Jumaat, 1 Mei 2009

MEMBETULKAN YANG BIASA (SIRI 3)

MEMBACA DAN MEMBACAKAN
Oleh Muhammed Salehudin Aman
(Sumber:http://www.tutor.com.my/)

Adakah kedua-dua ayat ini betul?
Ayat :
1. Dia membaca surah Yasin untuk ibunya yang sedang nazak.
2. Dia membacakan ibunya yang sedang nazak surah Yasin.

Dari segi binaan, kedua-dua ayat tersebut betul lagi tepat, kerana kedua-dua ayat itu mempunyai hal dan perihal. Halnya ialah dia, iaitu subjek ayat; dan perihalnya ialah membaca surat Yasin untuk ibunya yang sedang nazak, iaitu predikat.

Dalam bahagian predikat ayat ini, predikat utamanya ialah membaca surah Yasin, manakala untuk ibunya yang sedang nazak ialah unsur keterangan, yakni yang menerangkan hal ibunya. Kedua-dua ayat ini mempunyai subjek yang sama, iaitu kata ganti diri ketiga tunggal “dia”. Kedua-dua predikat ayat 1 dan 2 ialah membaca surah Yasin untuk ibunya yang sedang nazak.

Kedua-dua subjek ayat berkenaan melakukan perbuatan “membaca”, dan bacaannya itu diuntukkan (dimanfaatkan) kepada ibunya (seperti maksud yang terkandung dalam predikat ayat).

Kata kerja transitif “membaca” dan “membacakan” ialah dua bentuk kata kerja terbitan daripada kata dasar baca. Membaca dalam ayat 1, bermaksud memperhatikan isi sesuatu yang ditulis atau tercetak, dan memahami isi kandungannya. Membaca dengan maksud ini dapat dilakukan dengan cara bacaan mekanis (yakni bacaan bersuara kuat), atau bacaan akaliah (bacaan secara senyap). Kata kerja ini tergolong dalam kata kerja transitif tanpa akhiran -kan, yang diikuti langsung oleh objek (surah Yasin).

Dalam ayat 1 ini, penekanan perbuatan berada pada perbuatan pelaku, bukan kepada manfaatnya bacaan itu untuk seseorang (ibunya). Jelaslah bahawa penyataan perbuatan, dalam ayat 1, tertumpu pada pelaku dan perbuatannya, bukan pada pemanfaat (ibunya). Hal ini berbeza dengan penekanan manfaat dalam ayat 2.

Dalam ayat 2, kata kerjanya ialah “membacakan”. “Membacakan” diapit oleh apitan “me-...-kan”. Harus diingat, sebarang kata kerja yang berapitan “me-...-kan” mendukung dua maksud, iaitu maksud kausatif dan maksud benefaktif. Dengan maksud kausatif (maksud menjadikan), antara contohnya, termasuklah melebarkan (jalan), dan menaikkan (bendera). “Melebarkan”, menjadikan jalan bertambah lebar, dan “menaikkan”, menjadikan bendera naik. Demikian itulah maksud kausatif.

Untuk maksud benefaktif atau manfaat, kata kerja yang berimbuhan “me-...-kan’ memerlukan dua objek selepasnya. Kedua-dua objek ini dinamai objek tepat dan objek sipi.

Objek tepat ialah bentuk frasa nama yang menjadi penyambut langsung pada kata kerja, yakni hadir selepas kata kerja transitif yang berkenaan. Contohnya, “adik” dalam ayat “Abang membelikan adik buku”.

Objek sipi ialah frasa nama yang menjadi penyambut tidak langsung pada kata kerja. Contohnya “gulai ikan” dalam ayat “Ibu memasakkan tetamu gulai ikan”.
Lazimnya, objek tepat yang hadir secara langsung selepas kata kerja transitif berimbuhan “me-...-kan” terdiri daripada benda bernyawa.

Contoh:

3. Ibu menggorengkan ayah ikan keli.
4. Kakak menjahitkan abang baju kemeja.
5. Guru membacakan murid karangan yang baik.

“Ayah” (objek tepat pada kata kerja menggorengkan), “abang” (objek tepat pada kata kerja menjahitkan), dan “murid” (objek tepat pada kata kerja transitif membacakan) terdiri daripada benda bernyawa belaka.

Ayat 2 telah mengalami perubahan aturan biasa oleh kelainan bentuk kata kerja transitif yang menjadi predikat ayat (membaca, membacakan). Oleh sebab kelainan bentuk kata kerja ini, maka wujudlah kelainan susun atur unsur kedua-dua ayat berkenaan.

Dalam ayat 2, “ibunya” merupakan objek tepat pada kata kerja transitif berimbuhan “me-...-kan”, iaitu “membacakan”, manakala surah Yasin ialah objek tepat. Ayat 2 ini betul dari segi binaan, dan persis pula semantiknya. Kegramatisan ayat 2 ini dapat diuji dengan cara mempasifkan ayat tersebut. Dalam ayat yang mengandungi dua objek, hanya objek tepat yang boleh mengalami proses pasif, iaitu proses yang mengedepankan objek asal menjadi subjek ayat pasif.

Jika dipasifkan, ayat ini akan berbentuk:
2. (a) Ibunya yang sedang nazak dibacakan surah Yasin olehnya (dia).
Ayat 2 (a) ini baku sifatnya.

Tidak mungkin akan terjadi bentuk pasif yang begini:
2. (b) *Surah Yasin dibacakan ibunya yang sedang nazak olehnya (dia).

Sebagai kesimpulan, kedua-dua ayat 1 dan 2 betul binaan unsurnya dalam kedua-dua bahagian subjek dan predikat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan