kata kenyataan tersebut.

URL surat tawaran mengikut IPTA adalah seperti berikut: :

Universiti Malaya (UM): http://kemasukan.um.edu.my

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): http://www.ukm.my/kemasukan/tawaran

Universiti Putra Malaysia (UPM): http://www.smp.upm.edu.my/tawaran

Universiti Teknologi Malaysia (UTM): https://jpt.utm.my

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM): http:www.iium.edu.my/kemasukan/tawaran.html

Universiti Malaysia Sarawak (Unimas): http://www.unimas.my/kemasukan/tawaran

Universiti Malaysia Sabah (UMS): http://bpa.ums.edu.my/semakanUMS

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) : http://www.upsi.edu.my/kemasukan/tawaran

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) : http://etasjil.usim.edu.my

Universiti Teknologi Mara (UiTM): http://www.online.uitm.edu.my/

Universiti Malaysia Terengganu (UMT): http://intake.umt.edu.my/tawaran

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM): https://wapps.uthm.edu.my/ppa/tawaran

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM): http://www.utem.edu.my/kemasukan

Universiti Malaysia Pahang (UMP): http://www.ump.edu.my/kemasukan/tawaran

Universiti Malaysia Perlis: http://offer.unimap.edu.my

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA): http://www.unisza.edu.my/tawaran

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM): http : //upnm.edu.my/kemasukan/tawaran

Jabatan Pengajian Politeknik (JPP): http://www.politeknik.edu.my

Semua pemohon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan penerimaan tawaran oleh IPTA atau Politeknik Premier sebelum atau pada 17 Mei ini dan ia boleh dibuat melalui laman web rasmi IPTA atau JPP seperti di atas.

Menurut kenyataan itu, bagi pemohon yang tidak berjaya ditawarkan ke IPTA atau Politeknik Premier tetapi ditawarkan ke institusi lain seperti Kolej Matrikulasi  Kementerian Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Tingkatan Enam adalah dinasihatkan agar mendaftar ke program berkenaan kerana tawaran ke IPTA atau Politeknik Premier adalah terhad.

"Dasar KPM tidak membenarkan sebarang pertukaran program pengajian di dalam IPTA atau Politeknik Premier atau antara IPTA atau Politeknik Premier.

"Tawaran yang diberikan kepada calon adalah muktamad," katanya.

Bagi pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA dan Politeknik Premier, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan yang akan dibuka mulai 16 Mei setelah keputusan kemasukan ke Politeknik Konvesional/ METrO dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) diumumkan.

Permohonan e-Rayuan perlu dikemukakan melalui laman web rasmi kemasukan di http://upu.moe.gov.my dan tarikh tutupnya ialah pada 26 Mei.

"Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di IPTA/Politeknik Premier selepas pendaftaran pelajar baharu.

"Keputusan rayuan pula akan diumumkan pada minggu kedua bulan Jun dan jika tiada sebarang tawaran diterima dari IPTA/Politeknik Premier dalam tempoh empat minggu selepas tarikh pendaftaran pelajar baharu, maka rayuan itu dianggap gagal," kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Bahagian Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (BPKP JPT) akan membuka kaunter khidmat runding cara berkaitan permohonan kemasukan ke IPTA dan Politeknik Premier di bangunan KPM di Putrajaya mulai 12 Mei hingga 26 Mei pukul 9.30 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat) untuk memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara.

Kemudahan hotline dan helpline turut disediakan untuk membantu menjawab sebarang kemusykilan pemohon yang boleh dihubungi melalui talian 03-88706767 dan 03-88706777.

SUMBER ::. Http : //www.bharin.com.my

ISU ALAM SEKITAR : Cabaran urus alam sekitar


Oleh : Prof Emeritus Ibrahim Komo

Paradigma baharu kekal kelestarian

Daripada perspektif guna tanah, kita biasa mendengar konsep pembangunan bandar, industri atau pertanian. Apa itu pembangunan alam sekitar? Bukankah kita sudah memperkenalkan pelbagai konsep mengenai pemuliharaan alam sekitar. Sebagai contoh Hutan Simpanan Kekal, Kawasan Sensitif Alam Sekitar, Taman Negeri atau Negara dan Tapak Warisan Dunia.

Pemikiran kita mengenai alam sekitar adalah berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan. Konsep begini menimbulkan konflik berterusan antara pembangunan dan alam sekitar.

Di satu pihak, masyarakat melihat alam sekitar merupakan sumber asli yang boleh diterokai untuk menjana ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Di pihak lain, alam sekitar khususnya hutan adalah warisan sejagat yang perlu dikekalkan atau dipulihara. Akhirnya, sedikit demi sedikit hutan diterokai untuk faedah ekonomi atau atas nama pembangunan.

Saya melihat gagasan pembangunan dan alam sekitar pada masa ini tidak menguntungkan golongan yang beriltizam memulihara hutan sebagai warisan alam. Pemikiran manusia dan pemimpin masih memberikan tahap kepentingan yang jelas kepada sumber untuk menjana ekonomi, keperluan kesejahteraan manusia dan akhirnya untuk pemuliharaan warisan.

Selagi manusia taksub menjana wang dan memerlukan sumber asas mengurus peningkatan penduduk, alam sekitar adalah mangsanya.

Imbangi pembangunan, alam

Walaupun, masyarakat dunia mulai sedar pentingnya perkhidmatan alam sekitar bagi kelangsungan kehidupan, pendekatan pembangunan semasa masih belum berupaya mengimbangi keperluan pembangunan wilayah dan fungsi memulihara alam sekitar.

Kemerosotan kualiti air dan udara, peningkatan bencana alam (banjir kilat dan tanah runtuh) dan wabak penyakit disebabkan pencemaran adalah petanda fungsi dan khidmat alam sekitar telah dilampaui.

Saya perkenalkan konsep pembangunan alam sekitar atas dua alasan. Pertama, meletakkan kedudukan atau kepentingan alam sekitar seiring dengan pembangunan lain, seperti pembangunan bandar (penempatan), pembangunan industri (ekonomi) dan pembangunan pertanian (sumber makanan).

Kedua, pembangunan alam sekitar perlu diperkenalkan dalam konteks perkhidmatan ekosistem untuk kelestarian atau sumber kehidupan. Oleh itu, prinsip pembangunan alam sekitar adalah untuk memberikan ‘perkhidmatan ekosistem’ dan bukannya semata-mata untuk pemuliharaan sumber asli.

Perancang bandar dan desa boleh menyediakan garis panduan pembangunan berasaskan kepada beberapa fungsi penting alam sekitar.

Dari perspektif kesejahteraan masyarakat, fungsi terpenting alam sekitar adalah menyediakan perkhidmatan alam sekitar, khususnya sumber air dan udara bersih serta simpanan benih pelbagai tumbuhan (kepelbagaian biologi) untuk sumber makanan dan ubatan.

Beri perhatian kepada ekosistem

Dalam konteks ini, pelan pembangunan perlu memberi perhatian kepada konsep ‘keupayaan tampungan atau had perubahan’ yang tidak memudaratkan perkhidmatan suatu ekosistem tersebut.

Selain itu, alam sekitar juga warisan tabii manusia yang menjadi lambang ketamadunan dan nilai sepunya masyarakat. Seperti peninggalan sejarah dan arkeologi, landskap ekologi atau geologi juga mempunyai nilai saintifik dan estatik yang perlu dipulihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Kita perlu mengenali apakah landskap tabii itu hanya bersifat warisan tempatan, kebangsaan atau dunia dari perspektif keunggulannya. Jika kita perlu membuat pilihan antara pembangunan atau pemuliharaan, keunggulan nilai warisan bakal menjadi penentu kepentingannya.

Pelbagai bentuk pembangunan masih boleh dilakukan di kawasan alam sekitar. Antaranya, untuk mengekalkan penempatan dan kegiatan ekonomi komuniti asli yang sudah lama menetap di kawasan tersebut. Pada masa yang sama, kita boleh melaksanakan pelbagai pembangunan berimpak rendah seperti kemudahan penggunaan hasil hutan secara terkawal, rekreasi, pendidikan awam dan ekopelancongan bagi membolehkan alam sekitar dimanfaatkan sepenuhnya.

Merancang dan mengurus alam sekitar dari perspektif pembangunan mempunyai banyak faedah secara jangka panjang. Konsep pembangunan untuk kepentingan kesejahteraan manusia, memberikan status yang tinggi kepada alam sekitar.

Ia menjadi sebahagian daripada prasarana penting dalam kesatuan pembangunan yang holistik. Warga dan kerajaan perlu menyediakan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi untuk mengurus, memantau dan menyelenggara alam sekitar demi kepentingan kelestarian.

Meletakkan pengurusan alam sekitar dari perspektif pembangunan mempunyai banyak kelebihan. Ia boleh ditempatkan sejajar dengan pembangunan bandar, industri dan pertanian.

Masyarakat perlu mengiktiraf pembangunan alam sekitar kritikal untuk menyediakan perkhidmatan ekologi, memulihara warisan dan penggunaan sumber asli secara lestari. Bagaimanapun, jika ada dalam kalangan kita, masih berfikiran ‘tamak dan hanya mengaut kekayaan,’ alam sekitar bakal menjadi mangsa utamanya.


Penulis ialah Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 7 Mei 2014

ISU PENDIDIKAN : PPPM yang mula menampakkan hasil


Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR

PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan tahun lepas kini menampakkan hasil, terutama dalam memastikan jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar dapat dikurangkan secara berperingkat.

Usaha ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan terus dilakukan supaya aspirasi untuk mengurangkan jurang pencapaian berdasarkan tahap perbezaan sosioekonomi sebanyak 50 peratus dapat dicapai.

Jelas beliau, perkara ini terbukti menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu apabila jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar adalah sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN).

Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan adalah bidang terpenting dalam usaha pembangunan insan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Melalui bidang ini manusia dapat dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Bidang pendidikan menjadi semakin penting dan mencabar menjelang 2025 sebagai persediaan membentuk modal insan.

Di samping itu, pembelajaran sepanjang hayat juga akan membolehkan individu daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan mengambil tindakan yang berani dan pantas dengan menyediakan pelan pembangunan pendidikan kerana perubahan yang dihasratkan adalah penting dan mesti dilaksanakan segera.

PPPM 2013-2025 sudah menampakkan kesan kejayaan antaranya penglibatan ibu bapa dan sambungan Internet ke sekolah-sekolah. Tujuannya untuk mencapai pendidikan berkualiti. Transformasi pendidikan ini adalah komitmen kerajaan untuk terus komited menjalankan pembaharuan dalam sistem pendidikan negara bagi tempoh 15 tahun akan datang bermatlamat setiap murid mempunyai kemahiran baru untuk merebut peluang di samping menangani cabaran abad ke-21.

Jika dikaji dan diteliti adakah masa di sekolah mencukupi untuk murid belajar, menelaah dan mengulang kaji pelajaran? Jawapannya tentu tidak cukup jika murid tidak bersedia dari awal.

Dalam hal ini, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menguji apa yang dipelajari pada tahun empat, lima dan enam. Sementara itu, di peringkat tingkatan tiga, murid akan diuji apa yang dipelajari di tingkatan satu, dua, dan tiga. Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar akan diuji apa yang dipelajari di tingkatan empat dan lima.

Bagi menggantikan beberapa peperiksaan, Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan dilihat satu usaha Kementerian Pendidikan dalam memberi penambahbaikan terhadap pencapaian murid dalam peperiksaan utama, khususnya UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Para guru mengharapkan mereka tidak dibebankan dengan kerja-kerja menyediakan soalan, memeriksa kertas jawapan serta menjumlahkan keputusan. Suatu kaedah baharu telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan bagi mengurangkan beban dan tugas guru.

Berkaitan hal ini, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya akan berusaha mengurangkan bebanan guru dalam pelaksanaan PBS ini. Malah, pengenalan PBS yang memberi penekanan kepada pentaksiran untuk pembelajaran dan pentaksiran mengenai pembelajaran menjadi langkah penting menentukan penguasaan murid secara lebih bersistematik pada setiap peringkat Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).

Pelaksanaan PBS itu akan dilihat hasilnya melalui keputusan UPSR bagi murid yang mendudukinya pada 2016 dan PMR mulai 2014.

Justeru, PBS akan memberi penilaian lebih menyeluruh terhadap murid. PBS mengandungi empat komponen merangkumi Pentaksiran Sekolah; Pusat; Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik iaitu mengenai sikap dan personaliti murid dan pelajar.

Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu bersiap sedia dari segi mental, fizikal dan rohani bagi anak-anak mereka yang akan menghadapi peperiksaan, seterusnya bagi menghadapi perubahan di bawah PPPM.

Lantaran itu, ibu bapa perlu memahami dan mengikuti serta mengkaji perubahan ini. Di samping itu, mereka perlu menyediakan masa untuk memantau anak-anak bagi mengulang kaji pelajaran di rumah dan menghantar mereka ke kelas tuisyen bagi menghadapi peperiksaan.

Sementara itu, bagi guru-guru tentulah akan menyediakan (P&P) yang berkesan di dalam kelas kepada murid .

Justeru, P&P di dalam kelas bukan sahaja menjurus kepada peperiksaan, malahan jauh daripada itu dapat membentuk pelajar yang mempunyai sahsiah, berakal budi dan berakhlak terpuji.

Pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan nyata bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai alat perpaduan, bahasa perhubungan dan bahasa ilmu.

Pada masa sama peningkatan penguasaan bahasa Inggeris turut diberi penekanan supaya murid dan pelajar dapat bersaing dan meneroka ilmu di peringkat antarabangsa.

Menerusi PPPM murid digalakkan mempelajari sebanyak mungkin bahasa asing seperti bahasa Arab, Sepanyol, Perancis dan Jepun.

Jelaslah, kedua-dua bahasa dalam MBMMBI itu dan bahasa-bahasa lain sememangnya memainkan peranan penting ke arah melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran tinggi dan berketerampilan untuk memacu ekonomi berasaskan pengetahuan. Ibu bapa dan guru harus memainkan peranan menyokong dasar MBMMBI ini bagi melonjak kualiti pendidikan negara.

Ibu bapa juga harus memahami transformasi pendidikan negara sejajar dengan hasrat kerajaan dan Kementerian Pendidikan yang ingin melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta mampu mencapai visi yang dihasratkan iaitu menyediakan peluang kepada individu meningkatkan taraf hidup, menjadi ahli masyarakat yang berjaya, dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.

* PENULIS ialah pengamal media, PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/