Rabu, 4 Mei 2011

ISU BAHASA : UKM Tubuh Penabayu Martabat Bahasa Melayu

Oleh SUSAN ALBERT KASSIM

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan mewujudkan sebuah jawatankuasa Penataran Bahasa Melayu (Penabayu).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu bertanggungjawab menyelaras aktiviti terjemahan karya-karya besar dunia ke dalam bahasa Melayu selain menjalankan kajian berterusan mengenai pendaulatan bahasa itu.

"UKM tidak pernah tergelincir daripada mendukung misi ini kerana sedar perjuangan Bahasa Melayu terus gagah berasaskan tiga landasan utama," katanya ketika menyampaikan syarahan utama bertajuk Memartabatkan Ekosistem Kegemilangan Ilmu di sini pada Selasa.

Menurut Mohamed Khaled, tiga landasan utama itu merangkumi ilmu global tidak relevan selagi tidak ditafsir, diadun dan dimanfaatkan dalam konteks tempatan, penghormatan dunia kepada kepelbagaian bahasa dan peradaban dunia tidak akan berkembang jika hanya didominasi satu bahasa.

Justeru, bahasa kebangsaan itu tetap memainkan peranan besar kerana ia turut digunakan sebagai bahasa istana, adat istiadat, perdagangan, bahasa ilmu dan pembentukan jati diri.

"Namun, penggunaan bahasa Melayu juga tidak sesekali menafikan kepentingan bahasa dunia lain untuk diperkukuhkan di kalangan warga universiti," ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, UKM turut berusaha mengantarabangsakan bahasa berkenaan dengan menghasilkan buku panduan penggunaan tatabahasa yang baik dan tepat menerusi projek Kod Amalan Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa (KAMPA).

Jelas beliau, buku panduan itu dihasilkan untuk menjadi rujukan masyarakat antarabangsa.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Penyelidik Tempatan Diiktiraf

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

LANGKAH kerajaan memberi penumpuan dan galakan penuh terhadap penyelidikan dan pembangunan inovasi di institusi pendidikan tinggi (IPT) membuktikan bidang itu mempunyai masa depan cerah untuk dikomersialkan.

Penyelidikan dan inovasi mempunyai impak besar mempengaruhi perjalanan serta perubahan kehidupan sejagat.

Malangnya masih ada mempertikaikan kemampuan hasil penyelidikan dan inovasi tempatan kononnya tidak setandingan dengan penyelidikan di luar negara.

Persoalannya mengapakah sentimen ini wujud di kalangan masyarakat sedangkan mereka sepatutnya berbangga dengan penghasilan produk anak tempatan?

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Noraini Idris, berkata sikap masyarakat yang terlalu mengagungkan hasil penyelidikan dan inovasi luar, perasaan tidak yakin terhadap penemuan anak tempatan serta kurangnya maklumat dan publisiti antara punca wujudnya pandangan skeptikal itu.

Beliau berkata, memang menjadi budaya masyarakat negara ini yang terlalu memandang kejayaan orang luar berbanding hasil sendiri walaupun ia tidak banyak berbeza.

“Malah sudah banyak produk dan kejayaan penyelidikan negara mencipta nama di peringkat antarabangsa, malangnya masih belum mampu membuka mata masyarakat kita.

“Masalah masyarakat sering dimomokkan dengan perspektif salah menyebabkan penyelidikan dan inovasi kita dikelaskan taraf kedua padahal ia tidak benar,” katanya.

Biarpun dibarisi kejayaan demi kejayaan selain pelbagai penemuan baru hingga dunia turut mengiktiraf, bagi masyarakat itu hanya kejayaan picisan jika dibandingkan penemuan luar.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara membangun, usaha kini boleh dibanggakan kerana bukan mudah bersaing dengan dunia luar yang berpengalaman dan berkepakaran.

Jika mengikut ukuran kemampuan, katanya, penyelidikan dan inovasi di negara ini masih jauh ketinggalan selain memerlukan pelbagai kemudahan canggih yang tidak mungkin dapat disediakan sekelip mata.

“Namun dalam kekurangan itu, kita masih lagi mampu menghasilkan kejayaan dan ini jelas memperlihatkan usaha keras pelbagai pihak untuk bersaing.

“Kita belum mampu bersaing sepenuhnya, tapi ini bukan bermakna penyelidik tempatan tidak bijak atau berkebolehan, malah penyelidik kita membuktikan hasil penyelidikan mereka turut menjadi rujukan orang luar.

“Ini patut dibanggakan kerana bukan mudah mereka yang lebih maju mengiktiraf kejayaan orang lain. Tapi jika mereka boleh, mengapa kita tidak menyokong?

“Pengukuhan nama negara bukan saja bergantung pada kestabilan ekonomi, politik dan sosial malah pendidikan juga kini menjadi fokus utama negara luar,” katanya.

Menurutnya, kepelbagaian serta pengukuhan penyelidikan dan inovasi memberi gambaran awal kemampuan negara dalam menyediakan sistem pendidikan yang baik.

“Masyarakat perlu faham, pengukuhan itu bukan saja boleh melonjakkan lagi nama negara, malah membuka banyak peluang kerjasama yang boleh menghasilkan impak positif terhadap pembangunan dan sosio ekonomi.

“Jadi, mengapa kita mesti memperlekeh satu usaha murni yang dilakukan ini?,” katanya.

Mengakui kejayaan penyelidikan dan inovasi tidak boleh dinikmati sekelip mata, malangnya itulah kesilapan masyarakat yang sentiasa berharap hasil kajian dibentangkan secepat mungkin.

“Penyelidikan dan inovasi bukan semudah melaksanakan kertas pembentangan kerja, ada standard, prosedur dan pelbagai lagi perlu dipatuhi.

“Ia adalah proses pembelajaran, penambahbaikan dan penyesuaian yang berterusan, kerana itu hasilnya bukan sekelip mata.

“Tambahan pula ada penyelidik yang turut terikat dengan tanggungjawab akademik serta kekangan bajet, menjadikan bidang ini satu cabaran berat.

“Apapun, penyelidik perlu mempunyai semangat kental dan mengetepikan segala tohmahan sebaliknya buktikan dalam keadaan serba kekurangan, mereka boleh berjaya,” katanya.

INFO

CIRI-ciri penyelidikan yang baik adalah berasaskan prinsip saintifik dan etika. Antara ciri saintifik ialah penjelasan, ramalan, corak , pengulangan , replikasi dan kuantifikasi.

Manakala ciri-ciri am adalah seperti objektiviti, keesahan, kebolehpercayaan, kebolehtadbiran serta kebolehtafsiran dan mesti mematuhi nilai atau kod etika yang ditetapkan.

Antara kejayaan dicapai penyelidik negara di persada antarabangsa:

1. Ketua Pusat Kejuruteraan Tisu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ruszymah Idrus dengan jayanya menumbuhkan kulit manusia di makmal menggunakan darah dan sel kulit pesakit itu sendiri.

Usaha ini akan dapat membantu mangsa kebakaran dan pesakit kencing manis pulih lebih cepat sambil mengenepikan risiko penolakan tisu. Inovasi dalam kejuruteraan tisu kulit ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila mereka memenangi Anugerah Pingat Emas Geneva di Pameran Antarabangsa Ciptaan, Teknik dan Produk Baru pada 2004.

2. Profesor Dr Fatimah Md Yusoff dari Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi penyelidikannya bertajuk ‘Natural Booster Kit for High Quality Microalgal Production’ dan Azlan Abdul Aziz (Fakulti Kejuruteraan) dengan penyelidikan ‘A Long Term Triaxial Filration Test System’ yang memenangi emas dalam Pameran Antarabangsa Idea, Rekacipta dan Inovasi (IENA) 2006 di Nuremberg, Jerman.

3. Penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Faridah Yusuf muncul satu-satunya wanita negara yang berjaya meraih pingat pada pertandingan Invention and New Product Exposition (Inpex) 2007 di Pittsburgh, Amerika Syarikat dengan hasil penyelidikan Carbon Nanotubes/Standard Malaysian Rubber Nanocomposite.

4. Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim merangkul emas di pertandingan penyelidikan antarabangsa, 39th International Exhibition Of Inventions di Geneva, Switzerland 2011 melalui hasil penyelidikan, ViscoLigno iaitu formulasi lumpur gerudi yang berupaya mendatangkan manfaat besar dalam industri penggerudian.

5. Profesor Madya Dr Sheikh Hussain Sheikh Salleh dan Profesor Madya Dr Ahmad Zuri Sha’ameri dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memenangi pingat perak di Pameran Ciptaan Antarabangsa ke-29 di Geneva, Switzerland melalui sistem yang dapat mengesan seseorang itu menghidap penyakit angin ahmar dan jantung.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Urus kewangan secara bijak pastikan hidup selesa apabila bersara

TEMPOH persaraan sering dianggap hari bagi seseorang berehat daripada alam pekerjaan yang diceburi sejak berpuluh-puluh tahun. Apabila bersara lazimnya seseorang akan berasa gembira kerana mempunyai lebih banyak masa untuk berehat. Mereka juga dapat meluangkan masa bersama keluarga, melakukan amal ibadat dan memberi tumpuan kepada bidang diminati yang selama ini tidak dapat dilakukan kerana kesibukan tugas. Malangnya, ramai juga pesara, walaupun sudah melewati usia emas terpaksa bekerja semula kerana menghadapi masalah kewangan. Ini berikutan kegagalan mengurus wang yang diterima sama ada daripada sumber pencen atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Keadaan menjadi bertambah buruk sekiranya ketiadaan tabungan sendiri. Berdasarkan kajian, KWSP mendapati 70 peratus daripada ahli KWSP bersara pada usia 55 tahun menghabiskan caruman mereka antara tahun pertama hingga tahun ke-10. Hasil kajian itu pastinya membimbangkan kita kerana tanpa kedudukan kewangan yang stabil, ia boleh mencetuskan masalah sosial pada penghujung kehidupan seseorang. Bagi pesara mempunyai anak yang mampu menjaga apabila bersara, pastinya dapat menjalani hari tua dengan lebih selesa, tetapi bagaimana pula jika sebaliknya.

Golongan inilah yang terpaksa hidup merempat. Ada yang terpaksa tinggal di rumah orang tua kerana tidak mampu menyara kehidupan sendiri. Kos hidup yang semakin tinggi, terutama kos perubatan menjejaskan kualiti hidup pesara. Justeru, saranan Persatuan Pesara Kerajaan (PPK) agar diwajibkan kakitangan kerajaan menjalani kursus prapersaraan amat bertepatan. Presidennya, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh, kelmarin mencadangkan agar kursus berkenaan dilaksanakan sekurang-kurangnya setahun sebelum tamat tempoh perkhidmatan kakitangan kerajaan terbabit. Kita yakin kursus seumpamanya dapat membantu pesara merancang kewangan dengan sebaik-baiknya. Kita akui tidak semua pekerja, termasuk daripada sektor swasta dapat mengurus wang secara bijak. Kita mahu setiap pekerja memahami selok-belok menabung, melabur dan membelanjakan wang secara berhemah menjelang hari persaraan.

Kita tidak mahu pesara menggunakan sebahagian besar wang diperoleh apabila bersara untuk membayar hutang seperti rumah atau kenderaan sehingga tidak dapat menampung kehidupan lain, setidak-tidaknya bagi keperluan makan dan minum. Pesara sewajarnya dapat menambah pendapatan melalui perniagaan yang terhindar daripada risiko kerugian atau penipuan. Kita juga mahu mereka berhati-hati menggunakan wang bagi tujuan pelaburan. Apapun, kursus perancangan kewangan ini tidak sewajarnya diikuti pekerja yang menghampiri usia persaraan saja. Ia sepatutnya turut diberi perhatian kepada pekerja muda agar tidak membelanjakan gaji sesuka hati sehingga tiada tabungan. Mengikut pakar perancangan kewangan, individu bersara memerlukan kira-kira 60 peratus daripada pendapatan akhirnya untuk mengekalkan taraf hidup seperti sebelum bersara. Malah, rakyat Malaysia memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk memastikan kehidupan selesa apabila bersara. Namun berdasarkan maklumat KWSP, sehingga akhir 2009 bilangan pencarum mempunyai nilai simpanan mencecah RM1 juta cuma 7,464 ahli. Ia satu jumlah yang kecil jika diambil kira 12.35 juta keseluruhan ahli KWSP setakat Mac tahun lalu. Ini bermakna tidak sampai satu peratus pencarum hidup selesa apabila bersara. Justeru, setiap pekerja perlu berhemah dan bijak mengurus kewangan menjelang hari persaraan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 2 Mei 2011

ISU BAHASA : Kemala Dinobat Sasterawan Negara ke-11

ISU BAHASA : Masih ramai kurang peka

Bahasa Melayu kelihatan ditenggelamkan bahasa lain pada paparan iklan di sebuah premis perniagaan di Kuala Lumpur.

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Mei – Kebanyakan papan tanda iklan dan papan kenyataan di sekitar ibu kota dikesan tidak mendaulatkan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan pelancong mendapati perkara itu berleluasa dan dalam sesetengah keadaan, ia seolah-olah menggambarkan tempat tersebut bukan di Malaysia.

Walaupun ada sesetengah premis atau pengiklan menggunakan dwibahasa termasuk bahasa Melayu, namun masih ramai yang tidak serius terutama dalam memastikan ketepatan penggunaan bahasa Melayu berkenaan.

Sikap tidak mengambil berat terhadap bahasa Melayu yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan juga dikesan pada beberapa papan tanda iklan di luar gedung-gedung membeli belah.

Lebih memalukan, ada gedung membeli-belah tergamak membiarkan kesalahan ejaan bahasa Melayu pada papan tanda yang dinaikkan di luar premis mereka.

Perkataan ‘dibenarkan’ dieja menjadi ‘dibernarkan’ dan perkara itu terjadi di sebuah gedung terkemuka di tengah ibu kota.

Pada masa sama, di kawasan Bukit Bintang, ada pemilik kedai yang dilihat selesa menggunakan bahasa Inggeris dan Arab dan langsung tidak menggunakan bahasa Melayu, mungkin untuk memberi gambaran seolah-olah berada di negara Asia Barat.

Namun demikian, terdapat juga pihak yang mahu memartabatkan bahasa Melayu seperti yang dilakukan oleh Citibank – sebuah bank antarabangsa apabila bank tersebut menggunakan bahasa Melayu yang betul pada papan iklan di luar premisnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Pengasingan Sastera Melayu bebankan pelajar

KUALA LUMPUR 2 Mei – Pengasingan komponen kesusasteraan Melayu dari subjek Bahasa Melayu untuk dijadikan satu subjek tunggal dilihat akan membebankan pelajar yang secara puratanya mengambil kira-kira sembilan hingga 10 mata pelajaran wajib di sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, komponen kesusasteraan di dalam subjek Bahasa Melayu kini sudah memadai kerana komponen tersebut lengkap dengan semua aspek yang perlu diketahui oleh seseorang pelajar mengenai asas kesusasteraan.

“Kita perlu fikirkan dari sudut pelajar sekarang. Mereka sudah mempunyai banyak mata pelajaran lain untuk ditumpukan. Jika sebagai subjek elektif, saya setuju,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh semalam supaya kesusasteraan Melayu dijadikan mata pelajaran tunggal dan bukannya dijadikan sebahagian daripada komponen subjek Bahasa Melayu seperti sekarang.

Menurut Muhammad, sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran mengambil langkah yang lebih progresif untuk memperbaiki cara pelaksanaan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah.

Jelas Ka Siong, penambahbaikan cara pelaksanaan komponen tersebut sudah lama dijalankan pihaknya menerusi pembaharuan dan penyelidikan yang berterusan dari semasa ke semasa.

Ujarnya, sukatan yang kini diajar itu telah mengambil kira segala aspek yang dapat menjamin kesusasteraan Melayu terus maju dan berkembang dalam kalangan kalangan pelajar di negara ini.

“Bagaimanapun, kami tetap menghormati dan mengalu-alukan pandangan peribadi semua pihak dan berharap agar cadangan-cadangan yang membina ini mampu meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” ujarnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 1 Mei 2011

ISU PEKERJAAN : Tekun, miliki nilai ihsan ciri-ciri pekerja berkualiti

Oleh Hasan Al-Banna Mohamed

Bertanggungjawab laksana amanah diberikan perlu ada dalam diari kehidupan

SUDAH semestinya pada era globalisasi kini, tidak dapat dinafikan pelbagai mehnah (cabaran) terpaksa ditempuh setiap individu yang dipanggil pekerja. Malah, pekerja organisasi kerajaan atau swasta sering menghadapi segala macam tribulasi di tempat kerja masing-masing.

Ada terpaksa meredah lautan, masuk keluar kampung dan desa, merentasi sungai serta bukit-bukau untuk sampai ke tempat kerja. Ada juga terpaksa menunggu berjam-jam dalam kenderaan kerana kesesakan lalu lintas di jalan raya.
Semua menjadi asam garam kehidupan pekerja. Situasi ini mungkin berbeza dengan zaman dulu dan mungkin sedikit serupa tetapi hampir tidak sama dari aspek latar belakang, suasana dan masalah. Apa pun semuanya tetap mempunyai masalah dan dugaan.
Permasalahan itu jika tidak diurus secara berkualiti dan berkesan, sudah pasti membawa kepada masalah yang lebih teruk. Contohnya, timbul tekanan menyebabkan mereka ketagih dan terjebak dengan dadah, pil ecstasy atau minuman keras.

Ada segelintir pekerja suka membuli atau gemar memarahi orang lain, menyalahi rakan sepejabat, mengalami perasaan kecewa dan lebih serius lagi kes bunuh diri.

Semua paparan masalah itu wujud jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan jika pekerja mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Ajaran Islam melalui kitab suci al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW memberi teladan terbaik kepada umat manusia untuk dicontohi dalam kehidupan bekerja. Antara tuntutan sebelum melakukan kerja mestilah dimulakan dengan niat yang betul dan ikhlas.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan itu bermula dengan niat.” Jika bekerja semata-mata untuk memperoleh ganjaran dunia, maka pampasan dunia yang sementara itulah dimilikinya.

Jika niat bekerja kerana Allah, sudah pasti segala tingkah laku akan berdasarkan budaya yang dalamnya mempunyai nilai ihsan seperti yang disarankan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Nilai ihsan adalah suatu konsep yang besar untuk dihayati sempena sambutan Hari Pekerja semalam, demi membawa transformasi lebih berkualiti dalam aspek pekerjaan seharian dan akhirnya membawa manfaat kepada organisasi, seterusnya masyarakat dan negara.

Justeru, semua pekerja semestinya menjadikan budaya kerja cemerlang sebagai diari hidupnya supaya dapat menjalankan amanah dipertanggungjawabkan sebaik mungkin. Budaya kerja cemerlang mempunyai impak besar terhadap kualiti dan kecemerlangan dalam aspek kehidupan insan.

Malah, kesempurnaan kerja sudah menjadi prinsip asas dalam ajaran Islam sebagai satu ajaran yang progresif, sarwajagat, nilai dan prinsipnya dinamik serta relevan ke arah pembentukan komuniti berkualiti dan produktif.

Tambahan pula, Islam memandang kualiti atau kesempurnaan sebagai proses membawa transformasi positif ke arah prestasi terbaik dalam semua aspek tingkah laku manusia. Bukan saja tercapai matlamat atau objektif, akan tetapi memperoleh kejayaan hakiki di dunia dan akhirat.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW sudah lama mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda yang diriwayatkan Saidatina Aisyah: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara Itqaan atau bersungguh-sungguh (sempurna).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Jelas budaya itqaan atau kesungguhan, ketelitian dan ketekunan dalam kerja, pasti membuahkan hasil produk atau perkhidmatan mempunyai impak besar kepada organisasi dan menyebabkan pelanggan berpuas hati dengannya.

Di samping budaya itqaan melaksanakan tanggungjawab, pekerja seharusnya menjadikan nilai ihsan sebagai amalan seharian. Nilai ihsan dalam erti kata Islam adalah suatu komitmen kualiti sesuatu tindakan semata-mata kerana Allah.

Nilai ini dijelaskan Baginda Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril melalui hadis sahih yang masyhur berkaitan dengan iman, Islam dan ihsan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ihsan adalah kamu beribadat seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Dia (Allah) pasti melihat kamu.” (Riwayat Imam Muslim dan Bukhari)

Sebagai pekerja, marilah memperbaharui niat bagi menjayakan perancangan atau transformasi yang digubal pihak pengurusan atau kerajaan ke arah mencapai gagasan dan wawasan negara.

Seterusnya, berusaha mencapai tujuan bekerja untuk keberkatan hidup di dunia serta mendapat ganjaran di sisi Allah. Keredaan Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia termasuk kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW.

Sumber : http : //www,bharian.com.my/