Jumaat, 6 Januari 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Hentikan provokasi politik di kampus


Oleh MOHAMAD ABDULLAH
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia

MELIHAT sekumpulan tidak sampai 30 orang pelajar yang cuba mengadakan demonstrasi kampus universiti dalam kesibukan siswa-siswi bergelut dengan peperiksaan, terasa betapa bahayanya apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk merosakkan ketenteraman pembelajaran anak-anak muda kita.

Walau pun mesej yang dihantar oleh siswa-siswi yang sebahagian besarnya tidak menyokong malah marah dengan usaha pihak tertentu ini, adalah jelas seperti mana tergambar dalam banyak blog dan media sosial, namun perbuatan ini harus dibanteras segera apatah lagi jika ibu bapa prihatin terhadap masa depan anak-anaknya di kampus.

Lebih bahaya apabila terdapat segelintir pihak luar yang sengaja menyelinap masuk dan mengapi-apikan perdebatan pelajar yang jika tidak dikawal boleh menimbulkan masalah berpanjangan.

Apa pun alasan dan pandangannya, ini adalah satu perkembangan yang amat tidak sihat, yang boleh merosakkan nilai-nilai ilmu dan mengancam keharmonian kampus yang sewajarnya lestari dalam konteks budaya yang berteraskan akal budi, adab orang berilmu dan wacana-wacana yang membenarkan perbezaan pendapat tetapi dilakukan dalam tata cara yang amat berhemah.

Percubaan-percubaan provokasi dalam demonstrasi, secara sengaja mencari pelbagai alasan untuk menghalalkan apa yang dilakukan dan menyalahkan orang lain seperti yang berlaku di beberapa kampus kebelakangan ini atas isu-isu yang boleh diselesaikan bersama dan sepatutnya belajar menghormati suara majoriti amat berbahaya dan mengocak ketenangan kampus. Apatah lagi tatkala siswa-siswi sedang bergelut dengan persediaan memasuki dewan peperiksaan.

Siswa-siswi harus dididik menjadi lebih matang untuk terlibat dalam politik dan bukan hanya menggunakan jiwa muda yang bergelora dengan idealisme tentang kehidupannya dan persekitaran yang ingin dibentuknya lalu menimbulkan suasana tidak harmoni atas nama kebebasan yang secara sendirinya juga menggambarkan pelakunya tidak bebas kerana menurut telunjuk orang lain, bukan pun pandangannya sendiri.

Dinilai dari sambutan majoriti siswa-siswi kampus yang enggan terlibat, ternyata mereka jauh lebih matang dari yang disangkakan kerana sebahagian besarnya tahu antara kaca dan permata. Malah bijak membezakan antara keperluan dan kepentingan akademik dengan kepentingan lain yang boleh ditangguhkan atau diketepikan jika ia tidak memenuhi tuntutan nilai orang berilmu.

Kenyataannya, sebahagian besar siswa-siswi adalah rasional dalam pemikiran dan tindakan. Namun dalam era kemajuan teknologi termasuk teknologi maklumat, penguasaan ilmu dan proses kematangan kerap kali berkait rapat, tetapi boleh juga menimbulkan kecelaruan apabila sesetengah maklumat yang dihadam tidak berteraskan kepada fakta ilmu tetapi lebih kepada peribadi, emosi dan fakta-fakta yang tidak jelas termasuk melalui media sosial, maka sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses kematangan sesetengah anak muda termasuk siswa-siswi.

Keadaan ini juga dimanipulasi oleh segelintir pihak yang mengambil kesempatan, malah apabila siswa-siswi yang berdebat hangat hilang kata-kata, suara provokasi yang menyelinap masuk terus mengapi-apikan supaya terus berdebat tanpa ada penyelesaian.

Apabila nilai-nilai ilmu yang sangat menekankan kepada kepentingan masyarakat, alam dan dunia diketepikan, ia amat mengganggu kita. Suasana anti akademik ini boleh merosakkan apatah lagi jika emosi dibakar dan diheret pula ke medan lain.

Jika ada pihak yang ingin terlibat sama dengan proses pengajian tinggi dan membantu untuk mengisi masa siswa-siswi dengan pendidikan bagi menjamin masa depannya termasuk membangunkan kerjaya dalam politik, buatlah dengan cara yang berhemah.

Hormatilah kampus universiti dan jangan sama sekali melakukan provokasi menggunakan nilai-nilai yang amat bertentangan dengan budaya dan nilai keilmuan yang ada.

Bantulah siswa-siswi membangunkan masa depan mereka untuk menjadi pemimpin politik pada masa depan yang memahami erti kewujudan universiti memartabatkan ilmu, erti perjuangan negara bangsa dan menjaga kemashlahatan orang ramai.

Justeru tidak wajar menjadikan keseluruhan kampus sebagai medan perdebatan politik, demonstrasi atau perkumpulan yang tidak boleh dinafikan yang ia dikawal dari luar oleh pihak-pihak tertentu.

Malah mereka yang berminat itu pun harus melakukannya dengan penuh adab dan menghormati satu sama lain.

Mereka perlu hargai kepelbagaian dan perbezaan pendapat dengan penuh harmoni sebagai proses pembelajaran agar dapat menjadi pemimpin yang terbuka, bersedia mendengar pendapat orang lain, ikhlas dan tahu matlamat perjuangan untuk pembangunan bangsa, agama dan tanah air serta mempunyai teras diri yang kuat dan jitu.

Berada dalam kampus dan menjalani kehidupan harian bersama anak-anak muda ini, jelas menunjukkan sebahagian besar mereka amat matang dalam tindakan kerana itu mereka marah dengan tindakan provokasi yang ada, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana menghormati dan bimbang menimbulkan masalah kepada diri dan universiti.

Jangan perlekehkan kematangan dan pemikiran siswa-siswi dan memandang rendah kemampuan anak-anak muda kerana sebahagian besarnya faham tujuan mereka berada di universiti dan ingin bersama-sama membudayakan ilmu untuk kepentingan masa depan negara dan dunia.

Anak-anak muda di universiti memerlukan sokongan untuk menyiapkan diri dalam pembangunan ekonomi negara secara kreatif dan inovatif, malah berusaha keras untuk menjadi creator dan pembekal bukan lagi peminjam dan terus bergantung hidup kepada orang lain dengan melahirkan siswazah yang berupaya berfikir, berdikari dan sedia untuk bekerja di mana-mana tempat di seluruh pelosok dunia.

Apa yang terjadi sekarang ini mengganggu apatah lagi tatkala siswa-siswi sedang berhadapan dengan peperiksaan dan mempunyai agenda lain yang jauh lebih penting. Jangan heret anak-anak muda ini dalam kancah konflik dan krisis yang tidak perlu.

Demonstrasi hanya jalan singkat dan mudah yang menguntungkan mereka yang bergembira di sebalik kemusnahan dalam kekalutan pelbagai pihak untuk menanganinya dalam mengekalkan kesejahteraan kampus mahu pun negara seluruhnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan Vokasional Perlukan Perubahan Besar & Segera - Muhyiddin


BANGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat melahirkan kebimbangan Malaysia tidak akan menjadi negara kompetitif dan terus ketinggalan sekiranya pendidikan vokasional tidak mengalami perubahan besar dan segera. Mengambil kira perkembangan yang berlaku di negara maju dan serantau, Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan negara perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.

"Tugas yang paling mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya ketika melancarkan Transformasi Pendidikan Vokasional, di Institut Jerman-Malaysia Bangi, Jumaat.

Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.

Beliau berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif sejak tahun 2009 denganmelihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan serantau.

Katanya, kadar purata kemasukan pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.

"Jika melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di semua negara itu.

"Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria hampir 50 hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (4-5 tahun) dan program perantisan," katanya.

Muhyiddin berkata, di negara-negara tersebut, para pelajar diberi pilihan untukmengikuti pendidikan vokasional pada umur 14 tahun lagi.

Malah, katanya, di negara-negara serantau seperti Indonesia dan Thailand, kemasukan pelajar yang mengambil aliran itu di peringkat menengah atas turut menjangkau 40 hingga 60 peratus.

Justeru, Muhyiddin berkata, pendidikan vokasional di negara ini juga sedang menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Selain itu, katanya, program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) juga dibentuk bertujuan memberi pilihan alternatif kepada pelajar yang cenderung kepada pendidikan bercorak 'hands on' dan berasaskan pekerjaan dari peringkat menengah rendah lagi sehingga ke tahap Kolej Vokasional (KV) atau Institusi Latihan Kemahiran Awam (LLKA) dan Swasta (ILKS).

Katanya, bagi merancakkan transformasi pendidikan vokasional, sebanyak 15 buah sekolah menengah vokasional di setiap negeri telah dinaik taraf mejadi KV rintis pada tahun ini.

"Dengan terlaksananya transformasi ini, maka aliran vokasional tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua kerana pelajar-pelajar yang keluar nantiadalah pekerja mahir yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi," katanya.

Muhyiddin berkata, transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan melalui lima strategi merangkumi transformasi kurikulum pendidikan vokasional; transformasi institusi pendidikan vokasional; kolaborasi dengan rakan strategik dalam industri; transformasi pentaksiran pendidikan vokasional dan transformasi organisasi pendidikan vokasional.

Katanya, kementerian juga menggalakkan sebarang bentuk jalinan kerjasama antara institusi latihan PAV dan KV dengan industri bagi memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan untuk menempuhi alam pekerjaan yang sebenar.

"Hari ini termeterai perjanjian persefahaman di antara Kementerian Pelajaran Malaysia dengan 11 rakan strategik iaitu industri, agensi awam, swasta serta IPTA dan IPTS. Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat," katanya.

Selain itu, katanya, pelaksanaan konsep 5S yang berasal dari Jepun iaitu sisih, sapu, susun, seragam dan selalu amal perlu menjadi budaya dalam pengurusan tempat kerja terutamanya di bengkel-bengkel dan pejabat bagi mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan pengurusan kerja yang lebih teratur.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan Sijil 5S kepada lapan buah sekolah teknikal dan vokasional. - BERNAMA

NOTA HUJUNG :

Berikut ialah ‎15 Kolej Rintis untuk tahun 2012


1. Sekolah Menengah Vokasional Arau - KOLEJ VOKASIONAL
2. Sekolah Menengah Vokasional Sungai Petani 1 - KOLEJ VOKASIONAL
3. Sekolah Menengah Vokasional Balik Pulau - KOLEJ VOKASIONAL
4. Sekolah Menengah Vokasional Seri Manjung - KOLEJ VOKASIONAL
5. Sekolah Menengah Vokasional Shah Alam - KOLEJ VOKASIONAL
6. Sekolah Menengah Vokasional (ERT) Setapak - KOLEJ VOKASIONAL
7. Sekolah Menengah Vokasional Datuk Seri Mohd Zin - KOLEJ VOKASIONAL
8. Sekolah Menengah Teknik Dato' Lela Maharaja - KOLEJ VOKASIONAL
9. Sekolah Menengah Vokasional Kluang - KOLEJ VOKASIONAL
10. Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah - KOLEJ VOKASIONAL
11. Sekolah Menengah Vokasional Pengkalan Chepa - KOLEJ VOKASIONAL
12. Sekolah Menengah Vokasional Kuala Terengganu - KOLEJ VOKASIONAL
13. Sekolah Menengah Vokasional Labuan - KOLEJ VOKASIONAL
14. Sekolah Menengah Vokasional Beaufort - KOLEJ VOKASIONAL
15. Sekolah Menengah Vokasional Kuching - KOLEJ VOKASIONAL

Khamis, 5 Januari 2012

ISU SOSIAL : Pengertian Tahun Baru bagi golongan remaja



Oleh NURUL IZZAH SIDEK


BAGI sesetengah remaja, tahun baru hanyalah suatu upacara untuk meraikan tanggal pertama bulan pertama dalam kalendar Masihi dengan menunggu upacara detik jam 12.01 tengah malam, bersorak beramai-ramai dan menyaksikan pertunjukan bunga api.

Sesetengah remaja merasakan bahawa tahun baru adalah saat untuk memperbaharui azam dan matlamat serta memperkemas strategi untuk menghadapi rancangan pada tahun tersebut.

Mungkin ada juga remaja yang merasakan tahun baru adalah hari-hari yang sama seperti seperti hari-hari pada tahun sebelumnya, melainkan memang ada perubahan besar yang berlaku dalam hidupnya pada tahun baru tersebut.

Tidak kira apa persepsi remaja terhadap tahun baru, hakikatnya tahun baru adalah sempadan pemisahan tahun yang berlalu dan tahun yang mendatang.

Menyambut tahun baru dengan azam baru dengan matlamat yang baik, tidaklah salah kerana itu juga tujuan penghijrahan kaum Muhajirin dari Mekah ke Madinah.

Detik penghijrahan itu yang dijadikan sebagai bulan pertama kalendar Islam menunjukkan betapa pentingnya umat Islam untuk sentiasa berusaha mencari jalur hidup yang lebih baik.

Malah dalam kehidupan seharian juga orang Islam dituntut untuk bermuhasabah serta berusaha untuk memperbaiki diri menjadi orang yang lebih kompetitif, berdaya saing serta meningkatkan kualiti kehidupan.

Mata rantai kehidupan


Tahun-tahun yang berlalu merakamkan seribu satu peristiwa manakala pada tahun yang mendatang, para remaja yang menempuh tempoh keremajaan belum mengetahui keadaan pada tahun yang tersebut.

Justeru, remaja harus sentiasa bersikap reflektif terhadap tahun-tahun yang berlalu agar ia menjadi sumber teladan.

Jejak-jejak peristiwa pada tahun yang terdahulu boleh dijadikan asas atau landasan mengukuh tindakan pada masa hadapan. Yang tidak memberi manfaat pada masa lalu harus ditinggalkan untuk dijadikan sempadan manakala usaha yang berfaedah diteruskan dan dipertingkatkan.

Tahun-tahun terdahulu adalah ibarat mata rantai yang membawa peningkatan usia dan banyaknya pengalaman. Peningkatan usia adalah jalan menuju kedewasaan.

Remaja tidak akan kekal sebagai remaja dengan sifat keremajaannya tetapi akan berubah menjadi dewasa. Adakah di tahap remaja, mereka telah mempersiapkan diri dengan ilmu, kekuatan rohaniah dan pedoman-pedoman amali yang berguna?

Sekiranya para remaja hanya melalui peningkatan umur tanpa ilmu dan kosong pengalaman, para remaja berada di tahap kelompangan fikir dan kekosongan hati. Ini tidak akan mampu menjadikan remaja seorang yang matang dan bersedia untuk memasuki alam dewasa.

Tahap remaja adalah tempoh yang sangat kritikal bagi membentuk sikap dan cara berfikir yang positif. Tahap remaja adalah tahap ingin mencuba dan mengalami akan sesuatu.

Ada ketikanya para remaja terjebak dengan pelbagai corak, tingkah laku tanpa asas yang jelas membimbing remaja untuk menjadi orang dewasa yang berwibawa.

Oleh itu, mengingati masa lalu dan meneroka hari depan harus membina keinsafan remaja bahawa tanpa kekuatan ilmu, keterampilan serta kekuatan peribadi, tidak mungkin dewasanya dalam kematangan dan kehebatan.

Kedapatan para remaja cenderung untuk tidak mengalami perubahan dari segi pemikiran, watak dan peribadi akibat terpengaruh dengan elemen-elemen yang melalaikan.

Ini menyebabkan potensi remaja tidak dapat dikembangkan secara holistik (menyeluruh). Sebahagian remaja Malaysia umumnya sering terpikat dan terjebak dalam pengaruh media baru yang menyebabkan mereka kehilangan jati diri.

Memang sifat remaja yang sedang menuju ke alam dewasa masih tercari-cari tentang makna kehidupan lalu para remaja banyak bergantung kepada imej dan perkara di luar diri yang menyebabkan suatu proses pembelajaran tidak terbina dengan baik.

Kerenah lingkungan dan beban zaman

Justeru tahun baru yang mendatang diharapkan dapat mengatasi kelemahan-kelemahan pada masa yang lalu.

Antara kelemahan masa lalu dan cabaran hari depan ialah tidak ramai remaja yang benar-benar belajar daripada kesilapan silam sebaliknya terus mengukuhkan kesilapan silam yang menyebabkan para remaja menjadi beban zaman.

Beban zaman ini sekiranya dipikul menyebabkan para remaja tidak dapat belajar daripada kesilapan lalu dan akan terus mengulangi kesilapan yang sama pada tahun mendatang.

Oleh itu, bersikap reflektif terhadap kesilaman memberi manfaat yang besar kepada remaja kerana para remaja memerlukan teguran, nasihat pedoman dan bimbingan di kalangan mereka yang lebih dewasa untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Jika tidak para remaja bakal menyelesaikan masalah masing-masing secara sendiri-sendiri. Lebih buruk lagi jika para remaja yang tidak memiliki kesedaran dan cetusan untuk berubah menjawab sendiri persoalan-persoalan di mindanya.

Amat penting bagi para remaja memiliki agenda diri untuk dilaksanakan pada tahun mendatang supaya tahun mendatang akan menjadi lebih baik daripada tahun dahulu.

Fokus terpenting remaja pada ke arah peningkatan pada zaman kini ialah memperkasakan ilmu pengetahuan dan keterampilan diri. Tanpa ilmu, tidak mungkin para remaja mampu menghadapi cabaran zaman serta kerenah lingkungan.

Cabaran zaman tidak sahaja membawa arus kemodenan tetapi ia boleh menyebabkan jati diri remaja terheret sama berubah menjadi seperti lalang ditiup angin.

Kerenah lingkungan bermakna cabaran semasa yang sifatnya berubah-ubah. Bayangkan para remaja yang melalui jalur perubahan yang tidak terarah, boleh menyebabkan para remaja tidak memiliki dan mengalami manfaat berbanding yang bertambah.

Sebaliknya bertambahnya usia remaja bakal menampilkan watak remaja yang tidak mampu menghadapai masalah zaman yang dihadapi. Oleh itu, para remaja harus bersedia untuk merenung secara mendalam garis pedoman untuk menjadi orang yang berdaya maju dan upaya kompetensi yang baik.

Memilih jalan mediocre (jalan sederhana) semata-mata tidak akan mampu melonjakkan remaja untuk menjadi orang yang cemerlang.

Ini adalah antara kelemahan umat Islam pada masa kini iaitu berasa rendah diri dengan keupayaan masing-masing serta merasakan mereka tidak mampu menandingi kehebatan orang Barat ataupun daripada bangsa-bangsa negara lain yang lebih maju.

Dalam hal ini remaja perlu sedar bahawa bangunnya tamadun mereka pada hari ini adalah kerana sumbangan tamadun Islam kepada mereka suatu masa dahulu, jika tidak umat Islam akan selamanya menjadi umat pengguna.

Perlu diingat bahawa maju dalam acuan kita sendiri adalah sangat penting kerana ia menerapkan nilai-nilai murni dan jati diri yang kukuh dalam membangun masyarakat maju dan berdaya saing.

Pendek kata, dalam usaha melonjakkan diri dalam kelompok terbaik, nilai-nilai murni dan jati diri harus diperkukuhkan supaya ia bergerak seiring dengan pencapaian yang berbentuk mekanistik.

Justeru azam tahun baru harus terbina atas asas peningkatan ilmu, peningkatan kualiti peribadi agar dapat dimanfaatkan kepada pembangunan bangsa dan umat.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Merenang Gelora, 6:20


Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


Dua teks KOMSAS Tingkatan Tiga dirombak

DUA novel, 6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim dan Merenang Gelora (Ruslan Ngah) yang menjadi teks Komponan Sastera Dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) pelajar Tingkatan Tiga turut terkena tempias ‘nasib malang’ apabila kandungan kedua-duanya dipermudahkan dengan pemotongan di sana sini.

Novel 6:20 dijadikan teks KOMSAS Tingkatan Tiga di Zon Satu merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kelantan, manakala Merenang Gelora (Zon Dua merangkumi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.
Rombakan yang dilakukan terhadap kedua-kedua teks berkenaan didedahkan ahli panel Forum Kesusasteraan Melayu Teras Pembinaan Peradaban dan Negara, Dr Naffi Mat, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.

"Saya tidak tahu mengapa Merenang Gelora dirombak hampir 80 peratus daripada kisah pengedaran dadah di sekolah menengah kepada penjualan telefon bimbit, manakala 6:20 pula diubah hampir 30 peratus," katanya pada forum sempena Himpunan Ilmuwan Sastera Melayu Malaysia.

Ruslan ketika dihubungi Sastera berhubung perkara terbabit mengesahkan dakwaan Dr Naffi dengan mengakui bahawa beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara terbabit oleh Kementerian Pelajaran dan ia dilakukan atas alasan bahawa perubahan tulisannya itu perlu dibuat bagi memudahkan kefahaman dan penerimaan pelajar.

“Saya tidak terkilan dengan rombakan yang dilakukan terhadap Merenang Gelora, sekalipun ada yang beranggapan terlalu banyak rombakan yang dilakukan. Novel saya itu memenangi sayembara Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dan sasarannya ketika ia ditulis ialah pembaca umum.

“Apabila Merenang Gelora diangkat sebagai teks, khalayaknya lebih tersasar dan saya tidak keberatan ia dirombak kerana tidak menjejaskan idea asal. Mungkin kontroversi Interlok karya Sasterawan Negara (SN) Ke-8), Datuk Abdullah Hussain, antara sebab mengapa banyak teks KOMSAS mengalami perubahan atau ‘pemurnian’,” katanya.

Kandungan asal Merenang Gelora berlegar pada kisah pengedaran dadah di sekolah menengah, tetapi selepas diangkat sebagai teks KOMSAS, ia ditukar kepada penjualan telefon bimbit bagi kesesuaian dengan pelajar Tingkatan Tiga sebagai pembaca sasarnya.

Dari satu segi, Ruslan melihat ia sebagai perkara baik kerana dapat mengelakkan perkara sensitif yang mungkin boleh menjejaskan keharmonian kaum, tanpa menafikan masa generasi muda hari ini tidak dapat membaca teks yang benar berani dan hebat.

“Sistem pendidikan kita dulu menampilkan teks yang berani dan sarat pemikiran baik oleh pengarang tempatan mahupun luar negara tanpa sebarang tapisan, tetapi keadaan kini sudah berubah, ditambah pula dengan kontroversi yang melanda Interlok,” katanya.

Siti Jasmina ketika diminta mengulas rombakan kandungan asal novelnya itu berkata, beliau bersetuju dengan permintaan Kementerian Pelajaran kerana ia hanya membabitkan 20 peratus kandungan untuk disesuaikan dengan kemampuan pelajar.

“Jika rombakan sehingga 80 peratus tidak mungkin saya akan bersetuju. Jika itu yang terjadi, saya sendiri akan tarik diri. Selepas menilai rombakan yang dilakukan tidak lari daripada persoalan dan idea asal saya, maka saya bersetuju dengan pindaan yang dilakukan.

“Saya berasa lucu bila wujud perasaan ‘risau’ pihak tertentu yang mahukan novel saya diubah sedikit. Mungkin antara faktor ‘kerisauan’ itu ialah kontroversi yang menyelubungi Interlok, sedangkan jika dibaca secara teliti kesan penceritaan 6:20 tidak mungkin mencetuskan kontroversi.

Bahagian Perkembangan Kukurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, ketika dihubungi memaklumkan talian pegawai yang bertanggungjawab mengalami kerosakan talian sejak beberapa hari dan tiada nombor lain yang boleh diberikan bagi menghubungkan media kepadanya.

Bahagian Komunikasi Korporat dan Dasar Penerbitan pula memberikan pelbagai nombor pegawai yang sepatutnya dihubungi, tetapi selepas berminggu-minggu mencuba, tiada satu pun talian yang berjawab dan lebih malang apabila dijawab seperti berikut, “Oh kami tidak boleh memberi sebarang jawapan kerana kami pegawai kerajaan dan tidak mahu media menjadikan perkara ini isu hangat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 4 Januari 2012

ISU BAHASA : Alangkah Baiknya Kalau Doktor Di Malaysia Diberi Kursus Bahasa


Kejadian ini berlaku terhadap diri saya sendiri. Malam tadi, badan saya rasa serba tidak kena. Kebetulan, sepanjang hari semalam , saya terpaksa menempuh perjalanan jauh – menghantar anak pulang ke asrama; Huda ke SMKA(Pahang) Muadzam manakala Hilmi ke Sekolah Menengah Teknik Pertanian Chenor. Justeru, isteri tersayang mengesyorkan saya untuk mendapatkan pemeriksaan doktor. Sesampai di klinik berdekatan, saya mendaftar sebagai pesakit. Perkhidmatan klinik baru ini menggunakan sistem komputer yang agak canggih (pesakit didaftarkan secara dalam talian tanpa kad) boleh diberikan pujian kerana menggunakan teknologi terkini.

Setelah menunggu beberapa lama di ruang menunggu, nama saya dipaparkan di skrin, tanda giliran saya telah sampai untuk saya menerima rawatan. Saya bersama-sama isteri tercinta masuk ke dalam bilik 1. Seorang doktor wanita muda, dalam 30-an, mempersilakan saya duduk. Dia bertanyakan saya tentang masalah kesihatan yang saya hadapi. Isteri kesayangan menunjukkan laporan pemeriksaan kesihatan yang sebelum itu diperoleh dari Hospital Pakar Kuantan ( untuk pengetahuan, paras kolesterol saya menunjukkan tahap amaran iaitu 8.6 – tinggi bagi lelaki dalam usia saya)

Doktor tersebut lantas mengambil tekanan darah saya. Saspens…bagaimanapun, bacaan yang dibuat oleh doktor tersebut agak melegakan saya kerana bacaannya NORMAL.

Yang kurang menyenangkan cuma bahasa yang digunakan oleh doktor muda itu. Tanpa merujuk kepada kad pengenalan saya, dia mengagak usia saya… Antara dialognya, berapa umur PAKCIK? 5O….bla bla bla….Isteri saya lantas menyampuk, baru 40….bla bla bla…. Doktor yang tadi nya memanggil saya pakcik TERKESIMA … mungkin malu kerana menggunakan bahasa yang kurang sesuai untuk memanggil saya… Dalam hati, saya terfikir, alangkah baiknya kalau golongan profesional seperti doktor di negara kita diberikan KURSUS BAHASA.

Isnin, 2 Januari 2012

BELASUNGKAWA : Hilangnya ‘pahlawan’ ekonomi


Oleh Hasliza Hassan

Salleh syor kerajaan perkenal Bursa Saham Islam

BERITA pemergian bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), kini Bursa Malaysia, Datuk Mohd Salleh Abdul Majid, 62, yang meninggal dunia jam 10.20 pagi semalam, hanya selepas dua hari 2012 menjengah, adalah khabar sedih kepada negara yang kehilangan tokoh ekonomi dikagumi.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit kanser yang disahkan doktor pada tahap empat. Beliau yang turut menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu dan perlu menjalani dialisis dimasukkan ke HKL, Rabu lalu.

Pendekatan menterjemah segala permasalahan atau isu ekonomi kompleks menggunakan bahasa ringkas serta mudah difahami semua peringkat golongan dan pelbagai latar belakang, menjadikan Salleh, tokoh ekonomi yang dirujuk pelbagai pihak.

Apa saja dikaitkan dengan ekonomi atau setiap kali isu mengenai ekonomi dibangkitkan, pandangan anak jati Selangor itu sentiasa menjadi perhatian. Malah, kesediaan beliau menjelaskan pelbagai isu menjadikannya tokoh disenangi, khususnya wartawan untuk mendapatkan maklum balas.

Dilahirkan pada 11 Julai 1949 di Ulu Klang, Allahyarham kehilangan bapa ketika berusia tiga tahun, banyak menghabiskan masa bersama datuknya dan keadaan itu mengajar beliau menjadi insan berdikari.

Salleh memulakan pendidikan di Sekolah Melayu di Ulu Klang dan kemudian berpindah ke Sekolah Lelaki Batu Road sebelum melanjutkan pendidikan peringkat menengah di High Street School, Jalan Bandar (kini Sekolah Menengah Setapak).

Beliau melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang perniagaan di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dan sebagai pemegang biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA), menyambung pengajian bidang Pengurusan Perniagaan di Universiti Ohio serta Universiti Northern Illinois. Tamat pengajian, beliau bertugas sebagai pensyarah di ITM dan kemudian dilantik memegang jawatan Ketua Kajian Kursus Perniagaan.

Pada 1978, beliau berkhidmat di syarikat pengurusan pembinaan dan bidang tugasnya ialah melatih Bumiputera muda cara menguruskan syarikat.

Kemahirannya diperakui apabila beliau diminta menyediakan pelan pemasaran bagi kempen saham amanah kebangsaan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), sebahagian usaha kerajaan mendidik Bumiputera ilmu pelaburan.

Sikap ‘semua boleh’ ditunjukkan Allahyarham, khususnya kejayaan menjual saham yang pada masa itu ramai tidak faham kepentingan serta keuntungannya melalui siri penerangan, membolehkan beliau dilantik sebagai Pengurus Besar ASNB pada 1982.

Pada September 1984, pada usia 34 tahun, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar BSKL dan ketika itu, krisis ekonomi menjadikan keadaan tidak ketentuan. Bagaimanapun, di sebalik kritikan diterima, beliau dan pasukannya berjaya mengharungi saat sukar.

Usaha serta komitmen berterusan itu juga melonjakkan karier beliau yang dipilih sebagai Presiden BSKL pada 1996. Berkat kesungguhan serta usaha dilakukan selama hampir dua dekad, BSKL berjaya mencapai piawaian antarabangsa.

Allahyarham bersara daripada BSKL pada 1 Mei 2003. Namun, hakikatnya tidak pernah bersara daripada tugas meningkatkan kefahaman mengenai ekonomi dan pelaburan kepada umum. Komitmen beliau mendidik masyarakat bagaimana membuat pelaburan diteruskan.

Semua ilmu dan maklumat disebarkan melalui penulisan di akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan Business Times, selain menjadi tetamu jemputan program televisyen.

Di sebalik kesibukan kerjaya, beliau masih meluangkan masa melakukan aktiviti riadah kegemaran iaitu memancing. Memancing katanya mengajar erti kesabaran. Beliau turut meminati motosikal besar, minat yang dikongsi bersama datuknya.

Memetik nasihat beliau dalam wawancara disiarkan dalam Malaysian Business terbitan 1 Jun 2003, yang boleh dijadikan renungan khususnya kepada generasi muda: “Orang muda hari ini tidak sabar. Mereka gagal menyedari tiada ganti kepada pengalaman. Tidak salah melakukan kesilapan. Apa yang penting ialah belajar daripada kesilapan itu. Selalu percaya kepada Allah dan jujur dalam setiap apa dilakukan.”

Selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham adalah antara tokoh ekonomi yang sangat menggalakkan pembelian emas sebagai pelaburan alternatif.

“Tiada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara ketika krisis 97/98, yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika. Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka,” katanya dalam satu ruangannya.

Allahyarham bersama rakan di sebuah syarikat perunding kewangan dikatakan ketika ini sedang mengusahakan cadangan untuk diusulkan kepada kerajaan bagi mewujudkan Bursa Saham Islam di negara ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 1 Januari 2012

ISU AGAMA : Azam patut seimbang usaha cari reda Ilahi


Oleh Ustaz Syed Abi Ghufran Syed Ahmad al-Idrus

KITA sekali lagi diberi peluang melangkah kaki ke tahun baru Masihi 2012. Sama ada sedar atau tidak, kedatangan tahun baru menandakan usia meningkat dan kita kian menghampiri saat kematian.

Sudah menjadi tradisi, apabila tiba tahun baru, kita menyambutnya dengan semangat baru, diari baru dan segalanya baru. Sebenarnya dalam Islam tiada istilah tahun baru atau lama kerana kita sentiasa dituntut taat kepada Allah setiap masa, dari awal tahun hingga akhir tahun, daripada umur baligh hingga ke liang lahad.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hijr, ayat: 99 yang bermaksud “...dan sembahlah Tuhanmu sehingga tiba kepada kamu kematian...”.

Tidak menjadi kesalahan apabila budaya menyambut tahun baru ini kita selarikan dengan kehendak dan tuntutan syarak. Justeru, kita sepatutnya lebih mengutamakan kebaikan, menjauhi kejahatan, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin dan jujur dalam gerak kerja.

Kita wajar sentiasa bermuhasabah setiap masa agar menepati saranan dituntut Allah SWT supaya menjadi hamba yang taat kerana ini asas yang perlu dibina dalam mencari tujuan hidup sebenar iaitu beribadat kepada Allah SWT bukan mencari keseronokan duniawi semata-mata. Firman Allah SWT dalam surah azd-Dzariyaat, ayat 56 yang bermaksud: “dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.”

Setahun berlalu pasti melakarkan catatan penting yang boleh dijadikan iktibar. Jika tahun lalu, banyak kepincangan dalam hidup kita secara disengajakan atau tidak, maka tahun ini kita berazam tidak mengulangi kepincangan sama.

Jika tahun lalu kita menempa kejayaan, maka tahun ini biar kita mencipta kejayaan lebih baik kerana seseorang Muslim sentiasa mengarahkan diri ke arah lebih baik, seperti kata Saidina Umar: “Celakalah bagi Muslim yang hari ini lebih buruk daripada semalam dan esok lebih buruk daripada hari ini.”

Sesuatu yang lumrah, tahun baru sering dikaitkan dengan soalan, apakah azam dan cita-cita tahun baru? Golongan artis pasti memasang azam lebih cemerlang dalam lagunya dan menghasilkan filem atau album lebih meletup.

Ahli perniagaan pula bercita-cita mengembangkan perniagaan agar mendapat keuntungan berlipat ganda, manakala ahli sukan menggandakan lagi usaha menempa nama negara di mata dunia.

Amat jarang kita dengar, orang menyuarakan cita-cita menjadi hamba Allah lebih bertakwa, lebih pemurah, lebih patuh atau taat kepada hukum Allah dan lebih menghayati ajaran Islam secara syumul.

Tidak salah menanam azam tetapi biar seimbang dalam usaha mencari kecemerlangan dunia dan akhirat. Selain itu, usaha bersungguh-sungguh perlu disusuli supaya azam menjadi realiti. Firman Allah SWT dalam Surah ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud: “Maka apabila engkau berazam, bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Perkara lain yang perlu diberi perhatian serius ialah pengisian sambutan tahun baru. Kita bimbang dan sedih apabila melihat sambutan tahun baru sering dicemari dengan upacara penuh unsur maksiat yang jelas menyalahi hukum dan menyimpang daripada adat dan budaya Melayu.

Ada pihak menganjurkan sambutan dengan acara nyanyian yang melalaikan, minum arak dan pergaulan bebas.

Penganjuran seumpama ini membuka satu lagi ruang bagi mengundang kemurkaan Allah SWT. Maka sudah muda-mudi yang dahagakan hiburan akan terpikat dengan program ini. Maka terlena dan hanyutlah mereka sehingga ada yang tenggelam dalam maksiat.

Sepatutnya tahun baru disambut penuh rasa syukur kepada Allah dengan berdoa atau menganjurkan majlis ilmu yang boleh membina minda untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT. Marilah kita jadikan tahun baru ini titik tolak untuk memperelokkan akhlak dengan mencontohi peribadi Rasulullah SAW.

Diharapkan juga tahun baru ini menjadi tahun kegembiraan. Dalam mengimpikan hasrat ini, usaha dan tekad perlu selari kerana kejayaan tidak datang bergolek. Begitu juga dengan kebaikan, tanpa azam dan pegangan kukuh pada nilai murni, ia tidak akan dapat dicapai.

Penulis ialah guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Satak, Raub, Pahang

Sumber : http : //www.bharian.com.my/