Oleh Rohana Mustaffa
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) - "Orang Berbudi Kita Berbahasa, Orang Memberi Kita Merasa" pepatah lama ini membawa maksud perbuatan baik akan kita rasai kebaikannya dan patut dibalas.
Bayangkan perasaan kita bila ada orang yang memberikan senyuman kepada kita, tidak kira di kaunter perkhidmatan, di tengah jalan atau orang yang tidak dikenali.
Kalau marah ketika itu, rasanya tahap kemarahan itu akan menurun, kalau tersesat jalan, biasanya kita akan mendapatkan orang yang tersenyum itu untuk bertanyakan arah jalan, dan kalau berasa asing di tengah-tengah lautan manusia, kita akan terasa masih ada yang menyedari kewujudan kita apabila ada yang sudi melemparkan senyuman.
Ucapan "terima kasih" yang diterima, walhal budi yang kita beri hanya sebesar zarah, akan membuatkan kita berasa begitu besar hati.
"Terima kasih dan senyum", dianggap mudah untuk dizahirkan, sayangnya sukar untuk diamalkan ramai.
Pernah penulis berbincang dengan rakan mengenai perkhidmatan kaunter di Malaysia, mengenai siapa yang harus memberikan senyuman - petugas di kaunter atau pelanggan? Jika diakui senyuman itu memberi kesan yang melembutkan. Kenapa yang menghadap pelanggan lokek dengan senyuman dan yang datang pun sama juga.
Begitu juga dengan ucapan "terima kasih". Terima kasih hanya patut diberi kepada khidmat baik yang diberikan atau terima kasih patut menjadi amalan interaksi kita seharian?.
BUDI BAHASA DAN NILAI MURNI
Dua perkara ini antara amalan mulia yang diberi penekanan di dalam program "Budi Bahasa Budaya Kita" sejak 2005.
"Berkhidmat dengan senyum," "Ucapkan terima kasih" dan "Memandu dengan senyuman" ialah antara slogan yang disebarkan melalui poster, cendera hati, pelekat di dinding dan sebagainya.
Dan kini, selaras dengan ciri-ciri budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, kesetiaan, penerimaan dan integriti yang menjadi nilai utama 1Malaysia, program ini diteruskan melalui slogan "Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni".
Ia diharap dapat memperkukuh kembali kekuatan peribadi dan jaditi diri setiap individu Malaysia.
"Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian," demikian catatan sebuah risalah mengenai program itu yang dikeluarkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
Amalan dan penerapan budi bahasa dan nilai-nilai murni ini sama ada dalam komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan, perlakuan dan pergaulan, mahu dititikberatkan melalui program ini dalam kalangan institusi kekeluargaan, kemasyarakatan, pembelajaran dan perkhidmatan.
KUMPULAN SASARAN
Baru-baru ini, program ini dijalankan di Sarawak - di rumah Gentha anak Sabut, Julau melibatkan kira-kira 10,000 penduduk tempatan.
"Kami mengadakan kenduri rakyat, melibatkan budaya masyarakat Iban,,dari awal persiapan kenduri hingga penghujungnya, penuh dengan tradisi adat istiadat masyarakat itu," kata setiausaha bahagian pengurusan acara kementerian itu Mohamad Yusri Hashim,
"Yang ditekankan ialah semangat gotong royong kenduri, yang kini kita lihat semakin terhakis apabila tuan rumah memilih katering daripada melibatkan saudara mara dan jiran tetangga," katanya.
Di Julau, kerja gotong royong ini dimulakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Yuk kong dan disusuli dengan pertandingan mewarna, sukan rakyat, jamuan rakyat dan pertandingan karaoke lagu-lagu rakyat di rumah panjang.
Sebuah pintu gerbang dan arca Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni didirikan di persimpangan masuk pekan Julau sebagai simbolik yang akan mengingatkan penduduk setempat untuk mengamalkan nilai-nilai murni sepanjang masa.
Mohamad Yusri berkata program ini menekankan kepada 47 nilai murni yang patut diamalkan dalam urusan seharian empat institusi yang disebutkan, termasuk senyum dan ucapan terima kasih.
Bagi institusi perkhidmatan, program yang diadakan memberi tumpuan kepada petugas di barisan depan - kaunter, imigresen, kastam dan sebagainya - cara memberi khidmat, melayani pelanggan, menjawab telefon dan menjaga kebersihan.
Untuk institusi keluarga, isu yang ditekankan ialah menghormati orang tua, tingkah laku sopan, malah panggilan atau gelaran yang bersesuaian patut diamalkan mengikut pangkat dan pertalian dalam keluarga.
DRAMA DAN FILEM KITA
Seorang peminat drama tempatan, Hamidah Ngah, bersetuju dengan penekanan menggunakan bahasa panggilan yang bersesuaian sebagai tanda hormat dan bersopan ini.
Baru-baru ini beliau terkejut dengan sebuah drama yang menggunakan dialog "kau" dan "aku". di antara dua beranak. Si anak yang marah dengan bapanya kerana keadaan keluarganya yang dibelenggu kemiskinan, ber "aku" dan ber "engkau" dengan bapanya.
Hamidah berkata walaupun pada realitinya mungkin berlaku, tetapi dalam masyarakat Malaysia yang masih kaya dengan adab menghormati yang tua, kes seperti ini boleh dianggap terpencil dan tidak patut ditonjolkan di dalam drama sebegitu rupa.
"Banyak insiden perkelahian suami isteri, panggilan "sayang" atau "abang" masih di bibir, begitu juga perkataan "ibu" dan 'ayah". Janganlah kisah biadap yang kita cuba perbesar kerana drama Melayu masih ditonton sekeluarga," katanya.
Memang ada kebenarannya kata-kata Hamidah itu, mengambil contoh sebuah filem Melayu popular beberapa tahun lepas, yang menunjukkan adegan si anak memarahi bapanya sambil menjerti-jerit dan menuding jari ke muka bapanya.
Kenapa kita keterlaluan dalam lakonan itu sedangkan filem atau drama Inggeris sekalipun, yang biasa kita tonton anak beranak bertikam lidah, tetapi tidak pernah pula sampai si anak menuding jari hingga seakan-akan menujah kepala bapa atau ibunya.
Soalnya siapa yang lebih tidak ada adab di sini,?" tanya Hamidah.
AMALKAN UCAP SELAMAT
Mohamad Yusri berkata pihak berkuasa melalui program ini, telah menganjurkan sesi penerangan mengenai amalan budi bahasa terutama di barisan depan khidmat kaunter Imigresen, kastam, dan polis.
Bagaimana pula di pihak swasta, kaunter di pusat membeli belah malah di bank-bank? Suri rumah Alice Ong berkata petugas di kaunter bank patut lebih banyak memberikan senyum dan mesra pelanggan.
Melalui pemerhatian beliau, kebanyakan petugas di kaunter bank hanya akan kelihatan mesra dan ramah, dengan pelanggan yang dikenali mereka sahaja.
Mungkin contoh jurujual atau petugas kaunter di kedai dan pusat membeli belah di beberapa negara Barat, patut diamalkan, kerana tanpa mengira pelanggan, mereka tidak jemu mengucapkan "good morning", "how are you" "have a nice day", "May I help you", "thank you" atau "Happy New Year" dan "Merry Christmas".
Kenapa tidak ditukar sahaja di Malaysia dengan ucapan "selamat pagi", "apa khabar", "boleh saya bantu", "terima kasih" atau "Selamat Tahun Baru" dan "Selamat Hari Raya".
Dalam institusi kemasyarakatan, program ini menitik beratkan amalan bertegur sapa, mendahulukan yang tua, menghormati tetamu, bermuafakat dan bergotong royong, bertimbang rasa, beratur di kaunter, membuang sampah dan sebagainya.
Di sekolah, kata Mohamad Yusri program ini diadakan secara berterusan dengan menggalakkan pelajar membiasakan diri mengucapkan salam dan ucap selamat, menghargai perbezaan kaum dan agama, hormatkan guru dan bekerjasama dengan rakan sebaya.
PENCAPAIAN PROGRAM
Mohamad Yusri berkata misi yang dijadikan cabaran besar di awal program ini ialah untuk merubah sikap orang yang di barisan depan, di kaunter, di pintu masuk negara dan perkhidmatan awam.
Alhamdulillah pencapaiannya membanggakan dan selepas budi bahasa diperelok, nilai-nilai murni dititik beratkan untuk dijadikan amalan semua rakyat Malaysia, katanya.
Pasti ramai yang ingat dengan iklan seorang penumpang lelaki yang berpura-pura tidur kerana mahu mengelak memberikan tempat duduknya kepada penumpang buta di dalam LRT? Iklan yang menggalakkan amalan nilai murni dan memberi kesan mendalam kepada audiens sebegini, akan diperbanyak, kata Mohamad Yusri.
Beliau berkata daripada tinjauan yang dibuat pihaknya, 90 peratus responden menganggap pelaksanaan program ini berjaya setakat ini.
Oleh itu selepas Julau, program besar-besaran melibatkan masyarakat Cina di Ipoh akan diadakan pada 5 Julai dan di Kuala Pilah pada 25 Julai dengan menekankan ciri-ciri dalam rangkap lagu "Budi Bahasa Budaya Kita".....
Bangsa Malaysia berhemah tinggi
Ramah dan mesra elok pekerti
Yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi
Bertimbang rasa hormat menghormat.
Sumber : http://www.bernama.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan