Sabtu, 13 Jun 2009

ISU GAGASAN SATU MALAYSIA

CABARAN ATASI KEPELBAGAIAN

Oleh Dr.Firdaus Haji Abdullah

Ada tiga istilah menarik yang membuahkan bualan berlanjutan berikutan “Seminar Gagasan Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan” di Kuala Terengganu Ahad lalu. Tiga istilah itu ialah ‘kecacamarbaan’, ‘kepelbagaian’ dan ‘keterpinggiran’.

Istilah ‘kecacamarbaan’ dilafazkan oleh Menteri Pertahanan Dato Dr.Ahmad Zahid Hamidi sewaktu merasmikan seminar tersebut. Beliau merujuk kepada empat aliran persekolahan yang wujud di Malaysia ini sekarang sebagai salah satu punca utama melahirkan masyarakat yang ‘cacamarba.’ Tentu sahaja suasana sosial yang ‘cacamarba’ bercanggah dengan semangat Satu Malaysia dan akan merintang pencapaian matlamatnya.

Kerana itu Zahid mencadangkan supaya sistem persekolahan yang pelbagai ragam di peringkat rendah itu disatukan (dipertemukan) pada peringkat yang lebih tinggi untuk memungkinkan interaksi yang lebih luas antara kaum dan antara golongan. Secara tidak langsung Zahid merujuk kepada satu cabaran hebat yang dihadapi dalam usaha merealisasikan matlamat gagasan Satu Malaysia.

Satu cabaran lain yang tidak kurang hebatnya ialah “rasa ketersingkiran” (sense of alienation) pelbagai kelompok etnik di Malaysia ini. Rujukan terhadap “rasa ketersingkiran” secara tidak langsung terdapat hampir di setiap kertas kerja yang dibentangkan dengan penekanan dan perspektif yang berbeza-beza.

Tetapi dalam pembentangan kertas kerja Dr. Thock Ker Pong dari Universiti Malaya dan Profesor Dr. Kamarudin Said dari Universti Kebangsaan Malaysia isu ‘ketersingkiran’ itu disentuh agak panjang dengan perspektif dan sudut pandangan yang bukan sahaja berlainan malah boleh dikatakan bertentangan.

Profesor Kamaruddin mengingatkan kembali ‘ketersingkiran’ atau ‘keterpinggiran’ yang dialami oleh bangsa Melayu selama seratus tahun di bawah pemerintahan kolonial Inggeris. Manakala Dr. Thock membangkitkan ‘rasa ketersingkiran’ orang-orang Cina akibat pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Dr. Sivamurugan Pandian dari Univesiti Sains Malaysia dan Dr. Sarjit Singh dari Universiti Putra Malaysia menyebut secara tidak langsung rasa ketersingkiran masyarakat India.

Reaksi

Semuanya memperingatkan kembali bahawa rasa ketersingkiran itu dialami oleh setiap kaum di Malaysia ini. Tetapi masing-masing kaum mempunyai tanggapan dan reaksi yang berbeza terhadap rasa ketersingkiran kaumnya. Mengenai reaski berbagai kaum yang berbeza itu, seorang peserta berkata sambil bergurau: “Reaksi masyarakat Cina berartikulasi, reaksi masyarakat India berdemonstrasi, reaksi masyarakat Melayu berbasa-basi.”

‘Basa-basi’ menurut Kamus Dewan bererti ‘bersopan santun’ atau tenggang menenggang dan bertimbang rasa. Ini mempunyai kaitan dengan kebiasaan orang Melayu yang terkenal sabar dan senantiasa memikirkan “apa orang lain kata” bila hendak melakukan sesuatu. Oleh kerana itu reaksi orang Melayu terhadap ‘rasa keterpinggiran’ mereka lebih banyak dalam bentuk ‘memendam rasa’ atau ‘makan hati’ yang sekali sekala mencapai kemuncak dan meletup dalam bentuk amuk.

Istilah ‘demonstrasi’ atau ‘dramatisasi’ yang merujuk kepada reaksi masyarakat India terhadap rasa ‘keterpinggiran’ mereka, secara setengah bergurau dikaitkan dengan demonstrasi jalanan oleh pertubuhan terlarang yang dipanggil Hindraf itu.

Manakala istilah ‘berartikulasi’ digunakan untuk memerikan reaksi masyarakat Cina terhadap rasa keterpinggiran mereka sesuai dengan kekayaan sumber-sumber intelektual dan pelbagai institusi artikulasi yang mereka miliki. Selain dari bilangan kelas menengah dan golongan profesional yang cukup besar, masyarakat Cina juga mempunyai badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang cukup banyak yang dimudahcarakan pula oleh lebih sepuluh akhbar harian.

Implikasi daripada semuanya itu ialah bahawa masyarakat pelbagai latar belakang yang hendak disatukan menerusi gagasan Satu Malaysia itu masih berada dalam keadaan yang tidak setara dari pelbagai aspek, termasuk dari aspek keupayaan mengartikulasikan kepentingan masing-masing. Keadaan menjadi bertambah kecoh bila masing-masing mempunyai pandangan dan keinginan yang ‘cacamarba’ akibat melalui sistem pendidikan yang berbeza-beza seperti kata Datuk Dr. Zahid. Rasanya kerana itulah maka Datuk Dr. Zahid semasa berucap merasmikan seminar tersebut dan kemudian semasa mengadakan sidang akhbar berulang-ulang menegaskan peri perlunya ‘kesetaraan peluang dan keupayaan’ yang di rujuknya menggunakan ungkapan bahasa Inggeris level playing field.

Ahmad Zahid juga merujuk kepada Penyata Pelajaran Razak sebagai “roh penyatuan kepelbagaian” yang perlu dirujuk kembali sebagai satu “dasar kebangsaan” untuk dijadikan pedoman mewujudkan perpaduan seperti yang dicita-citakan oleh gagasan Satu Malaysia itu. Kemudian secara kebetulan hampir semua kertas kerja memang merujuk kembali pelbagai dasar kebangsaan seperti Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pandang Ke Timur dan Wawasan 2020 yang semuanya secara tersurat dan tersirat mendambakan satu negara Malaysia yang bersatu padu dan mempunyai jati diri serta aman makmur dan adil saksama.

Turut dirujuk kembali ialah slogan-slogan perpaduan yang pernah dikumandangkan sepanjang setengah abad yang lalu seperti “Bersekutu Bertambah Mutu”, “Malaysia Berjaya”, “Bersih, Cekap dan Amanah”, “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.”

Memang diakui bahawa ada pembentang kertas kerja dan para peserta yang berucap dengan nada kesal, menyindir dan sinis bila merujuk kepada pelbagai dasar dan slogan di tahun-tahun yang terdahulu. Mereka kecewa kerana dasar-dasar kebangsaan tersebut tidak dipatuhi dan tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya.

Begitu juga pelbagai slogan dengan ungkapan yang bombastik dan nada yang berdegar-degar di masa lalu itu, menurut mereka, tak lebih dari ‘halwa telinga’ atau ‘pemanis mulut dan penyedap lidah’. Mereka tidak mahu ungkapan “Satu Malaysia: rakyat didahulukan, prestasi diutamakan” itu merudum menjadi satu slogan kosong dan mengalami nasib yang hampir sama seperti slogan-slogan atau gagasan-gagasan terdahulu.

Pedoman

Zahid sendiri seakan-akan telah “menghidu” luahan dan suara-suara sinis seperti itu. Kerana itulah barangkali maka dalam teks ucapannya beliau menegaskan: “Gagasan Satu Malaysia perlu ‘dimasyarakatkan’ agar senantiasa difahami, dihayati dan dijadikan pedoman dalam proses pembinaan negara bangsa oleh setiap lapisan masyarakat.”

Senada dengan Zahid, Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan atas sifatnya sebagai Pengerusi Bersama Seminar, dalam kata-kata aluannya juga mengingatkan: “Gagasan Satu Malaysia sebagai panduan untuk membina negara bangsa mestilah diberi takrif dan pengisian agar gagasan itu tidak merosot menjadi satu slogan atau klise kosong. Kerana itulah maka seminar ini dibahagikan kepada tiga subtema: (i) Pemahaman dan pentakrifan, (ii) Pengisian dan Pemasyarakatan, (iii) Strategi dan pelaksanaan.”

Tiga subtema yang disebut oleh Datuk Zainal Borhan itu tidak mungkin dihuraikan secara tuntas dalam satu seminar. Sebaliknya perlu ‘dimasyarakatkan’ secara yang lebih terancang dan sistematik kepada kumpulan-kumpulan lain di serata negara dalam satu siri atau rangkaian seminar atau wacana keilmuan . Dan ternyata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said menyedari dan bersetuju dengan keperluan yang disebut oleh Datuk Dr. Zahid dan Datuk Zainal Borhan itu.

Atas kesedaran itu Datuk Ahmad Said bersetuju dan berjanji untuk meningkatkan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dengan Akademi Pengajian Melayu dalam usaha mengkaji dan mendalami serta memasyarakatkan gagasan “Satu Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan