Jumaat, 12 November 2010

ISU BAHASA : Tidak perlu yang kedua

OLEH : RAMLAN HUSAIN

Bahasa Melayu ialah bahasa teras dan menjadi tanggungjawab kepada setiap rakyat Malaysia untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu. Ia merupakan bahasa rasmi tunggal negara ini yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama. Tidak ada lagi bahasa rasmi kedua, ketiga dan seterusnya. Justeru, cadangan Jagdeep Singh Deo, ahli DUN dari DAP Datuk Keramat, Pulau Pinang baru-baru ini yang mencadangkan agar kerajaan Pulau Pinang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua Pulau Pinang adalah tidak munasabah dan wajar ditentang dengan sekerasnya.

Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pihak tertentu yang sengaja melakukan provokasi berhubung perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam perlembagaan negara ini. Jika dibiarkan, tidak mustahil nanti, terdapat tuntutan yang mahu Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil dijadikan bahasa rasmi kedua, ketiga dan seterusnya. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara ini sangat besar peranannya. Ia bukan sekadar untuk dihormati sebagai bahasa pertuturan rasmi dan teras rakyat negara ini, malah ia berperanan sebagai penyatu pelbagai kaum di negara ini.

Bahasa Melayu sebenarnya mesti dimartabatkan sebagaimana berlaku di Peranchis, Jepun, China, Indonesia dan banyak negara lain yang mengangkat bahasa ibunda masing-masing. Rasa kebanggaan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti tersemat dalam hati setiap rakyat Malaysia. Salah satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan cara menyokong usaha ke arah itu tidak kira sama ada dalam bidang perundangan, ekonomi, kesihatan, sejarah atau apa sahaja dalam urusan harian mereka.

Kalau rakyat negara ini enggan memartabatkan bahasa kebangsaan yang menjadi penyatu perpaduan pelbagai kaum selama ini, siapa lagi yang akan memartabatkannya? Justeru, janganlah perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam perlembagaan negara ini diperlekeh demi kepentingan politik mereka. Adalah disarankan agar setiap rakyat Malaysia memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan terus dipertahankan sebagai bahasa rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bahasa ialah jiwa bangsa yang dapat mencapai perpaduan dan kesepakatan yang kekal demi keharmonian negara berbilang kaum ini. Maka sematkan dalam sanubari diri mereka bahawa sebenarnya tidak ada lagi bahasa rasmi kedua, ketiga dan seterusnya. Kita juga tidak meminggirkan bahasa-bahasa lain untuk terus digunakan dan dipertuturkan yang akan membawa kepada perpaduan kebangsaan yang dicita-citakan oleh gagasan 1 Malaysia.

Penulis ialah Setiausaha Kehormat Gabungan Ikhtisas Dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU REMAJA : Rancang aktiviti bermanfaat masa cuti sekolah

APABILA menyebut perkataan remaja ramai yang meletakkan satu tanggapan bahawa remaja adalah golongan yang bermasalah dan memberikan banyak permasalahan kepada masyarakat. Jarang sekali kita mendengar dalam kalangan masyarakat menyebut tentang kehebatan, kelebihan dan kebaikan yang ada pada remaja. Benarkah remaja hari ini banyak mendatangkan masalah?

Persoalan tersebut mungkin ada kebenarannya. Melihat kepada data statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan sebanyak 3,383 remaja telah di tahan pada tahun 2007 dan angka ini terus meningkat kepada 3,725 pada tahun 2008 atas pelbagai kesalahan jenayah yang dilakukan. Antara kesalahan tersebut adalah yang melibatkan kes kecurian, bunuh, rogol mencederakan orang dan sebagainya.

Ini jelas menunjukkan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja di negara ini adalah semakin serius dan memberi masalah besar kepada masyarakat umumnya. Tambahan pula, dengan adanya dunia tanpa sempadan dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini telah mengubah landskap cabaran untuk remaja. Dengan kemunculan pelbagai teknologi ini maka tanpa disedari ia turut memberi cabaran yang besar kepada ibu bapa dan masyarakat.

Barang kali ada yang tidak sedar bahawa cabaran untuk remaja adalah tidak sama dengan cabaran remaja sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Manakan tidak dengan kepesatan ICT ini ia telah memberi satu dimensi baru dalam dunia komunikasi untuk bergerak lebih pantas.

Jika dahulu ibu bapa amat bimbang jika anak-anak mereka keluar bermain, berjumpa dengan kawan-kawan di luar rumah, namun hari ini dengan adanya kemudahan ICT kejadian yang tidak baik dan tidak elok juga boleh berlaku di dalam rumah terutama apabila remaja berdepan dengan penggunaan internet sebagai media baru dalam komunikasi tanpa diawasi oleh ibu bapa.

Malah kepelbagaian aktiviti dalam talian yang dilayari oleh remaja hari ini juga sebenarnya datang bersama dengan pelbagai risiko yang akhirnya menjurus kepada kegiatan yang tidak sihat yang memberi masalah bukan sahaja kepada ibu bapa malah kepada pihak sekolah.

Walaupun kita maklum bahawa zaman remaja merupakan zaman peralihan antara alam kanak-kanak kepada alam dewasa dan pada tahap ini banyak perkara yang ingin diketahui oleh remaja sehingga mereka tidak mampu untuk menilai mana yang baik dan yang buruk dek kerana keseronokan yang dirasai serta pengalaman yang sedikit. Dalam masa yang sama mereka juga teruja untuk mencuba banyak perkara lebih-lebih lagi sesuatu yang menyalahi nilai di sisi agama Islam.

Justeru, penyelesaian kepada permasalahan dalam kalangan remaja perlu ditangani segera. Namun demikian, mencari siapa yang salah atau menuding jari bukanlah tindakan bijak, sebaliknya semua pihak perlu rasa terpanggil untuk mencegah perkara bercanggah dengan nilai Islam. Tugas menegak yang hak dan benar, mencegah yang mungkar adalah tanggungjawab setiap anggota masyarakat.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu ,hendaklah cegah dengan kata-kata dan jika tidak berdaya, cegahlah dengan hati dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman." (Hadis Sahih Muslim)

Biarpun dilanda kesibukan bekerja ibu bapa atau orang yang lebih dewasa perlulah memantau aktiviti anak di rumah atau sekolah, terutama apabila mereka melayari internet seorang diri di waktu malam. Di sinilah peranan ibu bapa yang perlu bijak mengawasi mereka dengan mencari jalan yang terbaik melihat bagaimana permasalahan dalam kalangan remaja ini dapat diatasi.

Memandangkan cuti persekolah untuk remaja tidak lama lagi akan bermula, ada baiknya juga ibu bapa merancang aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi memenuhi cuti persekolahan nanti. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mencarikan untuk anak-anak mereka program berfaedah yang boleh diikuti sepanjang musim cuti sekolah dan bukan hanya menunggu aktiviti yang datang kepada mereka.

Saya percaya banyak program yang telah dirancang semasa musim cuti sekolah nanti seperti kem motivasi pelajar, kem ibadat untuk memantapkan solat, kem pengukuhan dalam membaca al-Quran dan sebagainya.

Di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa untuk menghantar anak-anak remaja mengikuti aktiviti-aktiviti yang akan diadakan agar masa cuti persekolahan itu nanti dapat dimanfaatkan dengan pelbagai program yang berfaedah serta dapat memberi nilai tambah kepada remaja terutama dalam mengukuhkan jati diri mereka.

Manakala, bagi pihak penganjur yang melaksanakan aktiviti kem motivasi tersebut, janganlah pula meletakkan bayaran yang terlalu tinggi kepada remaja yang berminat untuk mengikuti kursus berkenaan.

Kadang kala kita lihat ibu bapa sememangnya amat berminat untuk menghantar anak-anak remaja mereka mengikuti program motivasi tersebut, tetapi memandangkan kos yang agak tinggi terutama pada golongan tertentu, maka ia menjadi satu kekangan untuk mereka menghantar anak-anak remaja ke program berkenaan walaupun ada yang sangat berminat.

Oleh itu, disarankan agar pihak-pihak penganjur juga dapat meletakkan sejumlah bayaran yang tidak terlalu mahal agar semua golongan remaja dapat mengikuti program motivasi tersebut di samping dapat memenuhi masa senggang mereka.

Selain itu, masalah ini juga tidak pernah selesai selagi ibu bapa tidak memberi perhatian terhadap sahsiah pendidikan yang berteraskan keimanan dan kebahagian dunia dan akhirat. Pengukuhan ilmu-ilmu agama dilihat adalah satu perkara penting agar golongan remaja dapat teguh mempertahankan jati diri mereka sebagai seorang umat Islam, sekali gus dapat menghindari perkara-perkara yang merosakkan agama Islam.

Dengan memiliki asas agama yang teguh, mereka tentunya mampu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan sesuatu tindakan selain memanfaatkan pelbagai kegiatan yang diatur dengan baik.

Dengan perhatian yang diberikan kepada remaja oleh ibu bapa dan keprihatinan masyarakat hari ini, mungkin permasalahan remaja yang ditimbulkan sebelum ini dapat diatasi dan tidak lagi tersasar daripada landasan yang sebenar.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR :Teknologi hijau pemacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan lestari

Oleh Dr Zaini Ujang

WARNA hijau mempunyai konotasi politik tersendiri dalam konteks Malaysia. Itulah sebabnya ketika melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) pada 24 Julai tahun lalu, secara berseloroh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa dukungan terhadap 'dasar hijau' tidak disalah tafsirkan kepada dukungan warna parti politik.

Sebaliknya, Najib menegaskan betapa teknologi hijau akan dibangunkan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan lestari. Najib juga menjelaskan harapannya “... supaya suatu hari nanti kita boleh hidup dalam persekitaran bersih, sihat dan berkualiti tinggi, yang semua bandar, perbandaran dan komuniti dibina berasaskan konsep teknologi hijau”.

Mungkin itulah rasionalnya ketika majlis pelancaran Melaka maju bulan lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menegaskan sasaran menjadi ‘negeri hijau’ menjelang 2020. Putrajaya pula diasosiasikan sebagai ‘bandar lestari’. Pada peringkat antarabangsa, bandar raya Seoul mula dikenali kerana inisiatif hijau sebagai kosmopolitan yang maju dalam kehijauan taman.

Istilah ‘hijau’ adalah buzzword antara yang paling sensasi ketika ini khususnya dalam konteks pembangunan, teknologi dan inovasi. Ia ketara sekali dalam bidang teknologi.

Selain teknologi hijau, teknologi bersih, ekoteknologi atau teknologi lestari sering digunakan merujuk kepada konsep hampir sama, iaitu teknologi yang memberi kesan paling minimum kepada kemudaratan, pencemaran dan penurunan kualiti alam sekitar secara holistik bermula daripada konsep produk, bahan mentah, proses penghasilan, bahan buangan, penggunaan produk atau perkhidmatan sehinggalah pelupusan.

Dalam buku Budaya Inovasi (Penerbit UTM, 2010) saya menggariskan tiga komponen penting memastikan tahap ‘kehijauan’ sesuatu teknologi, iaitu (a) kesan kepada alam sekitar (b) manfaat kepada pengguna dan (c) pemangkin kehidupan lestari.

Kesan kepada alam sekitar boleh ditentukan menerusi kaedah analisis kitar hayat (LCA) atau pengiraan tapak ekologi. Manfaat kepada pengguna pula membabitkan bukan saja pengurangan kos modal dan operasi malah turut meningkatkan ciri keselamatan, kemudahan dari segi penggunaan dan praktikal. Misalnya ‘bangunan hijau’ seharusnya lebih murah, menjimatkan dari segi penyelenggaraan dan penggunaan tenaga.

Selain itu, reka bentuk bangunan itu mestilah lebih selamat, menarik dan memenuhi keperluan penghuninya.

Justeru, teknologi hijau yang juga pemangkin hidup lestari perlu direkabentuk untuk menyubur minda lestari, kehidupan mesra alam, mengurang pembaziran, menyemarak budaya, mementing agama dan memugar ekosistem. Sebagai contoh ‘kereta hijau’ bukan saja dihasil menerusi bahan mentah dan proses pembikinan mesra alam, malah perlu lebih selamat dan mengurangkan pelepasan bahan cemar seperti gas rumah kaca. Dalam konteks ketenteraman awam, kereta hijau tidak bising, kecil dari segi saiz dan mudah diselenggara.

Semua aspek ini mendefinisikan ‘teknologi hijau’ bukan saja dari segi kaedah dan alat pembikinan sesuatu produk atau perkhidmatan malah cara hidup lestari.

Teknologi hijau semakin diperlukan bagi menangani keperluan setempat seperti pengurangan tahap pencemaran dalam sektor perkhidmatan air dan penjanaan tenaga lestari. Malah teknologi hijau juga boleh dibangunkan sebagai industri strategik seperti dimulakan Jerman dan Jepun sejak 1990-an.

Ketika hampir semua sektor memerlukan komitmen pelestarian termasuklah industri kelapa sawit menerusi Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO). Disebabkan teknologi hijau ialah suatu konsep berkaitan ciri teknologi dan idealism lestari, maka penggunaannya semakin meluas dalam seluruh sektor.

Ketika ini, konsep ‘ICT hijau’, ‘bandar lestari’, ‘korporat hijau’ dan ‘kerajaan lestari’ semakin berkembang dari perkakasan, sistem perolehan, peraturan, tata cara sehingga kerangka dasar dan budaya kerja.

Dalam konteks pembinaan infrastruktur baru misalnya, tumpuan tidak hanya kepada penyediaan bangunan atau kelengkapan tetapi turut membabitkan konsep, kaedah dan barang binaan, penggunaan tenaga serta utiliti lain, dan pemantapan budaya lestari di kalangan penghuni bangunan berkenaan.

Hal ini saya sorot kerana dalam banyak keadaan, bukan saja di Malaysia bahkan di serata dunia, ‘hijau’ hanya sekadar slogan untuk tampak canggih dan kompetitif. Itulah sebabnya banyak inisiatif pelestarian hanya sekadar berakhir di peringkat sesuatu projek atau program.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 11 November 2010

ISU BAHASA : Hanya bahasa Melayu bahasa rasmi - Nik Safiah

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Hanya bahasa Melayu boleh diiktiraf sebagai bahasa rasmi di negara ini.

Tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, sehubungan itu, mana-mana pihak di negara ini tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak pernah melarang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat malah menggalakkan mereka menguasai bahasa antarabangsa itu.

"Kita juga telah menjadikan bahasa Inggeris selaku bahasa pengantar kedua di sekolah-sekolah selepas bahasa Melayu.

"Adakah ini masih belum mencukupi sehingga bahasa itu (Inggeris) juga perlu dijadikan bahasa rasmi?," soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Safiah berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan wakil parti DAP dari Datuk Keramat, Pulau Pinang, Jagdip Singh Deo yang mahukan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di negeri itu.

Menurut Jagdip, ia selaras dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai bandar antarabangsa pada masa depan.

Cadangan wakil DAP itu disuarakan ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Dalam pada itu, Nik Safiah menambah, penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa kedua dilihat seakan-akan memberi persaingan terhadap bahasa kebangsaan itu.

"Justeru, saya sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa rasmi kedua walaupun di Pulau Pinang," tegasnya lagi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 10 November 2010

Sejarah ajar manusia bentuk kehidupan masa kini lebih baik

Oleh Dr Hashim Yaacob

SEJARAH mampu membentuk keperibadian diri seseorang. Kita menjadi apa yang kita jadi pada hari ini kerana kita mengenali sejarah diri. Sejarah membentuk ciri-ciri fizikal dan pemikiran seseorang, lalu membolehkan ia menghargai dirinya sendiri dan memahami hak orang lain. Manusia pada hari ini, perlu faham mengenai sejarah hidupnya, keturunan, asal-usul dan masyarakatnya.

Orang Amerika Syarikat berbangga dengan sejarah penubuhan negara itu dan memartabatkan George Washington sebagai wira kemerdekaan yang membebaskan negara yang baru itu daripada penjajahan British pada 1776. Mereka berbangga dengan perisytiharan kemerdekaan mereka. China bermegah dengan kebangkitan Mao Tze Tung, India dengan Mahatma Gandhi dan tidak melupai sejarah kegemilangannya pada masa silam membabitkan individu serta perubahan masyarakat.

Israel tidak akan melupakan peristiwa Holokos yang mengorbankan jutaan nyawa rakyatnya di tangan Nazi. Britain pula mempunyai Oliver Cromwell yang menjatuhkan Raja Charles I, memenggal lehernya dan menghapuskan kerajaan beraja pada 1649 untuk beberapa ketika saja. Kemudian beliau terpaksa mengembalikan kerajaan beraja di Britain kerana kerajaan tanpa raja yang dibentuknya itu tidak dapat memerintah negara, sebaliknya menjadi kucar-kacir.

Oliver Cromwell sendiri menggantikan raja dan menggelarkan dirinya Lord Protector. Tetapi Britain terjerumus ke kancah kecelakaan yang amat teruk. Beliau sudah belajar daripada sejarah perbuatannya itu lalu membetulkannya dengan membawa kembali sistem kerajaan beraja. Oliver Cromwell kemudian mati dijangkiti malaria. Tiada doktor dapat mengubatinya. Contoh berkenaan hanyalah segelintir, tetapi semuanya membuatkan bangsa itu lebih peka dengan peristiwa sejarah, untuk merancang kehidupan masa depan masing-masing.

Hidup pada zaman ini, manusia perlu membuat perancangan masa depan. Ada orang berpendapat bahawa sejarah tidak penting dipelajari kerana apa yang sudah berlaku sudah tinggal kenangan. Ada yang berasakan mata pelajaran Sejarah tidak diperlukan lagi untuk dipelajari murid sekolah. Bagaimana seseorang itu hendak maju ke hadapan kalau dia tidak mengetahui mengenai apa yang sudah berlaku pada zaman lampau. Bukankah pengalaman dari sejarah mengajar kita membentuk kehidupan yang lebih baik?

Pada waktu ini ada pihak mempertikai mengapa perlu ada kedudukan istimewa bagi orang Melayu. Pertikaian ini timbul kerana mereka tidak faham sejarah. Golongan ini akan terus mempertikai kerana mereka buta sejarah. Analisis semasa yang tidak mengambil kira fakta sejarah kenapa kedudukan istimewa orang Melayu itu perlu diteruskan, tidak akan dapat memberikan sebarang manfaat kepada golongan itu. Saya pasti golongan ini akan lebih bersikap jujur sekiranya mereka mempelajari sejarah dan mengetahui bahawa kedudukan istimewa itu sudah diberikan kepada orang Melayu dalam Perjanjian Sosial yang dipersetujui semua bangsa dalam sejarah tanah air kita kerana bangsa Melayu sudah memberikan kerakyatan kepada bangsa lain sebagai kompromi.

Peristiwa dalam sejarah memberi tapak kepada kehidupan masa kini. Masyarakat wajib mengingati masa lampaunya dengan segala kesilapan dan pencapaian demi untuk terus maju dan berkembang. Bukankah peristiwa hitam 13 Mei 1969 banyak mengajar kita untuk terus berwaspada dan mengambil iktibar agar peristiwa itu tidak berulang?

Di negara kita sendiri Malaysia, ada ramai yang mahukan mata pelajaran Sejarah diajar kepada pelajar sekolah tetapi ada segelintir manusia yang tidak mahukan perkara ini dilakukan. Orang yang tidak mahu mengetahui mengenai sejarah yang mana bumi dipijaknya, memang tidak mempunyai semangat nasionalis dan tidak berbangga dengan akar umbi keturunannya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 9 November 2010

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Mendekatkan jurang digital

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

rencana@utusan.com.my

BAGI masyarakat bandar, capaian kepada perkhidmatan jalur lebar mungkin bukan satu masalah. Selain mempunyai banyak pilihan langganan di kalangan penyedia jalur lebar swasta dengan tawaran harga yang sangat berpatutan, masyarakat bandar juga mampu mengakses internet dengan percuma di kebanyakan pusat-pusat hot spot.

Kerana kemudahan itu juga, negara sehingga Oktober lalu berjaya mengatasi kadar penembusan jalur lebar sebanyak 50 peratus seperti yang disasarkan oleh kerajaan menjelang hujung tahun ini.

Begitu pun bagi masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman, capaian jalur lebar masih menjadi masalah kerana tiadanya liputan dan infrastruktur yang bersesuaian. Ini boleh menjadi halangan kepada usaha negara menjadi negara maju yang salah satu kriterianya ialah akses kepada jalur lebar yang meluas di kalangan rakyat.

Di sinilah sebenarnya peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) iaitu sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam memastikan negara mendapat kemudahan perhubungan melalui perkhidmatan komunikasi.

Peranan SKMM ini adalah sesuatu yang jarang diketahui umum. Ini memandangkan ramai yang beranggapan agensi itu lebih bertindak sebagai pengawal selia dalam menangani isu-isu atau aduan berkenaan penyalahgunaan atau kesalahan dalam talian.

Hakikatnya, SKMM memainkan peranan yang besar dalam mendekatkan jurang digital di kalangan masyarakat luar bandar menerusi program khusus mereka yang dikenali sebagai program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

Dilaksanakan secara rasmi pada 2002, PPS bermula dengan projek rintis menyediakan infrastruktur telefoni asas dan perkhidmatan kepada penduduk di luar bandar. Projek itu sehingga kini telah memberi manfaat kepada kira-kira 57,500 buah isi rumah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sejak itu, peranan PPS semakin diperluas dan sehingga kini, SKMM telah mengenal pasti 462 kawasan kurang liputan di seluruh negara untuk perlaksanaan projek-projek telefoni asas, selular dan jalur lebar. Begitu pun sejak 2008, fokus PPS mula berubah seiring dengan kemajuan teknologi dan permintaan para pengguna.

PPS kini mula beralih kepada peranan menangani isu-isu kandungan, capaian dan aplikasi serta kemampuan terhadap perkhidmatan komunikasi dan multimedia.

Antara program di bawah PPS yang mendapat sambutan menggalakkan ialah projek Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) dan Perpustakaan Jalur Lebar (PJL). Dijalankan dengan kerjasama syarikat penyedia rangkaian terkemuka negara, PJK dan PJL memberi peluang kepada masyarakat pedalaman untuk mendekati teknologi maklumat (ICT).

Latihan kemahiran ICT asas dan pembangunan kandungan itu disediakan secara percuma oleh pengendali yang dilantik di kalangan masyarakat setempat.

Menurut Pemangku Pengarah Kanan Jabatan PPS, Zulkarnain Mohd. Yassin, sehingga kini, terdapat kira-kira 246 buah PJK dan 100 buah PJL yang dibuka di seluruh negara sejak 2007 dengan keahlian seramai 80,799 orang. Kebanyakan ahli PJK dan PJL itu terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki komputer atau capaian Internet sendiri.

Keahlian PJK dan PJL dijangka akan meningkat sehingga 100,000 orang apabila satu lagi projek PPS iaitu Komputer Riba 1Malaysia diperluaskan. Projek pengagihan komputer riba berserta talian Internet itu menyaksikan sebanyak 123,000 unit komputer yang berharga kira-kira RM850 telah diagihkan kepada mereka yang berkelayakan.

''Untuk edaran fasa pertama itu, para penerima terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah daripada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

"Penerima juga terdiri daripada mereka yang tinggal berhampiran dengan PJK bagi memudahkan urusan pemantauan dan pengajaran daripada pelatih di pusat tersebut," ujar Zulkarnain.

Sepanjang fasa kedua pula, sebanyak 300,000 unit komputer riba lagi akan diagihkan bermula Disember ini. Kumpulan sasar bagi fasa kedua ini membabitkan 65 peratus pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT), manakala selebihnya kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Projek itu dijangka menyumbang sebanyak sembilan peratus kepada sasaran 50 peratusan penembusan jalur lebar negara menjelang 2010. Dalam memperkukuhkan peranan PJK dan PJL tambah Zulkarnain, PPS turut membuka pusat yang dikenali sebagai Mini PJK atau Pusat Internet Rakyat (PIR).

Projek yang digerakkan dalam tiga fasa itu merupakan transformasi jabatan-jabatan Penerangan di seluruh negara kepada pusat jalur lebar kecil. Ketika ini, sebanyak 121 buah tapak sudah dikenalpasti bagi projek tersebut.

''Setiap pusat penerangan itu pula akan menempatkan sebanyak lima buah komputer dan dijangka akan memanfaatkan seramai kira-kira 400,000 orang terdiri daripada masyarakat setempat," kata beliau.

Pada Julai lalu pula, PPS melangkah setapak lagi menerusi perlaksanaan projek rangkaian jalur lebar berkumpulan atau juga disebut sebagai Kg. Wifi. Menerusi projek itu, sebanyak 400 buah kampung atau komuniti di seluruh negara telah dikenalpasti untuk disediakan dengan rangkaian jalur lebar.

Sebahagian daripada projek-projek di bawah PPS ini masih berada pada fasa dua dan dijangka sempurna sepenuhnya menjelang tahun depan. Begitu pun projek ini menunjukkan lonjakan kadar penembusan jalur lebar terutama di kalangan masyarakat luar bandar yang begitu ketara.

Dengan beberapa projek lain bakal digerakkan sehingga fasa ketiga, tidak mustahil PPS dapat membantu negara merealisasikan salah satu kriteria negara maju iaitu kadar penembusan yang tinggi di kalangan rakyat.

Setidak-tidaknya, PPS boleh memastikan kadar penembusan jalur lebar negara mencapai 75 peratus seperti yang disasarkan pada 2015.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

PELAJAR PERLU BIJAK PILIH RAKAN ELAK TERJEBAK JENAYAH


Oleh: Lee lam Thye

Remaja berusaha pertingkat ketahanan diri supaya tidak mudah terpengaruh budaya negatif

PEMBANGUNAN modal insan yang dihasratkan kerajaan bermula sejak alam persekolahan. Ia termasuk usaha membentuk peribadi mulia dalam kalangan murid yang mana semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing sama ada pada peringkat sekolah, ibu bapa serta pihak lain yang berkepentingan.

Negara kita sedang menghadapi pelbagai masalah sosial contohnya seperti ancaman dadah yang serius seperti salah laku juvana, jenayah pembuangan bayi dan keganasan terhadap kanak-kanak.

Semua ini petanda penurunan nilai murni yang jika tidak diatasi dengan berkesan akan menggugat aspirasi kita dalam menjadikan Malaysia negara maju.

Dunia kini dibelenggu fenomena sangat membimbangkan. Di mana juga langkah pemodenan dan pembangunan ekonomi dilakukan yang seterusnya menghasilkan taraf kehidupan lebih baik, di situlah munculnya masalah sosial baru.

Kita bukan saja perlu menangani masalah sosial dan cabaran ekonomi, tetapi juga isu lain lebih penting seperti integrasi kaum dan perpaduan. Apa yang membimbangkan ialah hampir tiada hari berlalu tanpa laporan mengenai masalah sosial dan jenayah.

Kita perlu menyiasat punca berlaku jenayah ini dan mencari jalan penyelesaian. Sekiranya peningkatan kadar jenayah adalah berkaitan hasil pembangunan negara, maka aspek negatif pembangunan itu harus ditangani. Baru-baru ini, masyarakat di seluruh negara didedahkan dengan pelbagai perbuatan jenayah dan salah laku pelajar.


Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sejak Januari hingga Jun tahun ini, 1.27 peratus daripada 5.4 juta pelajar sekolah di seluruh negara terbabit dalam lapan kategori kes disiplin ditakrifkan oleh Kementerian Pelajaran.

Lapan kategori ialah salah laku berunsur jenayah, berunsur kelucahan, kurang sopan, laku musnah, kekemasan diri, ponteng sekolah, kenakalan dan tidak pentingkan masa.

Salah laku mereka membabitkan berunsur jenayah (0.22 peratus), berunsur kelucahan (0.03 peratus), kurang sopan (0.19 peratus), laku musnah (0.06 peratus), kekemasan diri (0.2 peratus), ponteng sekolah (0.22 peratus), kenakalan (0.12 peratus) dan tidak pentingkan masa (0.23 peratus).

Perlakuan jenayah pelajar ini berbentuk perbuatan mencuri, merosakkan harta benda sekolah, bergaduh, membuli, mencederakan murid lain, dan memeras ugut untuk mendapatkan wang.

Pembabitan murid sekolah dalam kegiatan salah laku disiplin adalah perbuatan yang perlu dilihat secara serius semua pihak, khususnya pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Gejala itu boleh memberikan impak negatif terhadap pengurusan sekolah sekiranya tidak ditangani segera dan berkesan pada peringkat awal. Sekolah sepatutnya mempunyai persekitaran kondusif dan selamat agar setiap murid dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran mereka.

Pendedahan media sejak akhir-akhir ini mengenai kegiatan negatif pelajar telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat umum dan memerlukan penyelesaian.

Ada beberapa faktor menyebabkan masalah itu iaitu kemerosotan moral dan akhlak akibat daripada kesan kekurangan pengawasan, proses pemodenan, pembangunan negara dan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), keruntuhan institusi kekeluargaan untuk memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif.

Masalah lain ialah krisis rumah tangga yang dihadapi remaja sekolah dan pengaruh negatif rakan sebaya.

Kemajuan sains dan teknologi sekarang begitu canggih, dengan adanya internet, televisyen satelit serta lebuh raya maklumat, kanak-kanak dan remaja mudah terdedah kepada pelbagai maklumat dan perhubungan berunsur positif atau negatif.

Maklumat dan perhubungan negatif boleh mempengaruhi serta membawa kepada keruntuhan moral di kalangan remaja. Oleh demikian, remaja perlulah sentiasa berwaspada dan berusaha mempertingkatkan ketahanan diri seterusnya mengetepikan budaya negatif daripada mempengaruhi mereka.

Pelajar jangan sekali-kali terbabit dengan apa juga perlakuan jenayah. Pelajar hendaklah sedar bahawa kesan dan implikasi perlakuan jenayah boleh menjejaskan masa depan mereka.

Pada usia remaja, remaja lebih rapat dengan rakan-rakan sebaya. Sikap pembawaan dan penampilan rakan sebaya banyak mempengaruhi tingkah laku seseorang remaja. Sering kali seseorang remaja terpaksa melakukan perbuatan tidak sihat seperti merokok untuk membolehkan ia diterima sebagai ahli kumpulan rakan sebayanya itu.

Pelajar harus lebih berhati-hati memilih rakan. Jangan tersalah pilih rakan yang kelak menjerumuskan diri kepada jenayah. Rakan yang baik akan membantu anda menjadi insan baik dan berguna. Janganlah bersahabat dengan rakan yang seperti kata pepatah ‘sokong membawa rebah’.

Pelajar juga perlu memainkan peranan berkesan membantu polis mencegah jenayah. Caranya tidak sukar, iaitu tidak terbabit dan tidak melakukan jenayah. Pelajar boleh bertindak mengawasi anasir dari luar dan rakan sekolah yang cuba melakukan perbuatan jenayah, membuli rakan, penyalahgunaan dadah dan salah laku jenayah.

Pelajar adalah aset berharga kepada negara kerana mereka jugalah yang akan menentukan corak kehidupan kepemimpinan pada masa depan. Pelajar harus sedar di samping belajar dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, mereka juga perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri, ibu bapa, sekolah, masyarakat, negara dan seterusnya kepada harta benda awam.

Kerajaan dan organisasi bukan kerajaan serta masyarakat secara keseluruhannya perlu mewujudkan suatu program pemupukan nilai murni untuk negara bagi mempromosikan kesedaran terhadap nilai kemanusiaan dan murni dalam masyarakat kita.

Demi untuk masa depan generasi akan datang, rakyat Malaysia mesti mendukung nilai murni dengan teguh dan padu serta tidak meneladani budaya barat secara membuta tuli.

Institusi kekeluargaan dan nilai murni perlu dipelihara dan dipupuk supaya dapat digunakan sebagai pendekatan berkesan menangani pelbagai masalah sosial yang mengancam masyarakat kini.

Apabila sekolah dibelenggu oleh peningkatan kadar kejadian melanggar disiplin, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan lebih perhatian terhadap pentingnya kita kembali kepada prinsip asal mengenai amalan nilai murni dan kemanusiaan.

Kita perlu mendidik anak dan memastikan supaya mereka menghargai nilai murni seperti sifat persefahaman, hormat-menghormati antara satu sama lain, kepatuhan kepada undang-undang, keyakinan diri dan sifat keterbukaan terhadap perbezaan agama, kepercayaan, adat dan budaya.

Pelajar perlu membuat pilihan yang betul dalam hidup untuk menghindari daripada terjerumus ke kancah jenayah seperti dadah, lumba haram, pergaulan bebas dan jenayah.

Pilihan hari ini akan menentukan hala tuju kita esok. Jika kita membuat pilihan yang baik, hasilnya baik dan produktif, tetapi apabila kita salah membuat pilihan, kemungkinan yang berlaku mungkin amat buruk sehingga merosakkan diri sendiri dan masa depan kita.

Tidak ada satu manusia di muka bumi ini yang bercita-cita menjadi penjenayah, malah semua bercita-cita ingin menjadi seseorang yang berguna kepada dirinya dan masyarakat.

Namun, apabila kita tersalah pilih dalam perjalanan hidup kita, akibatnya amatlah buruk seperti menjadi penjenayah kerana mencari jalan mudah untuk hidup tanpa menghiraukan undang-undang dan peraturan. Pilihan menagih dadah akan merosakkan minda dan kesihatan badan yang akan mendedahkan kita kepada gejala penyakit seperti AIDS.

Pilihan salah dalam hidup boleh mengakibatkan masa depan menjadi kelam dan kabur. Kita akan disisih masyarakat dan keluarga akibat salah pilih. Apabila kita salah pilih kita akan dicap sebagai sampah masyarakat dan perosak bangsa dan negara.

Kita perlu memilih kecemerlangan dalam semua bidang yang di ceburi seperti bidang sukan, kerjaya dan kemasyarakatan. Kita hendaklah pilih perkara yang membawa kebaikan kepada diri kita, keluarga dan negara.


Penulis ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/