Selasa, 22 Januari 2013

ISU SOSIAL : Pindaan Akta SPRM 2009 perkukuh kuasa suruhanjaya


Oleh : Akhbar Satar
 
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mencadangkan agar Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 ditambah baik dan satu seksyen baru diperkenalkan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan rasuah.

Sudah tentu setiap undang-undang yang diperkenalkan ada sedikit sebanyak kelemahan dan  perlu dipinda untuk memperkemaskannya mengikut keadaan semasa. Lazimnya, perasuah   mempunyai fikiran kreatif untuk mendapatkan projek dan akan mencari jalan untuk mengatasi sebarang kelemahan undang-undang atau peraturan sedia ada.

Mengikut kajian Association of Certified Fraud Examiners, dalam masa kurang daripada 15 bulan sesuatu undang undang atau peraturan berjaya diatasi atau dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ada tiga cadangan yang sudah dikemukakan Pengerusi JKMR, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, iaitu menambah baik Seksyen 23 dan Seksyen 26, manakala satu seksyen ditambah bagi memperkemaskan  Akta SPRM 2009 yang sedia ada.

Bersabit dengan Seksyen 23 Akta SPRM yang memperuntukkan bahawa seorang penjawat awam tidak boleh menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk mendapat suapan rasuah, seseorang pengerusi atau ahli dalam sesuatu mesyuarat yang mempunyai kepentingan tidak boleh terbabit dalam membuat keputusan. Pada praktiknya, mereka ini akan meninggalkan bilik mesyuarat supaya ahli lain yang tiada kaitan membuat keputusan tender atau kontrak tetapi kaedah ini tidak memberi kesan yang baik. Kebanyakan keputusan masih memihak kepada orang yang sama. Hal ini kemungkinan besar akan berlaku  kerana ahli mesyuarat bimbang akan masa depan jawatan mereka yang mereka sandang atau mereka membuat pakatan terlebih dulu.

Wujud jawatankuasa khas

Untuk mengatasi kelemahan peruntukan sedia ada disyorkan bahawa apabila situasi demikian berlaku, maka mesyuarat terbabit perlu ditangguhkan dan dirujuk kepada satu jawatankuasa khas yang bebas dan layak membuat keputusan.

Buat masa ini, penulis berpendapat mekanisme ini adalah cara terbaik bagi menangani isu terbabit. Jika sesiapa melakukan kesalahan ini dan disabitkan boleh dipenjara selama tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. Apa yang dirisaukan ialah perasuah akan menggunakan sekutu (proksi) secara berleluasa untuk mendapat kontrak. Penulis yakin kepakaran SPRM mampu mengatasi masalah ini atau jika modus operandi mereka berubah.

JKMR juga mengesyorkan supaya kerajaan meminda peruntukan dalam Seksyen 36 Akta SPRM bagi membolehkan SPRM jika mempunyai maklumat boleh terus menyiasat pemilikan harta seseorang dengan hanya notis pengisytiharan kepada yang disyaki terbabit dengan perlakuan rasuah. Dalam undang-undang sedia ada, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk terus meminta seseorang yang disyaki membuat pengisytiharan tanpa terlebih dulu menjalankan siasatan ke atas kesalahan rasuah. SPRM perlu membuka fail dan menjalankan siasatan di bawah kesalahan kes rasuah barulah SPRM dapat mengeluarkan notis pengisytiharan kepada yang disyaki. Peraturan ini memerlukan yang disyaki menjawab notis itu, sekiranya gagal dia akan turut menerima hukuman.

Bagi seseorang yang dikehendaki mengisytiharkan harta, mereka terikat untuk mendedahkan segala maklumat yang benar dengan memberi kenyataan bersumpah, termasuk menjelaskan bagaimana mereka dapat memiliki harta itu kepada SPRM. Penulis percaya SPRM akan menggunakan penyiasat terbaik, digabungkan dengan pakar undang-undang dan akauntan forensik yang memahami selok-belok sistem dan penipuan kewangan seperti diamalkan Serious Fraud Office (SFO) di United Kingdom.

Diperluaskan kepada sektor swasta

Sehubungan dengan itu, jika seseorang disyaki sama ada gagal mematuhi arahan tidak menghantar notis kepada SPRM atau jika gagal memberi penjelasan yang memuaskan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai lebihan itu, jika lebihan itu dapat dinilai atau RM10,000 mengikut mana  yang lebih tinggi.

Selain itu, satu daripada kelemahan dalam undang-undang sedia ada ialah ketiadaan undang-undang khusus berhubung liabiliti korporat yang boleh menyebabkan syarikat terlepas daripada pendakwaan dan hukuman walaupun rasuah dilakukan kakitangan adalah demi manfaat syarikat.

Justeru, liabiliti korporat ini perlu diperluaskan kepada sektor swasta juga dan tidak terhad kepada penjawat awam. Tanpa liabiliti korporat, hanya individu tertentu dalam syarikat saja menanggung implikasi pendakwaan dan hukuman, sedangkan syarikat tidak terjejas.

Dengan adanya implikasi perundangan dicadangkan, syarikat perniagaan akan lebih peka terhadap keperluan untuk memastikan entiti perniagaan mereka tidak terdedah kepada risiko pendakwaan dan hukuman.

Bagi penulis ia mampu memberi impak besar dalam usaha membasmi rasuah dan penyelewengan jika SPRM mencadangkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya syarikat terbabit dalam rasuah dibatal pendaftarannya.

Penulis berkhidmat di Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Titisan Cinta (Buat Sang Murabbi)


 Siraman tarbiah sang guru,
 Membajai hati-hati yang rosak,
 Meluluhkan hati-hati yang keras,
 Menyinari hati-hati yang malap,
 Menyuburkan hati-hati yang gersang,

Sehingga hati-hati ini bercambah
Kecintaan  kepada-Mu Ya Rabb,

Sehingga hati-hati ini subur
Kecintaan  kepada kekasih-Mu Solallahu ‘Alaihi Wasallam,

Sehingga hati-hati ini yang semalamnya
Semacam tiada harapan sembuh,

Lantas titisan kalam di bibirmu,
Membuat hati-hati ini luruh dalam kesayuan,
Membuat mutiara jernih mengalir di alis mata,

Moga, titisan air mata ini,
Menjadi saksi di hadapan-Mu nanti,
Ya Arhamar Rahimin,Ya Arhamar Rahimin, Ya Arhamar Rahimin…

Sumber : http://jomcintarasulullah.blogspot.com

Nota hujung :
Muarabbi - orang yang mendididik atau membimbing.

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Formula selesai isu gaji maksimum bulan depan


PUTRAJAYA - Kerajaan dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga lima peratus bagi penjawat awam yang sudah mencapai tahap gaji maksimum atau ‘gaji mati’ pada Februari ini, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian teliti bagi menangani masalah penjawat awam yang berprestasi baik dan cemerlang dengan markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.

"Saya tidak mahu melihat penjawat awam yang menjalankan tugas dengan cemerlang tetapi mendapat gaji statik. Ini yang saya mahu atasi.

“JPA sedang memuktamadkan senarai yang ada. Mereka sedang meneliti rekod perkhidmatan. Selalunya akan ada kenaikan biasa gaji, tetapi dalam kes ini kita mahu selesaikan kes mereka yang sudah mencapai tahap statik.

“Kami perlu berbincang dengan Perbendaharaan mengenai implikasi kewangan.

Kerajaan amat positif mengenainya. Mereka faham gaji statik bukannya jawapan kepada penjawat awam yang berprestasi cemerlang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, Ali menyampaikan Amanat 2013 kepada kira-kira 4,000 penjawat awam pelbagai kementerian dan jabatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Majlis yang dilaksanakan menerusi ‘live-streaming’ itu turut boleh disaksikan penjawat awam di seluruh negara.

Dalam amanatnya, Ali menyarankan penjawat awam memainkan peranan dalam sektor luar negeri khususnya untuk memahat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Beliau berkata sektor domestik dan luar negeri adalah sama penting untuk memacu agenda transformasi negara ke arah merealisasikan Wawasan 2020.

“Semua penjawat awam, baik di dalam mahupun di luar negara, perlu terus bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan kecekapan penyampaian, keberkesanan pengurusan dan amalan diplomasi yang proaktif demi mempertahan dan mempromosi kepentingan Malaysia.

“Kita juga perlu sentiasa mengintai atau mencari peluang-peluang baharu dalam mempromosi imej negara, selain juga menerokai pasaran atau pelaburan baharu untuk negara,” katanya.

Selain itu, Ali juga menyarankan penjawat awam agar lebih peka dan responsif dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan kerajaan.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 telah mengumumkan 111 perkara melalui penjanaan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama di semua peringkat, tidak mengira sama ada ketua jabatan, pegawai pengurusan mahupun kumpulan pelaksana, diharapkan dalam memastikan kelangsungan serta kelancaran pelaksanaan keputusan-keputusan tersebut agar matlamatnya tercapai dengan jayanya.

“Sebagai penjawat awam yang prihatin dengan wawasan kerajaan, hendaklah bertindak lebih proaktif untuk memudahkan dan bukan menyusahkan,” katanya.

Pada majlis yang sama, Ali melancarkan buku bertajuk 'Pengamalan Budaya Ketepatan Dalam Gagasan 1Malaysia:Transformasi Ke Arah Pembentukan Negara Maju' dan buku kecil "Gagasan 1Malaysia " dalam lima bahasa. - Bernama

ISU SOSIAL : SPRM Beri Pendedahan Kepada Bakal Guru Langkah Perangi Rasuah


Oleh :  KEMALIA OTHMAN

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memberi pendedahan mengenai jenayah rasuah kepada bakal guru menerusi program Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai langkah awal memerangi rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abu Kassim Mohamed berkata, sekretariat ini merupakan model percubaan SPRM sebelum dikembangkan ke seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS).

"Ia merupakan langkah SPRM membendung amalan ini dari peringkat awal. Kerjasama dengan IPG akan menjadi perintis dalam usaha awal penubuhan sekretariat ini.

"Kita akan adakan program-program di setiap IPG di seluruh negara yang akan dikendalikan oleh SPRM peringkat negeri," katanya selepas Majlis Pelancaran Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pendidikan Guru, di sini, Selasa.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Puad Zarkhashi.

Tambah beliau, SPRM sudah merangka pelbagai program kesedaran untuk dilaksanakan oleh sekretariat tersebut dan bagi tujuan itu SPRM turut memperuntukkan sebanyak RM51,000 sebagai dana permulaan bagi mengerakkan sekretariat ini.

"Kita sudah merancang program-program bersama komuniti masyarakat setempat, penghayatan dan kesedaran tentang budaya rasuah sebagai satu jenayah yang harus diperangi di Malaysia.

"Sebagai dana awal untuk menggerakkan sekretariat ini, SPRM telah menyumbang sebanyak RM3,500 kepada 27 buah IPG di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, program ini merupakan latihan asas kepada semua bakal guru untuk disampaikan kepada pelajar mereka kelak.

"Kita mahu guru-guru terlebih dahulu diberi pendedahan tentang gejala rasuah ini. Ini kerana di sekolah kita tidak ada silibus atau mata pelajaran berkaitan rasuah, jadi adalah penting untuk semua bakal guru disiapkan dengan ilmu berkaitan bahaya rasuah agar mudah untuk diaplikasikan kepada anak murid nanti," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Hargai hasil penyelidikan kita


Oleh : Ruhaiza Rusmin

PENULIS pernah ditanya, adakah penyelidik di negara kita sudah ketandusan idea hingga menjadikan sektor penyelidikan tempatan tampak lesu.

Berita atau laporan mengenai kejayaan penyelidikan tempatan juga kurang dipaparkan di akhbar dan media tempatan.

Malah, bilangan hasil kajian boleh dibilang dengan jari selain kesukaran mahu melihat kejayaan penyelidik tempatan yang mampu ‘menggegar’ dunia tambah memburukkan persepsi.

Lebih pahit untuk ditelan, ada beranggapan hasil penyelidikan tempatan tidak setanding berbanding luar negara malah dilakukan atas dasar melepaskan batuk di tangga selain tiada nilai komersial biarpun yang mengha­silkan berstatus bijak pandai.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, berkata tidak benar penyelidik di negara ini ketandusan idea hingga menyebabkan hasil ciptaan mereka kurang menyerlah atau tidak mampu dikomersialkan.


Beliau berkata, kekurangan penghasilan ciptaan atau kajian itu disebabkan kekangan tertentu menyebabkan jumlah penghasilan tidak mencapai sasaran.

“Jika ada pihak cuba mempertikaikan kewibawaan penyelidik ini dengan mengatakan mereka tidak produktif, saya kurang bersetuju.

“Isunya bukan tiada idea, cuma kekangan tertentu, memberi kesan terhadap kuantiti penghasilan itu.

“Ini menjadikan masyarakat seperti tidak nampak apa yang dihasilkan barisan penyelidik tempatan,” katanya.

Potensi pengkomersialan hasil penyelidikan adalah besar memandangkan negara ini hanya mengkomersialkan 3.5 peratus hasil penyelidikan berbanding purata 10 peratus di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, menjadi tugas hakiki penyelidik mencambah idea baru sebagai satu sumbangan kepada masyarakat selain proses pengembangan ilmu sebagai pemangkin penyelidikan.

“Mereka tidak boleh lari daripada sentiasa berfikir bagaimana mahu menghasilkan kajian demi kajian. Idea serta kemahuan memang ada kerana mempunyai jiwa penyelidik.

“Setiap masa, mereka akan bertanya soalan demi soalan untuk mencari jawapan selain mahu menjadikan idea itu realiti.

“Tapi, mereka juga tidak dapat menolak faktor halangan bagi merealisasikan idea itu. Berapa ramai yang faham situasi ini biarpun potensi untuk pengkomersialan tetap wujud,” katanya.

Antara kekangan utama ialah penawaran bantuan kewangan yang terbatas, masa dan kurang mendapat sokongan industri secara menyeluruh.

“Penyelidikan adalah proses yang perlu dilakukan secara berterusan dan memerlukan dana kewangan banyak.

“Bagaimanapun, bantuan ditawarkan selalunya rendah daripada nilai diminta menjadikan penyelidikan bertambah terhad dan hanya menjurus pada bidang tertentu yang boleh memberi pulangan setimpal.

“Biarpun ramai penyelidik ingin berkongsi hasil idea atau kajian, mereka terpaksa mengorbankan keinginan itu kerana faktor halangan dan kesannya, kuantiti kajian juga jatuh,” katanya.

Mengakui setiap aspek ada cabaran tersendiri, beliau bagaimanapun kurang selesa apabila masyarakat terus mempertikai, mempersoal dan melemparkan tanggapan rendah terhadap penyelidik tempatan.

“Bidang penyelidikan besar kepentingannya dalam meninggikan taraf kehidupan manusia. Tapi, masyarakat juga perlu menerima hakikat bahawa penyelidikan adalah proses berasaskan gabungan semua aspek seperti dana, masa, ilmu, paten, kajian dan uji kaji.

“Banyak frasa kajian atau ujian yang kompleks perlu dilakukan sebelum hasil kajian itu diperkenalkan supaya ia menepati piawaian, memberi impak paling maksimum selain tidak memudaratkan.

“Aspek ini perlu difahami dan sangat meletihkan. Malangnya tidak semua mahu bersabar, terutama jika permintaan itu datangnya daripada industri yang terlalu mementingkan keuntungan.

“Hasil penyelidikan tidak tercipta dengan sekelip mata,” katanya menegaskan manipulasi fakta menyebabkan penyelidik terus berada dalam dilema.

Katanya, dilema pe­nyelidik juga sangat berbahaya. Bayangkan, jika mereka ‘mogok’ tidak mahu melakukan kajian lagi, apa akan jadi.

“Kita mungkin boleh mendabik dada untuk beralih pada kajian penyelidik luar tapi berapa lama? Adakah hasil kajian itu boleh membantu melonjakkan nilai produk tempatan.

“Semuanya perlu diambil kira. Kita jangan terlalu mengkritik atau pandang rendah pada hasil penyelidikan tempatan kerana sumbangannya tetap ada,” katanya.

Begitupun, golongan penyelidik di negara ini bernasib baik kerana masih mendapat sokongan padu industri secara keseluruhannya.

Malah, dengan skop pasaran tempatan yang agak terhad, industri masih menaruh kepercayaan terhadap kemampuan penyelidik tempatan terutama dalam mempertingkatkan hasil pe­nyelidikan dalam bidang pertanian, industri dan teknologi.

“Sokongan industri yang sangat memahami menjadi penawar kepada penyelidik biarpun nilai pasaran tidak besar.

“Tapi, kita juga tidak boleh terus bergantung pada pasaran ini dan perlu meneroka pengkomersialan di peringkat antarabangsa bagi meletak nilai penyelidik dan hasil kajian bertaraf global.

“Dengan ini ia menangkis tanggapan buruk masyarakat bahawa pe­nyelidik dan hasil pe­nyelidikan tempatan tidak mampu bersaing,” kata­nya.

Berdasarkan laporan kaji selidik beberapa agensi, bilangan penyelidik, saintis dan jurutera kita (termasuk daripada kalangan industri) sekitar 30 orang bagi setiap 10,000 tenaga kerja berbanding Jepun (131.5 orang), Kesatuan Eropah (99.6 orang), Korea Selatan (89.5 orang) dan Singapura (111.3 orang).

Indeks Keupayaan Inovasi dalam laporan dikeluarkan United Nations Conference on Trade and Development (Unctad) pada 2008 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-60 dan tergolong dalam kategori sederhana berbanding negara Asia lain seperti Jepun (ke-11), Korea Selatan (20), Singapura (30) dan Thailand (54).

Laporan daya saing global 2009 oleh Harvard dan Forum Ekonomi Dunia meletakkan Malaysia di tangga ke-23 di dunia.

Penyelidikan, kata­nya, bukan hanya terhad kepada kajian institusi pengajian tinggi saja malah agensi lain turut melakukan penyelidikan mengikut kepakaran bidang masing-masing.

“Dunia penyelidikan memerlukan sokongan pelbagai arah serta tidak boleh dilakukan secara individu,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar masyarakat menukar mentaliti dan tidak terlalu mengagungkan kejayaan penyelidik luar kerana boleh membantutkan usaha kerajaan melahirkan penyelidik berkelas dunia.

“Sesiapapun tidak menafikan, penyelidik luar lebih berkepakaran dan hasil kajian menjadi bahan rujukan seluruh dunia.

“Tapi tidak bermakna penyelidik kita tidak berkualiti malah banyak hasil kepakaran dan kajian kita mendapat pengiktirafan.

“Sesungguhnya, kita perlu berterima kasih pada kegigihan mereka. Tanpa sumbangan dunia penyelidikan tempatan, kita tidak mungkin boleh mengecapi kemakmuran seperti hari ini,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Isnin, 21 Januari 2013

ISU BAHASA : Globalisasikan sastera Islam kontemporari


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Sejak kemunculan sastera Melayu moden, sebahagian besar penulis yang menghasilkan pelbagai genre sasteranya, baik secara langsung mahupun tidak langsung, meniupkan semangat Islami dalam karya mereka. Memang ada segelintir penulis Melayu yang menghasilkan karya tidak Islamik, umpamanya novel berkecenderungan pornografik atau erotik, tetapi gejala ini tidak melunturkan hakikat kesedaran kebanyakan pengarang kita akan sastera Islami.

Pengarang Melayu berkecenderungan untuk membangunkan dunia fizikal dan mental melalui karya mereka. Di dalam cerpen, drama atau novel pengarang memilih watak tertentu mewakili pandangan serta sikapnya. Hal ini tidaklah asing kerana pengarang Melayu yang beragama Islam menyedari mengenai falsafah agamanya yang sering menyeru ke arah peningkatan kebaikan.

Seruan ke arah kebaikan disebar melalui al-Quran, umpamanya dalam Surah Ali Imran (3:104) bermaksud: Hendaklah ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan makruf (yang baik-baik) dan melarang daripada yang mungkar dan mereka itulah yang menang.

Kandungan yang baik, bernilai murni, serta mempunyai tingkat kemanusiaan yang tinggi dalam karya sastera harus disebarkan dengan meluas. Nilai murni serta dimensi positif kemanusiaan harus dikongsi dengan sebanyak mungkin manusia. Dengan cara itu karya seni dapat meningkatkan aspek estetika dalam diri manusia, di samping membentuk persefahaman yang merentas geografi, warna kulit, kebudayaan dan kepercayaan.

Islamofobia Barat

Zaman karya sastera Islami hanya beredar dalam wilayah penduduk Islam sudah berlalu. Kita melihat bagaimana syair Hamzah Fansuri berlegar di Nusantara. Kita sudah melihat bagaimana novel Hamka beredar di dunia Melayu. Apa yang kita lihat itu adalah realiti pada suatu zaman tertentu, yang tidak relevan lagi buat masa kini.

Selepas peristiwa 11 September, Islam dan penganutnya semakin dipandang serong, ditakuti dan dicurigai terutamanya Eropah. Walau apa jua pendapat atau teori konspirasi Peristiwa 11 September, gejala Islamofobia adalah sebahagian daripada sejarah yang sedang berlaku di Barat.

Sebagai orang Islam dan sasterawan Melayu-Islam kita akan berkata bahawa Islamofobia Barat adalah suatu kekeliruan dan tidak seharusnya menghantui hidup mereka. Sebilangan sasterawan menzahirkan idea ini melalui karya kreatif mereka, seperti umpamanya yang dilakukan SM Zakir dan pengarang muda Pelita di Dalam Kaca atau nama sebenarnya, Kamaludin Endol yang muncul dengan kejutan apabila novelnya Baldatun Thoiyyibatun memenangi Hadiah Sastera Perdana 2011.

Sukar tembusi pasaran global

Tetapi karya seperti ini, yang cuba mengangkat kembali tamadun Islam melalui akal budi, hujah serta tindakan rasional protagonisnya, bukan mudah untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Benar bahawa karya terbabit wajar dibaca oleh khalayak tempatan dulu, namun kerana kualiti olahan dan pemikiran di dalamnya, kenapa ia sukar untuk menembusi pasaran global?

Islamofobia yang menebal akan menjauhkan sebilangan penerbit dan sebahagian khalayak pembaca, terutama di Barat, daripada karya Islami yang merekayasa naratif pasca 11 September. Sebahagian mereka lebih cenderung kepada novel pascamodenisme, historisisme baru, yang berunsur realisme magis serta membaurkan unsur pengintipan, jenayah dan seks. Mereka lebih memandang sastera dari Amerika Latin, China, Jepun dan Eropah sendiri berbanding sastera Islam.

Kecenderungan di atas menyebabkan penerbit luar negara begitu berhati-hati memilih karya sastera Islam daripada penulis tanah air. Peranan penerbit luar negara adalah penting, jika kita ingin melihat karya sastera kita dicetak dan dipasarkan pada peringkat antarabangsa. Mereka lebih cenderung memilih karya dengan tema budaya, berbanding tema Islami sebagai sebuah agama dan yang berkecenderungan ideologikal.

Beri alternatif terbaik

Sungguhpun kita berdepan kendala ini, usaha mengetengahkan karya Islami yang bermutu melalui penterjemahan dan penerbitan di luar negara wajar diteruskan. Kita mesti bersangka baik bahawa tidak semua khalayak pembaca Barat dihantui Islamofobia atau tidak menyukai sastera Islam.

Khalayak pembaca Barat pernah menyukai puisi-puisi Omar Khayyam, Muhammad Iqbal, Ibn Arabi, Mawlana Jalaludin Rumi dan sebagainya. Mudah-mudahan jendela sastera mereka yang sudah terbuka itu, beransur-ansur akan dapat menerima masuk karya Islami yang lebih bersifat pemikiran kontemporari dan ideologikal.

Akhirnya kita juga mungkin boleh bertanya kepada pertubuhan Islam antarabangsa seperti OIC atau nadwah persuratan Islam antarabangsa, apakah program serta aktiviti mereka untuk mengetengahkan sastera Islam kontemporari karangan penulis Islam seluruh dunia Islam kepada khalayak pembaca seluruh dunia? Kita harus bersama-sama memberi alternatif terbaik kepada sastera dunia terbaik bukan saja pada aspek tekniknya, tetapi yang lebih penting, pemikiran serta tujuan murninya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Bertuah jadi umat Muhammad SAW


Oleh : HASAN AL-BANNA MOHAMED

SABAN tahun, menjelang Rabiulawal, umat Islam seluruh dunia akan tersemat dalam kotak minda masing-masing dengan satu peristiwa terbesar berlaku di atas muka bumi ini. Peristiwa tersebut telah membawa keamanan sejagat buat semua makhluk, ia itu kelahiran junjungan besar Muhammad SAW yang tercinta.

Perutusan Baginda SAW hakikatnya telah membawa kerahmatan dan manfaat kepada semua manusia, haiwan, jin dan para malaikat.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat seluruh alam".

Justeru, kita yang mengakui umat Baginda SAW mestinya sentiasa mengucapkan selawat dan salam buat Baginda SAW dengan berazam untuk menuruti setiap Sunnahnya dalam kehidupan seharian kita. Hal ini kerana Bagindalah makhluk dan insan yang paling agung pernah diciptakan ALLAH SWT.

Kita percaya seyakinnya tindakan dan pertuturan yang ditunjukkan Baginda SAW pasti mendatangkan manfaat besar kepada manusia seluruhnya.

Hal ini demikian kerana setiap apa yang dikeluarkan daripada Nabi Muhammad SAW tidak lain dan tidak bukan merupakan wahyu ILAHI semata sebagaimana maksud Surah an-Najm, ayat 4: "Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya". Namun menjadi realitinya, Sunnah Rasulullah SAW dianggap remeh dan dipandang sepi oleh segelintir umat Islam dewasa kini. Ada yang menganggap ia sebagai suatu perkara biasa sahaja yang dilakukan oleh seseorang manusia dan tiada bezanya dengan amalan-amalan lain. Ada yang malu meniru amalan Sunnah Baginda SAW.

Mungkin ada juga segelintir yang leka dengan kesibukan hedonisme dan materialistik duniawi sehinggakan sanggup menjadikan manusia lain sebagai idola kehidupan.

Sebagai contohnya, seseorang yang menjadikan individu tertentu yang jelas terpesong akhlak dan budi pekertinya seperti berpakaian tidak menutup aurat, bertutur dengan bahasa yang kesat, menghina sesama sendiri, suka menabur fitnah yang tidak bernoktah, mengamalkan pergaulan bebas lelaki perempuan bukan muhrim, terjebak dengan gejala negatif serta perkara memabukkan, terpengaruh dengan budaya Barat yang kuning dan hitam serta pelbagai lagi kebejatan sosial pada akhir zaman ini.

Maka kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita  perlu menuruti apa yang diungkapkan oleh Baginda melalui hadis sahih dalam Sunan Ibnu Majah yang bermaksud: "Hendaklah kamu beramal dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin al-Mahdiyyin".

Menjadi persoalan sekarang, adakah kita umat akhir zaman ini mengenali susuk tubuh, tingkah laku, perkataan, perbuatan dan sifat-sifat Baginda dengan sebaik mungkin? Adakah nanti pada hari akhirat kelak dapat kita mencari individu teristimewa, iaitu Nabi Muhammad SAW dengan mudah dan cepat?

Bagaimana kita hendak mengecamnya jika di dunia ini pun kita tidak mengambil endah dan peduli dengan Sunnah Rasulullah SAW? Mudah bagi kita untuk menghafaz lirik lagu ‘Gangnam Style’ daripada membasahi lidah kita dengan lafaz selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, ada yang menghina Baginda SAW melalui lukisan, tulisan, cemuhan, kata-kata nista serta yang paling menyayat hati adalah tidak mengikuti perintah ALLAH SWT dan rasul-Nya dengan sikap sambil lewa sahaja.

Justeru, bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada awal tahun ini, marilah kita memperbaharui niat kita sekali lagi dengan berazam bersungguh-sungguh untuk membudayakan Sunnah dan amalan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

Ikutan Sunnah sebegini mampu dijadikan titik tolak perubahan kepada maklum balas wasiat terakhir Baginda SAW pada saat-saat kewafatannya yang mengungkapkan lafaz: ‘Ummati..Ummati..Ummati’. Sedarilah betapa kasih sayang Baginda SAW terhadap umatnya bukanlah terhenti setakat itu sahaja, pada hari akhirat kelak dianugerahkan syafaat Baginda untuk masuk ke syurga nanti. Oh! Alangkah beruntungnya menjadi umat Nabi Muhammad SAW.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/