Rabu, 9 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Meramaikan pelajar aliran Sains di sekolah


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

PENGUMUMAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan 15 daripada 61 perakuan yang dikemukakan melalui 'Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 (Aliran Sains/Teknikal: Sastera)' pada 21 Disember lalu sangat dialu-alukan serta perlu mendapat perhatian sewajarnya daripada guru dan ibu bapa.

Untuk menjadi negara maju kita memerlukan ramai warga yang mempunyai pengetahuan meluas dalam bidang sains. Misalnya Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara pada 1999 melaporkan bahawa kita memerlukan seramai 493,830 saintis dan jurutera menjelang tahun 2020. Berdasarkan unjuran itu negara seharusnya dapat melahirkan saintis dan jurutera pada kadar 31.3 peratus setiap dua tahun.

Bagi menjayakannya, Program Transformasi Kerajaan (GTP) mensasarkan penyediaan pekerjaan khususnya dalam bidang sains dan teknologi sebanyak 1.3 juta orang menjelang 2020. Dengan perkataan lain untuk melangkah ke negara maju kita perlu menyediakan ramai golongan profesional seperti saintis, guru, jurutera, akauntan, doktor, ahli farmasi, arkitek, perancang bandar termasuk bidang separa profesional seperti juruteknik, jururawat dan sebagainya.

Bagi melahirkan ramai profesional sudah tentu ia bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah. Atas kesedaran itu Kementerian Pelajaran telah merangka dasar 'Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020' sejak tahun 2000 yang menyasarkan 60 peratus akan mengikuti aliran sains dan 40 peratus aliran sastera di tingkatan empat dan lima.

Bagaimanapun nisbah tersebut tidak mencapai sasarannya. Mulai 2007 berlaku trend penurunan akibatnya calon siswa aliran sains terutama di peringkat prauniversiti dan universiti semakin berkurangan.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi dalam Amanat Tahun Baharu 2012 bahawa keadaan ini boleh membantutkan usaha kerajaan untuk meningkatkan inovasi dalam bidang teknologi. Turut terjejas ialah usaha ke arah transformasi ekonomi bagi negara maju yang berpendapatan tinggi.

Bagi mengatasi isu ini, Kementerian Pelajaran menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji pelaksanaan dasar tersebut. Hasilnya sebanyak 61 perakuan dikemukakan. Namun demikian kerajaan bersetuju untuk melaksanakan 15 perakuan secara berperingkat.

Antara perakuan itu ialah tambahan pengecualian cukai daripada RM1,000 kepada RM3,000 bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang mengikuti aliran sains dan teknologi di sekolah menengah atau prauniversiti. Selain itu, jadual waktu untuk semua mata pelajaran Sains Tulen di sekolah akan ditambah daripada empat waktu kepada lima waktu seminggu.

Peningkatan secara berstruktur akan dilakukan di mana 40 peratus pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang layak akan disalurkan secara automatik ke tingkatan empat aliran sains oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Sebagai motivasi pelajar aliran sains akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di institusi pengajian tinggi selepas menamatkan persekolahan nanti.

Untuk menjadikan pembelajaran sains lebih kondusif dan menarik maka peralatan dan makmal sains di semua sekolah akan dibaik pulih dan dinaik taraf. Kajian juga akan dilakukan dari segi pemberian Biasiswa Kecil Persekutuan yang pernah diberikan kepada pelajar aliran sains tingkatan empat dan lima suatu ketika dulu dikembalikan semula.

Bagi memastikan pelaksanaannya berkesan Timbalan Perdana Menteri menyatakan perakuan itu akan dijadikan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015. Di samping itu pelaksanaan dasar turut melibatkan kolaboratif (kerjasama erat) antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta.

Namun demikian penulis berpendapat peranan guru dan ibu bapa sangat penting untuk membudayakan bidang sains dan teknologi. Guru bertanggungjawab menggalakkan dan menarik minat pelajarnya untuk mengikuti mata pelajaran tersebut dengan menggunakan pelbagai kaedah yang mudah dan menyeronokkan.

Pelajar akan meminati apa sahaja mata pelajaran sekiranya guru mengajar secara bersungguh-sungguh dengan menggunakan pelbagai teknik dan kaedah pengajaran. Strategi pengajaran yang berkesan dan alat bantu mengajar yang menarik serta penggunaan ICT akan dapat membantu guru ke arah meluaskan budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajarnya.

Kaunselor turut berperanan dengan memberikan maklumat mengenai pentingnya sains dalam kehidupan dan peluang kerjaya yang terbuka luas bagi mereka yang mengikuti aliran itu. Aktiviti seperti ceramah, perbincangan dan bengkel perlu diadakan lebih kerap. Tambah berkesan jika dapat membawa golongan profesional yang berjaya ke sekolah untuk bersemuka, bersoal jawab dan berkongsi pengalaman bersama pelajar.

Selain itu, pengetua dan guru besar perlu menyediakan program dan aktiviti bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar meminati bidang tersebut. Semua warga sekolah perlu dilibatkan termasuk menetapkan suatu sasaran atau KPI yang perlu dicapai. Ke arah itu maka peruntukan kewangan yang mencukupi hendaklah disediakan bagi membeli peralatan pengajaran terkini dan membanyakkan kemudahan bahan bacaan di perpustakaan.

Ibu bapa turut berperanan bagi menggalakkan anak mereka meminati mata pelajaran Sains dan Matematik. Ini boleh dilakukan melalui tunjuk ajar dan bimbingan secara berterusan. Aktiviti seperti membawa anak ke pameran peralatan ICT, pemotoran dan peralatan elektronik dapat membuka minda mereka kepada ciptaan terbaru. Selain itu, penyediaan bahan bacaan di rumah seperti majalah, buku bergambar atau biografi tokoh-tokoh tertentu boleh mencetus dan meningkatkan minat kepada bidang tersebut.

Tawaran biasiswa dan hadiah pelajaran perlu diutamakan kepada siswa bidang sains, teknologi atau teknikal. Ini merupakan motivasi yang kuat kepada pelajar sekolah untuk mengikuti aliran berkenaan. Keistimewaan ini merupakan pengiktirafan dan akan menjadi kebanggaan kepada mereka jika dibandingkan dengan rakan lain dalam aliran sastera atau sains sosial.

Struktur tangga gaji yang lebih berdaya saing bagi penjawat yang berkhidmat di sektor awam atau swasta perlu diberi pertimbangan. Ketika ini tiada perbezaan yang ketara pendapatan mereka yang berkelulusan sains dan sastera.

Malah nampaknya kedudukan jawatan tertinggi seperti Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah atau Pengurus Besar kebanyakannya dimonopoli oleh pegawai berlatar belakang aliran sastera. Keadaan ini boleh mematahkan semangat dan rasa terpinggir bagi mereka daripada aliran sains yang telah bertungkus lumus untuk menggenggam sekeping ijazah.

Pelaksanaan secara komprehensif 15 daripada 61 perakuan yang dikemukakan melalui 'Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknologi: Sastera' diharapkan membuahkan hasil. Justeru lebih ramai pelajar akan dapat mengisi bidang kritikal itu di institusi pengajian tinggi di suatu ketika nanti.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 8 Januari 2013

ISU PERKHIDMATAN AWAM : 7 fokus untuk berjaya


Oleh : Zanariah Abd Mutalib
    
Putrajaya : Penjawat awam diminta memberi tumpuan kepada tujuh keutamaan bagi memastikan Bajet 2013 dilaksanakan dengan cekap dan lancar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata walaupun negara mengecapi pelbagai kejayaan membanggakan dan diiktiraf dunia, penjawat awam tidak boleh leka atau rasa selesa, malah perlu melipat ganda usaha menjadikan tahun ini lebih berjaya dan cemerlang.

Beliau berkata, ini selaras hala tuju agenda transformasi negara yang harus memberi kesan dan kepuasan kepada rakyat serta menepati tema bajet iaitu. Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati.

Tujuh tumpuan utama itu ialah;
  • Memastikan perpaduan dan jati diri nasional diperkukuhkan.
  • Melaksanakan Bajet 2013 dengan lancar mengikut jadual.
  • Agenda GTP beri kesan dan kepuasan kepada rakyat selain suntikan pertumbuhan ekonomi negara.
  • Penambahan hasil kekayaan negara diagih secara adil dan saksama kepada rakyat.
  • Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dilaksana sepenuhnya.
  • Perkhidmatan cepat, tepat dan berintegriti selain pemikiran kreatif lagi inovatif.
  • KPI menteri dan kementerian perlu dicapai sepenuhnya.


Najib berkata, aspek pertama yang perlu dipenuhi penjawat awam ialah memastikan perpaduan dan jati diri nasional terus diperkukuh berpaksikan gagasan 1Malaysia supaya setiap rakyat percaya kerajaan sedia ada adil, saksama dan bersifat inklusif.

Segala ketetapan dalam Bajet 2013 harus dilaksanakan mengikut jadual seperti bantuan persekolahan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) supaya semua perancangan lancar serta berkesan.

Agenda transformasi negara dimulakan berdasarkan GTP (Program Transformasi Kerajaan), melalui NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara), ETP (Program Transformasi Ekonomi), EPP (Projek Permulaan) dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) serta semua berkaitan agenda transformasi nasional mesti kita beri tumpuan sepanjang 2013.

Agenda terbabit terbukti berjaya, memberi kesan dan kepuasan kepada rakyat serta memberi suntikan besar kepada pertumbuhan ekonomi, katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Beliau berkata, pertumbuhan baik ekonomi negara yang berterusan menuntut kepada pengurusan yang baik supaya pengagihan kekayaan kepada rakyat dapat dijamin berasaskan keadilan sosial.

Beliau berkata, program yang diputuskan di bawah NBOS seperti 1Malaysia For Youth (1M4U), Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pelbagai program membabitkan kepentingan rakyat hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.

Tahun ini, banyak inisiatif baru akan kita lancarkan termasuk Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) yang akan dibentangkan secara muktamad dan ini juga akan memberi kesan besar kepada negara kita dari segi pembangunan modal insan, katanya.

Beliau berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi semua menteri dan kementerian perlu dicapai sepenuhnya selain penjawat awam mesti meneruskan usaha penambahbaikan berdasarkan tiga aspek iaitu perkhidmatan yang cepat, tepat dan berintegriti selain berfikiran kreatif, inovatif dan menekankan produktiviti.

Sumber : http : //www.bharian.com.my                          

Isnin, 7 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Tandas sekolah diberi penarafan


 Oleh : NORIZAN ABDUL MUHID

Mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah dalam usaha mengamalkan budaya tandas sekolah bersih terutama kepada golongan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha itu bakal digerakkan melalui penyebaran poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas  termasuk buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah di semua sekolah bermula bulan ini.

"Usaha berkenaan bagi mempergiat amalan menjaga kebersihan dalam kalangan murid dan diharapkan melalui golongan ini, amalan itu dapat diperhebatkan kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, baru-baru ini.

Selain itu, beliau memberitahu, tahap kebersihan kantin dan dapur sekolah di seluruh negara semakin baik apabila 98.8 peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati bersih dengan markah 70 peratus ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah yang dijalankan pada tahun 2012.

''Kementerian mempunyai senarai kantin dan dapur sekolah yang menerima markah bawah 70 peratus dan mereka ini diberi perhatian khusus seperti pemeriksaan akan dibuat pada bila-bila masa supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan," katanya.

Beliau turut menegaskan, mana-mana kantin yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan pihaknya akan mengenakan tindakan tegas seperti premis mereka disita serta merta.

Pada masa yang sama, katanya, pada tahun lalu, sebanyak 12 kantin sekolah dan lapan dapur asrama ditutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Kata Ka Siong, antara aspek yang diambil kira dalam pemeriksaan itu termasuk tahap kebersihan pengendali, penyimpanan bahan mentah dan masakan, kebersihan premis serta kawalan serangga seperti lipas dan tikus.

Beliau berkata, selain menyediakan garis panduan mengenai jenis makanan yang tidak boleh atau tidak digalakkan dijual di sekolah, kementerian turut menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemakanan golongan itu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tiba masanya pencapaian pelajar lelaki meningkat


Oleh : Ruhaiza Rusmin

JURANG dominasi pencapaian akademik yang ketara antara pelajar lelaki dan perempuan bukan isu yang boleh dipertikaikan.

Namun, kebimbangan pelbagai pihak mengenai jurang sedia ada perlu diberi perhatian demi memastikan proses kelangsungan pendidikan antara dua gender itu dapat diimbangi dengan baik.

Penguasaan pelajar perempuan dalam pencapaian akademik yang sentiasa cemerlang bagai memberi isyarat bahawa pencapaian pelajar lelaki mesti diperbaiki jika tidak mahu terus ketinggalan.

Biarpun sistem pendidikan yang diguna pakai tiada bezanya untuk mengukur kapasiti pencapaian dua gender, mengapa pencapaian pelajar lelaki tetap tidak setara?

Ini menimbulkan persepsi, pelajar lelaki memang mempunyai tahap kepandaian rendah berbanding pelajar perempuan hingga menjadikan mereka ‘populasi’ yang semakin mengecil dalam pencapaian akademik.

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, memang ada perbezaan tahap perkembangan di antara pelajar lelaki dan wanita.

Beliau berkata, biarpun dominasi pencapaian akademik lebih terarah kepada perempuan, akan tiba masanya lonjakan pencapaian pelajar lelaki mengatasi pelajar perempuan.

“Perkara ini tidak mustahil kerana proses pengembangan, cara berfikir dan pendedahan berbeza.

“Pada peringkat awal, kecemerlangan pelajar perempuan agak ketara kerana mereka terdidik dengan sistem pembelajaran berstruktur,” katanya.

Berdasarkan kajian beliau pada 2008, pelajar perempuan secara biologikal memang mempunyai potensi menyerlahkan kematangan pada usia tertentu biarpun di sekolah rendah.

Kematangan pelajar perempuan, katanya, boleh dilihat apabila mereka sangat teliti sewaktu membuat kerja sekolah, sering membawa buku dan khusyuk di dalam kelas.

“Sebaliknya pelajar lelaki lebih banyak bermain, bergurau senda dengan mengusik kawan dan hanya mampu memberi perhatian pada pelajaran pada 15 minit pertama.

“Perbezaan biologikal ini memang fitrah kerana secara normalnya, perempuan memang cepat matang.

“Tapi kematangan lelaki dalam berfikir boleh menjadi sangat pantas apabila berada pada tahap tertentu. Pada waktu itu, lelaki berfikir menggunakan akal tapi perempuan menggunakan emosi,” katanya.

Katanya, ibu bapa tidak perlu risau jika melihat anak lelaki mereka leka bermain serta liat membaca buku.

“Kemampuan mereka menyerap maklumat, memahami proses pembelajaran dan mengulang kaji tidak sama dengan pelajar perempuan. Tapi mereka tetap boleh fokus,” katanya.

Melalui hasil kajian itu, beliau mendapati masalah ketidakseimbangan pencapaian akademik antara dua gender itu sudah berlaku sejak 1960-an termasuk di negara maju.

“Ini berkait rapat dengan nilai etika dan budaya. Lelaki sering ditafsirkan sebagai golongan yang banyak memikul tanggungjawab dan melihat proses pembelajaran itu lebih bersifat fizikal.

“Perempuan pula melihat proses pembelajaran itu seperti satu seni dan perlu dilakukan atas dasar tanggungjawab.

“Kontra itu menjadikan pelajar lelaki menganggap belajar skopnya sangat meluas bukan sekadar akademik semata-mata sedangkan pelajar perempuan sebaliknya,” katanya.

Di negara maju, katanya mereka turut berdepan dilema ini. Pelajar lelaki banyak yang tercicir dalam akademik tapi akhirnya menjadi insan berjaya.

“Nama-nama seperti Bill Gates tidak cemerlang dalam akademik tapi menggunakan kepandaian lain untuk berjaya.

“Ini juga panduan yang baik supaya ibu bapa tidak terlalu gusar dan tertekan jika anak tidak terarah kepada akademik, sebaliknya subjek berbentuk teknikal,” katanya.

Beliau menyarankan agar ibu bapa memberi sokongan kepada anak lelaki jika mereka menunjukkan kecenderungan dalam subjek tertentu.

“Ada kalanya, ibu bapa mempunyai persepsi buruk jika melihat anak lelaki lebih teruja kepada Internet, sukan, Discovery Channel berbanding membaca buku.

“Biarkan kerana pada masa itu mereka sedang menggunakan kreativiti serta keterujaan untuk memperoleh sumber maklumat yang boleh membantu dalam proses pembelajaran.

“Jangan sekat atau membebel kerana ia akan membantutkan kegigihan mereka untuk belajar. Perlu diingat cara belajar pelajar lelaki dan perempuan berbeza,” katanya.

Malah, kajian itu membuktikan pelajar lelaki lebih berminat kepada aspek teknikal, sains dan matematik tetapi bermasalah dalam subjek Bahasa Melayu dan Inggeris.

Kecenderungan itu, katanya, boleh membawa kepada peningkatan pencapaian tahap berikutnya dan jika diberi dorongan berterusan, mereka boleh berjaya.

“Tapi kecemerlangan itu tidak hanya diukur melalui tahap pencapaian akademik semata-mata.
Mungkin pencapaian akademiknya sederhana tapi kerana ada pengetahuan teknikal, itu satu kelebihan.

“Dan selalunya pelajar lelaki ini, sekali diberi peluang menunjukkan kemahiran atau minat, mereka boleh terus memacu kecemerlangan sama di sekolah atau institusi pengajian tinggi,” katanya.

Ditanya adakah ini menunjukkan pencapaian pelajar wanita hanya pada tahap tertentu, beliau menafikan, sebaliknya menegaskan mereka mampu meneruskan kecemerlangan.

“Buktinya institusi pengajian tinggi negara banyak didominasi pelajar perempuan. Cuma persoalannya, apakah bidang diikuti itu mampu memberi pulangan setimpal sebaik tamat pengajian?

“Tolak tepi penguasaan dalam bidang kritikal seperti perubatan tapi melihat senario pekerjaan hari ini, dominasi tenaga kerja berprestij atau berkemahiran banyak didominasi pelajar lelaki.

“Ini membuktikan sampai tahap tertentu, pelajar lelaki mampu membina kecemerlangan sendiri yang menyamai atau melebihi pelajar wanita.

“Justeru, usah gusar jika pelajar lelaki sering ketinggalan. Percayalah bahawa kebolehan setiap pelajar berbeza dan mereka ada keistimewaan masing-masing,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Ahad, 6 Januari 2013

Terukir Di Bintang


Jika engkau minta intan permata tak mungkin kumampu
Tapi sayangkan kucapai bintang dari langit untukmu
Jika engkau minta satu dunia akan aku cuba
Ku hanya mampu jadi milikmu pastikan kaubahagia

Hati ini bukan milikku lagi
Seribu tahun pun akan kunanti
kan... kamu...

Sayangku jangan kaupersoalkan siapa di hatiku
terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu....

Lagu / Lirik : Yuna (Yunalis Zarai)

Nota hujung :

Lagu ciptaan penyanyi bertaraf antarabangsa iaitu Yunalis Zarai berjudul Terukir Di Bintang dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-27 di Stadium Putra Bukit Jalil, Ahad.

Lagu yang dinyanyikan oleh Aizat Amdan itu telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.

Terukir Di Bintang telah berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain iaitu Lagu (Bedroom Sanctuary), Teman Pengganti (Black dan RJ), Patah Seribu (Shila Amzah), Pelangi Senja (Stacy), Ombak Rindu (Hafiz dan Adira), Tanpamu (Amir Jahari).

Diikuti dengan lagu Andaiku Bercinta Lagi (Mojo), Simetri (Hazama dan Amy Search) dan Anak Kampung (Jimmy Palikat dan One Nation Emcees).

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Melayari 'Facebook' Pada Waktu Pejabat Satu Bentuk Rasuah


MELAKA: Penjawat awam dan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melayari media sosial atau melibatkan diri dalam hal-hal peribadi semasa waktu bekerja boleh dikategorikan sebagai terlibat dengan rasuah komited, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Sebagai contoh, jika seseorang menghabiskan tiga jam untuk tugas-tugas peribadi  semasa beliau ditetapkan waktu bekerja , ia boleh disifatkan satu bentuk rasuah kerana  kerajaan membayar pekerja  supaya  mereka menggunakan sepenuhnya tempoh bekerja  untuk menyelesaikan tugas-tugas yang berkaitan dengan bidang tugas masing-masing, " kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya PSRM  Datuk Sutinah Sutan.

“Ini juga termasuk  mereka yang melayari Facebook atau lain-lain bentuk media sosial, kerana tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai terpesong daripada spesifikasi kerja mereka,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani ikrar integriti korporat oleh Kumpulan Melaka Berhad (KMB) di sebuah hotel di sini semalam.

KMB adalah agensi kerajaan negeri yang pertama menandatangani ikrar yang bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang bebas daripada rasuah dan menegakkan prinsip anti-rasuah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam adalah tetamu kehormat pada majlis itu.

Sutinah berkata perbuatan terlibat dalam tugas-tugas peribadi semasa waktu bekerja boleh dianggap sebagai melanggar kontrak pekerjaan dan pesalah boleh menghadapi tindakan disiplin oleh lembaga tatatertib.

Beliau berkata bahawa walaupun kesalahan itu tidak dilindungi di bawah Akta SPRM, suruhanjaya itu boleh menasihati lembaga tatatertib tentang  jenis tindakan yang dikenakan terhadap kakitangan ingkar.

Sementara itu, Sutinah mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah mula menyaring calon-calon pilihan raya umum berikutan permintaan daripada  kedua-dua Barisan Nasional dan Pembangkang.

Sementara itu, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman menggesa kakitangan awam memberi keutamaan kepada tugas mereka semasa waktu bekerja.

"Walaupun media sosial adalah cara yang baik untuk menggalakkan orang ramai untuk menjadi lebih celik teknologi mengenai hal ehwal semasa, penjawat awam perlu mendedikasikan waktu bekerja kepada jabatan dan kementerian, atau agensi masing-masing ," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar satu mekanisme yang sesuai  ditetapkan untuk menentukan  jenis laman web yang tidak boleh dilayari oleh penjawat awam semasa waktu bekerja yang dianggap terpesong daripada spesifikasi kerja mereka.

"Perlu ada garis panduan yang jelas, bukan hanya untuk pekerja untuk memahami apakah tindakan yang boleh dikenakan, tetapi juga untuk jawatankuasa tatatertib untuk menentukan apa yang ada dalam skop kerja dan apa yang tidak," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Berbahasa sama dari Narathiwat ke Papua New Guinea


Oleh : Zin Mahmud

MULAI Rabu lalu, penduduk-penduduk di selatan Thailand dapat menonton saluran televisyen yang dikendalikan oleh kerajaan dalam bahasa Melayu.

Akhbar The Nation yang melaporkan perkara itu juga menyatakan bahawa penduduk di wilayah selatan iaitu di Pattani, Yala dan Narathiwat telah lama dipaksa mempelajari bahasa Thai yang telah lebih seratus tahun merupakan bahasa rasmi sejak negara itu memodenkan sistem pendidikannya.

Sesiapa yang pernah pergi ke Phuket dan Krabi akan mendapati penduduk Melayu di situ sememangnya seperti orang Melayu di Malaysia. Budaya, termasuk pakaian dan makanan sama saja. Begitu juga dengan rumah dan cara hidup berkampung.

Bezanya mereka berbahasa Thai. Orang Melayu di wilayah itu sudah kehilangan bahasa asal mereka.

Cuma mereka yang dari wilayah timur seperti Narathiwat dan Pattani, bahasa Melayu masih luas digunakan seperti yang dicakapkan di Kelantan. Bukan itu saja, di madrasah-madrasah, kitab Melayu bertulisan jawi juga masih difahami.

Sememangnya semua wilayah-wilayah ini dahulunya adalah sebahagian daripada kerajaan kesultanan Melayu Pattani.

Mereka menjadi sebahagian daripada Thailand apabila kalah perang dan sultan mereka lari ke Kelantan. Sementara negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu terpaksa menghantar bunga emas ke Siam.

Sempadan yang memuktamadkan wilayah Siam berlaku apabila British menguasai Malaya dan Burma melalui Perjanjian Inggeris-Siam.

Siam kemudian dimodenkan. Mereka menukarkan nama Siam menjadi Thailand dengan suatu identiti negara bangsa baru berasaskan kaum Thai. Bahasa Thai adalah bahasa rasmi wajib digunakan oleh semua warga negaranya tidak kira apa keturunannya, sama ada Thai, China, Melayu, Khmer, Mon, Lao dan lain-lain suku kaum.

Namun begitu, sistem tulisan tradisi dikekalkan. Tidak pula Thailand dalam pemodenannya mengambil tulisan rumi seperti Vietnam.

Sementara di Malaya, semasa British, bahasa Melayu dianggap oleh penjajah sebagai bahasa vernakular atau bahasa orang tempatan, seperti mana bahasa China dan Tamil. Hanya Inggeris dianggap bahasa pentadbiran rasmi .

Namun apabila berurusan dengan kaum-kaum berkenaan, maka pentadbir British akan menggunakan bahasa yang difahami mereka. Kepada orang Melayu, maka mereka akan menggunakan bahasa Melayu tulisan jawi. Jika melibatkan ketiga-tiga kaum itu, maka digunakanlah ketiga-tiga bahasa iaitu Melayu, China dan Tamil.

Begitu juga di Hindia Belanda Timur sebelum Indonesia merdeka di mana bahasa Belanda adalah bahasa rasmi dengan bahasa Melayu, Jawa, China dan lain-lain adalah bahasa vernakular.

Namun begitu, ketika mentadbir tanah jajahannya itu, Belanda berasa sukar untuk menggunakan bahasa mereka kerana tidak akan difahami oleh orang tempatan. Akhirnya mereka menggunakan bahasa Melayu kerana ia paling banyak difahami tidak kira apa suku kaumnya. Cumanya Belanda memperkenalkan tulisan rumi bagi bahasa Melayu untuk memudahkan pembelajaran dan kefahaman.

Atas asal-asal inilah kemudian pejuang-pejuang kebangsaan Indonesia mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Indonesia yang akan dipakai oleh keseluruhan wilayah Indonesia dari Aceh hinggalah ke Papua Barat.

Walaupun pada mulanya, tidaklah kesemua wilayah Indonesia yang mengetahui Bahasa Indonesia, tetapi lama kelamaan, ia digunakan di seluruh negara melalui sistem pendidikan nasional.

Melihat apa yang berlaku di Indonesia, maka Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang berpusat di Singapura juga menuntut supaya Malaya yang merdeka hendaklah menjadikan Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.

Dalam memorandumnya, mereka mahu tulisan rumi dan bukannya tulisan jawi. Apabila Malaya merdeka, bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan kebangsaan.

Ketika Malaysia ditubuhkan, bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia yang meliputi juga Singapura, Sarawak dan Sabah. Walaupun ketika itu di Sarawak dan Sabah, bahasa Melayu belum lagi luas penggunaannya.

Apabila Singapura keluar dari Malaysia, bahasa kebangsaannya tetap Melayu. Tetapi sebagai bahasa rasmi, ia adalah salah satu daripada tiga bahasa lain iaitu Inggeris, China dan Tamil.

Brunei yang kemudian mencapai kemerdekaan mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.

Dari segi berbahasa Melayu, Singapura, Brunei dan orang Melayu selatan Thailand mengikut cara Malaysia. Indonesia mempunyai cara berbeza.

Ketika Timor Timur berada dalam Indonesia, Jakarta mengharamkan penggunaan bahasa Portugis. Tetapi pejuang kemerdekaannya menggunakan Portugis sebagai bahasa perjuangan. Apabila merdeka, Timor Leste memilih Portugis dan Tetum sebagai bahasa rasmi. Bahasa Indonesia dan Inggeris dijadikan apa yang dipanggil sebagai bahasa kerja.

Tetapi di Papua New Guinea pula, Bahasa Indonesia banyak digunakan terutama di kawasan berhampiran dengan sempadan wilayah Indonesia, Papua Barat.

Maka ini bermakna bahasa Melayu digunakan dari selatan Thailand hinggalah ke Papua New Guinea. Yang belum termasuk dalam atlas bahasa Melayu ialah Bangsamoro di selatan Filipina.

Mereka ini berwajah seperti orang Melayu dan beragama Islam. Pemimpinnya bersongkok seperti orang Malaysia dan Indonesia. Terdapat 13 bahasa suku kaum Bangsamoro. Tagalog pula bukan bahasa mereka. Maka, bahasa Melayu wajar diperkenalkan untuk perpaduan sesama mereka.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/