Sabtu, 9 Mei 2009

PERANAN ANAK- ANAK MEMELIHARA DARJAT IBU SEPANJANG HAYAT

SESUNGGUHNYA, seorang wanita yang bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan sebagai antara insan yang paling dihormati dan dikasihi. Masakan tidak peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang bertarung nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia.

Saat anak-anak masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya.

Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa.

Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Daripada perspektif Islam dan budaya masyarakat kita, martabat seorang ibu sangat-sangat tinggi. Jangan sesekali seorang ibu itu disakiti hati dan perasaannya.

Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa', ayat 23 maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)".

Bayangkan, untuk anak-anak berkata "Ha" pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka. Kita harus ingat keredaan Allah SWT itu terletak kepada keredaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah SWT terhadap kita.

Nabi Muhammad SAW juga telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: "Saya ingin melaksanakan Jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian." Rasulullah SAW kemudian menjawab, "Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun".

Begitu juga cerita di mana seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, "Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?' Lalu Rasulullah SAW menjawab "Ibumu'. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali "Siapakah selepas ibu?" dan jawapan Rasulullah SAW tetap "Ibumu". Akhirnya bila ditanya lagi 'Siapakah selepas ibu?' barulah Rasulullah SAW menjawab "Bapamu".

Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.

Secara rasminya Hari Ibu akan disambut di Malaysia setiap tahun pada 10 Mei sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu. Banyaklah aktiviti yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk meraikan golongan ibu pada tarikh tersebut.

Namun, untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang mana yang kita mampu.

Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan-amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna.

Sebagai anak, ibu perlu diberikan perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Sebagai anak, kita juga memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan yang disyariatkan Islam dan norma-norma budaya dan masyarakat.

Bagi anak-anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita mereka. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia 'emas'nya itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya.

Kalau dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak-anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.

Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat terakhir nafas ibu dihembuskan di dunia ini. Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia dan tidak lagi berada di hadapan mata, sebagai anak, kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh.

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya.

Namun, kerana wujudnya hubungan dan 'naluri' yang telah terjalin di antara kita dengan ibu sejak berada dalam rahimnya lagi menuntut kita untuk menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka.

PENULIS ialah pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia dan sedang melanjutkan pengajian Ph.D di La Trobe University, Melbourne, Australia.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

TINTA : PENGORBANAN IBU TIADA PENGHUJUNG

Oleh Fadzlena Jafar

TANGGAL 10 Mei ini kita akan meraikan hari yang cukup istimewa untuk bonda. Walaupun ramai yang mengatakan menghargai ibu bukan hanya sehari kerana jasanya yang tiada ternilai walaupun diberi wang berjuta ringgit, rasanya tidak salah jika kita memilih satu hari untuk meraikan mereka supaya pada hari itu dapat diadakan majlis yang khusus untuknya.

Mungkin pada Ahad ini, anda dan adik beradik lain boleh pulang ke kampung untuk berkumpul dan mengadakan sedikit parti atau majlis doa selamat, atau mungkin juga membawa bonda ke restoran atau bercuti di tempat yang menarik untuk sekeluarga.

Tidak kira apa yang dilakukan, pastikan Hari Ibu ini juga waktu untuk kita menginsafi kembali peranan ibu yang banyak berjasa dalam hidup kita. Segala kepayahan yang diharungi bagi membesarkan kita untuk menjadi insan berjaya dan segala pengorbanan yang dilakukan bagi memastikan kita dapat menikmati kehidupan selesa semestinya dijadikan pedoman dalam hidup kerana ada kalanya apabila sudah berjaya, kita lupa asal-usul.

Pelbagai cerita yang kita dengar mengenai anak yang sanggup menjadi si tanggang pada hari ini, sehingga ada kalanya kita yang mendengar atau membaca kisah berkenaan sedih mengenangkan nasib ibu bapa yang diketepikan. Bukan sekadar diketepikan, malah ada juga yang sanggup menganggap ibu dan bapa itu seolah-olah tidak wujud dalam hidup.

Alasan mungkin diberikan, ibu dan bapa tadi kejam serta tidak menghiraukan mereka ketika kecil. Ada juga yang mengatakan ibu atau bapa mereka, meminggirkan mereka ketika kecil sehingga berasa hati dan tidak dapat memaafkan mereka. Tidak kurang juga yang membenci ibu bapa sendiri kerana tidak merestui kekasih hati sehingga sanggup membuang jauh ibu dan bapa yang pernah bergolok bergadai untuk membesarkan mereka.

Memang benar, kita tidak tahu apa yang terjadi antara insan berkenaan dengan ibunya, tetapi bagi saya tidak kira apa kesalahan yang pernah dilakukan ibu atau bapa, sebagai anak kita seharusnya bersyukur jika tidak kerana mereka, tidak mungkin kita dapat menikmati udara segar dan mengenali kehidupan pada hari ini.

Saya pernah mendengar cerita bagaimana ada ibu yang tidak berkemampuan, tetapi sanggup melakukan apa saja termasuk mengikat perut bagi memastikan dapat memenuhi hajat anaknya demi kasihnya kepada si kecil. Biar baju sendiri tidak pernah bertukar ganti, asalkan anak mereka dapat menggayakan baju baru pada Aidilfitri.

Semuanya dilakukan demi kasihnya pada anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh. Tetapi, ada anak yang seolah-olah tidak pernah berpuas hati dengan apa yang ada dan hanya tahu asalkan mereka dapat memenuhi impian di hati, perkara lain termasuk keperluan ibu tidak diambil kira.

Kata-kata ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’ menunjukkan betapa pentingnya kedudukan ibu itu sendiri. Walaupun ada anak hari ini yang memperlekehkan kata-kata itu, satu hari nanti apabila mereka juga bergelar ibu, tentu peritnya akan dirasai jua. Orang kata, hidup ini umpama roda, apa yang kita lakukan hari ini satu hari nanti mungkin akan kembali kepada kita.

Sempena sambutan Hari Ibu yang diraikan pada Ahad ini, marilah kita kembali menginsafi diri dan menghargai jasa ibu yang sanggup berkorban harta dan nyawa bagi membesarkan kita. Jangan tunggu apabila mereka sudah menutup mata, baru ketika itu menyesali perbuatan lalu.

Ketika itu, menangis air mata darah sekalipun, yang pergi tetap akan pergi. Jadi, pastikan ibu dan bapa anda dapat menikmati keceriaan pada hari tua mereka supaya setiap pengorbanan yang dilakukan mereka, dihargai sewajarnya.

Selamat Hari Ibu!

Sumber :http://www.bharian.com.my/

Nota Hujung:

Buat bonda tercinta,
anakanda, Izzah & cucu-cucumu
sentiasa merinduimu.

Kau bonda yang ceria, prihatin....
tiada dua, tiada tiga....
hanya kausatu-satunya....
insan teristimewa....
kebanggaan kami semua.

Bersempena Hari Ibu ini,
kudoakan kesejahteraanmu
berpanjangan...




SAJAK SASTERAWAN NEGARA TENTANG GURU

(i)

GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

(ii)

OBOR HEMAH


Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.



Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.


Gnru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.


Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.


Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.


A. SAMAD SAID

2 APRIL 1988




Jumaat, 8 Mei 2009

DOA SEMPENA HARI GURU

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ , وَالعَاقِبَة لِلْمُتَّقِيْنَ َالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ
عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Ya Allah , Tuhan Semesta Alam

Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu kerana telah mengizinkan kami untuk meraikan Majlis sambutan Hari Guru pada pagi yang berbahagia ini.

يا الله ياعزيز يا ستارفعال لما يريد

Sesungguhnya tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia dan murni sepanjang zaman , justeru kurniakanlah kepada guru-guru kami hati yang ikhlas untuk menyempurnakan tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya . Lorongkanlah hati guru-guru kami agar menjadikan seluruh
aktiviti dunia pendidikan sebagai ibadah, mengharapkan rahmat dan
keredhaan-Mu semata-mata .

Pada saat dan detik ini, kami hulurkan tangan pengharapan , memohon ihsan dan pimpinan-Mu agar Engkau anugerahkan rasa kasih sayang kepada barisan pendidik yang budiman terhadap anak-anak didik mereka , sebagaimana mereka mengasihi dan menyayangi anak- anak mereka sendiri . Kurniakanlah kepada mereka kesabaran , ketabahan , semangat kerjasama yang tinggi dalam sebuah pasukan , semangat permuafakatan dan semangat juang yang tidak mengenal erti putus asa dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik dan berusaha menyumbang tenaga , idea dan kepakaran demi meningkatkan kualiti akademik dan kokurikulum pelajar-pelajar sekolah ini khasnya dan di arena pendidikan perdana amnya .

يا االله يا مكوراليل والنهار

Pada kesempatan ini , berkat kebesaran dan kehebatan-Mu ya Allah kami mohon  kurniakan kepada kami sifat yang mulia dan akhlak yang luhur , mudah-mudahan kami akan menjadi anak didik yang sentiasa menghormati guru-guru kami , mendengar tunjuk ajar daripada guru-guru kami , sentiasa mengharapkan teguran dan bimbingan guru-guru kami , semoga kami
menjadi insan yang sempurna dan berguna kepada agama ,
bangsa dan negara yang tercinta .

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا ، وَتَفَرُّقَـَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقاً مَعْصُوْمًا ،
وَلاَ تَجْعَلِ اللَّهُمَّ فِيْنَا وَلاَ مَعَنَا وَلاَ مَنْ يَتْبَعُنَا شَقِيًّا وَلاَ مَطْرُوْدًا وَلاَ مَحْرُوْمًا .
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار ِ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ ،
وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

ADAB MURID TERHADAP GURUNYA

Di dalam Islam kedudukan guru adalah amat tinggi. Guru merupakan pembimbing dan penasihat umat. Jika tiada guru maka manusia akan turun martabatnya menjadi haiwan lantaran tidak ada pengajaran dan bimbingan. Oleh sebab itu Islam sangat mengambil berat tentang guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti memuliakan Rasul, sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa yang memuliakan Allah, syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang menderhakai Rasul bererti ia dimurkai Allah. Sesiapa yang dimurkai Allah maka nerakalah tempatnya. Oleh sebab itu seorang murid mestilah memelihara adab-adab ketika bersama-sama dengan guru. Antara lain adab tersebut adalah seperti berikut:

1. Memberi salam dan sentiasa hormat akan guru.
2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang.
3. Jika ingin bertanya, meminta izin terlebih dahulu.
4. Mencari masa yang sesuai untuk bertanya.
5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru.
6. Menghindarkan diri daripada menyinggung perasaan guru.
7. Memberikan bantuan kepada guru apa-apa yang dapat dibantu.
8. Melakukan apa-apa yang paling disenangi oleh guru.
9. Menggunakan bahasa yang baik sewaktu berinteraksi dengan guru.
10. Tidak meninggikan suara ketika bercakap dengan guru

STRATEGI TANGANI ISU MAT REMPIT


Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS
PELBAGAI kejadian jenayah baru-baru ini yang dikaitkan dengan mereka yang dikatakan 'Mat Rempit' telah menyebabkan pihak berkuasa menggandakan usaha menangani gejala mat rempit ini. Gejala tersebut, berdasarkan tangkapan yang dibuat, melibatkan ramai remaja Melayu lelaki yang beragama Islam. Adalah amat sedih apabila mengetahui situasi ini yang menggambarkan realiti sebenar permasalahan generasi muda Muslim kita. Gejala mat rempit kini bukan sekadar aksi tunggangan ekstrem di jalanan tetapi turut mengalami evolusi budaya yang turut merangkumi aspek penampilan seperti cara berpakaian, pertuturan serta pergaulan dan juga aspek dalaman yakni idealisme, kecenderungan serta nilai hidup.

Aktiviti mat rempit juga bukan sekadar dikaitkan dengan kesalahan trafik malahan kesalahan jenayah umpamanya penyalahgunaan dadah, merompak, meragut dan sebagainya serta ketirisan akhlak seperti pergaulan bebas. Tentunya tidak adil untuk umum melabelkan semua mat rempit bersikap sedemikian rupa kerana ada sesetengahnya memang sekadar melibatkan diri dalam aktiviti bermotosikal tanpa sebarang unsur jenayah atau isu moral.Namun pelbagai stigma negatif yang terpalit pada para mat rempit seakan tidak dapat dipadamkan daripada persepsi masyarakat kerana kerapnya berlaku insiden jenayah dan tidak bermoral yang melibatkan golongan bermotosikal. Dan persepsi sedemikian diperkukuhkan lagi apabila masyarakat mengalami sendiri insiden yang tidak diingini yang melibatkan golongan tersebut, apatah lagi jika ada kaum keluarga sendiri yang berkecenderungan sedemikian. Ia seakan kelihatan sebagai satu wabak virus sosial yang semakin merebak di kalangan golongan belia di negara kita khususnya remaja Melayu. Dan wabak ini perlu ditangani sebelum ia menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara.

Operasi "merawat"

Operasi penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa terutamanya polis sememangnya perlu dalam menangani gejala ini daripada menjadi belenggu yang mencetuskan ketidaktenteraman dalam masyarakat.Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan saman, penjara, atau kenderaan disita berdasarkan kesalahan yang dilakukan. Usaha sedemikian dapat dilihat sebagai satu kaedah pendidikan menggunakan hukuman sebagai pengajaran buat yang tertangkap dan mereka yang lain.

Walau bagaimanapun, selain pendekatan hukuman, kita juga perlu melihat kepada kaedah lain yang mampu menyelesaikan gejala sedemikian dengan mengambil kira akar puncanya.
Sebagaimana konsep pengubatan dalam Islam, yakni mencegah itu lebih baik daripada mengubati, pendekatan yang diambil perlu berhasil membina ketahanan iman dan ilmu yang kukuh agar tidak terjebak dengan apa jua pengaruh negatif yang timbul dewasa ini.
Ironinya, media pula mengagungagungkan budaya mat rempit dengan menyiarkan sisi kehidupan golongan tersebut. Natijahnya hal ini mungkin menjadikannya satu budaya popular di kalangan remaja. Jelasnya gejala mat rempit merupakan realiti masyarakat yang tidak perlu disebarkan.

Sistem pendidikan
Faktor pembentukan gejala sosial seperti mat rempit juga boleh dilihat dari aspek pencapaian sistem pendidikan di negara kita. Adakah sistem pendidikan kita mempunyai kelemahan sehinggakan terdapat banyak modal insan yang dididik terjerumus ke dalam kemelut sosial?
Persoalan tersebut perlu ditelusuri secara objektif dan ikhlas demi kebaikan generasi muda. Soal ego dan kepentingan diri perlu ditolak dalam menjawab persoalan tersebut.
Sebagai contoh, berkemungkinan sistem pendidikan negara masa kini terlalu berlandaskan peperiksaan iaitu penerapan konsep ilmu oleh guru diikuti pengulangan konsep ilmu tersebut oleh murid. Kemudiannya, proses penilaian banyak berlaku secara di atas kertas iaitu peperiksaan bertulis.

Teknik pengajaran di dalam kelas pula lebih mengaplikasikan gaya belajar yang bersifat auditori dan visual, yang mungkin lebih mudah diadaptasikan oleh pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki yang lebih cenderung kepada gaya belajar kinestatik atau berbentuk amali.

Implikasinya, kedapatan lebih ramai pelajar lelaki yang keciciran, iaitu tidak dapat menyerap sepenuhnya proses perkembangan ilmu di dalam kelas dan seterusnya kurang cemerlang dalam peperiksaan. Keadaan sedemikian berpotensi menyebabkan mereka kehilangan arah kehidupan andainya tidak terus dibimbing sebaiknya. Tambahan pula, adakah integrasi konsep pendidikan Islam atau moral (bagi bukan Islam) secara teori dan amali turut diberikan penekanan secukupnya dalam pembelajaran di sekolah? Hal ini memerlukan kita meneliti kembali sukatan serta kaedah pengajaran yang digariskan untuk para pelajar kita.

Mengapa remaja Melayu?
Persoalan kedua ialah, adakah benar gejala ini lebih menular di kalangan remaja Melayu berbanding kaum lain di negara kita? Jika benar, mengapakah hal ini berlaku sedemikian? Jawapan kepada persoalan tersebut mungkin boleh dikaji berdasarkan kepada faktor sosio ekonomi dan demografik kaum-kaum di negara kita.

Secara umum, penglibatan masyarakat bukan Melayu dalam perniagaan memungkinkan golongan muda mereka turut terlibat secara langsung dalam perniagaan keluarga di samping menelusuri lapangan akademik melalui persekolahan. Situasi ini mendedahkan mereka kepada kegiatan berniaga yang menuntut mereka kepada pengiraan untung rugi serta perencanaan terhadap kelangsungan perniagaan untuk masa depan. Praktis sedemikian merupakan satu pendidikan berbentuk kinestetik atau amali dalam kehidupan mereka.

Justeru bagi yang cenderung dalam akademik, usaha mereka akan ditumpukan kepada kecemerlangan pelajaran. Manakala bagi yang lebih cenderung ke arah bidang bukan akademik, mereka berkeupayaan untuk meneruskan perniagaan keluarga jika ada minat ataupun membuka perniagaan baru berdasarkan pengalaman berniaga dimiliki. Manakala bagi remaja Melayu pula, wadah pendidikan yang ada mungkin terhad kepada persekolahan semata-mata. Oleh itu, sekiranya tercicir, hal ini menyebabkan remaja tercari-cari alternatif lain untuk mencurahkan bakat, minat dan tenaga mereka.

Lalu, apa yang dimiliki di depan mata itulah lebih mudah menjadi medan perencanaan bakat dan kehebatan mereka. Tidak lain tidak bukan itulah motosikal. Motosikal, dengan harga yang mampu dimiliki oleh kebanyakan keluarga Melayu, memungkinkan ramai remaja memilikinya sendiri atau melalui milik keluarga.

Dengan motosikal yang dimiliki itulah remaja memanifestasikan keupayaan fizikal mereka dengan membuat aksi ekstrem, dan kepintaran teknikal iaitu dengan mengubahsuai motosikal untuk menjadi jentera pemanduan yang lebih laju.
Dua pendapat di atas hanyalah merupakan hipotesis untuk menjelaskan faktor pembentukan gejala mat rempit yang masih perlu dibuktikan sama ada secara kualitatif mahupun kuantitatif. Malah mungkin ada pendapat lain yang lebih baik serta faktor lain yang perlu diambil kira untuk menjelaskan isu ini.

Bagaimana dengan negara lain? Kajian sosiologi yang merujuk kepada perbandingan budaya remaja antara kaum di negara kita dan di negara-negara lain juga boleh dilaksanakan demi memperoleh faedah berbanding.

Antara persoalan yang boleh dijadikan objektif kajian ialah adakah gejala sedemikian turut berlaku di negara-negara lain? Apakah puncanya? Jika ada, bagaimanakah pihak berkuasa di sana berusaha mengatasinya?

Dengan hasil kajian yang diperoleh, pihak berkaitan boleh merangka strategi yang lebih baik serta mengadakan usaha kerjasama yang menggabungkan kepakaran masing-masing dalam usaha menangani gejala mat rempit ini secara lebih berkesan.

Sumber: http://www.utusan.com./

Khamis, 7 Mei 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (12)

PERIBAHASA TENTANG GURU


Pendidikan berakar umbi daripada perkataan didik yang bererti pelihara, ajar dan jaga. Setelah dijadikan analogi, pendidikan boleh dihuraikan sebagai satu proses yang berterusan untuk menjaga dan memelihara pembesaran tubuh badan dan pertumbuhan bakat manusia dengan rapi supaya dapat melahirkan orang yang berilmu, baik tingkah laku dan dapat mengekalkan nilai-nilai budaya dalam kalangan masyarakat.Oleh itu, peranan guru sebagai pendidik tidak terhad sekadar penyampai ilmu semata-mata.

Dalam konteks negara kita, kerjaya sebagai guru dapat dinyatakan sebagai pendidik profesional yang tugas utamanya adalah mendidik, mengajar, membimbing, mengarahkan, melatih, dan menilai anak muridnya. Sebagai pendidik formal di sekolah, pengaruh guru amat besar . Tindak-tanduk mereka diperhatikan dan menjadi ikutan anak-anak muridnya. Sewaktu menjalankan tanggungjawabnya, guru terikat kepada tatasusila perguruan yang telah ditetapkan. Hal ini penting bagi memastikan tidak berlaku fenomena bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian; kerana kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari ; kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari.

Proses menuntut ilmu berlangsung sepanjang hayat manusia. Golongan pelajar yang menuntut ilmu perlu belajar dengan bersungguh-sungguh dan mempelajari sesuatu ilmu itu sehingga ke peringkat tertinggi. Sesuatu ilmu atau kemahiran itu perlu dikuasai supaya mereka beroleh manfaat daripada ilmu yang dipelajari. Mereka yang terkandas atau hanya belajar separuh jalan sahaja, sudah tentu tidak akan mendapat manfaat daripada ilmu yang dipelajari. Hal ini terungkap dengan jelas melalui peribahasa berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi yang bermaksud pelajaran yang tidak dituntut dengan sempurna, tidak akan mendatangkan sebarang faedah.

Ilmu atau kemahiran dalam bidang tertentu amat penting, justeru menjadi kayu ukur bagi melayakkan seseorang menjawat sesuatu jawatan. Tanpa ilmu atau kemahiran, bagaimana mungkin seseorang itu dapat menjalankan sebarang pekerjaan yang diarahkan. Oleh yang demikian, benarlah kata orang tua-tua dahulu bahawa kemahiran itu sebaik-baik guru. Peribahasa tersebut bermaksud sesuatu pekerjaan akan menjadi sempurna apabila dikerjakan oleh orang yang ahli.

Walau bagaimanapun, proses untuk mendapatkan ilmu atau kemahiran itu bukanlah sesuatu yang mudah. Tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak mengenal putus asa, kejayaan atau kecemerlangan yang diharapkan dalam apa-apa juga bidang tidak akan kesampaian. Hal ini kerana kurang sisik, tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru. Maksudnya, tidak akan tercapai sesuatu hasrat atau tujuan, kalau kita tidak mahu berusaha dan bersusah payah.

Kesimpulannya, sebagai pendidik, guru harus sedar bahawa penghormatan yang diperoleh daripada anak-anak muridnya bukan dibuat-buat. Tindakan mereka sebenarnya tindakan ikhlas atau spontan yang terhasil oleh sebab mereka berasa dihargai dan berpuas hati dengan ilmu yang disampaikan. Fenomena ini bertepatan dengan peribahasa sukakan gaharu kerana baunya, sukakan guru kerana ilmunya yang bermaksud kesukaan seseorang akan sesuatu itu kerana faedah yang dapat diperoleh daripadanya.