Khamis, 21 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Tranformasi pendidikan Orang Asli gariskan tujuh inisiatif


KUALA LIPIS - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan merangka satu paradigma perubahan pendidikan yang menyeluruh di bawah Transformasi Pendidikan Orang Asli yang menggariskan tujuh inisiatif untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang membanggakan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata inisiatif pertama adalah pemantapan tadbir urus sekolah-sekolah yang mempunyai murid Orang Asli bermula di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian.

"Dalam konteks ini, kepimpinan dan pengurusan di semua peringkat akan dipertingkat kualitinya dengan memastikan segala isu dan permasalahan anak-anak Orang Asli dapat diselesaikan segera," katanya ketika berucap melancarkan Transformasi Pendidikan Orang Asli Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Betau di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif kedua adalah memasukkan elemen Pendidikan Asas Vokasional (PAV) di peringkat menengah rendah di semua sekolah menengah harian yang menjadi tumpuan masyarakat Orang Asli.

Inisiatif ketiga, katanya, mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah sebanyak 6 peratus setiap tahun mulai tahun depan. Berdasarkan statistik terkini, kadar keciciran ini ialah 30 peratus.

"Keadaan ini amat membimbangkan dan merugikan negara jika tidak diambil tindakan lebih drastik.

"Justeru, saya berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah menengah akan dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali dengan memastikan setiap murid Orang Asli berjaya mendapat pencapaian akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata menerusi inisiatif keempat pula, Kementerian Pelajaran memutuskan pengambilan pelajar bagi Program Khas Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis ditingkatkan mengikut keperluan semasa.

"Usaha ini bertujuan supaya lebih ramai guru dalam kalangan Orang Asli dapat berkhidmat kepada masyarakat mereka sendiri di samping  mengimbangi kadar bilangan guru mengikut kaum," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang merangka mewujudkan jawatan Pembantu Pengurusan Murid dari kalangan Orang Asli bagi membantu guru mengurus penyediaan makanan, penjagaan diri dan kebersihan murid.

"Inisiatif kelima adalah penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan prasarana pendidikan Orang Asli.

"Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk menambah lagi empat buah Sekolah Model Khas Komprehensif K9. Model K9 ini adalah gabungan pendidikan rendah dan menengah rendah sehingga Tingkatan 3 yang dilengkapi dengan kemudahan asrama yang bersesuaian," katanya.

Muhyiddin berkata inisiatif keenam adalah memperkasa jalinan kerjasama melalui pewujudan hubungan yang lebih strategik dengan rakan sinergi, rakan di lapangan serta rakan antarabangsa bagi membolehkan hasrat untuk merealisasikan transformasi itu tercapai.

Beliau berkata inisiatif terakhir adalah mewujudkan satu Sistem Pengesanan Prestasi Sekolah dan murid Orang Asli.

Menurutnya, sistem itu mengandungi aspek auditan pencapaian prestasi sekolah-sekolah dan murid Orang Asli yang bertujuan untuk membuat penambahbaikan dan pembetulan dari semasa ke semasa.- Bernama.

ISU SOSIAL : Kadar Penceraian Menurun Tahun Lepas


PUTRAJAYA : Statistik yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan kadar penceraian dalam kalangan umat Islam di negara ini menurun iaitu sebanyak 27,355 kes tahun lepas berbanding 28,035 pada 2010.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, statistik pernikahan pula meningkat kepada 140,529 pada tahun lepas berbanding 135,548 pada 2010.

"Walaupun kes penceraian menurun tahun lepas, ia tetap membimbangkan dan masih perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Rumahku Syurgaku di sini Khamis.

Justeru, beliau berkata, usaha sedang dilakukan untuk mewajibkan setiap pasangan terutamanya penjawat awam mengikuti kursus pasca perkahwinan yang dijangka dapat membantu menurunkan lagi kadar penceraian.

"Sebagai permulaan kursus itu akan dijalankan di peringkat kerajaan dan sekiranya  terbukti berjaya, mungkin diwajibkan kepada sektor swasta pula,"katanya.

Mashitah berkata, kursus itu juga akan dimasukkan dalam salah satu program 1Malaysia Family 1st dengan diurus selia oleh Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta badan bukan kerajaan (NGO). - BERNAMA

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Kerjasama strategik angkasa lepas



Oleh Azmi Hassan

APA jua perkembangan terbaru yang berpunca dari China tidak kira sama ada bidang ekonomi, teknologi, ketenteraan, sosial  malah sukan akan diperhatikan dengan teliti oleh masyarakat global kerana kesannya adalah begitu mendalam sekali.

Kejayaan kapal angkasa Shenzhou-9 berlabuh di modul makmal angkasa Tiangong-1 beberapa hari lepas merupakan kejayaan besar China dalam sektor teknologi angkasa lepas yang pada ketika ini diungguli oleh Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

Walaupun kehadiran angkasawan wanita Liu Yang sedikit sebanyak mencuri perhatian dunia, tetapi kejayaan berlabuh di makmal angkasa telah memberi petunjuk baru mengenai kesungguhan China menerokai bidang penuh mencabar ini.

Seperti mana permodenan angkatan tentera China mempunyai seribu makna dan tujuan tersirat, begitu juga kesanggupan China berbelanja besar dalam penerokaan angkasa lepas sedangkan AS dan Eropah mengekang perbelanjaan masing-masing sudah pasti niat sebenar Beijing menjadi tanda tanya.

Bermula dengan angkasawan pertama Yang Liwei berjaya mencapai orbit pada 2003 dan disusuli dengan misi kapal angkasa manusia pertama melalui Shenzhou-5 pada 2005, kejayaan terbaru ini adalah manifestasi kesungguhan China dalam bidang angkasa.

Makmal Tiangong-1 merupakan asas cita-cita China membangunkan makmal yang lebih besar dan kekal menjelang tahun 2020. Berbeza dengan nasib Makmal Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dibangunkan oleh AS, Eropah, Rusia, Kanada dan Jepun yang besar kemungkinan ditamatkan hayatnya pada 2028, Tiangong-1 dijangka akan menjadi lebih besar.

Peringkat awal ketika China mula membuat persiapan menghantar angkasawan pertama ke angkasa satu dekad lepas, ramai yang memperlekehkan cita-cita itu kerana menuduh Beijing hanya berminat untuk simbolik sahaja, iaitu mengejar prestij.

Tetapi hari ini kejayaan China telah melampaui keperluan hanya untuk bermegah kerana kehebatan teknologi angkasa mereka telah melimpah memberi manfaat kepada bidang lain seperti ketenteraan, ekonomi, saintifik dan geopolitik. Kekuatan China dalam kesemua bidang ini seiring dengan Beijing yang dianggap sebagai kuasa besar dunia.

Beberapa negara Eropah melalui Agensi Angkasa Eropah (ESA) menaruh minat menjalin kerjasama dengan China kerana banyak manfaat yang boleh diraih oleh kedua-dua pihak. Manakala Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS pula enggan bekerjasama gara-gara bimbang China akan mendapat keuntungan yang lebih kerana teknologi angkasa AS adalah lebih jauh ke hadapan.

Memandangkan hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Beijing adalah begitu akrab sekali, Malaysia melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) sepatutnya mengambil peluang dengan menjalin kerjasama yang lebih erat dengan China dalam bidang penuh mencabar ini.

Seperti mana China, Malaysia juga telah melampaui keperluan asal ketika menghantar angkasawan pertama negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS pada 2007. Kejayaan tersebut digunakan sebagai pemangkin untuk membangunkan kepakaran teknologi angkasa lepas negara dan sehingga kini dua satelit telah dilancarkan iaitu TiungSat dan RazakSat.

Mungkin ramai cuba menafikan kepentingan teknologi angkasa lepas memandangkan Malaysia hanya sebuah negara kecil dan tidak mampu memperuntukkan perbelanjaan besar dalam bidang ini. Tetapi perlu ditekankan teknologi angkasa lepas, terutama sekali berkaitan satelit komunikasi mempunyai kepentingan strategik kerana keperluannya merangkumi bukan sahaja sektor ekonomi malah pertahanan.

Sebagai contohnya ramai yang mengambil mudah mengenai peranan disandang oleh beberapa siri satelit komunikasi yang dinamakan Measat milik syarikat Malaysia kerana rangkuman satelit ini adalah begitu luas sekali. Kehadiran satelit Measat tidak menjadi isu pada ketika ini kerana pemilikannya adalah masih dikawal oleh syarikat Malaysia. Tetapi apa yang pasti adalah kepentingan satelit akan menyerlah apabila pemilikan satelit Measat bertukar terutama sekali oleh negara asing.

Jika Malaysia mampu menghantar Dr. Sheikh Muszaphar ke angkasa tanpa melibatkan kos tambahan melalui program ofset pembelian jet pejuang Sukhoi dengan Rusia, bukan sesuatu yang mustahil Malaysia menjalin kerjasama yang lebih erat dengan China dalam bidang ini.

Sebagaimana China dikatakan begitu agresif melibatkan diri dalam pembangunan fizikal sesebuah negara termasuk Malaysia dengan menyediakan pinjaman mudah, strategi sama digunakan Beijing untuk menjalin kerjasama dalam bidang angkasa lepas.

Umpamanya China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) yang ditubuhkan 1980 bukan sahaja memberi pinjaman mudah untuk pembangunan teknologi angkasa lepas tetapi menyediakan kemudahan pemindahan teknologi dan kepakaran teknikal tanpa banyak soal. Pakistan, Venezuela, Nigeria dan Indonesia mengambil peluang yang disediakan oleh CGWIC untuk membangun dan melancarkan satelit masing-masing.

Memang benar Malaysia perlu berhati-hati dalam melaksanakan program angkasa lepas negara dan ini termasuklah program membangunkan satelit. Tetapi satu perkara perlu difahami dan tidak dapat dielakkan adalah peruntukan besar adalah diperlukan jika Malaysia serius menceburi bidang itu dan disinilah kerjasama strategik dengan China memainkan peranan yang penting untuk menjayakan misi tersebut.

Teknologi angkasa lepas merupakan manifestasi sebenar kekuatan Malaysia supaya negara tidak ketinggalan jauh dalam bidang ini. Ini adalah kerana teknologi ini bukan hanya merangkumi ruang lingkup angkasa lepas tetapi yang lebih penting ia memberi kesan terhadap kepentingan geostrategik negara.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial dan Sekolah Perdana UTM

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Melayu makin gawat!



Oleh :  Salbiah Ani

NAMPAKNYA Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersungguh-sungguh dengan langkahnya untuk mengaudit bahasa Melayu yang digunakan dalam dokumen rasmi kerajaan bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan seperti pertama kali disuarakan pada 14 Februari lalu.

Ketua Pengarahnya, Dr Awang Sariyan, mengulangi ketegasannya berhubung perkara terbabit kelmarin dengan menjadikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai sasaran pertama organisasi terbabit dalam melaksanakan misi yang akan dimulai pada akhir tahun ini.

Penulis ucapkan syabas kepada Dr Awang yang mengambil langkah berani sebaik menerajui DBP daripada bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz yang sebelum ini bergelut dengan permasalahan penerbitan dan pemasarannya disebabkan Dawama Sdn Bhd (DAWAMA).

Hendaknya ‘keberanian’ itu seperti bara api dalam sekam, biarpun ramai rakyat Malaysia termasuk bangsa Melayu sendiri memperlekehkan bahasa itu dan bukannya angan-angan tahi ayam apabila masalah demi masalah melanda institusi terbabit dalam hal memperkasakan bahasa kebangsaan.

Seperti diketahui bahasa Melayu yang diberi haknya dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan, rasmi dan pendidikan negara, diserang ‘jerebu’ yang gawat apabila semakin ramai rakyat Malaysia, baik dalam kerajaan apalagi sektor swasta, sanggup ‘melacurkannya’!

Penulis berharap ia tidak sekadar janji kosong seperti yang pernah ditunjukkan seorang pemimpin politik negara ini yang mengumumkan DBP akan diberi kuasa menghukum pesalah bahasa, tetapi hampir sedekad berlalu, tiada perkembangan didengar berhubung perkara terbabit!

Terus terang penulis tidak nampak masa depan yang cerah bagi bahasa Melayu di Malaysia, baik dalam ranah rasmi mahupun tidak kerana banyak bukti menunjukkan ia menuju kehancuran, semakin lebur daripada dimartabatkan apalagi diperkasakan!

Tentunya kesungguhan DBP tidak akan membawa sebarang makna dan ibarat perjuangan tanpa kesudahan, jika ia tidak disusuli dengan sokongan dan dokongan daripada pihak berkuasa atau individu berwewenang dalam politik tanah air demi menjadikan hasrat itu suatu kenyataan.

Lihat saja bagaimana bahasa Melayu ‘disembelih’ ibarat kilat sama ada oleh bahasa rojak - campuran Melayu dan Inggeris atau terus dipinggirkan dan digantikan sepenuhnya oleh bahasa Inggeris, Mandarin mahupun Tamil, sesuka hati!

Apa yang penulis katakan ini bukan diada-adakan, tetapi hakikat yang dapat dilihat dengan mata kepala saban hari dan ketika, baik sewaktu membaca papan tanda, bergebang di kedai kopi, membeli-belah di kedai kecil apalagi gergasi, mendengar radio mahupun menonton televisyen.

Pelakunya pula tidak berasa bersalah kerana sememangnya diarahkan berbuat demikian oleh penerbit rancangan dalam usaha mengumpul pendengar atau penonton, selain tuan punya syarikat mahu ia berlangsung secara demikian kerana ‘aku punya wang, aku punya kuasa, aku punya pasal’!

Bagaimana agaknya DBP hendak menangani iklan milik kerajaan seperti dipamerkan di televisyen baik yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, apalagi stesen milik swasta?

Lihat saja iklan kesungguhan kerajaan menepati janji yang diberikan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan semangat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', betapa banyak peraturan bahasa kebangsaan yang dilanggar?

Apakah DBP yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran punya keberanian untuk menegur pemimpin politik tertentu yang lebih kerap bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding Melayu, hatta dalam acara rasmi apalagi jika bukan?

Bagaimana pula dengan nasib bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi negara ini yang menyaksikan kedudukannya semakin diambil alih bahasa Inggeris dan mendapat restu daripada Kementerian Pengajian Tinggi?

Inilah bahayanya apabila kuasa ekonomi bukan di tangan Melayu dan bertambah gawat apabila Melayu yang menguasai ekonomi mahupun politik, lupa diri akan hakikat asal bangsa dan bahasa serta jati diri sebagai rakyat Malaysia!

Apabila bercakap dalam hal bahasa Melayu, mahu atau tidak, penulis terpaksa tabik hormat kepada Indonesia yang sentiasa mendahulukan bahasa mereka dalam apa juga keadaan, baik hal politik mahupun ekonomi, lalu bahasa mereka terus diperkasakan, hatta oleh orang asing di negara itu!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 20 Jun 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Transformasi pentadbiran tuntut kerjasama semua penjawat awam


DATUK Seri Dr Ali Hamsa yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru berkuat kuasa  Ahad ini sudah pasti menarik perhatian seluruh kakitangan perkhidmatan awam. Beliau yang akan menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak Sabtu ini sudah menyatakan azamnya untuk menggunakan pendekatan turun padang mendekati anggota perkhidmatan awam, sekali gus mengeratkan hubungan, di samping mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat. Bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri itu juga dijangka meneruskan usaha meningkatkan keupayaan pelaksanaan dasar, projek dan sistem penyampaian kepada rakyat, selaras perkembangan semasa yang menuntut setiap pelaksanaan dasar dijayakan dengan sempurna. Pengalaman luas beliau sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dan Pengarah Seksyen Pembahagian dan Timbalan Ketua Pengarah, Program National Transformation & Advancement sudah pasti dapat dimanfaatkan dalam sektor awam yang mempunyai 1.4 juta kakitangan. Sebagai jentera utama pelaksana dasar kerajaan, khidmat jabatan kerajaan dan kakitangan amat diharapkan bagi meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat. Pelantikan beliau juga diharap mampu memantapkan jentera pentadbiran, di samping penambahbaikan program yang dilaksanakan di bawah pentadbiran KSN sebelum ini dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Kakitangan awam memerlukan pemimpin dinamik dan sering turun padang bagi memahami masalah, sekali gus menyelesaikan segala halangan yang ada kaitan dengan kepentingan rakyat. Hampir 28 juta rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi agar sektor awam terus berperanan menjayakan program transformasi yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dr Ali yang mempunyai pengalaman berkomunikasi dengan sektor swasta sebelum ini membolehkan pentadbiran awam menerima pakai dan mengkaji budaya kerja sektor korporat di jabatan dan agensi kerajaan. Penambahbaikan khidmat sektor awam perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan negara berjaya mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Jika sebelum ini, beberapa rungutan dan kes terpencil membabitkan kelemahan pelaksanaan dasar, kehadiran tokoh berwibawa seperti Dr Ali tentunya akan membawa imej baru lebih positif. CUEPACS dalam reaksi segera turut menyokong pelantikan Dr Ali dengan harapan dapat memantapkan lagi sektor perkhidmatan awam, sekali gus menjayakan program transformasi nasional. Kerjasama pelbagai pihak di samping gandingan profesional dan pekerja sokongan jabatan kerajaan akan membentuk sistem pentadbiran yang lebih cekap dan berkesan. Akhirnya negara akan menikmati transformasi pentadbiran yang lebih dinamik. Tentunya Dr Ali tidak bersendirian untuk memajukan sektor awam.

Sumber : http ; //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Amalkan kebersihan dalam kehidupan


Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhaila99@yahoo.com

Nikmat kesihatan, jiwa suci boleh diperoleh jika persekitaran dijaga rapi

MENJAGA kebersihan adalah rutin harian setiap insan, walau di mana kita berada. Ia bukan sesuatu yang hanya dilakukan pada waktu tertentu, tetapi perlu dilandasi dalam setiap tindak tanduk sama ada zahir ataupun batin.

Peribadi bersih adalah lambang hati yang suci. Justeru, jika kita mampu membina sahsiah yang jauh daripada sifat mazmumah, sudah tentu kita mempunyai hati yang suci daripada bintik hitam mengotorkan.

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kepayahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. - Surah al-Maidah, Ayat 6 Kepada setiap Muslim, kebersihan adalah tuntutan agama yang harus direalisasikan dalam setiap keadaan. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain hubung kait dengan kesihatan, kebersihan juga melambangkan tarikan kepada agama yang suci. Apabila kita mengatakan Islam agama yang suci, kita harus membuktikan cara hidup umat Islam berasaskan kepada kebersihan melalui perbuatan dan perkataan.

Ibnu Taymiyyah pernah menyatakan: “Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani.”

Dalam soal kesihatan, kebersihan menjauhkan wabak dan penyakit. Secara zahirnya, banyak penyakit berjangkit menular di negara kita disebabkan pengabaian terhadap langkah menjaga kebersihan.

Walaupun ia kelihatan enteng, tetapi penjagaan kebersihan kawasan rumah dan sekitarnya adalah satu ‘kewajipan’ jika kita mahu mengamalkan cara hidup Islam sebenar. Tanpa nikmat kesihatan, kita tidak mampu beribadat kepada Allah SWT dan tuntutan ibadat terganggu disebabkan persekitaran yang kotor.

Berdasarkan pengalaman penulis di United Kingdom, warga bukan Muslim sangat menjaga kebersihan kerana mereka menghargai alam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kepayahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, ayat 6)

Tanpa mengetahui garis panduan agama yang menyeru kepada menjaga kebersihan, mereka tidak teragak-agak untuk bertegas dalam soal kebersihan, malah menyeru orang lain melakukan perkara serupa.

Apabila melewati penempatan majoriti bukan Muslim atau premis perniagaan mereka, penulis mendapati jurang perbezaan besar dalam soal kebersihan berbanding majoriti Muslim. Boleh dikatakan hampir setiap kawasan kediaman warga bukan Muslim terjaga rapi.

Malah, tiada sebarang sampah hatta ranting kayu yang menghalang perjalanan. Mereka tidak segan silu membantu membersihkan kawasan atau premis awam setiap awal pagi, semata-mata mahu melihat persekitaran yang cantik dan bersih.

Budaya gotong-royong membuang sampah sentiasa diamalkan sejak sekian lama di negara kita adalah satu contoh amalan baik yang perlu diteruskan dan dilakukan dengan konsisten. Walau bagaimanapun, lebih baik jika amalan itu diteruskan setiap hari.

Buat masa ini usaha itu dijadikan agenda komuniti ataupun program tertentu yang hanya dilakukan pada waktu sangat terbatas. Adalah lebih baik jika sifat mencegah kekotoran, menjaga kebersihan dan persekitaran menjadi tanggungjawab setiap warga negara.

Tambahan pula, kepada masyarakat bukan Muslim di luar negara, warga Muslim kurang menjaga kebersihan berbanding mereka. Apabila kita mengatakan Islam mengesyorkan kebersihan dan tiada kompromi mengenainya, kita haruslah membuktikan bukan bersikap sebaliknya.

Rumah ibadat kita wajib mencerminkan cara hidup Muslim yang sebenar seperti difirmankan dalam al-Quran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat Muslim)

Antara budaya hidup yang memungkinkan sikap menjaga kebersihan dalam kalangan umat Islam dipertingkatkan ialah dengan memberi kesedaran dalam kalangan golongan dewasa dan ibu bapa pentingnya persekitaran yang bersih.

Mereka harus diyakinkan yang membezakan mereka dengan bukan Islam ialah sentiasa bersih dan mencegah sebarang kekotoran. Setiap ibu bapa perlu menunjukkan teladan kepada anak seawal anak mula tahu berkomunikasi dengan caranya yang tersendiri.

Pakaian bersih, makanan halal dan membuang sampah di tempat sepatutnya adalah antara pendidikan awal yang boleh diperkenalkan kepada anak kecil.

Mereka yang sentiasa terbimbing dalam cara hidup yang bersih dan bencikan kekotoran akan membesar sebagai seorang pembersih dan ini memungkinkan generasi Muslim terdidik dengan mengutamakan kebersihan, iaitu cara hidup setiap Muslim yang digariskan al-Quran.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sekolah Jenis Kebangsaan Akan Lebih Menjarakkan Rakyat


PUTRAJAYA : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kewujudan sekolah vernakular akan menjarakkan rakyat dan menyekat perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum negara ini.

Katanya, cadangan penubuhan sebuah sekolah tinggi Cina persendirian baru di Kuantan mungkin memberi kesan serupa.

"Kita telah menerima sejak awal lagi bahawa sekolah vernakular boleh ditubuhkan oleh pelbagai masyarakat dan ini menyebabkan golongan muda kita tidak belajar bersama-sama.

"Sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan sebagainya, maka kita akan ada tiga golongan rakyat yang berlainan latar belakang pendidikan, dengan setiap satu bercakap dalam bahasa yang berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami antara satu sama lain," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian selepas melancarkan Pertandingan Menulis Esei Yayasan Kepimpinan Perdana-Yayasan Maybank 2012, di sini, Rabu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini dilaporkan berkata beliau berharap sekolah itu mendapat kelulusan untuk ditubuhkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Dr Chua berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama para pemimpin tertinggi parti itu berhubung permohonan Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur untuk menubuhkan sekolah berkenaan di Kuantan. BERNAMA.