Sabtu, 26 Februari 2011

Anugerah World Press Photo : pengiktirafan fotografi paling berprestij

Bibi Aisha yang kehilangan telinga dan hidungnya akibat dicantas oleh suami

Oleh ABD. HALIM HADI
halim.hadi@utusan.com.my

SEKEPING gambar mampu menceritakan segalanya bahkan cukup untuk mengembalikan kisah-kisah yang sudah luput dari ingatan dan lebih bernilai daripada seribu perkataan.

Selepas penciptaan kamera pertama sekitar 1800-an, kaedah merakam gambar berkembang pesat sehingga melahirkan satu cabang seni iaitu fotografi.

Diperkukuhkan dengan teknologi digital, fotografi kini memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan seharian manusia.

Namun kemajuan teknologi yang banyak membantu pada masa sama menjadikan persaingan semakin sengit.

Di kalangan pengamal dan peminat fotografi, bulan Februari adalah masa yang paling dinanti-nantikan untuk menyaksikan paparan imej-imej terbaik dari seluruh dunia. Satu daripadanya adalah yang merangkul gelaran terbaik antara yang terbaik.

Anugerah World Press Photo yang merupakan pengiktirafan fotografi paling berprestij baru-baru ini menobatkan jurugambar, Jodi Bieber sebagai pemenang World Press Photo of the Year bagi pertandingan 2010.

Potret menyayat hati wanita muda Afghanistan yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga menewaskan lebih 100,000 keping gambar yang dihantar oleh 5,846 jurugambar dari 125 buah negara pada tahun lalu.

Gambar terbitan Majalah Time, Bibi Aisha yang kehilangan hidung dan telinga akibat dicantas oleh suaminya menceritakan kesengsaraan hidup wanita itu dengan penyampaian yang cukup 'kuat'.

Ia disifatkan sebagai satu lagi potret terbaik selepas gambar gadis bermata hijau dari Afghanistan petikan jurugambar tersohor, Steve McCurry.

Gambar juara 2011 oleh jurugambar wanita dari Afrika Selatan itu dipilih selepas memenangi hadiah tempat pertama di dalam kategori Potret. Pertandingan kali ke-54 baru-baru ini dibahagikan kepada 10 kategori yang setiap satu dipecahkan kepada penyertaan tunggal dan gambar bercerita.

Kategori terdiri daripada berita utama, berita umum, individu dalam berita, sukan dan aksi, laporan sukan, isu semasa, kehidupan harian, potret, seni dan hiburan dan alam sekitar.

Proses penilaian yang memakan masa selama dua minggu dilakukan oleh 19 juri berpengalaman terdiri daripada jurugambar profesional, editor gambar dan wakil dari agensi gambar seluruh dunia dengan pelbagai latar belakang.

Dengan kemenangan itu, Bieber menerima habuan wang tunai bernilai 10,000 pound (RM49,000) dan hadiah tajaan penganjur bersama berupa kamera digital Canon dan jam tangan Maurice Locroix.

Bieber yang telahpun memenangi lapan hadiah World Press Photo (pelbagai kategori) sebelum ini berkata, kemenangan itu membuatkan segala pengorbanannya dalam karier akhirnya berbalas.

"Pencarian gambar terbaik bukan hanya menuntut jurugambar berada di tempat dan masa yang betul malah ia memerlukan usaha yang berterusan.

"Anda tidak akan berhenti selagi anda tidak berjaya memperolehinya," katanya.

Penganugerahan itu menurutnya adalah pengiktirafan tertinggi yang hanya tiba ke pangkuan tuan yang benar-benar meletakkan maruah di dalam pekerjaan mereka.

Sehebat namanya, World Press Photo yang dimulakan sejak 1955 bukan sembarangan pertandingan. Setiap gambar adalah gambar yang merakamkan detik-detik penting di dunia.

Ia adalah perpustakaan tamadun dunia yang merekod peristiwa dari pelbagai aspek kehidupan yang akan dijadikan sumber rujukan politik, ekonomi, hiburan, sukan malah dunia fotografi itu sendiri.

Sebagai penghormatan, pemenang akan 'dibalas' dengan majlis penganugerahan yang diadakan kota ibu pejabat World Press di Amsterdam, Belanda di dalam majlis yang dihadiri menteri, golongan kenamaan dan peneraju dalam bidang itu.

Bukan itu sahaja, gambar-gambar yang menang juga akan dipamerkan di lebih 100 buah bandar di 45 buah negara. Selain itu, gambar bagi setiap kategori juga akan dicetak di dalam buku tahunan yang diterjemah ke dalam enam bahasa utama.

Pertandingan tanpa yuran itu dibuka kepada jurugambar media profesional dan amatur setiap tahun. Bukan sahaja daripada akhbar, malah penyertaan turut membenarkan jurugambar majalah dan agensi dari seluruh dunia untuk turut serta.

Pengasas anugerah berprestij itu, David Burnett berkata, tiada detik-detik yang bersifat peribadi diberi peluang kepada mana-mana penyertaan.

Namun sebelum menghantar penyertaan anda, Burnett, selaku Pengerusi Juri World Press Photo 2011 mempunyai nasihat dan amaran untuk dipertimbangkan.

"Kita menerima beratus ribu penyertaan setiap tahun. Jangan menghantar gambar hanya kerana kamu yang merakamnya.

"Lihat hasil kerja dengan mata yang tajam. Anggaplah diri anda (jurugambar) sebagai pengarang, jangan bazirkan masa kami jika kamu tidak serius," tegasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 25 Februari 2011

ISU KEKELUARGAAN : Usah bosan berbakti kepada ibu bapa

SESEORANG anak yang dilahirkan adalah hasil perkongsian hidup suami isteri yang dikenali sebagai ibu bapa.Ibu bapa banyak berjasa. Mereka yang mendidik, mengasuh serta memberi pendidikan dunia dan akhirat kepada anak.Ibu bapa berkewajipan mendidik dan memberi pelajaran agama kepada anak. Mereka juga memberikan makan minum, pelajaran, pendidikan kesihatan, pendidikan akhlak dan akal, budi bahasa dan perbelanjaan sehingga anak meningkat remaja.

Lukmanul Hakim pernah menasihati anaknya dalam usaha mendidik, antara katanya: Hai anakku. Aku wasiatkan engkau dengan sifat-sifat, jika engkau berpegang teguh dengan sifat-sifat berkenaan, nescaya engkau sentiasa menjadi kepala antara teman-temanmu: Lapangkanlah budi pekertimu kepada orang dekat dan jauh. Peganglah kebodohanmu daripada orang mulia dan orang tercela. Jagalah teman-temanmu, sambungkanlah silaturahim dengan kerabat-kerabatmu. Amankan mereka daripada menerima perkataan pembawa fitnah atau mendengar orang zalim yang menghendaki kerosakan dan bermaksud menipumu. Hendaklah teman-temanmu itu, orang yang apabila engkau berpisah dengan mereka dan mereka berpisah dengan engkau nescaya engkau tidak berpisah dengan mereka, tidak memalukan mereka dan mereka tidak memalukan engkau.

Kebanyakan remaja pada masa kini kurang menghargai jasa ibu bapa. Faktor perpindahan remaja dari kampung ke kota menyebabkan ibu bapa terpinggir dan tidak dipedulikan di desa.Hal ini tentulah berlawanan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat penyayang dalam kalangan rakyat. Masyarakat penyayang yang ingin diwujudkan mestilah ada timbal balik antara anak dan ibu bapa. Hanya melalui pendidikan dan bimbingan yang berterusan keadaan ini dapat diwujudkan.

Ibu bapa tentulah sudah mendidik anak dengan sifat-sifat terpuji antaranya jujur, amanah, sabar, berakhlak mulia, berjiwa besar, bertoleransi, suci hati, rendah diri, sifat malu, menepati janji, belas kasihan, memuliakan jiran tetangga, mengeratkan hubungan persaudaraan dan mengenang jasa.Sifat-sifat kebaikan ini tidak lengkap jika tidak dipraktikkan oleh anak, terutama anak remaja kepada ibu bapa mereka yang sudah tua dan terlalu uzur. Mereka perlu mendapat perhatian, kasih sayang bagi menguatkan semangat untuk menghadapi hari-hari tua.

Hal ini pernah disuarakan oleh Prof Hamka mengenai jasa ibu bapa kepada anak remaja, katanya: Kalau ada seseorang yang berbuat jasa kepadamu, meskipun jasa itu dipandangnya sebagai kewajipan saja, wajib atasmu bertekad akan membalasnya dan mensyukurinya serta mengingatinya, tetapi niat itu kau simpan sepenuh rahsia mungkin dan tolonglah dia sewaktu mendapat kesusahan sebagai ganjaran yang menjadi hak yang menerima. Pendidikan dan kehidupan berkait rapat secara akrab. Jika pendidikan itu lengkap dan bermutu, maka manusia dapat menjalani kehidupannya dengan baik dan sejahtera. Dari segi matlamat dan tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan insan soleh, insan yang beriman dan bertakwa, berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan, bertanggungjawab dan berbakti.

Sebagai seorang anak yang soleh dengarkan perkataan orang tua dengan sebaik-baiknya. Jalankan dan taati perintah mereka apabila perintah itu sesuai dengan syariat Allah s.w.t.Datanglah lekas jika mereka memanggil. Tundukkan kedua lengan bahu dan rendahkan diri di hadapan kedua-duanya seperti yang diperintahkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan rendahkan dirimu terhadap mereka berdua (ibu bapa) dengan penuh kasih sayang (Al-Isra:24)

Jangan merasa bosan berbakti kepada mereka. Jangan pula merasa bosan menjalankan perintah mereka. Jangan memandang mereka dengan pandangan sebelah mata. Janganlah sampai ada meninggikan suara di hadapan mereka atau berkata dengan suara keras ketika berbicara dengan mereka.Jangan pula anda mengherdik atau berkata cis kepada mereka apalagi kalau sampai menyalahi, tidak mengindahkan perintah dan anjuran mereka. Lukmanul Hakim memberi nasihat kepada anaknya antara katanya: Hai anakku! Jangan kamu mempersekutukan Allah kerana perbuatan mempersekutukan Allah itu adalah satu kezaliman yang besar.Hendaklah kamu patuh dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kamu. Jika kedua-dua orang tuamu memaksa untuk mempersekutukan Allah maka janganlah kamu mengikutnya. Jelaslah bahawa seseorang anak itu mestilah patuh kepada kedua-dua ibu bapa mereka kecuali perkara yang melanggar syariat Allah s.w.t. Seseorang anak atau remaja mestilah patuh dan mengikut nasihat ibu bapa mereka untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Masyarakat Malaysia secara umumnya sering diperkatakan sebagai masyarakat yang bertimbang rasa, berbudi pekerti dan gemar berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.Ini ada kaitannya antara hubungan anak dan ibu bapa sebagai teras masyarakat penyayang. Islam mengambil berat perihal hubungan yang murni antara anak dan ibu bapanya. Islam menganggap persoalan ini sebagai teras kepada pembinaan masyarakat yang harmonis dan berjaya.Selain inginkan kekayaan dan kemajuan, Islam juga mahukan kekayaan perwatakan yang cemerlang dan tinggi budi pekertinya di kalangan umatnya.

Dalam Islam, menghormati, menyayangi, berbelas kasihan dan menjaga kebajikan ibu bapa adalah sesuatu yang wajib. Dan melaksanakan sesuatu yang wajib adalah ibadah.Allah berfirman yang maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan. (Surah Luqman:14) Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. (Surah Al-Ahqaf:15) Daripada kedua-dua ayat itu, jelas bahawa tugas berbuat baik kepada ibu bapa kita adalah wajib dan bukan pilihan peribadi. Seseorang anak juga patut menjaga makan minum, kesihatan, kebajikan dan perbelanjaan ibu bapa yang sudah tua. Anak tidak boleh membiarkan ibu bapa melarat dan tidak dijaga dengan sebaiknya.

Ada anak yang menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan apabila ibu bapa mereka sudah tua dan uzur. Perkara ini tidak seharusnya boleh terjadi dalam masyarakat Malaysia yang mengamalkan nilai murni dan pembentukan masyarakat penyayang. Allah menegaskan dalam al-Quran yang maksudnya: Jika salah seorang daripada kedua-duanya (iaitu ibu bapa kita), atau kedua-dua sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan Ha! dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka, perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Surah Al-Isra:23)

Natijahnya, seseorang anak mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat untuk menjaga dan memelihara kedua-dua ibu bapa mereka apabila mereka sudah tua, namun tugas dan tanggungjawab itu adalah suatu ibadah dan perbuatan yang sangat mulia serta patut mendapat sokongan dan sanjungan semua ahli masyarakat ke arah membentuk masyarakat penyayang.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Memelihara khazanah laut agar tidak terancam

PESISIRAN pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, Kedah gempar pada 10 Februari lalu apabila didatangi 'tetamu' asing.

Tubuh agamnya yang berukuran lebih kurang 12 meter dengan berat antara empat hingga lima tan terjelepok di atas celahan batu. Itulah dia, seekor ikan paus malang yang tidak bernyawa lagi. Kejadian ikan paus terdampar di negara ini sebenarnya bukanlah asing. Berdasarkan sejarah Jabatan Perikanan, ikan paus pertama yang direkodkan terdampar di Malaysia adalah pada tahun 1892 di pesisir pantai, 29 kilometer ke arah selatan bandar Melaka.

Selain itu, rekod Utusan Malaysia menunjukkan lebih 12 ekor paus dijumpai di pesisir pantai negara ini sejak tahun 1999 dan ia didapati semakin bertambah saban tahun. Lebih membimbangkan, hampir kesemua mamalia yang dikesan terdampar itu, jarang-jarang ditemui hidup.

Bagi kes Pulau Sayak, pada hakikatnya tiada siapa yang tahu kenapa dan sebab paus yang dipercayai spesies Bryde itu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati.

Malah, penduduk bingung kenapa paus berkenaan 'mendarat' di kawasan yang tidak pernah ditemui mereka sebelum ini. Mulalah timbul pelbagai andaian termasuklah dikatakan petunjuk tsunami bakal berlaku semula. Pada tahun 2004, tidak jauh dari tempat itulah kesan bencana tsunami dirasai di Malaysia. Mungkin kepada penduduk di kawasan tersebut, ia satu perkara ganjil kerana tidak pernah melihat kelibat paus mundar-mandir di kawasan perairan yang kaya dengan hasil laut berkenaan.

Sungguhpun begitu, insiden malang itu memberikan signifikan tersendiri. Ini kerana, tidak dapat tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa hidupan laut diancam kepupusan yang semakin serius sejak akhir-akhir ini. Barangkali kedatangan haiwan ini juga sebagai peringatan buat kita, manusia yang terus-terusan lupa akan tanggungjawab memelihara khazanah alam.

Ikan paus, sama ada spesies Bryde, Fin atau sebagainya merupakan antara enam jenis hidupan marin yang dikategorikan sebagai paling terancam selain dugong, ikan lumba-lumba, ikan yu, penyu dan kerang gergasi kima. Kesemua spesies tersebut dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam 1999 (Pindaan) 2008.

Jika diamati secara menyeluruh, ancaman kepupusan tersebut merupakan perkara yang perlu diberi perhatian khusus dan sewajarnya, memandangkan ia telah lama berlaku dan masih lagi berterusan sehingga saat ini.

Salah satu faktor kepupusan beberapa spesies ikan ataupun khazanah laut itu adalah ketidakseimbangan antara tekanan daripada kegiatan manusia dan industri perikanan serta keupayaan alam sekitar menjana sumber aslinya.

Selain itu, sesetengah haiwan laut mempunyai kepentingan nilai ekonomi dan ini dieksploitasi dengan pelbagai cara. Antaranya, daging dijadikan makanan eksotik manakala cengkerang ataupun bahagian lainnya dijadikan perhiasan.

Ada juga teori mengatakan, penggunaan alat sonar oleh nelayan dan kapal dagang boleh merosakkan gegendang telinga ikan besar seperti paus yang menyebabkan ia hilang imbangan. Keadaan ini seterusnya menyebabkan mamalia tidak bertenaga melawan arus dan akhirnya cedera atau mati dihanyut ombak laut.

Tambah buruk lagi, sikap manusia sendiri yang menjadikan laut sebagai tempat membuang pelbagai jenis sampah sarap. Tidak hairanlah, masalah tersebut mungkin ada kaitan dengan kematian ikan paus di Pulau Sayak, baru-baru ini.

Benda asing seperti plastik, botol minuman dan gumpalan tali dipercayai menyebabkan usus ikan tersumbat dan sakit sehingga mengakibatkannya tidak berdaya untuk berenang ke habitat asal.

Apapun, kita tidak mahu salahkan sesiapa dalam hal ini. Perkara yang penting ialah satu pemahaman yang lebih ketara mengenai spesies terancam perlu dihebahkan kepada umum dari semasa ke semasa. Pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan agensi pelaksanaan undang-undang seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Alam Sekitar juga perlu peka dengan apa yang berlaku di sekitar kawasan pesisir pantai.

Di samping itu, institut penyelidikan ekosistem marin tempatan boleh mengambil inisiatif membiak atau menghasilkan benih-benih spesies ikan terancam. Perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan beberapa negara yang mendokong khazanah marin seperti Jepun dan Kanada, berjaya melakukannya.

Pada masa sama, nelayan atau mereka yang mendiami kawasan pantai, harus sedar akan tanggungjawab memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar.

Sekiranya usaha berterusan tidak dilakukan, tidak mustahil dalam masa 30 hingga 50 tahun akan datang, khazanah laut sekitar negara ini akan pupus. Justeru, jangan biarkan suatu hari nanti, generasi akan datang hanya mengenali paus, penyu, dugong dan ikan yu melalui internet atau majalah. Jika benar-benar berlaku, ia suatu yang amat malang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Industri buku Malaysia tidak malap

AWAL minggu ini dunia digemparkan dengan berita kemuflisan rangkaian kedai buku terbesar iaitu Borders dan antara faktor yang menyumbang kepada kemuflisan disebabkan kurangnya permintaan terhadap bahan bercetak seperti buku. Apakah ia pendapat atau fakta, ini harus dikaji dengan terperinci?

Mungkin pendapat ini ada benarnya di negara maju dan bukannya negara sedang membangun atau negara miskin.

Turut diutarakan trend pembelian dalam talian seperti Amazom.com yang menyumbang kepada 60 peratus keuntungan dengan penjualan buku. Dengan alasan seperti ini bukan bermakna buku tidak mendapat sambutan.

Kegagalan Borders beroperasi mungkin disumbangkan oleh faktor lain yang membantu ke arah cadangan menyelamatkan kejatuhan rangkaian kedai buku terbesar di dunia itu.

Jika dilihat dengan mata kasar, saban tahun pesta buku yang dianjurkan di seluruh dunia mendapat sambutan hebat.

Nama seperti Bologna, Jakarta, Frankfurt, London dan banyak lagi sentiasa dinanti bukan saja oleh pencinta ilmu, malah pedagang ilmu tradisional ini.

Di Malaysia, jika dilihat setiap tahun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sentiasa mendapat sambutan dan pengunjungnya menjangkau hampir dua juta orang.

Peserta pameran pula sentiasa melebihi daripada gerai yang ditawarkan, malah pada hari terakhir setiap tahun tempahan gerai untuk tahun akan datang biasanya sudah habis terjual. Apakah ini petanda orang ramai tidak gemar membaca buku?

Sememangnya instrumen ilmu tradisional ini menghadapi persaingan hebat dengan adanya buku dalam talian, e-book dan pelbagai cabaran serta gajet elektronik terbaru. Namun, berapa ramai yang mampu mencapai buku dalam talian serta gajet elektronik ini kerana perkara ini masih baru dan dianggap sebagai barang mewah dalam masyarakat dunia.

Oleh itu, anggapan bahawa kemalapan industri buku dunia dengan kemuflisan rangkaian gergasi Borders ini adalah satu pendapat semata-mata.

Fakta realitinya instrumen ilmu tradisional ini masih diperlukan oleh semua peringkat umur serta mereka yang dahagakan ilmu.

Bagi senario di Malaysia, industri buku di negara ini masih baru dalam perkembangannya. Masyarakat baru saja mengenali serta memupuk pembudayaan ilmu melalui buku.

Kempen yang dianjurkan oleh kerajaan bersama agensinya serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru saja hangat diperkatakan serta mendapat perhatian masyarakat.

MOHAMAD ASRI SHAFII,
Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS),
Bagan Datoh, Perak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 24 Februari 2011

FAJAR BAHASA

Pancarkan fajar bahasaku yang indah berkilau
menyinari tulus hatimu
buat mengenal jati diri di jendela peribadi

Pancarkan fajar bahasaku yang berilmu
menyinari suci kamarmu
bertamulah cendekia bangsa di anjung sejahtera

Pancarkan fajar bahasaku yang satu
menyinari bersih kasihmu
harapan musim lalu dan perjuangan masa kini
adalah api yang takkan padam
seiring dan abadi

Syaidul Azam Kamarudin
Johor Bahru

Sumber – Dewan Bahasa Mei 2010

Rabu, 23 Februari 2011

Kemerosotan keputusan STPM 2010 akan dikaji

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mengkaji punca kemerosotan peratusan lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 di seluruh negara yang diumumkan semalam.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian akan menyediakan analisis bagi mengenal pasti punca penurunan peratusan lulus penuh itu sebelum tindakan seterusnya diambil.

Selain itu, kata beliau, tindakan menempatkan guru berpengalaman dan berkualiti di luar bandar tidak semestinya langkah tepat untuk merapatkan jurang prestasi antara calon bandar dan luar bandar.

"Kebanyakan sekolah di luar bandar mahupun di kawasan pedalaman mempunyai guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada lima tahun dan bukanlah hanya dipenuhi dengan guru baru lepasan maktab sahaja.

"Masih banyak perkara yang perlu dikaji sebelum mengambil tindakan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan memastikan keputusan lulus penuh dapat ditingkatkan semula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM tahun lalu dan hanya 46,780 atau 92.49 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menunjukkan penurunan iaitu dari 47.72 peratus atau 25,001 calon yang dicatatkan pada 2009 berbanding 46.41 peratus (23,473 calon) tahun lalu.

Selain itu, 11 lagi mata pelajaran turut menunjukkan penurunan prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Seni Visual, Perakaunan, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Geografi, Biologi, Ekonomi, Matematik S dan Bahasa Arab.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, kajian tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh meskipun terdapat sesetengah pihak beranggapan ia tidak serius.

Katanya, jika perkara tersebut tidak ditangani segera, dibimbangi pelajar lepasan STPM tidak mampu bersaing dengan penuntut program matrikulasi mahupun diploma.

Tegasnya, lebih serius peratus lulus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia turut menunjukkan penurunan pada tahun lalu.

"Penurunan tersebut perlu dikaji dengan teliti bagi mengenal pasti sama ada pendekatan memartabatkan bahasa kebangsaan itu masih rendah dan tidak menonjol.

"Kesan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik juga perlu dikaji sama ada turut menjadi punca penurunan bagi mata pelajaran tersebut," katanya.

Jelas Mohamad Ali, kementerian perlu mengesan penurunan keputusan STPM 2010 dan mencari langkah terbaik mengatasinya yang juga merangkumi langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN :IPT perlu proaktif cungkil idea penyelidikan

Oleh Dr Norhafezah Yusof

PENYELIDIKAN adalah usaha mengenal pasti permasalahan sesuatu fenomena. Selaras dengan kehendak masyarakat, penyelidikan perlu dilihat mampu menghasilkan sesuatu penambahbaikan terhadap pembentukan dasar dari aspek akademik dan permasalahan praktikal. Ia mendasari keperluan pembentukan sesuatu polisi terutama yang berimpak tinggi dalam masyarakat dan negara.

Bertepatan dengan idea itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, dalam Amanat Tahun Baru 2011 baru-baru ini di Putrajaya menekankan perihal pentingnya peranan penyelidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dengan menggariskan beberapa isu berkenaan dengan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dan peranan universiti dalam menggembleng tenaga untuk kemajuan penyelidikan.

Masyarakat Malaysia yang peka dengan perkembangan institusi pengajian tinggi mungkin memahami dengan jelas mengenai klasifikasi universiti di negara ini. Perkara yang ingin disentuh di sini ialah mengenai keghairahan universiti dalam mencapai status Universiti Penyelidikan.

Umum mengetahui mengenai perkembangan terkini yang mana Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf beberapa IPTA sebagai Universiti Penyelidikan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan yang terkini Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Manakala Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf sebagai Universiti APEX.

Perkara pokok mendasari perkembangan kesemua IPT ini ialah budaya penyelidikan yang menjadi antara tunjang yang perlu diperhebatkan pihak pengurusan tertinggi IPT berkenaan. Justeru, mengapa pembudayaan dan perkembangan penyelidikan dilihat sebagai aspek penting dalam pembangunan sesebuah IPT?

Berteraskan kepada falsafah ‘Pengajian Tinggi ke arah Transformasi Negara’, penyelidikan yang dijadikan agenda keempat dalam Dasar Pengajian Tinggi dianggap mampu menyumbang kepada kesinambungan cabaran global yang mendepani masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Berbalik kepada persoalan yang dinyatakan sebelum ini apakah impak penyelidikan di IPT terhadap kesejahteraan hidup masyarakat negara ini? Ada tiga pemeringkatan yang dapat ditangani sesuatu penyelidikan untuk konteks penyelidikan di Malaysia. Pertamanya, penyelidikan yang cuba menangani permasalahan yang telah berlaku. Contohnya, seperti isu banjir di Kedah baru-baru ini.

Kedua, permasalahan yang sedang berlaku, contohnya, masalah sosial remaja di Malaysia yang saban hari menjadi isu hangat seperti dipaparkan dalam media perdana. Ketiga, permasalahan yang akan berlaku. Contohnya, isu pembinaan loji nuklear di Malaysia dan bagaimana cara terbaik menangani sisa nuklear itu jika negara perlu mewujudkan pusat nuklear bagi mengatasi krisis keperluan tenaga elektrik untuk jangka masa yang panjang.

Rangkaian penyelidik perlu diperkemas dan diperkasa untuk menyahut cabaran ini. Tidak ketinggalan juga IPT lain yang juga berhasrat menjadi Universiti Penyeli-dikan seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan lain-lain perlu bersama-sama menggembleng tenaga dan melihat penyelidikan sebagai agenda pembangunan masyarakat.

Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf enam HICoE yang diberikan dana lumayan menerajui penyelidikan bercorak kritikal dan kreatif yang bersifat ‘multidisciplinary’ dan mempunyai rangkaian antarabangsa yang kukuh.

Umumnya, pusat kecemerlangan perlu memenuhi tujuh kriteria yang digariskan oleh pihak kementerian iaitu kualiti dan kuantiti penyelidik, kualiti dan kuantiti penyelidikan, kualiti dan kuantiti pasca siswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah/pemberian, rangkaian dan perhubungan, akhir sekali sistem dan sumber fizikal.

Mari kita meneliti keenam-enam pusat kecemerlangan yang berjaya memperoleh pengiktirafan dari Kementerian Pengajian Tinggi. Berdasarkan keunikan tersendiri, kesemua pusat kecemerlangan menerajui bidang kepakaran yang mempunyai impak tinggi terhadap masyarakat.

Senarai pusat kecemerlangan adalah seperti berikut; UM Centre of Research for Power Electronics, Drives, Automation & Control (UMPEDAC), UKM medical molecular biology institute (UMBI), Institute for Research in Molecular Medicine (INFORMM) USM, Institute of Bioscience (IBS) UPM, Centre for Drug Research (CDR) USM dan Accounting Research Institute (ARI), UiTM.

Bidang penyelidikan yang diterajui semua Pusat Kecemerlangan ini adalah bersifat cross-disciplinary yang mana pemberatan falsafah ilmu sains dan sains sosial adalah saling bergantungan. Contohnya, untuk mengkaji mengenai permasalahan krisis tenaga, antara perkara pokok yang perlu diambil kira penyelidik ialah impak harga tenaga elektrik terhadap cara hidup masyarakat kini.

Semua pusat kecemerlangan ini dituntut memperhebatkan kajian dan penghasilan produk/modul untuk melestarikan pembangunan masyarakat dalam mendepani masa depan yang mencabar. Bertepatan dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi memperkasakan penyelidikan dan mentransformasikan pengajian tinggi, pihak pengurusan IPT disaran lebih proaktif dalam mencungkil idea penyelidikan kreatif setanding dengan penyelidikan antarabangsa.

Bagaimanapun penyelidik juga perlu peka kepada etika penyelidikan kerana kita tidak mahu menghasilkan penyelidikan yang hebat tetapi impaknya terhadap masyarakat kurang bermakna seperti penghasilan bom atom atau virus komputer.

Kini adalah masa untuk bekerjasama dan bukan melihat siapa jaguh dalam arena penyelidikan kerana impak yang dihasilkan akan dikongsi bersama demi masyarakat.

Penulis ialah Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi

Sumber : http : //www.bharian.com.my/