Sabtu, 15 Ogos 2009

PROMOSI SASTERA HARUS BERGERAK LEBIH PANTAS


Oleh Anwar Ridhwan

MUTAKHIR ini begitu banyak produk dikeluarkan setiap hari, sama ada produk domestik, mahu pun produk internasional. Jenis produk itu berbagai-bagai pula, daripada produk pertanian, hinggalah kepada produk industri berat. Setiap produk dikeluarkan dengan matlamat untuk dijual. Tidak ada produk yang dikeluarkan hanya untuk tujuan disimpan, atau sekadar untuk memuaskan ego pengeluarnya, tanpa memikirkan keuntungan, atau sekurang-kurangnya titik pulang modal.

Oleh sebab itu setiap pengeluar biasanya menyediakan peruntukan khas, dalam bentuk kewangan, untuk tujuan promosi. Dalam lambakan produk yang banyak, promosi yang berkesan bukan saja akan memperkenalkan khalayak pengguna kepada sesuatu produk, malah boleh mempengaruhi pengguna untuk membeli produk tersebut.

Daripada 50 jenama produk yang paling terkemuka di dunia dewasa ini, hanya empat jenama produk China tersenarai di dalamnya; pada hal China sedang bangkit dengan hebatnya sebagai kuasa ekonomi baru dunia. Masalah yang dikenal pasti adalah kerana China belum menyediakan peruntukan serta pelan strategik yang berkesan bagi mempromosikan lebih banyak jenama produknya. Pengeluar semua produk menyedari, sesuai dengan kemajuan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan dasar globalisasi, setiap produk yang dikeluarkan mempunyai potensi pasaran antarabangsa yang meluas, yang boleh memberi pulangan kewangan yang besar.

Satu daripada produk yang tidak boleh diabaikan ialah produk seni seperti karya sastera. Sejak beberapa dekad yang lalu, banyak negara di dunia ini, melalui penerbit, sudah mempromosikan karya sastera dengan hebat, sama ada di dalam negeri, mahu pun di luar negara. Promosi yang berkesan bukan saja berhasil menjual karya sastera, malah mendatangkan pulangan kewangan yang bertambah melalui pembelian hak cipta, dan produk sampingan industri kreatif. Perluasan medium penyiaran sudah memberi manfaat langsung kepada pengarang dan penerbit, sesuai dengan akta yang memberikan perlindungan harta intelek kepada mereka.

Disedari atau pun tidak, promosi sastera nasional dalam negara ini belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Dalam suasana dan ketika tertentu, sastera nasional itu seolah-olah digerhanai oleh sastera dalam bahasa asing, terutama sastera Inggeris. Hal ini demikian kerana dalam suasana dan ketika yang tertentu itu, promosi sastera Inggeris dibuat dengan lebih hebat dan rapi berbanding promosi terhadap sastera nasional. Gejala ini pastilah mencalarkan imej sastera nasional di negaranya sendiri.

Pada peringkat rantau pun, promosi sastera nasional sangat terbatas. Promosi berkala dapat dilihat tatkala pengarang kita menerima anugerah atau hadiah peringkat rantau, seperti SEA Write Award, Anugerah Sastera MASTERA, atau Hadiah Sastera MASTERA; serta sambutan penghargaan pascaacara.

Kini ada lebih 80 bahasa yang penting dan agak penting di dunia, masing-masing mempunyai akhbar, penerbitan, serta media elektroniknya. Banyak negara luar sedang berlumba-lumba mempromosi sastera nasional masing-masing ke sebanyak mungkin bahasa-bahasa dunia itu. Langkah pihak kita berlegar seputar empat atau lima bahasa seperti Inggeris, Perancis, China, Russia dan Jerman, hendaklah dianggap sebagai langkah awal untuk menuju pentas yang lebih luas dan besar.

Usaha menjadikan sastera nasional sebagai warga sastera dunia yang berkesan, hanya boleh menjadi realiti dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun yang akan datang, jika lonjakan besar-besaran terhadap penterjemahan dan promosi dapat dilakukan.

Usaha promosi sastera nasional ke peringkat antarabangsa barangkali wajar turut mengenal pasti sejumlah kira-kira 500 tokoh antarabangsa yang terdiri daripada sarjana sastera yang terkenal, editor majalah sastera , editor jurnal sastera, editor akhbar yang mempunyai ‘literary supplement’, pimpinan institusi yang berkaitan sastera (termasuk sarjana-sarjana bahasa dan sastera Melayu/Indonesia di institusi-institusi pengajian tinggi luar negara), pengkritik sastera, penulis dan seumpamanya - untuk dijadikan perantara dan pembicara sastera nasional kita.

Barangkali perlu juga diterbitkan serta disebarkan buletin mengenai sastera nasional dalam terjemahan, setiap empat atau enam bulan sekali, kepada kira-kira 500 tokoh yang sudah dikenal pasti seperti di atas. Buletin ini antara lain boleh mengandungi biografi ringkas sasterawan nasional, memperkenalkan penulis muda yang berbakat, menyiarkan cerpen dan beberapa buah puisi terjemahan, resensi beberapa karya sastera, senarai karya sastera yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing, serta makluman kegiatan sastera yang akan dilangsungkan. Kandungan yang sama boleh diterbitkan dalam bentuk buletin elektronik yang boleh dicapai melalui internet, untuk khalayak yang lebih luas.

ITNM turut menerbitkan semula beberapa karya sastera nasional yang diterjemahkan sebelum ini, di samping judul baru. Ini adalah langkah yang baik. Khabarnya ITNM juga sedang mencari penerbit luar negara yang boleh bekerjasama menerbit, mempromosi dan memasarkan karya sastera kita. Biasanya penerbit asing lebih peka berhubung aspek kemasan dan reka bentuk buku yang sesuai, untuk dipasarkan di peringkat global. Pemasarannya hendaklah turut mengambil kira kemudahan pembelian melalui internet.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, hampir tiada berita mengenai sasterawan kebangsaan kita yang diperkenalkan ke pentas antarabangsa, lebih-lebih lagi secara yang amat sistematik. Kita sesungguhnya tidak kekurangan tokoh puisi, cereka dan drama yang boleh ditampilkan ke peringkat global.

Khalayak sastera khususnya pastilah mengharapkan, dalam tempoh terdekat ini pelbagai judul sastera tradisional yang dianggap genius bangsa Melayu, dan karya sastera moden kita diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia. Dalam konteks sastera moden, sastera kita mampu menawarkan kepada dunia buah tangan daripada penulis-penulis terkenal tanah air, termasuk karya penulis generasi baru dan muda.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1N1)

Kebanyakan ibu bapa memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan daripada dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1) ketika menghadiri majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Samarahan, Sarawak, semalam.

5j berisiko dijangkiti H1N1


BUKIT MERTAJAM 15 Ogos - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularan virus itu.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, statistik itu berdasarkan kajian terperinci WHO mengenai impak penularan luar biasa H1N1 terhadap sesebuah negara jika ancaman virus tersebut tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh.


''Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu.
''Jadi semua pihak perlu tampil bersama-sama mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini hari ini.


Tiong Lai berkata, penularan H1N1 dijangka berlarutan dalam tempoh satu atau setahun setengah lagi dan ia diramal menular lebih cepat pada musim tengkujuh iaitu antara bulan Oktober hingga Disember ini.


Sepanjang tempoh itu katanya, orang ramai turut terdedah dengan penyakit berjangkit lain. Justeru katanya, setiap lapisan rakyat perlu mengambil serius setiap langkah proaktif termasuk meningkatkan kebersihan diri tanpa mengharapkan program-program pencegahan yang dijalankan kerajaan semata-mata.


''Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam. Tempoh ini amat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah," tambahnya.


Kajian WHO juga katanya, menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda dengan jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus tersebut.


''Ini bermakna jika kita merekodkan 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang. Kajian WHO ini mungkin tidak begitu tepat tapi kita kena beri perhatian sewajarnya," jelasnya.


Tiong Lai berkata, walaupun kajian WHO menunjukkan risiko kematian pesakit yang dijangkiti H1N1 amat rendah iaitu antara 0.1 hingga 0.4 peratus tetapi keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya langkah pencegahan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.


Sementara itu katanya, tiga lagi kematian akibat H1N1 direkodkan setakat semalam menjadikan jumlah korban akibat penularan virus itu meningkat kepada 59 orang. Katanya, tiga kematian itu membabitkan dua lelaki berusia 22 dan 29 tahun yang masing-masing menghidap penyakit jantung dan obesiti.


''Seorang lagi mangsa ialah wanita berusia 44 tahun yang menghidap asma dan disahkan meninggal dunia selepas enam hari menerima rawatan," tambahnya.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

AKSARA MERDEKA



Setelah sekian lama kita menyusun dan mewarnakan
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah bersejarah ini
yang kenal huruf tetapi terlupa maknanya
yang kenal angka tetapi terlupa nilainya
yang kenal bunyi tetapi terlupa nadanya
yang kenal rentak tetapi terlupa geraknya
yang kenal lagu tetapi terlupa iramanya
yang kenal akhir tetapi terlupa awalnya.

Setelah sekian lama kita membaca dan menghafal
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah tercinta ini
yang cerah mata tetapi gelap hati
yang cerdik minda tetapi dungu peribadi
yang cantik bahasa tetapi buruk sikap
yang lembut budi tetapi keras lagak
yang merdu suara tetapi sumbang bicara.

Setelah sekian lama kita mencatat dan merakam
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah pusaka ini
yang impikan kemajuan tetapi menolak teknologi
yang impikan kemakmuran tetapi membelakangkan ekonomi
yang impikan kesejahteraan tetapi mencetuskan pergolakan
yang impikan kegemilangan tetapi meremehkan wawasan.

Setelah sekian lama kita menganalisis dan mentafsir
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah bertuah ini
yang terlepas kaki tetapi terikat tangan
yang terlepas mata tetapi terikat jiwa
yang terlepas fakir tetapi terikat cita-cita.

Setelah sekian lama kita menjulang dan memarbatkan
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah bertuah ini
yang kasihkan bangsa tetapi bencikan pemimpin
yang cintakan agama tetapi menyelewengkan fatwa.

Setelah sekian lama menghargai dan menghormati
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah berdaulat ini
yang menanam bunga tetapi menabur duri.

Karya: Wadi Leta S.A

Sumber : http://penyair.wordpress.com/

MERAWAT ANAK DEMAM

Sentiasa awasi suhu badan anak ketika demam.

APABILA anak demam, ibu bapa disaran segera membawa anak berjumpa doktor terutama jika mereka tidak mempunyai pengetahuan untuk merawatnya.

Demam adalah keadaan di mana suhu berada di atas tahap normal iaitu 38 darjah Celsius. Namun demam yang sesungguhnya ialah apabila suhu melebihi 38.5 darjah Celsius.

Tip penting semasa merawat anak demam:

Mencari penyebab demam dan perhatikan perilaku anak. Jika perilaku anak hampir sama seperti biasa, maka anda tidak perlu risau kerana demam biasa adalah tidak berbahaya.

Cegah dehidrasi kekeringan cecair dalam badan. Bayi dan kanak-kanak berisiko mengalami dehidrasi. Berikan anak lebih banyak cecair seperti air, kuah sup, jus buah segar yang dicampur air dan sebagainya.

Jika anak muntah atau cirit-birit, berikan minuman garam oral bagi menggantikan cecair yang telah keluar daripada badan.

Pastikan bilik anak tidak panas. Pasang kipas atau pendingin hawa dan pakaikan anak baju nipis.

Beri anak makan apa yang diingininya. Jangan dipaksa. Elakkan makanan berlemak kerana makanan ini sukar dihadamkan oleh tubuh.

Walaupun sebaiknya anak tidak ke sekolah kerana bimbang berjangkit dengan kanak-kanak lain, namun ini bukan bermakna anak harus berada di tempat tidur seharian.

Ibu bapa harus berjumpa doktor apabila bayi mereka yang berusia tiga bulan mempunyai suhu melebihi 38 darjah Celsius, tiga hingga enam bulan dengan suhu lebih 38.3 darjah Celsius, lebih enam bulan dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.

Berbincang dengan doktor jika terdapat tanda-tanda tidak mahu minum atau terdapat tanda dehidrasi, gelisah, muntah atau cirit-birit.

Anak nampak tidak selesa, gelisah atau asyik menangis.

Asyik tidur dan sukar dikejutkan.

Sering kejang, kaku atau sakit kepala yang teruk.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 14 Ogos 2009

Lima pendekatan bina budaya inovatif Malaysia

Oleh Dr Zaini Ujang
zaini@utm.my

DALAM satu pertemuan dengan tokoh korporat minggu lalu, persoalan memantapkan kerjasama ilmuwan dan industri untuk membantu kerajaan merealisasikan model baru ekonomi berasaskan kreativiti dan inovasi dibincangkan. Antara andaiannya ialah ekosistem inovasi rendah ketika ini menyebabkan kita sukar membudayakan inovasi dalam sektor awam dan swasta ke tahap membolehkan Malaysia menjadi penyumbang kepada teknologi, modal insan dan perkhidmatan nilai tinggi.

Sejak 1990-an, perkembangan pesat berlaku dalam sektor industri dan perkhidmatan, namun realitinya sebahagian besar teknologi, perisian dan peralatan canggih diimport. Itulah kaedah paling mudah dengan risiko paling minimum dari segi teknikal dan kewangannya.

Keadaan itu perlu dibendung kerana pergantungan kepada kepakaran asing tidak membolehkan Malaysia membina ekosistem inovasi seperti disebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Selain itu, pergantungan berkenaan menafikan fungsi saintis dan pemaju teknologi tempatan yang membangunkan prototaip dan reka cipta yang sedia dikomersialkan.

Tidak dinafikan sesuatu produk pertama banyak kelemahannya. Tetapi dengan usaha dan pembaikan dan inovasi berterusan, selepas dipasarkan, maka ia dapat diperbaiki secara berterusan. Ia relevan kepada semua produk, termasuk perisian Microsoft yang juga standard perisian pemprosesan kata ketika ini.

Inovasi tidak terhad kepada komuniti saintifik, seni, kelompok profesional dan berpendidikan tinggi. Istilah yang akar katanya berasal daripada bahasa Latin 'innovare' yang bererti 'mengubah, memperbaharui' itu berkait rapat dengan aktiviti merekacipta sesuatu karya, peralatan, kemudahan, perisian, sistem atau idea. Inovasi sebenarnya boleh dilakukan sesiapa saja dengan syarat mereka berani.

Menerusi konsep 1Malaysia, budaya inovasi diberi keutamaan sebagai satu daripada nilai aspirasi masyarakat Malaysia. Dengan kata lain, semua pihak perlu memahami dan mencari kaedah melakukan inovasi dalam kehidupan harian dan berkerjaya. Sementara peranan agensi seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), pada hemat saya menyediakan ekosistem inovasi lebih fokus menerusi rantaian nilai tinggi terhadap penciptaan produk, kaedah, sistem, perisian, pendekatan dan pemikiran baru.

Dalam Syarahan Perdana Naib Canselor UTM pada 11 Ogos lalu, berjudul 'Inovasi, Kreativiti, Inovasi,' saya mengemukakan lima pendekatan untuk membina budaya inovatif bagi meningkat daya saing Malaysia menerusi ekonomi nilai tinggi.

Pertama, mewujudkan kelompok teras di kalangan individu dan organisasi yang inovatif yang mempunyai semangat ingin maju bukan saja dari segi teknikal, saintifik atau seni bahkan digabungkan dalam bidang keusahawanan.

Kedua, menyediakan persekitaran akademik yang mementingkan kreativiti dan inovasi. Dalam konteks Amerika Syarikat, persekitaran ini dibentuk di persisiran kampus universiti, khususnya di universiti 'Ivy League' seperti Stanford, Harvard, UCLA dan MIT.

Ketiga, menyediakan insentif bagi sektor swasta khususnya untuk mencuba, memaju dan membangunkan produk, perkhidmatan, konsep, idea dan persekitaran yang inovatif sifatnya. Ia termasuk pelbagai insentif fiskal dan kewangan, serta modal teroka mereka dalam pelbagai bidang menerusi kegiatan penyelidikan dan pembangunan, terutama di persisiran kampus universiti.

Keempat, kemudahan kewangan yang disediakan oleh institusi kewangan dan sektor awam untuk menjana aktiviti hiliran yang berdaya maju, termasuk dalam aspek pembangunan mesin prototaip dan aktiviti pemasaran.

Kelima, keberanian pengguna sama ada di kalangan individu, sektor swasta dan awam untuk mencuba hasil inovasi baru, khususnya ciptaan tempatan. Di Jepun sebagai contoh, pengguna dan pihak industri berlumba-lumba dan bangga untuk menjadi pengeluar atau pengguna pertama sesuatu barang atau perkhidmatan yang inovatif.

Hal ini belum berlaku di Malaysia, termasuk agensi awam yang nampaknya lebih selesa menggunakan produk, sistem, perkhidmatan dan idea yang 'terbukti berkesan' dan digunakan dengan meluas sejak sekian lama, di serata tempat. Ini kononnya bagi memastikan pelaburan terjamin menerusi produk yang sudah meluas digunakan dan dipasarkan.

Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Bersedia Ramadan datang lagi

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

Justeru, kita perlu memperbaiki azam untuk menjadikan Ramadan ini lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelumnya. Antaranya, kita perlu memperbetul dan memperelokkan niat.

Kita perlu ikhlas bahawa ibadah ini demi Allah SWT semata-mata. Niat yang betul kerana Allah berupaya mendorong kita untuk lebih berusaha memperoleh pelbagai ganjaran.

Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan dinilai berdasarkan niat dan bagi setiap orang apa yang dia diniatkannya. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Ini bermakna, kita perlu menumpukan kepada usaha mendapat ganjaran yang dijanjikan Allah dan bukannya berlumba-lumba membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya.

Perkara kedua ialah kita perlu bersedia daripada segi fizikal, mental dan material bagi meraih bonus yang tidak terhingga di bulan Ramadan. Umat Islam disaran menjaga kesihatan tubuh badan agar dapat berpuasa di siang hari.

Mereka juga perlu bersedia daripada segi mental untuk melawan nafsu tidur, makan dan keinginan lain yang boleh mengurangkan pahala ketika berpuasa.

Begitu juga seseorang perlu bersedia daripada aspek kewangan untuk memperbanyakkan amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Nabi Muhammad bersabda: Barang siapa yang memberi iftar (jamuan untuk berbuka puasa) nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka.

Ketiga, kita perlu berazam untuk tingkatkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi ibadat puasa. Ini bermakna, kita perlu berazam untuk meningkatkan kualiti puasa. Ia boleh dilakukan dengan tidak membataskan puasa hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat. Di samping itu perkara-perkara wajib yang lain seperti sembahyang fardu dan menutup aurat juga turut dilaksanakan.

Keempat, kita perlu berazam untuk diberi peluang beribadat di malam Lailatulqadar. Ia adalah malam kemuliaan yang datang sekali setahun. Malam yang pahala beribadah padanya menyamai 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun 4 bulan. Justeru setiap individu Muslim perlu mempersiap diri untuk menjejaki malam itu.

Dan yang kelima, kita perlu sentiasa berharap dan berdoa agar ibadah puasa diterima oleh Allah. Setiap umat Islam perlu menaruh harapan tinggi agar puasanya diterima.

Oleh itu, kita digalakkan memperbanyak amalan sunat seperti bersedekah, tadarus al-Quran, iktikaf di masjid dan sebagainya bagi menampung kecacatan dan kekurangan ketika berpuasa.

Akhirnya diperingatkan juga agar sesiapa yang masih berhutang puasa agar segera mengqada puasa berkenaan. Kegagalan melunaskannya kemungkinan menyebabkan seseorang dinafikan daripada berbagai-bagai keistimewaan yang disediakan oleh Allah SWT di bulan Ramadan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Pasaran buku bahasa Melayu seakan terkubur

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my

Tindakan segera DBP sebagai penggerak sastera, bahasa, penerbitan mampu selamatkan industri

HAMPIR 52 tahun kita merdeka. Lebih setengah abad juga bangsa kita berjaya mentadbir negara mengikut keperluan dan acuan sendiri. Selepas lima dekad, apakah bangsa kita boleh dianggap bijaksana minda dan saksama akal budi dalam mendepani kehidupan ini? Apakah perlu kempen galakan membaca terus diadakan sedangkan industri buku negara sudah mencatat nilai RM1.5 bilion setahun.

Persoalan ini agak menarik untuk diperhatikan, apatah lagi stesen televisyen tempatan kerap mengingatkan 'Bangsa Membaca Bangsa Berjaya'. Mengikut kajian, rakyat Malaysia antara golongan yang kurang membaca. Mereka hanya menghabiskan beberapa helai muka surat setahun. Justeru, ke manakah sebahagian besar masa harian mereka digunakan?

Memang diakui aktiviti membaca bukan suatu budaya di kalangan masyarakat kita. Warga Malaysia, sebahagiannya lebih menumpukan kepada kerjaya dan pencapaian. Ada waktunya aktiviti pembacaan dianggap kurang perlu berbanding peluang dan ruang untuk mencapai status kehidupan lebih baik.

Pada Pesta Buku di The Mines Resort City, di ibu negara baru-baru ini, bangsa Melayu antara golongan paling ramai memenuhi gerai jualan. Anehnya, gerai jualan buku berbahasa Mandarin dan Inggeris mendominasi 70 peratus ruang pameran. Apakah ini mengaitkan betapa buku berbahasa Melayu masih rendah kuotanya, sama seperti komposisi kaum yang berjaya dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969?

Lebih malang lagi, kebanyakan gerai yang menjual buku Melayu, terutama agama banyak mempamerkan buku yang boleh dipertikaikan nawaitunya seperti misteri jin dan panduan berjimak cara Islam.

Novel Melayu pula lebih dikategorikan sebagai karya popular. Apakah buku Melayu yang bermutu dan mencelikkan minda bangsa terlalu miskin pembacanya? Bagaimana pula dengan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang banyak tersadai di stor Dawama di Hulu Klang?

Ada masanya, peranan DBP sebagai penggerak sastera, bahasa dan penerbitan buku Melayu amat diharapkan. Dari segi penerbitan karya bermutu, DBP diakui antara penerbit paling berjaya di negara ini. Bagaimanapun, apalah gunanya buku yang baik seandainya tidak sampai kepada sasarannya.

Ekoran keadaan inilah barangkali Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mengambil keputusan menubuhkan syarikat Wira Bukit untuk menerbitkan semula novel dan kumpulan puisi yang pernah diterbitkan DBP. Seorang sarjana sastera dari Universiti Malaya (UM) mengeluh dalam catatan di blognya mengenai hasil tulisan yang tidak terjual sekian lama. Dia mempersoalkan sampai bila DBP menerbitkan buku, tetapi tidak dijual?

Seorang penulis lain menerima surat daripada DBP yang mengatakan bukunya yang diterbitkan pada 2006 tidak dibayar royalti tahun ini kerana tidak mencatat jualan memberangsangkan pada 2007 dan 2008. Anehnya buku berkenaan tiada di kedai buku di bangunan DBP sendiri dan tidak juga dijual di pesta buku di The Mines Resort City. Jika buku tiada di kedai, bagaimana mahu dijual?

Tindakan drastik dan berkesan perlu dilakukan supaya buku yang baik akan sentiasa berada di pasaran, sementara minat membaca perlu dipupuk sejak di bangku sekolah. Mengikut statistik, negara menerbitkan 6,500 judul buku setahun membabitkan 200 penerbit. Angka ini terlalu kecil kalau dinisbahkan dengan jumlah penduduk ketika ini.

Angka yang kecil ini perlu diperbetulkan kerana sebuah negara yang 52 tahun merdeka, sepatutnya sudah mempunyai jati diri dan kekuatan membaca yang luar biasa.

Bangsa yang kurang membaca bakal ketinggalan, sama seperti apa yang berlaku kepada bangsa Arab yang kebanyakannya terus jumud selepas kejatuhan tamadun Abassiyah dan Osmaniah.

Jika China sudah berjaya menerbitkan 181,000 judul buku setahun dan Korea Selatan 42,000 judul buku, kita sepatutnya sudah berjaya menerbitkan 20,000 judul buku setahun. Angka ini sepatutnya boleh dicapai di bawah konsep 1Malaysia yang mengutamakan integriti dan kewibawaan bangsanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/