Memaparkan catatan dengan label RENCANA PILIHAN.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label RENCANA PILIHAN.. Papar semua catatan

Selasa, 28 Julai 2009

Usaha atasi jenayah perlu pendekatan lebih komprehensif


PENINGKATAN kadar jenayah memberi gambaran buruk terhadap imej sesebuah negara. Ia bukan saja menimbulkan keresahan kepada rakyat, malah menjejaskan kemasukan pelabur atau pelancong asing. Langkah kerajaan meletakkan sasaran pengurangan 20 peratus jenayah jalanan menjelang 2010, adalah satu permulaan yang baik. Ini adalah keputusan dan sasaran yang objektif kerana kegiatan jenayah bukanlah sesuatu yang mudah diselesaikan. Ia adalah penyakit sosial di seluruh dunia yang sukar dihapuskan. Ia hanya boleh dikurangkan peringkat demi peringkat. Di Malaysia, jenayah jalanan bukan isu baru. Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2005 antara lain menyatakan ‘reputasi Malaysia sebagai negara yang selamat,’ terjejas teruk oleh kenaikan kadar jenayah. Sehingga ke hari ini, kes jenayah jalanan seperti ragut, samun, pecah rumah dan seluk saku terus berlaku. Fenomena tidak ada penyelesaiannya. Penjenayah jalanan semakin berani sehingga ada yang sanggup mencederakan mangsa, malah menyebabkan maut. Statistik polis menunjukkan jenayah jalanan meningkat 9.58 peratus kepada 19,343 kes sepanjang Januari hingga Jun lalu. Ia bersamaan purata hampir 110 kes sehari berbanding 17,652 kes pada tempoh sama tahun sebelumnya, cukup memberi gambaran untuk memberi gambaran mengenai tahap gejala itu.

Setakat ini, sudah banyak diperkatakan mengenai usaha membendung jenayah, tetapi kes jenayah terus juga meningkat. Ia tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan. Ini disebabkan mangsa jenayah sendiri tidak yakin dengan keberkesanan pihak berkuasa membanteras jenayah atau menahan mereka yang terbabit dalam pelbagai bentuk perlakuan jenayah. Usaha membanteras jenayah jalanan bukan sesuatu yang mudah seperti ditonton melalui wayang atau drama, ia memerlukan pendekatan komprehensif dan komitmen semua pihak. Dalam konteks ini, langkah membendungnya tidak seharusnya terhad kepada usaha menggerakkan anggota pasukan keselamatan semata-mata. Selain mengenal pasti punca sebenar masalah itu, penggunaan teknologi juga memainkan peranan yang besar seperti memasang kamera CCTV di tempat yang berpotensi berlaku kegiatan jenayah. Pemasangan 900 kamera CCTV di kawasan sering berlaku jenayah, mungkin boleh membantu polis menyelesaikan masalah jenayah dengan cepat. Ia bukan saja memudahkan polis bertindak, tetapi lebih penting mencegah niat seseorang untuk melakukan kegiatan jenayah. Cara ini lebih berkesan, selain menempatkan lebih ramai polis atau pasukan Rela misalnya di kawasan yang strategik. Sebahagian penjenayah jalanan dilakukan warga asing. Keadaan ini menjadi punca pertambahan bilangan kes, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai kerja akibat ditipu oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu, usaha menangani kebanjiran mereka yang masuk secara haram ke negara ini perlu turut ditangani. Selain itu, langkah konvensional lain perlu diberi perhatian, termasuk menambah bilangan polis dan menilai semula fungsi 570,899 anggota Rela supaya menjayakan semangat sukarela membanteras jenayah, penggemblengan kerjasama pasukan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), polis bantuan, Rukun Tetangga (RT) dan badan beruniform di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.


Sumber : http :// www.bharian.com/

Selasa, 7 Julai 2009

PENENTUAN MISI PPSMI


MASA depan pelajaran murid-murid perlu menjadi perhatian utama dalam keputusan Kabinet mengenai PPSMI.


Hari ini akan ditentukan sama ada Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diteruskan atau dihentikan.

Pandangan dan idea daripada orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, pensyarah, guru dan pelajar pasti telah diambil kira bagi memastikan keputusan itu memanfaatkan semua pihak.

Pada hakikatnya, sebarang keputusan Kabinet itu pasti mengambil kira pelbagai faktor, realiti, emosi tanpa tekanan atau kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu termasuk politik.

Cadangan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah mendapat tentangan hebat khususnya daripada kalangan pejuang bahasa dan budaya sejak enam tahun lalu.

Namun, pelaksanaan menggunakan bahasa Inggeris diteruskan sekalipun banyak pihak melihat PPSMI tidak banyak membantu penguasaan bahasa Inggeris kalangan pelajar.

Mengimbau kembali cetusan idea PPSMI pada 2002 dan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran pada 2003 - perjalanannya menempuh ranjau yang penuh berduri.

Tujuh tahun lalu idea pelaksanaan PPSMI adalah secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah.

Keputusan kerajaan melaksanakan PPSMI adalah dengan matlamat untuk memastikan penguasaan yang lebih baik dalam Sains dan Matematik di kalangan pelajar.

Pelaksanaan PPSMI juga dengan harapan untuk meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Ringkasnya, PPSMI adalah wadah untuk mempersiapkan generasi pewaris untuk menghadapi persaingan masa hadapan.

Ada pihak melihat langkah mengejut yang dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mei 2002 dan dipersetujui oleh Mesyuarat Kabinet pada Julai 2002 adalah satu tindakan yang menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Lalu banyak kritikan dan kecaman dilemparkan oleh pelbagai pihak kepada Kementerian Pelajaran sejak 2003 supaya PPSMI dihentikan.

Paling konsisten memperjuangkan supaya PPSMI dimansuhkan ialah Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein. Beliau menggesa kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PPSMI kerana ia dilihat tidak adil kepada pelajar sekolah luar bandar.

Gapena tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI yang dilihat boleh mengetepikan martabat bahasa kebangsaan serta melanggar Perlembagaan negara.

Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat pernah meminta Kementerian Pelajaran mendengar permintaan daripada golongan guru dan pelajar yang mahukan pengajaran Sains dan Matematik diajar semula dalam bahasa Melayu.

Sokongan memansuhkan PPSMI turut berkumandang dalam Perhimpunan Agung UMNO. Malah Konvensyen UMNO Johor 2006 bangkit membantah PPSMI di sekolah-sekolah kerana dasar tersebut hanya menyebabkan bangsa Melayu kehilangan identiti dan jati diri.

UMNO Johor agak konsisten perjuangannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan mahu melihat bahasa Melayu digunakan semula dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah.

Peserta, pemerhati dan ahli panel Kongres Permuafakatan Melayu tahun lalu turut mendesak kerajaan mengembalikan semula PPSMI diajar dalam bahasa Melayu.

Kongres Permuafakatan Melayu menjadi badan pendesak yang kuat untuk memastikan PPSMI dimansuhkan.

Ini kerana anggota kongres itu terdiri daripada pejuang bahasa, budaya dan sasterawan Melayu yang cukup dihormati.

Dalam kalangan anggota Kabinet juga terdapat Menteri yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan meneruskan PPSMI kerana ia mendatangkan kerugian dalam usaha pembinaan negara bangsa.

Datuk Seri Dr. Rais Yatim secara sinis mengatakan, walaupun kanak-kanak Melayu belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, tetapi yang mendukacitakan, pelajaran yang sama tetap diajar dalam bahasa Mandarin di sekolah Cina.

Apa yang nyata pelaksanaan PPSMI, memperlihatkan dengan jelas akan konflik di kalangan pencetus dan penyokongnya serta bangsa Melayu seluruhnya.

Malah ia turut memecah belahkan orang Melayu. Pada setiap tahun, isu PPSMI dibangkitkan dan ditentang dalam semua seminar bahasa, sastera dan kebudayaan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka, Gapena, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia dan pelbagai pertubuhan bahasa dan sastera di negara ini.

Menurut tokoh budayawan, Prof. Datuk Zainal Kling, sejak 2002 dan setiap tahun dalam pelbagai seminar, kongres, persidangan dan mesyuarat agung tahunan pelbagai persatuan telah dibuat resolusi dan ketetapan untuk memohon kerajaan menghapuskan PPSMI.

Sikap meremehkan cendekiawan Melayu dan menganggap hal ini sebagai permainan politik dengan menuduh ada dalang pembangkang di sebalik gerakan ini ada kesannya.

Memang pembangkang akan mengambil kesempatan terhadap apa saja rasa tidak puas hati rakyat, apa lagi isu besar seperti bahasa Melayu dan pendidikan nasional.

Kesan PPSMI terhadap penggunaan bahasa Melayu daripada peringkat sekolah rendah hingga ke universiti sedang dan sudah berlaku di seluruh negara sekarang - bahasa Melayu telah dibuang dalam semua kuliah kecuali beberapa kuliah bahasa Melayu dan sastera.

Menurut Prof. Zainal, yang tinggal menggunakan bahasa Melayu hanya Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Pengajian Melayu. Semua universiti baik IPTA apatah lagi IPTS sudah menghapuskan pengajaran dalam bahasa Melayu.

Maka seluruh masyarakat sudah meremehkan bahasa Melayu.

Inilah kesan dan natijah yang akan menjangkit ke seluruh masyarakat. Status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa pasar.

Inilah juga yang diingini oleh pelbagai golongan yang menentang bahasa Melayu dalam negara.

Kesan yang amat teruk ini yang mesti difahami oleh semua orang terutama semua pemimpin negara. Kerana itu, muncul penentangan daripada kalangan badan-badan budaya dan parti politik Melayu tertentu termasuk UMNO sendiri bagi memenuhi kehendak rakyat mempertahankan kedaulatan dan keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pendekatan cendekiawan Melayu dan ahli politik daripada parti pembangkang dalam memperjuangkan misi penentangan mereka terhadap dasar PPSMI cukup berbeza. Pendekatan secara intelektual lebih berkesan daripada aksi kasar demonstrasi di jalanan.

Selama tiga tahun janji 'kita akan kaji semula setelah selesai pusingan pengajaran PPSMI' kini berada di garisan penamat.

Apakah PPSMI akan memasuki gelanggang seterusnya atau terhenti dalam tempoh ditentukan kelak, sama-sama kita nantikan keputusannya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Isnin, 6 Julai 2009

DILEMA HALA TUJU PPSMI

ESOK Kabinet dijangka mengumumkan keputusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Dasar itu penting untuk menentukan masa depan pendidikan negara dan sejauh mana persediaan rakyat untuk menembusi 'pagar' globalisasi menerusi penguasaan bahasa asing.

Sememangnya cabaran utama pelaksanaan PPSMI adalah penghayatan konsep 'bahasa jiwa bangsa versus tuntutan bahasa globalisasi'.

Itu dilema PPSMI. Matlamat dasar itu diperkenalkan menerusi keputusan Kabinet pada 19 Julai 2002 sangat relevan.

Globalisasi membuka pintu saingan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pendidikan dengan luas.

Salah satu cara untuk menembusi cabaran itu adalah menerusi penguasaan bahasa Inggeris yang diguna pakai secara meluas di serata dunia.

Mekanismenya adalah sistem pendidikan - yang pasti melibatkan mata pelajaran penting di mana para pelajar mahu tidak mahu akan bersungguh-sungguh menguasai bahasa Inggeris untuk memastikan mereka lulus.

Sebab itu mata pelajaran Sains dan Matematik menjadi pilihan. Faktor utama, kedua-dua mata pelajaran adalah sumber ilmu yang berkait rapat dengan globalisasi.

Menggunakan bahasa Inggeris tentunya memudahkan penguasaan ilmu yang kelak diguna pakai untuk menembusi cabaran hebat dunia globalisasi.

Oleh kerana penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini masih rendah, maka PPSMI dilihat sebagai mekanisme terbaik untuk memperbaiki keadaan itu.

Ini kerana sekadar memberi galakan tidak mencukupi terutama di kalangan murid luar bandar yang tidak terdedah kepada persekitaran berbahasa Inggeris.

Tanpa 'paksaan', pelajar-pelajar luar bandar tidak akan terdorong untuk menguasai bahasa Inggeris sekali gus usaha untuk menguasai bahasa tersebut akan diperlekehkan.

Namun PPSMI yang menjadi platform untuk membentuk kumpulan rakyat yang fasih berbahasa Inggeris dan mampu meraih ilmu moden berhadapan dengan cabaran lain yang lebih besar.

Guru-guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik menyebabkan proses pengajaran tidak dapat dilangsungkan secara cekap dan berkesan.

Masalah kekurangan tenaga pengajar paling parah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Sedangkan murid-murid di sana amat rendah penguasaan bahasa Inggerisnya. Mereka tidak ada kemudahan kelas tambahan. Pusat-pusat tuisyen tidak bercambah di kawasan itu.

Kekurangan itu menyebabkan PPSMI yang diakui besar manfaatnya tidak dapat dilaksanakan secara berkesan di kawasan luar bandar.

Kajian pihak tertentu untuk menilai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru-guru sains dan matematik menunjukkan peratusan yang kurang memberangsangkan.

Lebih merunsingkan apabila ada kalangan guru-guru berkenaan yang tidak mencapai kredit dalam bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Tentunya dapatan kajian pihak tertentu itu menimbulkan kebimbangan tentang masa depan murid-murid yang dibimbing oleh guru kategori berkenaan. Ditakuti Sains dan Matematik diajar menggunakan bahasa bercampur-aduk iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tetapi sampai masa peperiksaan, pelajar terpaksa menggunakan bahasa Inggeris.

Akan timbul kecelaruan ketika menjawab sehingga memberi kesan kepada keputusan peperiksaan. Dalam hubungan ini, keputusan peperiksaan utama selepas genap enam tahun PPSMI dilaksanakan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan penurunan.

Bagi mata pelajaran Sains, pencapaian dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mencatatkan penurunan ketara dan yang terendah berbanding pencapaian pada 2003 hingga 2007. Keputusan yang sama dicatatkan bagi mata pelajaran Matematik.

Selain masalah guru-guru yang belum bersedia mengajar kedua-dua mata pelajaran dalam bahasa Inggeris, cabaran lain PPSMI adalah kebimbangan dasar tersebut akan membunuh Bahasa Kebangsaan.

Banyak pihak resah apabila PPSMI dipersetujui. Mereka memegang kepada Perlembagaan dan Laporan Razak yang menetapkan bahasa Melayu adalah segala-galanya dalam bidang pendidikan.

Apatah lagi beberapa dasar menyusul selepas itu bertujuan memperkasakan bahasa Melayu bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah merangkumi perundangan, pentadbiran dan ekonomi.

Lebih daripada itu, suara-suara yang menyanggah PPSMI membangkitkan perihal Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dalam bidang pendidikan.

Pihak yang membantah melihat PPSMI bercanggah dengan dasar kerajaan sebelum 2002 sehingga ke satu peringkat mereka percaya bahawa bahasa kebangsaan akan terpinggir akibat PPSMI.

Sememangnya sukar hendak dibentangkan hujah-hujah bahawa bahasa Melayu akan terus menduduki takhtanya walaupun PPSMI diteruskan.

Di situ satu lagi dilema PPSMI - apabila banyak pihak menyokong lantaran sedar manfaatnya bukan sedikit - banyak juga yang menentang kerana bimbang bahasa Melayu terpinggir.

Dan untuk menyediakan jawapan yang memuaskan kedua-dua pihak tentunya tidak mudah kerana masing-masing bertegas untuk tidak menerima apa juga alasan yang dikemukakan.

Berkumandang juga sejarah penguasaan ilmu yang membentuk tamadun awal dunia seperti tamadun Islam dan Yunani.

Kecemerlangan tamadun-tamadun hingga mencapai taraf yang tinggi dicipta menerusi bahasanya sendiri. Tamadun Islam satu ketika dulu begitu terserlah sehingga mampu menyebarluaskan bahasa Arab itu ke seluruh dunia.

Begitu juga bangsa-bangsa lain yang mencapai taraf negara maju menggunakan bahasa ibundanya sendiri seperti Jepun, Perancis, Korea dan Jerman. Betapa kedua-dua mata pelajaran di negara-negara seperti itu tidak diajar dalam bahasa Inggeris tetapi mereka mampu bangkit mencipta sejarah tersendiri. Tradisi mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di negara-negara berkenaan berlangsung sehingga ke hari ini.

Hujah-hujah tersebut dibentangkan satu per satu oleh kumpulan yang menentang PPSMI. Mereka percaya tidak salah berkiblatkan Jepun, Perancis atau Korea untuk 'menceroboh' dunia globalisasi.

Apa pun hujah kedua-dua pihak, terpikul di bahu Kementerian Pelajaran untuk memastikan keputusan yang akan diumumkan esok menguntungkan semua pihak.

Menolak PPSMI maknanya mengorbankan tempoh percubaan selama enam tahun yang sedikit sebanyak telah menampakkan hasilnya biarpun tidak menyeluruh.

Mengetepikan PPSMI juga bermakna segala persediaan dan prasarana yang diusahakan enam tahun lalu perlu menjalani pengubahsuaian semula.

Buku-buku teks dan persiapan minda pelajar serta ibu bapa yang telah dipupuk untuk mempercayai bahawa sains dan matematik mesti dipelajari dalam bahasa Inggeris juga terpaksa disusun semula.

Jika itu pilihan kerajaan, maka satu kaedah lain untuk memperkasakan bahasa Inggeris terutama dari segi penguasaannya di kalangan pelajar mesti dilaksanakan. Bahasa Inggeris tidak boleh ditolak mentah-mentah. Manfaat bahasa itu amat luas dan usaha untuk memastikan pelajar-pelajar menguasai bahasa tersebut pada tahap yang terpuji perlu terus digerakkan.

Hakikatnya jika PPSMI dirombak ia bukan bermakna kemenangan kepada satu pihak. Ia mesti memberi kemenangan kepada semua. Begitu juga jika PPSMI diteruskan. Ia bukan bertujuan mendaulatkan bahasa globalisasi tetapi ke arah mempersiapsediakan rakyat untuk berhadapan dengan cabaran yang tidak berkesudahan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Budaya lepak di kafe siber galak pelajar ponteng sekolah

SELAIN ponteng sekolah, banyak lagi kesan sampingan berpunca budaya melepak di kafe siber, kata Penolong Pengarah Unit Kaunseling Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Raja Mazlan Raja Shahdan.

Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai laporan mengenai kegiatan negatif pelajar yang gemar melepak di kafe siber, antaranya merokok, berjudi, memeras ugut, melayari laman web lucah dan hisap dadah.

“Demikian juga pinjam-meminjam wang yang ada kala berlaku pergaduhan kerana masalah mendapatkan belanja untuk berseronok di premis itu.

“Namun apabila pelajar terbabit ditangkap, polis dan sekolah tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka masih di bawah umur.

“Polis tidak akan menggari kerana mereka dikategorikan sebagai pelajar sekolah, manakala bidang kuasa pihak sekolah hanya sehingga pintu pagar sekolah, akhirnya mereka diserahkan kepada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Raja Mazlan berkata, kebanyakan laporan diterima berlaku di kawasan pinggiran bandar, pekan kecil dan luar bandar yang mana majoriti pelajar tidak mempunyai kemudahan internet di rumah.

Dalam hal ini, beliau menjelaskan pihak sekolah akan membantu pelajar bermasalah dengan memberi bimbingan kaunseling dan bertanya punca utama mengapa mereka melakukan sesuatu kesalahan.

Dalam nada sama, Pengetua Sekolah Menengah Dato Harun, Tanjong Karang, Ruslan Bustani, juga menyatakan antara faktor pelajar ponteng sekolah adalah kerana ke kafe siber.

Sambil menjelaskan ada pelajarnya lebih rela menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber berbanding sekolah, beliau berkata;

“Kebanyakan kes membabitkan pelajar dari kelas belakang di mana sebahagian besar mereka bermasalah akademik sejak sekolah rendah lagi, selain buta huruf.

“Mungkin disebabkan tekanan belajar, mereka mengambil jalan mudah dengan ponteng dan menghabiskan masa di tujuh kafe siber berhampiran sekolah ini.

“Selain itu, mereka juga didapati melepak di tempat lain, termasuk tidur di bawah jambatan dan tidak kurang pula melakukan hubungan seks di ladang kelapa sawit sambil merakamnya menggunakan telefon bimbit.”

Katanya, surat amaran kes ponteng dikeluarkan pihak sekolah ada yang sehingga 80 hari setahun, kebanyakannya tidak sampai ke tangan ibu bapa.

“Kami terpaksa menelefon sendiri untuk berjumpa ibu bapa sebelum mendenda pelajar. Begitu pun ada juga ibu bapa yang memenangkan anak mereka, namun selepas melihat surat pengakuan ditandatangani pelajar terbabit, mereka akur,” katanya.

Bagi mengurangkan gejala tidak sihat berpunca melepak di kafe siber, beliau berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolahnya akan sering membuat perjumpaan bukan sekadar membincangkan akademik, malah mengatasi masalah disiplin pelajar.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

KETAGIH KAFE SIBER

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my


BEBERAPA pelajar lengkap seragam sekolah bermain permainan video dan melayari laman web sosial di sebuah kafe siber di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Pelajar dan kanak-kanak bawah umur ponteng sekolah gilakan permainan komputer, web lucah

KEWUJUDAN kafe siber banyak memberi manfaat kepada masyarakat terutama dalam menghambat perkembangan pesat era teknologi maklumat dan komunikasi kini supaya tidak ketinggalan dek arus pembangunan.

Namun kafe siber yang beroperasi 24 jam dan membenarkan pelajar apatah lagi dengan pakaian seragam sekolah serta kanak-kanak berusia bawah 12 tahun memasuki premis itu harus diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.

Lebih parah, ada di kalangan bawah umur itu sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk menghabiskan masa di kafe siber kerana ketagih antara lain bermain permainan video dan tidak kurang pula melayari web lucah.

Tinjauan Berita Harian di beberapa kafe siber di Cheras dan Wangsa Maju mendapati kanak-kanak bawah 10 tahun juga bebas keluar masuk premis kafe siber lengkap dengan pakaian sekolah tanpa sebarang sekatan dilakukan.

Berdasarkan pemerhatian, kafe siber bercermin gelap menjadi tumpuan pelajar sekolah untuk mengakses kemudahan internet bagi mengelak kegiatan ponteng mereka dihidu guru, ibu bapa dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

SEJURUS tamat sesi persekolahan lokasi pertama pelajar ini adalah kafe siber yang terletak tidak jauh dari sekolahnya di Wangsa Maju.

Umum mengetahui sebelum ini majoriti PBT mengetatkan syarat untuk operasi pusat siber termasuk mengehadkan aktiviti utamanya kepada aktiviti penyebaran dan mendapatkan maklumat melalui internet.

Selain itu pihak berkenaan melarang aktiviti berbentuk hiburan diadakan dan menetapkan masa beroperasi hanya sehingga pukul 12 tengah malam.

Peraturan lain adalah larangan merokok dalam premis dan terhadap pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis, terutama pada waktu persekolahan.

“Ibarat mencurah air ke daun keladi’ adalah perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan kedegilan pelajar sekolah mahupun pihak pengusaha premis yang tidak mengendahkan syarat ditetapkan PBT.

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, penulis turut bertanya beberapa pengunjung kanak-kanak yang kerap mengunjungi kafe siber biarpun pada waktu persekolahan.

Seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 16, berkata dia sanggup tidak makan tengah hari semata-mata jimatkan wang perbelanjaan sekolah untuk bermain permainan video dalam talian di kafe siber sambil merokok.

“Saya habis hampir RM5 sehari untuk melayari internet selepas waktu persekolahan dan kadang-kadang saya akan ‘serong’ (ponteng) untuk ke mari,” katanya.

Walaupun mulanya enggan menceritakan perkara sebenar, Amran kemudian memberitahu dia bukan saja datang ke kafe siber untuk bermain permainan video, malah kerap melayari laman web lucah untuk memuat turun gambar atau video pendek.

“Saya sudah ketagih melayari laman web lucah selepas melihat pelanggan yang lebih dewasa melayarinya,” katanya.

Rakannya, Halim, 16, pula menjelaskan ibu bapa dan guru tidak menyedari perbuatannya yang kerap ke kafe siber kerana dalam seminggu, ia hanya sekali dua pada waktu persekolahan.

“Jika pulang lambat ke rumah, saya beritahu ibu bapa ada kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum, walhal setiap hari saya dan rakan-rakan ke kafe siber untuk bermain permainan video atau melayari laman web lucah.

“Antara permainan video paling popular ialah ‘Left or Death’, ‘Counter Strike’, ‘Super Dancer Online’, ‘Sudden Attact’, ‘Warcraft Dota’, ‘Half Life’ dan ‘Wolf Team’.

“Saya juga sering melawat laman web sosial bagi golongan dewasa popular iaitu ‘myspace.com’ dan ruang sembang ‘Kampung Chat’ dengan menyamar sebagai orang lebih berumur untuk memikat gadis,” katanya.

Sementara itu, Guru Sekolah Kebangsaan Bangsar, Mohd Haniff Anas, berpendapat polis perlu kerap membuat rondaan, manakala pengusaha kafe siber pula perlu tegas dengan tidak membenarkan pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis mereka selain menyekat laman web lucah.

“Jika tertangkap pihak sekolah akan beri amaran dan panggil pelajar untuk sesi kaunseling.

“Bagaimana pun agak sukar untuk menentukan sama ada pelajar itu ponteng atau tidak kerana mereka akan menukar pakaian sebelum masuk ke premis, tambahan pula bagi sesi persekolahan berbeza (pagi dan petang).

“Jika hendak mencari maklumat mengenai kerja sekolah, ia boleh dibuat di makmal komputer sekolah kecuali di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Sabtu, 4 Julai 2009

Kayakan Diri Dengan Senyuman, Tinggikan Budi Dengan Bersopan

Oleh Rohana Mustaffa

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) - "Orang Berbudi Kita Berbahasa, Orang Memberi Kita Merasa" pepatah lama ini membawa maksud perbuatan baik akan kita rasai kebaikannya dan patut dibalas.

Bayangkan perasaan kita bila ada orang yang memberikan senyuman kepada kita, tidak kira di kaunter perkhidmatan, di tengah jalan atau orang yang tidak dikenali.

Kalau marah ketika itu, rasanya tahap kemarahan itu akan menurun, kalau tersesat jalan, biasanya kita akan mendapatkan orang yang tersenyum itu untuk bertanyakan arah jalan, dan kalau berasa asing di tengah-tengah lautan manusia, kita akan terasa masih ada yang menyedari kewujudan kita apabila ada yang sudi melemparkan senyuman.

Ucapan "terima kasih" yang diterima, walhal budi yang kita beri hanya sebesar zarah, akan membuatkan kita berasa begitu besar hati.

"Terima kasih dan senyum", dianggap mudah untuk dizahirkan, sayangnya sukar untuk diamalkan ramai.

Pernah penulis berbincang dengan rakan mengenai perkhidmatan kaunter di Malaysia, mengenai siapa yang harus memberikan senyuman - petugas di kaunter atau pelanggan? Jika diakui senyuman itu memberi kesan yang melembutkan. Kenapa yang menghadap pelanggan lokek dengan senyuman dan yang datang pun sama juga.

Begitu juga dengan ucapan "terima kasih". Terima kasih hanya patut diberi kepada khidmat baik yang diberikan atau terima kasih patut menjadi amalan interaksi kita seharian?.

BUDI BAHASA DAN NILAI MURNI

Dua perkara ini antara amalan mulia yang diberi penekanan di dalam program "Budi Bahasa Budaya Kita" sejak 2005.

"Berkhidmat dengan senyum," "Ucapkan terima kasih" dan "Memandu dengan senyuman" ialah antara slogan yang disebarkan melalui poster, cendera hati, pelekat di dinding dan sebagainya.

Dan kini, selaras dengan ciri-ciri budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, kesetiaan, penerimaan dan integriti yang menjadi nilai utama 1Malaysia, program ini diteruskan melalui slogan "Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni".

Ia diharap dapat memperkukuh kembali kekuatan peribadi dan jaditi diri setiap individu Malaysia.

"Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian," demikian catatan sebuah risalah mengenai program itu yang dikeluarkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Amalan dan penerapan budi bahasa dan nilai-nilai murni ini sama ada dalam komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan, perlakuan dan pergaulan, mahu dititikberatkan melalui program ini dalam kalangan institusi kekeluargaan, kemasyarakatan, pembelajaran dan perkhidmatan.

KUMPULAN SASARAN

Baru-baru ini, program ini dijalankan di Sarawak - di rumah Gentha anak Sabut, Julau melibatkan kira-kira 10,000 penduduk tempatan.

"Kami mengadakan kenduri rakyat, melibatkan budaya masyarakat Iban,,dari awal persiapan kenduri hingga penghujungnya, penuh dengan tradisi adat istiadat masyarakat itu," kata setiausaha bahagian pengurusan acara kementerian itu Mohamad Yusri Hashim,

"Yang ditekankan ialah semangat gotong royong kenduri, yang kini kita lihat semakin terhakis apabila tuan rumah memilih katering daripada melibatkan saudara mara dan jiran tetangga," katanya.

Di Julau, kerja gotong royong ini dimulakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Yuk kong dan disusuli dengan pertandingan mewarna, sukan rakyat, jamuan rakyat dan pertandingan karaoke lagu-lagu rakyat di rumah panjang.

Sebuah pintu gerbang dan arca Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni didirikan di persimpangan masuk pekan Julau sebagai simbolik yang akan mengingatkan penduduk setempat untuk mengamalkan nilai-nilai murni sepanjang masa.

Mohamad Yusri berkata program ini menekankan kepada 47 nilai murni yang patut diamalkan dalam urusan seharian empat institusi yang disebutkan, termasuk senyum dan ucapan terima kasih.

Bagi institusi perkhidmatan, program yang diadakan memberi tumpuan kepada petugas di barisan depan - kaunter, imigresen, kastam dan sebagainya - cara memberi khidmat, melayani pelanggan, menjawab telefon dan menjaga kebersihan.

Untuk institusi keluarga, isu yang ditekankan ialah menghormati orang tua, tingkah laku sopan, malah panggilan atau gelaran yang bersesuaian patut diamalkan mengikut pangkat dan pertalian dalam keluarga.

DRAMA DAN FILEM KITA

Seorang peminat drama tempatan, Hamidah Ngah, bersetuju dengan penekanan menggunakan bahasa panggilan yang bersesuaian sebagai tanda hormat dan bersopan ini.

Baru-baru ini beliau terkejut dengan sebuah drama yang menggunakan dialog "kau" dan "aku". di antara dua beranak. Si anak yang marah dengan bapanya kerana keadaan keluarganya yang dibelenggu kemiskinan, ber "aku" dan ber "engkau" dengan bapanya.

Hamidah berkata walaupun pada realitinya mungkin berlaku, tetapi dalam masyarakat Malaysia yang masih kaya dengan adab menghormati yang tua, kes seperti ini boleh dianggap terpencil dan tidak patut ditonjolkan di dalam drama sebegitu rupa.

"Banyak insiden perkelahian suami isteri, panggilan "sayang" atau "abang" masih di bibir, begitu juga perkataan "ibu" dan 'ayah". Janganlah kisah biadap yang kita cuba perbesar kerana drama Melayu masih ditonton sekeluarga," katanya.

Memang ada kebenarannya kata-kata Hamidah itu, mengambil contoh sebuah filem Melayu popular beberapa tahun lepas, yang menunjukkan adegan si anak memarahi bapanya sambil menjerti-jerit dan menuding jari ke muka bapanya.

Kenapa kita keterlaluan dalam lakonan itu sedangkan filem atau drama Inggeris sekalipun, yang biasa kita tonton anak beranak bertikam lidah, tetapi tidak pernah pula sampai si anak menuding jari hingga seakan-akan menujah kepala bapa atau ibunya.

Soalnya siapa yang lebih tidak ada adab di sini,?" tanya Hamidah.

AMALKAN UCAP SELAMAT

Mohamad Yusri berkata pihak berkuasa melalui program ini, telah menganjurkan sesi penerangan mengenai amalan budi bahasa terutama di barisan depan khidmat kaunter Imigresen, kastam, dan polis.

Bagaimana pula di pihak swasta, kaunter di pusat membeli belah malah di bank-bank? Suri rumah Alice Ong berkata petugas di kaunter bank patut lebih banyak memberikan senyum dan mesra pelanggan.

Melalui pemerhatian beliau, kebanyakan petugas di kaunter bank hanya akan kelihatan mesra dan ramah, dengan pelanggan yang dikenali mereka sahaja.

Mungkin contoh jurujual atau petugas kaunter di kedai dan pusat membeli belah di beberapa negara Barat, patut diamalkan, kerana tanpa mengira pelanggan, mereka tidak jemu mengucapkan "good morning", "how are you" "have a nice day", "May I help you", "thank you" atau "Happy New Year" dan "Merry Christmas".

Kenapa tidak ditukar sahaja di Malaysia dengan ucapan "selamat pagi", "apa khabar", "boleh saya bantu", "terima kasih" atau "Selamat Tahun Baru" dan "Selamat Hari Raya".

Dalam institusi kemasyarakatan, program ini menitik beratkan amalan bertegur sapa, mendahulukan yang tua, menghormati tetamu, bermuafakat dan bergotong royong, bertimbang rasa, beratur di kaunter, membuang sampah dan sebagainya.

Di sekolah, kata Mohamad Yusri program ini diadakan secara berterusan dengan menggalakkan pelajar membiasakan diri mengucapkan salam dan ucap selamat, menghargai perbezaan kaum dan agama, hormatkan guru dan bekerjasama dengan rakan sebaya.

PENCAPAIAN PROGRAM

Mohamad Yusri berkata misi yang dijadikan cabaran besar di awal program ini ialah untuk merubah sikap orang yang di barisan depan, di kaunter, di pintu masuk negara dan perkhidmatan awam.

Alhamdulillah pencapaiannya membanggakan dan selepas budi bahasa diperelok, nilai-nilai murni dititik beratkan untuk dijadikan amalan semua rakyat Malaysia, katanya.

Pasti ramai yang ingat dengan iklan seorang penumpang lelaki yang berpura-pura tidur kerana mahu mengelak memberikan tempat duduknya kepada penumpang buta di dalam LRT? Iklan yang menggalakkan amalan nilai murni dan memberi kesan mendalam kepada audiens sebegini, akan diperbanyak, kata Mohamad Yusri.

Beliau berkata daripada tinjauan yang dibuat pihaknya, 90 peratus responden menganggap pelaksanaan program ini berjaya setakat ini.

Oleh itu selepas Julau, program besar-besaran melibatkan masyarakat Cina di Ipoh akan diadakan pada 5 Julai dan di Kuala Pilah pada 25 Julai dengan menekankan ciri-ciri dalam rangkap lagu "Budi Bahasa Budaya Kita".....

Bangsa Malaysia berhemah tinggi

Ramah dan mesra elok pekerti

Yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi

Bertimbang rasa hormat menghormat.

Sumber : http://www.bernama.com/

Menangani stres cara Islam


Solat menghilangkan ketegangan dalam hidup.


Dunia pekerjaan memang memberikan pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.

Tekanan disebabkan pekerjaan merupakan interaksi kompleks di antara persekitaran di tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan dan mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

Tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua yang suka marah-marah dan suasana kerja yang tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu sekiranya ia tidak ditadbir dan tidak dikawal dengan metodologi yang tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

Kadang kala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah disiplin di tempat kerja, merokok, meminum arak dan sebagainya.

Berlaku juga kes-kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah yang mewujudkan pula masalah rumahtangga seperti pertengkaran dengan pasangan hidup, mendera anak, dan sebagainya.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam.

Islam telah menetapkan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah SWT.

Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Sebagaimana ketentuan Allah SWT bahawa setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan. Kita harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah SWT.

Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya.

Apabila kita yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya kita berjaya menghadapi tekanan dengan tenang dan berjaya.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4 maksudnya: "(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.'

Kaedah

Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan.

Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat.

Banyak kajian pakar psikologi barat sendiri yang telah memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat merupakan suatu tempoh masa 'aman dan damai' di mana seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT).

Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan.

Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan gelombang otak.

Daripada konteks Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.'

Keduanya dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 maksudnya: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.'

Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa, 'al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda' (riwayat Bukhari).

Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini adalah kerana al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung dalam merungkaikan segala permasalahan manusia.

Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.

Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif adalah sekadar 'warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama' dan akan mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak.

Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelimanya, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina."

Jika diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan, mengikut saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat tawakkal dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya.

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud: "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku." Jika hati dan pemikiran kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan tersebut.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Islam garis kaedah berkesan atasi penularan wabak

Oleh Mohd Zamri Shafie

PENYAKIT yang menjangkiti penduduk dunia hari ini adalah qada’ dan qadar Allah yang perlu dimengerti dan difahami individu Muslim. Islam mengajar umatnya menerima dengan lapang dada musibah yang menimpa dengan keinsafan dan kesedaran.

Namun kita tidak boleh berserah diri semata-mata kepada takdir tanpa usaha diiringi dengan doa, sifat sabar serta rimbunan taubat kepada Allah atas segala kesilapan yang tidak tahu mensyukuri nikmat akal kurniaan Allah.

Penyakit yang menyerang manusia tidak dapat dinafikan berpunca atas kesilapan membuat percaturan hidup tanpa landasan syariat ditetapkan Allah. Kesalahan itu membuka jalan bagi manusia menilai semula cara hidup mereka dengan menggunakan Islam sebagai kayu ukur dan bermuhasabah kenapakah penyakit datang silih berganti ‘mengganggu’ hidup manusia.

Di samping itu, sebagai manusia yang dikurniakan kecerdasan dan kewarasan akal sewajarnya menggunakan ‘kesempatan’ ditimpa penyakit, melakukan pelbagai penyelidikan secara efektif dan proaktif mengenai kaedah rawatan seterusnya menghasilkan ubat atau vaksin menghadapi ancaman penyakit yang tidak dapat digambarkan keadaan pada masa hadapan.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali. Mereka itulah orang yang dilimpahi dengan kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155- 157)

Sewajarnya umat Islam merenung kembali kisah daripada Abdullah bin Abbas: “Pada suatu hari tatkala Saidina Umar bin Khattab pergi ke Syam, apabila sampai di Sargha, datang pemimpin tentera bersama Abu Ubaidah bin Jarrah dan sahabatnya memberitahu Umar mengenai wabak taun yang sedang melanda kawasan itu.

Lantas Saidina Umar berkata: Panggil ke sini orang Muhajirin pertama (berhijrah) (dengan tujuan mendapatkan pendapat dan berbincang. Aku memanggil mereka, lalu Umar bermesyuarat dengan mereka.

Umar berkata: Wabak penyakit berjangkit sedang melanda kawasan ini. Jadi apa pendapat tuan-tuan mengenai perkara ini? Seorang demi seorang memberi pendapat. Kata seorang daripada mereka: Tuan sudah keluar untuk satu tugas penting, adalah tidak layak tuan meninggalkannya.

Kemudian berkata pula sahabat lain: Tuan datang dengan membawa angkatan besar dan angkatan tuan itu pula dari sahabat Rasulullah SAW, dan kami fikir adalah tidak patut tuan menghadapkan mereka kepada wabak penyakit ini.

Apabila Umar mendengar pendapat orang Muhajirin, beliau memerintahkan dipanggil orang Ansar. Apabila mereka semua berkumpul, Umar bertanya soalan sama dan menerima jawapan sama seperti diberi orang Muhajirin.

Lalu Umar menyuruh mereka berundur. Selepas itu Umar memanggil pula orang Quraisy yang berhijrah sebelum penaklukan Makkah. Apabila tiba orang Quraisy itu, Umar pun bertanya pendapat seperti ditanya pada orang Muhajirin dan Ansar. Ternyata jawapan diterima Umar sama.

Mereka berkata kepada Umar: Pada pendapat kami, adalah lebih baik tuan membawa angkatan tuan itu balik dari menghadapkan mereka kepada wabak penyakit. Umar pun bersetuju meninggalkan tempat itu sambil memberitahu sahabatnya: Oleh sebab kita akan bertolak esok pagi, maka aku harap dapatlah kita bersiap sedia untuk pulang.

Sebaik saja Umar habis berkata, Abu Ubaidah bin Jarrah pun bertanya: Apakah kita hendak lari dari qadar Allah? Oleh kerana pertanyaan itu daripada Abu Ubaidah, maka Umar tidak mahu membantah dan sebaliknya menjawab: Ya, kita lari dari qadar Allah.

Sebagai penjelasan, Saidina Umar membuat analogi dengan contoh mudah, katanya: Apa akan kamu buat jika kamu mempunyai seekor unta, lalu kamu sampai pada suatu lembah yang ada dua keadaan iaitu satu subur dan satu kering?

Sudah tentu kamu akan memilih tempat subur. Bukankah kamu mengembala dengan qadar Allah dan jika kamu memilih untuk mengembala di tempat kering, kamu juga mengembala dengan Allah.

Sebaik saja Umar habis menerangkan kepada Abu Ubaidah, tiba-tiba datang Abdul Rahman bin Auf, lalu berkata: Aku faham masalah ini dan aku sendiri pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu mendengar ada wabak penyakit berjangkit merebak di negeri itu, maka janganlah kamu masuk ke negeri itu, dan jika wabak terjadi di negeri kamu, maka janganlah kamu keluar dari negeri itu kerana hendak melarikan diri.

Selepas mendengar apa diperkatakan Abdul Rahman bin Auf itu, Umar pun mengucapkan puji-pujian kepada Allah kerana memberi petunjuk kepadanya. Selepas itu Umar dan orangnya meninggalkan tempat itu.”

Antara pengajaran daripada kisah itu ialah pencegahan daripada penyebaran penyakit boleh dilakukan dengan cara kuarantin seperti disebut Baginda SAW dan dipraktikkan Saidina Umar.

Inilah langkah paling besar impaknya dan berkesan dalam kaedah perubatan umat terdahulu dan umat zaman moden ini bagi menghadapi ancaman penularan wabak penyakit. Penjagaan kesihatan baik amat dituntut di samping mengamalkan kesederhanaan dalam aktiviti kehidupan.

Setiap individu mestilah bertanggungjawab terhadap negara didiaminya dan tidak wajar menimbulkan suasana panik yang boleh mengkucar-kacirkan keadaan dengan menyampaikan maklumat salah.

Setiap permasalahan hendaklah diselesaikan melalui perbincangan serta percambahan idea melalui saluran betul supaya tidak menggugat kestabilan negara.

Setiap penyakit ada ubatnya. Umat Islam perlu mempertingkatkan usaha meneroka bidang perubatan untuk manusia sejagat.

Qada’ dan qadar adalah ketentuan Allah yang mempunyai hikmah besar dalam mengembalikan hati manusia ingatkan Allah dalam apa juga keadaan sama ada ketika senang atau susah, sihat atau sakit.

Umat Islam hendaklah sedar dan insaf penyakit berpunca daripada manusia sendiri seperti tidak menjaga kebersihan diri.

Daripada Abdullah bin Umar, katanya: “Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda: Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang atau musafir.”

Sejak itu, Ibn Umar selalu berkata: “Apabila engkau berada pada waktu petang janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi dan apabila engkau berada pada waktu pagi, janganlah engkau tunggu datangnya petang dan ambillah peluang dari kesihatanmu itu membuat amal untuk masa sakitmu dan masa hidupmu berbekal untuk matimu.” (Hadith riwayat al-Bukhari)

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Isnin, 29 Jun 2009

ISU PENGEHADAN JUMLAH MATA PELAJARAN SPM

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

Pelajar perlu fokus subjek berkaitan bidang diminati bagi mencapai keputusan terbaik


SETELAH sedekad Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan secara pensijilan terbuka, Kementerian Pelajaran akhirnya membuat transformasi apabila mengehadkan jumlah mata pelajaran diambil calon peperiksaan berkenaan.

Berdasarkan ketetapan baru yang akan dilaksanakan mulai tahun depan itu, calon peperiksaan berkenaan hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 subjek, manakala 11 mata pelajaran bagi calon aliran agama sains.

Berbanding sistem pensijilan terbuka dilaksanakan sejak 2000, jumlah mata pelajaran tidak dihadkan dan calon bebas menentukan jumlahnya hingga ada yang mengambil 21 subjek.

Mengulas keputusan itu, Yang Dipertua Kesatuan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia (KKPSM), Azam Md Atan, berkata cadangan mengehadkan pengambilan subjek itu pernah disuarakan pihaknya kepada kementerian menerusi beberapa pertemuan sebelum ini, selain turut dijadikan fokus perbincangan seminar dan konvensyen pendidikan.

Katanya, kaitan pelajar mengambil banyak subjek sering dipersoalkan, malah pihak kesatuan sendiri pernah memohon agar Kementerian Pelajaran meneliti semula konsep sistem pensijilan terbuka SPM.

“Kami melihat keputusan ini sebagai bukti kepekaan kementerian terhadap pandangan dan saranan disuarakan pelbagai pihak termasuk KKPSM yang sememangnya menantikan respon positif sejak dulu lagi.

“Pujian wajar diberikan kepada Kementerian Pelajaran kerana bijak dan tuntas dalam membuat keputusan berkaitan isu ini. Bagi pihak kesatuan, setiap keputusan dibuat pasti ada sebab kukuh demi memastikan pembangunan potensi pelajar yang lebih menyeluruh,” katanya kepada Berita Harian.

Biarpun masih ada suara sumbang yang mempertikaikan kewajaran keputusan itu, beliau menyarankan agar semua pihak khususnya pelajar bersikap positif dan terbuka dengan perubahan itu.

Sebagai pelajar, katanya, wajar bagi mereka memfokus mata pelajaran berkaitan bidang diminati dan bersesuaian dengan kecenderungan atau kemahiran mereka bagi mencapai keputusan berkualiti.

“Jumlah kuantiti subjek yang banyak bukanlah kayu pengukur sebenar kecemerlangan pelajar, malah lebih parah jika ia tidak diseimbangkan dengan pencapaian kokurikulum yang menjadi penyumbang utama pemupukan kemahiran insaniah, sahsiah dan kepimpinan pelajar.

“Malah, pelajar juga perlu ingat, selepas keluar universiti kelak, persoalan sama ada seseorang itu pernah memperoleh 18 1A atau 20 1A dalam SPM tidak lagi relevan.

“Majikan kini lebih suka menawarkan pekerjaan kepada graduan yang bukan saja cemerlang akademik tetapi yang mempunyai keyakinan, bakat kepemimpinan, pandai bergaul, inovatif dan kreatif,” katanya.

Beliau turut berharap agar keputusan mengehadkan pengambilan subjek SPM dapat mengubah persepsi pelbagai pihak yang sebelum ini sering melabelkan sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan.

Malah, katanya, keputusan itu juga dilihat sebagai sebagai mekanisme terbaik menangani isu pengagihan biasiswa khususnya yang ditawarkan kerajaan kepada lulusan SPM.

“Isu pemilihan pelajar yang layak menerima biasiswa sering dipersoalkan ramai pihak setiap tahun, malah ada yang mempertikaikan ketelusan kerajaan dalam isu itu.

“Peluang pelajar yang mendapat 20 A contohnya lebih luas untuk mendapat biasiswa berbanding pelajar 10 A. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan pelajar dan dengan keputusan mengehadkan pengambilan subjek, saya rasa isu ini akan diatasi dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Akademik, Sekolah Agama Menengah Bestari (SAM Bestari), USJ 5, Subang Jaya, Selangor, Sabariah Jaafar, berkata pengambilan maksimum 11 subjek SPM bagi calon aliran agama sains yang diputuskan Kementerian Pelajaran disifatkan rasional dan sememangnya menjadi amalan kebanyakan sekolah agama.

Di SAM Bestari, beliau menjelaskan, majoriti calon SPM diwajib mengambil 11 subjek dan hanya segelintir calon yang mengambil lebih daripada jumlah itu dengan syarat mendapat kebenaran pihak sekolah.

“Empat subjek wajib diambil calon adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik selain tiga subjek teras aliran agama iaitu Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah.

“Calon turut mengambil empat subjek elektif sains tulen iaitu Matematik Tambahan, Kimia, Fizik dan salah satu daripada subjek Biologi atau Lukisan Kejuruteraan.

“Kombinasi 11 subjek itu sudah mencukupi dan bersesuaian dengan masa yang diperlukan pelajar untuk pembelajaran dan ulangkaji tanpa mengenepikan kepentingan pembabitan mereka dalam aktiviti kokurikulum,” katanya.

Biarpun keputusan jumlah maksimum 11 subjek hanya membabitkan calon 2010 sebelum calon seterusnya diwajibkan mengambil 10 subjek maksimum mulai 2011, beliau berkata, pihaknya akan memastikan pengubahsuaian dilaksanakan segera bagi membantu calon membuat pilihan subjek yang tepat dan bersesuaian dengan mereka," katanya.

Sumber : http://www. bharian. com/

Sabtu, 27 Jun 2009

Ancaman luar biasa keselamatan, bencana jejas kehidupan manusia

Oleh Zaini Mohd Said

SALAH satu tanggungjawab terpenting mana-mana kerajaan dan angkatan tentera adalah untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan rakyat dilindungi daripada sebarang ancaman dan bahaya. Ia satu tanggungjawab yang berat, malah sejak kebelakangan ini sudah menjadi bertambah berat dan sukar lagi untuk dilaksana dengan berkesan.

Kecenderungan beberapa kuasa besar bertindak secara rakus dan unilateral terhadap negara-negara yang lemah menjadi salah satu penyebab. Keselamatan negara dan rakyat bertambah dirumitkan lagi oleh tindak-tanduk kumpulan militan dan pengganas antarabangsa yang operasi mereka boleh melangkaui sempadan dan diburu pula negara-negara lain. Kesan kekerasan dan keganasan melampau yang dilakukan oleh mereka itu kerap dilaporkan menerusi media semasa sejak sekian lama.

Pada masa sama, persaingan untuk menguasai kawasan zon ekonomi bertindih serta merebut hasil sumber asli yang berada di dalamnya yang kini sudah semakin berkurangan boleh menimbulkan masalah hingga tercetus perselisihan faham dan konflik ketenteraan antara negara yang bertelagah biar pun mereka yang berjiran rapat.

Malaysia sebagai contoh, kini berdepan pertikaian dengan beberapa negara serantau termasuk juga dengan Indonesia, Vietnam dan Filipina dalam perkara ini. Yang terakhir berlaku adalah persoalan hak eksploitasi di kawasan Ambalat atau Laut Sulawesi yang sedang cuba diatasi oleh kedua-dua pihak melalui usaha diplomasi awam dan tentera.

Perubahan ketara iklim dunia oleh sebab pemanasan global juga membawa masalah besar buat semua. Akibat daripada fenomena pemanasan ini, maka berlaku banjir besar di tempat tertentu dan kemarau berpanjangan di tempat lain. Bencana-bencana seperti ini dan juga yang lain seperti kejadian gempa bumi, tsunami, runtuhan tanah, bangunan dan sebagainya itu banyak juga menjejas kehidupan manusia.

Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila bencana itu memusnahkan tanaman dan pengeluaran hasil makanan yang secara langsung mengancam kehidupan manusia. Semuanya ini dapat membuat manusia menjadi marah dan tidak berfikiran secara rasional hingga sanggup menentang dan melawan pihak berkuasa mahu pun kerajaan kerana kelaparan dan kesusahan hidup. Angkatan tentera selalu dibabitkan dalam keadaan atau senario sedemikian untuk membantu pihak berkuasa awam dengan menggunakan segala sumber dan kepakaran yang ada padanya.

Keseluruhan keadaan ini pula tidak mungkin berubah menjadi lebih baik pada masa akan datang. Malah, amat besar kemungkinan ia akan menjadi lebih getir dan berbahaya lebih-lebih lagi bagi mana-mana kerajaan atau negara yang tidak bersedia untuk menghadapinya dengan segala rancangan, kemampuan, serta dana yang mencukupi untuk mengurangkan kesan sukar akibatnya.

Keadaan semasa sudah dianggap serius sehinggakan ramai penganalisis keselamatan berpendapat bahawa dunia dalam dekad awal abad ke-21 ini sedang berada pada persimpangan jalan yang sungguh berbahaya. Sekiranya keadaan tidak ditangani secara bijak dan berterusan, maka dunia boleh terjerumus ke dalam kancah keperitan jika tidak huru-hara yang sangat besar dan meluas tidak lama selepas itu.

Ancaman ketenteraan yang konvensional akan terus kekal menghantui keselamatan mana-mana negara, selagi manusia sanggup bermusuhan dan mampu melakukan kekerasan terhadap manusia yang lain. Angkatan tentera dan sistem pertahanan negara diwujudkan untuk berhadapan dengan ancaman-ancaman seperti ini yang boleh berupa serangan ketenteraan konvensional dari negara lain, keadaan tidak tenteram di dalam negeri serta juga melakukan tugas-tugas sekunder membantu pihak berkuasa awam menangani bencana alam semula jadi dan bencana lain.

Bagi ancaman ketenteraan, apa yang nyata bahawa kemajuan pesat yang tercapai dalam teknologi pembinaan persenjataan dan cara berperang sudah meningkatkan kuasa membunuh dan memusnah senjata berkenaan sehingga menjadi begitu kuat dengan kesan yang dahsyat sekali.

Malangnya, penduduk awam yang bukan ‘combatant’ atau musuh, turut menjadi korban, mendapat cedera dan mengalami kesengsaraan akibat penggunaan senjata-senjata ini yang kadang-kadang tersasar atau dengan sengaja ditujukan kepada mereka, kediaman mereka dan juga segala kemudahan lain yang ada.

Ia sudah pun jelas terbukti berlaku di Iraq dan Afghanistan apabila Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya menyerang dan menakluk negara berkenaan. Serangan Israel ke atas Gaza juga sama apabila ramai mangsa yang mati dan cedera adalah penduduk awam Palestin dan bukannya pejuang Hamas. Peperangan menggunakan cara dan senjata konvensional sememangnya boleh menyebabkan kematian yang ramai serta kemusnahan besar kepada tentera dan juga awam.

Oleh kerana tidak dapat menandingi kemampuan dan taktik konvensional pihak lawan, maka ancaman tidak konvensional dan ‘assymetric’ diwujudkan oleh mereka yang lemah. Strategi dan taktik ini memang lebih banyak digunakan puak pelampau dan pengganas yang mengeksploitasi teknologi persenjataan, komunikasi dan elektronik yang sedia ada, juga bersama rakyat yang menyokong mereka, mampu mengakibatkan kemusnahan dan pembunuhan jauh lebih besar daripada kemampuan sebenar yang ada pada mereka.

Mereka memperjuangkan matlamat mereka ini melalui peperangan gerila, melakukan pembunuhan secara selektif, mengguna pengebom bunuh diri, bom kereta, keganasan terhadap penduduk awam serta juga dengan melakukan demonstrasi dan protes besar-besaran yang berpanjangan. Ia termasuk juga perbuatan sabotaj, pengkhianatan dan sebagainya. Apa yang menakutkan semua, adalah kemungkinan yang mereka sedang berusaha memperoleh dan menggunakan persenjataan nuklear, biologi dan kimia terhadap seteru mereka.

Semua yang dinyatakan ini adalah cabaran dan ancaman serius. Ia juga memberi petunjuk kepada keperluan untuk dipertingkatkan lagi kapasiti dan kemampuan angkatan tentera supaya benar-benar dapat mempertahankan negara dan melindungi rakyat. Pertahanan dan perlindungan ini bukan saja daripada ancaman serangan konvensional, tetapi juga daripada tindakan mana-mana pihak menggunakan peperangan, persenjataan, serta muslihat yang tidak konvensional atau pun ‘asymmetric.’ Ini termasuk jugalah dengan mengguna persenjataan nuklear, biologi dan kimia atau pun penentangan melalui demonstrasi yang sangat besar oleh mana-mana pihak sekali pun.

Dalam menghadapi dan menangani segala cabaran dan ancaman yang diterangkan itu, jelas ada menunjukkan kepada keperluan untuk disediakan perlindungan dan pertahanan bagi orang awam yang sering menjadi mangsa persenjataan dan taktik perang pihak yang bersengketa. Agak nyata bahawa pihak tentera juga perlu meningkatkan kapasiti dan kemampuan dalam semua aspek pengurusan bencana alam semula jadi dan yang disebabkan angkara manusia agar benar-benar berkesan.

Adalah diharap agar semua pihak terbabit secara terus di dalam bahagian pertahanan dan keselamatan negara dapat memikirkan akan apa yang sudah dinyatakan dan berbuat sesuatu dengan segera.

Penulis ialah bekas Panglima Medan Tentera Darat

Sumber : http://www.bharian.com/

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN MORAL PELAJAR TERPINGGIR


DATA Kementerian Pelajaran serta statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan jumlah salah laku melibatkan remaja masih bersekolah semakin meningkat. Makin membimbangkan bila data-data tersebut menunjukkan pelajar sekolah bukan sahaja sekadar terlibat di dalam kelakuan tidak sopan, melanggar peraturan sekolah seperti bising dalam kelas, datang lewat ke sekolah, ponteng tetapi juga menjangkau kepada perlakuan jenayah seperti gengsterisme, melakukan gangguan seksual, merogol malah hingga kepada membunuh.


Kajian gengsterisme di sekolah menengah harian yang dilakukan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan mengenal pasti 459 daripada 1,560 buah sekolah terdedah dengan budaya gengsterisme.

Data Kementerian Pelajaran tahun 2008 menunjukkan 21,060 pelajar dikesan ponteng sekolah, manakala 24,840 pelajar terlibat pada tahun sebelumnya. Selain ponteng, salah laku pelajar kurang sopan seperti merokok, tidak hormat guru dan pengawas serta berbahasa kesat adalah kesalahan paling banyak berlaku di sekolah membabitkan 23,220 kes pada tahun 2007 dan 19,980 kes pada 2006.

Akibat meningkatnya gejala sosial yang semakin serius, maka cadangan mengembalikan semula hukuman rotan sekarang berada di atas meja Peguam Negara. Nampaknya institusi pendidikan seperti sekolah seakan sudah hilang upaya untuk menguruskan masalah gejala sosial melalui pendidikan moral dan agama Islam dan akhirnya bersetuju untuk kembali kepada cara lama menangani masalah remaja. Malah institusi kaunseling secara jujurnya juga seperti tidak terdaya menyelesaikan kerenah isu juvenil ini.

Kesalahan remaja sememangnya masalah pendidikan dan sekolah tidak dapat tidak mesti bertanggungjawab membanterasnya tetapi mengambil langkah menggunakan rotan sama sekali tidak akan menghilangkan masalah sosial. Kajian oleh pakar pendidikan pembelajaran sepakat bersetuju bahawa sistem hukuman rotan bukanlah satu kaedah yang paling baik dan berkesan, malah pelajar yang telah melalui kaedah hukuman rotan ada antaranya yang terus menerus melakukan kesalahan yang lebih besar daripada kesalahan di mana mereka pernah dikenakan hukuman rotan. Kajian di negara ini juga telah banyak dilakukan berkaitan masalah disiplin di kalangan remaja.

Kementerian Pelajaran telah mencuba pelbagai kaedah untuk menangani masalah disiplin daripada kempen hinggalah bekerjasama dengan pihak polis dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

Malangnya, impak kepada masalah disiplin sifar nampaknya masih jauh daripada yang diharapkan. Hukuman merotan bukan sahaja ditentang oleh golongan peguam tetapi juga di kalangan pendidik yang mementingkan konsep pendidikan yang murni dan bermaruah.

Kita mungkin berkata merotan akan mendidik pelajar ini supaya tidak akan lagi melakukan perbuatan salah mulai esoknya di sekolah. Maka kita cuba menyatakan jika semua sekolah menjalankan hukuman merotan maka dalam satu jangka nanti akan sangat kurang atau tiada lagi masalah sosial di sekolah kerana pelajar akan takut dikenakan hukuman merotan. Apakah kita percaya ini semua akan berlaku?

Difikirkan semasak-masaknya pelajar yang melakukan masalah disiplin ini sebenarnya adalah mangsa keadaan, sesuatu yang bukan di bawah kawalan mereka. Baik ibu bapa, masyarakat, sekolah, media serta rakan sebaya, semuanya memberikan sumbangan yang kuat ke arah perlakuan dan tingkah laku negatif pelajar. Tetapi bila hukuman hendak dijatuhkan, pelajar ini sahaja yang dipersalahkan, mana ibu bapa, rakan taulan, guru, media yang sentiasa memaparkan adegan ganas dan seks ketika hukuman dilaksanakan.

Banyak faktor lain yang juga mendorong kepada berlakunya masalah ini. Keluarga yang bercerai berai, tuntutan keperluan hidup yang semakin mendesak juga menjadi faktor kepada gejala ini. Malah ada juga menghadapi tekanan membina semula lingkungan rakan sebaya yang kadang kala tersalah pilih kerana tiada bantuan daripada ibu bapa. Tidak cukup dengan itu, anak- anak yang tidak ada potensi akademik tetapi ada potensi sukan, seni dan potensi lain 'digagalkan' oleh sistem pendirian negara kita.

Hanya yang mendapat 5A UPSR, 8A PMR atau 11 A SPM, para pelajar ini diangkat dan dijulang. Yang lain menjadi seperti orang asing kepada pihak guru dan sekolah. Berapa ramai ibu bapa yang memeluk anak-anak yang mendapat 1A UPSR berbanding yang meleter dan merendah-rendahkan kebolehan anak-anak mereka?

Punca

Masalah disiplin dan krisis moral tentulah berpunca sebahagian besarnya dari amalan pembelajaran pembangunan nilai yang gagal di sekolah. Paling asas ialah kegagalan pendidikan agama serta moral yang dilaksanakan di sekolah. Guru-guru agama dan mata pelajaran moral harapnya jangan marah dengan penulis, tetapi cubalah kita fikirkan bersama, bila semakin ramai orang Muslim-Melayu yang mengaku beragama Islam tetapi tidak mengamalkan pun ajaran yang diwajibkan.

Saya masih ingat seorang kawan sekolah dahulu yang dirotan di dewan perhimpunan mingguan sekolah sehingga kini masih terus menyumpah pihak sekolah. Kesalahannya kerana ditangkap merokok di belakang tandas sekolah. Selepas dirotan guru disiplin memberi amaran supaya beliau berhenti merokok. Tetapi sehingga kini rakan penulis itu masih merokok, tak berniat pun untuk berhenti.

Kita kena membezakan antara hukuman merotan oleh ibu bapa dan pihak sekolah. Konsep merotan yang dilaksanakan oleh ibu kesannya adalah berbeza pada pelajar, tidak sama dengan pihak sekolah. Elemen keterikatan 'pertalian darah antara anak dengan ibu dan ayah' membenarkan anak-anak memahami jika ibu bapa melakukan hukuman tersebut, tetapi jika hukuman tersebut dilakukan oleh pihak sekolah, kadang- kadang hukuman tersebut dilihat sebagaimana menghina, menjatuhkan maruah pelajar dan ramai ibu bapa juga tidak suka anak mereka dirotan. Jangan tanya pendapat awam kerana bukan anak mereka yang dirotan. Mereka semestinya bersetuju dengan hukuman merotan pada anak orang lain.

Satu masa dulu, data menunjukkan lingkungan umur yang paling tinggi melakukan masalah sosial ialah kalangan remaja lelaki antara 15-18 tahun. Namun trend ini dilihat mulai membimbangkan apabila kumpulan pelaku masalah sosial kini semakin rendah tahap umur sehingga ada yang berumur kurang dari 10 tahun terutama berkaitan kes curi, ponteng, merokok dan mencabul pelajar perempuan. Malah remaja wanita juga semakin ramai yang terlibat sebagai pelaku masalah sosial. Menguruskan pelajar perlukan kesabaran para guru, ketelitian dalam berinteraksi dengan kanak-kanak serta secara nasihat berdikit-dikit tetapi konsisten sangat berkesan. Paling penting bermula sejak awal umur kanak-kanak.

Kalaulah merotan terbukti boleh menyelesaikan masalah disiplin, dunia telah lama aman dan sejahtera. Perlakuan jenayah dan gejala sosial menuntut perhatian yang lebih tinggi daripada sekadar mengkaji baik buruknya merotan pelajar. Kanak-kanak pada peringkat muda pada asasnya memerlukan kasih sayang, luangkan masa serta perhatian para ibu bapa dan guru- guru.

Kasih sayang pada pelajar perlu ditunjukkan dengan mendengar dan menyokong bukannya dengan meleter, mengungkit atau merotan pelajar. Para pelajar jika sudah biasa dirotan akan juga menganggap bentuk didikan 'ganas' adalah yang terbaik dan akan melakukannya apabila mereka pula mempunyai anak-anak satu hari nanti. Mereka juga akan percaya apabila wujudnya konflik dengan rakan sebaya di sekolah cara bergaduh dan memukul jugalah yang seharusnya digunakan.

Tindakan yang seringkali dicadangkan oleh pakar pendidikan ialah kecilkan saiz pelajar di dalam bilik darjah supaya perhatian kepada pembangunan sahsiah pelajar akan menjadi lebih baik, tingkatkan kualiti pengurusan pelajar di kalangan guru supaya mereka memahami dengan tepat secara teori dan amalan, atau 'know what' dan 'know how' berkaitan pembangunan pelajar di bawah tanggungjawab mereka, sediakan sistem sokongan kewangan dan khidmat nasihat untuk pelajar, outreach programme di mana kumpulan guru melawat ke rumah pelajar yang menunjuk tanda- tanda masalah di peringkat awal supaya perbincangan dengan ibu bapa dapat dilakukan lebih awal.

Pada masa yang sama guru juga akan dapat membuat penilaian berkaitan keluarga pelajar tersebut. Apalah gunanya di dalam sebuah sekolah jika dengan hanya beberapa orang pelajar mencapai kecemerlangan akademik tetapi pada yang sama ramai pula yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah yang sama.
Biarlah kalau Peguam Negara masih ingin meluluskan undang-undang hukuman merotan ini, biarlah kalau ada sekolah masih juga ingin meneruskan hukuman ini tetapi percayalah masih ramai ibu bapa di luar sana termasuk penulis sendiri sangat percaya bahawa jika anak-anak ini dirotan kerana kesalahan mereka maka kitalah yang sebenarnya gagal mendidik moral kepada mereka.

Anuar Ahmad ialah pensyarah Sosiologi Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Jumaat, 26 Jun 2009

FENOMENA MICHAEL JACKSON

Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK

PENGHUJUNG karier seni Raja Pop ini penuh berliku. Namun Michael Jackson atau lebih akrab dikenali sebagai Jacko di kalangan peminatnya, tetap merupakan "jenama" yang tiada dua.

Kehidupan aneh dan misteri yang dilaluinya turut membantu memastikan namanya tidak terpadam dalam senarai penyanyi popular sepanjang zaman.

Malah Jackson turut disamakan dengan Elvis Presley dan Beatles. Beliau dianggap legenda pop oleh peminatnya di seluruh dunia. Jackson tetap dipuja walaupun zaman kegemilangannya semakin pudar ekoran perubahan masa dan kemelut peribadi.

Maka tidak hairanlah apabila berita kematiannya semalam sangat mengejutkan peminat. Malah ramai yang tidak percaya dan menganggap ia hanya "jenaka tidak bertanggungjawab" yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Namun manusia tidak boleh menolak ketentuan Tuhan. Takdir telah menentukan raja pop ini meninggal dunia pada 25 Jun 2009. Beliau disahkan mati pada 2.26 petang Khamis (5.26 pagi Jumaat waktu Malaysia) di UCLA Medical Center. Beliau meninggal selepas dikejarkan ke pusat perubatan itu setelah tidak sedarkan diri di kediamannya di kawasan elit Holmby Hills, Los Angeles.

Sebaik kematiannya disahkan, semua stesen televisyen dan radio mula menyiarkan berita mengenai ikon pop ini. Stesen MTV memutarkan semula video-video muzik beliau sementara saluran CNN menyiarkan pelbagai program tanpa henti mengenai Jackson termasuk bual bicara secara langsung.

Fenomena penyiaran program tanpa henti mengenai Jackson itu bukan hanya berlaku di Amerika malah turut 'berjangkit' sehingga ke Eropah, Australia dan Asia. Stesen-stesen televisyen di Sydney, London, Mumbai, Seoul dan Tokyo turut berbuat demikian. Ia merupakan satu penghormatan kepada bintang berkenaan.

Jackson yang akan genap 51 tahun pada 29 Ogos ini menghembuskan nafas terakhir akibat kegagalan fungsi jantung.

Menyedihkan kerana kematian itu berlaku sewaktu beliau dalam persiapan rapi untuk mengadakan comeback dalam dunia hiburan. Jackson dijadual mengadakan persembahan di London, bulan depan. Beliau dilaporkan bekerja keras dengan terlibat dalam latihan serius bagi memastikan kejayaan konsert berkenaan.

Pemergian bintang berbakat besar tetapi "tidak selesa dengan dirinya sendiri" itu bukan sahaja diratapi oleh peminat malah turut ditangisi oleh rakan-rakan seperjuangan.

Antaranya ialah Madonna, Paul McCartney, Sofia Loren, Brooke Shields dan bekas isterinya, Lisa Marie Presley.

Bagaimanapun sahabat baiknya yang merupakan penerbit dari Tunisia, Tarak Ben Ammar menganggap kematian Jackson itu disebabkan oleh "doktor-doktor tidak jujur" di sekeliling raja pop tersebut.

Tarak menyifatkan mereka sebagai "doktor berhati binatang" kerana mengambil kesempatan ke atas masalah psikologi Jackson. Katanya, Jackson menghidap hypochondria iaitu sejenis gangguan psikologi yang menyebabkan beliau merasakan dirinya sakit dan tidak sempurna sedangkan hakikatnya tidak.

"Beliau menghidap hypochondria tetapi doktor di sekelilingnya tidak membantu malah mengambil kesempatan. Mereka memusnahkan wajahnya dan memberi ubat kononnya untuk menghilangkan kesakitan.

"Sebenarnya mereka itu hanya mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran yang bukan-bukan dan mengambil kesempatan di atas kelemahannya itu," katanya yang mendakwa Jackson banyak bergantung pada ubat penahan sakit dan ubat tidur.

Pendapat Tarak itu mungkin ada kebenarannya berdasarkan kenyataan bekas pegawai seranta Jackson, Michael Lavine. Lelaki itu berkata beliau tidak terkejut dengan cara kematian Jackson.

"Beliau menjalani hidup yang sukar dan sering berkelakuan merosakkan diri. Bakatnya tidak boleh dipersoalkan tetapi beliau juga tidak terlepas daripada nilai kehidupan normal.

"Jackson adalah individu yang tidak tahan dengan tekanan berterusan," tegas Lavine.

Pengakhiran kerjaya Jackson itu sebenarnya sangat berbeza dengan detik-detik kegemilangan yang diraih olehnya sepanjang meniti ke puncak.

Lelaki keturunan kulit hitam yang dilahirkan pada 29 Ogos 1958 di Gary, Indiana itu memulakan kerjaya seni menerusi kumpulan "The Jackson 5". Beliau yang ketika itu hanya berusia empat tahun, menyertai empat abangnya, Marlon, Jermaine, Jackie dan Tito dalam kumpulan tersebut. Mereka membuat persembahan pertama dalam program The Ed Sullivan Show pada 1963.

Album pertama kumpulan itu Diana Ross Presents the Jackson 5 turut memuatkan lagu hit I Want You Back dan I'll Be There yang termuat dalam carta lagu popular ketika itu.

Pada usia 14 tahun beliau tampil dengan album solo pertama, Got to Be There walaupun masih bersama The Jackson 5.

Bagaimanapun album Off the Wall pada 1979 melonjakkan namanya apabila empat daripada lagu dalam album itu mendominasi carta teratas 10 lagu popular.

Namanya mula meniti di bibir peminat dan digilai di seluruh dunia pada 1982 dengan kelahiran album Thriller yang memuatkan lagu Billie Jean dan Beat It. Album itu memenangi lapan anugerah Grammy dan muncul sebagai album terlaris sepanjang zaman.

Sementara itu, album Bad yang dihasilkan pada 1987 turut mendapat perhatian apabila lima lagu daripada album itu memonopoli carta dan terjual sekitar 22 juta salinan di seluruh dunia.

Riwayat hidup Jackson mula menjadi rumit apabila beliau dituduh mencabul seorang budak lelaki berusia 13 tahun pada 1993. Walaupun kes itu berjaya diselesaikan di luar mahkamah namun ia memberi kesan buruk kepada kerjayanya.

Beliau cuba bangkit daripada tragedi itu dengan melancarkan album HIStory: Past, Present, and Future Book I pada 1995. Lagu You Are Not Alone muncul lagu pertama dalam sejarah muzik pop untuk berada pada kedudukan teratas carta "Billboard".

Beliau cuba menghentikan cakap-cakap kurang enak tentang kecenderungan seksnya apabila memutuskan untuk berkahwin dengan Lisa Marie, anak "Raja Rock n Roll", Elvis Presley pada Februari 1994.

Bagaimanapun perkahwinan itu gagal bertahan lama apabila pasangan itu berpisah pada 1996.

Jackson kemudiannya berkahwin dengan Deborah Rowe pada November 1996. Perkahwinan yang berakhir pada Oktober 1999 itu melahirkan dua anak lelaki iaitu Michael Joseph Jackson atau Prince Michael dan Paris Michael Katherine.

Beliau mendapat seorang lagi anak lelaki - Prince Michael II daripada seorang ibu tumpang. Titik hitam dalam kehidupan peribadi dan kerjaya Jackson berulang lagi apabila didakwa sekali lagi di mahkamah pada Disember 2003 atas tuduhan pencabulan kanak-kanak.

Namun beliau dibebaskan daripada semua dakwaan berhubung salah laku seksual itu pada tahun 2005.

Bagaimanapun, rentetan hidup sejak beberapa tahun kebelakangan terutama selepas insiden dituduh mencabul pada 2003 itu benar-benar menjadi pukulan hebat kepada penyanyi ini.

Publisiti buruk berhubung kes tersebut, kerjaya yang semakin menjunam selain berdepan dengan ancaman muflis menyebabkan Jackson semakin tertekan. Akibatnya beliau dilaporkan banyak bergantung kepada ubat penenang.

Bagaimanapun beliau dikatakan cuba mencari ketenangan dengan mendekati agama Islam selepas melihat gaya hidup abangnya, Jermaine yang telah memeluk Islam sejak 1989. Jermaine sendiri mengaku sering menghadiahkan buku-buku mengenai Islam kepada Jackson kerana mahu adiknya itu menjadi lebih tenang dan mempunyai arah hidup yang lebih baik.

Jackson akhirnya dilaporkan memeluk Islam di rumah seorang sahabatnya, Steve Porcaro di Los Angeles pada November lalu. Porcaro adalah seorang daripada komposer yang menghasilkan lagu untuk album Thriller beliau.

Penyanyi tersebut juga dikatakan menukar namanya kepada Mikaeel. Bagaimanapun Jakson tidak pernah mengesahkan berita mengenai peng-Islamannya itu. Dan ia kekal menjadi misteri kepada penyanyi tersebut.

Sumber : http //www.utusan.com/