Ahad, 24 Mei 2009

GEJALA LUMBA HARAM PERLU PENDEKATAN MENYELURUH

AKSI berbahaya mat rempit ketika berlumba di jalan raya.

Tukar panggilan 'mat rempit' kepada 'samseng jalanan' dianggap tepat tapi belum cukup menginsafkan.

WALAUPUN pelbagai langkah sudah diambil bagi menangani kegiatan lumba haram, gejala itu bukan saja belum dapat dibendung, malah semakin teruk serta menimbulkan pelbagai masalah jenayah dan sosial lain termasuk mengorbankan nyawa yang tidak berdosa. Kalau 20 tahun dulu masalah lumba haram hanya berlaku di bandar besar sebagai kegiatan malam minggu, ia kini berlaku di setiap pekan dan tanpa mengira waktu.

Malah, di sesetengah tempat, waktu Maghrib atau ketika khutbah Jumaat, menjadi pilihan pelumba haram yang berbangga dipanggil 'mat rempit' ini menunjukkan kebolehan di jalan raya. Putera Umno pernah cuba mendekati kumpulan ini termasuk memberi peluang kepada pelumba haram terpilih, terjun di Kutub Utara bagi menunjukkan 'mat rempit' juga boleh melakukan kegiatan lebih berfaedah jika diberi peluang. Malangnya usaha berkenaan terhenti setakat itu menyebabkan timbul tuduhan bahawa ia lebih bermotifkan politik.

Disebabkan istilah 'mat rempit' ini, yang dipercayai berasal dari kumpulan itu sendiri kini menjadi jenama kebanggaan mereka, polis minggu lalu menyarankan agar gelaran berkenaan ditukar kepada samseng jalanan yang dianggap lebih sesuai bagi menggambarkan tindakan dan kelakuan ganas golongan itu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof, meminta semua pihak termasuk media supaya tidak lagi menggunakan istilah mat rempit kerana ia seolah-olah menunjukkan golongan itu sebagai jaguh di jalan raya. Polis juga akan mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya meminda Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan samseng jalanan dikenakan hukuman penjara mandatori.

"Cadangan itu adalah satu daripada pelan jangka panjang bagi menangani gejala itu yang kini semakin meruncing. Sekiranya hukuman penjara mandatori dikenakan, samseng jalanan mungkin berfikir dua kali melakukan kesalahan itu kerana takut masuk penjara," kata Abdul Aziz.

Sementara istilah, gelaran atau panggilan boleh mempengaruhi pandangan kita terhadap sesuatu kumpulan atau perlakuan, sama ada positif atau negatif, menukarnya kepada panggilan lain semata-mata tidak mungkin dapat mengatasi masalah sebenar tanpa tindakan dan usaha menyeluruh. Masalah penagihan dadah misalnya masih terus menjadi ancaman kepada generasi muda kita walaupun istilah 'najis' diletakkan di depan perkataan dadah. Perbuatan buli di asrama sekolah dan institusi penggajian tinggi tetap berlaku walaupun ia dipanggil minggu orientasi, induksi atau silaturahim. Babi tetap haram di sisi Islam walaupun pada satu waktu kita digalakkan memanggilnya khinzir.

Berbalik kepada masalah lumba haram, mereka yang melakukannya memang layak digelar samseng jalanan. Hanya samseng yang sanggup melanggar sekatan jalan raya, tidak menghormati masyarakat sekeliling terutama di waktu beribadat dan membahayakan nyawa orang lain yang tidak berdosa. Kita cuma berharap polis dapat membezakan 'samseng jalanan' sebenar yang menjadi peserta lumba haram dengan penunggang motosikal lain yang hadir menjadi penyokong dan penonton tetapi turut lari apabila dikejar kereta atau motosikal peronda trafik.

Begitupun, menukar gelaran itu mungkin hanya boleh menimbulkan kebencian masyarakat kepada pelumba haram tetapi belum cukup untuk menginsafkan mereka. Justeru, tindakan berkesan dan bersifat jangka panjang amat diperlukan bagi menangani masalah ini. Disebabkan sebahagian besar pelumba haram ini remaja, Kementerian Belia dan Sukan harus menerajui satu kajian menyeluruh bagi mencari punca sebenar masalah ini dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dan polis.

Beberapa kajian mengenai gejala itu setakat ini hanya membabitkan institusi pengajian tinggi bagi memenuhi keperluan akademik pelajar dan bukan bertujuan menangani masalah ini secara serius.

Benarkah gejala ini berpunca daripada kecenderungan remaja untuk memenuhi keperluan naluri serta menjadi manifestasi kelelakian dan kegagahan di kalangan pelumba seperti dilihat dari sudut psikologi? Apakah kerana semakin kurangnya kemudahan dan galakan bersukan seperti bola sepak di pekan dan bandar kecil sekarang menyebabkan meningkatnya lumba haram?

Beberapa bekas pelumba haram yang ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen minggu lalu mengaitkan penutupan litar Shah Alam untuk pembinaan projek perumahan sebagai salah satu faktor meningkatnya lumba haram di Lembah Klang. Adakah semakin banyaknya motosikal dan bertambah baiknya sistem jalan raya di negara ini sekarang turut menjadi faktor meningkatnya gejala itu?

Atau apakah kelemahan penguatkuasaan, sama ada kerana kekurangan anggota atau polis mempunyai keutamaan lain dan ketiadaan tempat untuk menyimpan motosikal yang dirampas, menjadikan pelumba haram berani memperlekehkan undang-undang.

Jawapan sebenar kepada soalan ini dan permasalahan lain yang berkaitan hanya boleh didapati melalui satu kajian menyeluruh dan jujur, manakala semua pihak - polis, ibu bapa, sekolah dan badan bukan kerajaan harus berganding bahu menanganinya. Dengan itu barulah kaedah yang bukan bersifat menghukum semata-mata tetapi pendekatan menyeluruh bagi menangani gejala lumba haram dan masalah remaja lain untuk jangka panjang termasuk usaha pencegahan dan pemulihan. Perkara ini tidak mustahil dilakukan jika semua pihak benar-benar jujur bagi menangani masalah yang boleh memusnahkan masa depan bangsa ini.

Artikel Asal Oleh : Manja Ismail
Sumber : http://www.bharian.com.my/

Sabtu, 23 Mei 2009

TEKNOLOGI HIJAU : KONSEP, FUNGSI DAN STRATEGI


Definisi:

“Aplikasi teknologi moden untuk memulihara sumber dan alam sekitar semula jadi dan mengawal kesan negatif aktiviti manusia.”

Sumber:http://www.green-technology.org


Konsep ini berhubung rapat dengan prinsip pembangunan mapan yakni pembangunan hendaklah memenuhi keperluan masyarakat kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang.

Fungsi Utama:

  • Mengkaji dan menggubal dasar untuk meningkatkan pembangunan mapan melalui aplikasi teknologi hijau;
  • Mempromosikan dasar teknologi hijau untuk menyokong pembangunan inovasi teknologi hijau dan mengawal serta mengurus potensi risiko; dan
  • Menyediakan kerangka perundangan untuk menyokong pembangunan teknologi hijau.

Strategi:

  • Promosi dan pelaksanaan pembangunan tenaga boleh diperbaharu yang efektif dalam sektor tenaga dan sektor air;
  • Promosi dan pelaksanaan program kecekapan tenaga yang efektif dalam sektor tenaga dan sektor air;
  • Mewujudkan peluang pekerjaan berkaitan dengan teknologi hijau;
  • Mewujudkan peluang aktiviti ekonomi berkaitan teknologi hijau;
  • Mengorientasi semula industri-industri sedia ada untuk mempraktikkan amalan teknologi hijau;
  • Pembangunan strategi R&D dalam teknologi hijau ke arah pengkomersilan bagi pasaran tempatan ;
  • Peningkatan pembangunan modal insan dalam bidang teknologi hijau; dan
  • Penubuhan rangkaian strategik dengan stakeholders yang utama dan relevan

Sumber: Laman Rasmi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

TEKNOLOGI HIJAU SATU KONSEP TERKEHADAPAN


APABILA Kabinet baru diumumkan, banyak perkara menarik dapat dilihat iaitu daripada segi barisan anggotanya, perspektif pemilihan selain penggabungan dan memberikan nama baru untuk kementerian.

Paling menarik, apabila sebuah kementerian dinamakan Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Ia menunjukkan pemikiran terkehadapan dan keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengguna dan mengetengahkan konsep baru.

Teknologi Hijau telah banyak dibincangkan oleh ahli-ahli akademik, penyelidik malah pembuat dasar. Namun ia mungkin sesuatu yang masih baru bagi rakyat Malaysia.

Teknologi ini bagaimanapun telah lama diamalkan contohnya menerusi penjanaan kuasa hidro bagi penghasilan tenaga elektrik.

Kesedaran untuk menggunakan teknologi ini terus meningkat terutama dengan kemunculan isu pemanasan global dan krisis minyak baru-baru ini.

Namun kita tidak menyedarinya jika tiada takrifan atau penjelasan diberi mengenai apa sebenarnya teknologi hijau itu.

Teknologi hijau mempunyai banyak takrifan dan ia bergantung kepada skop tertentu. Secara umumnya mengikut laman web carian Wikipedia, teknologi hijau juga dikenali sebagai teknologi persekitaran dan teknologi bersih.

Ia bermaksud, penggunaan teknologi yang menjamin pengekalan alam semulajadi dan menjamin persekitaran hidup manusia agar sentiasa bersih dan sihat.

Teknologi ini berkait rapat dengan pembangunan lestari, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pencarian sumber tenaga baru dan pembuatan peralatan atau mesin yang menggunakan tenaga pada tahap optimum serta mesra alam.

Malaysia ialah sebuah negara yang amat mengambil berat tentang alam sekitar. Komitmen dan inisiatif baru ini diharap dapat memperluaskan konsep teknologi hijau sehingga ke tahap penguatkuasaan dan pengwujudan akta berkaitan.

Dalam proses melaksanakan teknologi ini, banyak bidang yang boleh diberi tumpuan dan diperkasakan lagi. Misalnya bidang tenaga yang boleh diperbaharui dan pencarian tenaga baru.

Meningkatkan penggunaan tenaga solar dan memperkenalkan penggunaan tenaga daripada sumber angin dan ombak juga akan menyumbang kepada penggunaan teknologi hijau ini.

Sebagai sebuah negara pertanian, Malaysia seharusnya menggunakan kelebihan ini bagi menghasilkan tenaga daripada hasil pertanian dan sisa buangan pertanian. Ia secara tidak langsung akan menyokong penggunaan konsep 'sisa sifar' (zero waste).

Penghasilan tenaga daripada sisa buangan pepejal mesti terus ditingkatkan untuk kepentingan alam sekitar. Teknologi ini banyak dilaksanakan di Jepun.

Sementara itu, konsep bangunan hijau (green building) yang menumpukan kepada penjimatan tenaga, air dan bahan pembuatan haruslah dipertimbangkan untuk dikuatkuasakan dalam pembinaan bangunan di negara ini.

Penjimatan tenaga di bangunan hijau banyak berdasarkan kepada reka bentuk dan penggunaan bahan binaan termaju. Konsep ini telah diterima di beberapa negara maju seperti Jerman, Amerika Syarikat dan Britain.

Dan sebagai negara pengeluar kenderaan selain mempunyai banyak kenderaan di atas jalan raya, Malaysia juga mesti memikirkan dengan serius untuk mengembangkan penggunaan enjin hibrid.

Ia dapat menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan pencemaran. Di samping itu, penggunaan kenderaan berkuasa elektrik dan bahan api bio juga perlu diberi tumpuan.

Teknologi hijau juga akan membuka ruang kepada para penyelidik untuk meneroka dan memantapkan lagi penyelidikan.

Kita berharap dan percaya dengan iltizam yang tinggi ke arah pelaksanaan teknologi hijau di samping mengekalkan persekitaran hidup yang sihat akan memberi nilai tambah kepada pencapaian ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Apa yang lebih penting ialah konsep teknologi ini mestilah disedari dan difahami oleh semua rakyat. Promosi mengenai kepentingan dan kebaikan teknologi hijau ini juga perlu diadakan sepanjang masa.

PROF. DR. SAIFOLLAH ABDULLAH

Fakulti Sains Gunaan, UiTM

Sumber:http://www.utusan.com.my/

RAHSIA JADI AYAH BERKESAN

BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:


Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.


Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.


Anak yang tidak berbapa:
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak.


Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:

Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)


Tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan :

Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:


i) Bapa yang komited dan bertanggungjawab

Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang


ii) Kenali anak anda

Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada mereka.


iii) Istiqamah (tetap pendirian)

Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.


iv) Melindungi, menyara dan mendoakan

Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.


v) Mencintai ibu mereka

Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.


vi) Menjadi pendengar yang baik

Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.


vii) Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian

Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.


Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

Sumber :http://www.petua.org/


NOVEL SETEGUH KARANG : TEKNIK PLOT


Teknik Plot ialah cara plot dibina untuk mewujudkan cerita yang menarik dan tidak membosankan. Antara teknik plot yang digunakan dalam novel Seteguh Karang ialah teknik imbas kembali, imbas muka, dialog, monolog dalaman, saspens, kejutan, dan pemerian.

i) Imbas kembali (Watak + teringat .....)

-Awanis teringat akan peristiwa ketika dia berusia tujuh tahun iaitu Maysarah menyuruhnya mengaku bahawa dia yang memecahkan pasu kesayangan mama sedangkan Maysarah yang melakukannya.
-Awanis teringat akan kecantikan Maysarah dan kecerdasannya dalam pelajaran.
-Awanis teringat akan bantuan Maysarah yang melukiskan peta Semenanjung Malaysia semasa dia masih bersekolah.
-Awanis teringatkan waktu dia mendaftar di ITM Perlis seminggu selepas kematian ibu bapanya

ii) Imbas muka (Watak + menggambarkan/ membayangkan .....)
-Awanis cuba menggambarkan penerimaan suami Kak Nor apabila kembali ke rumah dan mendapati Awanis menumpang di rumahnya.
-Awanis cuba menggambarkan perawakan Encik Johari iaitu penyelianya sebelum masuk ke pejabatnya.

iii) Dialog (Watak 1 + berbual-bual/ bertengkar + dengan watak 2 tentang .....)
-Awanis berbual-bual dengan Budi tentang usaha Budi mencari rezeki di Malaysia.
-Awanis bertengkar dengan Encik Lee tentang sikapnya yang enggan menerima kehadiran Anita di rumahnya.

iv) Monolog dalaman (Watak + mencemuh/ berkata-kata + dalam hatinya tentang .....)
-Awanis mencemuh di dalam hatinya tentang sikap ego Encik Johari yang memandang rendah dan tidak memahami dirinya.
-Awanis berkata-kata sendirian di dalam hatinya tentang kematian Budi yang amat menyedihkannya.

v) Saspens (Pembaca tertanya-tanya sama ada .....)
-Pembaca tertanya-tanya sama ada Awanis mampu menunggang motosikal buruk yang tidak mempunyai brek.
-Pembaca tertanya-tanya sama ada Encik Lee akan menerima semula Anita yang dianggapnya membawa sial.
-Pembaca tertanya-tanya sama ada hubungan Awanis dengan Wan Asri akan berterusan selepas Awanis meninggalkan menamatkan latihan praktikalnya di Terengganu.
-Pembaca tertanya-tanya sama ada Maysarah akan selamat atau sebaliknya selepas dimasukkan ke hospital.
-Pembaca tertanya-tanya sama ada Budi akan selamat selepas dipatuk ular.

vi) Kejutan (Pembaca tidak menyangka bahawa .....)
-Pembaca tidak menyangka bahawa Encik Johari sebenarnya tidak suka menerima kehadiran pelatih perempuan.
-Pembaca tidak menyangka bahawa Budi akan dipatuk ular dan akhirnya meninggal dunia.
-Pembaca tidak menyangka bahawa Anita sanggup melarikan diri dari rumah.
-Pembaca tidak menyangka bahawa Maysarah sanggup menelan pil tidur secara berlebihan dan terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan di hospital.
-Pembaca tidak menyangka bahawa Awanis berani masuk ke ladang seorang diri dan bertemu dengan buruh-buruh Indonesia.

vii) Pemerian (Pengarang menggambarkan keadaan/ sikap .....)
-Pengarang menggambarkan keadaan tempat tinggal buruh Indonesia semasa Awanis masuk ke ladang kelapa sawit.
-Pengarang menggambarkan sikap Kak May yang menjadi pemurung selepas kematian ibu bapanya.
-Pengarang menggambarkan kemajuan pesat daerah Kerteh semasa Awanis dan Wan Asri melalui kawasan itu ketika bersiar-siar pada hujung minggu.
-Pengarang menggambarkan kesibukan dan kepelbagaian barang jualan di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu semasa Awanis dan Wan Asri bersiar-siar pada hujung minggu.

Sumber:http://saujanamata.blogspot.com/

MENGHITUNG DIRI

Memerhati gerak laku insan
dalam kekalutan mengejar hambatan masa

tika ini,
insan bisa alpa
akan tuntutan ubudiah terhadap khaliknya

pun,
lalai akan tuntutan
muamalat
sesama insan
yang dambakan pertolongan


atau,
ghaflah akan tanggungjawab
sebagai khilafah fil-Ard

justeru,
kita insan kerdil wajar insaf
apakah masih ada nilai
seorang hamba di sisi Yang Esa?

Jumaat, 22 Mei 2009

Budaya membaca penentu kejayaan Kota Buku


PERTENGAHAN April lalu, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi tumpuan lebih sejuta peminat buku apabila berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Walaupun jumlah pengunjung tahun ini dikatakan sedikit merosot berbanding kira-kira 2 juta pada tahun sebelumnya, namun berdasarkan tinjauan rambang rata-rata penulis, pengedar, peniaga serta penganjur berpuas hati dengan pembabitan mereka kali ini.

Pengunjung bukan saja datang dari sekitar Lembah Klang dan negeri yang berjiran dengannya, malah ramai juga yang datang dari jauh, semata-mata ingin mendapatkan pelbagai buku dan bahan bacaan. Perkembangan itu memberi petanda baik terhadap industri buku negara yang sekian lama menunjukkan perkembangan yang agak perlahan.

Ia juga membuktikan kesedaran membaca di kalangan masyarakat kita kini menunjukkan peningkatan. Jika dulu kajian terhadap minat membaca di kalangan rakyat Malaysia mendapati rakyat kita hanya membaca satu setengah halaman setahun, tetapi kini minat itu telah meningkat dengan agak ketara.

Namun, kita masih ketinggalan jauh berbanding dengan minat membaca yang sudah menjadi budaya dalam kehidupan di kalangan masyarakat di kebanyakan negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha serta kempen untuk meningkatkan kesedaran terhadap minat membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini, terutama di kalangan generasi muda.

Selain menambah bahan bacaan di perpustakaan sekolah dan institusi pengajian tinggi, kerajaan juga mewujudkan perpustakaan desa di peringkat daerah dan kampung untuk memudahkan rakyat mendapatkan bahan bacaan.

Di peringkat sekolah juga Kementerian Pelajaran melaksanakan Program Nilam untuk menggalakkan pelajar membaca bahan bacaan selain daripada tumpuan kepada buku teks. Namun kejayaannya masih kurang memberangsangkan dan tidak menyeluruh. Penggunaan perpustakaan juga masih kurang sambutan dan semua itu menyebabkan perkembangan industri buku menjadi suram.

Kita tidak boleh menyalahkan golongan pelajar seratus peratus kerana sistem pendidikan kita sejak di peringkat sekolah rendah lagi begitu menekankan peperiksaan menyebabkan mereka membaca semata-mata sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Punca mereka bersikap sedemikian adalah kerana syarat serta kelayakan memasuki ke universiti yang menjadi matlamat setiap pelajar, memerlukan mereka cemerlang dalam peperiksaan. Jika gagal dalam akademik, bermakna pintu ke institusi pengajian tinggi akan tertutup rapat, walaupun mereka mempunyai kemahiran lain.

Langkah kerajaan untuk mewujudkan Kota Buku di Kuala Lumpur, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini, membuktikan kerajaan tidak pernah jemu melakukan pelbagai usaha ke arah mewujudkan masyarakat minat membaca.

Kita percaya usaha itu akan mendapat sokongan padu daripada penerbit, penulis dan pengedar buku. Bagaimanapun ia tidak harus dilihat dari sudut keuntungan yang dapat direbut oleh golongan berkenaan semata-mata, kerana usaha itu akan hanya berjaya dan menjadi kenyataan jika kesedaran rakyat terhadap minat membaca berkembang dan berubah kepada lebih baik.

Rakyat adalah sasaran utama kepada sebarang usaha kerajaan untuk menggalakkan mana-mana pihak menerbit, menulis atau mengedar buku mereka kerana rakyatlah yang akan menentukan sama ada buku yang ditulis, diterbit dan diedar itu laris di pasaran.

Jika usaha kerajaan itu tidak mendapat sambutan di kalangan rakyatnya sendiri, kita tidak yakin apakah hasrat kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku akan dapat dicapai.

Penubuhan Kota Buku mengingatkan kita kepada Perkampungan Buku yang diwujudkan kerajaan di Pulau Langkawi. Sejauh manakah sambutan yang diberikan oleh rakyat terhadap projek itu dan apakah ia berjaya meningkatkan minat membaca sehingga menjadi budaya dalam kehidupan rakyat kita?

Jika usaha itu menjadi kenyataan kelak, kita tidak mahu melihat Kuala Lumpur sebagai pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku hanya akan mendapat sambutan dan tumpuan yang lebih baik di kalangan pelancong asing. Keadaan itu bukan mustahil memandangkan minat membaca di kalangan rakyat asing lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia sendiri.

Tidak lama lagi, Bulan Membaca akan kembali lagi. Matlamat Bulan Membaca yang jatuh pada setiap bulan Julai juga selari dengan hasrat kerajaan untuk menyemarakkan kesedaran serta minat membaca di kalangan rakyat.

Kita harap, tahun ini Bulan Membaca akan mendapat sambutan lebih menggalakkan dan pihak penganjur harus menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk menarik rakyat pelbagai peringkat umur mengambil bahagian.

Jadikanlah Bulan Membaca tahun ini sebagai usaha untuk melonjak minat membaca, sekali gus menjadi langkah untuk menyokong usaha kerajaan menubuhkan Kota Buku yang dijangka menjadi kenyataan akhir tahun ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/