Selasa, 26 Mac 2013

ISU KEPENGGUNAAN : Cara mudah membudayakan penjimatan elektrik


PENGGUNA yang terasa beban kos kehidupan sebenarnya, mempunyai dua pilihan untuk mengatasi keadaan itu iaitu berusaha mendapatkan lebih wang atau kurangkan perbelanjaan.

Kekangan masa, bagaimanapun, menjadikan pilihan kedua sebagai lebih mudah dan praktikal untuk dilakukan.

Ini boleh dimulakan dari rumah, antaranya dengan memastikan penggunaan elektrik secara berhemah yang seterusnya mampu mengurangkan perbelanjaan bil elektrik dengan nyata.

Kemampuan mengurangkan bil elektrik dengan penggunaan berhemah misalnya dibuktikan melalui satu projek pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Marudi, Baram, Sarawak.

Projek ini berjaya memenangi pertandingan kecekapan tenaga anjuran Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), sekaligus membuktikan kadar penggunaan elektrik dapat dikurangkan sehingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan.  
  
Melindungi kepentingan semua pihak
    
Ia dianggap sebagai satu penjimatan wang yang ketara, malah Setiausaha Agung Wecam, Foon Weng Lian amat teruja menyaksikan kejayaan penjimatan yang sebenarnya lebih tinggi berbanding 50 peratus sasaran penjimatan.

Kesatuan Wecam ditubuh oleh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan penggerak lain industri air dan tenaga bagi melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna berhubung kitar air dan tenaga negara.

Menariknya, projek pelajar SMK Marudi hanya mengubah beberapa tabiat biasa tetapi amat praktikal termasuk meninggikan suhu penyaman udara di bilik guru dan sebagainya kepada 24 darjah Celsius.

"Banyak pejabat tidak melaraskan suhu penyaman udara mengikut keperluan sebaliknya ditetapkan kepada 16 darjah Celsius sepanjang masa sedangkan tabiat itulah yang banyak merugikan tenaga," tegas Foon.

Terkini, kerajaan juga mengambil inisiatif mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan pejabat kerajaan menaikkan suhu penyaman udara sekitar 23-24 darjah Celsius.
  
Contohi SMK Marudi

Beliau mengajak orang ramai mencontohi projek pelajar berkenaan termasuk mematikan penyaman udara dan sebaliknya menghidupkan kipas pada hari hujan, serta kerap membuka tingkap untuk meningkatkan peredaran udara.

Lampu juga jarang digunakan pada waktu siang sebaliknya sekolah itu memilih untuk menghias bilik menggunakan warna terang yang membenarkan pantulan cahaya semulajadi menerangi bilik.

Foon mengakui kagum dengan komitmen pelajar yang berjaya membuktikan bil elektrik boleh dijimatkan dengan banyak melalui transformasi tingkah laku dan tabiat harian.

Justeru Foon menyeru agar pengguna khususnya ibu bapa dapat belajar daripada pengalaman pelajar sekolah itu dan dapat mengubah beberapa tabiat dalam kehidupan seharian bagi membantu mengurangkan perbelanjaan.

Beliau memberi contoh satu tabiat pembaziran universal iaitu tidak mematikan suis televisyen dan dekoder tv kabel apabila tidak digunakan.

"Dekoder yang berada pada mod bersedia sebenarnya masih menggunakan sekitar 85 hingga 90 peratus tenaga elektrik, bayangkanlah berapa banyak tenaga elektrik yang dibazirkan sekiranya ia tidak ditutup sepanjang malam atau 24 jam sehari," tanya Foon.

Arus pendam masih mengalir
  
Selain menutup suis perkakas elektrik yang tidak digunakan, pengguna juga digesa menanggalkan terus palam perkakas daripada punca kuasa elektrik.

Tegas Foon, masih terdapat arus tenaga pendam yang mengalir merentasi palam ke peralatan elektrik berkenaan jika tidak dicabut meskipun suis telah dimatikan.

Malahan, amalan menanggalkan plak sebenarnya menyelamatkan perkakas elektrik, apabila berlakunya arus limpah ekoran ribut petir yang boleh menyambar litar elektrik dan merosakkan perkakas.

Antara tip mudah yang boleh menjadi amalan sekeluarga di rumah adalah memastikan lampu dan kipas dipadam jika tidak digunakan, jangan sesekali meninggalkan komputer dan alatan elektrik lain selama lebih 30 minit tanpa dimatikan dan palamnya ditanggal daripada punca kuasa.

Pilih dengan teliti barangan elektrik yang lebih menjimatkan tenaga seperti TV yang menggunakan monitor LCD, pemanas air segera berbanding pemanas air dalam tong dan lampu kalimantang berbanding lampu mentol bulat. 

Budaya penjimatan elektrik

Apapun amalan penggunaan tenaga secara cekap itu perlu dijadikan budaya walau di mana kita berada termasuk di pejabat, tempat awam atau semasa bercuti di resort.

Bayangkanlah jika setiap daripada kita membudayakan amalan ini, sudah tentu kadar penjanaan tenaga elektrik negara dapat dikurang atau sekurang-kurangnya kekal pada satu paras mendatar. Ini seterusnya akan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ke atmosfera dan membantu mengatasi pencemaran alam sekitar.

Ini juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan keseluruhan penjanaan dan penghantaran elektrik negara, lantas mengawal kebarangkalian kenaikan tarif elektrik yang mendadak.

Lagipun sampai bila Petronas mampu membayar bebanan subsidi gas asli sebanyak 66 peratus berbanding harga pasaran, untuk menanggung kos penjanaan tenaga elektrik.

Sedangkan kita sebagai pengguna mahu terus menikmati subsidi dan kita mengeluh apabila tarif elektrik terpaksa dinaikkan bagi menanggung kos penghasilan tenaga yang sentiasa meningkat.

Beli alat elektrik selamat 

Kerajaan sebenarnya menjalankan banyak kajian dan insentif bagi menggalakkan pengguna menggunakan tenaga elektrik secara cekap.

Malah, Suruhanjaya Tenaga yang mewujudkan label jaminan kecekapan tenaga untuk ditampal pada perkakas dan alatan elektrik yang memenuhi piawai keselamatan dan kecekapan penggunaan elektrik.

"Malangnya terlalu ramai pengguna yang tidak membaca apatah lagi memahami label jaminan itu termasuklah jurujual kedai elektrik," keluh Foon.

Selain itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyediakan baucer program Mencapai Kelestarian Menerusi Kecekapan Tenaga (SAVE) iaitu RM200 bagi peti sejuk dan RM100 bagi penyaman udara yang menepati piawai kecekapan tenaga.

Layari laman web www.switch.org.my serta www.saveenergy.gov.my untuk memahami lebih banyak cara menjimatkan tenaga elektrik serta aplikasi kalkulator untuk mengira sendiri penggunaan elektrik harian anda. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : 1,000 pelajar cemerlang STPM Negeri Pahang 2012 dirai

Antara  pelajar cemerlang yang menerima sijil.
Wajah ceria penerima Anugerah Kecemerlangan Khas Pelajar STPM 2012.
KUANTAN : Seramai 1,000 pelajar yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 terpilih menyertai Majlis Konvokesyen Prauniversiti Negeri Pahang buat julung kalinya diadakan pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakub merangkap Canselor berkata, majlis yang diadakan ini merupakan platform pertama pelajar  untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, majlis bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada pelajar yang berjaya setelah mereka melepasi tahap pendidikan peringkat STPM.

“Majlis ini diharap dapat memberi motivasi kepada pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah dengan prestasi lebih cemerlang dan mengiktiraf bahawa mereka layak untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

“Secara tidak langsung ia dapat menghidupkan semangat persaingan dalam persahabatan dalam kalangan pelajar ini. Masing-masing akan rasa tercabar untuk memperoleh kejayan,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan pendidikan penting untuk diterapkan dalam jiwa golongan muda yang bertanggungjawab sebagai pelapis pemimpin untuk membangunkan negara pada masa depan.

Adnan berkata, kerajaan sangat menitikberatkan soal pendidikan anak-anak kerana kemajuan sesebuah negara terletak di tangan rakyat.

“Sejak merdeka sehingga hari ini, negara kita masih kekal aman damai dengan kestabilan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Oleh itu, saya harap agar pelajar yang cemerlang hari ini menjadi contoh teladan yang baik kepada pelajar-pelajar lain,” katanya.

Sementara itu, bagi Anugerah Kecemerlangan Khas kategori pelajar di terima Che Liyana ‘Izzati Che Rozali dari SMK  Jengka 2, Maran dan Mohamad Shamsul Amin Md Yusof dari SMK Agama Pahang, Muadzam Shah yang mendapat keputusan 5 A (4.0).

Menurut Che Liyana, dia berasa bertuah diraikan dalam majlis itu yang sekali gus menaikkan semangat untuknya membuktikan kejayaan pada peringkat yang seterusnya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/.

Isnin, 25 Mac 2013

MELAYU


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

Sasterawan Negara Usman Awang

ISU PENGAJIAN TINGGI : Gagal kuasai BI punca penuntut IPT tempatan gagal sesi temu duga

Aktiviti debat mampu meningkatkan kemahiran komunikasi  pelajar
Oleh : MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU 24 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang didapati masih lemah menyebabkan mereka sering kali gagal dalam sesi temu duga.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, selain lemah bahasa Inggeris, siswazah IPT tempatan juga dikatakan memiliki tahap berkomunikasi yang rendah dan perkara tersebut diakui serta sering kali dibangkitkan oleh pihak industri.

"Atas kegagalan itu mereka akhirnya gagal mendapat pekerjaan walaupun berulang kali menghadiri temu duga.

"Pelajar kita ini dari segi peperiksaan mereka bagus, dari segi penguasaan dan komunikasi mereka lemah. Mereka boleh menjawab soalan, tetapi  apabila bercakap, menghadiri temuduga, atau menyampaikan ceramah tidak sampai tahap yang memuaskan. Kita akan memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebolehpasaran Graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Kota,  universiti berkenaan di sini hari ini. - UTUSAN

ISU BAHASA : Frasa di mana tidak boleh jadi penghubung ayat


PERKATAAN mana ialah kata ganti nama diri tanya. Selain perkataan mana, apa dan siapa juga tergolong dalam kata ganti nama diri tanya.

Mana ialah kata ganti nama yang merujuk benda atau orang. Apa merujuk benda dan perkara, dan siapa merujuk orang. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:

1. Apakah yang di dalam kotak itu?

2. Mana buah keranji yang saya bawa tadi?

3. Siapakah yang memenangi acara 100 meter lelaki?

Ketiga-tiga perkataan ini boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa rujukan tidak tentu atau penegasan. Misalnya: Apa menjadi apa-apa, mana menjadi mana-mana, dan siapa menjadi siapa-siapa (sesiapa).

Perhatikan perbezaan makna dalam ayat-ayat contoh berikut:

4. Tidak dibenarkan siapa-siapa pun masuk ke dalam dewan ini.

5. Pilihlah mana-mana buah delima yang kamu hendak.

6. Apa-apa yang baik, jadikanlah teladan.

Perkataan mana, apabila didepani oleh kata depan di menerbitkan frasa sendi nama yang merujuk tempat. Misalnya:

7. Di mana kita akan bermalam nanti?

Frasa di mana dalam ayat (7) merujuk tempat kita hendak bermalam.

Namun begitu, wujud pula kekerapan yang tinggi penggunaan frasa di mana ini sebagai kata hubung dalam ayat.

Dalam penulisan, dua ayat atau lebih dihubungkan antara satu sama lain dengan menggunakan kata hubung sebagai ikatan; dan ayat gabungan yang terhasil ini dikenal sebagai ayat majmuk.

Dalam binaan ayat majmuk, kita perlu menggunakan kata hubung yang sesuai dengan maksud yang terkandung dalam ayat supaya ayat yang terbina itu gramatis.

Ayat yang dibina akan menjadi salah tatabahasanya jikalau kata hubung yang tidak sesuai digunakan.

Nampaknya, sudah menjadi satu kecenderungan pengguna bahasa, menggunakan frasa di mana sebagai penghubung antara dua ayat dalam penulisan dan pertuturan.

Dengan berdasarkan fungsi penggunaannya, jelaslah frasa di mana tidak boleh digunakan sebagai penghubung ayat kerana ayat yang terbentuk begitu janggal rasanya, malah ayat yang demikian bersifat keinggerisan.

Perhatikan ayat contoh berikut:

8. Wasiat merupakan satu-satunya cara di mana seseorang itu boleh memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

9. Sesuatu perindustrian di mana barang-barang dikeluarkan mungkin beratus-ratus kilometer jauhnya daripada pengguna.

Ayat (8) boleh dibina tanpa menggunakan perkataan di mana. Malah, tanpa perkataan di mana, ayat itu sudah sempurna maksudnya. Ayat berkenaan boleh ditulis semula sebagai :

8a. Wasiat merupakan satu-satunya cara seseorang itu boleh memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Kata di mana dalam ayat (9) pula kelihatan diada-adakan, sedang frasa tersebut dapat digantikan dengan perkataan "tempat" yang lebih jelas dan tepat kepada makna ayat tersebut. Oleh itu, ayat (9) boleh ditulis semula sebagai:

9a. Sesuatu perindustrian tempat barang-barang dikeluarkan mungkin beratus-ratus kilometer jauhnya daripada pengguna.

Demikian huraian ringkas tentang kesalahan penggunaan frasa di mana yang tidak mengikut aturan bahasa. Oleh itu, kuasailah aturan bahasa ini yang telah ditetapkan supaya kesalahan berbahasa dapat dielakkan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Menjadi spesies terbaik di dunia


TAHUKAH anda berapa banyak spesies terkandung dalam lautan sedunia?

Menurut angka terbaru yang tersiar dalam jurnal Current Biology dalam talian, jumlahnya hinggakan sejuta - daripada krustasia terkecil kepada paus terbesar.

Anggaran itu disokong World Register of Marine Species, satu pangkalan dalam talian mengenai spesies marin di seluruh dunia.

Daripada angka sejuta itu, cuba teka berapa banyak spesies ditemui dan dikaji sejauh ini?

Cuma 226,000 atau kurang suku.

Memang spesies baru sering ditemui tanpa henti. Bagi ketam saja, misalnya, 50 sehingga 60 spesies baru ditemui setiap tahun.

Maksudnya, jika anda ada hati menemui spesies baru dan menamakannya dengan nama anda, peluang masih terbuka luas! Bayangkan ketam bernama 'Al-Ketam Rahman Basrun'!

Masalahnya, banyak bahagian dunia belum dapat diteroka, misalnya di dasar laut yang begitu gelap dan besar tekanannya.

Nak sampai ke sana saja memerlukan kepakaran tinggi dan peralatan yang begitu mahal dan istimewa.

Itu baru jumlah hidupan dalam lautan. Bagaimana pula jumlah hidupan di seluruh dunia, baik di darat mahupun di udara?

Alahai, sukar menelaahnya.

Anggaran saintis berbeza-beza.

Namun, satu laporan dalam jurnal PLoS Biology menyatakan jumlah spesies sedunia kira-kira 8.7 juta.

Angka itu berdasarkan kaedah yang dikatakan paling tepat setakat ini oleh para saintis.

Itu pun tidak termasuk bakteria dan beberapa jenis mikrorganisme.

Yang menarik, daripada 8.7 juta spesies itu, hanya kurang 2 juta spesies telah dinamakan dan digolongkan dalam masa dua setengah abad yang lalu.

Nak menggolongkan kesemuanya - satu bidang digelar taksonomi - akan mengambil masa lebih 1,000 tahun lagi jika menggunakan kaedah sedia ada!

Ia sejajar ayat 109 Surah Al-Kahfi - bahawa jka seluruh air lautan menjadi dakwat pun tidak cukup untuk menuliskan ayat-ayat atau ilmu Maha Pencipta.

Secara kasar, terdapat kira-kira 80,500 spesies haiwan jenis vertebrat (ada tulang belakang) - reptilia berjumlah 10,000 spesies, mamalia 5,500, unggas 10,000, amfibia 15,000 dan ikan 40,000.

Bagi haiwan invertebrat (tanpa tulang belakang) pula, serangga 5 juta spesies, araknik 600,000, moluska 200,000, krustasia 150,000, ekinoderma 14,000 dan lain-lain 791,830 - kesemuanya berjumlah 6,755,830.

Tumbuh-tumbuhan pula berjumlah 390,800 spesies - tumbuh-tumbuhan berbunga (angiosperma) 352,000, konifer (gimnosperma) 1,050, tumbuhan tidak berbunga (fern) 15,000 dan lumut (mosses) 22,750.

Sistem taksonomi yang rata-rata masih digunakan hari ini telah dibangunkan oleh ahli biologi Sweden, Carl Linnaeus, pada 1758.

Sistemnya itu menggolongkan spesies ke dalam genus, kemudian family (keluarga), kemudian order, kemudian class (kelas), kemudian phylum dan akhirnya kingdom.

Cendekiawan Islam Al-Jahiz dalam abad kesembilan pula telah secara saintifik menggolongkan haiwan secara teratur - bermula dengan yang paling mudah kepada yang paling rumit - dalam karyanya, Kitab Al-Hayawan, yang turut mengandungi bibit-bibit teori tentang evolusi sebelum Darwin lagi.

Begitulah ketelitian Allah swt dalam mencipta makhluk-Nya, bukan secara rambang, tetapi menurut struktur dan susunan yang pasti.

Bak firman-Nya dalam ayat 38 Surah Al-An'am:

"Tidak seekor binatang yang melata di bumi dan tidak seekor burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan (ia juga) umat seperti kamu."

Tiada satu pun diciptakan-Nya secara sia-sia; kesemuanya untuk manfaat manusia - termasuk sebagai sumber makanan, ubat, pengangkutan (kuda) dan riadah (kucing).

Yang mengagumkan, setiap jenis hidupan dalam alam ini berzikir kepada-Nya (ayat 44 Surah Al-Isra).

Dalam hadis riwayat Imam Bukhari, Abu Hurairah ra menukil sabda Nabi Muhammad saw:

"Ada seekor semut pernah menggigit seorang nabi, maka dia memerintahkan agar didatangi sarang semut, lalu dibakarlah sarang itu. Allah menurunkan wahyu kepada nabi itu: "Apakah kerana seekor semut menggigitmu, kamu membinasakan salah satu umat yang sentiasa bertasbih kepada Allah?"

Bezanya, manusia memiliki akal dan mampu membuat keputusan sendiri, sementara haiwan pula mengikuti rasa naluri mereka.

Lantaran itulah, haiwan terlepas daripada perhitungan di akhirat nanti dari segi dimasukkan ke syurga atau neraka.

Persoalannya, kita dijadikan sebagai spesies yang sebaik-baiknya (ayat 4 Surah At-Tin).

Namun, adakah kita menggunakan kelebihan akal kita itu dengan sebaik-baiknya - atau bertindak setakat menuruti naluri binatang?

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

Ahad, 24 Mac 2013

ISU PENDIDIKAN : Lepasan SPM perlu bijak memilih bidang pengajian di universiti

GUNAKAN medium teknologi untuk mencari maklumat diingini

Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Debaran menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah berakhir minggu lalu dan kini masanya pula untuk merencanakan masa depan.

Ada banyak pilihan boleh dibuat, namun penulis percaya ramai yang kini sedang berpusu-pusu mengisi borang kemasukan Unit Pengambilan Pelajar (UPU) atau tercari-cari program sesuai diikuti untuk melanjutkan pengajian.

Biarpun mempunyai keputusan yang melayakkan banyak pilihan program, ramai lepasan SPM masih lagi salah membuat pilihan atau terkeliru dengan kehendak sendiri mahupun orang lain. Akhirnya mereka ‘tersung­kur’ hingga menjejaskan masa depan.

Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Pengambilan Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Muhamad Nizam Noordin berkata, antara faktor mengapa lepasan SPM berdepan dilema atau salah membuat pilihan kerana tidak memperoleh maklumat lengkap mengenai program selain tidak selari dengan minat.

Menurutnya, sebagai empunya diri yang bakal melanjutkan pengajian, mereka perlu berusaha mencari apa jua maklumat dan bukan mengharapkan orang lain yang membuat keputusan.

“Bersikap lepas tangan atau menyuruh orang lain membuat pilihan bukan satu tindakan bijak, malah mungkin boleh mengundang masalah pada masa depan.

“Calon sebagai empunya diri juga perlu berusaha dan membuat keputusan sendiri kerana mereka yang bakal belajar.

“Membenarkan orang lain untuk membuat keputusan, membuat keputusan salah kerana bertentangan dengan minat atau salah memperoleh maklumat hanya akan menyebabkan mereka kecewa,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan program seharusnya dibuat awal kerana lepasan SPM mempunyai masa hampir setengah tahun untuk membuat keputusan.

“Itu belum ditambah pendedahan mengenai program, prospek kerjaya mahupun pelbagai maklumat lagi sepanjang tempoh belajar.

“Jadi, tidak mungkin soal salah pilih, kurang maklumat atau tidak suka boleh timbul kerana akses ke arah itu kini sudah terlalu mudah.

“Kemungkinan kurang persediaan atau sikap ambil mudah untuk merancang masa depan menyumbang ke arah itu,” katanya.

Seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun lalu dengan 15,793 calon memperoleh Gred A bagi semua mata pelajaran diambil.

Muhamad Nizam berkata, lepasan SPM juga diingatkan supaya lebih teliti membuat pilihan bagi mengelakkan konflik dan masalah berbangkit selepas mengikuti program ditawarkan.

Katanya, kesilapan itu bukan saja merugikan, malah merumitkan lagi keadaan kerana pertukaran program tawaran dengan program lain tidak mudah dan perlu mengikuti prosedur ditetapkan institusi pengajian.

“Perlu ingat, setiap kali penawaran tempat diberikan, ia bermakna muktamad. Sebarang permohonan pertukaran program atau kursus sukar dipertimbangkan kecuali jika benar-benar mempunyai alasan kukuh.

“Proses pengambilan juga membabitkan skala besar dengan puluhan ribu yang memohon. Institusi ada piawaian tersendiri untuk dipatuhi.

“Justeru, bagi yang ingin menyambung pelajaran, pastikan diri sudah muktamad dengan keputusan sedia ada. Jangan ada rasa ragu kerana ia juga boleh mengakibatkan masalah seperti patah semangat andai permohonan penukaran program ditolak,” katanya.

Katanya, kesilapan membuat pemilihan program boleh memberi kesan jangka panjang kerana turut berkait dengan peluang kerjaya selepas tamat pengajian.

“Satu sebab kita memohon masuk universiti atau kolej kerana ingin memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Oleh sebab itu penting menetapkan secara mutlak pilihan program kerana salah jangkaan boleh mendatangkan kesan terhadap pemilihan kerjaya.

“Benar ada kerjaya boleh diceburi dengan program pengkhususan berbeza tapi lebih baik jika dunia pekerjaan itu diselarikan dengan spesifikasi program ketika di institusi,” katanya.

Beliau tidak menolak pengaruh rakan juga boleh menyebabkan kesilapan pelajar ketika membuat pilihan.

“Ada pelajar beranggapan mengikut kata atau rentak rakan berbaloi, tapi jika pilihan ini dibuat bersandarkan faktor itu sebenarnya sangat berbahaya.

“Kemampuan seseorang berbeza antara satu sama lain. Mungkin rakan kita ada kemampuan mengikuti program tertentu tapi kita tidak.

“Jadi mengapa perlu memperjudikan masa depan semata-mata mahu mengikut rakan, sedangkan kita juga masih boleh membuat pilihan sendiri,” katanya.

Dengan pelbagai penawaran program disediakan institusi hari ini, beliau yakin pelajar lepasan SPM mempunyai banyak pilihan untuk disesuaikan dengan minat dan cita-cita.

“Jika dulu mungkin lepasan SPM hanya terikat pada pilihan tipikal seperti perubatan, pentadbiran perniagaan, kesetiausahaan, perundangan dan perakaunan. Hari ini macam-macam program ditawarkan.

“Buat saja pilihan kemudian belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ia cukup mudah, namun peliknya masih ada juga yang tidak tahu. Nasihat saya, buat pilihan mengikut minat dan tanpa paksaan, tentu tiada masalah,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/