Isnin, 3 Mac 2014

ISU PENDIDIKAN : Isu PBS belum ada penghujung


Oleh  : Ruhaiza Rusmin

Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditangguhkan lagi selepas melalui beberapa tahap. Penangguhan tersebut  bagi memberi laluan kepada penambahbaikan yang dijangka diumumkan pada 1 April depan.

Penangguhan itu memberi peluang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti mekanisme sesuai, selain mengurangkan kemelut yang melanda PBS sejak ia diperkenalkan.

Biarpun bukti kejayaan PBS sudah diperakui di negara maju seperti Singapura, Australia, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat, di negara kita sistem berkenaan dilihat masih belum stabil, sekali gus mengundang polemik.

Justeru, penangguhan sementara demi penambahbaikan dilihat sebagai satu tindakan wajar serta amat dialu-alukan semua pihak.

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Profesor Dr Othman Lebar berkata, tindakan menangguhkan sementara PBS adalah langkah tepat bagi mengelak konflik atau masalah lebih rumit.

Menurutnya, walaupun pada dasarnya PBS boleh dilaksanakan tetapi kekura­ngan maklumat atau pendedahan mengenainya boleh mengundang banyak pertikaian pelbagai pihak.

“Tindakan penangguhan ini demi memberi laluan kepada penambahbaikan sa­ngat wajar bagi mengelakkan lagi konflik dalam kalangan pihak terbabit.

“Ini juga bagi mengelakkan lebih banyak polemik, selain menghindari perasaan tidak puas hati yang dikhuatiri mewujud­kan senario tidak sihat dalam dunia pendidikan negara kita.

“Penangguhan juga sekurang-kurangnya memberi peluang pihak terbabit bertenang dan meredakan seketika ketegangan, selain mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Minggu lalu, KPM me­ngeluarkan kenyataan PBS yang diperkenalkan pada 2011 serentak Kokurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) ditangguhkan pelaksanaannya.

PBS mempunyai empat komponen iaitu Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Psikometrik serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum.

Dr Othman berkata, PBS adalah antara usaha proaktif KPM bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam akademik, malah mampu me­nyaingi permintaan semasa seperti berfikir secara kritis dan kreatif, menyelesaikan masalah dan berkomuni­kasi.

Katanya, dengan kata lain sistem itu dapat melahirkan pelajar yang mampu berfikir pada aras tinggi seperti pelajar di negara maju.

“PBS adalah mekanisme dalam sistem pendidikan negara bagi menyaingi permintaan globalisasi, seterusnya berubah daripada sistem digunakan sebelumnya.

“Ia sistem yang baik, namun ­disebabkan beberapa faktor akhirnya mewujud­kan pelbagai konflik,” katanya.

Ditanya kaedah yang ­boleh digunakan bagi memperbaiki kelemahan sedia ada, beliau menyarankan agar menyerahkan tanggungjawab pemantauan kepada pejabat pelajaran daerah (PPD) berbanding pemantauan pusat seperti sekarang.

“Melaluinya, pemantauan boleh dibuat dengan lebih efisien kerana jumlah sekolah yang dipantau terletak bawah pentadbiran PPD.

“Berbanding sekarang, semua data perlu dimasukkan terus ke pemantauan pusat. Skalanya sangat besar manakala sistem diguna pakai tidak dapat menampung (jumlah kemasukan serentak).

“Australia misalnya, menggunakan sistem PBS tapi dikawal selia mengikut negeri. Saya percaya cara ini boleh membantu mengatasi masalah berbangkit,” katanya.

PBS katanya, boleh ­didefinisikan sebagai pemberian kuasa autonomi kepada sekolah untuk melaksanakan sistem pembelajaran dan pengajaran sendiri.

“Cara berkenaan memberi peluang guru merangka strategi, mempelbagaikan cara pembelajaran dan pengajaran (P&P), sekali gus mengenal pasti ­keupayaan pelajar dan sebaliknya.

“Saya tidak kata PBS tidak bagus atau perlu dimansuhkan. Tidak perlu, cuma kita masih memerlukan masa untuk menerima transformasi ini, selain memperbaiki ketidakstabilan sistem digunakan,” katanya.

Melalui penangguhan itu, katanya memberi peluang golongan pelaksana seperti guru ‘berehat sebentar’ daripada tekanan untuk melaksanakan PBS.

“Jika dilihat pada sudut lain, masalah PBS ini boleh mengganggu gugat kelangsungan emosi guru.

“Mereka berasa tertekan, sedangkan sudut emosi juga penting dalam pelaksanaan tanggungjawab hakiki kepada pelajar.

“Penangguhan atau penambahbaikan itu sekurang-kurangnya mampu mengurangkan impak tekanan dan memberi peluang untuk memperkasakan aspek lain pula, misalnya proses P&P,” katanya.

Ditanya sama ada penangguhan itu akibat desakan demi desakan, katanya semua aspek perlu diambil kira sebelum sesuatu keputusan dilakukan.

“Apabila membicarakan mengenai dunia pendidikan perlu ada pelbagai proses untuk dilalui, dijadikan ujian, diperkasakan dan diperkukuhkan.

“Ia bukanlah suatu ­eksperimen tapi satu proses untuk belajar, mengetahui kesalahan dan keberkesanan sesuatu sistem ­diperkenalkan sama ada boleh dilaksanakan ataupun tidak. Seperti PBS atau sistem lain sebelum ini, semuanya ada cabaran masing-masing.

“Cuma dalam isu PBS, banyak aspek perlu diperteguhkan atau diperbaiki bagi menjadikannya benar-benar mantap,” katanya.

Bagaimanapun kata­nya, beliau kurang bersetuju dengan tindakan beberapa pihak menjadikan PBS sebagai satu polemik yang seolah-olah tidak boleh diselesaikan.

“Apa yang sedang dilaksanakan KPM sekarang menunjukkan mereka dengar, faham serta tahu keluhan dan rungutan banyak pihak mengenai PBS.

“Sebab itu, tindakan berkenaan dilakukan demi memberi ruang kepada pihak terbabit mencari jalan penyelesaian.

“Jangan jadikan ia satu polemik seperti tiada jalan penyelesaian. Bersabar dan beri ruang kepada pihak terbabit berusaha memperbaiki kelemahan. ­Pendidikan memerlukan kerjasama semua,” katanya.

Antara penambahbaikan disarankan ialah memperkukuhkan sistem yang masih kurang stabil, tidak menjadikan PBS sistem berpusat dan pentaksiran sekolah menjadi salah satu komponen dalam PBS perlu diintergrasikan.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Sabtu, 1 Mac 2014

ISU PENDIDIKAN : PBS: Utamakan pelajar, guru


NEGARA ini kecoh seketika berikutan usaha melaksanakan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terutama melibatkan para guru.

Berikutan bantahan yang diterima, akhirnya pelaksanaan PBS ditangguhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula 17 Februari lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

Namun ia tidak akan sesekali dimansuhkan dan bakal dilaksanakan setelah kajian bentuk baharu pelaksanaannya diumumkan pada 1 April depan.

Untuk mendapatkan kupasan lanjut wartawan Mingguan Malaysia, KHAIRUNNISA SULAIMAN telah mewawancara Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, (NUTP), LOK YIM PHENG pada Jumaat lepas.

Ujar beliau, diharapkan selepas 1 April akan ada satu sistem yang boleh menggantikan sistem sedia ada, yang betul-betul mantap dan boleh menilai semua pelajar dengan mudah kerana ini amat penting.

Guru sehingga sekarang masih fobia dengan sistem sedia ada. Ini memberikan impak negatif dan ada kalangan guru yang tidak tahan tekanan dan memohon bersara pilihan sebab tidak mahu meneruskan PBS terutama guru senior yang banyak pengalaman dan kita hilang kepakaran", katanya.

MINGGUAN : Adakah guru dan kesatuan menentang PBS?

LOK YIM PHENG :  Dalam isu PBS ini kita kena jelas. Saya rasa semua guru dan kesatuan kita tidak menentang dasar PBS. Guru boleh terima dasar-dasar PBS tetapi mereka tidak boleh terima di peringkat pelaksanaannya. Peringkat pelaksanaan di mana kita sokong dasar PBS tetapi sistemnya kita tidak sokong kerana dalam peringkat pelaksanaan yang melibatkan dan menggerakkan dasar ialah sistem PBS iaitu e-system yang menggunakan Internet. Masalahnya yang dihadapi oleh guru ialah sistem ini tidak mantap dan mempunyai banyak masalah. Contohnya apabila guru sudah memasukkan sehingga 100 orang nama pelajar dan terdapat nama yang silap, mereka tidak boleh membuat pembetulan. Guru perlu memasukkan semula data kerana semua data itu telah hilang. Apabila program tidak mantap, ini menjadi masalah kepada guru kerana program ini sendiri tidak mesra pengguna. Ini yang menjadi kritikan utama mengenai program ini.

MINGGUAN : Selain masalah program, apa lagi masalah yang boleh dikatakan agak mencabar guru?

LOK YIM PHENG : Program ini menggunakan Internet tetapi ada sesetengah sekolah tidak mempunyai kemudahan berkenaan terutama sekolah luar bandar. Jadi terdapat guru yang terpaksa membeli broadband sendiri untuk digunakan bagi memasukkan data dalam program PBS. Bagaimanapun masalahnya program PBS itu sukar untuk ditembusi kerana ia melibatkan 430,000 orang guru di seluruh negara. Apabila ini berlaku guru terpaksa menunggu lama sebab sistem tidak menyokong akses yang terlalu banyak. Ini berbeza semasa ujian perintis yang melibatkan kumpulan kecil tetapi kini ia melibatkan 430,000 orang guru jadi trafik padat dan sesak.

Guru tidak boleh memproses data dan mereka mempunyai tarikh akhir menghantar data menyebabkan guru menjadi tertekan. Selain sistem dan Internet yang menjadi masalah paling serius, guru juga menghadapi masalah dengan bahan-bahan yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk mentaksir pelajar dengan kurikulum yang berbeza. Kurikulum yang diberikan lebih padat manakala yang perlu ditaksirkan kurang padat. Ini menyebabkan guru takut tidak sempat menghabiskan semua kurikulum kerana perlu proses data. Jika guru ikut saranan LPM mereka bimbang tidak boleh meliputi silibus. Itu satu kebimbangan kalangan guru.

MINGGUAN : Bagaimanakah cara menilai pelajar tanpa peperiksaan?

LOK YIM PHENG : Perlu banyak bukti untuk menilai sebab tiada peperiksaan. Jadi bagaimana hendak menilai pelajar adalah dengan menggunakan bukti iaitu item-item subjek misalnya mengajar tumbuhan perlukan banyak sub dan nilaikan secara sub. Ini menyebabkan ada sekolah yang mula mengadakan bilik khas menyimpan fail pelajar dan borang bukti. Dan seorang guru yang mengajar tiga buah kelas perlu mengisi beratus-ratus atau beribu-ribu borang bukti. Misalnya dalam mata pelajaran Sejarah ada 100 bukti dengan 300 pelajar, guru kena isi 3,000 bukti dan borang bukti perlu disiapkan cepat (ada tarikh akhir) dan perlu diisi dari semasa ke semasa. Jadi guru tidak ada masa untuk fokus kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Itu menyebabkan guru rasa tertekan.

MINGGUAN : Adakah ini menyebabkan guru menentang PBS?

LOK YIM PHENG : Guru bukan menentang dasar PBS. NUTP telah memainkan peranan proaktif sejak 2011 apabila isu PBS dikemukakan oleh guru-guru kepada NUTP. Kita kumpul guru-guru ini dan dengar rintihan mereka dan kumpul semua maklumat. Apa kita buat ialah semua maklumat berkenaan kita kemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hasilnya kita dipanggil mesyuarat dan berbincang dari semasa ke semasa dengan pihak KPM khasnya LPM mengenai Internet yang sesak, sistem tak boleh akses dan hasilnya mereka betulkan dari semasa ke semasa. Setakat ini melalui perjumpaan dan perbincangan, kita berbincang dengan KPM lebih 20 kali sejak 2011 hingga sekarang untuk memantapkan sistem. Kita juga membuat susulan. Cuma baru-baru ini pada 8 November 2013 NUTP adakan mesyuarat exco yang terdiri daripada 70 orang pemimpin seluruh Malaysia telah berbahas mengenai isu ini dan mendapati sistem berkenaan masih belum mantap, banyak gangguan, guru masih tidak boleh akses, masih pening kepala. Tidak boleh selesai masalah. Jadi kita ambil keputusan buat sidang akhbar menolak PBS. Apabila kita kata menolak PBS, saya ucap terima kasih kepada KPM kerana bertindak balas dengan cepat.

Mereka sudah mengeluar surat pekeliling kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan NUTP menyatakan PBS ditangguhkan sehingga 1 April 2014. Surat berkenaan bertarikh Disember 2013. Guru tidak perlu berbuat apa-apa sehingga diberitahu. Cuma sedihnya apabila kita dapat tahu surat pekeliling itu tidak sampai kepada semua guru. Apabila sampai ke sekolah mungkin ada ketua jabatan simpan dan tidak edar kepada guru menyebabkan ada sekolah-sekolah tertentu, guru masih meneruskan tugas-tugas memasukkan data, masih isi borang evidence. Ini menimbulkan kekeliruan.

MINGGUAN : Apakah harapan NUTP selepas 1 April nanti?

LOK YIM PHENG : Harapan kita selepas 1 April akan ada satu sistem yang boleh menggantikan sistem sedia ada, yang betul-betul mantap dan boleh menilai semua pelajar dengan mudah. Ini amat penting. Guru sehingga sekarang masih fobia dengan sistem sedia ada. Ini memberikan impak negatif dan ada kalangan guru yang tidak tahan tekanan dan memohon bersara pilihan sebab tidak mahu meneruskan PBS terutama guru senior yang banyak pengalaman dan kita hilang kepakaran.

KPM ada mengambil tindakan dari semasa ke semasa untuk memantapkan sistem tetapi bahagian IT mungkin kurang cekap kerana sampai sekarang masalah masih belum diselesaikan lagi. Jadi kita tunggu sehingga 1 April. Bila berhenti dalam tiga bulan, tindak balas guru-guru ialah mereka dapati lebih banyak masa untuk bersama-sama pelajar dan mereka mengajar seperti biasa, cuma tiada peperiksaan bermakna tiada penilaian. Tetapi ada sekolah tertentu masih jalankan peperiksaan setengah tahun dan akhir tahun, mereka masih terikat dengan peperiksaan sebab kita perlu lihat - susah mahu mengubah sistem peperiksaan.

Walaupun ia akan mengambil masa tetapi saya yakin ia boleh dilakukan. Misalnya sekarang peperiksaan setengah tahun dan akhir tahun sudah cukup, tak perlu banyak peperiksaan. Kemudian pada masa yang sama biar guru fokus lebih banyak pada kelas pengajaran dan bukti perlu dikurangkan. Yang penting sekali dalam kenyataan akhbar saya katakan bagi masa sebab itu PBS perlu ditangguhkan tapi mereka tidak jelas.

Selepas April, harapan kita akan ada sistem yang betul-betul tidak membebankan guru dan membolehkan guru menggunakannya dengan mudah sekali. Mula-mula guru tidak merungut. Mereka mahu mencuba tetapi apabila tidak boleh masuk ke sistem tentu mereka mengadu. Mula-mula masalah lebih serius tetapi lama-lama nampak kemajuan tetapi kemajuan itu tidak boleh mengatasi masalah terlalu ramai yang ingin akses masuk. Sistem mungkin boleh muat untuk 100 orang tetapi kita ada 10,000 sekolah, macam mana nak muat, itulah masalahnya.

MINGGUAN : Bagaimana dengan pemahaman PBS dalam kalangan guru serta ibu bapa?

LOK YIM PHENG :  Satu lagi yang saya nampak ialah pemahaman PBS. Pencarian maklumat memang ada. Kadang-kadang pemahaman kumpulan guru berbeza dengan kumpulan lain.

Pemahaman JPN lain, Pusat Pendidikan Daerah (PPD) pemahamannya lain dan guru faham lain. Malah ibu bapa lebih kurang faham. Ada juga guru tidak faham dan tidak jelas. Semasa menghadiri bengkel di Institut Aminuddin Baki pada 17 dan 18 Februari, kami dapati ada 100 orang guru yang tidak jelas dengan PBS. Tetapi apa yang lebih penting bukan pemahaman tetapi sistem sedia ada yang perlu dibaiki.

MINGGUAN : Apa pandangan NUTP mengenai demonstrasi yang dilakukan oleh sekumpulan guru?

LOK YIM PHENG : Kita adalah kesatuan yang berdaftar jadi kita akan ikut cara terbaik dan kita dalam profesion perguruan. Dalam perkara PBS, KPM telah berunding dengan kita sejak 2011 dan kita tidak perlu buat demonstrasi sebab ada surat rasmi menangguhkan PBS dan kita bertindak secara profesional. NUTP tidak mempolitikkan isu kerana kita beri keutamaan kepada pembangunan pelajar dan guru. Itu tumpuan kami. Apa yang kita lihat di sini ialah kita tidak mahu dipengaruhi dengan politik sebab kita lebih fokus untuk dilihat sebagai guru bertanggungjawab sebagai melahirkan modal insan yang boleh membangunkan ekonomi negara.

Apa-apa dasar yang boleh memberi faedah kepada guru dan murid, kita akan sokong 100 peratus manakala dasar yang kita anggap tidak boleh diteruskan kita akan suarakan tapi suarakan secara profesional. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak economy monitoring review, kita dapati sasaran untuk meningkatkan kualiti modal insan kena kembali kepada guru. Guru mesti berkualiti. Kalau mahukan guru berkualiti bermakna apa-apa dasar dilakukan itu mesti capai objektif. Semua ini dalam satu. Kita suarakan apa yang tidak betul. KPM sudah banyak berunding dan paling kerap dengan NUTP. Tugas kita mengadu dan kemudian berbincang dengan saluran betul.

MINGGUAN : Adakah modul PBS mendatangkan faedah?

LOK YIM PHENG : Kita lihat kepada dua keadaan, modul perlu dimantapkan. Perlu ada peperiksaan umum, tadi saya kata peperiksaan dua kali setahun iaitu pertengahan dan akhir tahun. Jadi pelajar pun belajar. Sekarang apabila tiada penilaian secara rasmi, pelajar tidak terikat dengan sesuatu seperti tiada tanggungjawab. Pelajar akan rileks dan untuk ikat pelajar belajar,  perlu ada penilaian rasmi seperti dua kali peperiksaan setahun. Ibu bapa akan minta anak belajar dan pelajar takut dan akan fokus belajar. Jika tidak ada peperiksaan dan hanya penelitian guru, kemungkinan ada guru yang sibuk dan menulis pemerhatian tidak tepat, yang jadi mangsa pelajar. Pelajar tidak faham, balik ke rumah tidak belajar dan tiada motivasi. Peperiksaan perlu ada sekurang-kurangnya dua kali setahun dalam PBS tetapi jangan terlalu kerap.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 28 Februari 2014

ISU GLOBAL : Kewibawaan Malaysia jadi kuasa tengah di Asia terbukti


Oleh : Mior Kamarul Shahid

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap mengenai peranan Malaysia sebagai sebuah negara kuasa tengah di Asia. Ia adalah satu kenyataan dasar untuk menjelaskan pendirian Malaysia dalam hal ehwal luar khususnya pada peringkat global.

Malaysia, sejak merdeka, tidak pernah terasing daripada sebarang isu dunia. Dalam apa juga isu khususnya membabitkan keamanan sejagat, ekonomi, penindasan, kemiskinan, persengketaan dan peperangan, negara ini adalah peserta aktif yang sentiasa memberi sumbangan, sama ada pandangan atau bantuan secara fizikal.

Ada kalanya, idea Malaysia yang praktikal mendapat perhatian dunia dan dijadikan contoh menangani masalah baharu. Di negara yang memerlukan bantuan untuk mewujudkan keamanan khususnya bagi menyokong inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia tidak pernah ketinggalan.

Setakat ini tentera Malaysia sudah dihantar berkhidmat di banyak negara termasuk di zon perang demi membuktikan komitmen negara mewujudkan keamanan sejagat. Malaysia tidak nampak alasan dunia dipenuhi segala macam ancaman atas apa alasan sekali pun.

Rakyat dunia tidak seharusnya diheret oleh mana-mana kuasa atas apa saja alasan, sama ada meluaskan kuasa politik, wilayah, jajahan, meningkatkan kuasa ekonomi dan perdagangan, perbezaan agama dan warna kulit.

Paling awal hulur bantuan

Di negara yang memerlukan bantuan termasuk akibat kemiskinan, bencana alam dan penganiayaan kesan daripada pertikaian, Malaysia adalah antara negara paling awal menghulurkan bantuan. Walaupun dasar ini sudah lama diamalkan oleh Malaysia, ia tidak dihebohkan.

Sejak Malaysia diterajui Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, diikuti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Najib, dasar negara ini untuk mewujudkan keamanan dunia tidak pernah berganjak.

Najib juga memperkenalkan pergerakan kesederhanaan global berikutan kedudukan dunia yang diancam gerakan keganasan dan pelampau. Sebelum ini Malaysia melalui ASEAN memperjuangkan kewujudan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Z0PFAN) dan lantang menyuarakan fikiran dan bantahan jika berlaku tindakan yang cuba ‘menceroboh’ dasar itu.

Malaysia kemudian muncul jurucakap kepada negara dunia ketiga. Ini menyebabkan Malaysia sering menjadi tempat mengadu dan menjadi negara rujukan dalam apa juga isu membabitkan negara dunia ketiga.

Pembabitan cergas Malaysia dalam pelbagai pertubuhan antaranya Pertubuhan Negara-Negara Komanwel (CHOGM), Kumpulan 16 (G16), Kumpulan 8, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Pertubuhan 8 Negara Membangun (D8) dan sebagainya menyebabkan suara negara ini sering didengar.

Jika ada isu yang bertentangan dengan semangat dan cita rasa organisasi atau negara anggota pertubuhan berkenaan, Malaysia akan ke depan menyuarakan pandangan atau bantahan. Peranan yang dimainkan Malaysia itu diiktiraf dan jelas membuktikan dapat menyelesaikan banyak masalah.

Tidak gentar suarakan pandangan

Jika berlaku penindasan daripada kuasa besar terhadap sesebuah negara lain, Malaysia tidak gentar menyuarakan pandangan dan meminta isu itu diselesaikan segera. Jika terpaksa berkeras, menyindir atau mengherdik, Malaysia melakukannya menerusi platform sesuai termasuk di PBB atau melalui meja rundingan.

Jika membabitkan isu negara miskin, Malaysia akan meminta agar usaha berkesan diambil untuk mengatasinya dengan memberi idea menyelesaikannya secara bersama.

Jika bantuan diperlukan, Malaysia akan menghulurkannya terlebih dahulu sebagai rangsangan kepada negara lain untuk turut berbuat demikian. Hari ini, sudah banyak masalah yang menghantui negara tertentu satu ketika dulu sudah dapat diselesaikan.

Hari ini, Malaysia mengalihkan pula peranannya sebagai sebuah negara kuasa tengah berpandukan warisan pelbagai fungsi mewujudkan keamanan sejagat yang diperjuangkan sekian lama. Perjuangan sejagat Malaysia membabitkan soal politik antarabangsa dan kemajuan ekonomi negara dunia selain keadilan sosial masyarakat dunia.

Dengan peranan berkesan dimainkan, sewajarnya kedudukan Malaysia sebagai kuasa tengah lebih mudah diterima oleh negara dunia. Yang pasti, tidak semua negara boleh memainkan peranan kuasa tengah kerana ia memerlukan ciri-ciri tertentu.

Negara yang bersengketa, negara yang kedudukan ekonominya tidak kukuh, tidak mempunyai pemimpin yang boleh diterima umum dan sebagainya tidak boleh menjadi negara kuasa tengah. Kedudukan ekonomi negara kuasa tengah mesti kukuh dan mempunyai ciri-ciri negara maju.

Pemimpin negara kuasa tengah perlu mempunyai daya pemujukan yang tinggi dan berwibawa. Pemimpin negara kuasa tengah sering dipanggil berunding dan diminta memberi nasihat mengenai masalah yang dihadapi mana-mana negara.

Jika mereka sendiri mempunyai masalah dalaman sama ada politik atau ekonomi yang sering menggugat keselamatan negara, sudah tentu tidak layak menjadi negara kuasa tengah.

Model kuasa tengah bukanlah konsep baharu kerana fungsi kuasa tengah ini sudah wujud sejak sekian lama. Konsep negara kuasa tengah ini diperkenalkan di Eropah pada kurun ke-16 oleh pemikir politik Itali, Giovanni Botero dengan membahagikan dunia kepada tiga kategori, iaitu granddissme atau empayar, mezano (kuasa tengah) dan piccioli (kuasa kecil).

Granddissme adalah negara yang mempunyai kuasa ekonomi, ketenteraan dan menjajah negara lemah, manakala negara mezano lebih kepada menjadi perantara antara negara kuasa besar dengan negara lain, manakala negara piccioli adalah negara miskin dan bergantung kepada negara lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Malaysia sebagai negara kuasa perantara


Oleh : Azmi Hassan

KEMAMPUAN Malaysia untuk menjadi negara kuasa perantara serantau sudah mula menimbulkan kemusykilan dalam kalangan rakyat kerana hakikatnya kita hanyalah sebuah negara kecil dan mempunyai kekuatan tentera atau ekonomi yang sederhana.

Secara mudahnya negara kuasa perantara mampu menjadi pengimbang terhadap negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia dan juga China. Statusnya agak unik kerana negara kuasa perantara berada di tengah-tengah kuasa besar dan negara lemah.

Sebelum ini tidak pernah kedengaran Malaysia mempunyai perancangan untuk menjadi negara kuasa perantara sebab pelaksanaannya agak rumit kerana melibatkan perkongsian strategik dengan negara serantau yang lain.

Mungkin isyarat paling hampir adalah inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 2010.

Hasrat menjadi kuasa perantara serantau diumumkan oleh Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Kelapan beberapa hari lepas di hadapan diplomat Malaysia yang sedang berkhidmat di luar negara. Begitu jelas sekali hasrat Perdana Menteri itu merupakan dasar rasmi negara. Lebih mencabar lagi kerana hasrat ini perlu dimuktamadkan sebelum negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Malaysia tidak akan mampu menjadi kuasa perantara jika bertindak bersendirian tanpa ada gabungan sekutu dengan negara lain. Walaupun Perdana Menteri tidak memperincikan hasrat tersebut tetapi beliau ada menyatakan gabungan antara negara maju dan sedang membangun adalah kaedah terbaik dan paling efisien.

Cuma yang menjadi persoalan adalah walaupun secara spesifik negara sekutu tersebut masih belum lagi ditentukan tetapi apa yang penting adalah setiap negara sekutu mesti mempunyai sasaran dan objektif yang serupa.

Gabungan sekutu kuasa perantara ini tidak akan meminggirkan peranan ASEAN malah akan pasti memperkuatkan lagi pengaruh pertubuhan 10 negara itu di rantau Asia.

Hal ini kerana dalam beberapa isu geopolitik Asia seperti masalah tuntutan bertindih sempadan maritim Laut China Selatan, ASEAN didapati sukar bertindak sebagai satu suara kerana ahlinya mempunyai agenda berlainan.

Malaysia yang mempunyai pengaruh besar dalam ASEAN sebenarnya boleh menggunakan landasan pertubuhan ini untuk membentuk gabungan sekutu negara kuasa perantara Asia yang baharu.

Adalah tidak adil jika keseimbangan geopolitik rantau Asia hanya ditentukan oleh dua kuasa besar utama iaitu AS dan China sahaja dan contoh paling jelas adalah senario Laut China Selatan.

Sebab itu adalah kritikal saranan Perdana Menteri perlu dilaksanakan secepat mungkin supaya dasar luar Malaysia dapat digubal demi mempertahankan kedaulatan negara, bukan sahaja isu yang membabitkan Laut China Selatan bahkan isu geostrategik yang lain.

Pada ketika ini ketiadaan gabungan kuasa perantara yang melibatkan isu Laut China Selatan umpamanya telah mewujudkan dua kumpulan berbeza. Satu kumpulan diterajui oleh AS terdiri daripada Filipina, Singapura dan Vietnam sementara kumpulan bertentangan pula diketuai oleh China yang mendapat sokongan Kemboja.

Kewujudan kedua-dua kelompok yang berbeza ini langsung tidak memberi manfaat kepada Malaysia.

Percaturan pengaruh di antara dua kuasa besar AS dan China tidak kira sama ada di Laut China Selatan, Laut China Timur atau Laut Kuning sekali pun telah menyisihkan negara kecil lain seperti Malaysia dalam membuat keputusan, jika tidak berada dalam salah satu kelompok kumpulan tersebut.

Sebab itu penting bagi Malaysia mewujudkan gabungan sekutu negara kuasa perantara supaya matlamat dan kepentingan negara Asia lain dapat disatukan dalam kumpulan yang sama.

Berbeza dengan kumpulan yang diketuai oleh AS dan China, gabungan sekutu negara kuasa perantara tidak diresapi oleh pengaruh kuasa besar. Senario sebegini memudahkan lagi kerjasama dibuat di atas landasan kepercayaan dan amanah di antara satu sama lain.

Modus operandi gabungan sekutu negara perantara adalah jauh berbeza dengan kumpulan yang diterajui oleh kuasa besar kerana kewujudan kuasa besar di rantau Asia seperti AS dan China diiktiraf kerana gabungan kuasa perantara ini hanya menjadi pengimbang kuasa.

Kerjasama di antara India dan Korea Selatan dalam membentuk gabungan sekutu negara perantara adalah strategi yang begitu jelas untuk mengimbangi pengaruh China. India umpamanya mempunyai masalah sempadan di wilayah Jammu, Kashmir dan juga Ladakh dengan China.

Begitu juga Korea Selatan menerusi masalah sempadan maritim Laut China Timur dengan China. Kerjasama yang diasaskan oleh India dan Korea Selatan ini dianggap kerjasama negara kuasa perantara kerana secara bersendirian kedua-duanya tidak mampu menandingi kekuatan China.

Besar kemungkinan Jepun juga akan menyertai India dan Korea Selatan dan jika ini berlaku, gabungan ini adalah sekutu negara kuasa perantara yang berpengaruh menghadapi kuasa besar seperti AS dan China.

Memang benar Jepun dan AS dan juga Korea Selatan dan AS sudah mempunyai persefahaman dalam menghadapi ancaman China dan Korea Utara. Tetapi persefahaman yang diterajui oleh AS ini tidak membenarkan sama ada Jepun atau Korea Selatan berada pada landasan yang sama dengan Washington. Setiap strategi lazimnya ditentukan oleh AS.

Hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara kuasa perantara bagi rantau Asia perlu disokong oleh semua lapisan rakyat dan strateginya pula perlu diperhalusi terutama sekali oleh Wisma Putra kerana ia banyak berkaitan dengan dasar luar negara. Walau apa sekali pun, sudah begitu nyata status negara kuasa perantara adalah prasyarat penting yang perlu dipenuhi sebelum Malaysia menjadi negara maju tahun 2020.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 27 Februari 2014

ISU BAHASA : Lemah BI antara punca graduan gagal dapat pekerjaan


PUTRAJAYA : Kelemahan berkomunikasi, gagal menguasai Bahasa Inggeris dan kurang keyakinan diri adalah antara faktor graduan di negera ini gagal mendapatkan pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abd Wahid Omar, berkata permasalahan itu harus diselesaikan dalam memastikan jumlah graduan menganggur berkurangan pada masa depan.

"Sehubungan itu, Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) merancang untuk mengadakan 'program immersion' iaitu menambahkan latihan membabitkan komunikasi dan persembahan khususnya dalam Bahasa Inggeris kerana ia mampu mengubah graduan dari sikap rendah diri kepada seseorang individu yang berkeyakinan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 40 syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang menyertai program SL1M di sini, hari ini.

SL1M ialah program ditawarkan kepada graduan yang gagal memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian dengan mereka diberi peluang mengikuti latihan di syarikat yang menyertai program itu selama setahun serta diberi elaun bulanan minimum RM1,000.

Sehubungan itu, Abd Wahid berkata program SL1M yang diselia Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan dalam merancang untuk melaksanakan satu inisiatif baharu yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai inisiatif itu.

"Diharapkan lebih banyak syarikat GLC dan swasta tampil membantu para graduan miskin meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan mereka menerusi pelaksanaan inisiatif baharu ini," katanya.

Dalam pada itu, Abd Wahid berkata sejak SL1M dilaksana Jun 2011 sehingga Disember tahun lalu, SL1M membantu 14,232 graduan meningkatkan kualiti mereka untuk pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, mereka yang berminat untuk menyertai program SL1M boleh menghubungi EPU di talian 03-88723387 atau 03-88723390 atau melayari laman web di www.epu.gov.my/slim atau di laman Facebook 'Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)'.

Sumber : BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Jangan malukan profesion guru


"Jika kita bekerja seperti biasa, janganlah kita mengharapkan hasil yang luar biasa."

Demikian kata cerdik pandai untuk menggambarkan betapa perlunya manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat.

Sebagai seorang pendidik yang hampir 30 tahun mengajar di salah sebuah sekolah di pantai timur, saya berasa kata-kata cerdik pandai yang dinyatakan tadi, cukup sesuai menggambarkan senario pendidikan negara mutakhir ini.

Saya beranggapan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) cukup sedar bahawa sudah tiba masanya sistem pendidikan negara ini beralih kepada satu era yang mampu meletakkan standard pendidikan negara mencapai kelas dunia.

Usaha ini sejajar dengan sejarah perkembangan sistem pendidikan itu sendiri. Jika pada era awal kemerdekaan melalui Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960), sistem pendidikan menggalas misi menyatupadukan rakyat, maka dalam konteks langit terbuka sekarang, negara ini perlu memiliki suatu sistem pendidikan yang mampu melahirkan pelajar bertaraf antarabangsa dan boleh bersaing dengan rakan-rakan mereka di belahan benua sebelah sana.

Oleh sebab itu saya secara peribadi amat berbesar hati apabila KPM pada tahun lalu melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 dengan tiga objektif khusus iaitu memahami prestasi dan cabaran semasa; mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas; menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam pendidikan.

Bagi mencapai objektif PPPM, maka KPM menjalankan suatu sistem penilaian yang begitu hangat diperkatakan sekarang iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Perlu diingatkan bahawa sejak awal kemerdekaan sehinggalah era milenium, sistem penilaian pelajar dalam sistem pendidikan negara teruk dihentam oleh pelbagai pihak yang mendakwa sistem penilaian ini terlalu berorientasikan peperiksaan. Kesannya kebanyakan pelajar, waima ibu bapa sekalipun 'gila' menyusun deretan pangkat 'A' dalam buku rekod pencapaian pelajar setiap tahun.

Maka PPPM yang digubal melalui penyertaan 55,000 orang cerdik pandai dari dalam dan luar negara mendukung pelaksanaan PBS sebagai pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pentaksiran melalui PBS meliputi bidang akademik dan bukan akademik.

Bagaimanapun, pelaksanaan sistem ini nampaknya dikenal pasti mempunyai beberapa kelemahan dan perlu diteliti semula untuk memastikan sistem ini berjalan lancar pada masa depan.

Jadi, saya menyambut baik pengumuman Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof, baru-baru ini yang menangguhkan secara rasmi pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat KPM dalam masa terdekat.

Seperti yang terkandung dalam gelombang pelaksanaan PPPM, sistem pendidikan negara sekarang berada pada Gelombang 1 (2013-2015) yang menumpukan pengubahan sistem dengan menyokong guru dan memberikan keutamaan kepada kemahiran utama. Dalam Gelombang 1 ini dinyatakan bahawa penambahbaikan PPPM akan dijalankan dari semasa ke semasa.

Jadi, tindakan menangguhkan PBS dan mengkajinya semula untuk proses penambahbaikan selari dengan tuntutan Gelombang 1 pelaksanaan PPPM.

Keterbukaan KPM untuk mendengar keluhan guru berkenaan PBS sehingga bersedia menangguhkannya menunjukkan bahawa pelaksanaan PBS ini tidak mempunyai agenda peribadi mahupun politik.

Saya cukup kecewa apabila ada kumpulan pendidik di bawah nama badan pertubuhan bukan kerajaan belum berdaftar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) dengan penuh angkuh mendakwa mereka mewakili suara guru-guru mengecam KPM untuk memansuhkan PBS. Bahkan mereka sampai ke tahap mengadakan perhimpunan di Bangi baru-baru ini bagi menunjukkan kehebatan mereka mendesak KPM memansuhkan PBS. Lebih memalukan mereka bakal menyerahkan memorandum bantahan pelaksanaan PBS kepada Perdana Menteri.

Apa masalah mereka ini? Adakah mereka tidak memahami betapa getirnya cabaran pendidikan negara ini jika masih berada pada takuk lama ketika negara lain berlumba-lumba melonjakkan sistem pendidikan negara masing-masing ke peringkat dunia?

Bukan budaya guru di Malaysia ini bertindak berhimpun dan menyalak membantah KPM sedemikian rupa.

Lebih mengaibkan perhimpunan yang mereka anjurkan baru-baru ini turut disertai oleh beberapa buah NGO lain yang berbau politik. Agak melucukan apabila Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang tumpang sekaki menyertai perhimpunan tersebut, tiba-tiba mengeluarkan usul agar kuasa Menteri Pendidikan dihadkan supaya tidak sewenang-sewenangnya mengubah sistem pendidikan negara dan sebarang perubahan harus diberikan kepada pakar.

Pastinya kenyataan ini merujuk PPPM yang dilancarkan pada tahun lalu yang mendukung PBS. Adakah ABIM tahu berapa ramai pakar yang sudah terlibat menggubal PPPM dan merencanakan PBS?

Fahamilah roh pelaksanaan PPPM dan PBS terlebih dahulu sebelum bersilat di gelanggang.

Saya cukup setuju dengan pandangan Datuk Seri Idris Jusoh Menteri Pendidikan II pada 24 Februari lalu bahawa PBS tidak akan dimansuhkan kerana rakyat mahukannya.

Dahulu kita sibuk marahkan sistem penilaian pelajar yang berorientasikan peperiksaan, sekarang tidak semena-mena sekumpulan guru yang baru setahun jagung mengajar, terhegeh-hegeh pula mahu sistem penilaian holistik yang tidak berorientasikan peperiksaan, segera dimansuhkan. Jadi sebenarnya, apakah yang mereka mahukan?

SUARA HATI GURU
Hulu Terengganu

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Membangun pendidikan sepadu


Oleh : PROF DR.  SIDEK BABA

ILMU yang sepadu dan sifatnya bertatahkan nilai akan memberi arah terhadap pedoman yang baik dan bermanfaat dan ia bakal melahirkan generasi terdidik yang sentiasa istiqamah dengan perjuangan, tidak gopoh dengan strategi dan sentiasa bijaksana dalam memahami waqi’ atau realiti.

Peradaban masa silam umat Islam ditandai dengan kekuatan ilmu dan pendidikan. Ia menjadi tunjang kepada tradisi kecendekiawanan dan pemikiran. Ilmu yang sepadu atas asas integrasi ilmu urus diri dan ilmu urus sistem menjadi landasan terbaik kepada hala tuju pendidikan umat dan negara. 

Wasatiyyah dalam pendidikan yang mencari titik-keseimbangan tidak sekadar suatu proses menyampaikan maklumat, ilmu, kemahiran dan keterampilan semata-mata. Ia sekali gus melakukan proses transformasi diri dan sistem.

Ilmu yang benar dan bermanfaat sekiranya diolah secara wasatiyyah bakal menghasilkan jenis manusia yang baik binaan diniahnya dan bagus dalam binaan ilmu-ilmu ketamadunan. Ia menjadi sangat relevan dengan perubahan zaman kerana memiliki kualiti berimbang yang baik.

Kualiti berimbang yang ada pada umat Islam menyebabkan anugerah ALLAH terhadap limpahan rahmah dan nikmat di atas dan di perut bumi negaranya dapat diuruskan dengan amanah dan bijaksana. Fokusnya ialah membangun sistem pendidikan yang mampu membangun kualiti seimbang.

Bayangkan banyak negara Islam tidak mempunyai sistem pendidikan yang sepadu menyebabkan ilmu-ilmu berhubung dengan daya urus sistem tidak dibangunkan dan kemampuan menguruskan sumber dalam sistem tidak terjadi.

Ia menyebabkan kualiti rohaniah di kalangan warga umat tinggi tetapi upaya amaliah tidak produktif dan menyebabkan umat Islam terus menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Justeru, pendidikan wasatiyyah melalui proses integrasi yang harmoni antara faktor kognitif, afektif dan psikomotor perlu diperkukuhkan. Gandingan kekuatan akliah yang diimbangkan dengan kekuatan rohaniah terserap dengan baik dan menjadi sumber terbaik diterjemahkan dalam amal.

Oleh itu pendidikan berkualiti ialah yang mampu membentuk watak dan peribadi mithali. Sumber contoh teladan adalah sesuatu yang amat utama kerana darinya tergambar sari pati akhlak karimah.

Inilah asas perjuangan Rasulullah SAW membawa risalah islah dan tarbiah untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Ini juga menjadi tonggak menyatukan ummah kerana Rasulullah SAW diutuskan oleh ALLAH untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Pendidikan umpamanya amat penting dalam membangun pekerti manusia. Daripada pekerti manusia yang amanah, adil, telus dan tulus umpamanya pihak lain mendapat manfaat daripadanya. Apabila diberi amanah untuk mengurus sistem, ketertiban terjadi dan kesejahteraan berlaku.

Pendidikan juga terkandung faktor adab yang sangat dititikberatkan. Rasulullah SAW dalam hadisnya – “Addabani rabbi faahsana ta’dibi”.  Ya ALLAH, didiklah aku dengan didikan yang terbaik. Yang terbaik itu merujuk kepada konsep addaba yang membawa maksud disiplin akliah, rohaniah dan amal.

Pendidikan yang membawa asas tajdid (transformatif) berlandaskan disiplin membentuk akal supaya memiliki daya fikir tinggi, berupaya menjana ilmu dan hikmah. Ini adalah landasan wasatiyyah.

Ia juga membentuk hati dan diri yang mencari titik- keseimbangan dan kebenaran terhadap ilmu dan hikmah sehingga proses penyerapan terjadi (internalisasi) mendukung amal yang baik.

Fokus kepada hati bermaksud bagaimana kesuburan hati dan niat terjadi menyebabkan olahan rohaniah menyebabkan tazqiah-an nafs (pembersihan jiwa) terjadi dan ia penting sebagai pancaran niat ikhlas dan murni untuk amal soleh.

Justeru pendekatan wasatiyyah yang komprehensif tidak saja memancarkan kebenaran dan keadilan tetapi juga menghasilkan suasana berimbang dan harmoni- menjadi teladan terbaik untuk melihat kebijaksanaan berlaku.

Atas kapasiti ilmu dan pendidikan umat Islam menjadi umat contoh kerana istiqamahnya yang tinggi, ikhlas dan amanah dalam melaksanakan taqlif atau tanggungjawab, terbuka untuk berbeza pandangan, sangka baik yang tinggi terhadap orang lain, tidak gopoh menghukum dan tidak berdendam serta  tidak menaruh sifat benci yang menyebabkan perseteruan terus terjadi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/