Jumaat, 30 Julai 2010

Masa bertindak ke atas majikan degil ambil pekerja asing

SEMUA orang bercakap tentang kebanjiran warga asing yang dilihat semakin meningkat dari hari ke hari dan mendatangkan bebanan kepada Malaysia.

Dahulu kita sibuk dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia, Filipina dan Bangladesh. Sekarang masalah negara ditambah dengan kebanjiran warga asing dari India, Myanmar, Vietnam, dan yang terbaru dari China.

Mereka semua datang ke Malaysia bukan untuk melancong tetapi untuk mencari rezeki yang halal dan yang haram.

Kita sudah tahu faktor pendorong warga asing datang untuk bekerja di Malaysia adalah kerana kemakmuran dan kestabilan ekonomi negara kita.

Faktor sikap rakyat tempatan pun boleh dijadikan alasan kebanjiran mereka hingga mereka menjadi pilihan banyak majikan.

Walau apa pun rakyat tetap mahukan masalah pekerja asing yang membawa bersama isu sosial dan jenayah perlu dikawal agar ia tidak menjadi lebih parah.

Tidak banyak permintaan daripada rakyat kepada kerajaan. Mereka hanya minta kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjaga hal ehwal keselamatan awam perlu menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas.

Banyak pekerja asing adalah pendatang haram. Mereka menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu, pas lawatan sosial atau ada juga redah begitu sahaja.

Untuk mendidik pendatang haram ini, hanya Akta Imigresen yang telah dipinda beberapa kali itu mesti dilaksanakan dengan lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh.

Pendatang haram tidak akan datang ke negara kita jika tidak ada pekerjaan. Di sinilah punca kebanjiran pekerja asing apabila majikan-majikan di Malaysia lebih rela mengambil pekerja asing dengan bayaran yang murah daripada mengambil pekerja rakyat tempatan.

Ini kerana majikan tidak perlu membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kita sendiri pun kadang kala tidak ambil peduli dengan kebanjiran pekerja asing. Bagaimanapun, apabila kehadiran warga asing ini menimbulkan pelbagai kes jenayah seperti bunuh, samun bersenjata api, rogol, pecah rumah, ragut dan banyak lagi maka ini akan mengejutkan kita daripada lena tentang keburukan pekerja asing.

Justeru, agensi penguat kuasa di bawah KDN perlu melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan dan menghantar semula pekerja-pekerja tanpa izin.

Sudah lama kita tidak mendengar Operasi Pemutihan dan Ops Nyah yang dikatakan cukup berkesan dalam usaha membendung kedatangan PATI.

Meskipun begitu, kejayaan dan keberkesanan operasi pihak berkuasa bergantung juga kepada kerjasama dan sokongan orang ramai. Ia tidak mendatangkan kejayaan jika tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan.

Sikap majikan yang memandang mudah terhadap seruan kerajaan berhubung masalah PATI antara faktor memburukkan keadaan dalam negara. Majikan patut mengubah sikap demi kepentingan negara dan rakyat. Mereka hendaklah menggaji pekerja asing yang memiliki visa dan permit kerja yang sah sahaja.

Tetapi entah kenapa, perkara yang menyalahi undang-undang yang mereka pilih atas dasar keuntungan.

Tempoh memberi amaran demi amaran telah tamat. Elok sangat Jabatan Imigresen mengambil tindakan tegas terhadap majikan-majikan yang didapati masih menggaji dan melindungi PATI di negara ini.

Operasi besar-besaran yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen bermula Khamis lalu membuktikan kerajaan memang serius.

Kita sudah banyak menanggung kerugian apabila mengambil pekerja PATI. Entah berapa jumlah kos sebenar yang perlu dikeluarkan oleh majikan dan kerajaan bagi mengambil pekerja asing.

Kos itu antaranya membabitkan pembayaran levi, rawatan di hospital kerajaan dan minyak bersubsidi yang dibeli oleh pendatang asing.

Kepada semua majikan di Malaysia, elaklah daripada mengambil pekerja asing atau bersedia berdepan dengan tindakan tegas berupa denda dan penjara. Paling merimaskan tentunya proses turun naik mahkamah untuk tempoh yang panjang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 28 Julai 2010

Kemasukan pekerja asing secara haram undang pelbagai risiko

PEKERJA asing yang memasuki Malaysia tanpa mengikut saluran sah, mengundang banyak masalah kepada negara, khususnya dalam soal keselamatan. Walaupun negara memerlukan ramai tenaga pekerja asing dalam pelbagai sektor terutama pembinaan, perniagaan dan pembantu rumah, kemasukan mereka harus mengikut prosedur. Kehadiran mereka secara haram dalam jumlah yang besar jika tidak dikawal, bukan saja boleh menjejaskan sumber rezeki rakyat tempatan, malah keselamatan negara juga boleh tergugat. Mereka juga membawa pelbagai masalah sosial, termasuk jenayah dan penyakit. Perangkaan terbaru menunjukkan, ada 1.9 juta pekerja asing yang sah dan lebih sejuta bekerja secara haram. Apa yang menjadi persoalan, bagaimana mereka boleh memasuki dan bekerja di negara ini dengan mudah tanpa dokumen sah. Kita bimbang kemasukan mereka didalangi pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan. Kelmarin, Ketua Eksekutif Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Mohamed Sha’ani Abdullah, mendedahkan lebih 50 agensi pekerja asing di negara ini dikenal pasti beroperasi secara haram. Ia berdasarkan aduan diterima tahun lalu. Berdasarkan aduan itu, NCCC mendapati modus operandi agensi terbabit ialah membekalkan pekerja asing yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial. Apabila mereka bekerja di negara ini dengan hanya memiliki pas lawatan sosial, pastinya akan timbul pelbagai masalah. Jabatan Imigresen turut mendedahkan ada usaha membawa masuk sejumlah 55,000 pekerja asing dari Bangladesh ke negara ini, walaupun kerajaan sudah membatalkan permohonan visa pekerja asing dari negara itu sejak 2008. Semua visa termasuk yang belum memasuki Malaysia dibatalkan serta-merta pada Mac 2009, selaras dengan keputusan kerajaan untuk tidak menerima sebarang permohonan baru melainkan dalam sektor kritikal.

Kemasukan pekerja asing secara haram juga boleh menyekat rezeki rakyat tempatan, terutama dalam sektor perniagaan. Perangkaan Kementerian Sumber Manusia merekodkan lebih 400,000 rakyat kita masih menganggur, sedangkan hampir dua juta pekerja asing dapat mencari nafkah di negara ini. Negara ketika ini memiliki kira-kira 6.6 juta sumber tenaga tempatan yang boleh dieksploitasi, sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Namun, peluang mereka terjejas akibat perbuatan tidak bertanggungjawab agensi pekerja asing yang beroperasi secara haram. Semuanya berlaku disebabkan ada permintaan tinggi dan penawaran berlebihan. Ada majikan sanggup mengambil pekerja asing melalui sumber tidak sah bagi menjimatkan kos, manakala pekerja asing pula sanggup memasuki negara ini secara haram kerana memerlukan pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan berbanding di negara asal. Atas desakan hidup, pekerja asing sanggup mengetepikan pelbagai risiko, termasuk penganiayaan kerana agensi terbabit sanggup melakukan apa saja bagi mengaut keuntungan. Mereka juga berdepan dengan janji kosong pihak agensi sehingga ada sesetengahnya tidak menerima gaji, malah didera majikan tidak bertanggungjawab. Yang pasti, pekerja asing tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya, jika timbul masalah kerana mereka tidak memiliki dokumen sah. Pihak berkuasa, terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus memantau secara berterusan dan jika ada bukti, agensi yang beroperasi secara haram wajar dikenakan tindakan tegas.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 27 Julai 2010

Tiada salah guru aktif berpolitik asalkan bersikap profesional

BERPOLITIK bagi golongan guru bukanlah baru. Sejarah pejuang bangsa untuk memerdekakan tanah air ini dahulu pun terdiri daripada kalangan pendidik, malah mereka dipandang tinggi dalam masyarakat.

Kelibat guru dalam politik berkurangan apabila larangan ke atas kumpulan pengurusan dan pegawai kerajaan kumpulan A termasuk guru berijazah dibuat pada tahun 1990-an.

Kini, bermula 1 Ogos depan, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan membabitkan diri dalam politik. Berita baik ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Terdahulu hanya guru yang berada pada kategori bukan siswazah iaitu DGA29 hingga DGA38 dibenar menyertai politik.

Pembabitan semula kumpulan guru ini dalam bidang politik dilihat mampu melahirkan idea baru, tambahan pula mereka dekat dan dihormati masyarakat setempat.

Tiada salah guru kembali aktif berpolitik asal mereka mempunyai minat dan bersikap profesional.

Soal kebimbangan guru mungkin mengabaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa apabila terlibat dalam politik sebenarnya tidak timbul kerana kita yakin mereka boleh menguruskan masa dengan baik.

Kita tidak nafikan pada masa sekarang pun, ada guru secara senyap-senyap terbabit dalam politik. Daripada mereka melakukannya secara rahsia, lebih baik kerajaan memberikan kebenaran.

Kepada guru yang ingin bergiat aktif dalam politik, mereka dinasihatkan sentiasa bertanggungjawab kepada kerjaya dan politik.

Guru bebas untuk menyertai mana-mana parti politik, tetapi mereka perlu bersikap adil dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Sekiranya ada guru yang taksub kepada mana-mana parti politik, janganlah mereka bawa sentimen atau emosi ke dalam kelas dan kawasan sekolah.

Jika hal-ehwal perjuangan parti politik dibawa ke sekolah, dibimbangi perpecahan dalam masyarakat negara ini bertambah buruk.

Sebaliknya, golongan guru diharap menggunakan kepakaran mereka untuk memimpin semula anak muda memahami perjuangan agama, bangsa dan negara, selain memberi nafas baru dengan cetusan idea yang bernas untuk dimanfaatkan semua pihak.

Apa pun pemansuhan larangan guru siswazah berpolitik perlu disertai kawalan bagi memastikan kelonggaran itu tidak disalah guna. Syarat-syarat ketat perlu guru patuhi supaya tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan pembabitan mereka dalam politik.

Pun begitu, kita sokong kebenaran berpolitik itu membabitkan guru gred DG41 hingga DG48 iaitu guru siswazah biasa. Jika ia membabitkan guru yang berada pada gred lebih tinggi dikhuatiri beban tugas mungkin terjejas dengan aktiviti tambahan di luar sekolah.

Dengan kebenaran ini juga kita mengharapkan guru terbabit mampu memberi sumbangan dalam menjalankan dua tanggungjawab serentak. Kepada guru yang bercadang menyertai parti politik, bijaklah mengurus masa dan tenaga supaya tidak wujud sebarang konflik yang akhirnya menjejaskan tumpuan hingga mengabaikan tugas hakiki yang sepatutnya diberi keutamaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 24 Julai 2010

Berjemaah dalam menjaga kebersihan alam sekitar

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

KEHIDUPAN manusia dalam dunia moden terdedah kepada pelbagai wabak penyakit dan ada antaranya boleh meragut nyawa seperti penyakit demam denggi yang sedang merebak sekarang ini memerlukan perhatian semua pihak.

Islam sudah memberikan ingatan jelas berbentuk saintifik bagaimana kita dapat mengatur kehidupan dalam keadaan sihat sejahtera dengan memfokuskan kepada langkah pencegahan, bukannya pemulihan.Contohnya, Islam meletakkan kualiti bersih sebagai prasyarat kepada sempurnanya iman seseorang hamba.

Paradigma fikir yang hanya menghargai kepentingan kesihatan tatkala ditimpa penyakit sewajarnya dihentikan dan meletakkan aspek kesihatan pada kedudukan tertinggi.


Benarlah kata Nabi SAW bahawa dua nikmat yang sangat manusia lalaikan ialah masa lapang dan waktu sihat. Inilah dua anugerah Allah yang kita abaikan dengan beranggapan ia akan bertahan lama.

Keasyikan mencari nafkah kehidupan dan dalam keghairahan meneroka harta kebendaan duniawi, dua perkara khususnya kesihatan diabaikan tanpa mengambil sikap berjaga-jaga. Ada juga dalam kalangan kita prihatin mengenai kebersihan tubuh badan saja dan tidak memberi perhatian terhadap alam sekitar.

Ini juga satu lagi sikap yang bertentangan dengan tuntutan agama kerana penjagaan kebersihan dan mengekalkan kesihatan turut merangkumi alam sekitar.

Penyakit demam denggi merebak secara berleluasa akibat tidak mengambil berat kebersihan persekitaran menyebabkan aedes membiak.

Kawasan persekitaran rumah, laluan air atau longkang yang tersumbat tanpa langkah pembetulan juga menyenangkan pembawa penyakit seperti nyamuk bermaharajalela. Seandainya diteliti umat Islam jarang memberi perhatian kepada aspek kebersihan persekitaran.

Jika adapun hanya apabila sesuatu penyakit sudah merebak. Pada waktu itulah penghuninya sibuk dengan aktiviti gotong-royong secara drastik kerana takutkan penyakit.

Kelemahan masyarakat hari ini ialah pemikiran yang menganggap bahawa kerja pembersihan alam sekitar adalah tanggungjawab pihak berkuasa. Sepatutnya menjaga kebersihan alam sekitar menjadi budaya kepada semua lapisan masyarakat.

Aktiviti bersama dalam sesuatu komuniti dianggap sebagai kegiatan amar makruf yang menjurus kepada manfaat bersama. Bukan kualiti kesihatan dapat dipelihara, malah ikatan ukhuwah dapat dipertingkat.

Allah menegaskan kepada umat-Nya supaya sentiasa berlumba membuat kebajikan. Inilah medan terbaik untuk setiap mukmin mempamerkan sikap berlumba mencipta kebajikan sesama ummah selain dapat mengikis sikap mementing diri sendiri.

Ini satu lagi nilai murni ditekankan Islam kerana semangat berjemaah bukan hanya terhenti dalam aspek ibadah solat, tetapi mestilah diterjemahkan dalam aspek kehidupan lain seperti aktiviti memelihara kebersihan alam sekitar.

Alangkah indah kehidupan masyarakat Islam seandainya segala aspek penghidupan dilaksanakan secara berjemaah dan ini tentu diberi keberkatan oleh Allah. Masyarakat bagai ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ mesti dihindari orang beriman.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jika semua pihak sedar menjaga kebersihan alam sekitar tanggungjawab bersama, maka tidak perlulah pelbagai kempen diadakan. Ini tidak, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan terpaksa mencari pelbagai ikhtiar menyedarkan orang ramai pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

Justeru, kita kena kembali menghayati seruan Islam yang mementingkan kebersihan supaya tahap kehidupan umat Islam di dunia ini terus berada pada kedudukan fizikal dan minda yang unggul.

Sumber : http ; //www.bharian.com.my/

Jumaat, 23 Julai 2010

Pencemaran sungai simbol kemusnahan alam


Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

KEJAHILAN dan kedegilan manusia merubah sungai menjadi tempat buangan sampah sarap dan bahan buangan kilang menyebabkan manusia menghadapi krisis air walaupun berada dalam negara yang dikelilingi sungai. Mereka tidak menyedari bahawa sikap dan tindak tanduk sedemikian boleh menyebabkan mereka termasuk dalam golongan orang yang tidak bersyukur dan perosak alam.

Manusia diciptakan oleh Allah sebagai pemelihara atau pemimpin kepada setiap ciptaan-Nya di muka bumi ini, bukannya perosak dan pemusnah alam semula jadi.

Manusia terikat dengan perundangan Allah berkaitan dengan makhluk yang wujud di dunia ini. Allah menjelaskan perkara ini dalam Surah al-A'raf ayat 56 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik".

Air merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Ia merupakan unsur utama yang wujud sebelum langit dan bumi dicipta. Allah menjelaskan perkara ini dalam Surah Hud ayat 7 yang bermaksud, "Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, dan adalah singgahsana-Nya (sebelum itu) dalam air."

Justeru air menjadi nadi dan sumber kehidupan setiap benda di dunia ini. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam Surah al-Anbiya' ayat 30 yang bermaksud, "Dan daripada air, Kami jadikan segala sesuatu yang hidup". Penurunan air dari langit ke bumi dianggap sebagai rahmat dan kasih sayang daripada Allah terhadap makhluk-Nya.

Air yang diturunkan dari langit itu menyerap ke dalam bumi dan bertakung menjadi sungai sepatutnya dipelihara dan dikawal daripada pencemaran kerana ia merupakan keperluan asas manusia dan makhluk-Nya yang terpenting di dunia.

Betapa pentingnya air dalam kehidupan manusia tidak pernah dihiraukan oleh manusia. Penurunan hujan dan takungan air yang berlimpah tidak pernah tergambar dalam akal pemikiran mereka bahawa sumber air ini mungkin menghadapi kekeringan atau keracunan jika manusia cuai menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemelihara alam sekitar.

Islam amat prihatin terhadap kebersihan tempat dan tubuh manusia. Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya, "Sesungguhnya kebersihan itu separuh daripada iman". Islam menekankan aspek kebersihan dalam hidup adalah kerana setiap aspek berkaitan dengan ibadah kepada Allah terutama sembahyang memerlukan kebersihan diri dan tempat.

Dua unsur utama dalam pembersihan badan sebelum melaksanakan ibadah kepada Allah ialah air dan debu yang bersih. Kedua-dua unsur ini juga merupakan asas penciptaan manusia, seperti mana firman Allah dalam Surah al-Hijr ayat 26 yang bermaksud, "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang dibentuk".

Air merupakan satu anugerah daripada Allah. Ia adalah salah satu daripada tiga perkara yang mana setiap manusia mempunyai hak, iaitu rumput (padang rumput untuk binatang ternakan) air dan api. Berdasarkan kepada kepentingan air bagi makhluk di muka bumi ini, maka Islam telah meletakkan beberapa perundangan berkaitan dengan air.

Terdapat dua dasar ajaran yang penting mengenai hak air dalam syariah Islam, iaitu shafa (hak untuk orang yang dahaga), menubuhkan hak universal untuk manusia bagi menghilangkan dahaga mereka dan juga binatang ternakan mereka, dan shirb (pengairan) yang mana memberi hak kepada semua pengguna untuk menyiram tanaman mereka.

Rasulullah SAW memberi amaran kepada mereka yang tidak mengambil berat terhadap hak air untuk manusia keseluruhannya dengan sabda-Nya yang bermaksud, "Di antara tiga orang yang tidak akan dipedulikan Allah pada Hari Kebangkitan ialah orang yang mempunyai air berlebihan daripada yang diperlukan dan enggan memberikannya kepada musafir". Baginda menegaskan bahwa orang yang membazir air adalah berdosa.

Realiti kehidupan manusia hari ini adalah dalam kategori pemusnah air yang diperlukan oleh makhluk Allah di muka bumi. Dosa mereka berkaitan dengan air adalah sampai ke tahap yang paling tinggi iaitu mencemarkan air dengan bahan-bahan kotoran dan kimia sehingga mereka terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menyuling air, selain terpaksa berubat selepas diserang pelbagai penyakit yang kronik berkaitan dengan air. Kekejaman sesetengah manusia yang rakus dengan keuntungan dunia jelas kelihatan apabila bahan-bahan toksik dialirkan ke sungai dan lautan sehingga setiap hidupan dalam air menghadapi penderitaan dan kepupusan.

Berdasarkan suasana begini, kerajaan sepatutnya melaksanakan perundangan yang ketat kepada individu-individu yang mencemar air sungai atau sumber air lain kerana perbuatan mereka adalah berdosa dan dimurkai Allah. Sikap mereka mencemarkan air seperti sungai boleh dianggap sebagai penjenayah kemanusiaan dan alam.

Mereka boleh digolongkan sebagai orang yang melakukan kerosakan di muka bumi seperti mana firman Allah dalam Surah al-Rum ayat 41 yang bermaksud, "Telah nampak kerosakan di darat dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)".

Oleh itu, umat Islam keseluruhannya perlu bekerjasama dengan kerajaan memelihara sungai, lautan dan sumber air di negara ini supaya kemanisan air yang dianugerahkan oleh Allah dapat dinikmati.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 22 Julai 2010

Peribahasa Melayu ditelan zaman


Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my


KEINDAHAN nilai bahasa dalam peribahasa Melayu yang sebelum ini menjadi medan berkesan dalam menyampaikan nilai murni dan ‘dakwah’ kepada masyarakat antaranya dapat dilihat melalui hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Bagaimanapun, perkembangan semasa dalam arus globalisasi yang melanda warga sejagat menyebabkan bangsa Melayu terlena panjang sehingga seolah-olah lupa bahawa mereka mempunyai khazanah bahasa yang bukan sekadar melambangkan jati diri, malahan sarat dengan pelbagai ilmu, mesej dan teladan berguna dalam kehidupan.

Penghayatan bangsa Melayu terhadap peribahasa kian tipis dan kelebihan dalam berbahasa dengan memanfaatkan kehadiran peribahasa sebagai wadah penting bernafas intelektual yang mampu menjadi pelengkap kepada pemartabatan bangsa maju menjelang 2020, seolah-olah tiada.

Generasi muda yang didedahkan dengan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan pula tidak lagi menganggap peribahasa menyumbang kepada pembangunan modal insan kerana sistem pendidikan negara tidak memberi tumpuan terhadap fungsi emosi dan jiwa dalam penyampaian ilmu.

Meskipun kita sering menyaksikan peribahasa dalam akhbar, majalah, radio, televisyen, iklan, ceramah, khutbah dan ceramah, ia tetap tidak memberi kesan kepada komunikasi seharian masyarakat khususnya dalam hal memberi nasihat dan perangsang seperti yang menjadi amalan bangsa Melayu lama.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Samsina Abd Rahman, menyifatkan peribahasa yang merangkumi pepatah, bidalan dan perumpamaan, wajar dimanfaatkan sebagai wahana pendidikan yang mampu menyumbang kepada norma budaya dan nilai agama.

“Namun, penggunaannya tidak lagi diamalkan bangsa Melayu kini berpunca daripada lunturnya semangat cintakan bahasa Melayu, sekali gus menyebabkan mereka menganggap peribahasa yang hadir dalam bahasa Melayu sebagai kurang penting untuk dipraktikkan.

“Hakikatnya, peribahasa boleh diangkat semula sekiranya masyarakat menanamkan semangat cintakan bahasa Melayu terlebih dahulu. Guru sekolah pula perlu menjadi ejen pendidikan berkesan dalam memastikan sistem pembelajaran bahasa Melayu berfungsi dalam pembentukan jati diri pelajar,” katanya dalam pertemuan dengan Sastera, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa usaha berkenaan bukan perkara mudah kerana segala nilai dan norma itu sudah sedia wujud pada watak dan keperibadian bangsa timur, tetapi memerlukan masa dan cara berkesan untuk merealisasikannya.

“Hal ini dapat dilihat dalam perbezaan gaya hidup dan komunikasi seharian bangsa Melayu kini dan dulu. Generasi muda kini jarang menyelitkan peribahasa dalam perbualan sehari-harian mereka berbanding generasi dulu yang sesetengahnya sempat berperibahasa ketika berbual, hatta ketika bergaduh,” katanya.

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Fatin Syazwina Abd Shukor, mengakui jarang menggunakan peribahasa dalam perbualan seharian kerana jarang didedahkan penggunaannya selain melihatnya sebagai suatu yang janggal jika digunakan generasi hari ini.


"Sekiranya drama dan filem zaman dahulu sering memaparkan keindahan bahasa Melayu termasuk menggunakan peribahasa dalam skrip dramanya, karya masa kini pula lebih mementingkan nilai komersil. Lihat saja berapa banyak skrip drama Melayu menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa rojak.

“Karya yang dipamerkan kepada penonton sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa masyarakat. Bahasa Inggeris dan bahasa rojak menjadi ukuran kedudukan seseorang dalam masyarakat sehingga dengan sendiri penggunaan bahasa Melayu baku terpinggir,” katanya yang mewakili suara generasi muda.

Bagaimanapun, Fatin Syazwina tidak menafikan, peribahasa bukan hanya berfungsi sebagai alat nasihat dan kiasan malahan menjadi lambang penting dalam menyatukan masyarakat Melayu dan simbolik pantang larang masyarakat Melayu seperti dalam pepatah biar mati emak, jangan mati adat.

“Jika keindahan nilai dalam peribahasa Melayu ini terus diabaikan, mesej dan makna daripada segala macam peribahasa yang menjadi khazanah bangsa Melayu akan berkubur dalam jangka panjang. Sesuatu perlu dilakukan kerana sekiranya perkara terbabit berlaku, ia merugikan bangsa Melayu,” jelasnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 21 Julai 2010

MUNAJAT SEMPENA ULANG TAHUN KELAHIRANKU

-->
Terima kasih Ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan. Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan. Terima kasih untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan.Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan. Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku...dan terlalu sedikit pengabdianku terhadap-Mu.


Engkau tetap menerima walau terkadang aku alpa, aku lupa, aku tersilap dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan. Namun begitu besar kasih-Mu...Engkau tetap melindungiku walaupun terkadang aku kalut merungut ketika saat-saat lemahku datang. Aku tidak pernah menafikan hak-Mu sebagai Khaliq walaupun terkadang aku terbuai dengan kesedihan dan kesakitan yang amat pedih. 

Ampunkan aku Ya Allah apabila aku merintih nasibku di hadapan-Mu. Kalau bukan kepada-Mu, kepada siapa lagi harus kumengadu? Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini Ya Allah...namun aku hanyalah hamba-Mu yg dhaif dan lemah. Adakalanya aku kurang kesabaran. Ada masanya aku goyah keimanan. Ada masanya aku hampir terikut bisikan syaitan. Namun dengan limpahan kasih sayang-Mu, Engkau menarikku kembali jauh daripada kesesatan. 

Dalam usia begini...aku ingin menjadi lebih dekat padaMu Ya Rahman. Dalam usia yang makin jauh ini...aku ingin lebih merindui-Mu Ya Rahiim. Dalam usia meniti senja ini...aku ingin sekali menyambut panggilan Kaabah-Mu Ya Al Malik.Dalam usia ubanan ini yang kuinginkan hanyalah ketenangan, kekhusyukan beribadah, segala kesederhanaan dan kerendahan hati tanpa berhenti menghulur kasih pada yang sudi. 

Ya Muhaimin...pimpinlah tangan hamba-Mu ini...pimpinlah hati hamba-Mu ini...pimpinlah langkah hamba-Mu ini agar sentiasa berpijak di atas jalan kebenaran. Ya Al-Quddus... sebagai hamba-Mu yang hina dina, aku takkan mungkin mencapai sempurna, tapi kasihanilah aku... bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti titian siratulmustakim-Mu dengan tenang dan mudah tanpa cela. 

Ya Al Hakiim...berikanlah ilham kepadaku agar aku mampu terus berkarya. Agar aku terus mampu memberikan sedikit ikhtibar dan dakwah dengan caraku. Hulurkan kepadaku bijaksana agar aku mampu terus memacu kalam keinsanan sehingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi. 

Terima kasih Ya Allah atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untukku. Engkaulah Yang Maha Besar... peliharalah aku agar terus berpegang teguh pada tali-Mu. 

Terimalah permohonan hamba-Mu yang sedang bermusafir di bumi-Mu ini Ya Al Mudzill. 

Amin Ya Rabbal 'Alamin.

-->