Ahad, 5 Julai 2009

KELEBIHAN BULAN REJAB

Rejab, ketibaannya menandakan Ramadan begitu hampir...


Sesungguhnya Allah Taala dengan sifat-Nya Yang Maha Bijaksana telah memilih waktu-waktu tertentu dengan kelebihan-kelebihannya. Kelebihan waktu-waktu tertentu adalah merupakan sebagai satu cara memberikan motivasi kepada manusia meningkatkan usaha dan amal supaya memperolehi ganjaran berlipatkali ganda. Berkenaan dengan bulan-bulan dalam Islam, Allah Taala memilih bulan Rejab sebagai salah satu dari empat bulan yang diharamkan berperang padanya kerana ia mempunyai kelebihan yang tertentu.

Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah : Ayat 36 ; maksudnya: ((Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah, di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa)). Di dalam ayat di atas bulan-bulan haram tersebut tidak dinyatakan secara terperinci. Namun Rasulullah s.a.w telah menjelaskannya di dalam hadis berikut yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a bahawa Nabi s.a.w telah menyampaikan khutbah pada hari Haji Wida (Haji terakhir baginda) dan baginda bersabda dalam khutbahnya: Sesungguhnya zaman akan kembali berpusing seperti hari diciptakan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang. Tiga bulan berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab pula terletak antara Jamadi dan Syaaban. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Menurut Ibnu Faris di dalam kitabnya ‘Mu’ jam Maqayis al-Lughah, sebab dinamakan bulan ini dengan Rejab adalah kerana orang Arab membesarkan dan memuliakan bulan ini. Rejab itu sendiri maksudnya ialah kebesaran dan keagungan. Sebagai meneruskan tradisi ini Islampun memuliakan bulan ini.

Imam al-Baihaqi rh berkata: Orang-Orang Arab Jahiliah asalnya mengagungkan bulan-bulan haram terutamanya bulan Rejab kerana pada bulan itu mereka tidak berperang. Firman Allah Taala yang bermaksud: (( Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah dan kehormatan bulan-bulan haram(dengan berperang) )). Surah al-Maidah : Ayat 2. Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kemuliaan bulan-bulan haram yang termasuk di dalamnya bulan Rejab. Justeru peperangan dan pertumpahan darah adalah dilarang pada bulan-bulan tersebut.

Allah Taala berfirman yang bermaksud:
(( Ditanya kepadamu tentang berperang pada bulan-bulan haram, katakanlah berperang pada waktu itu adalah (dosa) besar...)). Surah Al-Baqarah: Ayat 217. Para Ulama berpandukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di mana baginda telah memerangi penduduk Taif yang kufur pada bulan Zul Kaedah iaitu salah satu daripada bulan-bulan haram. Namun ada pandangan yang menyatakan bahawa tidak boleh memulakan peperangan pada bulan haram tetapi sekiranya ia bermula sebelum bulan-bulan tersebut tetapi berlanjutan hingga ke bulan-bulan haram maka ia diharuskan. Kerana peperangan yang berlaku di Taif adalah dimulai dengan peperangan di Hunain yang berlaku pada bulan Syawal. Manakala sekiranya Negara umat Islam diserang maka peperangan adalah harus demi mempertahankan tanahair meskipun ia berlaku di bulan-bulan haram.

Menurut amalan Arab Jahiliah pada bulan Rejab mereka melakukan sembelihan untuk dihadiahkan kepada berhala-berhala. Apabila Islam datang amalan tersebut dimansuhkan. Ini berdasarkan pendapat ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Namun menurut mazhab Syafie berdasarkan pendapat Ibnu Sirin menyatakan amalan tersebut tidak dimansuhkan dan boleh dilakukan sembelihan pada bulan Rejab tetapi hendaklah kerana Allah Taala dan bukan kerana selain dariNya. Ibnu Hajar berkata pendapat ini disokong oleh apa yang diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w pernah ditanya oleh seorang lelaki yang berkata: Dahulu kami melakukan ‘Atirah (sembelihan) pada zaman Jahiliah (yakni pada bulan Rejab), apakah arahanmu (pendapatmu)? Jawab baginda s.a.w: “Sembelihlah pada mana-mana bulan sahaja! Riwayat Abu Daud, Nasaie dan Ibnu Majah.

Menyentuh tentang amalan berpuasa secara khusus sempena tibanya bulan Rejab, pada hakikatnya jika diteliti secara mendalam tiada satupun hadis sohih yang boleh dijadikan sandaran mengenai puasa bulan Rejab. Justeru itu, berpuasa pada bulan Rejab adalah disunatkan sepertimana pada bulan-bulan yang lain iaitu tiada niat yang khusus. Apa yang seeloknya dilakukan ialah berpuasa sunat sepertimana berpuasa pada hari Isnin dan hari Khamis. Ini telah ditegaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqallani yang berpendapat bahawa tiada sebarang hadis sohih yang menyatakan sunat berpuasa pada bulan Rejab secara khusus.

Tetapi tidaklah menjadi kesalahan untuk memperbanyakkan puasa sunat pada bulan rejab seperti bulan-bulan yang lain. Apa yang menjadi kesalahan ialah melakukan amalan-amalan tertentu pada bulan ini secara khusus seperti solat sunat Rejab, menziarahi kubur sempena Rejab dan mengadakan perayaan khusus kerana ketibaan bulan Rejab. Kecenderungan mengadakan perayaan berbentuk hiburan seperti Nasyid, jamuan makan besar-besaran dan kenduri kendara dibimbangi akan melalaikan umat Islam dengan perkara-perkara berbentuk membuang masa dan wang ringgit sedangkan ia seharusnya disalurkan bagi aktiviti-aktiviti dakwah dan kesedaran Islam.

Namun demikian mengadakan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti ceramah agama, forum dan dakwah berkaitan dengan kisah dan persitiwa yang berlaku di bulan ini adalah digalakkan selagimana ia membawa kemaslahatan bagi ummat Islam dan bertujuan mencetuskan kesedaran kepada mereka tentang tanggungjawab terhadap Islam.

Bagi muslim yang sensitif dengan perjalanan masa, sudah pastinya ketibaan bulan baru akan mengingatkannya bahawa usianya semakin bertambah dan destinasi akhirnya hayatnya semakin hampir. Oleh itu ketibaan bulan baru pastinya disambut dengan terus meningkatkan ilmu dan amalan agar hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam dan esok akan bertambah baik dari hari ini.

Rejab juga menandakan bahawa hanya tinggal 2 bulan sahaja lagi untuk menempuh bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadan. Justeru bagi setiap muslim adalah wajar mula melatih diri berpuasa sunat sebagai persiapan untuk berpuasa sebulan di dalam bulan Ramadan yang bakal tiba.

Sumber : http://zuridanmdaud.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan