Selasa, 22 Mac 2011

MAKLUMAN BERKAITAN FORMAT KERTAS SOALAN BAHASA MELAYU SPM (1103) 2011

Dimaklumkan bahawa teks komponen sastera Bahasa Melayu Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima telah ditukar mulai tahun 2010. Perubahan ini merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2009 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Teks komponen sastera ini mula diguna pakai oleh murid-murid Tingkatan Empat pada tahun 2010.

Teks berkenaan akan digunakan untuk kertas Bahasa Melayu mulai peperiksaan SPM 2011. Walau bagaimanapun, Kertas Bahasa Melayu SPM(U) 2011 masih menggunakan teks komponen sastera yang lama.

Dimaklumkan juga bahawa pertukaran teks komponen sastera ini tidak melibatkan perubahan format kertas soalan Bahasa Melayu SPM.

Senarai teks komponen sastera yang baharu adalah seperti yang berikut:

1. Antologi Harga Remaja (Ting. 4)

Kementerian Pelajaran Malaysia

Dewan Bahasa dan Pustaka

2. Antologi Dirgahayu Bahasaku (Ting. 5)

Kementerian Pelajaran Malaysia

Dewan Bahasa Dan Pustaka

3. NOVEL

i. Papa…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof

ii. Azfa Hanani karya Azhan Mohamad Hanafiah

iii. Renyah karya Gunawan Mahmood

iv. Melunas Rindu karya Hartini Hamzah

v. Interlok karya Abdullah Hussain

vi. Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir

vii. Sutera dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan

viii.Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah


Pengarah Peperiksaan

Lembaga Peperiksaan

Kementerian Pelajaran Malaysia

Sumber : http://lp.moe.gov.my/

ISU SOSIAL : Kebajikan penjawat awam dijaga

NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin serta Mohd. Sidek Hassan (kiri) memegang buku Perkhidmatan Awam selepas melancarkannya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA X11) di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, semalam. – Utusan/HANAFI KHAMIS

Oleh ZULKIFLI JALIL, THOMAS CHONG dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 22 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lagi beberapa khabar gembira untuk meningkatkan motivasi dan melahirkan penjawat awam yang berdaya saing.

Ia dimaklumkan Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan bertajuk “Kerajaan Bertanggungjawab: Menunai Janji, Melangkau Jangkaan” di hadapan 5,747 penjawat awam yang menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA XII) di sini.

Turut mendengar pengumuman tersebut ialah masing-masing 300 dan 270 penjawat awam yang menghadiri sidang video dengan Perdana Menteri di Wisma Bapa Malaysia di Sarawak dan Auditorium Intan di Sabah.

Berikut perkara yang diumumkan Perdana Menteri:

i. Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, pesara skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau di bawah Seksyen 6A(6) Akta 227/239 termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan percuma.

Pelaksanaan pemanjangan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP ini hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang telah di bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan. Bagaimanapun, ia tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.

ii. Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, ganjaran akan dibayar 100 peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah pilihan skim pencen sekali gus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.

iii. Kajian semula sistem saraan sedang dijalankan bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.

iv. Kerajaan akan memperkenalkan anugerah khas kepada penjawat awam yang aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan selain menunjukkan mutu kerja yang tinggi. Untuk itu, tahap prestasi kerja dan penglibatan aktif dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan tersebut.

v. Pegawai-pegawai awam di peringkat pertengahan yang berpotensi tinggi akan dihantar untuk mengikuti kursus-kursus terpilih bagi menyediakan mereka dengan kemahiran kepimpinan. Pada masa sama, kemajuan kerjaya dan peluang-peluang kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana akan diperluaskan kepada pegawai yang telah berjaya memiliki kelayakan yang tinggi.

vi. Kajian terperinci akan dilaksanakan untuk merasionalisasikan perkhidmatan awam bertujuan mengurangkan lebihan anggota melalui penjajaran semula fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong dan pengagihan semula perjawatan.

vii. Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) digantikan dengan penilaian baru yang lebih memfokus kepada elemen pembangunan kompetensi berasaskan gred dan jawatan serta mengambil kira keunikan pelbagai skim perkhidmatan. Untuk memastikan ia relevan, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

viii. Jawatankuasa penilai pemantauan prestasi akan ditubuhkan bagi memastikan pegawai kerajaan terlibat dalam sistem pool tidak teraniaya di mana elemen keadilan dan penilaian bebas akan diamalkan.

ix. Bagi pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi, satu kaedah exit policy akan diwujudkan di bawah Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia untuk menamatkan perkhidmatan tersebut.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Melayu dimartabat, bahasa Inggeris diperkasa

ISU kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dan bahasa kedua timbul lagi. Secara perundangan, statusnya adalah jelas dalam konteks Malaysia tetapi aspek penggunaannya menjadi isu antara integriti dan kemampuan mendapatkan ilmu menggunakan bahasa Inggeris.

Apabila Kementerian Pelajaran mengkaji semula PPSMI dan mengambil keputusan untuk memartabatkan semula pengajarannya dalam bahasa Melayu, ia menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Keputusan itu adalah langkah bijak supaya bahasa ibunda dimartabatkan dan bahasa Inggeris diperkasakan.

Penegasan yang dibuat dalam Majlis Penutup Pertandingan Antarabangsa Bahasa Melayu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkasa bahasa Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa adalah langkah bijak, berpandangan jauh dan tepat pada waktunya.

Bahasa Melayu sudah sekian lama menjadi bahasa ilmu dan bahasa ilmiah. Sejarah lebih 53 tahun Malaysia merdeka menghasilkan secara empirikal bahawa bahasa Melayu memiliki upaya tinggi menjadi salah satu bahasa yang tersohor di dunia. Namun begitu kepentingan bahasa Inggeris tidak dinafikan. Janganlah kita berasa rendah diri bahawa tanpa menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, kita bakal ketinggalan dalam proses maju dan membangun.

Dalam usaha memartabat bahasa Melayu, kita tidak meninggalkan penguasaan bahasa Inggeris. Cara mana bahasa Inggeris dapat dikuasai dengan berkesan, itu adalah cabaran yang perlu kita atasi.

Bangsa Anglo-Saxon atau orang-orang Eropah dahulunya menghantar orang-orang yang mahir berbahasa Arab untuk datang ke Andalusia bagi mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu orang Islam dalam segala bidang, kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa Latin atau Ibrani sebagai asas maju dan berubah. Strategi mereka ialah mengekalkan integriti sebagai bangsa Eropah dan menguasai ilmu pengetahuan dari tamadun lain untuk maju. Mereka tidak mengambil ilmu Islam, sekali gus mengambil bahasa Arab sebaliknya mengekalkan penguasaan bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew sebagai bahasa ilmu.

Dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu berada dalam kedudukan yang amat unik untuk dijadikan bahasa integrasi dan bahasa ilmu. Memperkasa diri dengan penguasaan bahasa Inggeris, malah bahasa-bahasa lain adalah suatu keperluan kerana sifat zaman berubah dan perkongsian ilmu dalam tamadun orang lain adalah dituntut.

Uniknya bahasa Melayu dalam konteks umat Melayu, ia terpancar istilah dan makna yang berasaskan sistem nilai. Sejak merdeka, terbukti bahasa ini digunakan di pusat pengajian tinggi khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan. Lulusan sekolah-sekolah dan institusi yang menggunakan bahasa Melayu terbukti berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, tidak saja di universiti yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi juga bahasa Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan sebagainya.

Persoalan yang berbangkit ialah memperkasa bahasa Inggeris telah menyebabkan status aplikasi bahasa Melayu beransur-ansur dipinggirkan. Penggunaanya dalam subjek sains dan matematik dan 100 lagi cabang-cabang disiplin ilmu, tidak saja memberi kesan pencapaian dalam akademik tetapi telah menjadikan penggunaan bahasa Melayu semakin tidak penting dan lebih membimbangkan lagi, ia menjadi bahasa rojak dalam kegunaan harian. Ia bakal menyentuh integriti bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks sebuah negara yang merdeka.

Memperkasa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, malah bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga untuk menghadapi cabaran perubahan amatlah penting. Ia menuntut pendekatan pengajaran-pembelajaran yang dinamik dan kreatif di bilik darjah dan kuliah supaya kesan penguasaannya terserlah. Kemajuan teknologi dan modul-modul terkini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua dan ketiga terbuka luas untuk diaplikasikan supaya tidak saja penguasaan bahasa ibunda menjadi teguh dan kukuh tetapi dalam masa yang sama, penguasaan bahasa Inggeris menjadi lebih baik.

Tidak ada asas akademik dan hujah integriti yang menyatakan bahawa meninggalkan bahasa ibunda dalam menguasai ilmu dan mendakap bahasa kedua menjadi bahasa utama menyebabkan sesuatu bangsa itu maju. Orang-orang Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea masih tetap mempertahankan integriti bahasa ibundanya untuk maju tetapi dalam masa yang sama, amat terbuka untuk menguasai bahasa lain sebagai strategi untuk maju dan membangun.

Sekian lama Filipina menggunakan bahasa Inggeris, tetapi tidak pula mencapai model negara maju yang boleh dijadikan rujukan. Strategi Malaysia untuk terus tidak mengubah peruntukan perundangan mengenai status bahasa ibunda baik dalam Perlembagaan ataupun Akta Pendidikan adalah sesuatu yang bijak. Memberi keutamaan untuk memperkasa bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain adalah langkah strategik untuk terus maju.

Psikologi ini harus diperkukuhkan dengan teguh dan mantap sebagai warga Malaysia, tidak saja dalam dasar tetapi juga dalam amali dan aplikasi. Memberi fokus tentang sains dan matematik adalah penting dari sudut ilmu dan akademik. Menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar boleh memberikan dua implikasi besar. Pertama, bidang sains dan matematik amat rapat hubungannya dengan corak ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkembang pada masa kini dan masa depan. Menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama menyebabkan jangka panjangnya meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga menyentuh tentang persoalan integriti kerana bahasa itu dikaitkan dengan jiwa sesuatu bangsa.

Melaksanakan strategi memperkasa bahasa Inggeris tanpa melakukan projek perintis, persiapan guru-guru dalam penguasaan bahasa, prasarana pembelajaran yang tidak kondusif di luar bandar menyebabkan wujudnya jurang pencapaian yang berbeza dan boleh menyebabkan keciciran melebar. Oleh itu, langkah Kementerian Pelajaran menyusun kembali pendekatan memperkasa proses pengajaran-pembelajaran dalam bahasa Inggeris adalah suatu langkah yang dialu-alukan.

Petanda yang ada dalam keputusan peperiksaan yang lalu menjadi bukti bahawa pelajar-pelajar akan lebih mudah menguasai ilmu dan kemahiran menggunakan bahasa ibundanya dan dalam masa yang sama, pemerkasaan bahasa Inggeris memerlukan perancangan dan strategi pembelajaran-pengajaran yang lebih berkesan.

Sekiranya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengekal dan mengembalikan status bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, ia bakal menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai wibawa mempertahan dan mengembangkan faktor-faktor teras sebagai bangsa merdeka dan dalam masa yang sama amat terbuka untuk menguasai elemen-elemen luar lingkungan untuk maksud keilmuan dan kemajuan menggunakan bahasa-bahasa penting dunia.

Tidak timbul isu patriotik atau tidaknya dalam soal penggunaan bahasa Inggeris dan kurang patriotiknya apabila tidak menggunakan bahasa Melayu. Umat Melayu bersetuju bahasa memperkasa bahasa kedua dan ketiga yang kaitannya dengan ilmu adalah penting. Tidak timbul umpamanya bahasa Inggeris tidak penting atau bahasa Cina kurang penting. Dalam tradisi Islam, tidak wujud masalah linguistic chauvinism iaitu pembatasan terhadap penguasaan bahasa.

Ilmuan Islam yang tersohor mampu mencetus tamadun menguasai banyak bahasa. Menguasai sesuatu bahasa adalah menguasai ilmu yang ada pada bangsa itu. Dalam masa yang sama sesuatu bahasa itu akan menjadi bahasa yang matang, bahasa ilmu sains dan teknologi apabila ia digunakan dalam penghasilan karya, kerja-kerja penyelidikan, pengajaran dan pelajaran.

Sejak merdeka bahasa Melayu mampu dimartabatkan di universiti-universiti di Malaysia dan memerlukan azam dan tekad politik yang tinggi bahawa tidak harus wujud rendah diri atau rasa ketinggalan untuk menguasai sekiranya bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam penerokaan ilmu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa penting untuk dipelajari dan dikuasai.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 21 Mac 2011

JENAYAH TANPA WAJAH

DEFINISI

Jenayah tanpa wajah adalah jenayah di alam maya, iaitu sama ada melalui panggilan telefon, sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), emel, atau melalui ruangan sosial.

Kita tidak mengenali muka penjenayah itu tetapi kita boleh percaya dengan apa yang diperkatakan.

JENIS

Penipuan melalui SMS

Penipuan melalui e-mel atau laman sosial

Skim cepat kaya

STATISTIK

Mengikut statistik, pada 2009, 75 kes penipuan melalui perbankan Internet dilaporkan dengan kerugian berjumlah lebih RM200,000 dan ia terus meningkat dengan 353 kes dan kerugian kira-kira RM1.2 juta, pada tahun lalu.

LANGKAH MENANGANI

1.Jangan dedahkan nombor kad pengenalan anda

2.Jangan dedahkan nombor pada kad bank

3.Jangan sewenang-wenangnya memberikan nombor akaun bank anda

4.Jangan dedahkan alamat rumah anda

5.Jangan dipaksa membuat keputusan

6.Jangan mudah percaya terhadap pakej yang ditawarkan

7.Minta seberapa banyak maklumat syarikat yang mereka wakili

8.Buat pemeriksaan nama syarikat tersebut

9.Letakkan telefon semasa mereka cuba memujuk anda

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KEMUDAHAN ASAS : Meniti jejak tapak air

Oleh Shaharudin Idrus

SEMPENA Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac 2011 (hari ini) dengan temanya Air Untuk Bandar: Keperluan dan Cabaran, ia akan memberi cabaran besar terhadap bandar-bandar di dunia ini termasuklah Malaysia.

Jumlah penduduk bandar di negara ini kian meningkat saban hari. Dianggarkan sebanyak 14.5 juta penduduk negara ini akan menetap di bandar-bandar utama di negara ini menjelang tahun 2020. Proses urbanisasi dengan jumlah penduduk bandar ini akan terus-terusan meningkat. Di sinilah letaknya keperluan dan cabaran yang dihadapi dalam memastikan seluruh penduduk bandar dan juga luar bandar mendapat bekalan air bersih yang secukupnya dan secara berterusan.

Bagi setiap satu saat, jumlah penduduk bandar bertambah sebanyak dua orang. Sementara itu, hampir 95 peratus daripada perluasan kawasan bandar akan berlaku di negara-negara membangun termasuklah Malaysia dan rantau ini. Peningkatan jumlah penduduk yang mendadak ini akan membawa bersama-sama bukan sahaja masalah ekonomi dan alam sekitar tetapi juga keperluan bekalan air bersih dituntut dengan lebih tinggi.

Cabaran utama yang perlu digalas adalah terhadap infrastruktur paling asas yang perlu ada dalam setiap kehidupan manusia tanpa gangguan iaitu sumber air yang bersih dan terjamin seiring dengan kepesatan pembangunan kawasan perumahan yang meningkat akibat langsung daripada peningkatan jumlah penduduk yang menghuni kawasan perbandaran tadi. Malahan bukan itu sahaja, kawasan ruang pejabat, rekreasi, institusi ibadat dan seluruh kawasan bandar itu menuntut sumber air bersih untuk digunakan penduduknya sepanjang masa menurut keperluan masing-masing.

Hubung kait di antara sumber air dan bandar adalah amat kritikal sekali. Bandar menuntut sumber air bersih yang begitu banyak jumlahnya untuk menampung keperluan bandar yang semakin mendesak. Hampir semua bandar di negara ini dialiri oleh sungai-sungai utama yang mampu membekalkan sumber air bersih. Namun begitu, ketiadaan etika yang baik menyebabkan segala sampah sarap malahan mayat manusia juga dihumban ke dalam sungai yang mengalir di hadapan mata warganya.

Kesemua ini mengundang keadaan sungai yang tercemar dengan begitu teruk. Tindakan ini sebenarnya bermula dari kawasan perumahan yang begitu banyak dibina. Sampah sarap dibuang ke dalam longkang dan kemudiannya mengalir ke sungai yang berhampiran dan seterusnya menuju ke lautan. Jika kesemua sungai telah mengalami pencemaran yang berterusan maka, hidupan dan ekosistem sungai dan lautan juga terganggu dan akhirnya mendatangkan kerugian yang besar kepada manusia itu sendiri.

Salah satu cabaran yang jarang diberikan perhatian dalam isu sumber air ini ialah daripada segi jejak air (water footprint) yang digunakan setiap individu. Data yang dipetik daripada Hoekstra, A.Y. and Chapagain, A.K. (2008) menunjukkan bahawa purata jejak air bagi negara ini ialah sebanyak 2,344 m3 perkapita setiap tahun. Jumlah ini adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada purata jejak air global yang dicatatkan iaitu berjumlah 1,243 m3 perkapita bagi setiap tahun. Ini menunjukkan bahawa penggunaan air bagi setiap individu di negara ini adalah lebih tinggi daripada yang dianggarkan di peringkat global.

Secara umumnya, sumber air di negara ini diperoleh dari air permukaan dari air hujan. Manakala sekitar 10 peratus sahaja air yang diambil dari sumber air bawah tanah. Sekali imbas dan secara logiknya, Malaysia sepatutnya tidak berhadapan dengan masalah sumber air yang bersih kerana jumlah hujan mencukupi untuk menampung penduduk seramai lebih 28 juta orang. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini, berlaku perubahan dalam jumlah dan lokaliti hujan akibat daripada fenomena alam yang berlaku di peringkat global. Hal ini ditambah pula dengan sikap pengguna yang membazir air dan tidak mengendahkan tentang keperluan dan kepentingan air.

Jumlah hujan yang banyak itu perlu ditakung dan digunakan untuk menyiram bunga- bungaan dan membasuh kenderaan. Walaupun begitu, usaha ini menuntut pula kesungguhan untuk membersih dan mengawal air yang ditakung agar tidak mengundang nyamuk aedes yang membawa penyakit demam denggi dan penyakit-penyakit lain bawaan air.

Bandar-bandar juga tidak akan dapat dilestarikan kewujudannya sekiranya kesampaian terhadap keperluan sumber air yang bersih dan sistem sanitasi yang baik tidak dapat dipenuhi. Masyarakat bandar tidak akan dapat berkompromi jika keperluan sumber air yang bersih ini terganggu dalam masa yang begitu lama. Pengalaman semasa berlakunya krisis air pada sekitar tahun 1997/1998 dahulu mengajar kita bahawa sistem pengurusan dan governans air yang baik perlu diberikan perhatian yang serius.

Hal ini termasuk tarif air yang sepatutnya dikenakan kepada masyarakat yang perlu juga diberikan penekanan serius. Isu-isu seumpama ini akan memberi peluang kepada pihak tertentu untuk menangguk di air yang keruh dan mampu menggugat kestabilan politik di negara ini. Jika perkara seumpama ini berlaku, amatlah malang bagi kerajaan yang memerintah kerana akan sentiasa berhadapan dengan kekacauan yang berterusan.

Shaharudin Idrus

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Keputusan SPM Diumumkan Rabu Ini

PUTRAJAYA: Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 akan diadakan pada 9 pagi Rabu ini di Aras 6, Blok E8, Kementerian Pelajaran di sini.

Menurut satu kenyataan pada Isnin, calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas 10 pagi hari berkenaan.

Calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos, atau boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat mereka mendaftar sebelum ini.

Kenyataan itu menyebut Kementerian turut memperkenalkan perkhidmatan semakan keputusan SPM melalui mySMS di talian 15888, mulai tahun ini.

Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai 10 pagi Rabu ini dan ditamatkan pada 12 tengah malam hari yang sama. - BERNAMA

ISU ALAM SEKITAR : Apabila alam tunjuk kehebatan, tiada kuasa manusia dapat menghalang

Oleh Abdul Latif Abu Bakar

TATKALA gempa bumi paling kuat dan paling hebat dalam sejarah moden manusia melanda perairan Aceh pada 26 Disember 2004, ia dikatakan gempa bumi paling menggerunkan dalam sejarah moden manusia. Dengan kekuatan 9.1 magnitud, gempa di dasar laut itu mencetuskan ombak besar tsunami.

Di Indonesia saja, sekitar 220,000 orang maut. Bumi Aceh diranapkan dan sehingga ke hari, masih ada kerja pembangunan semula Aceh dilaksanakan.Gempa berukuran 9 magnitud dan menjadikannya gempa bumi kedua paling hebat dalam sejarah manusia serta kekuatannya dikatakan 1,500 kali lebih hebat daripada kekuatan bom atom yang menjadikan Hiroshima, Jepun bagai padang jarak padang terkukur yang membunuh ratusan ribu manusia dan membawa kepada kekalahan Jepun di Asia dalam Perang Dunia Kedua.

Badai besar atau tsunami dari gempa bumi Aceh bergerak sangat hebat sehingga ke Thailand, membunuh ratusan manusia yang berada di tengah-tengah laluannya.

Tsunami itu juga bergerak ke Lautan Hindi dan singgah di kawasan pulau Andaman, India dan meranapkan segala binaan di sana. Badai juga menghentam pinggir pantai Sri Lanka dan menjejaskan teruk ibu negara Colombo.

Jumlah maut sebegitu besar dikatakan kerana negara terbabit tidak menyediakan sistem amaran awal bagi menggerakkan mereka yang tinggal di kawasan kritikal meninggalkan kawasan tempat tinggal.

Negara terbabit termasuk Indonesia, Thailand, Malaysia, India dan Sri Lanka adalah kelompok negara membangun yang kekuatan ekonomi dan teknologi pastinya tidak setanding Jepun.

Tiba-tiba igauan 2004 berlaku lagi dan kali ini di Jepun, ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan China. Gempa bumi berukuran 9 magnitud, hampir sama dengan kekuatan gempa yang melanda Aceh.

Gempa mencetuskan tsunami yang tidak pernah dilihat manusia sejak tsunami 2004 di Aceh. Seluruh dunia terkejut dan bersimpati.

Pihak berkuasa Jepun dalam kenyataan terbaru menganggarkan lebih 15,000 orang dikhuatiri sama ada terbunuh atau hilang dalam bencana tsunami yang melanda negara itu minggu lalu. Selain itu, 387, 000 orang lagi terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka dan ditempatkan di sekitar 2,000 pusat pemindahan sementara.

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana pula mengumumkan bangunan atau binaan yang sama ada sebahagian atau keseluruhannya terbakar dalam bencana itu sudah mencecah 100,396 buah. Kekuatan dan kehebatan fenomena alam yang berlaku pada 11 Mac 2011 dikatakan sudah merubah kedudukan pulau utama Jepun kira-kira 2.4 meter dan seperti gempa bumi Aceh 2004, gempa di utara Jepun ini juga dikatakan turut merubah kedudukan paksi bumi seperti yang dicatatkan oleh Jabatan Ukur Geologi Amerika Syarikat (USGS). Institut Kebangsaan Geofizik dan Gunung Berapi Itali menganggarkan gempa bumi berukuran 9 magnitud itu mengalih kedudukan paksi bumi kira-kira 10 sentimeter.

Nilai sebenar kemusnahan di wilayah utara Jepun itu masih dalam penghitungan tetapi anggaran awal menunjukkan kos pembinaan semula rumah, kilang, jalan raya dan jambatan yang musnah itu mungkin mencecah AS$200 bilion.

Ramai khuatir kemusnahan ekonomi akibat gempa bumi kali ini mungkin meninggalkan impak besar dan berlarutan di Jepun. Jika ini berlaku, rantaian kerosakan ekonomi akan berlaku di banyak tempat dunia, termasuk Malaysia. Pemerhati yakin kemusnahan kali ini jauh lebih hebat berbanding gempa bumi Kobe pada 1995. Betapa tidaknya kerana gempa bumi Kobe dicatatkan pada kekuatan 7.2.

Jepun antara negara paling bersedia hadapi bencana berdasarkan perkiraan ilmu manusia menggunakan kemudahan teknologi paling canggih. Menurut pakar tsunami di Universiti Southern California AS, Costas Synolakis, Jepun sudah membina sistem amaran awal menghadapi tsunami.

Kesilapan utama, kata pakar itu kerana Jepun tidak menjangkakan gempa dan tsunami sehebat itu.

Begitulah, apabila alam menunjukkan kehebatannya tidak ada kuasa manusia dapat menyekatnya. Kalau begitu kehebatan fenomena alam, ini membawa kita untuk menginsafi dan akur dengan kehebatan pencipta-Nya.

Manusia mesti menerima hakikat kehebatan alam kerana jika manusia lupa, kehebatan alam tiada tolak ansur. Manusia mesti menerima ketetapan bahawa mereka dan alam wujud sandar -menyandar dan mesti saling berkompromi. Jangan mencabar alam dengan pembangunan tidak terancang dan kerakusan sehinggakan manusia ingin menjadi kuasa menentukan ketetapan alam.

Kita pernah melihat alam menempiaskan kemarahannya dengan kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa dan keruntuhan Highland Towers. Fenomena alam di Jepun ini banyak mengajar kita dan kita perlu duduk dan banyak-banyak merenung dalam diri.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/