1. Mengutamakan kebersihan jiwa dengan menghindari sifat hasad dengki, riak, sombong dan takabbur, kerana ilmu adalah cahaya Allah dan Allah Taala tidak mengurniakan cahaya-Nya kepada manusia yang kotor jiwanya.
2. Meninggalkan aktiviti maksiat dan aktiviti yang bercanggah dengan prinsip Islam serta menjauhi tempat-tempat maksiat kerana ia akan menumpulkan akal dan membantutkan kecerdasan berfikir serta menyuburkan budaya yang meruntuhkan pembudayaan ilmu dan kecemerlangan.
3. Beradab dengan guru seperti merendah diri, mendahulukan ucapan salam kepada mereka, tidak mendahului guru ketika berjalan dan tidak menyampuk ketika guru berbicara serta tidak mengaibkannya. Ketika di belakangnya janganlah sekali-kali mengeji dan mengumpatnya atau meyebarkan fitnah memburukkan mereka.
4. Mengamalkan ilmu yang dipelajari untuk kebaikan dan bukannya untuk jalan maksiat dan kemungkaran kerana ia akan menjamin kebahagian di akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w:
(من سلك طريقاً يلتمس فيه علماً ، سهّل الله له به طريقاً إلى الجنّة)
Maksudnya: “Barangsiapa yang berjalan kerana menuntut ilmu, Allah akan permudahkan langkahnya masuk ke dalam Syurga”.
5. Menyampaikan ilmu kepada orang lain dan menjadikan perbualan serta perbincangan harian diwarnai dengan bayangan ilmu pengetahuan dan bukannya cakap kosong dan membuang masa.
6. Mencintai setiap perkara yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan, seperti sukakan aktiviti ilmiah, suka menghadiri kuliah dan ceramah, suka membaca, suka melakukan kajian-kajian ilmiah dan sentiasa menyanjung tinggi orang-orang yang berilmu dan selalu berdampingan dengan mereka.
7. Sifat yang mesti ada pada orang yang berilmu ialah semakin tinggi kedudukan akademiknya maka semakin merendah dirilah ia dan bukan sebaliknya, seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Sumber : http://zuridanmdaud.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan