Ahad, 14 Jun 2009

ISU BAHASA INGGERIS SEBAGAI SYARAT LULUS SPM

Penyelesaian situasi menang-menang pastikan bahasa Melayu tak terpinggir

Oleh Nik Safiah Karim

RAKYAT Malaysia tidak putus-putus dibebankan dengan persoalan berkaitan bahasa Inggeris. Kita sentiasa diingatkan mengenai kepentingan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris yang lemah di kalangan pelajar kita, betapa perlunya warga negara Malaysia menguasai bahasa Inggeris dengan baik, dan mengenai sukarnya mendapat pekerjaan jika penguasaan bahasa Inggeris kita lemah.


Berbulan-bulan lalu kita ribut dengan persoalan berkaitan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kita mendengar berita mengenai perbincangan meja bulat demi meja bulat. Namun, kerajaan masih belum mahu membuat keputusan di sebalik suara-suara lantang yang mengatakan lebih banyak kesan buruk yang timbul daripada dasar ini daripada kesan baik.

Satu kesan buruk ialah pelajar daripada golongan berpendapatan rendah dan luar bandar menjadi mangsa dasar ini. Mereka tidak dapat belajar Matematik dan Sains dengan baik melalui bahasa Inggeris oleh sebab penguasaan bahasa Inggeris mereka amat lemah. Persekitaran keluarga dan suasana hidup juga tidak membantu, tidak seperti keluarga di bandar yang bukan saja bercakap di rumah dalam bahasa Inggeris, tetapi yang mempunyai kemudahan seperti televisyen, komputer dan internet untuk membantu anak mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Kita juga tahu bahawa dasar ini dilaksanakan dengan amat tergesa-gesa sehingga guru, yang terdidik dan terlatih dalam bahasa Melayu, tidak dapat mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dengan berkesan. Ini menjadikan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini, yang sememangnya sukar menjadi lebih sukar. Apatah lagi di kalangan pelajar luar bandar dan daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah.


Satu kesimpulan yang amat ketara ialah bahawa dasar PPSMI ini tidak berlaku adil terhadap sebahagian besar rakyat negara ini. Dari sudut ini sudah jelas tindakan dan keputusan yang patut diambil pihak kerajaan berkaitan dasar PPSMI.

Kini kita sekali lagi dikejutkan dengan persoalan di sekitar bahasa Inggeris. Kita diminta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, untuk menimbang kemungkinan menjadikan bahasa Inggeris wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). SPM ini amat penting bagi pelajar kita kerana sijil ini adalah kunci yang pertama membuka peluang lain seperti untuk melanjutkan pelajaran, menjalani kursus kemahiran atau mencari pekerjaan. Secara langsung kita mengaitkan masa depan anak kita dengan penguasaan bahasa Inggeris, bahasa bekas penjajah kita dan bahasa yang tidak bertaraf bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara.

Benar bahawa ini cadangan saja, dan pihak kerajaan meminta semua pihak memberi pandangan. Kita mengalu-alukan sikap terbuka dan bertimbang rasa kerajaan dan saya berharap semua rakyat akan tampil memberi pandangan yang wajar dan menguntungkan bangsa dan negara, bukan untuk membodek semata-mata. Tetapi pengalaman membuktikan bahawa buah fikiran yang dilemparkan sebagai cadangan selalunya menjadi kenyataan. Demikian jugalah dengan cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris mata pelajaran yang amat penting dalam konteks SPM ini.

Kebimbangan saya ialah kalau-kalau lemparan buah fikiran ini semata-mata untuk mengaburi mata rakyat, yang selepas penat berbincang akan disogokkan dengan keputusan yang mengatakan bahawa lebih ramai yang menyokong cadangan ini, pada hal tidak dilakukan apa-apa kajian meyakinkan.


Tumpuan Berlebihan Terhadap Bahasa Inggeris

Dalam soal ini, saya perhatikan masyarakat kita dan kerajaan terlalu bertumpu kepada bahasa Inggeris dan hampir tidak timbul perhatian terhadap bahasa Melayu. Sekali sekala kita diingatkan supaya tidak risau kerana kedudukan bahasa Melayu sudah terjamin sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Banyak juga yang mengatakan tidak ada lagi persoalan mengenai bahasa Melayu. Ramai pula ahli politik yang mengatakan tidak ada lagi perjuangan mengenai bahasa Melayu. Maka tidur lenalah semua orang, yang tidak sedar bahawa mimpi ngeri ialah bahawa bahasa kebangsaan kita sudah terpinggir dan akan diambil alih oleh bahasa bekas penjajah.

Mengapa perlu diberikan perhatian kepada bahasa Melayu? Sebabnya ialah kerana bahasa Melayu ialah:

Bahasa kebangsaan negara;

Bahasa rasmi;

Bahasa perhubungan antara rakyat jelata biasa;

Bahasa perpaduan, dan

Bahasa saluran ilmu pengetahuan.

Jika begitu banyaknya tugas atau fungsi bahasa Melayu, mengapa pula kita menumpukan perhatian berlebihan kepada bahasa Inggeris? Inilah yang memeningkan saya, sebagai seorang rakyat yang menguasai bahasa Inggeris, tetapi lebih mencintai bahasa kebangsaan negara sendiri.

Bagi saya bahasa Inggeris memang penting dalam dunia sekarang, dalam dunia yang global sifatnya. Kita perlu berhubung dengan dunia luar untuk tujuan diplomasi untuk berniaga dan untuk bertukar pandangan dengan warga dunia yang semakin kecil.

Demikian juga, banyak ilmu ditulis dalam bahasa Inggeris. Maka penguasaan bahasa Inggeris yang baik amat menguntungkan kerana mereka dapat menimba ilmu dengan senang melalui ribuan sumber maklumat yang ada. Mereka juga boleh membantu menyebarkan ilmu ini dengan menulis kembali buah fikiran ini ke dalam bahasa lebih senang dihayati rakyat biasa, yang tidak berniat menjalani program ijazah tinggi, tetapi yang semata-mata ingin membaca maklumat dan idea-idea baru.

Tetapi mengapa mesti wujud semacam kegilaan terhadap bahasa Inggeris, disertai pula sikap acuh tak acuh terhadap bahasa kebangsaan sendiri? Kita sekarang tidak ubah seperti keadaan menyusu kera di hutan, sambil menganaktirikan bahasa sendiri. Melihat kepada keghairahan terhadap bahasa Inggeris, tergambar seolah-olah bahasa Melayu sudah hampir ke liang lahad.

Situasi Menang-Menang

Bagi saya ada dua pandangan yang bertentangan berkaitan isu ini yang kedua-duanya kurang sihat. Pada satu pihak, ada satu golongan menganggap bahasa Inggeris sebagai amat penting untuk survival pada masa ini. Sesiapa yang menyokong bahasa Melayu dianggap sebagai menentang bahasa Inggeris, oleh itu hanyalah layak dikelompokkan ke dalam 'golongan ultra.' Golongan ultra ini dianggap kolot, tidak mahu melihat orang lain maju melalui bahasa Inggeris, dan sebenar-benarnya tidak patut dilayan. Penyokong bahasa Inggeris ini datang daripada pelbagai latar belakang dan kumpulan etnik, tetapi kebanyakannya orang bandar dan terdidik dalam bahasa Inggeris dalam mahupun luar negara. Penguasaan bahasa Melayu mereka juga agak rendah dan mereka tidak begitu terdedah kepada sastera dan budaya Melayu, kerana lebih menggemari sastera dan budaya Barat.

Pada pihak lain pula ialah golongan yang kecintaan mereka terhadap bahasa Melayu amat dalam, dan tidak mahu menerima kenyataan bahawa dalam dunia pada masa ini ada tempat bagi bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa lain. Golongan ini tidak menganggap bahasa Inggeris penting, oleh itu tidak memberatkan persoalan bahasa Inggeris.

Pada hemat saya, kedua-dua kumpulan ini keterlaluan. Sikap mereka tidak sihat dan tidak membawa keuntungan. Keadaan seperti ini saya anggap sebagai situasi menang-kalah kerana masing-masing menegakkan benang yang basah. Satu pihak menganggap perjuangan untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai ultra, sebaliknya golongan yang kedua tidak begitu mahu menerima bahasa Inggeris.

Sudah tiba masa kita mencari penyelesaian menerusi situasi menang-menang. Dalam situasi ini, kita menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris itu penting. Bagaimanapun dalam konteks negara dan kenegaraan, bahasa kebangsaan kita lebih penting. Pendirian menang-menang ini mengatakan bahawa dalam situasi tertentu penghormatan hendaklah diberikan kepada bahasa kebangsaan, iaitu dalam situasi bersifat rasmi dalam bidang pendidikan dan dalam konteks kenegaraan. Namun, ada tempat dan ketika bagi bahasa Inggeris di dalam mahupun di luar negara. Perhubungan antarabangsa sudah semestinya dalam bahasa Inggeris atau bahasa antarabangsa lain. Dalam konteks negara, situasi seperti persidangan antarabangsa dan diplomasi boleh menggunakan bahasa Inggeris.

Yang lebih utama ialah aspek emosi terhadap kedua-dua bahasa ini. Sepatutnya perasaan cinta akan dan berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri hendaklah dikaitkan dengan bahasa Melayu. Curahan perasaan seni dan kegiatan kebudayaan seboleh mungkin dalam bahasa Melayu. Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa utiliti, bahasa untuk mencari ilmu pengetahuan dan untuk berhubung dengan dunia luar.

Penulis adalah Karyawan Tamu, Universiti Malaya

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen