Khamis, 4 April 2013

ISU SOSIAL : Kesabaran adalah penyelesaian


Oleh : WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

KADANGKALA dalam kehidupan kita terdapatnya masalah yang tidak kita temui penyelesaiannya. Sudah terlalu ramai orang yang kita temui termasuklah pakar-pakar kaunseling dan alim ulama untuk menyelesaikan masalah yang berlaku namun masih belum mendapat cara penyelesaiannya. Maka, ketahuilah jawapan kepada permasalahan tersebut ialah kesabaran.

Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang menjelaskan bahawa seorang yang beriman tidak akan memasuki syurga sehinggalah imannya itu diuji. Antaranya ayat kedua dalam surah Al-‘Ankabut yang mana Allah SWT menjelaskan: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Bukan mudah sebenarnya untuk kita mendapat nikmat syurga Allah SWT di akhirat kelak dengan hanya mengisytiharkan keimanan melalui mulut sahaja. Allah SWT semestinya akan menguji keimanan setiap hambanya untuk mengetahui sejauh mana kualiti keimanan itu.

Keimanan ini harus dibuktikan melalui ikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan melakukan dengan anggota badan.

Cabaran-cabaran ini boleh datang daripada luar atau dalaman diri kita sendiri. Sengaja Allah SWT menurunkan cabaran-cabaran ini sebagai ujian untuk mengenalpasti siapa yang akan terus iltizam dan istiqamah dalam keimanan ini. Ia seolah-olah merupakan proses penapisan (filtering process) secara langsung daripada Allah SWT untuk mengetahui siapa yang benar-benar beriman kepada-Nya.

Allah SWT menjelaskan bahawa cara untuk berhadapan dengan ujian ini adalah dengan meminta pertolongan daripada-Nya dengan sabar dan mengerjakan solat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan sembahyang. Dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45)

Al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah mintalah pertolongan di atas segala bala yang menimpa ke atasmu dengan cara bersabar menanggung segala kesusahan (masyaqqah) dan segala kesukaran terhadap jiwa daripada segala taklif syarak.

Syed Qutb pula menyebut dalam Fi Zilal al-Quran: “Perkataan ‘minta tolong dengan sabar’ banyak diulang-ulang kerana ia merupakan bekalan yang semestinya wujud dalam pertembungan dengan sebarang kesusahan (masyaqqah)."

Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud: Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya) Dan memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. (at-Thalaq: 2-3)

Imam Nawawi dalam menjelaskan ayat ini menyatakan bahawa ia diturunkan berhubung satu peristiwa di mana seorang sahabat telah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kerisauannya kerana anaknya telah ditawan oleh pihak musuh. Lalu dia dinasihatkan bersabar oleh Rasulullah SAW maka dia bersabar. Tidak lama kemudian, anaknya berjaya melepaskan diri daripada tawanan musuh.

Malah bukan itu sahaja, dia berjaya membawa pulang beberapa ekor kambing kepunyaan musuh tersebut. Maka dengan kepulangan anaknya, bergembiralah dia serta mendapat untung rezeki yang tidak disangka-sangka. Inilah salah satu kelebihan daripada kesabaran.

Sabar ada batasan

Kita juga perlu menyedari bahawa sabar ada batasannya. Kita tidak boleh bersabar apabila melihat Islam dinodai, nyawa saudara kita terancam, hak kita dipijak-pijak dan sebagainya. Nabi SAW akan bersabar sekiranya diri Baginda dihina oleh kafir Quraisy.

Sebaliknya, Baginda SAW akan bertindak apabila Islam dihina dan dicaci oleh pihak musuh. Walau bagaimanapun, tindakan Baginda SAW terhadap musuh bukanlah secara semborono, tetapi dengan mengambil kira hukum syariat, etika dan adab dalam Islam.

Lantaran itu, jangan serik dan jemu untuk terus bersabar. Jangan biarkan nafsu dan kemarahan menguasai diri kita. Insya-Allah, segala masalah dan cabaran yang kita hadapi, anggaplah ia merupakan ujian daripada Allah SWT. Ia pasti akan berlalu apabila tiba masanya nanti.

*PANEL penulis ialah dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 3 April 2013

ISU BAHASA : Nama Kuala Lumpur Raya lebih afdal


Oleh : Profesor Dr. Teo Kok Seong

Usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk ikut membangunkan kawasan di sekeliling Kuala Lumpur harus disambut baik. Ini bermakna satu kawasan besar di Lembah Klang bukan saja akan ikut dibangunkan bersekali dengan Kuala Lumpur. Tetapi lebih penting lagi ialah bersama-sama dengan bandar raya Kuala Lumpur, kawasan ini yang terdiri daripada beberapa bandar, akan membentuk dan dikenali sebagai satu entiti baru.

DBKL memanggilnya Greater Kuala Lumpur. Ia juga dipanggil Greater Kuala Lumpur-Klang Valley (KL-KV). Entiti sebegini, yakni pengembangan bandar raya yang ikut merangkumi kawasan bersebelahannya, bukan perkara baru dalam pembangunan sesebuah bandar raya. Hal ini berlaku di beberapa tempat. Buktinya adalah Greater London dan Greater New York sebagai nama dalam ilmu perancangan bandar.

Persoalannya dalam kes Kuala Lumpur ialah mengapa DBKL tidak menggunakan nama bahasa Melayu. Sehubungan ini, penggunaan nama bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini bukan saja lebih afdal, tetapi nama itu memperlihat kita mempunyai jati diri, yakni identiti sendiri.

Oleh itu, DBKL perlu mencari nama bahasa Melayu untuk Greater Kuala Lumpur. Mungkin nama Kuala Lumpur Raya atau Kuala Lumpur-Lembah Klang (KL-LK) Raya boleh digunakan. Perkataan raya mengungkap makna besar dan agam. Makna ini dapat dilihat pada ungkapan jalan raya, lebuh raya, pasar raya, rimba raya dan angkasa raya.

Elak guna bahasa asing

Penggunaan bahasa Melayu dalam hal ini dan lain-lain sesungguhnya adalah usaha kita untuk melestarikan bentuk asli dan mengurangkan penggunaan bentuk asing secara berwenang, dalam bahasa negara kita. Dengan ini, kita hendaklah memastikan bahasa Melayu tidak terlalu mudah, selain sangat banyak dipengaruhi bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, walaupun dalam bidang yang paling remeh.

Penggunaan nama Kuala Lumpur Raya juga berkait dengan soal nasionalisme. Dari sudut ini, nama bahasa Melayu dipilih bukan kerana ia lebih baik daripada bahasa lain. Bahasa Melayu dipilih kerana ia bahasa negara kita.

Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu adalah sangat istimewa dan unggul kepada kita semua sebagai warga negara Malaysia. Dalam konteks nasionaliti Malaysia, nilai bahasa Melayu adalah teramat mulia. Oleh itu, bahasa Melayu tidak boleh sekali-kali ditukar ganti dengan mana-mana bahasa lain.

Sehubungan bahasa Melayu sebagai bahasa negara ini, ia bukan saja bahagian penting dalam kebudayaan kebangsaan, tetapi bahasa Melayu adalah jati diri nasional itu sendiri. Oleh itu, ia hendaklah sentiasa wujud dalam bentuk aslinya pada kadar yang sebanyak mungkin. Ini bukan saja boleh memupuk jati diri nasional, tetapi melestarikannya.

Dengan ini, menjadi tanggungjawab rakyat jelata dan kewajipan nasional untuk golongan pemimpin, untuk mewariskan bentuk bahasa Melayu asli kepada generasi muda. Ini penting bukan saja untuk menghubungkan mereka, tetapi memberi pengenalan diri yang utuh sebagai etnik Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya, pada zaman mendatang.

Kecuali untuk mendukung makna kepakaran dan ikhtisas dalam bidang ilmu, wacana sosial harian kita hendaklah disarati bentuk asli bahasa Melayu. Oleh itu, ungkapan angin ahmar, darah tinggi dan kencing manis perlu dikekalkan penggunaannya dan tidak perlu pun digantikan dengan strok, hipertensi dan diabetes daripada bahasa Inggeris.

Cetus kebanggaan

Secara unggulnya, martabat bahasa Melayu perlu meliputi penggunaan bentuk aslinya pada setiap masa dalam apa-apa juga bidang. Penggunaan sedemikian bukan saja mampu mengekalkan struktur bahasa Melayu dari segi ciri dan sifatnya yang asli. Tetapi yang lebih penting ialah kita megah menggunakan bentuk daripada bahasa kita sendiri.

Semangat sebegini bukan saja boleh dikaitkan dengan kebanggaan, kecintaan dan kesetiaan terhadap bahasa Melayu. Ia juga dapat menambahkan kimah (nilai) martabat bahasa Melayu selaku bahasa negara.

Natijah yang ingin disampaikan ialah kehilangan martabat sesebuah bahasa itu boleh berlaku apabila bahasa berkenaan amat mudah, selain berleluasa pula, menggunakan bentuk asing, walaupun sesuatu konsep dan entiti itu boleh dengan senang dan cepat ditemui kata aslinya dalam bahasa sendiri.

Oleh itu, Kuala Lumpur Raya adalah namanya. Ia dicipta melalui daya fikir kita sendiri. Yang penting ia nama bahasa Melayu!

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Institusi pendidikan mesti bijak manfaat ICT


Oleh : Mohamad Abdullah
 
Mantap daya saing hadapi cabaran globalisasi

Satu daripada cabaran institusi formal atau sukarela ialah bergerak seiring perubahan. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), misalnya berkembang amat pantas dan tidak ada yang dapat menghalang berlaku proses globalisasi yang memberi kesan besar kepada cara hidup, kaedah penyampaian, cara berkomunikasi, budaya dan nilai hidup manusia keseluruhan yang  mendapat kesan langsung atau tidak daripadanya.

Ini termasuk dalam proses pengaajaran dan pembelajaran formal atau tidak formal, malah juga pembelajaran kendiri. Hakikatnya tidak ada siapa pun yang harus menafikan keperluan ini, malah cuba hidup terasing daripada gelombang yang berlaku.

Sesebuah institusi menjadi tidak relevan, tertinggal atau terasing daripada arus kemajuan dan perkembangan jika mengabaikannya. Mereka yang bijak memanipulasi atau memanfaatkannya pula berada di hadapan walaupun ia mungkin hanya institusi kecil yang tidak mendapat perhatian.

Matlamat pendidikan

Jika tidak berhati-hati, ia boleh pula menyumbang kepada penyalahgunaan, lalu timbul keperluan perundangan lebih berkesan dan kaedah kawalan sesuai termasuk dalam memberikan pengiktirafan dan kemungkinan memalsukan dokumen seperti yang pernah berlaku di negara ini atau di seluruh dunia.

Ini penting apabila kita melihat matlamat pendidikan tinggi negara untuk “Memenuhi tuntutan negara bagi menyediakan sumber tenaga manusia mahir dan berkelayakan, sesuai dengan keperluan negara yang baru merdeka dan sedang membangun” seperti laporan jawatankuasa mengkaji semula hala tuju pengajian tinggi (2006) usaha meningkatkan keberkesanan prosesnya harus dilihat dengan teliti.

Apatah lagi jika melihat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan dengan jelas “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Idealisme ini perlu didukung proses pembelajaran yang lebih terbuka dan anjal tanpa perlu menubuhkan jawatankuasa khas mengkajinya. Semua pihak yang terbabit dengan proses penyampaian pengajian tinggi perlu meneliti dan merungkai bukan saja dasar institusi tetapi keupayaan individu yang sesetengahnya mungkin ketat serta rigid pemikirannya tanpa melihat impak yang diberikan selain mengeluarkan graduan yang berijazah saja.

Sesetengah dasar, peraturan, prosedur atau proses yang berlaku mungkin sudah lama berjalan tanpa sedar yang tentu dibuat dengan tujuan murni untuk mengawal selia bagi memastikan kualiti dan piawaian terkawal serta terpelihara. Namun, sesetengah proses dan cara pelaksanaannya boleh dilihat semula. Mungkin juga dasar dibuat dengan baik, tetapi proses dan kaedah penyampaian perlu penambahbaikan. Sesetengah mereka yang terbabit melihat peraturan yang ada dengan begitu ketat hingga terpaksa berdebat panjang dalam mencapai sesuatu keputusan

Tingkat kreativiti, inovasi

Semua ini harus dilihat dalam konteks keperluan meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam pengajian tinggi demi memastikan mereka yang lahir daripada sistem yang ada benar-benar menguasai ilmu dan memiliki keupayaan untuk memenuhi matlamat pendidikan tinggi dan falsafah yang ditetapkan.

Pengajian tinggi sebagai sebahagian daripada proses sosialisasi tidak harus dilihat terasing daripada kehidupan. Bagaimana misalnya internet dan teknologi komunikasi maklumat dapat dimanfaatkan dalam proses penyampaian ilmu secara terbuka tetapi terkawal. Apatah lagi dalam konteks kebebasan akademia dan menggalakkan pemikiran terbuka dan komunikasi yang berakauntabiliti dan bertanggungjawab.

Pengajian jarak jauh misalnya, perlu manfaatkan teknologi komunikasi dalam penyampaian ilmu yang tentu berbeza daripada pengajian sepenuh masa. Baik kursus yang ditawarkan mahu pun kaedah perbincangan bersemuka yang berbeza antara pensyarah dan pelajar perlu diteliti. Begitu juga bebanan dan cara kerja pensyarah serta pengajar juga perlu dilihat secara berbeza antara masa ini dengan sebelumnya.

Keanjalan masa, kursus, pembolehubah kaedah penilaian dan peraturan yang mengekang untuk seseorang mengikuti pengajian serta memperoleh ilmu, selaras dengan kepesatan keperluan guna tenaga termasuk dalam kalangan mereka yang bekerja dan mengikuti pengajian pada peringkat ijazah tinggi membantu mereka memperoleh ijazah dan ilmu pengetahuan yang diinginkan.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Abim ajak tolak politik samseng, fitnah dan lucah


KUALA LUMPUR : Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mendesak dengan tegas agar sebarang amalan politik negatif seperti budaya politik samseng, fitnah dan lucah serta pendekatan politik londeh-melondeh ditolak sama sekali oleh parti-parti politik yang bertanding, para penyokong dan rakyat keseluruhannya.

"Marilah kita bersama-sama mengamalkan politik bermaruah sebagai landasan terbaik menjayakan pemilihan pemimpin untuk menerajui tanah air tercinta," kata presidennya, Amidi Datuk Abdul Manan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataan itu, Abim juga mengharapkan Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) ini bakal diadakan dengan penuh telus, teratur dan demokratik serta terhindar daripada sebarang insiden negatif yang memalukan pengamalan demokrasi di negara ini.

Justeru, Abim menyeru agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memainkan peranannya bukan secara efektif dan berkesan mengikut tatacara pilihanraya, bahkan yang terlebih penting ialah memastikan kredibiliti dan integriti SPR itu sendiri tidak diragui sepanjang pengendalian pilihanraya akan datang.

Abim, kata Amidi turut berharap agar badan-badan pemerhati dan pemantau pilihanraya yang terdiri daripada pertubuhan masyarakat sivil dapat memainkan peranan penting sebagai badan pemantau dan pengimbang (check and balance) dalam memastikan kelancaran PRU 13.

Abim membuat kenyataan ini ekoran pengisytiharan pembubaran Parlimen oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi.

Abim, katanya,  menilai pengumuman pembubaran tersebut sebagai langkah penting ke arah perkembangan demokrasi yang sihat di negara ini.

Pembubaran yang dibuat sebelum Parlimen terbubar dengan sendirinya pada 28 April 2013 ini amat penting demi memastikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang selaku asas sistem pemerintahan raja berperlembagaan di negara ini tetap terpelihara.

"Sesungguhnya pengumuman pembubaran parlimen ini telah meredakan teka-teki dan kekeliruan di kalangan rakyat sejak sekian lama, khususnya selepas Dewan Undangan Negeri Sembilan terbubar pada 28 Mac yang lalu," katanya.

Ini ekoran kemungkinan terbubarnya beberapa DUN yang lain andainya pengumuman pembubaran Parlimen ini tidak dilakukan segera.

Ini memandangkan pilihanraya ini paling dinanti-nantikan serta bakal disorot dengan penuh minat oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

Sumber : http://www.abim.org.my/

ISU KENEGARAAN : Memahami amanah kerajaan sementara ikut Perlembagaan

Gambar kenangan sempena sidang kabinet terakhir 

Oleh : Shamrahayu A Aziz
 
Adakah jemaah Kabinet terbubar secara automatik dengar terbubarnya Parlimen? Persoalan sama, adakah barisan EXCO di negeri-negeri juga terbubar dengan terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN). Persoalan ini menjadi penting dalam perkembangan semasa tanah air.

Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri tidak mempunyai peruntukan khusus berkaitan pembubaran barisan jemaah Kabinet dengan terbubarnya Dewan Rakyat. Dengan kata lain, Perlembagaan tidak menyatakannya dengan terperinci.

Selepas diteliti perbincangan ketika penggubalan Perlembagaan, penulis dapati jemaah menteri juga terbubar dengan sendirinya selepas berlakunya pembubaran Parlimen  sama ada pembubaran secara automatik selepas tamat tempoh hayat Parlimen atau Parlimen dibubarkan atas permintaan Perdana Menteri dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong. (Hanya Dewan Rakyat yang terbubar, Dewan Negara tidak terbubar).

Hujah di sini ialah asas lantikan anggota jemaah menteri ialah kedudukannya dalam Majlis Parlimen sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Apabila Parlimen terbubar, maka asas lantikan itu tiada lagi.

Atas dasar kehilangan asas keahlian itu, anggota jemaah menteri hendaklah melepaskan jawatannya. Dengan itu, boleh difahami bahawa jemaah menteri adalah juga terbubar dengan terbubarnya Dewan Rakyat.

Terus jadi amalan

Justeru, dengan terbubarnya jemaah menteri, timbullah persoalan sama ada perlu atau tidak dibuat pelantikan khusus sebuah kerajaan sementara bagi menggantikan jemaah menteri yang terbubar itu.

Jemaah menteri yang melaksanakan pentadbiran ketika Parlimen terbubar inilah yang sering disebut sebagai kerajaan sementara atau ‘caretaker government’. Ia merujuk kepada kerajaan yang mentadbir negara dalam keadaan ketiadaan Parlimen untuk satu masa tertentu sehinggalah kerajaan baru dibentuk.

Dalam negara yang matang mengamalkan demokrasi berparlimen adalah menjadi amalan bagi kerajaan yang memerintah sebelum itu untuk terus menjadi kerajaan sementara. Bagi negara kita, inilah amalan dilakukan selama ini selepas 12 pilihan raya umum (PRU) berlangsung selepas merdeka. Perlu disebut bahawa Perlembagaan kita tidak menggunakan istilah kerajaan sementara.

Amalan itu bukanlah sesuatu yang ‘haram’ atau bertentangan dengan Perlembagaan. Perlembagaan tidak mewajibkan atau tidak meletakkan syarat secara tersurat mengkehendaki penubuhan kerajaan sementara. Amalan ini sudah menjadi fahaman atau ideologi dalam konvensyen demokrasi kita.

Bahagian akhir Perkara 43

Walau apapun, dalam perbicaraan ketika penggubalan Perlembagaan juga, bahagian akhir Perkara 43 menyatakan bahawa selepas Parlimen terbubar Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik jemaah menteri seperti disebut dalam Perkara 43. Maka, kita dapati Perkara 43(2) membuat peruntukan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat lantikan jemaah menteri ketika Parlimen terbubar.

Perkara sama menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh melantik anggota jemaah menteri terdahulu, tetapi Yang di-Pertuan Agong tidak terikat dengan kriteria itu. Dengan kata lain, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam menentukan keanggotaan jemaah menteri yang dibuat ketika Parlimen terbubar.

Sementara itu, semua negeri mempunyai peruntukan sama dengan memberi kuasa kepada Raja-Raja atau Sultan masing-masing. Oleh itu, dalam amalan sistem demokrasi berparlimen, ia sudah menjadi amalan untuk jemaah menteri daripada mandat Parlimen yang terbubar itu meneruskan tugas sebagai menteri tanpa lantikan khusus.

Tanggungjawab kerajaan sementara

Walau apapun, kita harus menitikberatkan dua perkara dalam membincangkan hal tugas dan kuasa kerajaan sementara. Dua bidang tugas utama kerajaan sementara ialah melaksanakan pentadbiran harian dan memastikan pilihan raya umum berjalan secara adil dan lancar. Kerajaan sementara hendaklah bersifat seimbang atau neutral dan juga tidak mempengaruhi penjawat awam dalam hal berkaitan pilihan raya. Kerajaan sementara juga tidak boleh mempengaruhi tindakan atau keputusan badan yang mengendalikan pilihan raya seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negara kita.

Bagi mencapai tahap matang demokrasi, kerajaan sementara hendaklah mempunyai sifat saksama yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak  sama ada dalam melaksanakan pentadbiran harian atau juga pilihan raya umum.

Dalam keadaan seperti ini, kita tidak perlu memberikan penekanan yang tidak perlu kepada lantikan khusus kerajaan sementara. Tetapi, dua perkara berkaitan tanggungjawab kerajaan sementara itu yang perlu diambil perhatian. Sekiranya ada persoalan kredibiliti, barulah diperlukan sebuah kerajaan sementara yang dilantik khusus oleh Yang di-Pertuan Agong dengan menggunakan kuasa budi bicara baginda.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Negara ditadbir kerajaan sementara selepas parlimen dibubarkan


KUALA LUMPUR - Selepas pembubaran Parlimen, Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri akan meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara yang mentadbir urusan negara.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kerajaan kini diterajui oleh kerajaan sementara.

Kerajaan sementara bermaksud kerajaan sedia ada akan terus mentadbir negara dan semua menteri masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebelum ini.

Katanya amalan yang diterima pakai daripada sistem pentadbiran British itu telah diamalkan sejak merdeka lagi dan ia berjaya memberi kesan positif kepada negara.

"Kerajaan sedia ada akan terus berkhidmat. Kabinet masih mentadbir negara, yang tidak akan menjejaskan pentadbiran negara, dari segi ekonomi dan politik.

Semua menteri masih menjalankan tugas sebagai menteri," katanya kepada  Bernama.

Bagaimanapun, katanya, kuasa kerajaan sementara adalah terhad apabila ia hanya melibatkan tugasan harian sahaja tanpa melibatkan sebarang pembentukan dasar  baru berikutan pembubaran Parlimen akan membabitkan pembubaran Dewan Rakyat.

"Fungsi untuk mentadbir negara masih sama, tetapi tidak sebagai ahli Dewan Rakyat apabila fungsi di dalam Parlimen tidak ada lagi, dan perundangan tidak boleh dibuat," katanya.

Wan Junaidi berkata Ketua Setiausaha Negara selaku ketua pelaksana dasar akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai pegawai tertinggi perkhidmatan awam tanpa kuasa tambahan kerana demokrasi Parlimen hanya memberi kuasa tersebut kepada Badan Eksekutif sahaja.

Beliau berkata istilah kerajaan sementara tidak termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi ia merupakan kelaziman yang dilakukan di negara-negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen.

Sumber  : http : //www.sinarharian.com.my/

Selasa, 2 April 2013

TEKS UCAPAN PM SEMPENA PEMBUBARAN PARLIMEN KE-12


BERIKUT ialah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembubaran Parlimen Malaysia ke-12 pada Rabu.

Bismillahirahmanirahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatnya saya, Timbalan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri dapat bersama-sama secara langsung dengan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian pada pagi ini.

2. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013. Sehubungan dengan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

3. Sehubungan dengan itu saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap Ketua-ketua Negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

4. Hari ini, 4 tahun yang lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah pun mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta. Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala ikhtiar serta upaya mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan berpaksikan kepada Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.

5. Dalam tempoh empat tahun yang lepas rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional yang melibatkan Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.

6. Kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya. Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan “Track record” kami sepanjang empat tahun yang lalu.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

7. Pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas untuk negara semenjak tahun 1959 iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum pertama pasca merdeka.

8. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.

9. Sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi Malaysia telah berjaya menyediakan asas yang subur untuk kestabilan dan kemakmuran nasional yang telah dinikmati warganegara ini selama lebih lima dekad.

10. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.

11. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

12. Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.

13. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia semenjak merdeka lagi proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi sarwajagat.

14. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia. Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.

15. Marilah kita sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar, aman dan selamat.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

16. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya. 17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi, inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik, inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.

18. Kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia, pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

19. Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.

20. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tetap juga memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

21. Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.

22. Di sini saya selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional ingin merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu rakyat di seluruh pelosok negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa kami BN perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.

23. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua. Ayuh teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang ada.

24. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia yang maju, makmur dan selamat, penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. Demi Malaysia, usaha bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/