Ahad, 3 Februari 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : 1Dream 2U Realisasikan Impian Pelajar Ke Universiti


TEMERLOH : Kementerian Pengajian Tinggi menganjurkan program 1Dream 2U di sekolah menengah seluruh negara pada tahun ini bagi merealisasikan impian pelajar ke universiti tempatan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata program turun padang dengan kerjasama Unit Pusat Universiti (UPU) dan Jabatan Pendidikan Negeri itu bertujuan membantu pelajar memilih kursus pengajian pilihan mereka di universiti kelak.
Program 1Dream 2U menyasarkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam Atas yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.
Katanya program itu dilaksanakan berikutan ramai lepasan SPM dan STPM yang gagal meneruskan pengajian dan impian mereka ke universiti kerana kesilapan memilih kursus.
"Calon berkenaan mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk kursus tertentu, tetapi pilihan yang kurang tepat menyebabkan mereka gagal bersaing dan mendapat tempat di universiti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program 1Dream 2U: Impian Ke Menara Ilmu bagi daerah Temerloh di sini, Ahad.
Saifuddin berkata pegawai UPU dengan kerjasama pegawai Pelajaran Daerah dan guru akan menjelajah ke semua sekolah menengah bagi memberi taklimat terperinci berkaitan pemilihan kursus yang sesuai dengan kelulusan dan minat calon.
Program 1Dream 2U bagi peringkat Parlimen Temerloh akan bermula Selasa ini di Sekolah Menengah Abu Bakar Temerloh dan berakhir di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh pada 26 Februari. - BERNAMA

INDAHNYA BUDI


Tidaklah terlukis akan indahnya
walau pena bertatah permata
dengan minda yang sempurna
budi tetap tiada tandingnya.

Cahaya budi tetaplah terang
bagai benih subur di ladang
menabur jasa setiap ruang
ketika damai ataupun perang.

Insan berbudi hatinya mulia
tidak mengira segala bangsa
rela menolong kepada sesiapa
jujur dan ikhlas bagai pelita.

Berhati mulia bersifat amanah
telus jiwanya seperti beribadah
tidak mengeluh bakti dicurah
tidak pula memohon anugerah.

Setiap dilakukan kerana Allah
imannya teguh hasratnya indah
sempurnalah ia sebagai hidayah
segala bakti redha dan pasrah.

Berbudi olehmu wahai sahabat
jadikan berbudi sebagai ibadat
hatimmu hatinya akan terikat
dengan jalinan hidup sepakat.

AHMAD SARJU

3 FEBRUARI 2013

Sabtu, 2 Februari 2013

AMANAT 2013 MENTERI PENGAJIAN TINGGI : Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia


1. Pertamanya, sukalah saya menzahirkan rasa penuh kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah, kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama di majlis Amanat Tahun Baharu 2013 pagi ini. Amanat tahun baharu ini telah menjadi satu acara tahunan kementerian di mana kita berpeluang bukan sahaja menghimpunkan satu keluarga besar yang mempunyai persamaan menggalas amanah membangunkan sektor pengajian tinggi negara, tetapi membolehkan kita mendapat gambaran hala tuju sektor ini bagi tahun 2013 yang sewajarnya menjadi panduan dan rujukan oleh semua pihak.

Pada masa yang sama, peluang ini diharap dapat menjelaskan kepada masyarakat dan semua pemegang taruh, apakah perancangan perkembangan haluan sektor pengajian tinggi negara khususnya dalam menjayakan hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

2. Amanat saya pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada sumbangan pengajian tinggi dalam memacu daya saing Malaysia. Hal ini penting kerana pengajian tinggi bertujuan bukan sahaja memenuhi tuntutan dan kepentingan dalaman negara semata-mata, tetapi menentukan apakah Malaysia mampu mengekalkan daya saingnya dalam pentas global.

Saya percaya, daya saing Malaysia dan kelestariannya amat bergantung kepada sejauh manakah negara menjayakan kemampuannya menggerakkan ekonomi berinovasi, memantapkan sistem pengajian tinggi, menjamin Institusi   Pengajian Tinggi yang berkualiti, membangunkan mahasiswa IPT sebagai bakat negara dan mengoptimakan peranan pengajian tinggi di peringkat global. Dan inilah asas dalam peranan sektor pengajian tinggi yang akan menentukan daya saing Malaysia masa kini dan akan datang.

3. Seperti kita sedia maklum, cabaran dan perubahan lanskap pengajian tinggi amatlah dinamik dan perlu ditangani dengan bijaksana. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat timbulnya keprihatinan yang lebih tinggi orang ramai akan kepentingan pengajian tinggi untuk pengukuhan ekonomi, pengembangan sosio-budaya dan pembangunan masa depan masyarakat, yang pada asasnya bermula dari penguasaan ilmu seseorang individu.

Dalam era perkembangan ilmu yang pesat, penghasilan inovasi serta tahap interaksi pada peringkat global yang tinggi, kita perlu memikirkan bagaimana sistem pengajian tinggi dapat meningkatkan kapasiti rakyat negara ini, agar menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara sekaligus memantapkan tahap persaingan global Malaysia.

4. Lebih penting, fungsi baharu institusi pengajian tinggi dalam merakyatkan ilmu memerlukan perubahan paradigma yang akan memberi kesan kepada cara kita berfikir, mengatur strategi dan beroperasi. Justeru itu, fungsi baharu ini juga perlu diintegrasikan dengan fungsi asas pengajian tinggi iaitu pencarian ilmu dan meningkatkan tahap intelek rakyat serta juga perlu mengambil kira akan transformasi dasar pendidikan pada peringkat pra-sekolah dan sekolah serta dasar-dasar lain yang berkaitan.

Kesemua cabaran ini mendorong kementerian untuk menilai semula pelan, polisi dan perancangan pengajian tinggi yang sedia ada terutama kerelevanan teras utama dan Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

5. Sehubungan dengan itu, suka saya maklumkan bahawa PSPTN yang dilancarkan pada tahun 2007 akan dikaji semula. Ini bertujuan menambah baik dan menyusun mengikut keperluan semasa dan akan datang melalui inisiatif baharu yang berimpak tinggi, keberhasilan yang lebih jelas, berupaya dilaksanakan secara bijaksana sehingga mampu melonjakkan lagi pengajian tinggi negara ke tahap kegemilangan.

Kajian PSPTN ini akan bermula bulan ini dan dijangka selesai bulan September akan datang dan hasil kajian boleh dilaksanakan mulai tahun 2014. Insya- Allah.

PERTAMA: MEREKAYASA PERANAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

6. Apabila masyarakat menyatakan 'Universiti sebagai Gedung Ilmu', ia mempunyai pengertian yang mendalam. Universiti bukan sekadar pusat pengajian tinggi atau menara gading, tetapi adalah institusi pencinta ilmu atau menara ilmu, tempat di mana pengetahuan dikumpul dan yang baharu diterokai, disampaikan kepada pelajar, dan dipindahkan kepada masyarakat.

Di universitilah, cendekiawan (scholar) daripada pelbagai bidang berkumpul dan sentiasa mengabdikan diri kepada ilmu dan mereka menjadikan ilmu sebagai pegangan untuk membawa masyarakatnya maju ke hadapan.

7. Negara tidak mampu menampung Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak relevan. Sehubungan dengan itu, IPT perlu berganjak daripada paradigma menara gading ke menara ilmu. Universiti tempatan mesti melakukan perubahan atau transformasi sesuai dengan peredaran zaman dan kehendak semasa agar tidak terkebelakang dan terperangkap dalam corak pemikiran yang sama dan kaku.

Bagi mencapai tujuan ini, IPT perlu keluar daripada tradisi lama yang hanya memberi perhatian kepada pengajaran dan penyelidikan dengan juga memberi penekanan kepada kepentingan Polisi Awam selari dengan peranan ketiganya iaitu perkhidmatan untuk masyarakat. Pendekatan yang memperlihatkan peralihan set minda dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’ ini akan membawa banyak manfaat khususnya menyokong usaha IPT dalam mentransformasikan komuniti.

8. Dalam hal ini, setiap universiti diminta untuk mewujudkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti atau University Community Transformation Centre (UCTCs) berasaskan nic masing-masing dengan menggerakkan sumber intelektual dan infrastruktur fizikal universiti untuk mentransformasikan komuniti.

Pendekatan yang menggunakan strategi Lautan Biru ini akan mengoptimakan kewujudan IPTA dan prasarananya dalam pembangunan komuniti yang inovatif. Ini dapat dilakukan dengan menghubungkan tenaga akademik dan mahasiswa dengan komuniti dalam konteks mewujudkan kursus-kursus praktikal yang boleh menangani persoalan komuniti setempat, mempromosi keusahawanan, menghubungkan UCTC dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), membenarkan penggunaan prasarana universiti oleh komuniti dan penyelidikan pembelajaran sepanjang hayat. Ini akan menjadikan program jalinan atau libatsama komuniti semakin tersusun, kukuh dan memberi impak yang lebih besar.

9. Kementerian mahu menilai setiap program jalinan atau libatsama komuniti berupaya memberi impak dan mempunyai nilai keberhasilan yang tinggi dalam mentransformasikan komuniti. Oleh itu, penilaian perlu dibuat ke atas setiap program jalinan atau libatsama komuniti tersebut.

Dalam hal ini, kementerian telah mengambil inisiatif membangunkan Guide to Assessing APEX Special Project-Community Engagement untuk menilai program jalinan dan libatsama komuniti dalam empat aspek iaitu perancangan, proses, keberhasilan dan impak. Kementerian akan menggunakan instrumen yang mula dilaksanakan di Universiti Sains Malaysia (USM) ini pada semua IPT yang lain bagi mengukur program libatsama komuniti mereka.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEDUA: MENJANA EKONOMI BERINOVASI

10. Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi bergantung kepada usaha menjana ekonomi yang berinovasi. Sebagai hab inovasi negara, IPT mempunyai peranan penting dalam menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan dengan menghasilkan paten, penerbitan berimpak tinggi dan mengeluarkan graduan pascasiswazah. Kita harus melangkah kehadapan menentukan idea-idea baharu dan dinamik yang dapat memperkukuhkan lagi rantaian penyelidikan khususnya dalam aspek pengkomersilan.

11. Sehubungan dengan itu, jentera inovasi semua institusi pengajian tinggi perlulah diperkemaskan lagi. Ini dapat dilakukan antaranya dengan menggalakkan penggabungan harta intelek dari semua IPT bagi menghasilkan produk baharu atau produk nilai tambah. Oleh itu, kementerian sedang menimbang untuk menyediakan platform berpusat dengan membentuk bank harta intelek IPT.

Semua harta intelek yang dihasilkan oleh IPT Malaysia perlu didaftar dalam bank ini. Seterusnya, hos bank ini akan menyediakan medium untuk penyebaran dan perkongsian maklumat tentang harta intelek yang telah didaftarkan. Bank yang dinamakan "Idea Interchange and Connection Bank" (I2C Bank) ini akan dikendalikan secara profesional dalam memperkukuhkan usaha mengalirkan hasil intelek berpotensi ke pasaran global.

12. Bagi memperkukuhkan lagi sumbangan universiti penyelidikan, kementerian menyarankan agar kelima-lima universiti penyelidikan membentuk jaringan kolaborasi yang kukuh iaitu Jaringan Universiti Penyelidikan Malaysia atau Malaysia Research University Network (MRUN) yang akan dipengerusikan secara bergilir antara mereka.

Jaringan ini akan berperanan sebagai sinergi kepada kegiatan penyelidikan dalam mengoptimumkan penggunaan kepakaran dan sumber, menonjolkan MRUN sebagai satu jaringan yang mantap di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, sebagai peneraju dan perintis dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan keusahawanan (RDCE) dan membimbing dan bekerjasama secara kolektif dengan IPT lain dalam dan luar negara, dan dengan industri dalam usaha memupuk dan meningkatkan budaya penyelidikan.

13. Langkah menubuhkan Aeropsace Malaysia Innovation Centre (AMIC) adalah bertepatan sekali dengan aspirasi ini yang memperlihatkan kerjasama dalam bidang aerospace antara IPT diketuai oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penyertaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), industri teknologi tinggi seperti Composites Technology Research Malaysia (CTRM) dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) bersama syarikat teknologi tinggi antarabangsa seperti European Aeronautic Defence and Space Company (AEDS) dan Rolls Royce.

Saya percaya, jaringan MRUN akan membolehkan tumpuan diberikan kepada bidang-bidang utama penyelidikan negara yang lain juga.

14. IPT mempunyai banyak makmal penyelidikan dalam nic yang sama. Contohnya, nic Nanoteknologi mempunyai 16 buah makmal, Bioteknologi 41 buah makmal dan Automatif 84 buah makmal di seluruh negara. Kerjasama makmal penyelidikan merentasi IPT bersama industri adalah perlu jika kita ingin melihat keberhasilan yang berimpak tinggi. Sehubungan dengan itu, kementerian ingin memperkenalkan program Central Lab Management (CLM) atau Makmal Pengurusan Berpusat dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.

Program ini bertujuan memastikan perkongsian teknologi antara makmal penyelidikan IPT bersama industri ke arah memajukan nic strategik yang dikenalpasti seperti Nanoteknologi, Bioteknologi dan Automatif sekaligus membantu kemajuan industri negara khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Kerjasama ini besar ertinya apabila ia bukan sahaja mempereratkan hubungan antara makmal IPT dan industri, tetapi turut membangunkan teknologi tempatan pada masa yang sama.

15. Beberapa tahun terakhir ini, saya telah meminta supaya semua Universiti Komprehensif mencari nic penyelidikan dan inovasi masing-masing sehingga menjadi Universiti Komperhensif Berfokus yang unik dan mempunyai kekuatan tersendiri. Saya gembira melihat telah muncul beberapa Universiti Komperhensif Berfokus seperti yang berfokuskan pengurusan, pendidikan, keusahawanan, pertahanan dan keselamatan, sains kelautan dan sains Islam.

Kini telah tiba masanya kita memberikan tanggungjawab dan kepercayaan kepada Universiti Komperhensif Berfokus untuk menentukan hala tuju, strategi dan pengurusan Penyelidikan dan Inovasi mereka supaya lebih berkesan dan berimpak tinggi. Kementerian akan menyalurkan terus dana penyelidikan dan inovasi kepada universiti ini berasaskan perancangan jangka sederhana (lima tahun) dan keperluan dana penyelidikan secara tahunan.

Sehubungan dengan itu mulai tahun ini, dana khas penyelidikan sebanyak sepuluh juta ringgit disediakan bagi membolehkan Universiti Komprehensif dan Komprehensif Berfokus membangunkan bidang tujahan mereka.

16. Selain itu, bagi meningkatkan lagi kecemerlangan penyelidikan di IPT, satu sistem pengurusan geran-geran penyelidikan secara online akan diperkenal dan dilancarkan hari ini. Sistem yang dilengkapi dengan ciri-ciri laman sosial serta akses kepada bahan-bahan penyelidikan melalui Portal Penyelidikan MyGRANTs akan dapat membantu penyelidik dalam kerja-kerja penyelidikan dengan lebih mudah.

Lebih penting, dengan adanya sistem MyGRANTs ini, kolaborasi antara penyelidik dari pelbagai IPT juga akan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta produk-produk hasil penyelidikan juga akan dapat diakses oleh pihak industri untuk proses pengkomersialan. Ia juga dilengkapi dengan keupayaan untuk membuat analisis kepada data-data penyelidikan bagi membantu pengurusan atasan membuat pemantauan dan keputusan dasar.

17. Kejayaan dalam menjana ekonomi berinovasi turut bergantung kepada jumlah graduan pascasiswazah yang dianggap sebagai modal insan berpengetahuan tinggi. Berdasarkan rekod kementerian pada tahun 2012, jumlah enrolmen pascasiswazah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah seramai 79,633 orang manakala 20,267 orang di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Ini bermakna terdapat jurang yang besar antara IPTA dan IPTS. Justeru itu, saya berharap IPTS khususnya dapat memperkukuhkan lagi program pengajian pascasiswazah mereka dan menambah jumlah pelajar di peringkat tersebut.

18. Dalam hal ini, hala tuju dan pelaksanaan pengajian pascasiswazah perlulah lebih jelas dan tersusun. Sistem sokongan pengurusan pengajian ini mestilah diperkemaskan agar lebih cekap khususnya di universiti baharu. Selain itu, konsep kontinum program pra dan pascasiswazah juga boleh diperkenalkan.

Ini bermakna, pelajar-pelajar prasiswazah yang cemerlang boleh diserap terus ke program pascasiswazah dengan dan melalui kaedah ini, ia boleh meningkatkan kemasukan calon pascasiswazah.

19. Selain itu, kementerian juga akan melaksanakan pelaksanaan audit program pascasiswazah di IPTA. Audit ini mempunyai beberapa tujuan iaitu pertama, memastikan kelayakan Sarjana dan Doktor Falsafah dari IPTA yang telah diluluskan dan dianugerahkan sebelum penubuhan Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) pada 1 November 2007, diakreditasikan oleh MQA seperti mana program yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Kedua, membolehkan semua kelayakan Sarjana dan Doktor Falsafah dari IPTA diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan disenaraikan di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register [MQR]). Ketiga, menyemak dan menilai amalan, dasar dan pencapaian pengendalian program pascaijazah semasa IPTA, menanda aras (benchmark) standard dan kualiti pengendalian program pascasiswazah IPTA dengan amalan terbaik universiti-universiti terkemuka di luar negara. Dan keempat, melaksanakan analisis jurang (gap analysis) dan analisis masalah. Lawatan Audit Program Pascasiswazah IPTA ini dijangka bermula pada awal tahun 2013.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KETIGA: KUALITI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

20. Kualiti adalah jantung kepada kecemerlangan dan kewibawaan Institusi Pengajian Tinggi. Agenda memperkukuhkan kualiti IPT dalam semua aspek meliputi pengurusan institusi, program akademik dan penyelidikan, tenaga akademik, pelajar baharu dan graduan yang dihasilkan akan dipergiatkan. Saya percaya IPT sentiasa memberi perhatian utama kepada soal kualiti dan tidak hanya memberikan tumpuan kepada aspek kuantiti sahaja.

21. Hasil daripada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan aksesibiliti dan ekuiti pengajian tinggi, jumlah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia telah berkembang secara dinamik. Sehingga 30 November tahun lalu, terdapat 37 buah Universiti Swasta; 20 buah Kolej Universiti Swasta, tujuh buah Kampus Cawangan Universiti Luar Negara.

Pada masa ini juga, negara mempunyai 414 buah Kolej Swasta yang aktif menawarkan sijil dan diploma dalam pelbagai bidang. Namun demikian, dalam keghairahan untuk meningkatkan kadar aksesibiliti dan mengurus kepesatan perkembangan sektor pengajian tinggi negara, usaha-usaha pemerkasaan dan peningkatan keupayaan serta kualiti IPTS sedia ada perlu dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.

22. Kementerian berpandangan jumlah IPT di negara telah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi sama ada dari dalam dan luar negara. Walaupun permohonan ke IPT masih tinggi, terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa IPT mengeluarkan graduan melebihi kehendak pasaran. Oleh itu, bilangan IPTS yang ditubuhkan pada ketika ini wajar dikawal untuk memberi fokus kepada usaha memantapkan kualiti dan kelestarian IPT.

23. Dengan ini sukalah saya mengumumkan MORATORIUM (pembekuan) ke atas penubuhan IPTS baharu berstatus universiti, kolej universiti, dan kolej yang akan dilaksanakan bagi tempoh dua tahun bermula 1 Februari 2013. Walau bagaimanapun, pengecualian moratorium diberikan kepada permohonan IPTS yang sedang diproses, IPTS sedia ada yang mohon dinaiktaraf, kampuscawangan luar negara yang mempunyai ranking terbaik dunia dan dibina dalam hab pendidikan.

24. Selaras dengan perkembangan sektor pengajian tinggi negara yang dinamik khususnya pengajian tinggi swasta pada hari ini, kementerian perlu lebih terbuka dalam menyemak semula semua peraturan dan garis panduan semasa agar lebih bersifat holistik. Perkara ini adalah bagi menyokong kepada pelaksanaan dasar liberalisasi pengajian tinggi yang bakal menjadikan sektor pengajian tinggi di Malaysia lebih berdaya saing dan kualitinya setanding dengan negara maju yang lain.

Sehubungan dengan itu, inisiatif semakan semula terhadap peraturan-peraturan dan garis panduan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] akan dilaksanakan dengan pembentukan sebuah Jawatankuasa dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hassan Said, Naib Canselor Taylor University. Jawatankuasa ini akan bermula bulan Februari dan dijangka inisiatif semakan semula ini dapat diselesaikan pada tahun ini juga.

25. Selain itu, kementerian juga akan mengambil tindakan memperkenalkan semakan kelestarian terhadap 10 buah IPTS setiap tahun. Pemilihan IPTS yang disemak kelestariannya akan dibuat berdasarkan aduan-aduan yang diterima oleh orang ramai mengenai perkhidmatan dan prestasi IPTS tersebut atau pemilihan yang dibuatsecara rambang. Langkah ini bertujuan mengenalpasti IPTS-IPTS yang mempunyai risiko dan memberi peluang kepada mereka untuk mengambil tindakan susulan dan menentukan langkah-langkah penambahbaikan.

26. Pada tahun lalu, lima buah universiti penyelidikan telah dianugerahkan autonomi dalam empat bidang iaitu Governan Institusi, Kewangan dan Penjanaan Kekayaan, Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Akademik serta Kemasukan Pelajar. Pada tahun ini, selepas selesai proses audit menggunakan instrumen Code of University Good Governance (CUGG) dan University Good Governance Index (UGGI), saya ingin mengumumkan dua buah lagi universiti awam telah layak dianugerahkan autonomi.

Universiti-universiti tersebut adalah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). Tahniah saya ucapkan. Saya berharap dengan pemberian autonomi ini, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) mempunyai kesediaan untuk melaksanakan tanggungjawab baharu selaras dengan penurunan kuasa kepada mereka demi kecemerlangan IPT.

27. Sebagai tambahan kepada usaha berterusan meningkatkan kecemerlangan IPT melalui inisiatif SETARA, MyRA dan MyQuest, Sistem Penarafan Disiplin Pengajian (Discipline-Based Rating System,D-SETARA) ke atas universiti dan kolej universiti di Malaysia telah dilaksanakan. Fokus D-SETARA adalah terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam empat disiplin pengajian iaitu Kejuruteraan, Pelancongan dan Hospitaliti, Perubatan, Pergigian dan Farmasi serta Sains Kesihatan.

28. Pemilihan disiplin pengajian ini secara tidak langsung menyokong inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (National Key Economic Area, NKEA) dalam kluster Pendidikan yang mensasarkan pembangunan beberapa kelompok disiplin pengajian. Sebanyak 37 buah universiti dan kolej universiti terlibat dalam penilaian pada kali ini. Dan selepas proses penilaian yang teliti dijalankan oleh jawatankuasa khas, sukacita saya memaklumkan keputusan D-SETARA telah bersedia untuk diumumkan pada hari ini.

29. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua IPT yang terlibat kerana saya difahamkan, hampir semua IPT yang layak, telah menyertai eksesais D-SETARA kali ini. Ini adalah satu petanda baik dan menggambarkan kesediaan IPT di negara menobatkan kualiti dan kecemerlangan dalam institusi mereka. Di masa akan datang, saya berharap eksesais ini dapat diperluaskan untuk bidang-bidang pengajian yang lain pula sehingga pada satu masa nanti, semua bidang pengajian akan dapat dinilai. Ini juga membolehkan eksesais D-SETARA dapat menggantikan eksesais SETARA, Insya Allah.

30. Selain universiti, aspek kualiti dan kecemerlangan Institusi Politeknik juga turut diberikan perhatian agar dapat memberikan sumbangan yang berkesan melahirkan tenaga kerja mahir khususnya dalam menjayakan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Selepas melancarkan Transformasi Politeknik pada tahun 2010, banyak perkembangan dan kemajuan telah dicapai dalam usaha mengarusperdanakan politeknik sebagai institusi pilihan.

Sehubungan dengan itu, bagi meneruskan usaha murni ini, Fasa Dua iaitu Fasa Peningkatan (2013-2015), Transformasi Politeknik akan dilancarkan pada tahun ini. Pada masa yang sama, eksesais Polyrate bagi mengukur kecemerlangan Institusi Politeknik negara akan terus dilaksanakan meliputi 23 buah politeknik pada tahun ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Memberi Roh dalam Pembelajaran dan Pengajaran)

31. Penghasilan modal insan unggul adalah penting ke arah pembentukan masyarakat dan negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini bermakna kualiti graduan institusi pengajian tinggi mesti diperkukuhkan terutama dalam aspek kemahiran pemikiran peringkat tinggi, penyelesaian masalah dan komunikasi lisan.

Walaubagaimanapun, hasrat ini akan terganggu sekiranya pendekatan pembelajaran dan pengajaran di IPT masih berpusatkan pensyarah, kuliah yang berbentuk sehala, penilaian untuk pembelajaran (assessment for learning) jarang berlaku dan masih banyak kursus yang bergantung kepada peperiksaan akhir sebagai cara untuk menilai penguasaan hasil pembelajaran pelajar yang pelbagai.

32. Justeru itu, kita perlu melipat gandakan usaha dalam bidang pembelajaran dan pengajaran secara strategik dan berkesan termasuk mentransformasikan kurikulum berasaskan hasil, pengajaran berpusatkan pelajar dan penilaian sebagai asas pembelajaran. Dalam konteks pembelajaran dan pengajaran pengajian tinggi, kita perlu meneliti kembali sejauh mana pelajar belajar dengan bermakna dan sejauh mana pensyarah mengajar dengan berkesan.

Kita perlu memastikan empunya pembelajaran (ownership of learning) adalah pelajar. Pengajaran yang dilakukan oleh pensyarah sepatutnya merangsang, membantu, membimbing dan mendorong setiap pelajar yang berlainan latar belakang dan upaya untuk terus belajar secara mendalam dan bermakna. Ruang dan peluang pembelajaran seharusnya dibuka seluas-luasnya untuk membolehkan setiap pelajar belajar menguasai hasil pembelajaran program pengajian. Dengan usaha ini, saya yakin ‘roh’ pembelajaran dan pengajaran pengajian tinggi akan terus subur dalam menghasilkan modal insan yang kita harapkan.

33. Inovasi Pembelajaran dan pengajaran juga perlu mengambil manfaat perkembangan teknologi khususnya ICT. Sehubungan dengan itu, pada tahun lalu, kementerian telah mewujudkan dana T-Novation bagi memperhebatkan lagi aktiviti penyelidikan dalam bidang pembelajaran dan pengajaran.

Ini mencakupi skop yang luas dan meliputi pelbagai aspek utama pembelajaran dan pengajaran seperti inovasi kurikulum/kandungan, strategi/teknik pengajaran dan pembelajaran, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bahan bantu mengajar, sistem, perisian, pakej dan modul pengajaran dan pembelajaran, alatan/gajet pengajaran dan pembelajaran serta inovasi penilaian dan pentaksiran pengajaran dan pembelajaran.

34. Sejak dilancarkan Oktober tahun lalu, 90 cadangan penyelidikan telah pun diterima dan selepas semua proses berjalan, produk akhir T-Novation akan dapat dihasilkan menjelang akhir tahun ini. Pelaksanaan penyelidikan T-Novation ini diharap akan dapat menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui penciptaan ilmu dan kaedah baharu yang akan memupuk daya kreativiti dan inovatif serta mampu melahirkan graduan-graduan yang mempunyai atribut-atribut kebolehpasaran.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Kolej Siswa sebagai Tempat Pembelajaran Kedua)

35. Kehadiran mahasiswa di kampus bersifat sementara, lazimnya antara dua hingga empat tahun. Oleh itu, kesempatan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam konteks pembelajaran dan pengajaran tidak formal. Memandangkan pelajar menghabiskan lebih banyak masa di kolej siswa (kediaman), IPT perlu memikirkan bagaimana kolej boleh berfungsi sebagai tempat pembelajaran selain di dewan kuliah dan makmal.

Oleh itu, universiti perlu mengambil peluang ini untuk membina sekitaran 'kolej sebagai tempat pembelajaran kedua'. Paradigma begini membolehkan pembangunan dan pengurusan kolej dirancang sebagai 'tempat berehat dan belajar'.

36. Dengan perspektif baharu ini, kolej dan sekitarannya perlu dibangunkan untuk memenuhi beberapa keperluan lain, keperluan riadah dan bersukan, serta keperluan untuk berinteraksi dan membina kemahiran insaniah. Daripada perspektif 'kolej sebagai tempat pembelajaran kedua' ini, universiti perlu menyediakan kemudahan infrastruktur dan sumber manusia yang membolehkan fungsi ini dilakukan dengan berkesan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEEMPAT: MEMPERKUKUHKAN KOBOLEHPASARAN GRADUAN

37. Meskipun pertumbuhan ekonomi negara berada pada tahap yang kukuh, kita perlu terus memberikan perhatian kepada isu dan cabaran kebolehpasaran graduan. Kita sedia maklum bahawa Blueprint Kebolehpasaran Graduan 2012-2017 telah dilancarkan pada akhir tahun lalu bertujuan memenuhi keperluan guna tenaga profesional dan mahir bagi pembangunan negara. Intipati pelan tersebut ialah bagi mewujudkan sistem pengajian tinggi yang mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, berdaya saing secara global serta memenuhi keperluan negara. Ia juga memberi perhatian kepada peluang kerjaya impian bagi mengelakkan pengangguran dan bersifat lebih fleksibel untuk berhadapan dengan perubahan ekonomi dan peluang pekerjaan di masa hadapan.

38. Untuk memastikan blueprint ini diterjemahkan sebaik mungkin, setiap IPT perlu menjadikannya sebagai satu panduan dalam memastikan kurikulum yang ditawarkan di IPT sentiasa selari dengan perkembangan dan keperluan pelbagai pihak termasuk industri. Inilah masa yang tepat untuk semua kepimpinan IPT melihat kembali program akademik sedia ada dan menyesuaikannya bagi membolehkan semua atribut kebolehpasaran graduan digembleng secara bersepadu. Program-program baharu pula perlu dibangunkan dengan mengambil kira kerelevanan ilmu untuk dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat dan sebaik-baiknya, dibangunkan bersama-sama mereka dalam konteks perkongsian strategik.

39. Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Industri atau ICoE sebagai satu mekanisme yang menghubungkan pengajian dengan pekerjaan, di mana industri bekerjasama dengan penyedia pendidikan agar pelajar diterap dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan. Selain itu, untuk memantapkan lagi perkongsian strategik antara universiti dan industri, program ICoE sedia ada dalam kluster automotif, minyak dan gas, elektrik dan elektronik serta pemborongan dan peruncitan akan diperluaskan lagi pada tahun ini kepada tiga kluster baharu seperti bioteknologi, pembinaan dan ICT, menjadikan tujuh kluster secara keseluruhannya.

Selain daripada kerjasama antara Institusi Pengajian Tinggi, agensi-agensi kerajaan lain dan industri, transformasi kebolehpasaran graduan melalui ICoE ini juga akan melibatkan pembangunan wilayah ekonomi seperti Wilayah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

40. Kita percaya melalui pelaksanaan ini, pembangunan modal insan yang lebih kompeten mengikut keperluan industri dan wilayah akan dapat disediakan dengan lebih berstruktur dan tersusun. Pada masa yang sama, ia akan juga merangsang pelaburan asing, pembangunan ekonomi wilayah membantu peningkatan sosio-ekonomi masyarakat setempat dan seterusnya negara.

41. Persaingan pada abad ke-21 bukan hanya terletak kepada kejayaan akademik semata-mata tetapi menuntut kejayaan dalam aspek yang lebih besar terutama keupayaan berfikir secara inovatif dan kreatif di kalangan pelajar kita. Sehubungan dengan itu, mahasiswa di IPT perlu dibangunkan dengan kemahiran berfikir secara inovatif dan kreatif melalui program-program pembangunan potensi dan bakat diri dan ini termasuk Kursus Ko-Kurikulum Berkredit.

Walau bagaimanpun, kita mendapati kursus-kursus Ko-Kurikulum yang ditawarkan di IPT adalah terpisah dan tidak ada hubung kait dengan pembelajaran. Ini menyebabkan pelajar-pelajar tidak dapat mengaplikasikan hasil pembelajaran di luar bilik kuliah. Justeru itu, ko-kurikulum perlu menghubungkan pelajar dengan proses pembelajaran secara langsung dan oleh itu, sudah tiba masanya ia diletakkan di bawah Pusat Pengajian masing-masing.

42. Apabila kerajaan memperkenalkan IM4U, kementerian menyambut baik langkah ini kerana ia memberi peluang kepada kita menjadikannya sebagai platform atau kaedah pembelajaran menggunakan pendekatan baharu. Lebih penting, IM4U boleh mencapai matlamat membangunkan kemahiran insaniah pelajar dan nilai-nilai positif seperti kepimpinan, kesukarelawanan dan kewarganegaraan di samping kemampuan mengemukakan idea-idea kreatif.

Melalui penggabungan khidmat komuniti dengan kurikulum, IM4U juga menambah pengalaman belajar pelajar dan memperteguhkan tanggungjawab sivik kepada masyarakat melalui keupayaan menyelesaikan masalah sebenar masyarakat sekaligus menjadikan mereka sebagai rakyat yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia. Kewujudan IM4U Outreach di setiap IPT memberi cabaran berterusan kepada pelajar-pelajar IPT untuk bangunkan keupayaan menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih kreatif, yang mempunyai impak yang lebih mendalam, yang dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan bersifat lestari. Saya percaya pelajar-pelajar IPT negara dapat menyahut cabaran ini.

43. Kementerian juga akan terus mendokong agenda pendidikan dan pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar IPTA khususnya. Bagi memastikan matlamat Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (DPKIPT) tercapai, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT yang komprehensif dan pragmatik bagi tempoh 2013-2015 akan diperkenalkan pada tahun ini. Pelan ini menjadi satu kesinambungan kepada Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT yang telah dilancarkan pada tahun 2010 yang lalu.

Saya percaya bahawa perancangan yang tersusun serta pelaksanaan yang komited terhadap pelan tindakan ini akan dapat menyokong pencapaian matlamat untuk melahirkan modal insan negara yang berkualiti dan berdaya keusahawanan di samping meningkatkan lagi jumlah usahawan di kalangan graduan IPT.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KELIMA: PEMETAAN BAHARU PENGANTARABANGSAAN

44. Dalam era globalisasi, liberalisasi dan pendidikan merentasi negara, strategi pengantarabangsaan pengajian tinggi tidak lagi bersifat satu keistimewaan tetapi satu keperluan negara yang ingin mencapai kejayaan dalam perkhidmatan pengajian tinggi. Malaysia yang berhasrat untuk menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2020, perlu menjadikan strategi pengantarabangsaan sebagai satu agenda penting lagi kritikal.

Pencapaian dan pengalaman Malaysia dalam sektor pengajian tinggi sekali lagi diiktiraf dunia apabila pada tahun ini diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Asia Eropah ke-4 atau "Fourth Asia-Europe Meeting of Ministers for Education" (ASEMME4) dari 12 hingga 14 Mei 2013 akan datang di Kuala Lumpur.

Sebanyak 27 buah negara anggota Kesatuan Eropah, 16 buah negara Asia dan 3 buah anggota baharu iaitu Rusia, Australia dan New Zealand akan dijemput untuk menghadiri ASEMME4. Mulai 15 Februari ini, Education Malaysia Global Services (EMGS) yang ditubuhkan tahun lalu akan mula beroperasi dan akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi memantau, menyelia dan menyelaras urusan berkaitan promosi, pemasaran dan perkhidmatan sokongan pelajar antarabangsa dalam negara.

45. Malaysia akan terus meningkatkan inisiatif pengantarabangsaan dengan strategi-strategi inovatif dan kreatif supaya mampu bersaing dalam penyediaan dan pelaksanaan perkhidmatan pengantarabangsaan yang efisien, berkesan dan produktif. Dalam hal ini, pengantarabangsaan tidak lagi terhad kepada faktor jumlah pelajar antarabangsa atau bilangan kampus cawangan luar negara tetapi penekanan terhadap strategi pengintegrasian pengantarabangsaan dalam pelbagai perkhidmatan pengajian tinggi.

Perkembangan ini menuntut kita untuk melakukan pemetaan baharu dengan memberi penekanan kepada kesepaduan kecemerlangan dalam semua aspek perkhidmatan pengajian tinggi. Ini termasuk kecemerlangan akademik, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kecemerlangan pembangunan, penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan dan kecemerlangan kepimpinan pengajian tinggi.

46. Dalam konteks ini, satu usaha yang boleh menyumbang hasrat mencapai matlamat kecemerlangan ini adalah melalui cadangan penubuhan konsortium di kalangan Institusi Pengajian Tinggi Islam Negara yang diterajui oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sebagai platform memperkasakan perkongsian pintar dalam aktiviti penyelidikan dan berkonsepkan ‘global classroom’ di kalangan IPT serantau dan negara OIC. Kementerian mengalu-alukan usaha murni ini kerana ia akan memperkasakan lagi perkhidmatan pengajian tinggi negara sekaligus mempromosikan Malaysia menjadi pemimpin kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat global.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Malaysia Pemacu Komuniti ASEAN)

47. Sempadan komuniti di ASEAN kini semakin kabur. Negara di rantau ini sepakat untuk mewujudkan “Komuniti ASEAN” menjelang 31 Disember 2015. Pada ketika itu, Malaysia akan diberi mandat mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN. Ini bermakna, kita diberi peluang mempelopori gagasan penubuhan Komuniti ASEAN yang bertunjangkan kepada penguasaan pengetahuan berasaskan penyelidikan, tenaga mahir, ekonomi hijau, masyarakat yang dilengkapi dengan maklumat yang tepat dan struktur institusi yang berdaya saing dan persekitaran yang lestari.

48. Oleh itu, ini adalah kesempatan terbaik IPT di Malaysia mengatur strategi dan mempromosi pengajian tinggi sebagai ejen perubahan bagi mewujudkan Komuniti ASEAN yang dinamik dan lestari. Sehingga 31 Disember 2012, terdapat seramai 14,156 orang pelajar dari negara ASEAN menyambung pengajian di Malaysia manakala 9,008 orang pelajar Malaysia di negara ASEAN. Sebagai negara pembekal pengajian tinggi yang berkualiti di rantau ini, Malaysia berupaya memberi sumbangan dalam pelbagai dimensi untuk mencapai matlamat Komuniti ASEAN 2015.

Sebagai contohnya Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah membangunkan pendekatan kelestarian untuk pendidikan dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) di UKM yang menerajui penyelidikan sains kelestarian boleh menjadi pemangkin kepada sumbangan negara ke arah pembentukan Komuniti ASEAN yang dicita-citakan.

49. Pada peringkat pendidikan latihan dan kemahiran pula, Malaysia boleh membantu dalam melatih dan membentuk tenaga mahir dalam kalangan negara ASEAN melalui politeknik dan kolej komuniti. Institusi ini boleh membentuk kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam Komuniti ASEAN melalui pertukaran pengetahuan dan personel, melalui proses rakan kongsi, kontrak penyelidikan, program latihan dan pendidikan sepanjang hayat. Ini dapat merapatkan perhubungan antara institusi-institusi dalam Komuniti ASEAN dan pada masa yang sama membantu mentrasformasikan sistem pendidikan Komuniti ASEAN sekaligus membentuk kesepaduan antara negara.

50. Peranan Malaysia dalam agenda Komuniti ASEAN ini akan diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan agenda Jangkauan Global Malaysia (JGM). Setelah memulakan inisiatif jangkauan ini di negara CLMV iaitu Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam, bagi tahun 2013 hingga 2015, ia diperluaskan lagi dengan menambah negara rakan terpilih seperti Mindanao, Filipina, Timor Leste dan Papua New Guinea. Dalam hal ini, satu cadangan pelan rangka kerja program pembangunan sumber daya manusia untuk Mindanao akan disediakan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

51. Pelan program pembangunan sumber daya manusia ini boleh diintegrasikan sebagai salah satu agenda pembangunan keseluruhanMindanao yang akan diselia oleh Jawatankuasa Khas Filipina-Malaysia yang telah dipersetujui penubuhannya oleh kedua-dua negara bagi menyelia proses damai dan pembangunan di Mindanao. Program ini juga boleh diaplikasikan kepada negara lain dengan tujuan yang sama, Insya Allah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEENAM: PENDIDIKAN UNTUK SEMUA

52. Transformasi tersusun Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 memerlukan sumbangan dan potensi seluruh rakyat Malaysia sama ada yang berpengetahuan tinggi atau berkemahiran tinggi. Melalui ilmu pengetahuan dan kemahiranlah, rakyat kita bukan sahaja akan dapat meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka, tetapi membantu negara bersaing dalam dunia global yang semakin kompetitif. Sehubungan dengan itu, usaha untuk meningkatkan minat belajar tanpa henti dan pendidikan untuk semua di kalangan rakyat hendaklah dipertingkatkan lagi.

53. Pembelajaran Sepanjang Hayat yang telah dinobatkan sebagai tonggak ketiga dalam sistem pembangunan sumber manusia di negara ini seiring dengan Sistem Persekolahan dan Pendidikan Tertiari, akan terus diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan Direktori Interaktif PSH peringkat nasional, menjayakan Karnival My3L peringkat nasional dan peringkat zon, menjalankan kajian Pemantapan Program PSH dan mengadakan Pelan Tindakan Penggalakan Penyertaan Industri dalam PSH.

54. Seperti yang kita sedia maklum, pada tahun lepas, Malaysia Qualification Agency (MQA) telah menubuhkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL). Bagi menggalakkan lebih ramai golongan yang telah bekerja menyambung pengajian, sukacita dimaklumkan bahawa permohonan APEL bagi maksud kemasukan pengajian peringkat Sijil dan Diploma akan mula dibuka mulai 1 Februari 2013. Inisiatif ini pastinya akan memikat golongan bekerja untuk belajar semula apabila APEL mengiktiraf pengalaman kerja mereka sebelum ini dan boleh diambil kira sebagai syarat untuk menyambung pengajian di peringkat Sijil dan Diploma.

55. Sebagai sebuah institusi perdana yang menjayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di negara, Kolej Komuniti memainkan peranan penting dalam menawarkan latihan dan kemahiran kepada orang ramai. Oleh itu, kementerian ingin mengumumkan bahawa sesiapa sahaja boleh melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti hanya dengan kelulusan minima satu kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

56. Pada masa yang sama, beberapa inisiatif baharu telah dikenalpasti akan dilaksanakan dalam usaha menambah penyertaan masyarakat seperti memendekkan tempoh pengajian untuk Sijil Kolej Komuniti (SKK) Terusan atau Jangka Panjang dari 24 bulan kepada minimum 16 bulan. Jumlah sijil yang ditawarkan juga telah ditambah daripada empat pada tahun lalu kepada 11 pada tahun 2013. Selain Sijil Kolej Komuniti Terusan dan Modular, Sijil Kolej Komuniti Kemahiran Khas turut dilaksanakan khusus kepada pelajar yang mengalami masalah pembelajaran seperti pekak dan bisu.

Jika sebelum ini hanya Kolej Komuniti Selayang menawarkan Sijil Kemahiran Khas dalam bidang perkhidmatan perhotelan, pada tahun 2013, lima buah Kolej Komuniti lagi akan terlibat menawarkan Sijil Kemahiran Khas ini dalam bidang-bidang seperti teknologi maklumat, fotografi, fesyen dan pakaian, pemprosesan makanan dan pastri.

57. Selain melebarkan akses, soal ekuiti turut diambil perhatian. Sehubungan dengan itu, bantuan Kewangan Kolej Komuniti ditawarkan kepada mereka yang layak melalui Tabung Pinjaman Pelajar (TPP). Bagi Sijil Kolej Komuniti Terusan, pelajar boleh menerima bantuan tiga ratus ringgit sebulan iaitu bagi mereka yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan kurang tiga ribu ringgit sebulan manakala dalambentuk pinjaman pada kadar yang sama bagi pelajar yang pendapatan keluarganya melebihi tiga ribu ringgit sebulan. Bagi pelajar Sijil Kolej Komuniti Modular pula, mereka boleh memohon wang saku sebanyak dua ratus lima puluh ringgit sebulan jika layak.

58. Baru-baru ini, sewaktu merasmikan Karnival Jom Masuk U, saya telah mengumumkan pengambilan pelajar mod baharu melalui dasar membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah. Kaedah pengambilan pelajar yang diberikan pengecualian meritokrasi ini selari dengan prinsip kerajaan dan kementerian untuk melihat semua rakyat Malaysia mendapat hak berpendidikan tanpa halangan.

Dalam hal ini, kejayaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mewujudkan program Pra Universiti iaitu Program Destini Anak Bangsa, boleh dijayakan oleh IPT yang lain dalam membantu kemasukan pelajar kaum-kaum lain. Ini kerana dalam usaha kita mencapai negara maju berpendapatan tinggi, semua kaum perlu menjadi modal insan untuk negara.

59. Dalam usaha kita melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, kita tidak boleh lari dari menyentuh soal pembiayaan sektor pengajian tinggi. Keupayaan negara menyediakan akses dalam pembelajaran di peringkat tertiari mahupun pembelajaran sepanjang hayat memerlukan kita memikirkan semula model pembiayaan pendidikan yang lestari dan berkesan. Adalah kesalahfahaman yang nyata bila isu pembiayaan pengajian tinggi hanya dilihat dari sudut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pembiayaan pelajar.

Isu yang paling mendasar ialah bagaimana IPT awam menguruskan pelaburan dan pembiayaan kerajaan secara berkesan serta mampu menterjemahkan hasil yang memenuhi keperluan strategik negara.

60. Kebergantungan IPT yang keterlaluan pada dana kerajaan sebenarnya telah mewujudkan fenomena pengurusan kewangan di IPT yang tidak ‘cost efficient’ dan kegagalan untuk menjadi mandiri serta tidak kompetitif. PTPTN pula memerlukan model kelangsungan baharu untuk memastikan ia terus lestari tanpa mengabaikan kepentingan menterjemahkan dasar ekuiti dalam pendidikan. Oleh itu, kementerian telah menganjurkan inisiatif bagi menyemak dan mengkaji semula sistem pembiayaan pendidikan tinggi secara komprehensif dalam usaha mewujudkan model pembiayaan yang lestari dan kompetitif sifatnya bagi menyokong pembangunan strategik negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Budaya Kerja Berinovatif)

61. Kecemerlangan pengajian tinggi turut dibantu oleh sistem penyampaian dan budaya kerja yang inovatif lagi berkesan. Dalam hal ini, fungsi kementerian telah beralih daripada memberikan penekanan terhadap kawal selia undang-undang (regulator) kepada fungsi pemudahcara (facilitator). Ini bagi memastikan persekitaran pengajian tinggi yang lebih kondusif dapat diwujudkan untuk perkembangan dan kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan yang seharusnya berasaskan kepada budaya keintelektualan dan keilmuan yang tinggi tanpa sebarang pengaruh politik dan birokrasi pentadbiran.

Dalam memainkan peranan sebagai pemudahcara ini, kementerian seharusnya bijak untuk sentiasa melihat amalan-amalan terbaik yang terdapat di sesebuah institusi untuk dipanjangkan pengamalannya ke institusi-institusi lain. Penekanan tidak seharusnya terhad kepada aspek pembelajaran dan pengajaran atau penyelidikan sahaja, tetapi fokus juga wajar diberikan kepada hal-hal yang melibatkan pentadbiran supaya isu-isu birokrasi yang sedia wujud dapat dikurangkan.

62. Saya juga ingin meletakkan harapan supaya tahun 2013 ini lebih banyak aspek nilai untuk wang dalam pengurusan kewangan universiti sebagai sebuah badan berkanun dapat dipertingkatkan. Ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah termasuklah melalui perolehan berpusat di kementerian bagi sesetengah perkhidmatan seperti yang telah sedia dilaksanakan sekarang antaranya perolehan perisian untuk komputer, pangkalan data komersil untuk perpustakaan dan lain-lain lagi.

Ini bagi memastikan terdapat penjimatan dalam pengurusan wang awam bila mana sesuatu perkhidmatan tersebut dapat dibeli pada kadar harga yang lebih rendah melalui kaedah pukal berbanding secara individu oleh universiti, politeknik dan kolej komuniti. Saya juga ingin menyarankan supaya perancangan-perancangan projek pembangunan di universiti-universiti awam juga mengambil kira aspek nilai untuk wang dengan memperbanyakkan kemudahan-kemudahan yang bersifat guna sama seperti dewan kuliah dan bilik tutorial supaya ia dapat dimanfaatkan secara lebih maksimum berbanding pembangunan fizikal yang bersifat faculty-based sahaja.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

PENUTUP

63. Globalisasi telah menjadikan persaingan semakin kompetitif dan negara perlu meningkatkan daya saingnya agar tidak ketinggalan. Masa depan pendidikan tinggi Malaysia bukan lagi tentang retorik nasionalisme dan pembangunan modal insan. Ia adalah tentang bagaimana pengajian tinggi akan mampu mendukung daya saing Malaysia dalam mendepani impak globalisasi.

Malaysia yang maju dan progresif adalah Malaysia yang berupaya menjadikan sistem pengajian tingginya sebagai instrumen dan sumber utama untuk membolehkan ia membina, mengukuh dan melonjakkan daya saing bangsa dan negara di peringkat global. Sistem pengajian tinggi yang berupaya melonjakkan kebolehsaingan Malaysia akan pasti menjadikan negara dan bangsa kita lebih ‘resilient’ atau kental.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

64. Tidak ada kejayaan melainkan pada tahap kecemerlangan. Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya berharap semua institusi di bawah kementerian dapat memperteguhkan kedudukan mereka menjadi institusi yang cemerlang dan berwibawa. Dalam hal yang sama, kementerian berasa bangga dengan kejayaan atlit IPT mengungguli Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Laos tahun lalu.

Tahniah dan syabas diucapkan. Namun, jika sukan kita boleh cemerlang dan diiktiraf dunia, maka tidak ada sebab pengajaran, penyelidikan dan inovasi serta khidmat masyarakat kita tidak cemerlang dan diterima global. Kita mesti memahami agenda teras yang perlu dimainkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai penyumbang kritikal kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

65. Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berbanyak terima kasih kepada semua warga kementerian yang hadir dan mendengar amanat tahun baharu ini. Amanat yang mempunyai lapan agenda dan 44 Pernyataan Dasar, Inisiatif dan Perubahan Struktural ini bukan milik saya, tetapi milik kita bersama untukmenjayakannya. Kini, kita hanya mempunyai tujuh tahun lagi sebelum fajar tahun 2020 terbit sekaligus melihat Malaysia gah muncul menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Berbekalkan perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang teliti, kita boleh merealisasikan semua hasrat dan impian yang kita tentukan ini, Insya Allah.

66. Saya berdoa agar tahun 2013 memberikan kita lebih kebahagiaan dan kemakmuran. Bersama kita terus beriltizam mencarta pembangunan dan kemajuan negara. Ayuh, terus kita melangkah ke hadapan dengan satu tujuan, satu destinasi, Malaysia yang berjaya. Sekian, terima kasih.

Sumber : http : //www.mstar.com.my

Jumaat, 1 Februari 2013

Kematian wanita jadi misteri


Oleh : MOHD RIDZUAN ABU HASSAN

MARAN - Seorang warga emas ditemui mati di depan bilik air di rumahnya di Felda Ulu Jempol dekat sini dengan hampir keseluruhan badannya rentung kecuali bahagian kakinya.

Kematiannya itu menimbulkan misteri kerana siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

Ini kerana tiada kesan pergelutan atau tanda-tanda rumah mangsa dipecah masuk oleh penjenayah.

Malah, polis turut menafikan punca kebakaran itu adalah disebabkan terkena kejutan elektrik.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa berusia 72 tahun yang tinggal sendirian itu dijumpai oleh seorang pekerja kontrak kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Menurutnya, pekerja berusia 20-an itu melakukan kerja ubahsuai rumah mangsa dan hanya mahu menghantar bahan binaan memandangkan cuti kerja pada hari kejadian.

“Mangsa ditemui terbaring dalam keadaan terlentang di hadapan pintu bilik air dan rentung termasuk pakaian kecuali dari bahagian pergelangan kaki.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang motif dan petanda kepada unsur jenayah malah barang kemas berupa gelang serta rantai masih berada bersama mayat tersebut.

“Tiada kesan bongkar di dalam rumah dan pecah masuk termasuk di bilik tidur serta tiada tanda pergelutan di kawasan mayat ditemui,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, hanya langsir pintu bilik air di tempat mayat dijumpai sahaja yang terbakar sementara peralatan dan perkakas dapur lain tiada kesan terbakar.

Menurutnya, selain pasukan Forensik PDRM, pihaknya turut mendapatkan kerjasama daripada Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat serta khidmat Unit Anjing Pengesan K9 bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat terbakar yang dipercayai berlaku antara jam 7 hingga 8 malam pada hari kejadian berikutan lampu dapur dan televisyen masih terpasang,” katanya.

Apabila ditanya mengenai fenomena Spontaneous Human Combustion (SHC) iaitu manusia terbakar tiba-tiba, beliau memaklumkan bahawa fenomena itu turut diambil kira dalam siasatan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Terbakar secara spontan : Punca, teori masih samar


Oleh : LIZA HASAN

MANUSIA terbakar secara spontan atau Spontaneous Human Combustion (SHC) adalah kejadian terbakar yang berlaku secara tiba - tiba pada manusia. Kira-kira 200 kes dilaporkan di seluruh dunia dalam tempoh kira-kira 300 tahun.

Fenomena ini masih tidak diketahui penyebabnya, namun ia berkemungkinan disebabkan daripada pengeluaran gas luar biasa atau kandungan alkohol yang tinggi dalam darah manusia.

Penyiasatan dan teori forensik

Pada 1984, penyiasat sains Joe Nickell dan penganalisis forensik, John F Fischer melakukan penyelidikan tentang fenomena ini selama dua tahun dengan melibatkan 30 pakar sejarah. Sepanjang dua tahun itu, dua laporan diterbitkan dalam jurnal Persatuan Penyiasat Arson Antarabangsa.

Nickell dan Fischer membuat kajian terperinci terhadap kes SHC di abad- 18, 19 dan 20 yang menunjukkan bahawa, kebakaran kebiasaannya berpunca daripada sumber api seperti lilin, lampu dan alat pemanas badan. Kajian mendapati SHC disebabkan mangsa mabuk atau hilang upaya hingga menyebabkan mereka cuai bertindak balas terhadap kemalangan melibatkan punca kebakaran.

Seorang penyelidik dan penulis penyiasatan British UFO Research Association (BUFORA), Jenny Randles mendapati, mangsa terbakar hanya disedari oleh ahli keluarga selepas mangsa hangus keseluruhan badan kerana mangsa biasanya tidak sedar ketika kejadian itu dan gagal meminta tolong.

Statistik menunjukkan, 59 peratus kes melibatkan wanita dengan kejadian berlaku antara tengah malam dan 6 pagi.

Kebiasaannya dinding dan siling disalut jelaga berminyak berpunca daripada sisa lemak yang terbakar.

Kes pernah berlaku pada 1974 di mana seorang jurujual dari Georgia, Amerika Syarikat (AS), Jack Angel menjadi mangsa SHC. Kejadian berlaku apabila badannya mengalami kebakaran spontan hingga tangannya hangus dan terpaksa dipotong. Siasatan mendapati faktor persekitaran bukan punca kemalangan itu dan polis menutup kes terbabit kerana gagal mendapatkan gambaran jelas.

Mengikut teori Haystack, penternak sudah biasa dengan kebakaran semula jadi dari timbunan kompos.

Pada musim panas kejadian kebakaran secara spontan bukan sesuatu yang luar biasa kerana gabungan bahan mudah terbakar dan mikro-organisma seperti bakteria dan bahan kompos menjadi punca utama kejadian ini.

Teori ini merujuk kepada jenis bakteria yang sama terdapat dalam usus manusia dan dibantu oleh gas metana yang boleh menyebabkan seseorang itu terbakar.

Bagaimanapun, seorang penyiasat kebakaran Tony McMunn memberitahu, punca kebakaran spontan berbeza dengan kebakaran berpunca dari persekitaran.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa terperangkap dalam api akan membuatkan kulit mangsa kehitaman dan mengalami kerosakan sedikit di bawah permukaan tisu kulit, berbanding dengan kebakaran spontan, di mana semua bahagian akan hangus melainkan lengan atau kaki sahaja.

Pada 1899, dua beradik Amy Kirby, 4, dan Ann Kirby, 5, dari Sowerby Bridge, West Yorkshire, AS, juga menjadi mangsa SHC apabila salah seorang daripada mereka hangus terbakar di dalam bilik yang sama ketika sedang tidur.

Secara saintifiknya, badan manusia sukar terbakar kerana mengandungi 90 peratus kandungan air dan ketika mayat dibakar dalam upacara pengebumian kebiasaannya suhu untuk membakar mayat sekitar 500 darjah Celsius sejam dengan tulang masih kekal dan tidak menjadi abu.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Akta Kanak-Kanak 2001 : Penguatkuasaan Semula Tugas Dan Tanggungjawab Ibu Bapa Atau Penjaga?


Oleh : Jal Zabdi bin Mohd Yusoff & Zulazhar bin Tahir

Pengenalan

Kanak-kanak merupakan aset negara yang sangat penting kerana kepada merekalah segala harapan dan cita-cita negara disandarkan selaku pemimpin di masa hadapan. Kanak-kanak juga adalah golongan yang perlu diberi perlindungan kerana di dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka mungkin terdedah kepada pelbagai bahaya sama ada mereka menjadi mangsa atau terlibat dengan perlakuan jenayah. Menyedari hakikat ini, maka pertimbangan utama di dalam segala tindakan yang menyentuh hal ehwal kanak-kanak adalah kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak berkenaan. Ini boleh dilihat di dalam pelbagai undang-undang yang terdapat di negara ini. Walau bagaimanapun, permasalahan mengenai kanak-kanak masih terus berlaku di merata tempat sama ada di dalam atau luar negara. Dalam hal ini kita sering mendengar atau membaca bahawa terdapat kanak-kanak yang diabaikan, ditinggalkan di perhentian bas, di bawah pokok, ada yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa penjagaan sewajarnya. Kita juga mendengar bahawa perlakuan jenayah oleh kanak-kanak semakin menjadi-jadi. Jika dulunya perlakuan jenayah oleh kanak-kanak hanyalah jenayah yang kecil atau petty offences tetapi pada masa sekarang terdapat kanak-kanak yang berani melakukan rompakan bersenjata, merogol bahkan ada yang berani membunuh.

Persoalannya sekarang ialah siapakah yang harus dipersalahkan jika perkara ini berlaku kepada kanak-kanak di negara ini? Apa yang pasti ialah kanak-kanak ini tidak harus dipersalahkan seratus peratus kerana apa yang berlaku mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor yang di luar kawalan mereka. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang diketahui umum pihak yang terlibat secara langsung dengan pembesaran dan pembangunan diri kanak-kanak adalah ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga telah diberi tugas dan tanggungjawab utama untuk membentuk keperibadian anak-anak kerana mereka mempunyai impak yang besar terhadap perkembangan anak-anak di dalam jagaan mereka. Ibu bapa atau penjaga adalah mereka yang saban hari bercampur gaul dan sentiasa berada di sisi anak-anak. Oleh itu, pasti banyak perkara yang dipelajari oleh anak-anak itu daripada orang yang menjaganya. Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud:

Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan suci (menganut agama yang benar iaitu Islam), kedua orang tuanyalah yang kemudiannya menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.(Hadis riwayat Abu Hurairah r.a.)

Apa yang jelas daripada hadis di atas ialah ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu merupakan orang yang sangat penting dalam mencorakkan masa hadapan anak-anak di dalam jagaan mereka termasuklah menentukan keadaan persekitaran di mana kanak-kanak itu akan dibesarkan. Sehubungan dengan itu, di dalam artikel ini, penulis akan cuba mengupas isu yang mencakupi tugas dan peranan ibu bapa atau penjaga ke atas anak yang berada di bawah jagaan mereka.

Dalam kajian yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik seperti Diana Baumrind, SM Dornbusch dan Stanley Coopersmith didapati cara bagaimana seseorang kanak-kanak itu dibesarkan akan mempengaruhi personaliti dan pembangunan sahsiahnya.  Kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa atau penjaga mereka lebih berkecenderungan untuk terlibat dalam pelbagai masalah sosial. Menyedari hakikat bahawa keluarga merupakan satu institusi penting di dalam pembentukan masyarakat yang dinamik, maka kerajaan harus campur tangan dari awal apabila telah dikenal pasti bahawa terdapat kaitan di antara masalah sosial dan hubungan kekeluargaan. Campur tangan ini adalah penting untuk mengelak keruntuhan sesuatu masyarakat secara keseluruhan. Di dalam hal ini kerajaan boleh memainkan peranannya dengan menggubal undang-undang yang mengenakan kewajipan tertentu atas ibu bapa atau penjaga bagi menjaga kebajikan, kepentingan atau kesejahteraan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.

Asas Undang-Undang Perlindungan Terhadap Kanak-Kanak Di Peringkat Antarabangsa

Kewujudan undang-undang yang memperuntukkan perlindungan terhadap kanak-kanak bukanlah satu perkara yang baru. Sejarah menunjukkan bahawa beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan England telah mempunyai undang-undang dan perkhidmatan kebajikan kanak-kanak bagi melindungi kanak-kanak yang didera atau diabaikan seawal abad ke 17 dan 18. Kebangkitan sentimen mengenai isu kanak-kanak yang didera telah memuncak kembali pada awal tahun 1960an berdasarkan penyelidikan yang telah dijalankan oleh Dr Henry Kempe iaitu seorang pakar kanak-kanak di Amerika Syarikat. Sejak dari itu, kesedaran dan usaha untuk menangani masalah mengenai kanak-kanak telah diperhebatkan.

Menyedari hakikat bahawa masa depan kanak-kanak semakin terancam, sama ada oleh perbuatan individu atau perbuatan mereka sendiri atau kegagalan pihak kerajaan mengambil langkah positif ke arah memastikan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak, maka satu inisiatif positif telah digerakkan oleh masyarakat antarabangsa untuk meletakkan kepentingan kanak-kanak di landasan yang sepatutnya. Inisiatif ini boleh dilihat di dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang telah diratifikasikan oleh hampir semua negara di dunia ini. Malaysia merupakan antara negara yang telah menandatangani dan meratifikasikan Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Antara perkara penting di dalam Konvensyen ini ialah pengiktirafan terhadap hak kanak-kanak ke atas beberapa perkara asas iaitu hak untuk hidup, hak kepada pembangunan, hak untuk dilindungi daripada pengaruh yang merosakkan, penderaan dan eksploitasi dan akhir sekali hak untuk bersama dengan keluarga, kebudayaan dan kehidupan sosial.

Artikel 5 dan 19(1) Konvensyen Hak Kanak-Kanak berbunyi:

Artikel 5:
States Parties shall respect the responsibilities, rights and duties of parents or, where applicable, the members of the extended family or community as provided for by local custom, legal guardians or other persons legally responsible for the child, to provide, in a manner consistent with the evolving capacities of the child, appropriate direction and guidance in the exercise by the child of the rights recognized in the present Convention.

Artikel 19
1. States Parties shall take all appropriate legislative, administrative, social and educational measures to protect the child from all forms of physical or mental violence, injury or abuse, neglect or negligent treatment, maltreatment or exploitation, including sexual abuse, while in the care of parent(s), legal guardian(s) or any other person who has the care of the child.

Jika kita merujuk kepada artikel 5, adalah dipersetujui bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab di dalam pemeliharaan kanak-kanak dan ini harus dihormati oleh kerajaan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama Konvensyen ini melalui artikel 19 menekankan pentingnya kerajaan sesebuah negara untuk mengambil langkah-langkah perlu sama ada dalam bentuk perundangan, pentadbiran, langkah sosial serta ekonomi untuk melindungi kanak-kanak itu daripada penderaan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.

Asas Undang-Undang Perlindungan Terhadap Kanak-Kanak di Malaysia

Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia juga boleh dilihat seawal tahun 1947 dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991. Walau bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa terdapat keperluan untuk mengubah hala tuju konsep perlindungan terhadap kanak-kanak dan juga mengakui bahawa perlunya pembaharuan di dalam undang-undang sejajar dengan perkembangan semasa, maka satu akta yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak telah digubal dan diluluskan iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 (selepas ini akan disebut Akta 611) dan telah berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002. Tajuk panjang Akta 611 berbunyi:

Suatu Akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya. Akta 611 merupakan satu Akta yang merangkumi pelbagai isu penting mengenai kanak-kanak. Antara perkara penting yang diketengahkan oleh Akta 611 adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk memaklumkan kes-kes penderaan kanak-kanak, penubuhan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, prosedur perbicaraan, hukuman dan sebagainya.

Tanggungjawab Undang-Undang

Semua pihak mempunyai tanggungjawab dan tugas masing-masing sama ada tanggungjawab dari segi moral atau dari segi undang-undang. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab ke atas anak-anak di bawah jagaan mereka. Selaras dengan itu, peruntukan-peruntukan yang mengenakan tugas dan tanggungjawab undang-undang kepada ibu bapa atau penjaga telah diwujudkan di dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan kemudiannya telah diperkemaskan di dalam Akta 611. Apa yang pasti, antara tujuan utama peruntukan-peruntukan seumpama ini dimasukkan adalah supaya ibu bapa atau penjaga akan lebih bertanggungjawab dan mengambil berat akan keadaan anak-anak mereka.

a) Tugas Untuk Memaklumkan

Akta 611 melalui seksyen 28(1) telah mengenakan tugas kepada ahli-ahli keluarga kanak-kanak untuk memaklumkan kepada Pelindung jika mereka mempunyai alasan-alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks. Rasional ahli-ahli keluarga kanak-kanak dikenakan tugas untuk memaklumkan tentang kemungkinan seseorang kanak-kanak itu didera adalah kerana mereka merupakan antara pihak yang dekat dengan kanak-kanak tersebut. Mereka ini juga berkemungkinan besar mengetahui kenapa seseorang kanak-kanak itu didera. Tambahan pula, perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak atau keganasan rumah tangga merupakan jenayah belakang tabir yang berlaku jauh daripada pengetahuan pihak lain. Oleh itu, ahli-ahli keluarga kanak-kanak itu sebenarnya berada dalam kedudukan terbaik untuk mengetahui jika berlaku sebarang penderaan terhadap kanak-kanak yang mendiami rumah yang sama. Seksyen 2 Akta 611 mendefinisikan anggota keluarga sebagai "termasuklah ibu bapa atau penjaga atau seseorang anggota keluarga luas yang merupakan seorang anggota rumah". Seksyen 2 juga mendefinisikan anggota rumah sebagai seseorang yang pada lazimnya tinggal serumah dengan seorang kanak-kanak. Peruntukan ini amnya mensasarkan kepada sesebuah rumah tangga yang mempunyai ahli yang ramai atau di mana sesebuah extended family itu tinggal. Oleh itu, adalah diharapkan dengan pengenaan tugas ini sekurang-kurangnya masalah penderaan terhadap kanak-kanak boleh dikesan pada peringkat yang lebih awal dan tindakan sewajarnya boleh diambil.

Kegagalan mana-mana ahli keluarga itu untuk memaklumkan perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak yang berlaku di dalam rumah yang didiaminya merupakan satu kesalahan. Namun begitu, jika disabitkan, ahli keluarga yang berkenaan boleh dilepaskan dengan bon atas syarat-syarat yang ditentukan oleh mahkamah. Hanya setelah ahli keluarga ini tidak mematuhi mana-mana syarat yang telah ditetapkan di dalam bon berkenaan, barulah mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

b) Kehadiran Ibu bapa atau Penjaga Semasa Perbicaraan

Seksyen 88(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa jika seseorang kanak-kanak dituduh atas apa-apa kesalahan, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah memerintahkan supaya ibu dan bapa kanak-kanak tersebut hadir ke mahkamah kecuali Mahkamah berpuashati bahawa adalah tidak munasabah untuk mengehendaki kehadiran mereka. Peruntukan mengehendaki ibu bapa atau penjaga hadir di mahkamah semasa perbicaraan adalah satu peruntukan mandatori. Hal ini telah dijelaskan di dalam kes Sia Yik Hung v Public Prosecutor. Di dalam kes ini, Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa kegagalan Majistret untuk memanggil ibu bapa ke mahkamah sedangkan ia diperlukan mengikut seksyen 9 Akta Mahkamah Juvana adalah suatu "failure of justice". Menurut Mahkamah, perkataan "and shall" adalah peruntukan mandatori.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu keluar daripada mahkamah. Keadaan ini mungkin berlaku apabila mahkamah berasa bahawa perintah sedemikian adalah perlu untuk kepentingan kanak-kanak itu. Bagi ibu bapa atau penjaga yang gagal untuk menghadirkan diri di Mahkamah Kanak-Kanak apabila mereka dikehendaki berbuat demikian ia merupakan satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

c) Penyempurnaan Bon Kelakuan Baik

Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman-hukuman tertentu apabila kesalahan telah dibuktikan terhadap seorang kanak-kanak tersebut. Sebagai kuasa tambahan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu menyempurnakan suatu bon bagi kelakuan baik kanak-kanak itu. Mahkamah Kanak-Kanak juga mempunyai kuasa untuk mengenakan satu atau lebih daripada syarat-syarat tambahan di bawah kepada bon berkenaan dan antaranya ialah:

a) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah melaporkan diri di jabatan kebajikan atau balai polis yang berhampiran dengan kediaman ibu bapa atau penjaga pada lat tempoh yang telah ditetapkan oleh mahkamah;
b) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani oleh kanak-kanak itu menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan oleh pusat-pusat tertentu;
c) Bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu berunding dengan guru, guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali sepanjang tempoh bon jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi pendidikan;
d) Jika kanak-kanak itu dihantar ke sekolah yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, maka ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh mahkamah atau.
e) Atau apa-apa syarat lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ketika menjalankan lawatan ke Sekolah Henry Gurney menunjukkan bahawa kurangnya ibu bapa atau penjaga melawat anak-anak mereka yang ditempatkan di sekolah berkenaan. Antara alasan yang telah diberikan ialah kekurangan wang dan jarak sekolah berkenaan yang jauh dari rumah mereka. Sehubungan dengan itu, pihak Suhakam telah mencadangkan supaya Jabatan Penjara Malaysia memberikan subsidi atau bantuan perjalanan kepada ibu bapa kanak-kanak ini dan juga menyediakan tempat penginapan kepada mereka yang datang daripada jauh. Ini adalah kerana sokongan dan dorongan daripada ahli-ahli keluarga adalah penting untuk memberangsangkan pemulihan penghuni-penghuni Sekolah Henry Gurney ini.

Menyedari hakikat bahawa kebanyakan ibu bapa atau penjaga tidak melawat anak mereka yang dihantar ke Sekolah Henry Gurney, maka kerajaan telah memutuskan untuk menjadikan lawatan sebagai satu tanggungjawab statutori ibu bapa atau penjaga. Lantaran daripada itu, ibu bapa atau penjaga yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang telah dinyatakan di dalam seksyen 93(1) Akta 611, jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 dan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh memerintahkan supaya jaminan dilucuthakkan. Walau bagaimanapun, hak untuk didengar hendaklah diberikan kepada ibu bapa atau penjaga sebelum perintah di bawah seksyen 93(1) Akta 611 boleh dibuat, melainkan dapat dibuktikan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu setelah dikehendaki hadir, telah tidak berbuat demikian atau tidak ada atau tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah.

d) Pemeliharaan dan Penjagaan Yang Sepatutnya Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mendapati mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, maka mahkamah antara lain boleh memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaganya menyempurnakan bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama suatu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Peruntukan mengenai penyempurnaan bon ini adalah untuk memastikan kanak-kanak berkenaan bebas daripada sebarang bentuk penderaan. Ia juga merangkumi keadaan di mana terdapat pengabaian atau pertelingkahan antara kanak-kanak itu dengan ibu bapa atau penjaganya. Selain itu, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh membuat perintah supaya kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan itu diletakkan di bawah jagaan seseorang yang layak atau sesuai, atau membuat perintah supaya kanak-kanak itu diletakkan di bawah jagaan seorang Pelindung atau orang lain yang dilantik oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, atau membuat perintah meletakkan kanak-kanak berkenaan di tempat selamat, atau bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa, mencari ibu bapa peliharaan yang didapati sesuai oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu.

Apabila Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat perintah seperti yang dinyatakan di atas, beberapa arahan atau syarat sampingan boleh dibuat oleh mahkamah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu. Antara arahan atau syarat berkenaan adalah:

a) bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu yang ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan di pusat-pusat yang ditetapkan yang ditubuhkan bagi maksud sedemikian;
b) jika kanak-kanak itu diletakkan di suatu tempat selamat, bahawa ibu bapa atau penjaganya hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak; atau
c) jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi pendidikan, bahawa ibu bapa atau penjaganya hendaklah berunding dengan guru atau guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali.

Kesimpulan yang dapat dibuat apabila perintah-perintah seperti di atas dikenakan teratas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu adalah supaya orang-orang yang sepatutnya rapat dengan kanak-kanak itu tidak menjauhkan diri dari kanak-kanak apabila kanak-kanak tersebut dihantar ke tempat-tempat tertentu. Kehadiran ibu bapa atau penjaga boleh menjadi perangsang kepada kanak-kanak itu untuk meneruskan kehidupan mereka kerana kehadiran ibu bapa atau penjaga itu menunjukkan bahawa mereka masih dihargai. Dalam kes Public Prosecutor v Nazarudin bin Ahmad & Ors, tertuduh ketiga telah membuat permohonan kepada mahkamah untuk ditempatkan di Penjara Taiping dan bukannya Penjara Kajang. Menurut Yang Arif Hakim, sungguhpun mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menentukan penjara manakah seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan akan ditempatkan, tetapi mengambil kira faktor bahawa umur tertuduh yang masih muda dan ahli keluarganya berada di Taiping, maka dicadangkan supaya dia di hantar ke Penjara Taiping. Menurut Yang Arif Hakim:

Visitation and constant contact by the family are crucial for a person of such young age serving a prison sentence. A term of imprisonment in such a situation without constant family contacts may have the adverse social problem of making a person of such youth and immaturity become a hard core criminal.

Sungguhpun kes di atas melibatkan pesalah muda yang dijatuhkan hukuman penjara tetapi mahkamah masih berpendapat lawatan dan pertemuan yang berterusan oleh ahli keluarga adalah sangat perlu kepada pesalah muda yang sedang menjalani hukuman penjara. Dari segi analogi, perkara yang sama juga diperlukan apabila seseorang kanak-kanak itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney atau Pusat Pemulihan iaitu lawatan dan perhubungan yang berterusan dengan ahli keluarga. Menurut Profesor Chiam Heng Keng:

The importance of imparting to children the message that adults care and desire to be of assistance will go a long way in reducing incidence of juvenile delinquency. Underlying every individual is the need to be loved, accepted and to belong. This need is so strong that if it is not possible to have this need be fulfilled in acceptable ways, the individual will seek its gratification by hook or by crook.

Our reaction to the juvenile delinquents should not be one of accusation. Instead, we should look for ways to restore them.

Pengenaan tanggungjawab undang-undang ini ke atas ibu bapa atau penjaga sebenarnya adalah untuk mengelak kanak-kanak ini kembali melakukan perbuatan jenayah apabila mereka dibebaskan kelak. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Profesor Abdul Hadi Zakaria, perlakuan kanak-kanak boleh diperbaiki dengan meningkatkan hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain.  Ini adalah perlu kerana apabila kanak-kanak yang ditahan dibebaskan kelak mereka mungkin mengalami masalah untuk menyesuaikan diri mereka kecuali masyarakat dapat menerima mereka. Berdasarkan kajian yang dijalankan di pusat akhlak, hanya 35.7 peratus sahaja gadis yang berada di pusat akhlak dilawati oleh keluarga mereka setiap bulan. Manakala 14.3 peratus yang lain dilawati sekali dalam dua hingga tiga bulan, 14.3 peratus berikutnya menerima lawatan sekali bagi setiap lima hingga lapan bulan manakala yang lain langsung tidak dilawati sepanjang tempoh mereka berada di pusat akhlak berkenaan.

Di samping itu, terdapat beberapa kategori pelatih yang tidak dibenarkan menerima pelawat. Walau bagaimanapun, perhubungan dengan ahli keluarga atau kawan masih boleh dibuat melalui surat. Berdasarkan kajian yang dijalankan, hanya 14.3 peratus pelatih menerima sekurang-kurangnya sepucuk surat pada setiap bulan. Manakala 48.9 peratus pelatih langsung tidak pernah menerima surat sepanjang mereka berada di pusat akhlak. Berdasarkan temu bual yang dijalankan, ada pelatih menyatakan bahawa ahli keluarga telah "membuang" mereka ataupun ahli keluarga berasa bahawa tanggungjawab mereka telah beralih kepada kerajaan apabila kanak-kanak berkenaan ditahan di pusat akhlak. Tanggapan seumpama ini adalah salah dan harus dikikis oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu. Tanggungjawab terhadap kanak-kanak berkenaan masih tidak berubah iaitu terletak di bahu ibu bapa atau penjaga. Peranan kerajaan atau agensi-agensi yang berkenaan adalah untuk membantu memulihkan kanak-kanak yang bermasalah dan ibu bapa atau penjaga perlu menyuntik sesuatu yang sangat penting iaitu kasih sayang dan perhatian keluarga. Apabila gandingan antara agensi-agensi  kerajaan dan ibu bapa atau penjaga ini berjalan dengan lancar, maka hasilnya sudah pasti akan lebih memuaskan daripada membiarkan kanak-kanak ini tanpa kasih sayang yang sewajarnya dari ahli keluarga.

Memandangkan bahawa tugas ini merupakan tanggungjawab undang-undang maka kegagalan mana-mana ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu untuk mematuhi arahan atau syarat yang telah dikenakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah satu kesalahan dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 jika didapati bersalah.

e) Tanggungjawab Untuk Tidak Menganiaya, Mengabai, Membuang atau Mendedahkan Kanak-kanak

Penderaan terhadap kanak-kanak sama ada dari segi fizikal, emosi atau seksual bukanlah satu perkara yang baru di negara ini. Ada kanak-kanak yang dirogol oleh bapa kandung, bapa tiri, datuk, abang dan sebagainya. Ada kanak-kanak yang didera dengan pelbagai cara yang tidak pernah terfikir oleh manusia normal - penderaan ini boleh dilakukan oleh seorang ibu bapa atau penjaga ke atas anak-anak mereka. Lantaran itu, seksyen 31(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa sekiranya mana-mana orang yang mempunyai tugas pemeliharaan seorang kanak-kanak, menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu atau menyebabkan atau membenarkan kanak-kanak itu dianiaya, diabai, dibuang atau didedah hingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi atau seksual, maka orang berkenaan telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 31 Akta 611. Akta 611 juga telah memperuntukkan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu dianggap mengabaikan kanak-kanak itu jika tidak menyediakan kepada kanak-kanak berkenaan makanan, pakaian, rawatan perubatan atau pergigian, penginapan atau pemeliharaan yang mencukupi sekiranya beliau berupaya mempersediakan perkara-perkara di atas. Jika seseorang itu didapati bersalah di bawah seksyen 31 Akta 611, maka hukuman yang berat boleh dikenakan iaitu denda tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya. Selain itu, mahkamah juga boleh memerintahkan orang berkenaan menyempurnakan bon kelakuan baik.

f) Kanak-Kanak Digunakan Sebagai Pengemis dan Lain-lain

Penggunaan kanak-kanak sebagai pengemis bukanlah satu fenomena yang baru kerana di banyak tempat, terutamanya di kawasan bandar, kanak-kanak digunakan untuk mengemis atau menjaja. Perkara yang sama juga berlaku di negara jiran di mana kanak-kanak digunakan untuk menjaja di tepi-tepi jalan tanpa menghiraukan bahaya yang datang. Terdapat keadaan di mana kanak-kanak telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi memungut derma atas pelbagai tujuan. Menyedari hakikat bahawa perlakuan ini adalah sangat berbahaya kepada keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak maka satu peruntukan yang khusus telah dimasukkan di dalam Akta 611. Seksyen 32 Akta 611 memperuntukkan bahawa mana-mana orang termasuk ibu bapa atau penjaga yang menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana kanak-kanak itu mengemis atau meminta sedekah dengan cara menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa untuk jualan atau menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang seperti loteri haram, perjudian atau lain-lain aktiviti yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

g) Membiarkan Kanak-Kanak Tanpa Pengawasan

Terdapat banyak kes yang mengakibatkan bencana kepada kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di rumah atau di dalam kenderaan. Pada 18 April 2001, tiga orang kanak-kanak telah terkorban dalam satu kejadian kebakaran. Dalam kejadian ini, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan tanpa pengawasan oleh pengasuh. Seorang kanak-kanak berusia lima tahun telah terbunuh apabila terjatuh daripada sebuah pangsapuri. Kanak-kanak ini dilaporkan keluar untuk mencari ibunya tetapi gagal. Manakala seorang kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan bapanya telah dilarikan oleh pencuri yang cuba mencuri kereta berkenaan. Begitu juga dengan kejadian di mana tiga orang kanak-kanak berserta ibu mereka yang sedang sarat mengandung mati di dalam kereta kerana terhidu gas karbon dioksida yang berlebihan. Di dalam kejadian berkenaan, bapa kanak-kanak berkenaan telah meninggalkan anak-anaknya dan juga isteri di dalam kereta dengan penghawa dingin yang terpasang selama beberapa jam.

Permasalahan ini cuba diratifikasikan dengan memperuntukkan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang meninggalkan kanak-kanak itu tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan atau pemeliharaan yang berpatutan untuk satu tempoh yang lama, atau meninggalkan kanak-kanak berkenaan di dalam keadaan yang tidak berpatutan, melakukan kesalahan di bawah seksyen 33 Akta 611 dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau di penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Peruntukan ini lebih menjurus ke arah mengelakkan kecuaian di pihak ibu bapa atau penjaga yang mengambil sikap kurang berhemat atau berhati-hati. Peruntukan ini bukan hanya untuk ibu bapa atau penjaga yang meninggalkan anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka di dalam kereta tetapi juga dihujahkan terpakai kepada mereka yang meninggalkan anak-anak tanpa penjagaan di dalam rumah.

h) Sumbangan Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga tidak hilang hanya kerana anak mereka telah diperintahkan supaya diletakkan di bawah jagaan orang yang layak, atau kerana kanak-kanak berkenaan dihantar ke asrama akhlak, sekolah yang diluluskan, Sekolah Henry Gurney, institusi atau pusat yang diluluskan atau diletakkan di tempat perlindungan. Mengikut seksyen 108 Akta 611, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang membuat perintah seperti di atas boleh mengeluarkan satu perintah sampingan iaitu mengarahkan ibu bapa atau penjaga membuat apa-apa sumbangan atau sumbangan bulanan setelah mengambil kira keadaan kemampuan ibu bapa atau penjaga. Perintah sumbangan seperti di dalam seksyen 108(1) Akta 611 juga hanya boleh dibuat setelah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak memberi peluang kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut peluang untuk didengar.

Perintah sumbangan ini juga boleh dihapuskan, diperbaharui atau diubah jika permohonan telah dibuat oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan, Pelindung atau pegawai akhlak. Sesuatu perintah sumbangan yang telah dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah berkuatkuasa selama kanak-kanak itu berada di bawah pemeliharaan seseorang yang layak. Bagi kanak-kanak yang berada di institusi yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, perintah sumbangan ini akan terus berkuatkuasa sehingga kanak-kanak itu tidak lagi berada di bawah pemeliharaan orang yang sedang menjaga tempat perlindungan, asrama akhlak, sekolah diluluskan, Sekolah Henry Gurney atau institusi atau pusat yang diluluskan itu.

Apabila ibu bapa atau penjaga dengan sengaja mengengkari perintah sumbangan ini, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh dengan waran mengarahkan supaya amaun yang tertunggak itu dilevi dengan cara yang diperuntukkan oleh undang-undang. Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh menjatuhkan hukuman penjara sebagai alternatif, iaitu satu bulan penjara bagi satu bulan sumbangan yang masih belum dibayar. Walau bagaimanapun, tempoh pemenjaraan berkenaan akan tamat apabila amaun sumbangan yang kena dibayar itu telah dijelaskan.

i) Pembayaran Pampasan Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Jika seseorang kanak-kanak dituduh dengan kesalahan yang boleh dikenakan denda dan pampasan atau kos atau kedua-duanya, dan mahkamah berpendapat bahawa kes berkenaan boleh diselesaikan sebaik-baiknya dengan mengenakan kesemua atau mana-mana penalti di atas selain daripada hukuman lain, maka mahkamah boleh memerintahkan supaya denda yang dikenakan itu atau award pampasan atau kos itu dibayar oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan. Walau bagaimanapun, perintah ini tidak akan dibuat jika ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah ataupun mereka tidak terlibat dalam membantu menyebabkan perlakuan kesalahan berkenaan kerana cuai dalam memelihara kanak-kanak berkenaan dengan sewajarnya. Di dalam kes Public Prosecutor v Saiful Afikin bin Mohd Firus, responden yang merupakan seorang pesalah muda telah mengaku salah di atas tuduhan mematikan orang dengan salah. Pada masa melakukan kesalahan berkenaan beliau berumur 16 tahun. Mahkamah Juvana yang mendengar kes berkenaan telah membuat beberapa perintah dan antaranya adalah supaya penjaga beliau membayar sebanyak RM 1,500.00 kepada keluarga mangsa sebagai pampasan. Seksyen 13 Akta Mahkamah Juvana memperuntukkan bahawa apabila mahkamah mendapati bahawa kesalahan terhadap kanak-kanak itu adalah terbukti, mahkamah boleh membuat beberapa arahan yang termasuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga membayar pampasan. Sebelum ibu bapa atau penjaga diarahkan untuk membayar pampasan, hak untuk didengar hendaklah diberikan. Walau bagaimanapun, di dalam kes ini, ibu kanak-kanak berkenaan tidak ditanya tentang pembayaran pampasan ini. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah Juvana telah melakukan satu kesilapan yang serius dan menjadikan arahan tersebut tidak sah.

Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mendapati kesalahan terhadap kanak-kanak berkenaan telah terbukti atau kanak-kanak itu mengakui fakta yang mewujudkan kesalahan, maka mahkamah boleh membuat perintah yang mengehendaki ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan membayar pampasan atau kos atau memberi jaminan bagi kelakuan baik kanak-kanak berkenaan. Apabila ibu bapa atau penjaga memberi jaminan berkelakuan baik bagi seorang kanak-kanak, maka salah satu syarat di dalam seksyen 93(1) Akta 611  boleh dikenakan ke atas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan. Kegagalan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan mematuhi syarat-syarat jaminan tersebut boleh menyebabkan jaminan yang diberikan itu dilucuthakkan.


Kesimpulan

Apa yang jelas daripada peruntukan-peruntukan yang telah dibincangkan di atas adalah bahawa tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tidak akan terlepas jika kanak-kanak di bawah jagaan mereka terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah. Kini ibu bapa atau penjaga diajak bersama-sama untuk membantu menangani masalah sosial yang dialami oleh kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Adalah tidak adil kepada semua pihak jika ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu bersikap "lepas tangan" selepas anak mereka didapati melakukan sesuatu kesalahan. Pada masa yang sama, ibu bapa atau penjaga juga harus menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin dan mengelak daripada sebarang perbuatan penderaan, pengabaian dan kecuaian yang boleh mengakibatkan penderitaan sama ada dari segi fizikal atau emosi kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Pengenaan tugas dan tanggungjawab melalui undang-undang ke atas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak merupakan satu kaedah untuk memastikan kanak-kanak yang telah terlibat dengan jenayah atau yang menjadi mangsa deraan tidak terus hanyut dan menderita. Walau bagaimanapun, menuding jari semata-mata tidak akan membantu, sebaliknya semua pihak harus bekerjasama bagi mengatasi segala masalah yang berkaitan dengan kanak-kanak. Tujuan dan matlamatnya adalah jelas iaitu supaya kanak-kanak di negara ini dapat hidup di dalam keadaan yang sempurna dan sejahtera.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.

Sumber : http://www.commonlii.org/my/journals/JMCL/2005/6