Isnin, 17 September 2012

ISU BAHASA : Karyawan muda ceriakan dunia sastera


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Sejak dekad lampau, kemunculan penulis kreatif muda yang sedang menuntut di luar negara makin ketara. Mereka menuntut dalam pelbagai jurusan agama, sains dan teknologi di Eropah, Afrika, negara Arab, Australia dan sebagainya.

Kebanyakan mereka pelajar aliran sains. Hal ini bukan suatu perkara yang mustahil kerana Allah menjadikan minda manusia lengkap dengan keperluan naluriah imaginasi, kreativiti, objektif, saintifik dan rasional. Ahli sains Islam, serta ulama Islam yang terkenal turut menghasilkan puisi yang kreatif lagi indah. Kemunculan penerbitan karyawan muda ini menyegarkan dunia sastera kita. Ketika kelas sastera tulen di negara ini dalam keadaan yang membimbangkan, kemunculan penerbitan karyawan muda luar negara memberi harapan baru kepada kita. Kita tidak boleh memberi harapan tinggi kepada kelas sastera tulen di negara ini untuk dapat melahirkan penulis muda yang baik. Ia adalah akibat persepsi negatif terhadap sastera, guru yang kurang terlatih, murid yang terpinggir, dan modul serta kurikulum agak lapuk.

Karyawan muda luar negara ini, walaupun tidak menempuh pendidikan sastera formal, tahu memanfaatkan bakat yang mereka miliki. Mereka generasi muda yang pintar kerana dunia sastera memerlukan karyawan yang pintar, berfikir, sensitif terhadap isu semasa dan tahu bagaimana memasukkan pengalaman serta renungan intelektualnya ke dalam lembar puisi, cerpen atau novel.

Memang fitrah Tuhan mentakdirkan proses penggenerasian terus berlaku. Proses dialami bukan saja oleh flora, fauna, dan peralatan moden, malah yang lebih penting turut dialami oleh manusia. Sebagai hayawan natiq yakni makhluk berbahasa, manusia turut belajar daripada bahasa alam, melihat bagaimana daunan hijau muda perlahan-lahan berubah warna menjadi coklat perang; melihat bagaimana telur menetaskan burung yang kemudian melesat terbang; melihat bagaimana peralatan moden terus dicipta dan diperbaharui, ada yang semakin mengecil dan menipiskan bentuknya.

Penggenerasian manusia selalu menghadirkan polemik kaum tua dan kaum muda, bukan saja yang mengkhusus dalam ranah keagamaan seperti yang pernah terjadi di negara kita, malah meluaskan ranahnya ke medan kehidupan yang lain.

Penggenerasian tidak terjadi dalam vakum atau kekosongan. Penggenerasian terjadi bersama gerak kebudayaan masyarakat. Justeru, golongan yang mapan atau berasa dirinya mapan, akan selalu bersemuka dan berdialog dengan generasi muda mengenai pelbagai aspek kehidupan.

Kini, kesusasteraan Melayu moden muncul daripada  latar sosial, budaya, dan zaman yang terus berubah. Di sekitar kita terjadi perubahan penting yang bukan saja membabitkan anggota masyarakat, malah penulis dan karya mereka. Oleh sebab zaman ini memberikan lebih banyak saham kepada penulis muda, maka penulis muda wajar menanggapi perubahan dalam konteks cabaran dan tantangan yang harus ditangani dengan bijaksana.

Sama ada seseorang penulis muda itu mahu menggariskan perjuangan seninya yang sekali gus bererti bersedia menghadapi cabaran, serta memetakan arah perjuangan seninya, sangat bergantung kepada tujuan mengarang. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk mencipta nama, maka namanya akan diingat buat sementara waktu. Jika tujuan mengarang hanya untuk mendapatkan wang, maka ringgit dan sennya akan habis di dunia ini. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk seni, maka ia hanya mengagungkan seni yang relatif. Akan tetapi jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang kerana menggunakan bakat untuk menjadi pendakwah seni mengandung ilmu, maka karyanya menjadi lebih bererti dan lebih lestari.

Tulisan Hassan Ahmad pada 2008 antara lain menyatakan : "Penulis mesti tahu apakah tujuan dia menulis. Kalau dia ahli sains atau sarjana dalam bidang ilmu tertentu, dia menulis untuk tujuan menyampaikan ilmunya kepada orang lain, kepada masyarakat. Itu tujuannya. Dia tidak boleh main-main. Dia mesti serius. Ini bukan kerja mudah. Dia mesti berfikir, mengolah ilmu. Tetapi bukan itu saja. Dia juga harus menguasai alatnya dan teknik penulisan dengan baik. Alat penting penulis ialah bahasa. Kalau dia tidak menguasai alat ini dengan baik, nanti ilmu yang cuba disampaikan pun boleh keliru, tidak jelas, salah dan sukar difahami pembaca. Tetapi menguasai bahasa saja belum cukup. Dia juga mesti menguasai teknik penulisan, menguasai kebolehan menggunakan bahasa secara kreatif, dengan gaya bahasa yang menarik, dan sebagainya".

Berdasarkan karya penulis muda kita di luar negara yang saya baca, saya dapati mereka terus menajamkan bakat penulisan, memasukkan bumbu ilmu ke dalamnya, membawa pelbagai latar sejagat dengan segala macam masalah alam dan manusiawi masuk ke dalam lembar puisi dan cereka, prihatin akan nasib umat manusia, dan menjadi pendakwah seni dalam kapasiti masing-masing.

Sastera Melayu moden akan merakam sumbangan penting mereka. Mereka menawarkan variasi karya untuk tatapan generasi angkatan mereka yang dikelilingi kehidupan serta teknologi yang berubah dan bergerak dengan begitu pantas sekali. Mereka menyumbang ke arah pemerkasaan rupa serta jiwa tamadun berasaskan persuratan Melayu masa depan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 16 September 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Imej mahasiswa terjejas




Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
         
SEJAK akhir-akhir ini pembabitan ‘luar biasa’ dan luar batasan segelintir kecil mahasiswa cukup berani hingga ada melabelkan mereka golongan tidak terpelajar.

Biarpun jumlahnya terpencil, perlakuan itu menjejaskan imej mahasiswa sehingga menjadikan sasaran masyarakat melemparkan pelbagai kritikan.

Lebih menyedihkan, golongan itu sanggup mengetepikan  harga diri semata-mata mahu membuktikan diri berani menyahut cabaran.

Justeru timbul persoalan, apakah sebenarnya yang ingin dibuktikan golongan terbabit, adakah lambang keberanian atau sekadar mahu mencari publisiti murahan?

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata tindakan itu tidak dapat diterima walau apapun alasan kerana ia mencerminkan rendahnya mentaliti pemikiran mahasiswa.

Beliau berkata, golongan itu sepatutnya menjaga reputasi dan imej mereka, bukan sekadar untuk berseronok dan menjatuhkan maruah diri.

“Saya terkilan melihat perlakuan mereka, ini bukan cermin akhlak golongan terpelajar yang kita inginkan untuk memegang tampuk pemerintahan negara kelak.

“Ia amat memalukan kerana reaksi mereka bersahaja. Ini bukan budaya timur apatah lagi orang Melayu kaya dengan budi bahasa dan tata susila.

“Kepincangan secara keseluruhan akan memberi impak berpanjangan jika tidak ditangani segera” katanya.

Perlakuan segelintir mahasiswa yang boleh dikategorikan terlalu biadap itu menjadikan masyarakat membuat tanggapan mereka adalah golongan yang sukar disandarkan harapan sebagai pemimpin masa depan.

Konflik berkenaan juga saling berkaitan sikap singkat pemikiran serta gemar menggunakan kata-kata kesat atau kurang beradab ketika mahu melontarkan pendapat.

Beliau berkata, mahasiswa boleh meluahkan pandangan atau rasa tidak puas hati tetapi bukan dengan cara lucah atau menjatuhkan martabat diri, bangsa dan agama.

“Mungkin mereka tidak memikirkan kesan daripada perlakuan itu atau menyesal tetapi hakikatnya perbuatan sudah dilakukan, akibatnya kepada imej mahasiswa sendiri.

“Mahasiswa sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Biarpun hanya melakukan kesilapan kecil, boleh meledakkan isu yang besar atau panas.

“Saya berharap mereka berhati-hati dalam perlakuan mahupun tutur kata kerana setitik nila rosak susu sebelanga.

“Di tengah kerancakan kita menyuntik dan membangunkan nilai mulia dalam kalangan generasi muda, ada yang menghancurkannya. Ini amat mendukacitakan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan sikap itu berpunca daripada kalangan mahasiswa yang terlalu terpengaruh dengan kata hati dan gelodak jiwa muda.

“Masing-masing faham golongan itu sedang mencari arah kehidupan atau menikmatinya dengan cara tersendiri, namun gunakan akal secara rasional.

“Tidak usah menunjukkan ‘kebodohan’ sendiri semata - mata mahu menjadi hero. Itu bukan budaya kita,” katanya.

Kerana terlalu tunduk pada nafsu muda juga, katanya, ada dalam kalangan mereka merasa bangga melakukan perbuatan itu.

“Tapi sedarkah ia juga menjejaskan nama baik banyak pihak seperti ibu bapa dan institusi pengajian?

“Walaupun jumlahnya tidak ramai tetapi trend generasi muda yang bersikap kurang ajar, suka cakap lepas dan menghentam tanpa bukti perlu ditangani.

“Cuba tanya diri sendiri apa yang diperoleh melalui tindakan itu, seronok, penghargaan atau cacian?” soalnya.

Pengerusi Kolej Poly Tech Mara, Datuk Sohaimi Shahadan berkata tindakan mahasiswa yang ekstrem disebabkan meluasnya pengaruh pelbagai media massa hingga mencetuskan keterujaan melampau.

Menurutnya, meskipun peranan media seperti Internet atau blog penting, tanpa pemantauan serius, ia boleh menyebabkan keruntuhan akhlak generasi muda.

“Alaf baru hari ini menyaksikan semua maklumat tanpa mengira sama ada benar atau tidak dapat diakses dengan mudah. Ia menyebabkan ada segelintir golongan muda menjadi terlalu taksub.

“Tanpa mengambil kira apa jua faktor, mereka melempiaskan pendapat atau perlakuan sewenangnya.

“Lebih bahaya, ada pihak cuba menangguk di air keruh atau mengambil kesempatan. Golongan muda atau mahasiswa yang menjadi mangsa,” katanya.

Beliau turut kesal apabila golongan mahasiswa hari ini terpesong daripada dunia pendidikan sebenar.

“Institusi pengajian tinggi adalah tempat yang mulia kerana di situlah tersimpan segala ilmu, bukan melakukan perbuatan melampau.

“Seharusnya mereka malu bertindak demikian kerana memegang status mahasiswa. Mengapa tidak mahu berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.

“Jangan gunakan alasan melakukannya kerana tidak tahu. Itu tidak boleh diterima sebab mereka adalah golongan terpelajar,” katanya.

Beliau berkata, mahasiswa di negara ini usah terlalu agresif meluahkan rasa tidak puas hati dan melakukan kekecohan seperti di negara luar.

“Keadaan di sini tidak sama seperti di luar. Mahasiswa di negara ini menikmati pelbagai kemudahan dan akses terbaik untuk mendapat pendidikan.

“Jadi tidak perlu mengeruhkan situasi dengan tindakan itu sebaliknya berusaha untuk bersama-sama mengekalkan apa dinikmati ini dengan sempurna.

“Daripada membuang masa menunjuk punggung atau melakukan perbuatan tidak senonoh, buktikan diri mereka hebat dengan mencipta kejayaan dalam akademik, sukan atau penyelidikan,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU KENEGARAAN : Laut China Selatan bukan pemisah


MINGGUAN: Selepas 49 tahun, sejauh manakah tahap integrasi masyarakat Malaysia Barat dan Malaysia Timur?

DR. JENIRI AMIR: Satu daripada agenda penting selepas pembentukan Malaysia adalah untuk mewujudkan integrasi wilayah. Sebelum pembentukan Malaysia malah pada awal pembentukannya, memang wujud sentimen anti-Semenanjung yang begitu ketara dalam kalangan penduduk Sarawak dan Sabah. Disebabkan dari segi geografi yang dipisahkan oleh Laut Cina Selatan di samping faktor sejarah dan komposisi yang berbeza, maka integrasi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan sejak kepemimpinan Tunku Abdul Rahman hingga kini.

Proses mencapai integrasi bukanlah mudah, ia memerlukan masa yang panjang. Hakikatnya, integrasi total tidak mungkin dicapai dalam waktu singkat kerana negara kita begitu kompleks. Namun, tembok psikologi telah banyak dapat diruntuhkan dengan mobilisasi penduduk yang lebih ketara, sistem pendidikan kebangsaan, kewujudan universiti di pelbagai negeri dan peranan media. Prasangka dan segregasi (pemisahan) semakin berkurangan. Integrasi yang kita harapkan ialah integrasi yang akhirnya memungkinkan kita mencapai negara idaman yang memiliki identiti nasional.

Rakyat pelbagai kaum semakin merasai bahawa mereka berada di bawah langit yang sama. Ikatan kesepaduan dari segi minda dan emosilah yang lebih penting dalam kalangan rakyat kita dan Laut Cina Selatan tidak harus menjadi jurang pemisah. Biar wujud jambatan emosi dan jiwa yang teguh dalam kalangan rakyat di Semenanjung dengan rakyat di Sabah dan Sarawak. Perhubungan yang lebih akrab antara wilayah dapat mewujudkan integrasi dalam bidang politik, sosial dan nilai. Dengan adanya perhubungan dan pengertian yang lebih mendalam, maka konflik dapat dielakkan.

MINGGUAN: Apakah agaknya yang boleh diperbaiki dan diberi tumpuan?

DR. JENIRI AMIR: Ketika Malaysia hendak ditubuhkan 49 tahun lalu, para pemimpin Kerajaan Persekutuan dengan pemimpin politik dan kaum di Sabah dan Sarawak seperti Datu Bandar Abang Mustapha Abang Mosili, Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Fuad Stephens telah memainkan peranan besar menyokong gagasan Malaysia. Malah, Abang Mustapha antara pemimpin terawal Borneo yang menyokong idea Tunku itu. Para pemimpin berkenaan dan rakyat Sabah dan Sarawak dijanjikan pembangunan dan peluang yang sama dengan yang dinikmati oleh para penduduk dan negeri di Semenanjung.

Rungutan yang masih wujud adalah ketidakseimbangan dari segi pembangunan prasarana, ekonomi dan peluang yang diberikan kepada rakyat kedua-dua buah negeri ini untuk menduduki jawatan kanan di kementerian-kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Semenanjung.

Mereka mengharapkan untuk ditingkatkan tahap pembangunan khususnya di luar bandar. Mereka juga mahu diberi peluang yang sama dari segi pekerjaan dan jawatan penting. Mereka menuntut supaya royalti minyak dinaikkan agar ketidakseimbangan yang wujud dapat dikurangkan. Jangan sampai rakyat di Sabah dan Sarawak merasai mereka seolah-olah dilayan sebagai rakyat kelas dua. Jika kerajaan BN mahu kedua-dua negeri itu terus menjadi pelampung untuk menyelamatkan BN, maka perasaan, permintaan dan aspirasi rakyat di kedua-dua negeri itu perlu diberi perhatian. Memang wajar mereka membuat tuntutan berkenaan, kerana mereka beranggapan bahawa disebabkan dukungan kuat merekalah, maka BN masih berada di Putrajaya. Implikasinya, Sarawak dan Sabah tidak harus dipinggirkan atau menjadi melukut di tepi gantang.

MINGGUAN: Apakah manfaat paling ketara yang dinikmati Sabah dan Sarawak hasil pembentukan Malaysia?

DR. JENIRI AMIR: Keputusan para pemimpin politik serta rakyat Sabah dan Sarawak untuk sama-sama membentuk Malaysia sebagaimana dimanifestasikan melalui keputusan diperoleh Suruhanjaya Cobbold merupakan tindakan tepat dan berpandangan jauh. Ancaman dalaman termasuk komunis di Sarawak memburukkan lagi keadaan. Namun, dengan terbentuknya Malaysia, maka Sarawak dapat diselamatkan. Selain itu, Sabah dan Sarawak juga dapat menikmati pembangunan prasarana, sosial, kebudayaan, ekonomi, pelajaran dan seumpamanya sejak Malaysia ditubuhkan. Maksudnya, kedua-dua negeri itu dapat memerdekakan diri mereka daripada kedaifan, kemunduran, ketidakyakinan dari segi infrastruktur dan ekonomi khususnya meskipun masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan. Dalam konteks ini, boleh kita katakan bahawa janji-janji sewaktu pembentukan Malaysia sudah dikotakan, sekali gus mencerminkan komitmen dan keikhlasan kepemimpinan di peringkat Pusat untuk memajukan dan memakmurkan Sabah dan Sarawak.

MINGGUAN: Bagaimana pula dengan kesungguhan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak?

DR. JENIRI AMIR: Tsunami politik dalam pilihan raya 2008 telah mengubah landskap politik. Datuk Seri Najib melalui gagasan 1Malaysia memaknakan lagi erti pembentukan Malaysia. Satu Malaysia bukan sahaja bermaksud Semenanjung, tetapi meliputi Sabah dan Sarawak. Jika sebelumnya, tidak terdapat keberanian untuk mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum, namun di bawah Najib, beliau mengambil tindakan tersebut. Tindakan itu menggambarkan keikhlasan beliau, sekali gus membayangkan hakikat bahawa beliau ialah pemimpin yang sentiasa membawa aspirasi rakyat. Telinga beliau sentiasa didekapkan ke bawah untuk mendengar denyut nadi dan gerak rasa rakyat. Beliau ialah Perdana Menteri yang memiliki sikap empatik. Tidak ada Perdana Menteri yang melawat Sabah dan Sarawak sekerap Datuk Seri Najib. Tujuannya tidak lain daripada mendekatkan dirinya dengan rakyat agar faham akan masalah dan aspirasi mereka. Beliau bukan sahaja melawat ibu negeri, tetapi menjelajah sampai ke pesisiran dan pedalaman, termasuk ke rumah panjang. Beliau juga mewujudkan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji kadar royalti minyak, selain meningkatkan peruntukan kewangan bagi memastikan jurang pembangunan dan ekonomi dapat dirapatkan. Semua kaum diberi perhatian, termasuk etnik minoriti. Tidak hairanlah dengan kesungguhan itu, beliau begitu popular dalam kalangan rakyat di kedua-dua negeri sehingga mencecah rating sokongan 80 peratus.

MINGGUAN: Sejauh manakah generasi muda mendalami falsafah pembentukan Malaysia?

DR. JENIRI AMIR:  Bagi generasi muda, mereka lebih dekat dan lebih memahami hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Hari Malaysia agak kurang relevan kepada mereka. Hal ini ada kaitan dengan bagaimana tajuk berkenaan pembentukan Malaysia diberi tumpuan dalam mata pelajaran Sejarah. Namun, saya percaya selepas Hari Malaysia diwujudkan dan diraikan, maka kesedaran tentang kepentingan hari berkenaan semakin meningkat. Perbincangan tentang sejarah dan kepentingan pembentukan Malaysia perlu dibincangkan melalui media bagi membantu meningkatkan kesedaran dan pemahaman mereka tentang hari penting itu. Sebagai sebuah negara yang menjadikan negara bangsa sebagai idaman, maka kita perlu memperkukuh pengertian terhadap sejarah dan kepentingan Hari Malaysia. Mungkin pada tahun depan kita boleh meraikan Hari Malaysia di Sabah, Sarawak dan Semenanjung secara besar-besaran kerana kita akan meraikan ulang tahun ke-50 pembentukan Malaysia.

MINGGUAN: Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara bagi Sarawak, adakah ia sesuatu yang difahami masyarakat khasnya di Semenanjung?

DR. JENIRI AMIR: Masyarakat biasa di negara ini kurang faham tentang perjanjian itu. Perkara 165 Perlembagaan Malaysia turut memasukkan tuntutan Sabah dan Sarawak itu. Antara perkara terbabit adalah berkaitan dengan agama, bahasa, perlembagaan, imigresen, kewangan dan hak bumiputera Sabah dan Sarawak. Misalnya, di bawah perjanjian itu, dipersetujui bahawa kuasa imigresen adalah di bawah Pusat, tetapi soalan tentang keluar atau masuk ke Sabah dan Sarawak harus dikawal oleh kedua-dua negeri itu sendiri. Di bawah perjanjian itu terdapat perlindungan-perlindungan khas bagi kedua-dua negeri itu, selain pemberian khas dalam peruntukan kewangan. Penduduk bumiputera di Sabah dan Sarawak juga mendapat hak istimewa seperti orang Melayu di Semenanjung.

Ada pemimpin di Sabah dan Sarawak mati-matian mahu mempertahankan perkara yang dikatakan termaktub di bawah perjanjian itu seolah-olah ia diukir di atas batu. Persoalannya, adakah selepas hampir 50 tahun Malaysia ditubuhkan, kita perlu berpegang kepada perjanjian itu secara tuntas, misalnya dari segi imigresen sehingga mereka dari Semenanjung seolah-olah bukan orang Malaysia apabila melalui imigresen di lapangan terbang? Dalam keadaan masyarakat kurang faham akan kandungan terperinci perjanjian itu, mereka mudah keliru dan dikelirukan apatah lagi oleh para pemimpin politik yang mempunyai agenda tersendiri untuk dilihat sebagai hero dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak.

MINGGUAN: Kebelakangan ini makin ketara adanya usaha melaga-lagakan masyarakat Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak melalui laman sosial seperti Facebook. Apa komen Dr?

DR. JENIRI AMIR:  Perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang mahu merosakkan hubungan baik dan integrasi yang wujud ketika ini. Golongan ini cuba mengambil kesempatan. Mereka merupakan pemusnah integrasi nasional yang cuba diwujudkan oleh kerajaan. Sayugia diingatkan, tidak ada manfaatnya melaga-lagakan masyarakat. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu hanya merugikan semua pihak.

Apakah untungnya jika sentimen rakyat diapi-apikan? Apa gunanya jika rakyat saling memusuhi? Kita sepatutnya bergerak ke hadapan untuk membina negara idaman; sebuah negara bangsa yang memiliki kesatuan, kesepaduan dan akhirnya perpaduan dari segi politik, sosial, wilayah, ekonomi, budaya dan sebagainya.

Bagi menangani emosi yang membuak-buak dalam kalangan generasi muda dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan untuk menjelaskan pentingnya keharmonian hubungan dan integrasi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak disegarbugarkan. Langkah top-down daripada kerajaan tidak memadai, langkah dan strategi bottom-up perlu digiatkan juga, kerana akhirnya penggemblengan kedua-dua pendekatan itulah yang memungkinkan kita dapat menyuntik rasionaliti ke dalam minda mereka.

MINGGUAN: Bagaimana pula dengan mereka yang mendakwa hasil bumi Sabah dan Sarawak dirompak untuk membangunkan Semenanjung?

DR. JENIRI AMIR: Ini tuduhan yang tidak berasas sama sekali. Untuk menuduh kerajaan Pusat merompak hasil bumi kedua-dua negeri adalah satu tuduhan yang melampau. Sebagai sebuah negeri yang mengamalkan sistem Persekutuan, saya percaya bahawa kerajaan Pusat telah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi kehendak rakyat di seluruh negara. Jikapun ada kelemahan, adakah sepuluh jari itu perlu ditujukan kepada pemimpin Pusat sahaja. Jika kemunduran, kemiskinan dan salah guna kuasa berlaku, tidakkah pemimpin negeri di Sabah dan Sarawak turut bertanggungjawab.

MINGGUAN: Ada juga dakwaan Sabah dan Sarawak mampu melakar masa depan yang lebih gemilang jika tidak membentuk Malaysia. Relevankah ia didebatkan selepas 49 tahun?

DR. JENIRI AMIR: Ketika Malaysia mulai digagaskan, Filipina dan Indonesia memang menentang keras penubuhan Malaysia. Presiden Filipina, Diasdado Macapagal menentang cadangan pembentukan Malaysia kerana membabitkan wilayah Borneo Utara atau Sabah. Penentangan Indonesia di bawah kepemimpinan Sukarno bukan sahaja dalam bentuk diplomasi, tetapi beliau telah melancarkan gerakan ketenteraan melalui dasar konfrontasi. Sabah dan Sarawak telah dapat diselamatkan daripada diancam dan ditelan oleh Filipina dan Indonesia.

Ini merupakan soalan hipotetikal. Untuk menjawab soalan atau kenyataan ini, kita perlu bertanya balik. Bagaimanakah keadaan politik, sosial dan ekonomi Filipina dan Indonesia sekarang? Adakah jauh lebih maju daripada Malaysia? Adakah jauh lebih membangun daripada Sabah dan Sarawak? Adakah rakyatnya lebih bahagia? Berapa banyakkah rakyatnya yang terpaksa mencari rezeki di luar negara?

Saya rasa, tidak ada gunanya kita berdebat tentang perkara ini. Ini tidak menguntungkan. Sama seperti suami isteri yang sudah berkahwin dan mendapat anak, selepas hampir 50 tahun berkahwin, tiba-tiba timbul di jiwa atau fikirannya, tentang kemungkinan dia lebih bahagia jika berkahwin dengan orang lain. Justeru, daripada mengambil keputusan untuk berpisah atau berkahwin lain atau mengeruhkan hubungan, lebih baik ditumpukan segala perhatian untuk membahagiakan rumah tangga yang telah dibina demi kebahagiaan pasangan suami isteri sendiri dan anak-anak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Lima kunci rancang kerja seharian


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Keistimewaan berteraskan niat pupuk raca cinta akan kebajikan

Setiap hari kita meneruskan kehidupan dengan menunaikan amanah bekerja. Adalah penting bagi kita untuk merencana dan merancang kerja seharian supaya dapat mengambil langkah melonjakkan usaha ke tahap lebih baik bagi mengelakkan berada di takuk lama tanpa penambahbaikan.

Merencana kerja bermaksud menentukan hala tuju dan sasaran yang ingin dicapai dan merancangnya pula bermaksud menentukan cara, tempoh, keutamaan, sumber dan mekanisme untuk mencapainya. Merencana dan merancang kerja yang baik serta tidak menyalahi hukum syarak adalah suatu kebaikan yang menjadi ibadat bagi umat Islam walaupun belum dilaksanakan. Keunikannya dalam Islam bertujuan memupuk dan melonjakkan rasa cinta akan kebaikan.

Penentuan kualiti kerja

Ia terangkum dalam konsep niat yang menjadi prasyarat kepada penerimaan dan penentuan kualiti kerja dalam Islam. Niat adalah qasad (tujuan hati) dan iradah (kehendak hati) untuk melakukan sesuatu bagi memperoleh keredaan Allah SWT.

Imam Nawawi dalam Matan al-Arba’innya telah memulakan dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Saidina Umar bin al-Khattab, Rasulullah bersabda: “Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barang siapa hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehnya atau perempuan yang ia ingin dikahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.”

Kualiti halal

Keutamaan niat dalam gerak kerja Islam menyebabkan Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat hadis ini adalah sepertiga Islam kerana amalan yang dilakukan dengan hati, lidah dan anggota memerlukan niat. Manakala baki dua pertiga lagi terletak pada kualiti halal dan meninggalkan apa yang tidak berguna.

Justeru, merencana dan merancang kerja perlu diniatkan dan niat itu mestilah bertujuan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Kata kunci yang menjadikannya istimewa ialah ‘kerana Allah’. Keistimewaan rencana dan rancang kerja berteraskan niat dapat menghasilkan lima impak hebat.

Pertama, impak ganjaran disebabkan tujuan. Contohnya antara iktikaf dan rehat dalam masjid adalah dua gerak kerja yang sama tapi akan memberikan impak berbeza disebabkan oleh niatnya.

Kedua, impak status kerana niat juga membezakan status gerak kerja antaranya mandi wajib dan sunat, solat, sedekah, juga puasa.

Ketiga, impak antara adat dan ibadat. Kerja diniatkan untuk memenuhi kesejahteraan pelanggan, nafkah diri dan keluarga mendapat pahala ibadat.

Keempat, impak antara sah dan batal seperti rakaat solat jika salah diniatkan.

Kelima, impak kualiti kerja antara yang dikerjakan dengan ikhlas dan jujur dengan sombong dan menunjuk-nunjuk.

Kejayaan duniawi

Oleh itu, jika diniatkan dengan baik dan betul, kita akan mencapai matlamat serampang dua mata iaitu kejayaan duniawi sesuai apa yang telah direncana dan rancang serta kecemerlangan ukhrawi dengan keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan tidak diperintahkan kamu melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama kerana-Nya, dengan menjauhi kesesatan, dan (supaya) mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, kerana yang demikian itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Merencana dan merancang kerja juga merealisasikan tuntutan agama supaya kita menjadi insan lebih cemerlang dengan hasil kerja menjadi lebih berkualiti dari semasa ke semasa. Bahkan insan yang mendapat rahmat daripada Allah SWT akan berusaha memperbaiki diri apabila sedar wujud kelemahan.

Islam amat menekankan supaya kita berhijrah daripada sesuatu yang tidak baik kepada yang baik dan daripada yang baik kepada cemerlang. Justeru, dalam bekerja, usaha merencana dan merancang untuk penambahbaikan perlu diberikan penekanan.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh,  sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan ganjaran orang yang memperelokkan amalannya.” (Surah al-Kahfi, ayat 30)

Merencana dan merancang kerja  juga memerlukan komitmen tinggi atau jihad. Sabda Rasulullah: “Tidak ada hijrah lagi sesudah kemenangan, tetapi yang ada ialah jihad dan niat dan apabila diperintah kamu keluar, maka keluarlah.”

Justeru, jihad dalam merencana dan merancang memerlukan  usaha secara bersungguh-sungguh melalui perbincangan, ketelitian dalam membuat keputusan membabitkan kepentingan ramai dan untuk jangka masa panjang berdasarkan pengetahuan.

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Budaya kita mangsa globalisasi


Oleh : Mohamad Abdullah
 
Muzik video Gangnam Style oleh penyanyi rap Korea Selatan dikatakan mencapai lebih 130 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 15 Julai lalu. Malah lagu itu dikatakan menjadi satu kejutan apabila berupaya menembusi pasaran dunia termasuk negara Barat yang selama ini menjadi tumpuan dalam segala bentuk budaya hiburan dunia.

Selama ini kita percaya bahawa budaya Barat adalah segala-galanya dalam hidup kita walaupun dalam banyak keadaan ada yang marah dan membencinya. Budaya Barat sering dilabelkan sebagai mengancam budaya murni dan merosakkan nilai tradisional dalam kehidupan. Apabila media melalui proses globalisasi dan langit terbuka, budaya Barat sering dipersalahkan dalam apa juga permasalahan. Malah apa saja yang datang dari Barat dianggap budaya hedonisme yang merosakkan akidah. Malangnya seperti kata seorang penganalisis, marah macam mana pun kita kepada Barat, tarikan kepada budaya, universiti, wayang, makanan, pakaian dan teknologi mereka masih sentiasa berlaku .

Ini amat benar kerana kita cepat saja menerima sesuatu apabila mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Barat. Sebahagian besar negara di dunia, terutama negara Islam dan dunia ketiga, mengiktiraf apa juga yang datang dari Barat dan sekutunya sebagai kebanggaan dan pengiktirafan terhadap apa yang dilakukan.

Sanjung nilai Barat

Lihat saja apabila umat Islam dibuli dan dipandang serong Barat, kita akan marah tetapi pada masa yang sama kita tetap menganggap ia sebagai rujukan utama. Nilai budaya, ilmu, hiburan, makanan dan teknologinya dipandang tinggi, dibanggakan dan menjadi satu cara hidup walaupun kita tahu sesetengahnya boleh dipertikaikan.

Kita tahu dan sedar bahawa sesetengah ilmu dan teknologi terdapat di negara lain yang kurang kita terokai. Malah negara yang disisihkan dan dikatakan terasing daripada pembangunan ekonomi dalam konteks Barat, mempunyai institusi ilmu yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk penghasilan vaksin untuk faedah umat manusia seluruhnya.

Penjajahan bentuk baharu yang amat kuat menguasai minda dan persepsi kita terhadap budaya ini payah ditembusi kerana ia ditanam amat kukuh. Sebarang cubaan yang berpandangan sebaliknya dianggap sebagai anti kemajuan dan pembangunan serta tidak realistik. Dalam banyak hal, apa yang dikatakan hebat dan baik oleh Barat dianggap sebagai kayu ukur dalam menentukan kedudukan kebanyakan institusi kita walau pun sebahagiannya mengancam jati diri dan kelangsungan geopolitik sesuatu negara.

Gangnam Style, satu citra baru dari satu daerah di Korea Selatan mengajar bahawa jika caranya betul, persepsi itu mampu berubah bukan saja dalam seni dan budaya tetapi juga aspek lain. Tentunya bukan daripada aspek moral, ada pandangan mengatakan Gangnam Style satu lagi budaya hampas yang berasaskan pergerakan kuda yang boleh merosakkan ummah.

Cari kekuatan seni budaya

Namun, jika kita kurangkan bertelingkah dalam hal remeh temeh dan hanya mencari salah dan kekurangan, kita mempunyai banyak masa untuk bermuhasabah diri dan mencari kekuatan dalam seni budaya serta akar umbi ilmu dan tamadun yang sudah lama berada dalam kalangan kita.

Pelbagai kearifan tempatan yang ada perlu diteliti semula bagi mendorong kreativiti dan penambahbaikan untuk disesuaikan dengan nilai masa hadapan. Banyak yang boleh kita ketengahkan untuk dikongsi dengan dunia. Bahasa dan budaya bukanlah halangan.

Raihan misalnya pernah menjadi satu fenomena dalam mengetengahkan nasyid sebagai satu budaya alternatif bukan saja dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam tetapi juga masyarakat keseluruhannya. Ia berlaku dengan cemerlang dan beberapa ikon lain turut menyumbang ke arah pembentukan fenomena baru.

Kebijaksanaan inilah yang harus dijadikan cabaran dalam mengetengahkan kekuatan dan kearifan dimiliki dalam kepelbagaian dunia. Globalisasi termasuk media sosial dan YouTube membuka laluan dan peluang yang sangat besar dan berguna untuk kita manfaatkan.

Ketengah ilmu, budaya tempatan

Sama ada dalam konteks untuk mengetengahkan agama dan moral mahu pun keilmuan lain-lainnya, ia harus dilakukan sebaik mungkin. Selagi kita tidak berupaya membina persepsi dan model baharu dalam pelbagai perkara, selama itulah kita hanya akan marah dan menuding jadi menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri.

Gangnam Style barangkali bukan contoh terbaik tetapi ia menunjukkan bagaimana globalisasi budaya boleh berlaku dengan pantas dan menembusi dunia tanpa sempadan. Mampukah kita memanfaatkan dan menghadapinya atau kita hanya mampu menjadi pemerhati walaupun kita mempunyai kekuatan jika bersungguh-sungguh untuk melakukannya?

Masalahnya bukanlah Barat atau Timur tetapi nilai yang boleh mengancam tamadun ummah yang perlu dihadapi bukan dengan membenci tetapi kebijaksanaan.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 14 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Kerajaan bela nasib graduan pendidikan


Nasib 10,200 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sehingga kini masih belum ditawarkan pekerjaan sebagai guru dijangka diketahui pada pembentangan Bajet 2013, 28 September ini. Bayangan awal yang diberikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dijangka melegakan mereka selepas beberapa tahun menamatkan pengajian tapi tidak ditawarkan jawatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan dijangka mengumumkan sesuatu yang akan mengubah nasib mereka. Keperluan semasa pasaran pendidikan dijangka membantu graduan berkenaan mencapai cita-cita menjadi guru yang kini mendapat pengiktirafan tinggi kerajaan. Kita yakin masalah yang dihadapi graduan berkenaan menjadi iktibar kepada kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran. Mereka yang dilatih secara khusus sebagai guru tapi menghadapi masalah penempatan, gara-gara unjuran kurang tepat terhadap sektor perguruan itu sendiri.

Faktor lebihan penawaran dan masalah penempatan menyebabkan mereka tidak segera ditawarkan jawatan walaupun pertumbuhan penduduk dan bilangan pelajar sepatutnya memberi peluang kepada kerjaya berkenaan. Keadaan lebih mendesak apabila dilaporkan 13,000 graduan pendidikan yang mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan berkenaan sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.

Kita yakin masalah penempatan dan pengisian pengajaran subjek boleh diatasi. Kerajaan sentiasa peka isu pendidikan termasuk melancarkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bertujuan meningkatkan taraf pendidikan negara ke tahap global. Sebagai sebuah negara yang menuju peningkatan sektor pendidikan dan perguruan, Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan prasarana di sekolah. Peningkatan premis dan kemudahan asas di sekolah memerlukan tenaga penggerak yang berkualiti dan berwawasan.

Gabungan guru berijazah dan berpengalaman amat diperlukan sebagai ejen penggerak institusi di sekolah itu sendiri. Dalam hal ini kita yakin penempatan 10,200 graduan bakal melancarkan lagi matlamat transformasi pendidikan yang bertujuan melahirkan modal insan berwawasan menjelang 2020. Tentunya kehadiran mereka menjadikan sektor pendidikan lebih berwibawa dan sekolah menjadi medan percambahan ilmu dan tradisi intelektual yang berdaya saing pada peringkat global


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Rumah terbuka citra nilai Melayu baru


Oleh : Imlan Adabi
 
Masyarakat Melayu lama tidak pernah menyambut Aidilfitri sepanjang Syawal. Mereka paling lama pun sambut hari raya selama tiga hari. Hari keempat Syawal lazimnya mereka ke sawah atau menangkap ikan. Yang menjadi buruh terus membanting tulang dan penoreh memperagakan tulang empat kerat di pinggir bukit.

Suasana tradisi lebih berpihak mencari makan seadanya. Amalan bermaafan dan ziarah diamalkan sepanjang masa. Rumah mereka sentiasa terbuka, tidak tertakluk kepada Aidilfitri untuk bersalaman dan bermaafan. Bagi mereka, Syawal hanya sebahagian daripada kesinambungan bulan yang menganjurkan manusia beribadat dan menjalankan tradisi muafakat.

Konsep Melayu moden

Hanya pada dekad 90-an, budaya baru terbentuk hasil perkembangan ekonomi dan perubahan cara hidup. Melayu sambut raya selama sebulan. Tahun ini 16 September yang dianggap Hari Malaysia tepat pada hari terakhir Syawal. Cuti umum tentunya dimanfaatkan untuk majlis rumah terbuka. Mereka menggunakan alasan Syawal untuk menjemput saudara mara dan rakan ke majlis kenduri. Jika tiada Syawal, majlis rumah terbuka tidak diadakan.

Konsep Melayu moden meletakkan kehidupan sebagai milik peribadi, berbeza suasana tradisi yang wujud sebelum dekad 80-an. Jati diri Melayu berubah mengikut perubahan masa dan tradisi muafakat yang kita kaji dari kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah mulai tercabar.

Melayu pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) mengalami perubahan drastik dari segi cara hidup dan sistem nilai. Dasar kerajaan yang mengutamakan agihan ekonomi dan penyusunan semula masyarakat memberi kesan terhadap struktur masyarakat itu sendiri.

Konsep profesionalisme dikaitkan sebagai ‘penjualan’ tenaga dan kepakaran. Melayu turut terbabit menjual tenaga dan kepakaran untuk mendapat upah. Ahli kapitalis meletakkan pasaran pekerjaan sebagai penentu nilai sosial seseorang. Semakin tinggi kepakaran yang dimiliki mendorong kadar upah yang tinggi.

Peningkatan ekonomi, taraf hidup dan prasarana tanpa sedar mengubah identiti Melayu dan budayanya. Sistem nilai yang turut berubah menjadikan saingan dalam pasaran pekerjaan lebih utama daripada mengekalkan amalan muafakat dan tradisi gotong-royong.

Konsep kejiranan mulai terhakis dan kawasan perumahan moden yang dikaitkan dengan perbandaran menjadikan penduduknya lebih tertutup. Jika terdedah pun sekadar menikmati media baru yang terhasil daripada dasar langit terbuka.

Amalan rumah terbuka pada bazar Ramadan dan Syawal menterjemahkan keunikan Melayu baru. Dulu hidangan Syawal dimasak sendiri oleh isteri dan ahli keluarga bagi meraikan tetamu. Juadah Ramadan disediakan oleh ahli keluarga mengikut kemampuan. Tidak timbul istilah bazar Ramadan atau katering kerana wanita Melayu ketika itu mempunyai masa yang cukup untuk memasak dan berlapang dada menyediakan masakan.

Tuntutan masa dan perubahan cara hidup kini memaksa wanita turut bersaing ‘menjual’ kepakaran mereka dalam pasaran pekerjaan. Mereka keluar rumah sejak pagi dan kediaman hanya menjadi ‘sarang’ untuk berehat waktu senja dan malam. Perubahan suasana ini menyebabkan bazar Ramadan melata sepanjang bulan puasa dan katering menjadi tumpuan majlis rumah terbuka Syawal.

Kita harus akui katering dan bazar Ramadan adalah citra ekonomi Melayu moden. Semakin tinggi kuasa ekonomi di sesuatu kawasan semakin banyak perkhidmatan penyediaan makanan. Kuasa ekonomi mendorong majlis rumah terbuka diadakan sepanjang Syawal. Kuasa ekonomi juga mendorong sesetengah majlis Aidilfitri atau berbuka puasa diadakan di hotel lima bintang sebagai membuktikan kekuatan kewangan penganjur majlis.

Kontradiksi pembangunan

Paradoks pembangunan sering memberi gambaran terbalik. Penulis menghadiri majlis Aidilfitri di sebuah dewan agam. Malangnya, tidak jauh dari kawasan parkir, kalangan gelandangan merayau mencari makan. Mereka juga Melayu. Kontradiksi pembangunan!

Ketika merayakan Hari Malaysia, wajar juga kita menilai sistem kehidupan Melayu hari ini. Pencapaian DEB dan kesan kemelut dalaman UMNO pada 1987 berjaya membentuk identiti baru kepada sebahagian Melayu. Politik wang, persaingan kerjaya dan pasaran saham sebahagian daripada keretakan bangsa sendiri.

Jangan terperanjat jika majlis terbuka Syawal sekadar acara tanpa semangat kemelayuan itu sendiri. Seorang teman secara sinis mengandaikan majlis rumah terbuka untuk tetamu yang dijemput saja!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/