Rabu, 27 Mei 2009

SINOPSIS PROSA TRADISIONAL TINGKATAN LIMA

SABOR


Sabor telah dibawa oleh Jibor ke rumahnya dan diperkenalkan kepada isteri Jibor, Siti Saidah. Setelah beberapa hari di rumah Jibor, Siti Saidah berusaha menggoda Sabor. Walaupun sebelum itu, Siti Saidah ada berbuat sumbang dengan seorang jauhari, tetapi kini dia mengingati Sabor siang dan malam. Pada suatu malam, Siti Saidah berusaha menggoda Sabor. Walau bagaimanapun, Sabor tidak terdorong untuk melakukan perbuatan maksiat kerana dia sentiasa ingat akan Allah. Setelah gagal memujuk Sabor, Siti Saidah menmgugut hendak membunuh Sabor. Siti Saidah pun kembali tidur di sisi suaminya. Siti Saidah kemudiannya memfitnah Sabor dengan mrngatakan bahawa Sabor cuba mencabulnya. Jibor pun berasa sangat marah. Jibor hendak membunuh Sabor. Jibor memberikan kopiah buatan Rom kepada Sabor. Jibor mengarahkan empat orang askar upahan untuk memenggal kepala orang yang memakai kopiah buatan Rom di masjid. Ketika hendak bersembahyang di masjid, Sabor berasa pening kepala. Kopiah itu ditanggalkan dan diletakkan di atas mihrab. Kopiahnya itu telah diambil dan dipakai oleh jauhari. Askar upahan yang masuk ke masjid telah memenggal leher jauhari. Sabor terlepas daripada bala, manakala jauhari menerima padahnya sebagai akibat daripada perbuatan terkutuknya dahulu.


KEZALIMAN MEMBAWA PADAH


Tiga orang sahabat telah pergi ke Pasai. Seorang pergi ke Samarlingga dan digelarkan Tuan di Samarlingga. Seorang pergi ke Burgozan dipanggil Tuan di Burgozan. Seorang lagi pergi ke Singapura iaitu Tun Jana Khatib. Semasa hampir dengan istana, Tun Jana Khatib menilik sepohon pinang lalu terbelah dua. Perbuatan itu dlihat oleh Paduka Seri Maharaja dan menganggap Tun Jana Khatib sengaja melakukan perbuatan itu untuk memikat raja perempuan. Paduka Seri Maharaja memerintahkan Tun Jana Khatib dibunuh, berhampiran tempat orang berniaga kuih bikang. Darahnya ada menitik ke bumi tetapi jasadnya ghaib. Menurut cerita, badannya berada di Langkawi lalu dikebumikan orang. Tidak lama selepas itu, Singapura diserang ikan todak. Banyak orang yang mati. Paduka Seri Maharaja memerintahkan rakyat berkubukan betis. Seorang budak mencadangkan rakyat berkubukan empulur batang pisang. Paduka Seri Maharaja menurut cadangannya. Banyaklah todak yang mati. Pembesar negeri menghasut Paduka Seri Maharaja supaya membunuh budak itu kerana kebijakannya dikhuatiri akan menjejaskan kedudukan Paduka Seri Maharaja jika dia dewasa kelak.Paduka Seri Maharaja memerintahkan supaya budak itu dibunuh. Setelah Paduka Seri Maharaja mangkat, baginda digantikan oleh Raja Iskandar Syah yang beristerikan anak Tun Perpatih Tulus. Sang Rajuna Tapa yang merupakan bendahari dalam kerajaan Raja Iskandar syah mempunyai seorang anak perempuan. Anaknya difitnah oleh gundik raja yang lain kononnya telah berlaku curang kepada raja. Raja terlalu murka dan memerintahkan anak Rajuna Tapa disula di hujung pasar. Sang Rajuna Tapa sangat marah dan malu. Beliau menulis surat kepada Betara Majapahit di Jawa dengan memaklumkan kesediaannya membantu Betara Majapahit jika Betara Majapahit mahu menyerang Singapura. Betara Majapahit pun mempersiapkan tenteranya untuk menyerang Singapura. Apabila Raja Iskandar memerintahkan Sang Rajuna Tapa mengeluarkan beras untuk diagihkan kepada rakyat, Sang Rajuna Tapa mengatakan bahawa beras sudah habis kerana beliau mahu belot. Sang Rajuna Tapa telah membuka pintu kota supaya tentera jawa mudah menyerang Singapura. Peperangan berlaku. Raja Iskandar Syah melarikan diri ke Seletar lalu ke Muar. Rumah Sang Rajuna Tapa roboh, bekas menyimpan padi tumbang dan beras yang ada menjadi tanah.



ASAL-USUL RAJA KECIL

Laksamana menyorokkan Encik Pung semasa dia hendak bersalin. Encik Pung menyuruh Laksamana melarikan anaknya setelah dia bersalin. Laksamana meminta Raja Negara Selat menyerahkan anak Encik Pung kepada Temenggung Muar untuk dipelihara. Raja Negara pergi ke Johor menyerahkan anak Marhum Mangkat Dijulang itu kepada Temenggung Muar. Tujuh tahun kemudian, anak itu dibawa oleh Temenggung Muar berjumpa dengan Laksamana. Di Johor, setiap hari anak raja bermain-main di makam ayahandanya di Kota Tinggi. Ramai kanak-kanak yang mengikut perbuatannya muntah darah apabila makan rumput di situ. Hal itu sampai ke pengetahuan Yang Dipertuan Muda. Laksamana berpakat dengan Raja Negara untuk melarikan anak raja itu ke tempat lain. Nakhoda Malim diminta membawa anak itu ke Jambi. Anak itu dinamakan Tuan Bujang. Tuan Bujang dibawa ke Pagaruyung lalu menghadap Yamtuan Sakti. Yamtuan Sakti begitu gembira kerana mengetahui bahawa Tuan Bujang ialah cucunya. Tuan Puteri Jilan juga gembira malah mengatakan bahawa Tuan Bujanglah anak raja yang akan membalas dendam atas kematian bapanya. Apabila berumur 13 tahun, Tuan Bujang merantau ke Batanghari untuk menuntut ilmu hinggalah ke Palembang, hendak meperhambakan diri dan taat setia kepada Sultan Lema Abang. Sultan memelihara Tuan Bujang tetapi semenjak Tuan Bujang bekerja sebagai pembawa tepak, badan Sultan asyik sakit-sakit.



KEPAHLAWANAN TUN BERAIM BAPA


Tun Beraim Bapa bersama para pengiringnya pergi ke istana. Sesampainya di pintu tani, beliau meminta kuda semberani daripada Dara Zulaikha Tingkap (Tun Dewrma Dikara). Setelah mendapat keizinan, Tun Beraim Bapa memacu kuda yang gila dan tidak pernah dikenderai orang itu lalu terbang hingga ke Tukas. Sultan berasa hairan dan kesal kerana Tun Beraim Bapa telah hilang daripada pandangan. Setelah Tun Beaim Bapa muncul semula secara tiba-tiba, baginda mengarahkan Bermanat P.nti dan Maidana P.nti agar menyuruh Tun Beraim Bapa bersilat di hadapan ketua kelasi kapal dan askar pendekar dari keling bagi menunjukkan ketangkasan. Para pendekar Keling yang melihat ketangkasannya terus pulang ke kapal dengan menundukkan muka, berasa malu kerana tidak sanggup menentang Tun Beraim Bapa. Mereka terus belayar pergi. Berjayalah helah Sultan kepada para pendekar asing yang berniat jahat itu. Baginda Sultan meminta Tun Beraim Bapa mengajak semua orang hulu sungai datang ke Tukas untuk diraikan dalam majlis jamuan. Pada suatu hari Jumaat, Tun Beraim Bapa bermain-main ke Pasai lalu masuk ke pagar istana. Beliau ternampak Tun Fatimah Lempau bergelar Temian Layangan menggubah bunga bersama-sama dengan Dara Zulaikha. Tun Beraim Bapa marah kepada Tun Fatimah yang dianggap menipunya kerana bunga yang digubah bukan untuk dibawa ke masjid tetapi ke istana. Tun Beraim Bapa membatalkan niatnya mengejar Tun Fatimah setelah bahunya tertempuh pintu istana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan