Rabu, 19 Februari 2014

ISU BAHASA : Silakan masuk jika ada urusan


Oleh : MUHAMMAD DAUD

TENTUNYA kita biasa melihat papan tanda yang tertulis, “Dilarang Masuk Tanpa Urusan” sewaktu berkunjung ke mana-mana premis, sama ada kerajaan atau swasta.

Jika sekali pandang, kita mungkin tidak dapat mengesan apa-apa kejanggalan tetapi jika dilihat dari sudut kesantunan berbahasa, tulisan atau ungkapan tersebut seolah-olah memperkecil orang yang membacanya.

Mengapa saya mengatakan sedemikian? Seandainya kita teliti secara mendalam papan tanda yang tertulis, “Dilarang Masuk Tanpa Urusan”, adakah seseorang yang berkunjung ke premis tersebut tiada urusan? Biasanya papan tanda tersebut ditujukan terutamanya kepada jurujual yang datang tanpa janji temu dengan pihak pengurusan atau pentadbiran premis berkenaan.

Jika kita fikir secara logik, jurujual juga mempunyai urusan, iaitu ingin menjual barangan mereka. Sepatutnya disediakan satu kaunter pertanyaan dan jurujual itu bolehlah bertanya sama ada diizinkan untuk memasuki premis tersebut atau disediakan papan tanda yang tertulis “Jurujual Tidak Dibenarkan Masuk”.

Bagaimanakah pula jika pihak yang berkunjung itu bukan jurujual? Sebagai contoh, seorang tua yang terpaksa menaiki anak tangga ke tingkat satu atau dua sebelum masuk ke pejabat premis berkenaan.

Dalam keletihan setelah menaiki anak tangga, orang tua itu hanya sempat membaca dua patah perkataan setakat “Dilarang Masuk” sahaja, mungkinkah dia akan berasa marah dan kecewa.

Jadi, dari sudut kesantunan berbahasa, adalah wajar papan tanda seumpama itu ditulis, “Silakan Masuk Jika Ada Urusan”. Orang tua itu, walaupun keletihan dan sempat membaca hanya dua patah perkataan, iaitu “Silakan Masuk”, akan terus masuk dan beliau tentunya datang ke pejabat itu kerana mempunyai urusan.

Mungkin juga kita pernah mendengar ungkapan, “Tujuan saya berdiri di sini adalah untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk …” atau ungkapan, “ Seperti yang kita semua ketahui…”

Sekali lagi saya nyatakan di sini, kita mungkin tidak berasa apa-apa kesilapan dengan ungkapan tersebut. Jika dilihat dari sudut kesantunan berbahasa, ungkapan yang digunakan itu juga seolah-olah menggambarkan penceramah menganggap bahawa audiensnya tidak tahu sebab dia naik ke pentas. Adakah betul? Bukankah pengacara majlis telah memaklumkannya berserta tajuk ceramah yang akan disampaikan. Sepatutnya ungkapan tersebut tidak perlu dinyatakan lagi oleh penceramah.

Begitu juga ungkapan, “Seperti yang kita semua ketahui…”. Jika kita semua ketahui maka tidak perlu bagi penceramah atau orang yang sedang berucap mengungkapkan ungkapan tersebut. Tidakkah perbuatan itu membuang masa sahaja kerana semua sudah mengetahui. Sepatutnya penceramah atau orang yang sedang berucap itu memberitahu, “Saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan tentang hal…”.

Satu perkara lagi yang biasa berlaku dalam pengucapan awam, iaitu pengucap memberitahu pada awal ucapan atau ceramahnya bahawa beliau tidak sihat. Apakah tujuan dan niat sebenar orang yang berucap atau penceramah memberitahu hal tersebut?

Adakah beliau ingin menutup kelemahan dalam penyampaian ucapan atau ceramahnya? Jika tidak sihat, sepatutnya hal tersebut diberitahu kepada doktor. Jadi, ungkapan atau pemberitahuan itu sebenarnya telah merosakkan ucapan atau ceramah tersebut.

Di samping itu, kita juga mungkin pernah mendengar pada akhir ucapan atau ceramah ungkapan, “kerana masa tidak mengizinkan saya …” Masa bukanlah manusia yang dapat memberikan keizinan atau tidak.

Ungkapan sedemikian sebenarnya memberi gambaran kepada kita bahawa orang yang sedang berucap atau penceramah itu tidak pandai atau tidak bijak untuk mengurus masa ucapan atau ceramahnya.

Alah bisa tegal biasa.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU EKONOMI : Pengguna bestari mampu kawal ekonomi


Oleh  : Dr. Ahmad Zaki Ismail

BENCANA banjir nampaknya sudah berlalu. Kemudian negara dilanda cuaca dingin yang ganjil yang sebelumnya tidak pernah berlaku. Menggelikan hati juga apabila dilaporkan di setengah-setengah kawasan ada yang terpaksa menggunakan jaket tebal untuk ke ladang bagi menoreh getah.

Dilaporkan juga banyak peniaga pakaian terpakai terutama di Kelantan mendapat durian runtuh apabila pakaian yang sebelum ini terperuk tidak laku sudah menjadi rebutan dan mampu dilupuskan dengan untung lumayan daripada stok lamanya.

Inilah yang dikatakan sebagai rahmat daripada Allah yang meskipun kadangkala dianggap sebagai bencana atau musibah tetapi mengandungi hikmah dan nikmat yang tersembunyi bersamanya jika kita mampu membuka mata bagi menilainya secara positif.

Kini nampaknya suasana sekali lagi berubah. Cuaca dingin berubah menjadi panas berbahang sebaik sahaja tamat perayaan Tahun Baru Cina. Meskipun tahun ini adalah tahun kuda tetapi nampaknya ia sangat berbahang umpama kuda api.

Perkara pertama yang dikhuatiri bakal berlaku akibat perubahan cuaca ini bukan lagi ancaman bencana banjir tetapi sekarang beralih pula kepada ancaman cuaca panas yang keterlaluan. Mungkin tidak lama lagi kita akan berhadapan dengan kes kebakaran hutan dan tanah gambut dan diserang jerebu pula.

Apa sahaja yang bakal berlaku, tentu ia mendatangkan kesan kepada rakyat negara ini yang rata-ratanya amat sensitif terhadap sebarang perubahan semasa.

Paling sinis apabila membaca komen di beberapa blog, kumpulan WhatsApp dan facebook yang menyindir seruan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk beralih kepada produk dingin beku daripada membeli produk segar seperti kebiasaan mereka.

Saranan Muhyiddin ini adalah berdasarkan kepada dua motif dan fakta utama iaitu produk berkenaan jauh lebih murah dan kualitinya setanding dan bahkan kadangkala lebih baik daripada yang segar dijual di pasar basah seluruh negara.

Reaksi yang diterima dalam media alternatif berkenaan memang kadang-kala di luar batas akal waras apabila membaca komentar yang dilontarkan sehingga ke tahap mencemuh dan mengeji tanpa meneliti fakta saintifik terhadap saranan berkaitan.

Memang benar, budaya pengguna di negara ini sangat terkebelakang jika dibandingkan dengan negara lain kerana lebih bersifat tanggapan semata-mata. Kurangnya ilmu pemakanan menyebabkan kejahilan berleluasa dan mengongkong budaya amalan pemakanan yang lebih sihat diamalkan.

Bahan makanan sejuk beku sebenarnya jauh lebih bersih, segar dan selamat berbanding dengan produk yang dikatakan segar yang didapati di pasar basah yang terbuka. Ini disebabkan bahan berkenaan tidak dicampur dengan bahan pengawet bagi mengekalkan kesegarannya.

Teknologi pembekuan segera menyebabkan kesegaran produk dapat dikekalkan dan berupaya mencegah virus dan kuman daripada memasuki produk berkaitan berbanding dengan produk yang dibiarkan terdedah dan hanya diletakkan ketulan ais bagi mencegah daripada busuk. Sedangkan kuman dan virus mudah membiak dengan suasana terdedah itu.

Teknologi blast freez dan deep freezing menyebabkan bahan mentah seperti ikan dan daging tahan bertahun lamanya dan masih sangat segar sehingga tidak akan dapat dibezakan dengan produk yang baru diproses disebabkan pengawalan lembapan mampu dikurung bersama ais yang dibentuk sebaik sahaja proses sejuk beku dilaksanakan.

Kita akan melihat bahawa mata ikan yang menjalani proses ini masih berwarna asal berbanding ikan di pasar segar yang sudah bertukar merah. Malahan daging ayam atau lembu juga masih lembut dan mudah untuk diuruskan serta dimasak berbanding daging segar biasa

Kerana itu kita melihat para pengguna di Eropah, Jepun, Korea, Taiwan dan pelbagai negara lain sangat kontra dengan kita dan sentiasa menerima produk sejuk beku ini dengan sangat positif dan menjadi budaya kepenggunaan di negara mereka. Dengan kata lain, sekiranya budaya serupa diterima pakai oleh pengguna di sini maka mereka akan mendapat produk yang lebih murah dengan kualiti lebih baik dan pada masa sama dapat berjimat sehingga mampu mengekang inflasi.

Sebagai pengguna, kita patut mengambil langkah bestari dan tidak mengikut perasaan dan pengaruh orang semata-mata. Kita patut berani berubah dan mencari fakta daripada hanya mendengar ocehan dan omongan kosong daripada mereka yang punya kepentingan peribadi dan sentiasa mencari kesempatan untuk menangguk di air keruh.

Mungkin tidak lama lagi para pengguna juga bakal berhadapan dengan isu bekalan air kerana sudah ada indikator ke arahnya. Sudah diberi maklumat oleh media beberapa empangan tadahan dan pusat memproses air mula susut dengan sangat drastik. Maka para pengguna kena pantas bertindak secara proaktif bagi mengurangkan impak atau menghalang satu lagi krisis bekalan air daripada melanda kita.

Tidak mustahil isu ini pun bakal dipolitikkan dan kita percaya sudah direncanakan kepada siapa jari akan dituding. Sama ada banjir, empangan pecah ataupun kontang air di tadahan maka ia akan menjadi pelantar oleh pihak tertentu mempengaruhi masyarakat pengguna supaya menyalahkan kerajaan. Walhal sesiapa sahaja yang menjadi pemerintah tidak dapat lari daripada menghadapi masalah yang serupa.

Paling untung agaknya para pengguna dan peniaga di dua tempat yang bakal menyambut hari raya iaitu pilihan raya kecil yang impaknya bukanlah pula kecil. Meskipun kecil tetapi sebenarnya sangat besar maknanya. Orang Kajang dan Kuching tentu sudah tidak sabar-sabar lagi menanti masa berkenaan.

Apa yang penting, maksimumkan pulangan sebagai pengguna dan pengundi. Kerana kuasa di tangan kita semua. Kalau tangan yang mencincang tentu bahulah yang bakal memikulnya. Gunakanlah akal dan kebijaksanaan bukannya hati nafsu dan perasaan sebagai panduan.

Sudah tentu dengan formula berkenaan para pengguna negara ini akan menjadi pengguna bestari dan pada masa sama mampu menangani sebarang cabaran ekonomi peribadi, keluarga dan komuniti.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Mengendalikan maklumat di hujung jari


Oleh :  Johan Jaaffar

Manusia moden sarat dengan data dan maklumat. Bayangkan berbilion halaman maklumat yang boleh diperoleh  melalui enjin carian Google. Setiap hari 400 juta tweet dihantar oleh manusia. Pada masa ini 1.4 bilion manusia mempunyai akaun Facebook. Sebuah buku baharu lahir setiap 30 saat. Kita diasak dengan jutaan data dan maklumat setiap masa melalui pelbagai sumber, lebih-lebih lagi melalui Internet.

Satu ketika dahulu, maklumat datang merangkak. Hari ini segala-galanya boleh didapati dengan pantas dalam sekelip mata. Perpustakaan dan arkib bukan lagi sumber mendapatkan ilmu dan maklumat. Ensiklopedia yang mahal dan tebal dianggap tidak relevan lagi. Hari ini Wikipedia memberikan laluan mudah untuk kita mendapat apa sahaja yang diperlukan. Maklumat kini di hujung jari.

Komputer saya yang pertama pada awal 80-an namanya Commodore 64 – sesuai dengan namanya hanya mempunyai 64 bit. Ini bermakna ia boleh menyimpan paling banyak lima fail untuk rencana seperti ini. Hari ini, BlackBerry boleh memuatkan maklumat sejuta kali lagi banyak. Ada yang meramalkan menjelang 2025, kita akan mempunyai komputer yang boleh memproses maklumat seperti otak manusia. Pada tahun 2045, komputer itu boleh mempunyai keupayaan memproses enam bilion otak.

Apakah kita berada dalam keadaan ‘sarat maklumat’? Dalam bahasa Inggeris, ungkapan yang tepat ialah ‘information overload’. Ada juga yang melabelkannya ‘infobesity’ atau ‘infoxication’. Apakah keadaan ini baik untuk manusia? Atau menjadikan kita terlalu bergantung pada maklumat atau data?

Nampaknya begitulah, kita berdepan dengan tsunami maklumat – sebahagiannya berguna, banyak juga sekadar sampah sarap yang tidak bermanfaat. Apakah manusia menjadi lebih cerdik dengan teknologi di tangannya?

Ledakan maklumat perlu dimanfaat

Belum tentu! Cara kita mengendalikan media sosial bertentangan dengan matlamat asalnya. Maklumat yang sepatutnya menguntungkan kita menjadi musuh utama kita. Ruang siber yang sepatutnya digunakan secara baik untuk tujuan ilmu dan penyebaran maklumat menjadi gelanggang caci mencaci, melepas geram malah menghina orang lain.

Apakah maklumat yang kita perolehi itu kita manfaatkan dengan baik? Dan apakah kita menilainya dengan betul, berhemah dan saksama? Atau kita sekadar menjadi tukang sebar dan edar apa sahaja fitnah, kebencian dan dendam orang lain?

Inilah sebenarnya cabaran utama era maklumat hari ini – menjadi manusia yang bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat. Keadaan sarat maklumat bermakna input atau kemasukan maklumat lebih daripada kemampuan kita memprosesnya.

Manusia lebih keliru

Satu waktu dahulu Marshal McLuhan menggunakan istilah ‘global village’ untuk menunjukkan bagaimana dunia menjadi kecil oleh runtuhnya tembok-tembok akibat ledakan maklumat. Hari ini globalisasi dan keadaan sarat maklumat telah mengubah dunia. Sayangnya kepantasan dan banyaknya maklumat tidak semestinya bermakna manusia lebih bermaklumat atau ‘informed’, sebaliknya lebih keliru.

Keupayaan memproses, mengurus dan menyebar maklumat bukan mudah. Selalunya manusia menjadi mangsa keadaan sarat maklumat – mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan, malah menjadikan mereka bingung dan keliru. Ini ada kaitannya dengan batas kemampuan manusia biasa menyimpan maklumat itu sendiri.

Manusia sentiasa berdepan dengan masalah mengendalikan peralatan teknologi. Dua puluh tahun yang lalu telefon ‘mobile’ masih terlalu baharu. Sistem pesanan ringkas (SMS) muncul bersama telefon mudah alih. Hari ini SMS mencorakkan perhubungan kita. Whatsapp kini memudahkan proses menulis teks di telefon pintar. Setiap masa kita menunggu datangnya teks yang dihantar. Di tangan kita letaknya peralatan yang sebenarnya menjadikan kita dilalaikan oleh teknologi. Malah merenggangkan nilai kekeluargaan dan sosial.

Jangan sampai teknologi mencorakkan hidup kita sebaliknya kitalah yang sepatutnya mengendalikan teknologi. Kita harus membuat pilihan sepanjang masa memetik keperluan daripada gelombang data dan maklumat sedia ada. Satu ketika dahulu tamadun dicorakkan oleh tradisi ilmu, kesarjanaan dan penerbitan buku. Hari ini kita menjadi hamba teknologi. Kemanusiaan sudah dicorakkan oleh kepantasan, keadaan sarat maklumat dan kecanggihan peralatan teknologi.

Kita harus menerima hakikat keadaan sarat maklumat sebenarnya belum tentu memguntungkan manusia. Malah ada bukti bahawa ia menjejaskan produktiviti serta menyebabkan kita membuat keputusan yang salah. Proses membuat keputusan menjadi lebih rumit dan membebankan.

Jadikanlah maklumat kawan dan bukan lawan. Manfaatkanlah data dengan betul bukan dengan semberono. Kita tidak akan menjadi lebih berilmu, lebih celik dan terbuka semata-mata dengan maklumat yang banyak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 17 Februari 2014

ISU KESIHATAN : Keperluan ujian saringan kesihatan mental


Oleh : Khairul Azhar Bin Idris

KELUARGA adalah asas kepada pembinaan sesebuah masyarakat dan negara. Bagi mewujudkan sesebuah masyarakat dan negara yang baik dan sihat, unit kekeluargaan perlulah berada dalam keadaan yang sihat.

Kesihatan itu pula bukan hanya tertumpu kepada fizikal, tetapi juga mental dan jiwa, kestabilan emosi, kerohanian dan tingkah laku. Terdapat beberapa perkara berkaitan dalam aspek pemantauan kesihatan mental ini yang perlu dilakukan bagi memastikan agar objektif penjagaan kesihatan mental, iaitu pemuliharaan kesihatan mental yang baik dan berkekalan, tercapai.

Pemantauan ialah satu proses yang melibatkan pemerhatian. Apa yang ingin diperhatikan ialah mengenal pasti sebarang perubahan tidak wajar atau kemerosotan tahap kesihatan mental yang berlaku dalam anggota keluarga agar perubahan itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa sama ada individu, keluarga atau orang ramai.

Tanggungjawab dalam memantau sebarang perubahan yang berlaku itu sebenarnya terletak kepada setiap anggota masyarakat, iaitu terdiri daripada ahli keluarga, seperti suami isteri atau pasangan, adik-beradik, anak-anak dan lain-lain. Turut berperanan ialah rakan, jiran tetangga, para guru dan majikan.

Anggota masyarakat perlu memainkan peranan ini demi kesejahteraan masyarakat di sekeliling mereka. Proses pemantauan terhadap perubahan ini dilakukan bagi membantu dalam proses pemeriksaan dan penilaian lanjut oleh pihak berwajib. Sementara itu, proses pemeriksaan pula dilakukan sebagai elemen penting untuk memantau perubahan itu. Adalah tidak wajar apabila tiada pemantauan atau pemeriksaan dilakukan terhadap individu yang menunjukkan perubahan yang pelik dan meragukan terhadap status mental dan emosi mereka.

Sebarang perubahan yang meragukan dan yang menunjukkan kemerosotan tahap kesihatan mental perlu dirujuk kepada pihak berwajib agar dapat dilakukan pemeriksaan lanjut bagi menentukan status sebenar tahap kesihatan mental seseorang itu. Matlamat utama dilakukan pemeriksaan ialah bagi menilai sejauh mana keseriusan yang dialami dan seterusnya memastikan apakah risiko yang bakal mengundang akibat daripada perubahan itu.

Persoalannya ialah apakah yang ingin diuji atau diukur itu dan sejauh manakah ujian itu mampu menentukan status mental atau emosi seseorang serta menilai apakah risiko yang bakal dialami nanti?

Persoalan lain yang timbul adakah individu yang dinilai itu benar-benar memberikan kerjasama dan respons yang jujur dan menepati matlamat dilakukan penilaian? Walau apa pun keadaannya, adalah dituntut agar penilaian yang dilakukan itu memiliki tahap kesahihan dan ketepatan yang tinggi bagi menghasilkan respons dan keputusan yang tepat dan dipercayai.

Timbul juga persoalan lain berkaitan pemeriksaan kesihatan mental ini, iaitu siapakah kumpulan sasaran yang perlu menjalani, adakah ia terdiri daripada individu yang diragui status kewarasannya semata-mata, atau termasuk juga kepada sesiapa sahaja yang secara sukarela ingin mengetahui status dan risiko kesihatan mereka berkaitan kestabilan mental dan emosi.

Namun pada hakikatnya, suasana semasa dalam perkhidmatan kesihatan di negara ini berkaitan ujian kesihatan mental dan emosi khususnya, menyaksikan bahawa bukanlah menjadi sesuatu tuntutan kepada orang awam itu untuk menjalani ujian kesihatan mental, apatah lagi menjalaninya secara berkala atau tahunan.

Keperluan ini tidak wujud kerana masyarakat belum lagi dididik, atau mempunyai pengetahuan berkaitan keperluan untuk menjaga agar tahap mental dan emosi mereka sentiasa dalam keadaan stabil.

Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, timbul beberapa saranan dan cadangan daripada beberapa agensi kerajaan untuk mengadakan ujian saringan kesihatan mental bagi pasangan yang bakal berkahwin, sama seperti ujian yang dikenakan kepada bakal pengantin dalam ujian saringan terhadap status jangkitan HIV dan lain-lain.

Saranan ini perlu dilihat dari sudut yang positif kerana ia akan membawa banyak kebaikan, seperti hak untuk mendapatkan rawatan berkaitan yang lebih lanjut jika ada isu. Tetapi apa yang turut sama penting ialah ujian itu bukan hanya tertumpu kepada bakal pengantin, tetapi perlu diperluaskan melibatkan pasangan yang telah berkahwin serta kepada seluruh anggota keluarga.

Selain itu, ada juga saranan agar ujian saringan dilakukan kepada bakal guru. Ia juga baik kerana mampu mengenal pasti pelbagai latar belakang dalam diri dan personaliti para guru yang sebenarnya akan turut mempengaruhi pemikiran dan emosi mereka serta akhirnya menjejaskan proses pembelajaran dalam kalangan anak-anak murid mereka. Walaupun kesan daripada masalah itu bukanlah sampai ke tahap tindakan undang-undang di negara ini, tetapi ia ada kesan perundangan jika mereka ini berada di luar negara dan jika ia berlaku, semuanya sudah terlambat.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Masih adakah PMR?


Oleh : Azhar Abu Samah

Kesediaan kerajaan untuk mengkaji secara menyeluruh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pasti disambut penuh kelegaan oleh lebih 400,000 guru di seluruh negara.

Pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini bahawa Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan mengenai dua perkara, iaitu sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS, sama ada untuk meneruskannya atau tidak, pada satu mesyuarat yang akan diadakan kementerian dalam masa terdekat, menunjukkan Muhyiddin dapat memahami permasalahan yang dihadapi guru.

Pelbagai keluhan didengar, dicoret dan disebarluaskan melalui media sosial mengenai kelemahan ketara PBS, khususnya kerenah sistem pelayan yang tidak dapat dicapai dengan baik, sekali gus menyebabkan guru terpaksa bersengkang mata sehingga awal pagi semata-mata mahu merekodkan prestasi dan pencapaian pelajar. Jika berjaya pun, pasti akan mengalami masalah tersangkut yang tidak berkesudahan.

Prihatin keluhan guru

Kita percaya pengalaman Muhyiddin ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8 (1), Putrajaya, dengan melihat sendiri masalah yang diketengahkan dan mendengar sendiri daripada guru mengenai kelemahan sistem pelayan untuk melaksanakan PBS dapat difahami beliau. Timbul persoalan, kenapa pegawai kanan dari peringkat pengarah dan ketua pengarah di kementerian terbabit tidak dapat memahami keluhan guru sehingga terpaksa menteri atau Timbalan Perdana Menteri turun padang untuk menyelesaikannya.

PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada 2011 dan diperkenalkan di sekolah menengah pada 2012. Ini bermakna pada 2016, murid sekolah rendah akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dibuat penambahbaikan dan pada 2014 pula, Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS.

Sokong  kaji semula PBS

Cukuplah pelbagai kerja perkeranian dibebankan kepada guru, yang suatu ketika dulu dibuat oleh kerani atau pembantu pejabat. Sekurang-kurangnya pengumuman Muhyiddin itu ibarat terlepasnya beban berat di pundak setiap guru yang memang mengharapkan PBS dikaji semula, malah sampai ke tahap mahu ia dibatalkan kerana ia amat membebankan guru.

Tidak ada gunanya kita mempunyai sistem atau perkakasan terbaik, sedangkan perisian untuk melaksanakan kerja itu tidak mampu menampung kehendak pekerjaan. Inilah senario sebenar dihadapi PBS ketika ini.

Sebagai ibu bapa, kita pasti tertanya-tanya mengenai masa depan PMR dan sewajarnya keputusan mengenai mahu melaksanakan atau tidak PBS dibuat seberapa segera. Di sinilah rasionalnya rumusan Muhyiddin: “Kalau PBS hendak dilaksanakan, kita mesti pastikan segala yang diperlukan, sama ada dari segi sistem infrastruktur, latihan dan perkara lain benar-benar difahami dan dapat beroperasi secara cekap.”

Hakikatnya, pelaksanaan PBS menjadi tanggungjawab semua peringkat di jabatan dan kementerian, bukan guru sahaja. Budaya untuk menguji keberkesanan ‘sistem’ sudah ketinggalan zaman.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 14 Februari 2014

ISU SUKAN : Membendung samseng bola sepak


Oleh : M. JASNI MAJED

"KALAH menang adat permainan, kalau tidak boleh kalah, jangan main bola, kalau menang kena terima menang tetapi jangan hendak ghairah sangat."
Demikian kata-kata Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila negara kita sekali lagi dibebani dengan kemelut bola sepak kerana pelbagai insiden pergaduhan membabitkan penyokong berlaku akhir-akhir ini.
Jika diulas kata-kata di atas, ini menunjukkan betapa semangat kesukanan masih belum utuh dalam jiwa setiap penyokong atau kumpulan penyokong sesuatu pasukan setiap kali perlawanan bola sepak dilangsungkan.
Asal sahaja kalah, ada sahaja yang tidak kena, asal saja menang, bongkak dengan kemenangan sehingga boleh menimbulkan kemarahan pihak yang kalah.
Adalah dipercayai, insiden pergaduhan terjadi ekoran wujudnya kumpulan samseng bola sepak di negara kita yang mencari peluang membuat kacau dalam perlawanan-perlawanan tertentu sehingga mencetuskan pelbagai masalah lain.
Di luar negara pun ada kumpulan samseng bola sepak. Di London, ada kumpulan Inter City Firm yang dikatakan sering bertegang leher ketika bertemu dengan Bushwakers.
Langkah-langkah awal FAM untuk membendung gejala samseng dalam bola sepak mesti disambut baik oleh semua pihak demi pembangunan sukan negara. Bola sepak, sebagai sukan yang berjaya mengaut sejumlah besar penyokong tidak seharusnya diguris dengan insiden-insiden memalukan dan menjatuhkan imej sukan negara.
Langkah-langkah yang sudah lama dipraktikkan seperti mengasingkan penyokong dan memantau kemasukan barangan terlarang seperti senjata dan mercun sudah lama dilakukan dan ternyata belum dapat membendung gejala ini.
Di luar stadium, pelbagai insiden boleh berlaku yang selalunya bermula dengan provokasi yang boleh membawa kepada tindakan-tindakan liar. Bermula dengan kata-kata kesat, akan wujud kemarahan dan selalunya berakhir dengan tindakan-tindakan ganas yang membawa kecederaan dan juga kerosakan harta benda.
Justeru. FAM dan pihak berkuasa mesti memperluas peranan dengan memantau penyokong-penyokong bola sepak supaya insiden pergaduhan dan kekecohan tidak berlaku lagi. Tugas FAM sendiri semakin mencabar kerana gelagat penyokong bukan hanya perlu dipantau dan diawasi di dalam stadium, malah di luar stadium.
Kumpulan-kumpulan samseng bola sepak yang ditangkap mesti diambil tindakan tegas mengikut undangundang sedia ada supaya memberi pengajaran kepada individu atau kumpulan lain. Jika kumpulan ini dibiarkan, kita bimbang akan wujud budaya tidak sihat dalam industri sukan negara.
Dalam masa sama, pelbagai pihak mesti memikirkan kesan-kesan negatif samseng bola sepak dalam industri sukan negara. Di samping merencatkan pembangunan sukan bola sepak, penularan kumpulan samseng bola sepak akan menghilangkan keyakinan orang ramai untuk mengunjungi stadium.
Di peringkat yang lebih jauh, kita mesti menyedari bahawa nama negara kita akan turut tercemar jika insiden-insiden ini terus berlarutan dalam industri sukan negara.
Oleh yang demikian, pelbagai pihak mesti bekerjasama membendung gejala samseng bola sepak supaya industri sukan tempatan dapat mencapai kecemerlangannya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 12 Februari 2014

ISU KEIBUBAPAAN : Bolehkah merotan anak?


KES pasangan Malaysia di Sweden yang ditahan kerana disyaki mendera anak kerana tidak solat telah menjadi berita besar. Pasangan tersebut masih ditahan di sana walaupun anak-anak mereka telah berjaya dibawa pulang. Banyak perbincangan telah dibuat mengenai isu ini.

Ramai dalam kalangan masyarakat tidak selesa dengan kewujudan undang-undang yang ada di Sweden, di mana ibu bapa hilang hak mendisiplinkan anak-anak dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sebenarnya, Malaysia juga sudah lama menguatkuasakan Akta Kanak-Kanak 2001 dan memasukkan pelbagai peruntukan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak.

Di Malaysia, jika ibu bapa atau penjaga mendera anak-anak, mereka tetap akan ditahan polis dan dikenakan tindakan undang-undang yang boleh membawa hukuman denda dan penjara (rujuk seksyen 31).

Di Malaysia juga Pegawai Pelindung boleh menyelamatkan kanak-kanak jika mereka memerlukan pemeliharaan dan perlindungan seperti yang diperuntukan oleh seksyen 31 iaitu: (a) kemungkinan dicederakan, ibu bapa abai, cuai, tidak layak, buang anak, atau kanak-kanak membahayakan diri sendiri atau ibu bapa bertelingkah dan sebagainya.

Jika dilihat, terlalu banyak kategori yang membolehkan Pegawai Pelindung bertindak menyelamatkan kanak-kanak dan meletakkan mereka di rumah ibu bapa pelihara atau foster (ibu-bapa angkat).

Namun persoalan yang ingin saya bincangkan ialah sejauh mana ibu bapa boleh merotan anak-anak mereka jika enggan solat?

Sebenarnya kontroversi memukul dalam Islam sering disebut dalam hal memukul isteri berlandaskan ayat al-Quran. (rujuk al-Nisa : 34).

Kebanyakan orang beranggapan ayat ini lesen untuk memukul isteri sedangkan Islam adalah agama yang mengutamakan kasih sayang.

Semasa membincangkan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, isu pukul isteri ditimbulkan kerana bilangan kes tertinggi datang daripada orang Islam.

Samalah juga dengan merotan atau mendera anak. Jika dilihat data kes, bilangan tertinggi ialah daripada keluarga Islam. Ini memberi gambaran bahawa Islam itu mendidik anak dengan keganasan supaya anak takut dan berdisiplin.

Islam adalah agama yang mementingkan kasih sayang. Daripada segi merotan anak, dalil dalam sebuah hadis Nabi SAW: Ajarilah anakmu untuk menunaikan solat ketika usianya tujuh tahun dan pukullah mereka sekiranya sudah berusia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara lelaki dan perempuan).

Ibnu Qudamah berpendapat hukum sebatan terhadap kanak-kanak merupakan suatu hukuman pemulihan yang disyariatkan untuk melatih kanak-kanak melakukan sesuatu kewajipan seperti solat. Para juri bersepakat yang kanak-kanak boleh dikenakan sebatan yang ringan untuk tujuan pendidikan dan wajib bagi bapa atau datuk melaksanakannya. Hanya kanak-kanak yang berusia lebih 10 tahun boleh dikenakan hukuman sebatan ringan.

Namun, terdapat hadis yang menunjukan bahawa Nabi SAW tidak suka kepada orang yang menghukum kanak-kanak secara fizikal.

Dalam sebuah hadis Abu Masaud mengatakan: Aku telah memukul seorang hamba kanak-kanak lelaki dengan rotan dan aku mendengar suatu suara di belakangku. Ketahuilah wahai Abu Masâud. Tetapi aku tidak tahu bahawa suara itu bernada kemarahan. Ketika suara itu menghampiri, dia adalah Rasulullah. Maka, baginda pun bersabda: Ketahuilah wahai Abu Masâud. Aku pun menjatuhkan rotan daripada tanganku dan Rasulullah bersabda: Ketahuilah wahai Abu Masâud, bahawa Allah telah menetapkan atas kamu tanggungjawab terhadap hamba lelaki ini. Maka, aku berkata, Aku tidak akan memukul hamba lagi selepas itu selamanya. (Sahih Muslim)

Hadis Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa bahawa Rasulullah SAW bersabda: Gantungkanlah rotan sehingga rotan itu dapat dilihat oleh ahli keluarga, sesungguhnya itu boleh mendidik mereka.

Al-Manawi, ketika membincangkan maksud hadis ini berkata: Rotan tersebut adalah pendorong kepada seseorang untuk beradab dan berakhlak dengan akhlak mulia dan nilai-nilai murni yang kebanyakan jiwa yang keras menanggung kesusahan yang berat untuk melaksanakannya.

Pandangan al-Manawi ini membuktikan bahawa rotan secara simbolik, tanpa perlu digunakan boleh memberikan kesan kepada tingkah laku seseorang, terutamanya kanak-kanak. Jika dilihat daripada pandangan di atas, ibu bapa mempunyai kewajipan mendidik dengan ilmu agama terlebih dahulu sebelum dididik dengan perkara ilmiah yang lain.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/