Isnin, 25 Januari 2010

20 sekolah hebat

Oleh Johari Ibrahim

Kumpulan pertama Sekolah Berprestasi Tinggi diberi autonomi

PUTRAJAYA: Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula semalam dengan pemilihan kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SBT dibimbing dan dipantau secara khusus menjamin berlaku lonjakan prestasi secara berterusan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penilaian SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai.

Beliau bagaimanapun menjelaskan SBT bukan sekolah elit untuk sebilangan kecil pelajar, sebaliknya semua sekolah mempunyai peluang sama dan boleh bersaing ‘di padang sama rata’ bagi mendapat pengiktirafan itu.

“Tahun ini kita sasarkan 20 sekolah mengikut sub Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) kementerian, manakala 30 pada tahun depan dan 50 lagi pada 2012,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai kumpulan pertama SBT yang meliputi 14 sekolah menengah (SM) dan enam sekolah rendah.

SM yang terpilih termasuk empat sekolah harian, iaitu SM Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Sultanah Asma, Alor Setar; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK (P) St George, Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, 20 sekolah berkenaan dipilih daripada 10,000 sekolah di seluruh negara berdasarkan kriteria tertentu termasuk menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Mengenai nasib sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata, mungkin mereka akan menghadapi cabaran kerana kemudahan yang belum setara dengan sekolah bandar, tetapi tetap boleh diiktiraf sebagai SBT jika memenuhi kriteria.

"Ini bukan usaha jangka pendek dan tak mungkin semua 10,000 sekolah naik ke tahap begitu, di mana dunia pun tidak begitu, tetapi tak kira bandar, luar bandar atau pedalaman, kalau prestasi bagus dia akan diiktiraf SBT manakala kemudahan di pedalaman kita akan terus perbaiki," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian belum ada mekanisme khusus mengenai langkah autonomi SBT yang membenarkan tempoh persekolahan ditamatkan setahun lebih awal bagi murid cemerlang.

"Panduan kasarnya ialah kerajaan berasakan pelajar cemerlang dibenarkan menamatkan persekolahan setahun lebih awal, tetapi ia akan bergantung kepada cadangan pengetua dan guru besar,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

SBT transformasi sekolah jadi terbaik pelbagai bidang

TAHNIAH kepada 10 buah sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan yang dipilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Dua puluh buah SBT ini menjadi perintis dalam usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran untuk mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik di Malaysia ke taraf dunia.

Pengumuman sekolah yang memenuhi kriteria SBT ini cukup istimewa. Berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, SBT berkenaan diberikan kuasa autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid.

Malah antara 'keistimewaan' lain ialah pelajar dibenar menamatkan persekolahan setahun lebih awal melalui kaedah lompat kelas.

Keistimewaan ini memang patut dicemburui kerana hanya 20 sekolah yang dipilih daripada 10,000 sekolah di negara ini yang menjalani penilaian pada tahun lalu.

Untuk dipilih sebagai SBT, sekolah-sekolah berkenaan telah membuktikan mereka yang terbaik daripada segi prestasi dan pencapaian akademik serta kurikulum sekolah, hasil usaha dan kerjasama kepimpinan sekolah, pelajar serta ibu bapa.

Sekarang, selepas terpilih sebagai SBT pada tahun ini maka Kementerian Pelajaran perlu berusaha dan memastikan mutu 20 sekolah ini tidak merudum atau merosot.

Dari sudut lain pula, kejayaan 20 sekolah yang terpilih itu diharap akan menjadi pendorong dan contoh kepada sekolah lain untuk meningkatkan prestasi hingga dapat berdiri sama tinggi dengan SBT itu. Ini kerana penilaian tidak lagi berasaskan akademik, sebaliknya berasaskan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia yang merangkumi kejayaan sekolah dalam kokurikulum, kebitaraan dalam pasukan beruniform dan kemampuan dalam pelbagai aktiviti.

Oleh yang demikian, mulai tahun ini semua sekolah termasuk sekolah harian, sekolah di pedalaman, sekolah aliran Cina dan Tamil dan sekolah berasrama penuh perlu bersaing sesama mereka untuk mendapat gelaran SBT.

Pemilihan 20 sekolah dikategorikan sebagai SBT ini adalah selaras dengan janji Kerajaan Pusat kepada rakyat.

Perlu diingatkan bahawa SBT adalah satu daripada empat sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran iaitu menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Sebab itu Kementerian Pelajaran perlu memastikan apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dapat dilaksanakan dan keberhasilannya dapat dipenuhi.

Kita hanya ada kurang sedekad lagi untuk mencapai sasaran negara maju menjelang tahun 2020. Semua orang percaya kemajuan dalam bidang pendidikan akan membantu negara mencapai Wawasan 2020 dan seterusnya.

Kita yakin pendidikan yang berkualiti akan menjamin masa depan rakyat. Maka melalui sistem SBT ini juga semua sekolah, guru, pelajar dan ibu bapa akan berusaha gigih menaikkan nama sekolah masing-masing.

Satu demi satu transformasi yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran adalah untuk menaik taraf semua kategori sekolah menjadi yang terbaik.

Acuan yang sedang kita tempuhi dan bina ini akan berjaya dengan syarat mendapat sokongan penuh semua guru, pelajar dan ibu bapa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

20 Sekolah Berprestasi Tinggi 2010 yang diumumkan TPM

PUTRAJAYA 25 Jan. - Berikut senarai 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, dalam usaha mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik ke taraf dunia.

1. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor.

2. Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor.

3. Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.

4. Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.

5. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.

6. SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

7. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.

8. Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan.

9. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.

10. SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.

11. SMK (P) St. George, Pulau Pinang.

12. Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Perlis.

13. Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.

14. SMS Muzaffar Syah, Melaka.

15. Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.

16. SK Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan.

17. SK Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur.

18. SK Convent Kota, Taiping, Perak.

19. SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

20. SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Nota Hujung :


Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan . Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa.


Sekolah-sekolah ini hendaklah memenuhi Prasyarat berikut :

  1. Pencapaian akademik yang menunjukkan trend menaik bermula dengan Take Off Value (TOV) sekurang-kurangnya 80% dalam peperiksaan awam (UPSR dan SPM);
  2. Pencapaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) atau instrumen yang setaraf dengannya sekurang-kurangnya 90% dalam semua dimensi;
  3. Menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa:
  4. Berjaya melahirkan personaliti-personaliti unggul (towering personalities) yang menerajui kepimpinan negara, negeri, organisasi dan komuniti;
  5. Menjadi penanda aras dan contoh bagi sekolah-sekolah lain dari dalam dan luar negara;
  6. Wujud permuafakatan yang jitu antara sekolah dengan masyarakat yang memberi impak kepada keberkesanan dan kecemerlangan pendidikan di sekolah;
  7. Mempunyai jaringan yang aktif dengan sekolah-sekolah sama ada di dalam negeri atau di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai bentuk program; dan
  8. Membina jaringan dengan institusi pendidikan tinggi di dalam dan di luar negara.
Ciri-Ciri Sekolah Berprestasi Tinggi

Pemimpin Sekolah
  1. Boleh deliver, mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti dalam pengurusan sekolah.
  2. Menyediakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) berpandukan garis panduan Pengurusan Berasaskan Sekolah yang disediakan oleh KPM bagi peningkatan sekolah, guru dan murid.
  3. Meningkatkan penglibatan sekolah ke peringkat antarabangsa.
  4. Membangunkan bakat kepimpinan guru dan murid.
  5. Sentiasa bersedia untuk dinilai oleh KPM dan pihak luar.
  6. Proaktif dalam melaksanakan perubahan dan pembaharuan.

Guru Sekolah
  1. Boleh deliver, mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
  2. Menyediakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) berpandukan garis panduan Pengurusan Berasaskan Sekolah yang disediakan oleh KPM bagi peningkatan murid.
  3. Membantu meningkatkan penglibatan sekolah ke peringkat antarabangsa.
  4. Membangunkan bakat kepimpinan murid.
  5. Sentiasa bersedia untuk dinilai oleh KPM dan pihak luar.
  6. Proakif dalam melaksanakan perubahan dan pembaharuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Murid Sekolah
  1. Menyediakan sasaran tahunan bagi peningkatan diri sendiri.
  2. Bertanggungjawab untuk pembelajaran kendiri.
  3. Berupaya mengendali dan menguruskan diri dan aktiviti sekolah
  4. Bekerjasama dalam kumpulan dan dapat berkomunikasi dengan berkesan.
  5. Menggunakan kuasa autonomi yang diberi dengan berkesan.

Kategori Sekolah
  1. Sekolah Kerajaan
  2. Sekolah Bantuan Kerajaan

Jangka Masa Pelaksanaan

2010= 20 buah sekolah
2011= 30 buah sekolah
2012= 50 buah sekolah

Ciri – ciri Utama SBT
  • Kepemimpinan
  • Pengurusan
  • Pencapaian
  • Kejayaan
  • Perhubungan
  • Identiti Kendiri
  • Pembelajaran Terarah Kendiri
  • Sistern Bekerja Berprestasi Tinggi
  • Kesaksamaan
  • Timbal- Balas
  • Penurunan Kuasa

Pelan Strategik SBT

Fokus 1 : Kepemimpinan Berprestasi Tinggi
Fokus 2 : Mengamalkan Pengurusan Berasaskan Sekolah
Fokus 3 : Mewujudkan Akauntabiliti
Fokus 4 : Piawaian dan Penandaarasan
Fokus 5 : Malaysia Menjadi Pusat Kecemerlangan
Fokus 6 : Menerajui Perubahan dan Pembaharuan

lmpak Sekolah Berprestasl Tinggi

Pemimpin
  1. Pengiktirafan sebagai pemimpin yang berwibawa.
  2. Mempunyai kuasa autonomi untuk Pengurusan Berasaskan Sekolah.
  3. Menerima ganjaran dalam bentuk bonus.
  4. Berpeluang mendapat guru pakar dan guru cemerlang.
  5. Berpeluang memilih guru yang efektif.
  6. Berpeluang memilih murid yang sesuai.
Guru
  1. Pengiktirafan sebagai guru yang berkesan.
  2. Mempunyai kuasa autonomi untuk Pengurusan Berasaskan Sekolah.
  3. Ganjaran dalam bentuk bonus.
Murid
  1. Murid berkemahiran dalam pengurusan diri, bekerja dalam kumpulan,berkomunikasi secara efeKif dan berkebolehan bersaing di arena antarabangsa.
  2. Berpeluang untuk memasuki universiti yang terkemuka di dunia
  3. Murid dikecualikan daripada mengikuti beberapa subjek tertentu peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi.
  4. Murid di tempatkan di kelas mengikut kebolehan/ kemampuan tanpa berdasarkan umur.
  5. Murid boleh mengambil peperiksaan awam mengikut kebolehan yang tidak berdasarkan umur.
  6. Murid memasuki IPTA tanpa berdasarkan umur.
  7. Murid mampu menjadi pesaing di peringkat dunia dalam mana-mana bidang yang mereka ceburi.
  8. Murid menerima P & P daripada guru-guru pakar dan cemerlang berasaskan data empirikal.
  9. Murid berpeluang untuk menyertai peperiksaan luar negara.
  10. Murid terdedah kepada teknologi terkini dalam pendidikan.

Kekangan
  1. Kewangan dalam membangunkan Sekolah Berprestasi Tinggi.
  2. Kekurangan sumber kakitangan untuk pergi ke sekolah-sekolah bagi tujuan pemantauan dan penilaian Sekolah Berprestasi Tinggi.
  3. Pekeliling dan Peraturan Pelajaran yang sedia ada menyekat pelajar menempatkan diri di peringkat tinggi dalam tempoh yang singkat kerana terdapatnya had umur.
  4. Wujudnya birokrasi dalam pentadbiran melambatkan sesuatu program dilaksanakan.
  5. Sikap, kurang kemahiran mengurus dan kepemimpinan pengetua / guru besar boleh menjadi penghalang kepada kejayaan program.

Cadangan
  1. Pelaksanaan konsep SBT akan melibatkan implikasi kewangan dan perjawatan. Oleh itu, adalah dicadangkan untuk mewujudkan satu sektor baru bagi memastikan SBT berupaya dilaksanakan dengan efisien.
  2. Memberi ganjaran yang setimpal kepada Pengetua, Guru besar dan guru-guru yang telah menunjukkan prestasi cemerlang selari dengan cadangan YAB Perdana Menteri ketika membentangkan NKRA berkenaan;
  3. Memerlukan pindaan dan semakan kepada peraturan pendidikan dan Surat – surat Pekeliling lkhtisas/ Surat Siaran yang berkaitan;
  4. Menyediakan maklumat kepada SBT mengenai peperiksaan luar negara (LPM/MPM)
  5. Biasiswa diberi kepada pelajar SBT yang berjaya memasuki lnstitut terkemuka di luar negara (Bahagian Tajaan)

Sabtu, 23 Januari 2010

Kisah si anak derhaka

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

Jenayah anak terhadap ibu bapa mesti dibendung.

“SELEPAS kedua-dua kaki saya dipotong, bukan kata-kata semangat yang saya terima. Sebaliknya, setiap hari saya dicemuh dan dihina kerana menyusahkan mereka.

“Isteri dan anak-anak menganggap saya sebagai beban apatah lagi apabila saya kerap minta bantuan mereka untuk bergerak atau menguruskan diri.

“Kadang-kadang, kewujudan saya di rumah seperti tidak dipedulikan. Saya menjadi penagih simpati daripada isteri dan anak-anak sedangkan selama ini tulang empat kerat ini yang memberi mereka makan,” luah Othman Ismail, 70.

Hidup pesara kerajaan ini dahulunya meriah dengan gelak tawa isteri dan dua pasang cahaya mata.

Walaupun tanpa kemewahan yang melimpah ruah, ia cukup membuatkan hatinya bahagia apabila anak-anaknya berjaya, malah ada yang melangkahkan kaki ke universiti.

Potong kaki

Namun, apabila disahkan menghidap penyakit kencing manis dan kaki kanannya dipotong pada tahun 2002, kehidupan Ismail mula berubah.

Keadaan lebih teruk apabila sebelah lagi kakinya mengalami nasib sama pada 2005.

“Masa itu layanan terhadap saya bertambah buruk. Makan hati juga dengan sikap mereka tapi saya tahankan sahaja. Takut kalau saya berkeras mereka akan tambah keras dengan saya.

“Bila ada anak yang boleh terima saya, menantu pula yang masam muka dan kadangkala saya menjadi punca pertengkaran antara mereka.

“Akhirnya saya ditinggalkan di rumah seorang diri. Sukarnya hidup masa itu hanya Allah yang tahu. Mujur ada seorang rakan yang prihatin dan mengambil saya untuk tinggal bersamanya.

“Lebih kurang setahun menumpang di rumah kawan, dia ada mencadangkan supaya saya memohon masuk ke Rumah Ehsan kerana saya memerlukan penjagaan yang lebih sempurna,” kata penghuni rumah jagaan warga emas yang dikhususkan untuk pesakit melarat itu.

Selepas memasuki Rumah Ehsan di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Ogos 2008, jiwa Ismail mulai tenang. Baginya, dia sudah tidak perlu lagi menahan perasaan dan berlakon pura-pura sihat sebaliknya masa tuanya sekarang banyak dihabiskan dengan mengabdikan diri pada Yang Maha Esa.

Baginya, tiada apa yang diharapkan dari hari esok selain kunjungan daripada anak-anak.

“Saya memang berharap mereka yang datang, tapi saya juga bersedia jika menutup mata tanpa sempat bertemu mereka, seperti rakan-rakan yang lain.

“Saya juga tidak marah jika mereka enggan mengurus jenazah saya dan hanya mahu menuntut surat kematian saya,” tuturnya sayu.

IBU "si tanggang", Tumi Wongsoruju meletakkan gambar anaknya di bahagian depan rumahnya sambil menaruh harapan agar anak tunggalnya akan kembali ke pangkuannya suatu hari nanti di Taman Duranda Emas, Kuching, Sarawak, 23 Januari.

Tak mengaku ibu

Kebelakangan ini cerita anak tidak mengaku ibu dan membuang bapa yang sakit melarat semakin banyak tersiar di dada akhbar-akhbar tempatan.

Jumaat lalu misalnya, Kosmo! memaparkan nasib malang Tumi Wongsoruju, 52, yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Dek kerana rindu yang menggunung, beliau yang sudah tiga tahun tidak mendengar sebarang berita mengenai anak tunggalnya, sanggup berhutang dengan saudara-mara semata-mata untuk membeli tiket penerbangan ke Kuala Lumpur bagi menjejaki anaknya itu.

Dengan hanya duit poket sebanyak RM150 dan alamat tidak lengkap sebuah kawasan perumahan di Serdang, beliau nekad menyusuli anaknya.

Usaha ibu ini berhasil apabila beliau berjaya menemui anaknya pada malam Khamis lalu. Bagaikan tidak sabar si ibu ini untuk menatap wajah anak yang selama ini ditunggu kepulangannya.

Begitupun, rasa teruja Tumi tidak bertahan lama. Sebaik sahaja menatap wajah anaknya, bukan pelukan yang diterima sebaliknya telinganya ditujah dengan kata herdik daripada menantunya.

“Apa yang lebih memilukan hati, anak saya enggan mengaku saya ibu yang mengandungkannya,” ujarnya dengan air mata berlinangan.

Diibaratkan sebagai tanggang moden, baik kisah Othman mahupun Tumi, ia sepatutnya tidak berlaku apatah lagi dalam masyarakat yang kaya dengan adat dan budaya menghormati ibu bapa.

Pukul ibu bapa

Melihat kepada statistik jenayah dilakukan anak kepada ibu bapa antara 2005 hingga 2009, jumlah kes yang dilaporkan biarpun kecil namun ia tetap membimbangkan.

Antara kes yang dilaporkan ialah anak melawan ibu bapa, memukul, menghalau dari rumah, menzalimi, mencuri harta dan membakar rumah.

Ini belum termasuk kes anak tidak sanggup memelihara orang tua sendiri lalu dihantar ke rumah penjagaan orang tua-tua.

Dari saat dimasukkan sehingga meninggal, boleh dikira dengan jari berapa ramai anak yang melawat, selebihnya hanya melepas tangan.

Mungkin ia kes Si Tanggang moden yang biasa kita dengar? Baru-baru ini, penulis melihat sendiri bagaimana seorang ibu bersumpah tidak akan memaafkan anak lelakinya yang tergamak memukul dan memperkosanya.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana remuknya hati si ibu sehingga sanggup tidak mengampunkan anaknya sehingga si anak datang melutut kepadanya.

Terdetik di dalam hati, di manakah tempat anak itu kelak apabila meninggal dunia? Ia sesuatu yang tidak mampu untuk dibayangkan oleh insan yang menyanjungi jasa dan pengorbanan seorang ibu.

Mereka tidak mengharapkan wang ringgit daripada anak sebaliknya kasih sayang dan perhatian. Mungkin benar kata orang, seorang ibu atau bapa boleh menjaga 10 anak, tetapi seorang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu dan bapa.

Bagi mereka yang bergelar anak, jangan dilupakan kasih sayang si ibu dan pengorbanan si bapa. Jika mereka sudah menutup mata, tidak ada apa yang boleh disesalkan lagi.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

Kisah Tenggang, tanggung jawab anak

Masih ingatkah lagi dengan sebuah iklan Aidilfitri mengenai seorang wanita yang gagal mengembalikan kasih sayang yang diberikan bapanya ketika masa remajanya.

Iklan hasil kerja Allahyarham Yasmin Ahmad keluaran Petronas itu bermula dengan wanita tersebut mengambil bapanya yang tua dari hospital untuk pulang ke rumah, dengan suaminya bertanya tidak bolehkah bapanya tinggal di hospital dengan lebih lama.

Di rumah wanita itu, bapanya menerima layanan dingin daripada menantu sehinggakan waktu makan pun orang tua itu terpaksa makan berseorangan di tempat lain dan tidak bersama keluarga anaknya.

Iklan itu berakhir apabila wanita tersebut sedar dia telah gagal membayar balik segala pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan oleh bapanya pada satu masa dahulu, kembali pada masa ini.

Baru-baru ini media melaporkan mengenai dua insiden di mana bapa telah ‘dibuang’ oleh anaknya.

Dalam kes pertama, seorang pesakit buah pinggang berumur 60 tahun telah ditinggalkan oleh anaknya di pusat hemodialisis di Kangar, Perlis. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kemudian menempatkan lelaki tersebut di sebuah rumah kebajikan, ‘Rumah Sri kenangan’ di Jejawi.

Itulah kali kedua dalam seminggu di mana warga emas dilaporkan dibuang oleh darah daging mereka sendiri.

Dalam kes sebelumnya, seorang bapa berumur 57 tahun telah ditinggalkan di tepi jalan bersama bungkusan pakaiannya di Behor dekat Kangar. Beliau, yang baru menjalani pembedahan jantung, terpaksa berlindung dan tidur di sebuah perhentian bas.

Lelaki itu kemudian diberi perlindungan di rumah kebajikan Batu Bertangkup di Chuping.

“Dalam dongeng Melayu, kita ada kisah ‘Si Tenggang’. Sekarang kita pula ada baca laporan media tentang anak membuang bapa yang tua”, kata Pegawai Kemajuan Masyarakat (Kemas) Rafia’ah Jaafar.

Sudah tentu Rafia’ah merujuk kepada sebuah cerita dongeng seorang pemuda bernama Tenggang yang meninggalkan kampung halaman untuk mencari kesenangan.

Beliau kemudian berjumpa dan berkahwin dengan seorang wanita kaya. Bertahun kemudian, ketika dalam satu pelayaran kapalnya terpaksa berlabuh di kampung tempat asalnya.

Bagi Rafia’ah terdapat beberapa jawapan bagi persoalan tersebut.

Ramai ibu bapa yang mahukan anak mereka dapat lebih daripada apa yang mereka sendiri punyai lalu melakukan kesilapan dengan terlampau memanjakan anak.

Bila besar anak itu tidak dapat menilai benda atau perkara yang ‘dikorbankan’ oleh ibu bapa dan berasa mereka berhak terhadap apa yang diberikan ibu bapanya”, katanya.

Apabila ibu bapa semakin tua, anak-anak berasa bukan tanggungjawab mereka untuk menjaga keperluan fizikal dan emosi ibu bapa, kata Rafia’ah.

Ada juga anak yang mementingkan diri sendiri dan memandang sambil lewa sahaja terhadap ibu bapa.

Satu lagi faktor adalah cara ibu bapa membesarkan anak. Sesetengah daripada anak mengharungi alam kanak-kanak yang traumatik dan mungkin membenci ibu bapa.

Ada ibu bapa yang mendera dan mendatangkan stres terhadap anak-anak. Jadi bila anak ini besar, mereka membalas apa yang mereka alami semasa kecil terhadap ibu bapa”, katanya.

Pada satu majlis tahun lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata sesiapa yang membuang ibu bapa boleh dianggap melakukan satu perbuatan kejam.

Beliau menasihati mereka yang rasa tidak lagi mampu menjaga ibu bapa supaya menghubungi pejabat kebajikan yang terdekat.

“Jangan tinggalkan mereka di hospital atau di jalanan. Juga jangan tinggalkan orang tua yang tidak berdaya keseorangan tanpa jagaan di rumah”, beliau dilaporkan berkata.

Kata Shahrizat, beliau tidak mahu melihat satu budaya buang ibu bapa berkembang di negara ini.

Bagi pendidik Abdul Rahman Noordin, sudah tiba masanya kerajaan menggubalkan undang-undang terhadap isu tersebut.

Mengikut Abdul Rahman, pertalian ibu bapa-anak adalah satu komponen yang amat penting dalam masyarakat yang penyayang dan maju.

“Tetapi kini terdapat satu trend di mana ibu bapa ditinggalkan di rumah orang tua tanpa apa-apa bantuan serta perhatian”.

Agak malang kerana negara ini masih belum punya akta yang mewajibkan anak menjaga ibu bapa mereka.

“Ibu bapa perlukan undang-undang bagi menjaga keperluan mereka di peringkat usia yang lanjut”, katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Konsep, promosi buku bahasa Melayu hambar

REKA bentuk kulit buku yang menarik mampu memberi persepsi positif kepada pembaca

Gaya penerbitan karya ilmiah patut lebih mesra pembaca setanding bahan dari luar negara

Oleh A Murad Merican

KEBIMBANGAN Persatuan Penulis Nasional (Pena) baru-baru ini terhadap industri penerbitan buku bahasa Melayu harus difikirkan dengan serius. Kita sudah tiba ke tahap kritikal dari segi penjanaan ilmu melalui buku bahasa Melayu.

Ia bukan hanya membabitkan dana, tetapi juga soal penulis dan penulisan, penyuntingan, reka letak, visual dan ilustrasi muka kulit, pemasaran dan penjualan. Walau apapun penerbit (terutama universiti) mesti memegang falsafah 'buku dinilai berdasarkan kulit muka depan' (judge a book by its cover). Reka cipta kulit muka depan buku bahasa Melayu mesti mencerminkan proses konsepsualisasi dan kreativiti yang mantap dan mendalam.

Saya merujuk pembentang kertas kerja (pensyarah penerbitan) mengenai penerbitan buku ilmiah pada satu seminar. Beliau menyatakan penerbit universiti tidak perlu bersusah payah dalam rekaan muka depan kulit buku kerana ia buku ilmiah.

Namun, saranan Presiden Pena, Datuk Baharuddin Zainal dalam memperkasakan industri penerbitan buku bahasa Melayu perlu diberi perhatian pihak berwajib.

Saya bukan pakar penerbitan buku. Saya menulis berdasarkan peminat dan pembaca buku bahasa Melayu. Kira-kira 22 tahun lalu, saya pernah berdepan dengan kerenah penerbit buku di Lembah Klang. Saya yang baru menjadi pensyarah berbekalkan ijazah sarjana di sebuah universiti awam menyatakan hasrat untuk menerbitkan buku dengan penerbit berkenaan. Malangnya saya diberitahu penerbit hanya mahu manuskrip penulis yang mempunyai PhD atau profesor madya ke atas tanpa membaca manuskrip saya terlebih dulu.

Apakah sikap penerbit itu wajar? Saya mendedahkan peristiwa lampau kerana ingin menunjukkan betapa ruginya sikap pilih bulu penerbit terhadap penjanaan ilmu kepada masyarakat.

Penerbit harus memperbetulkan pandangan terhadap pemegang PhD dan jawatan akademik, atau penulis yang tiada jawatan di universiti atau mereka yang tidak mempunyai ijazah.

Kita jangan taksub kepada gelaran dan pangkat. Apakah semua pemilik PhD ialah cendekiawan atau apakah semua profesor boleh menulis dengan baik dalam bidang masing-masing? Apakah penerbit perlu memandang serong kepada seseorang hamba Allah yang hanya mempunyai jiwa dan akal budi?

Apakah semua buku yang dikatakan ilmiah di dunia dikarang pemegang PhD dan profesor? Cuba rujuk beberapa penerbitan ilmiah dan kesarjanaan di Eropah, Australia dan Amerika Syarikat yang ada antara penulisnya hanya pensyarah atau pensyarah kanan.

Jika penerbit di Eropah, Australia dan Amerika mengukur nilai manuskrip dengan kelayakan akademik dan jawatan, maka dunia penerbitan mereka ketinggalan dan tamadun mereka akan pupus.

Di sini timbul tanggungjawab penerbit dan pewasit untuk mengenal pasti serta menghalusi nilai keilmuan sesebuah manuskrip. Jauhari mesti mengenal manikam. Ini bukan soal industri penerbitan saja tetapi dunia penerbitan buku yang merangkumi juga penulis dan pembaca, serta etos dan pandangan alam tamadun itu sendiri.

Bercakap mengenai penerbit Barat, saya tertarik dengan katalog buku terbitan mereka yang amat menarik bukan hanya dari segi visual dan reka letak, tetapi juga lengkap dengan maklumat dan paparan buku yang diterbitkan.

Hampir 25 tahun saya menjadi ahli akademik. Sepanjang kerjaya di universiti, saya jarang menerima katalog daripada penerbit buku bahasa Melayu atau penerbit ilmiah universiti setanding katalog penerbit luar. Katalog buku termasuk dari Singapura dihasilkan dengan teliti, kreatif dan menarik.

Katalog buku bahasa Melayu hasil penerbit tempatan seperti melepaskan batok di tangga. Hampir setengah abad, saya menerima katalog yang dihantar dari luar negara atau oleh pengedar, ejen di Malaysia dan melalui e-mel. Semuanya dalam bahasa Inggeris dan memaparkan pemikiran serta konsep yang sesuai dengan sasaran. Setiap katalog yang diterima mempunyai maklumat lengkap termasuk ulasannya. Tipografi dan kertasnya juga molek dilihat dan dipegang.

Itu cara mempromosikan buku. Jika penerbit luar negara mempunyai inisiatif mengirim katalog kepada masyarakat akademik di Malaysia, mengapa tidak penerbit tempatan? Tetapi itu tidak berlaku secara sistematik dan berterusan.

Kita mempunyai penerbit universiti, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta penerbit komersial. Apa salahnya jika kita mengirimkan katalog buku bahasa Melayu kepada semua pensyarah di Malaysia? Atau dapatkan alamat e-mel dan kirimkan melalui internet? Sekurang-kurangnya ahli akademik dan ilmuwan tahu kewujudan buku bahasa Melayu, khususnya buku dalam bidang mereka dan isu yang diminati.

Bagaimana penerbit membuat klasifikasi terhadap buku? Perlu ada rombakan pemikiran mengenai konsep dan penjenisan buku yang diterbitkan. Saya lihat banyak tajuk menarik dan berguna kepada pembaca bijaksana tidak dapat dijual dan tidak terjual. Satu masalahnya ialah promosi. Tidak kurang penting ialah banyak buku yang klasifikasikan sebagai ilmiah dipaparkan sebagai buku teks atau bacaan berat.

Klasifikasi itu hanya merugikan semua pihak. Sikap penerbit melihat buku ilmiah hanya untuk bacaan pelajar, mahasiswa, pensyarah dan cerdik pandai mesti dihapuskan. Maka buku itu diberi konsep seperti buku teks dan akademik dari segi saiz, jenis kertas, jenis muka kulit, visual dan ilustrasi.

Apakah buku yang subjeknya mengandungi perbincangan mengenai disiplin misalnya matematik, sains, sosiologi atau ekonomi mesti dipaparkan seperti buku akademik? Banyak buku termasuk terbitan DBP serta universiti tidak mendapat sambutan.

Lihat saja penerbit seperti Penguin, Vintage, Routledge, Sage; juga NUS dan OUP. Klasifikasi buku kepada ilmiah, tidak ilmiah atau akademik mesti dikaji semula. Jika kita andaikan jumlah pembaca di Malaysia kian menurun, maka kuranglah cerdik pandai masyarakat kita yang membaca. Buku untuk semua, bukan untuk orang bersekolah dan cerdik pandai saja.

Saya perhatikan buku bahasa Melayu dan penerbit universiti tidak mengambil berat maklumat penulis, penyunting dan penyelenggara buku. Nilai setiap buku juga bergantung kepada karyawan seperti latar belakang, kelayakan dan pemikirannya. Ada juga buku yang bagus kandungan dan nilai keilmuannya tidak memuatkan biodata penulis.

Penulis adalah kritikal kepada dunia penulisan dan sumber manuskrip dalam membentuk buku. Apakah biodata dianggap perkara ringan? Yang menjadi masalah dunia penerbitan bahasa Melayu (termasuk penerbit universiti) ialah sikap bebal penerbit terhadap dunia penerbitan itu sendiri.

Saya sedang membaca buku yang amat bernilai dari segi kandungannya bertajuk Akhbar Saudara: Pencetus Kesedaran Masyarakat Melayu (2009), oleh Siti Rodziyah Nyan, terbitan DBP. Namun, biodata penulis tidak dimuatkan sehingga sukar saya menilai buku itu sepenuhnya.

Mengenali penulis juga penting. Penerbit mesti faham keperluan itu. Sebuah lagi buku ialah Pascakolonialisme dalam Pemikiran Melayu (2005), terbitan DBP diselenggara Mohamad Daud Mohamad dan Zabidah Yahya.

Buku ini juga tidak ada maklumat mereka dan penulisan bab. Mungkin perkara ini nampak kecil dan remeh, tetapi ia menambah nilai dan kredibiliti sesebuah buku.

Penulis ialah Profesor Jabatan Pengurusan dan Ilmu Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, Tronoh

Sumber : http : //www.bharian.com/

Jumaat, 22 Januari 2010

Tunku Ibrahim Diisytiharkan Sultan Johor Kelima

Tengku Mahkota Johor menandatangani watikah pelantikan sebagai Sultan Johor kelima pada majlis permashuran di Istana Besar.

JOHOR BAHARU, 23 Januari : Pemangku Sultan Johor, Tunku Ibrahim Ismail secara rasmi telah diisytiharkan sebagai Sultan Johor.

Pengisytiharan itu dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada jam 10.21 pagi tadi di Istana Besar.

Kenyataan rasmi berhubung perlantikan itu akan dibuat kemudian.

Sumber : http: //www.mstar.com.my/