Jumaat, 24 Mei 2013

Belia Perlu Jadi Benteng Kukuh Kekal Keamanan


Hari ini adalah kemuncak Perayaan Hari Belia Negara 2013 yang disambut sejak 15 Mei lalu. Sekali lagi Putrajaya menjadi tumpuan belia dari seluruh negara sejak Festival Belia Putrajaya 2013 bermula kelmarin. Majlis pelancaran festival itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam ini. Perdana Menteri juga akan menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara 2013 sebagai menghargai sumbangan generasi muda kepada negara. Festival Belia Putrajaya 2013 yang dijenama semula daripada Himpunan Jutaan Belia itu dijangka menarik kunjungan lebih dua juta belia dari seluruh negara. Ia berkonsepkan pembangunan potensi diri, melestari kreativiti dan inovatif, memartabat perpaduan dan jati diri serta membabitkan 40 segmen dan 500 acara yang memberi fokus kepada aktiviti pendidikan, kerohanian, kemahiran, kesenian, bakat, interaksi dan sukarelawan. Himpunan di Putrajaya itu adalah petanda jelas bahawa generasi belia negara bakal memainkan peranan sebagai pemangkin dan pendukung kepada program transformasi kerajaan. Ia juga bukti kerajaan menghargai peranan dan sumbangan kira-kira 12 juta belia kepada pembangunan negara pada masa ini dan akan datang. Malah, konsep Festival Belia Putrajaya 2013 itu sendiri membuktikan denyut nadi generasi muda sentiasa dirasai pemimpin negara.


Justeru, menjadi tanggungjawab belia negara memanfaatkan program yang disediakan dan peluang yang diberikan kerajaan untuk memajukan diri masing-masing dan menjadi modal insan cemerlang untuk menjayakan Wawasan 2020. Belia Malaysia amat bertuah kerana kepentingan mereka sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan yang menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk melahirkan generasi masa depan yang gemilang. Sebagai pemimpin masa depan, belia Malaysia perlu bersama kerajaan menjayakan pelbagai program transformasi untuk kemajuan dan kemakmuran negara. Mereka mestilah memantapkan semangat cintakan negara dan berusaha menjadi warga negara yang berguna. Generasi belia juga perlu memurnikan jiwa dan pemikiran supaya tidak mudah dipengaruhi anasir yang hanya akan memudaratkan masa depan rakyat dan negara. Ketika ada pihak yang cuba menghasut orang ramai mencetuskan kekacauan untuk menjatuhkan kerajaan dipilih rakyat, generasi belia perlu menjadi benteng kukuh mempertahankan kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam. Sesungguhnya masa depan rakyat dan negara ini bergantung kepada generasi belia yang berfikiran rasional, bersemangat waja dan berjiwa patriotik yang sanggup berkorban demi kesejahteraan bersama.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Keluarga tunjang kehidupan


Oleh : Nor Hatina Shuib

Kajian IIM menunjukkan institusi keluarga di negara ini semakin renggang dan longgar

Institusi kekeluargaan adalah unit paling asas dan penting dalam proses pembentukan landskap masyarakat yang harmoni. Fungsi institusi keluarga tidak hanya terbatas sebagai kesinambungan keturunan saja sebaliknya meliputi skop yang begitu luas. Sekiranya institusi keluarga berpecah-belah ia memberi impak terhadap pembangunan sosial dan ekonomi secara keseluruhan

Justeru, banyak perkara perlu diperhalusi termasuk membentuk sikap dan nilai murni yang menjadi tonggak ke arah memantapkan integriti masyarakat.

Tumpuan pembentukan nilai murni seharusnya bermula daripada peringkat awal dan ibu bapa adalah pembimbing yang terbaik bagi menentukan hala tuju sesebuah keluarga.

Cabaran membina keluarga sudah jauh berubah sejajar dengan pemodenan negara. Berjaya atau gagal terletak kepada peneraju dalam rumah tangga.

Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional (IPIN) oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) yang dijalankan sejak tiga tahun lalu ke atas 16,000 responden di seluruh negara memperlihatkan institusi kekeluargaan semakin longgar disebabkan pelbagai faktor.

Hasil kajian, mendapati 29 peratus responden menjelaskan mereka jarang dapat makan malam bersama keluarga, manakala 27 peratus tidak mengambil tahu aktiviti dilakukan anak yang keluar pada waktu malam.

Menerusi indeks kajian itu juga mendapati, hubungan antara ibu bapa dengan anak semakin renggang, tidak kisah anak balik lewat dan mengamalkan makan malam bersama keluarga.

Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata hasil kajian menunjukkan masalah dalam institusi keluarga semakin kritikal.

Katanya, kajian itu seharusnya dijadikan penanda aras untuk merangka strategi lebih komprehensif agar masalah dalam institusi keluarga dibina tidak bertambah parah.

Berdasarkan senario sekarang, rata-rata terutama ibu bapa yang berkerjaya tidak mempunyai masa terluang dan berkualiti bersama anak.

“Sepatutnya ibu bapa menggunakan meja makan sebaik mungkin untuk berkomunikasi, mendengar, berbincang pelbagai masalah dan menerapkan nilai murni dalam suasana yang harmoni.

“Kajian jelas menunjukkan komunikasi terbina ketika seisi keluarga berkumpul bersama ketika waktu makan yang dianggap masa begitu efektif,” katanya kepada FAMILI, baru-baru ini.

Jangan abai anak

Beliau berkata, statistik menunjukkan setiap tiga daripada 10 keluarga mengalami kepincangan dalam pelbagai aspek.

Katanya, walaupun kebanyakan masyarakat di negara ini sibuk dengan kerja sepatutnya mereka tidak mengabaikan keluarga sebaliknya menyeimbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Antara cara untuk merapatkan hubungan, beliau mencadangkan semua majikan sewajarnya menyediakan pusat jagaan di tempat kerja untuk menempatkan anak bagi membolehkan mereka menjenguk atau menyusukan pada waktu rehat.

“Apabila ada pusat jagaan di tempat kerja kebajikan anak lebih terjamin. Ibu juga dapat menjadi pekerja yang baik. Pada masa sama, ia dapat membantu meningkatkan kualiti kerja,” katanya.

Mohd Tap berkata, tenaga wanita diperlukan dalam semua sektor.

“Wanita mempunyai peranan besar. Selain membantu bebanan dan kewangan keluarga mereka juga menyumbang dalam pembangunan negara. Cuma bagi saya kesibukan tugas di pejabat janganlah sampai pula mereka semakin kurang meluangkan masa dengan keluarga,” katanya.

“Sebagai ibu bapa, perlu tahu apa anak buat, apa aktiviti luar anak. Jika anak keluar malam, perlu tahu apa tujuannya, dengan siapa dia bergaul atau berjumpa. Ia adalah proses integriti dalam institusi kekeluargaan yang perlu diterapkan sejak usia kecil,” katanya.

IIM bincang kepincangan institusi keluarga

Institut Integriti Malaysia (IIM), antara institusi yang berperanan mengukuhkan pembangunan insan. Menerusi Pelan Integriti Nasional (PIN) pihaknya menetapkan lima sasaran utama termasuk untuk memantapkan institusi kekeluargaan di negara ini.

Walaupun tidak memfokuskan terus kepada golongan wanita, dalam PIN turut menyediakan program berhubung kait fungsi wanita dalam pembentukan keluarga bahagia.

Ibu bapa atau penjaga memainkan peranan penting untuk menerapkan nilai murni. Bagi mencapai matlamat itu, ia juga bermula daripada kestabilan dan kebahagiaan dalam rumah tangga termasuk memastikan dari segi emosi dan kewangan.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata pihaknya memasukkan program bagi meningkatkan peranan wanita sebagai ibu dan penjaga keluarga.

“Peranan wanita sebagai ibu dianggap penting dalam membantu proses integriti. Wanita mempunyai peranan untuk memantapkan institusi kekeluargaan dan melahirkan masyarakat sejahtera,” katanya.

Pelbagai seminar kewanitaan

Sejajar itu, IIM menganjurkan pelbagai seminar, bengkel, kursus dan poster secara berkala dengan memfokus isu tertentu termasuk berkaitan pembangunan, kepimpinan wanita dan keluarga.

Seminar berbentuk itu kerap diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat serta Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita menjalankan program kewanitaan berintegriti dengan persatuan lain seperti dengan isteri penjawat awam termasuk Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT). Di sini, kita menjadikan wanita sebagai pemangkin integriti dalam keluarga.

“Sejak penubuhan IIM, setiap tahun pelbagai program meningkatkan sistem keluarga dan peranan wanita diadakan. Antara program yang mendapat sambutan ialah membabitkan program pembangunan, kepimpinan dan kekeluargaan. Malah banyak program yang dijalankan penyertaan wanita lebih ramai berbanding lelaki,” katanya.

Setiap lima tahun sekali, IIM akan menjalankan kajian dinamakan Indeks Persepsi Integrasi Nasional (IPIN) untuk menilai TEKAD yang disasarkan.

Indeks nombor antara sifar hingga 10 akan menentukan tahap sasaran tercapai atau tidak.

“Berdasarkan kajian, kemantapan institusi kekeluargaan berada pada tahap 7.3 daripada indeks 10. Institusi keluarga patut mencapai indeks lebih tinggi. Bagaimanapun banyak masalah sosial seperti isu perceraian dan pembuangan bayi menjadikan indeks gagal mencapai tahap tertinggi,” katanya.

Kepincangan institusi kekeluargaan boleh diatasi dengan menekankan kepada sistem kekeluargaan yang bersistematik dan meningkatkan kemahiran keibubapaan.

“Dulu pasangan yang mahu bernikah tidak perlu menghadiri kursus kahwin seperti sekarang. Masalah perceraian juga tidak terlalu ketara seperti hari ini yang berlaku kepada golongan muda. Dulu anggota keluarga bertindak dalam mengukuhkan institusi keluarga berbanding kini yang tidak menerima sokongan moral daripada keluarga,” katanya

INFO : Integriti
* Didefinisikan sebagai peribadi mulia yang ada pada diri individu membabitkan nilai murni seperti amanah, jujur, ikhlas, sabar, telus dan bertanggungjawab.
* PIN diadakan sejak 2004 dan dinilai setiap lima tahun sekali.
* Menetapkan lima sasaran dikenali sebagai TEKAD

Agenda Integriti untuk keluarga:
* Pembangunan keluarga dan insan berintegriti melalui pembinaan keluarga bahagia.
* Peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan jasmani dan rohani.
* Pemantapan nilai murni sebagai asas pembentukan identiti.
* Pembabitan keluarga dan komuniti setempat untuk memperkasakan integriti budaya masyarakat dalam jangka panjang.
* Masyarakat berorientasikan keluarga dan komuniti.
* Nilai keluarga dan komuniti kukuh bagi menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran.

Peranan IIM:
* Mengendalikan penyelidikan berkaitan dengan integriti institusi dan masyarakat.
* Menganjurkan persidangan, seminar dan forum.
* Menghimpunkan pendapat pelbagai sektor mengenai kemajuan atau halangan kepada pelaksanaan integriti.
* Menerbitkan dan mengedarkan bahan bercetak, menggubal dan melaksanakan program latihan dan pendidikan.
* Mengemukakan perakuan dasar bagi peningkatan integriti dan etika.
* Memberikan khidmat nasihat kepada kerajaan mengenai program dan strategi bagi meningkatkan integriti
* Mewujudkan jaringan dengan organisasi antarabangsa bagi membolehkan peranan dan sumbangan IIM diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kementerian Pelajaran Kini Dikenali Kementerian Pendidikan


PHUKET: Kementerian Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Beliau, yang  juga Menteri Pendidikan berkata, perubahan nama kementerian itu diluluskan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lepas setelah pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran.

“Pakar bahasa berpendapat istilah pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju dan saya juga telah beritahu pegawai supaya menerimanya sebagai nama baru, malah nama kementerian pendidikan juga pernah digunakan sebelum ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Beliau berkata, proses penggabungan dua kementerian - Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi - yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan telah bermula sejurus kabinet diumumkan dan yakin tidak akan menghadapi kesukaran kerana kedua-duanya mencakupi proses pembelajaran dan pengajaran yang berasal daripada satu kementerian sebelum dipisahkan.

Muhyiddin berkata, penggabungan itu tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah rendah, menengah dan universiti kerana masing-masing mempunyai pelan pembangunan sendiri kecuali aspek kepimpinan yang diletakkan di bawah satu kementerian dengan mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri.

“Saya telah mengemukakan cadangan bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk dan Ketua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di mana minggu depan akan ada perbincangan lanjut dan Insya-Allah pelantikan jawatan yang sepatutnya dibuat akan dilakukan,” katanya dan menambah dalam bahasa Inggeris kementerian itu kekal dengan panggilan 'Ministry of Education'.

Beliau berkata, walaupun digabungkan beliau membayangkan tidak akan berlaku perubahan terhadap dasar yang digunakan sebelum ini sebaliknya penyatuan itu menghasilkan penjimatan dari segi guna tenaga dan kepakaran kakitangan.

Muhyiddin berkata sebagai contoh, koordinasi dua kementerian membawa kebaikan kepada sektor pendidikan kerana kepakaran tenaga pengajar di universiti seperti pensyarah bahasa Inggeris boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran bahasa itu di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, cadangan supaya bahasa Mandarin dan Tamil kembali diajar di Sekolah Kebangsaan akan dikaji secara mendalam kerana pelaksanaannya akan melibatkan perubahan kepada dasar tertentu.

Muhyiddin berkata, proses pengajaran kedua-dua bahasa itu pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak mencapai matlamat seperti apa yang dimahukan berikutan jumlah pelajar yang tidak begitu ramai.

“Itu sebenarnya bukan baru tetapi setelah ada pihak yang mencadangkan sebegitu, maka saya perlu meneliti kerana kita hendak  melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan  mahu orang bukan Melayu melihat Sekolah Kebangsaan ialah ‘sekolah kebangsaan’, bukannya sekolah Melayu dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Malaysia.

“Persoalan besar yang mencabar kementerian ialah kalau ia hendak dilaksanakan kita perlu sediakan sejumlah guru mahir yang ramai kerana kita memiliki lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah...jadi sebelum kita membuat keputusan yang melibatkan dasar kita perlu kaji dengan sebaik-baiknya,” katanya. - BERNAMA

Khamis, 23 Mei 2013

ISU ALAM SEKITAR : Bahaya panas melampau


Oleh :  Nor Hatina Shuib

Peningkatan suhu keterlaluan ganggu fungsi badan, boleh sebabkan strok haba

Cuaca panas di Malaysia satu perkara biasa. Cuma sejak kebelakangan ini bahang kepanasan agak luar biasa hingga orang ramai tidak lepas merungut dengan cuaca panas membuatkan mereka resah gelisah, berpeluh dan kadangkala rasa mahu pitam.

Walaupun duduk di dalam ruang atau bilik hawa dingin, tekak masih terasa kering dan tidak mengurangkan suhu badan yang terasa panas, termasuk pada waktu malam.

"Mereka yang bekerja sebagai buruh, peladang, ahli sukan, tentera dan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah mudah diserang strok haba, " tegas Dr Zainal Ariffin Omar, Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan.

Situasi itu lebih dirasai di sekitar Lembah Klang dengan catatan purata 35 darjah Celcius. Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan, cuaca panas dan kering itu dikaitkan dengan perubahan pola angin dan kesan ribut Mahesan di Teluk Bengal.

Keadaan itu dijangka berubah apabila pola angin stabil dengan peralihan monsun hujung bulan ini yang diramal membawa lebih banyak hujan.

Badan hilang upaya

Peningkatan suhu panas yang mendadak dan keterlaluan mengganggu fungsi sistem badan. Haba yang dijana pada badan akan bekerja keras untuk menghilangkan haba.

Biasanya, proses berpeluh dan penyejatan peluh memudahkan penyejukan badan. Namun, dalam suhu ekstrem melebihi 32.2 darjah Celcius, jumlah haba yang dihasilkan melebihi kesan penyejukan penyejatan peluh.

Begitu juga, jika kelembapan mencapai 100 peratus, penyejatan peluh tidak lagi mungkin berlaku, dan badan kehilangan keupayaan untuk menghilangkan haba. Akhirnya suhu badan meningkat, membawa kepada penyahhidratan yang teruk.

Oleh itu, cuaca panas ini tidak boleh dipandang ringan dan kesihatan harus dijaga serta sentiasa terpelihara supaya tidak membawa akibat lebih buruk. Antara penyakit yang boleh menyerang akibat cuaca panas ialah sakit kepala, demam, batuk, selesemad an radang kulit seperti ruam.

Kepanasan melampau ini juga sudah pasti akan memberi impak dan menimbulkan masalah kulit, mata, selaran matahari, ruam panas, kekejangan otot, edema haba, sinkope haba, kelesuan haba dan paling serius ialah strok haba yang turut dikenali, sunstroke atau heat stroke.

Justeru, orang ramai dinasihatkan membataskan aktiviti di luar rumah atau bangunan bagi mengelak mereka terkena strok matahari atau haba yang boleh menyebabkan seseorang pengsan.

Kurangkan aktiviti di luar

Pastinya, ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya strok haba. Mungkin juga ada masih mencari jawapan, apakah kesan mudarat strok haba kepada kesihatan dan risiko yang bakal ditanggung jika individu itu berterusan terdedah cuaca panas ini.

Strok haba sebenarnya ialah sejenis bentuk hipotermia, keadaan suhu badan meningkat lebih dari paras normal. Dalam erti kata lain, strok haba adalah penyakit berkaitan haba. Ia adalah satu kecemasan perubatan yang boleh mengancam nyawa disebabkan kegagalan peraturan suhu badan (thermoregulation) mekanisme.

Tidak seperti penyakit haba yang lain, strok haba dicirikan oleh ketinggian melampau suhu badan (hyperthermia) dan berkaitan pusat disfungsi sistem saraf dan disfungsi organ.

Strok haba tidak sama seperti serangan strok, sebaliknya ‘strok’ adalah istilah umum digunakan untuk menggambarkan aliran oksigen berkurangan kepada kawasan otak.

Dalam keadaan cuaca yang teruk seperti Asia Barat terutama di Oman, badan kita melaksanakan pelbagai jenis fungsi yang kemudian membebaskan radiasi yang disebabkan oleh ‘aktiviti metabolik’ melalui peluh atau pembuangan haba daripada kulit. Ini adalah satu cara badan dapat mengekalkan suhu normal. Ketidakseimbangan dalam suhu badan akan mengakibatkan strok haba yang juga boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.

Semua berisiko

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Zainal Ariffin Omar, menjelaskan strok haba adalah keadaan kesihatan atau penyakit berkaitan cuaca panas termasuk keletihan dan kelesuan akibat daripada panas.

Beliau yang juga Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, berkata setiap individu berisiko menghadapi masalah kesihatan terutama yang berisiko ada penyakit tertentu.

“Malah mereka yang bekerja sebagai buruh, peladang, ahli sukan dan tentera serta kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah mudah diserang strok haba. Begitu juga dengan mereka yang menghidapi penyakit darah tinggi, kencing manis dan kelenjar tiroid, risiko berkali ganda terdedah kepada gejala berkenaan,” katanya.

Dr Zainal berkata, dalam keadaan ini, orang ramai seharusnya elak memakai pakaian tebal dan ketat kerana ia boleh menghalang panas keluar, penyejatan atau pengeringan peluh.

“Masyarakat memang sedar keadaan ini. Biasanya mereka akan mengambil langkah pencegahan awal. Setakat ini, tiada sebarang kes mengenai kejadian ini dilaporkan di negara ini,” katanya yang turut menjelaskan negara lain terjejas termasuk di Asia Barat dan Afrika.

“Strok haba jarang berlaku di negara rantau ini seperti Singapura atau negara serantau lain,” katanya.

Katanya, mencegah baik daripada mengubati terutama kepada mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan berisiko tinggi dan mengambil langkah terbaik.

Apa yang penting, jangan sesekali mendedahkan diri dengan panas melampau, sebaliknya perlu menurunkan suhu badan dengan cepat untuk mengelakkan sawan, kerosakan organ atau kematian, selain mengekalkan pernafasan mencukupi.

Ini boleh dilakukan dengan berada pada persekitaran yang sejuk, tidak berpakaian tebal, kerap mandi. Mungkin anda boleh juga menggunakan pek ais diletakkan pada leher, ketiak dan pangkal paha.

INFO: Amalan mengelak jangkitan penyakit sepanjang musim panas

Perlu:
* Banyak minum tanpa mengira tahap aktiviti anda. Jangan tunggu hingga dahaga.
* Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
* Berada di dalam rumah atau bangunan.
* Hadkan aktiviti luar.
* Berehat dengan kerap.
* Mandi atau buka kipas angin untuk menyejukkan badan.
* Pakai pakaian ringan, berwarna terang dan longgar.
* Sewajarnya pakai pakaian diperbuat daripada 100 peratus kapas.
* Pakai topi atau payung. Ia dapat mengelak mengawal 40 peratus haba pada bahagian kepala

Jangan/ tidak perlu
* Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi.  
* Jangan duduk di dalam kereta yang bertutup tanpa pendingin hawa.
* Bersenam dalam cuaca panas

Simptom strok haba
* Muka kemerah-merahan
* Tidak berpeluh
* Suhu badan meningkat ketara
* Sawan
* Sakit kepala
* Denyutan nadi pantas
* Tidak sedarkan diri
* Lesu
* Bingung
* Kulit kering.

Bagaimana anda merawat mangsa strok haba:

* Mangsa strok haba mesti menerima rawatan segera untuk mengelakkan kerosakan organ kekal. Pertama sekali, menyejukkan mangsa.
* Bawa atau alihkan mangsa ke kawasan yang redup, tanggalkan pakaian, sapukan air sejuk atau suam pada kulit.
* Kipas mangsa untuk menggalakkan peluh dan penyejatan. Letakkan pek ais di bawah ketiak dan pangkal paha.
* Jika mangsa mampu untuk minum cecair, berikannya minuman, tetapi pastikan ia tidak mengandungi alkohol atau kafein.
* Pantau suhu badan dengan termometer dan teruskan usaha penyejukan sehingga suhu badan turun ke 38.3 hingga 38.8 darjah celcius.
* Jika keadaan tidak berubah, segera bawa ke klinik atau hospital.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Bentuk remaja berakhlak


Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR

PERKEMBANGAN teknologi maklumat yang pesat dalam era globalisasi ini telah melanda masyarakat kita dan telah menunjukkan tanda-tanda kepincangan moral, keruntuhan akhlak dan juga kegiatan negatif akibat daripada perkembangan tersebut.

Hal ini juga menjadi penyumbang kepada kegiatan negatif yang lain seperti fitnah, penculikan, penyalahgunaan pil-pil, penjualan video cakera padat (VCD) lucah, khayal, gengsterisme, pergaduhan, kes rogol, rompakan, pembunuhan dan kes ragut.

Semuanya telah menjejaskan kedamaian dan keamanan hidup masyarakat selama ini.

Walaupun tiada kajian tepat yang mengaitkan perkembangan teknologi dengan kes jenayah, namun umum mengetahui sedikit sebanyak perkembangan teknologi telah menyumbang ke arah terhakisnya nilai-nilai murni, budaya dan moral masyarakat.

Terdapat juga faktor lain antaranya pengaruh budaya luar, melalui filem, bahan bacaan lucah yang memaparkan sikap individualistik, budaya kurang ajar, tidak sopan, gelojoh, biadab, rakus, dan seumpamanya.

Hal ini telah menghakis sikap-sikap positif seperti berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kasih sayang kepada anggota keluarga, muafakat, tolong-menolong dan bantu-membantu, amanah, dan silaturahim.

Bagi masyarakat di negara ini yang sering menegaskan nilai-nilai komuniti mengatasi nilai-nilai individu, tumpuan kepada komuniti memang wajar dan selaras dengan ciri-ciri budaya dan sejarah masyarakat di negara ini.

Masyarakat yang mementingkan nilai-nilai komuniti dapat difahami sebagai kumpulan orang yang tinggal di sesuatu daerah dan negara, masyarakat di sesuatu tempat, orang ramai umumnya yang mempunyai sifat-sifat kecenderungan dan kepentingan yang sama dan serupa.

Dalam kehidupan harian, kita dapati fenomena komuniti wujud dalam pelbagai bentuk. Antaranya menghormati orang yang lebih tua, semangat kejiranan, muafakat, muhibah dan semangat perpaduan yang kental.

Bagi membentuk  personaliti  remaja yang berkualiti dan mementingkan nilai-nilai komuniti,  nilai-nilai murni seperti penyayang, kerjasama dan saling membantu mestilah dididik sejak kecil. Kini usaha-usaha menerapkan nilai-nilai murni dalam pendidikan di sekolah giat dilakukan.

Kajian psikologi mendapati, personaliti dan kebolehan dipengaruhi secara eksklusif oleh pengalaman individu itu. Sebaliknya kajian pengasas ujian mental pula menegaskan bahawa personaliti dan kebolehan bergantung sepenuhnya kepada baka.

Sementara itu, kini ahli psikologi berpendapat baka dan persekitaran adalah sama penting. Penyelidikan telah membuktikan bahawa baka dan pengalaman bersama mempengaruhi kecerdasan, pembawaan dan personaliti.

Daripada kajian ini dapat disimpulkan bahawa generasi hari ini yang terikat dengan gejala negatif adalah berpunca daripada persekitaran dan pengalaman yang menyebabkan tingkah laku, dan proses mental terpengaruh dengan gegala yang tidak sihat.

Sesungguhnya dunia sekarang dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Di sana sini manusia memperkatakan tentang hak asasi, dan  kasih sayang akan tetapi ia sama sekali tidak berlaku.

Oleh itu, untuk mengembalikan semula nilai-nilai yang baik kita bertanggungjawab melaksanakannya. Ibu bapa mestilah mendidik anak dengan adab-adab kehidupan yang baik. Guru-guru juga mempunyai lebih besar tanggungjawab melahirkan generasi muda yang berpersonaliti dan berjati diri.

Kita tidak dapat menahan ledakan dan perubahan era globalisasi. Tanggungjawab kita memulakan peranan mendidik sepanjang perkembangan individu itu dari segi fizikal, emosi, sosial, intelek dan pembelajaran. Asuhlah anak-anak dengan iman dan nilai-nilai murni yang baik.

Sesungguhnya kita tidak mahu melihat bahaya paling serius sekiranya kita meneruskan corak pembangunan kini. Kita akan menjadi sebuah masyarakat yang kaya dari segi material tetapi miskin jiwa iaitu miskin dan gersang daripada segi budaya, akhlak, tingkah laku, iman dan budi pekerti serta nilai-nilai kerohanian.

Apa yang diharapkan generasi hari ini mempunyai kekuatan jati diri, semangat patriotik, cinta akan keluarga, masyarakat dan negara. Mereka juga mestilah diasuh dengan akhlak dan iman yang kental serta mempunyai budi pekerti yang luhur.

Kita mengharapkan generasi yang akan menjadi pemimpin pada masa depan yakin akan diri sendiri, berani menghadapi segala rintangan, tidak terkongkong jiwanya serta dihormati oleh semua bangsa lain. Mereka juga mestilah cemerlang, berbudi pekerti dan berbudaya penyayang.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan dan bersabda yang bermaksud: "Umatku terdahulu selamat (berjaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Dan umat terakhir kelak akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang kosong." (Riwayat Abi Ad Dunia)

Oleh itu, sebagai umat Islam kita mesti berusaha menyelamatkan generasi muda dengan membentuk personaliti yang baik beriman dan berakhlak.

Rasulullah SAW berpesan dalam sabdanya yang bermaksud: "Seseorang Muslim ialah yang terselamat kaum Muslimin daripada lidah dan tangannya. Seorang Mukmin ialah yang dipercayai oleh kaum beriman terhadap jiwa dan harta mereka dan seorang muhajir ialah yang berhijrah meninggalkan dan menjauhi keburukan (kejahatan)." (riwayat Ahmad)

Akhirnya, daripada segi pengisian hati dan diri generasi hari ini perkara yang perlu diberi tumpuan ialah didikan berterusan dalam agama dan ilmu pengetahuan lain yang dapat diseimbangkan bagi membentuk kehidupan mereka.

PENULIS berkelulusan PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 21 Mei 2013

ISU PENDIDIKAN : Penggabungan KPM dan KPT selesai dalam masa sebulan


PUTRAJAYA – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang digabungkan dalam kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi nama baru iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penstrukturan kedua-dua kementerian berkenaan bukan perkara yang sukar dilakukan memandangkan masing-masing telah menjalankan tugas dengan cemerlang.

“Nama baru telah dicadangkan kepada Perdana Menteri dan diharapkan dapat persetujuan dalam tempoh segera.

“Sementara itu struktur baru kementerian ini sedang disusun dan telah dibincangkan oleh Ketua Setiausaha Negara. Saya jangka dalam masa sebulan akan selesai,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.

Menurut Muhyiddin dengan penyatuan dua kementerian ini dilihat akan melicinkan urusan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Katanya, kedua-dua pelan strategik kementerian ini iaitu Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Nasional dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk 13 tahun ke hadapan akan terus dilaksanakan.

“Mungkin beberapa tahun akan datang jika perlu pelarasan akan ditentukan kemudian. Matlamatnya hanya untuk meletakkan Malaysia sebagai hub pendidikan terkemuka di dunia,” katanya.

Bagaimanapun menurut Muhyiddin, masih banyak perkara perlu dilaksanakan.

Namun penggabungan kementerian ini akan memberi sumber kepada kepakaran dan kemahiran yang lebih meluas dan mendalam.

“Kita akan melihat bagaimana sinergi kedua-dua kementerian ini akan dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti pelajaran dan pembelajaran secara keseluruhan di Malaysia,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin mengadakan perjumpaan khas dengan ketua-ketua bahagian Kementerian Pelajaran di Kompleks E, pagi tadi.

Ketibaan beliau disambut Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pelajaran I dan II, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P.Kamalanathan.

Muhyiddin turut mengetip kad perakam waktu selaku pada hari pertamanya yang juga merupakan penggal kedua beliau selaku Menteri Pelajaran.

ISU PENDIDIKAN : Kelangsungan dasar pendidikan melalui gabungan KPM-KPT


Oleh : TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM

DUA minggu sebelum pengumuman senarai Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada rakan-rakan bertanya kepada saya mungkinkah kali ini Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan disatukan semula seperti dulu.

Jawapan saya ia tidak mustahil kerana ada negara lain yang menggabungkan semula kedua-dua kementerian selepas berpisah beberapa tahun contohnya Thailand.

Selepas Pilihan Raya Umum 2004 Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi mewujudkan kementerian baharu iaitu Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran.

Rasionalnya kementerian itu terlalu besar dari segi bilangan pelajar, guru dan pensyarah bermula dari prasekolah hingga ke peringkat universiti.

Di samping itu, peruntukan besar dalam bajet untuk bidang pendidikan dijangka lebih berkesan jika dibelanjakan secara berfokus iaitu satu di peringkat persekolahan dan satu lagi untuk pengajian tinggi.

Namun demikian hampir 10 tahun berlalu, kini kedua-dua kementerian disatukan semula. Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi tanggungjawab untuk menerajuinya di samping Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri 2. Sementara itu, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Kita berkeyakinan penuh bahawa melalui pengalaman yang lama Muhyiddin dalam Kabinet dan sepenggal sebagai Menteri Pelajaran akan memberi kelebihan kepada beliau untuk menerajui kementerian besar itu ke arah yang lebih cemerlang.

Sementara itu, Idris ketika menjadi Menteri Besar turut membantu Terengganu sebagai salah sebuah negeri terbaik dalam peperiksaan awam UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM.

Demikian juga sebagai Pengerusi Mara, beliau berjaya memperkasakan Maktab Rendah Sains Mara melalui penambahbaikkan program pembelajaran dan kurikulum pengajian.

Bagi warga pendidik pula nama Datuk Mary Yap Kain Ching tidak asing lagi. Sekolah Menengah Teknik Tawau, Sabah telah memenangi banyak anugerah kurikulum dan kokurikulum di peringkat negeri dan kebangsaan ketika beliau menjadi Pengetua Cemerlang.

Selepas bersara pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai konsultan Institut Aminuddin Baki untuk melatih pengetua sekolah kluster dan sekolah berprestasi rendah. Sebagai menghargai sumbangannya dalam perkhidmatan beliau dianugerahi Tokoh Guru sempena Hari Guru 2012.

Kelangsungan dan penerusan dasar pendidikan negara merupakan isu besar yang dihadapi apabila berlakunya perpisahan dua kementerian itu.

Pelaksanaan Dasar Razak 1956 dalam pendidikan merupakan strategi utama untuk membina negara bangsa selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Matlamat utamanya adalah untuk menyatupadukan kanak-kanak pelbagai kaum melalui pendidikan. Dasar Rahman Talib 1961 pula bertujuan untuk memperkukuhkan lagi Dasar Razak terutama dari aspek perpaduan kalangan murid-murid. Ini diikuti Dasar Kabinet 1971 di mana bahasa pengantar dan sistem peperiksaan telah diseragamkan. Matlamat utamanya ialah untuk membolehkan murid-murid dapat bercampur gaul dan belajar di bawah satu bumbung sekolah yang sama.

Hakikatnya pelaksanaan dasar pendidikan negara itu seharusnya dilalui oleh kanak-kanak sejak memasuki prasekolah dan berterusan hingga mereka menamatkan alam pendidikan di pusat pengajian tinggi.

Pada dasarnya seorang remaja itu akan mantap jati dirinya, sahsiah dan keterampilan selepas melalui pendidikan rendah dan menengah selama 11 tahun dan diikuti pengajian tinggi selama 5 tahun.

Bagaimanapun kelangsungan dasar pendidikan yang sama tidak dapat diteruskan kerana apabila pelajar memasuki pusat pengajian tinggi dasar dan hala tujunya sudah berlainan.

Dasar dan hala tuju Kementerian Pengajian Tinggi adalah seperti tertera dalam Pelan Strategi Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007-2012. Penekanan yang diberikan ialah untuk menjadikan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai pusat kecemerlangan yang bertaraf dunia.

Sementara itu IPT perlu melahirkan pelajar yang berdaya saing dan dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Sekarang disediakan peringkat akhir kesinambungan dasar dan hala tuju selanjutnya, bermula 2013 hingga melepasi tahun 2020.

Sesungguhnya penggabungan kedua-dua kementerian ini akan memberi ruang dan peluang kepada pembuat dasar untuk menyelaras dan menyeragamkan semula kelangsungan strategi dan hala tuju pendidikan negara.

Kesempatan ini perlu diambil kerana telah ada Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 Kementerian Pelajaran yang menyediakan landskap pendidikan melalui 11 Anjakan yang meliputi penyediaan akses, penguasaan kemahiran berbahasa, penghayatan nilai dan sebagainya.

Baru-baru ini pula Perdana Menteri mengesyorkan untuk merangka national reconciliation atau perpaduan dan penyatuan nasional hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Oleh itu sekolah dan IPT tidak terkecuali dan mempunyai peranan besar untuk membantu mewujudkan perpaduan dalam kalangan kanak-kanak dan siswa daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Dalam merangka dasar dan hala tuju IPT maka isu perpaduan perlu diberi perhatian utama. Antara strategi yang boleh dilaksanakan ialah menjadikan bidang kokurikulum dan sukan sebagai aktiviti penting dalam kalangan siswa.

Aktiviti ini memberi peluang kepada mereka untuk bercampur gaul di gelanggang atau padang permainan yang sedia ada di semua kampus.

Selain itu aktiviti kesukarelawan atau volunteerism hendaklah digalakkan. Ketika ini telah wujud badan tertentu di IPT menjalankan aktiviti kesukarelawan termasuk melalui IM4U dan Yayasan Sukarelawan Siswa.

Mewajibkan siswa IPT mengikuti subjek tertentu seperti Sejarah Malaysia, Pengajian Am atau Sivik akan dapat mengukuhkan lagi jati diri kalangan mereka. Mata pelajaran ini akan membolehkan mereka mengenali lebih dekat sejarah tanah air, memahami budaya kaum lain dan menanamkan semangat kekitaan, kerjasama dan saling hormat menghormati.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri semasa mengumumkan senarai kabinet "... Kabinet baharu mampu meneruskan dan menjayakan agenda transformasi nasional selain meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat." Begitulah harapan kita semua.

Penulis ialah  Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNISZA.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/