1.0 TAKRIFAN UNGKAPAN MENARIK:
peribahasa (simpulan bahasa, bidalan, pepatah, dan perumpamaan).
cogan kata.
frasa menarik.
petikan ucapan.
kata-kata hikmat.
maksud hadis.
maksud ayat Al-Quran.
1.1 JENIS PERIBAHASA DAN CIRI- CIRINYA:
Ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu.
i. SIMPULAN BAHASA :
Rangkaian perkataan yang tersimpul dengan susunan yang khas.
Terhasil daripada pemerhatian terhadap persekitaran, kepercayaan dan resam bahasa.
Mempunyai makna yang tersirat.
Terdiri daripada dua patah perkataan. Apabila perkataan dalam pasangan perkataan itu dipisahkan, perkataan yang berkenaan hanya membawa makna asalnya.
contoh : air muka, akal kancil, banyak mulut, batu api, bendera putih, cakar ayam, durian runtuh, cepat tangan.
ii. PERUMPAMAAN:
Membandingkan dengan apa-apa yang ada di sekeliling.
Didahului dengan kata-kata perbandingan seperti umpama, bagai, laksana, ibarat dan bak.
Mempunyai makna tersurat dan tersirat.
contoh : seperti anjing berebut tulang, bagai ayam disambar helang, umpama burung, mata terlepas badan terkurung.
iii. PEPATAH :
Mempunyai patah-patah perkataan yang disusun untuk menyampaikan maksud tertentu .
Dibentuk berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan .
Bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya berhati-hati dan berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara .
Mempunyai maksud yang jelas.
Ringkas sifatnya.
contoh : ayam terlepas, tangan bau tahi ; biar putih tulang, jangan putih mata; biar lambat asal selamat.
iv. BIDALAN :
Susunan kata-kata yang umum digunakan.
Seakan-akan pepatah.
Mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran.
Merangkumi aspek kehidupan, pengajaran dan anutan atau fahaman sesebuah masyarakat .
Mempunyai maksud selapis dan tidak mempunyai maksud tersembunyi .
contoh : air tenang jangan disangka tiada buaya; nasi sudah menjadi bubur.
1.3 PENERAPAN PERIBAHASA / UNGKAPAN MENARIK DALAM KARANGAN:
Antara cara menulis peribahasa dalam karangan adalah seperti berikut:
i. Menggunakan satu tanda petik ‘.... ’
Tanda petik jenis ini digunakan untuk menyatakan sesuatu tajuk atau bahagian yang difokuskan.
Contoh:
Peribahasa ‘usaha tangga kejayaan’ perlu dijadikan pegangan oleh sesiapa sahaja yang ingin mengecapi kejayaan dalam hidup ini.
ii. Menggunakan dua tanda petik “.... ”
Tanda dua petik digunakan untuk maksud konsep cakap ajuk atau unsur personifikasi, iaitu seolah-olah `pepatah’ itu manusia atau orang tua yang memberikan nasihat atau berkata-kata.
Contoh:
(a) Ibu bapa hendaklah mendidik anak sejak kecil bak kata pepatah,”kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.”
(b) Orang tua-tua mengatakan, “jauh perjalanan, luas pengalaman.”(Tiada kata hubung `bahawa')
iii. Tanpa menggunakan tanda petik
Jika ayat tersebut berbentuk ayat cakap pindah atau keterangan, tanda petik tidak perlu digunakan.
Contoh:
(a) Setiap pelajar mestilah berusaha untuk mencapai kejayaan seseorang kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
(b) Ibu bapa sepatutnya menjadi model kepada anak-anak mereka kerana pepatah Melayu mengatakan bahawa bagaimana acuan begitulah kuihnya. (Ada kata hubung `bahawa')
1.4 CONTOH PENERAPAN PERIBAHASA DALAM AYAT:
1. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa….
ii. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa...
iii. Hal ini jelas dinyatakan dalam peribahasa…..
iv. Orang tua-tua pernah berkata…
v. Situasi ini boleh diperjelas melalui peribahasa…
vi. Perkara ini bertepatan dengan maksud peribahasa….
vii. Ibu bapa hendaklah mengasuh dan mendidik anak sejak kecil kerana kalau hendak melentur buluh birlah dari rebungnya.
viii. Sebagai rakyat Malaysia kita mestilah mempertahankan negara kita daripada dijajah oleh musuh bak kata pepatah...
ix. Kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi masa depan kerana usaha tangga kejayaan.
x. Sikap penduduk di taman itu yang selalu berbincang dan bermuafakat untuk melaksanakan sesuatu aktiviti ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
xi. Sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dielakkan, sebaliknya sikap ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni perlulah diamalkan dalam kalangan masyarakat setempat untuk memperkukuh perpaduan.
xii. Kita hendaklah menjaga perpaduan yang telah kita bina dengan menghindarkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan atau kehancuran ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua.
xiii. Sikap sesetengah rakyat yang menjadi seperti api di dalam sekam menyebabkan pihak asing cuba mencampuri urusan pentadbiran negara kita.
xiv. Kita janganlah bermain api dalam keadaan negara kita yang aman damai ini kerana seekor kerbau yang membawa lumpur semuanya akan terpalit, iaitu kesilapan yang dilakukan oleh seorang akan menyebabkan semua orang di sekelilingnya ditimpa kesusahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan